ALLAH MENJAGA HAMBA-NYA YANG BERIMAN, MENOLAK KEFAHAMAN PUAK KAFIR & AMARAN KEPADA MEREKA.
Full video : https://youtu.be/QMtRsCAUH9s
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menegaskan bahawa Allah sebagai penjaga, pengawal dan pelindung kepada orang yang bertaqwa.
- Walaupun orang kafir cuba menakutkan kita dengan benda yang lain tetapi kita kata cukupalah Allah Azza wa Jalla bagi kita. Benda lain itu semuanya makhluk Allah.
- Allah juga menyatakan bahawa kuasa memberi hidayah petunjuk dan menyekatnya hanya kuasa dan milik Allah s.w.t. maka kita hendaklah sentiasa berdoa agar selamat, sentiasa diberi hidayah bimbingan dan redha Allah.
- Allah s.w.t juga menolak kefahaman karut puak kafir yang mengakui adanya Tuhan tetapi menyembah dan mensyirikkan Allah s.w.t dengan yang selain dari-Nya.
- Allah s.w.t juga beri amaran bahawa siapa yang buat kebaikan akan terima balasannya juga sesiapa yang buat keburukan akan terima balasannya.
- Al-Quran ini Kitab hidayah, petunjuk bagi orang yang beriman. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang beriman dan mendapat hidayah Allah s.w.t di dunia dan mendapat syurga-Nya di akhirat nanti insya\’ Allah.
- Munasabah ayat: Dalam siri yang lepas Allah s.w.t buat bandingan antara seorang hamba yang dimiliki oleh seorang tuan; dengan seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa tuan pemilik. Yang mana hidupnya lebih tenang tanpa konflik dan kekeliruan dalam hidup atau pekerjaannya.
- Puak kafir tidak senang dengan bandingan ini, merasa dihina dan dicabar tuhan-tuhan mereka, lalu mereka mengugut dan menakut-nakutkan Rasulullah s.a.w dengan berhala mereka itu.
- Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ini dan menegaskan bahawa cukuplah bagi Rasulullah dan orang mukmin, Allah s.w.t untuk mengawal dan melindungi hamba-Nya yang beriman!
AYAT 36- {BUKANKAH ALLAH CUKUP UNTUK MENGAWAL DAN MELINDUNGI HAMBANYA (YANG BERTAQWA)? DAN MEREKA MENAKUTKANMU (WAHAI MUHAMMAD) DENGAN YANG MEREKA SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH. DAN (INGATLAH) SESIAPA YANG DISESATKAN OLEH ALLAH (DENGAN PILIHANNYA YANG SALAH), MAKA TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADANYA.} (AZ-ZUMAR 39:36)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menegaskan bahawa cukuplah Dia untuk menjaga Rasulullah s.a.w dan seluruh kaum mukmin!
Jagaan dan peliharaan Allah s.w.t ini ada yang kita dapat lihat, ada yang melalui hikmah yang tersembunyi. - Dalam sejarah Rasulullah s.a.w semasa di Madinah, para sahabat pada peringkat awal berjaga di luar rumah Rasulullah untuk menjaga Baginda daripada dikhianati dan disakiti oleh puak yahudi dan munafiq. Kemudian Allah s.w.t menurunkan wahyu bahawa Dia telah menjaga Baginda daripada gangguan manusia.
Lalu Rasulullah s.a.w memberitahu para sahabat mereka tidak perlu berkawal untuk melindunginya lagi.
Tempat para sahabat bergilir duduk itu ditanda dalam sejarah di sebuah tiang di dalam masjid Nabi yang dikenali sebagai Tiang Pengawal (الأسطوانة المحرس).
Lihat Buku: http://www.dartaibah.com/…
- Tetapi orang ada bertanya kenapa semasa dalam peperangan Uhud Rasulullah s.a.w sampai patah gigi dan berdarah mukanya yang mulia kena senjata musuh?
Allah s.w.t mahu beritahu bahawa perjuangan ini bukan sesuatu jalan yang senang dan mudah. Inilah sunnatul-hayah – roda kehidupan.
