ALLAH AKAN PUTUSKAN HUKUMAN, GOLONGAN KAFIR MENCARI TEBUSAN & SEMUA KEJAHATAN DIDEDAHKAN PADA HARI KIAMAT.
Full video : https://youtu.be/w4yp0uQ_3sQ
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t memberi kata-kata sabar kepada Rasulullah s.a.w agar menyerahkan urusannya kepada Allah s.w.t yang akan memutuskan segala hukuman.
- Walaupun berkeras dan berkuasa atas dunia ini, di Akhirat kelak tiada lagi semua itu, semua akan terserlah dan dihukum oleh Allah s.w.t.
- Dinyatakan penyesalah puak kafir, serta mereka mencari tebusan dan sanggup membayar jika boleh bayar untuk menghapuskan kesalahannya.
- Di akhirat kelak akan terselahlah apa yang kita sembunyikan dan nyatakan. siapa yang benar dan siapa yang salah. Samada antara yang mukmin dengan yang kafir satu kes atau sesama Islam, siapakah yang benar amalannya dan akan selamat sampai ke Kolam Nabi s.a.w, atau siapa yang akan dihalau darinya.
- Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebutkan tentang beberapa berbeza pandangan dan pegangan antara Rasulullah s.a.w dan puak kafir musyrikin, yang tetap menolak kebenaran dan terus dalam kebatilan mereka walaupun segala hujjah dan dalil, amaran dan peringatan telah diberi oleh Rasulullah s.a.w.
- Maka dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w agar menyerahkan urusannya kepada Allah s.w.t. Ini adalah setelah Baginda mencurahkan usaha dan berdakwah dengan segala perancangan dan strategi. Inilah yang sepatutnya usaha dan ikhtiar baru berserah dan tawakkal kepada Allah s.w.t!
AYAT 46- {UCAPKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”WAHAI TUHAN YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI, YANG MENGETAHUI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB DAN YANG NYATA, ENGKAULAH JUA YANG MENGADILI DI ANTARA HAMBA-HAMBAMU, MENGENAI APA YANG MEREKA SENTIASA BERSELISIHAN PADANYA\”. (AZ-ZUMAR 39:46)
- Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w agar mengucapkan: Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, serta apa yang ada di antara keduanya, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, tiada yang tersembuyi sesuatu pun dari-Nya.
- Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.} (A-li\’Imraan 3:5)
- Antara zikir pagi petang atau bacaan sebelum tidur yang diajar oleh Rasulullah saw:
[عن أبي هريرة:] أنَّ أبا بَكرٍ الصِّديقَ قال: يا رسولَ اللهِ ﷺ، مُرْني بكَلِماتٍ أقولُهُنَّ إذا أصبَحتُ وإذا أمسَيتُ، قال: قُلِ: اللَّهُمَّ فاطِرَ السَّمواتِ والأرضِ، عالِمَ الغَيبِ والشَّهادةِ، ربَّ كُلِّ شَيءٍ ومَليكَه، أشهَدُ أنْ لا إلهَ إلّا أنتَ، أعوذُ بكَ من شرِّ نَفْسي، وشَرِّ الشَّيطانِ وشِرْكِه، قال: قُلْها إذا أصبَحتَ، وإذا أمسَيتَ، وإذا أخذتَ مَضجَعَك. (شعيب الأرنؤوط (ت ١٤٣٨)، تخريج سنن أبي داود ٥٠٦٧ • صحيح • شرح رواية أخرى)
Riwayat dari Abu Hurairah r.a; Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a suatu hari berjumpa Rasulullah s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, ajarkanlah kepadaku beberapa kalimah yang boleh aku ucapkan pada setiap pagi dan petangku.
Maka Rasulullah s.a.w pun mengajarnya doa ini:
اللَّهُمَّ عالِمَ الغَيْبِ وَالشّهَادَةِ فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ، رَبَّ كُلِّ شَيْءٍ وَمَلَيْكَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَعُوذُ بِكَ مِن شَرِّ نَفْسِي، وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَشِرْكِهِ، وَأَنْ أَقْتَرِفَ عَلَى نَفْسِي سُوءاً، أَوْ أَجُـرَّهُ إِلَى مُسْلِمٍ
Ya Allah, Engkau mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Pencipta langit dan bumi, Tuhan setiap sesuatu dan memilikinya, aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, aku berlindung denganMu daripada kejahatan diriku dan kejahatan syaitan dan sekutunya dan aku berlindung daripada berusaha untuk melakukan kejahatan terhadap diriku atau aku mendorong orang Islam melakukannya. [HR Abu Daud 5083. Lihat Sahih At-Tirmidhi (3/142)].
*Zikir ini dibaca 3kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang selepas asar dan nak ketika nak tidur.
Mudah-mudahan kita tidur di atas fitrah dan jika mati, kita telah berada di atas landasan yang benar dan mulia insya\’ Allah.