Bila ada pertembungan pasti ada natijahnya, ada yang kalah boleh jadi cedera atau mati, dan ada yang menang.
Maka Rasulullah s.a.w sebagai manusia ada juga tercedera dan terkena luka dan sebagainya.
Ini bukan kerana Allah s.w.t tidak jaga.
Jika Nabi lansung tidak kena semuanya, bagaimana pula keadaan para sahabat dan pejuang agama lain yang tidak ma\’sum, selepas ketiadaan Rasulullah s.a.w nanti, selepas tiada wahyu nanti, selepas tiada perlindungan Allah ke atas Nabi nanti, apa mereka nak buat?
Jadi Rasulullah s.a.w mengajar para sahabat dan umatnya agar tenang dan bertawakkal kepada Allah, lawan tetap lawan setelah berusaha dan mengambil langkah yang sepatutnya.
- Kemudian puak kafir ini mengugut dan menakut-nakutkan Rasulullah s.a.w dengan berhala-berhala yang mereka sembah selain daripada Allah itu.
- Firman Allah s.w.t juga:
i- {Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.} (Al-Anfaal 8:64)
ii- {Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur}
(Al-Hajj 22:38)
iii- {Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).} (At-Talaaq 65:3)
- Sesiapa yang tersekat dari mendapat hidayah Allah s.w.t, tertutup hatinya daripada menerima kebenaran, maka tiada siapa lagi yang dapat menolongnya untuk memberi hidayah, maka dia akan hidup dalam kesesatan! Na\’uzubillah.
- Sentiasa kita berdoa dan minta dengan hati yang ikhlas agar Allah tunjukkan kepada kita jalan yang benar, jalan yang Allah redhai, serta dijauhi daripada kemurkaan Allah s.w.t.
- Munasabah ayat; dalam ayat sebelum ini telah banyak Allah s.w.t cerita dan huraikan tentang janji baik ((وعد)) kepada orang beriman dan janji siksa (وعيد) kepada orang yang derhaka.
Menakutkan (ترهيب) yang derhaka dan menggalakkan (ترغيب) orang yang taat.
Maka Allah akhiri ayat ini dengan satu ucapan bahawa yang benar itu hanya dari Allah Azza wa Jalla semata. - Semasa membaca ayat dari surah al-Fatihah ini dalam setiap solat kita, bacalah dengan penuh penghayatan dan berdoa kepada Allah:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
{Tunjukilah kami jalan yang lurus.}. (Al-Faatihah 1:6)
AYAT 37- {DAN SESIAPA YANG DIBERI HIDAYAH PETUNJUK OLEH ALLAH (DENGAN SEBAB PILIHANNYA YANG BENAR), MAKA TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENYESATKANNYA. BUKANKAH ALLAH MAHA KUASA, LAGI BERHAK MEMBALAS DENGAN AZAB SEKSA (KEPADA GOLONGAN YANG BERSALAH)?} (AZ-ZUMAR 39:37)
- Sesiapa yang mendapat hidayah Allah s.w.t, hatinya terbuka untuk menerimana kebenaran, lalu dia membuat pilihan yang benar, maka tiada siapa lagi yang dapat menyesat dan memesongkannya.
- Allah s.w.t yang Maha Berkuasa untuk membalas kepada hamba-Nya, lagi berhak untuk menyiksa dan mengazab golongan yang berdosa dan derhaka.
AYAT 38- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERTANYA KEPADA MEREKA (YANG MUSYRIK) ITU: \”SIAPAKAH YANG MENCIPTA LANGIT DAN BUMI?\” SUDAH TENTU MEREKA AKAN MENJAWAB: \”ALLAH\”. KATAKANLAH (KEPADA MEREKA): \”KALAU DEMIKIAN, BAGAIMANA FIKIRAN KAMU TENTANG YANG KAMU SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH ITU? JIKA ALLAH HENDAK MENIMPAKAN DAKU DENGAN SESUATU BAHAYA, DAPATKAH MEREKA MENGELAKKAN ATAU MENGHAPUSKAN BAHAYANYA ITU; ATAU JIKA ALLAH HENDAK MEMBERI RAHMAT KEPADAKU, DAPATKAH MEREKA MENAHAN RAHMATNYA ITU?\” KATAKANLAH LAGI: \”CUKUPLAH BAGIKU: ALLAH (YANG MENOLONG DAN MEMELIHARAKU); KEPADANYALAH HENDAKNYA BERSERAH ORANG-ORANG YANG MAHU BERSERAH DIRI\”.} (AZ-ZUMAR 39:38)
- Allah menyatakan bahawa jika Rasulullah s.a.w bertanya kepada puak musyrikin itu: Siapakah yang mencipta langit dan bumi?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah\”. Mereka tidak kata patung berhala mereka itu yang buat.
- Ini masalah kecelaruan kefahaman dalam minda puak kafir!
Mereka akui dan tahu Allah yang mencipta tetapi mereka tetap menyembah yang lain selain daripada Allah juga! - Maka Allah suruh Rasulullah mengasak mereka dengan pertanyaan untuk membuka minda mereka, dengan (uslub jidal) perdebatan:
i- Kalau demikian, apa pandangan kamu tentang apa yang kamu sembah selain dari Allah itu?
ii- Jika Allah hendak menimpakan kepadaku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka yang kamu sembah itu mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu?
iii- atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu? - Lalu Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah dan kita semua untuk berkata: \”Cukuplah bagiku: Allah yang menolong dan memeliharaku; kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri\”. Yakni kita serah segala urusan kepada Allah dan bertawakkal kepada-Nya, tetapi wajib ada ikhtiar dan usaha dulu sebelum itu.
AYAT 39- {KATAKANLAH: \”WAHAI KAUMKU (YANG MASIH BERDEGIL DALAM KEKUFURANNYA)! BUATLAH SEDAYA UPAYA KAMU (UNTUK MENENTANG AGAMA ISLAM YANG AKU SAMPAIKAN ITU), SESUNGGUHNYA AKU JUGA TETAP BERUSAHA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH (UNTUK MENGEMBANGKANNYA); KEMUDIAN KAMU AKAN MENGETAHUI KELAK.} (AZ-ZUMAR 39:39)
- Allah perintahkan lagi kepada Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada pihak Quraisy pada zaman itu, yang masih berdegil dan enggan beriman.
- Iaitu setelah berhujjah dan berdakwah masih degil, setelah guna pelbagai jalan, maka akhirnya cabar mereka, buatlah apa yang kamu buat buat, mahu lawan silakan, Buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Islam yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh.
- Firman Allah s.w.t: {Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: \”Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).
Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)\”.} (Hud 11: 121-122)
- Kemudian kamu akan mengetahui kelak apakah yang akan berlaku. Ayat seterusnya.
AYAT 40- {\”SIAPAKAH YANG AKAN DIDATANGI AZAB YANG MENGHINAKANNYA, SERTA AKAN DITIMPAKAN KEPADANYA AZAB SEKSA YANG BERKEKALAN\”.} (AZ-ZUMAR 39:40)
- Kamu akan tahu dan jumpa siapakah yang akan ditimpa azab yang menghina serta siksa yang berkekalan kelak!
AYAT 41- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KITAB SUCI AL-QURAN YANG MENYATAKAN SEGALA KEBENARAN (UNTUK MENJADI PANDUAN HIDUP) KEPADA UMAT MANUSIA SELURUHNYA. OLEH ITU SESIAPA YANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK (BERAMAL MENURUTNYA), MAKA FAEDAHNYA TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI; DAN SESIAPA YANG SESAT (TIDAK BERPANDU KEPADANYA), MAKA BAHAYA KESESATANNYA ITU TERTIMPA KE ATAS DIRINYA SENDIRI; DAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD – HANYALAH PENYAMPAI) BUKANLAH MENJADI WAKIL YANG MENGUASAI (KEADAAN DAN BAWAAN) MEREKA.} (AZ-ZUMAR 39:41)
- Allah s.w.t bagi kata putus di sini. Al-Quran sudah turun, keterangan sudah sampai, maklumat sudah lengkap, siapa yang mengikut petunjuk maka bahagialah dirinya, sesiapa yang sesat maka atas kepalanya natijah kesesatan itu.