- Allah s.w.t juga mengajar kepada Rasulullah s.a.w agar menyerahkan segala urusannya selepas berusaha dan berikhtiar kepada Allah s.w.t. Allah jua yang akan mengadili dan berhukum antara hamba-hamba-Nya dalam apa saja yang mereka perselisihkan, yang tidak dapat dibuat keputusan semasa di atas dunia dulu!
- Antara doa iftitah (Permulaan Solat) yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w:
عن عائشة أم المؤمنين:] عنْ أَبي سَلَمَةَ بنِ عبدِ الرَّحْمَنِ بنِ عَوْفٍ، قالَ: سَأَلْتُ عائِشَةَ أُمَّ المُؤْمِنِينَ: بأَيِّ شَيءٍ كانَ نَبِيُّ اللهِ ﷺ يَفْتَتِحُ صَلاتَهُ إذا قامَ مِنَ اللَّيْلِ؟ قالَتْ: كانَ إذا قامَ مِنَ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلاتَهُ: اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرائِيلَ، وَمِيكائِيلَ، وإسْرافِيلَ، فاطِرَ السَّمَواتِ والأرْضِ، عالِمَ الغَيْبِ والشَّهادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بيْنَ عِبادِكَ فِيما كانُوا فيه يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِما اخْتُلِفَ فيه مِنَ الحَقِّ بإذْنِكَ؛ إنَّكَ تَهْدِي مَن تَشاءُ إلى صِراطٍ مُسْتَقِيمٍ. (مسلم (ت 7٦١)، صحيح مسلم ٧٧٠)
Abu Salamah bin Abdul Rahman bin Auf berkata bahawa dia telah bertanya kepada UM Aisyah r.a apakah yang Rasulullah s.a.w baca apabila mahu memulakan solat malamnya?
UM Aisyah menjawab: Adalah Rasulullah s.a.w apabila bangun solat malam, Baginda akan memulakan solatnya dengan membaca doa ini:
اللهم رَبَّ جِبرَائِيْلَ، وَمِيكَائيْلَ، وَإسْرَافيْلَ، فَاطِرَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضِ، عَالِمَ الغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الحَقِّ بِإذْنِكَ، إنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Ya Allah, Tuhan Jibrail, Mikail dan Israfil. Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah yang menghakimi di antara hambaMu dalam setiap perkara yang mereka perselisikan. Pimpinlah aku di dalam perselisihan itu ke arah kebenaran dengan keizinanMu, sesungguhnya Engkau memimpin orang yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus. [Muslim 770].
- Doa ini amat sesuai dan amat penting dibaca pada zaman kita ini, di saat perselisihan dan pertentangan yang berat ini, kita minta Allah s.w.t curahkan dalam hati kita, tunjukkan yang benar, yang sahih, yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Bacalah dalam solat malam dan tahajud kita selalu.
AYAT 47- {DAN SEKIRANYA ORANG-ORANG ZALIM ITU MEMPUNYAI SEGALA APA JUA YANG ADA DI BUMI, DISERTAI SEBANYAK ITU LAGI, TENTULAH MEREKA RELA MENEBUS DIRI MEREKA DENGANNYA DARIPADA AZAB SEKSA YANG BURUK PADA HARI KIAMAT, SETELAH JELAS NYATA KEPADA MEREKA DARI (HUKUM) ALLAH, AZAB YANG MEREKA TIDAK PERNAH FIKIRKAN. (AZ-ZUMAR 39:47)
- Munasabah ayat: Apabila Allah s.w.t telah menyebut bahawa dia akan menjadi hakim Pemutus di akhirat kelak serta tentang azab yang akan disediakan untuk puak kafir dan musyrikin yang telah menzalimi diri mereka dan orang lain di dunia dulu.
Ini adalah keadilan bagi mereka yang lemah dan tertindas semasa di dunia dulu. - Para muslim yang lemah dan sering ditindas oleh puak kafir yang zalim dan jahat ini sejak dari zaman Rasulullah s.a.w sehingga ke hari ini yang diganyang, disiksa, diminta agar bersabar kerana puak kafir akan menyesal dengan penyesalan sepenuh hatinya.
- Allah s.w.t nyatakan penyesalan orang-orang kafir itu sehinggakan jika mereka mempunyai harta apa yang ada seluruh dunia ini serta berganda-gandanya lagi, mereka sanggup menebus membayar semuanya sekali untuk melepaskan diri mereka daripada azab Allah itu.
- Firman Allah s.w.t:
i- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.} (A-li\’Imraan 3:91)
ii- {Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya; dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya.} (Ar-Ra\’d 13:18)
- Kisah segelas air: Apabila seorang yang terlalu dahaga ingin minum air, jika tidak minum akan mati, lalu datang seseorang menawarkan air dengan bayaran separuh dari kerajaan atau hartanya yang dia ada, dia pun sanggup.
Kemudian selepas minum air dia tidak dapat membuang air pula, lalu datang seseorang doktor menawarkan untuk merawatnya dengan bayaran baki separuh lagi hartanya yang ada, maka diapun sanggup juga memberinnya!