- Ayat ini lebih menangkan kepada Rasulullah s.a.w dan para pendakwah, selepas kita nyatakan kebenaran, ajar dan berdakwah, jika mereka masih berdegil tidak mahu terima juga, buat fitnah juga, maka tidak mengapalah, atas masing-masinglah hidayah dan balasanya.
- Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang rasul, penyampai dakwah kepada manusia, Baginda bukan wakil yang dapat menguasai keadaan dan bawaan mereka. Yakni Rasulullah s.a.w tidak dapat mengawal siapa yang akan mendapat hidayah petunjuk dan sesiapa yang sesat.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 36- {Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)?}- jika soalan begini, kita kena jawabnya bahkan (بلى)!
Jangan jawab ya (نعم), jika tidak akan menjadi seperti penafian pula.
Maka sesiapa yang menjaga haq Allah ke atas dirinya, maka Allah s.w.t akan memberi kebaikan dan menjamin untuk jaga kemaslahatan dunia dan akhiratnya insya\’ Allah.
Kita wajib menyembah Allah s.w.t jangan syirik sekali-kali, inilah hak Allah.
Siapa nak Allah jaga dia, maka jagalah hak Allah.
Dalam sebuah hadis yang panjang Rasulullah s.a.w pernah bersabda memberi nasihat kepada sepupunya Abdullah bin Abbas r.a, antaranya:
\”Wahai anak muda (يَا غُلاَمُ), aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjaga kamu. Jagalah Allah, nescaya kamu akan mendapati Dia di hadapanmu.\” [HR at-Tirmizi].
Kata seorang ulama\’ safus-soleh: Sesiapa yang suka Allah s.w.t anugerahakan kepada nya a\’fiyah (kesejahteraan & keselamatan) maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah s.w.t!
Dalam ayat ini galakan untuk kita mengabdikan diri kepada Allah s.w.t semata-mata, bertaqwa kepada Allah, maka barulah Allah s.w.t akan jaga kita.
Maka bila Allah s.w.t sudah jamin untuk jaga kita, maka kita kena berani walaupun jika datang ugutan dan ancaman dari orang kafir.
Allah s.w.t letakkan kepada kita kewajipan perhambaan dalam dua dimensi:
i- walaupun sesuatu yang kita suka tetapi jika dilarang kita kena tinggalkan.
ii- sesuatu yang kita tidak suka tetapi jika diperintah kita kena buat dan laksanakan.
Yakni jangan pilih-pilih, suka atau tak suka wajib taat kepada Allah Azza wa Jalla.
- Ayat 36- {Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.}- ayat ini menjadi dalil dan bukti keterangan bahawa tidak akan memberi manfat kepada mana-manaa manusia kecuali yang Allah pilih untuk diberi hidayat dan petunjuk dari-Nya.
Maka menjadi tanggung-jawab kita untuk sentiasa berdoa memohon kepada Allah s.w.t agar ditunjukkan jalan yang lurus yang benar.
Waktu kita baca al-Fatihah itu biar kita terasa dalam hati bersungguh minta petunjuk dari Allah.
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
{Tunjukilah kami jalan yang lurus.}. (Al-Faatihah 1:6)
Ayat ini juga menolak fahaman muktazilah yang mengatakan bahawa manusia ini amalannya adalah haknya, dia sesat ke dia dapat hidayah ke, semua dengan kehendaknya sendiri 100% tanpa kuasa dan kehendak Allah s.w.t! Ini adalah fahaman sesat.
Manakala bagi kita ahli Sunnah wal Jamaah semua yang kita buat ini dengan kehendak Allah s.w.t, tetapi manusia yang memilih jalannya.
Iradah (kehendak) Allah ini ada dua;
Iradah Syar\’iyyah dan Iradah Kauniyyah seperti yang telah kita bincangkan dalam siri lalu.
- Ayat 38- {Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: \”Siapakah yang mencipta langit dan bumi?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah\”.}- ulama\’ kata ini menunjukkan bahawa jauh disudut hati golongan kafir itu mereka tahu dan yakin, mengakui kewujudan Allah s.w.t, ada Tuhan yang berkuasa mencipta alam ini. Ini adalah ikrar Rububiyyah.
Tetapi jika mereka mengakui saja bahawa tuhan ada, alam ini ini tuhan buat, tetapi tidak masuk Islam dan beriman dengan Tauhid Uluhiyyah iaitu bahawa hanya Allah s.w.t sahaja yang wajib dan dan berhak disembah; Pengakuan itu tidak cukup dan tidak akan dapat menyelamatkannya di akhirat.
Kita hari ini pun jika setakat tahu dan akui saja ada Tuhan tetapi tidak bertuhankan kepada Allah, tidak ikut perintah Allah, tidak ikhlaskan ibadat kepada Allah, tidak murnikan tauhid kepada Allah, maka kita juga tidak akan selamat.
Sebuah Kitab yang baik untuk dirujuk- Kitab Mustika Hadis J1- tentang perkara-perkara yang dapat membatalkan keislaman dan keimanan.
Cukup merbahaya, sesuatu yang nampak remeh dan simple tetapi sebenarnya dapat menjadikan seseorang itu kafir dan batal imannya! Na\’uzubillah.
Contoh seorang menjilat tangannya selepas makan kerana ikut Sunnah Nabi s.a.w. lalu seorang yang lain berkata apa kamu buat ini jijik, apa sunnah-sunnah begini! Maka hati-hatilah.
Isu semasa sekarang kita dikejutkan tentang nasib tiga orang anak yang sudah Islam diserahkan kembali kepada ibu mereka yang bukan muslim!
Diputuskan di mahkamah oleh undang-undang sekular yang ada, yang tidak memihak kepada Islam.
Semoga pihak pemerintah buka mata, dapat berusaha untuk meminda apa yang patut agar keselamatan dan akidah umat Islam terjamin dan dapat dipertahankan! Allahu al-Musta\’an.
- Ayat 41- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran}- ayat ini menerangkan bahawa al-Quran itu kata-kata Allah s.w.t (كلام الله). Allah turunkannya dari Lauh Mahfuz ke langit dunia kemudian diturunkan kepada Rasulullah s.a.w secara berperingkat.
Al-Quran ini diturunkan semata-mata untuk kemaslahatan kita, bagi manusia (لِلنَّاسِ بِالْحَقِّ) dan ia umum, risalah kerasulan Nabi kita s.a.w kepada manusia seluruhnya, sehingga ke hari Kiamat, bukan hanya kepada kaumnya Quraisy.
Ada manusia yang takut kepada al-Quran, kata ikut al-Quran mundur dan tak kena zaman!
Sabda Rasulullah s.a.w: \”Aku dibangkitakan untuk menyempurnakan agama ini kepada manusia seluruhnya!\” [HR **}.
Semuanya yang putih merah kelabu hitam atau coklat!
- Ayat 41- {Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri;}- sesiapa yang memilih jalan petunjuk maka ia untuk kebaikan dirinya sendiri, sesiapa pilih jalan yang salah maka sesatlah dia!
Ayat ini menolak fahaman sesat Jabariyyah yang mengatakan bahawa manusia ini seperti robot, tiada pilihan dalam kelakuannya, ia dipaksa dalam amalannya.
Kita ahli Sunnah wal Jamaah berpegang bahawa semuanya adalah di bawah kekuasaan Allah s.w.t, tetapi manusia ini ada pilihan kerana dia diberi otak dan akal untuk berfikir dan memilih!
{dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.}- Rasulullah s.a.w dan para pendakwah selepasnya hanyalah penyampai dakwah dan ajaran Allah s.w.t, mereka bukan dapat mengawal dan memaksa sesiapa yang akan ikut dan dapat hidayah atau sesiapa yang sesat tidak mahu menerima hidayah kebenaran.
Sampaikan kepada masyarakat, nyatakan yang benar, orang terima atau tidak; tanggung-jawab kita telah lepas.
Juga menunjukkan bahawa yang golongan yang ramai atau orang yang ramai pengikut itu tidak semestinya benar!
Jangan lupa sejarah- pengikut Nabi s.a.w dan pengikut Abu Jahal mana ramai.