Betapa manusia sanggup membayar apa sahaja untuk membeli kehidupan dan kesihatan, maka jangan sampai ia hilang baru kita nak mencarinya balik!
- Allah bandingkan dalam ayat ini begitulah keadaan orang kafir di Akhirat nanti, sanggup membayar seluruh harta jika ada seluruh dunia dan berganda-ganda lagi untuk menebus segala kesalahannya!
Tapi apakan daya semua itu sudah terlambat, satu penyesalan yang tiada guna lagi! - Hadis: Dari Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Anshari R.A, bahawasanya ada seseorang yang berkata: \”Ya Rasulullah, beritahukan kepadaku amalan yang dapat memasukkan ku ke Syurga serta menjauhkan diriku dari Neraka.\”
Maka Rasulullah S.A.W bersabda: \”Hendaklah engkau beribadah kepada Allah dan janganlah menyekutukan-NYA dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menyambung silaturahim.\” [HR Bukhari]. - Kita pada hari ini jika kita berasa cemas atau takut, murnikan akidah dan ibadat kita hanya kepada Allah s.w.t yang Esa semata. Untuk benar-benar selamat jangan terlibat dalam sesuatu yang khilaf atau ada bantahan dari ulama\’.
- Pada hari Kiamat esok, jelas segala kejahatan dan keburukan yang mereka lakukan dari perkara kufur, syirik, maksiat dan semua yang munkar jahat itu akan terbentang ditayang di depan mata. Tidak boleh lari dan bersembunyi lagi!
- Firman Allah s.w.t: {Dan \”Kitab-kitab Amal\” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:\” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!\” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49).
- Jika dulu orang terfikir bagaimana nak rekod dan tayang balik, pada hari ini terserlah segalanya, kita ada CCTV, kita unit rakaman, kita ada hp, ada selfie ada FB dan lain-lain. Semua gajet dan alat teknologi adalah sesuatu yang sepatutnya menguatkan keimanan kita kepada Allah dan mengingatkan kepada kuasa-Nya yang tidak terbatas!
AYAT 48- {DAN SUDAH TENTU AKAN NYATA KEPADA MEREKA KEBURUKAN PERKARA-PERKARA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN, DAN MEREKA AKAN DILIPUTI OLEH AZAB YANG MEREKA TELAH EJEK-EJEK ITU.} (AZ-ZUMAR 39:48)
- Pada hari Kiamat akan jelas terbentang segala keburukan dan kejahatan yang mereka lakukan di dunia dahulu, yang mereka ejek dan perli main dulu, hari Kebangkitan dan Pembalasan yang mereka dustakan dulu.
- Bahkan ini akan bermula dengan kiamat kecil lagi iaitu dari hari kematian mereka lagi, mereka akan ditunjukkan ke manakah tempat pengakhiran mereka nanti, baik atau buruk!
- Rasulullah s.a.w bersabda,
مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ
\”Siapa suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka berjumpa dengan-Nya. dan siapa yang benci dengan Allah maka Allah benci berjumpa dengannya.\” (HR. Al-Bukhari dan Muslim) - Kemudian terimalah azab dan pembalasan yang kamu dustakan dan ejek-ejek dahulu!
Kamu akan diliputi yakni diselubungi dan dikenakan azab itu dengan sebenarnya!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 46- {Ucapkanlah (wahai Muhammad): \”Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi,}- ulama\’ tadabbur kata boleh kita bertawassul dengan perbuatan Allah s.w.t sendiri.
Ini yang tiada khilaf, kita bertawassul dengan nama Allah, sifat-sifat-Nya dan perbuatan baik kita.
Manakala yang khilaf kita jauhi dan elak untuk selamat dan cermat!
{yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata,}- ini adalan amaran agar kita jangan menyalahi Syari\’ah atau langgar SOP Allah s.w.t – Allah tahu semua samada kita buat secara zahir atau sembunyi.
Atas dunia mungkin kita boleh sembunyikan dari manusia, tetapi ingat semuanya Allah nampak, ingat pada hari didedahkan segala rahsia nanti!
Semoga ia dapat menjadi sekatan dan pengawal kepada kita dari berbuat maksiat dan munkar.
{Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya\”.}- Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk menyerahkan urusannya kepada Allah s.w.t. Maka kita yang yakin dengan apa yang kita pegang ini adalah Syari\’ah Allah dan Sunnah Nabi s.a.w yang sahih, kita yakin Allah s.w.t akan serlahkan kebenarannya di Akhirat kelak. Perbanyakkan doa kepada Allah s.w.t, seperti doa Iftitah di atas tadi.
Minta Allah s.w.t tunjukkan kepada kita dan keluarga serta semua orang yang kita sayangi jalan yang lurus yang diredhai Allah s.w.t!
- Ayat 48- {Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan,}- semua perkara di bawah kuasa Allah s.w.t. tiada siapa yang boleh sembunyikannya, yang nyata dan jelas atau yang terlindung semua Allah tahu dan akan dibentangkan semula nanti.
Tadabbur: Ayat ini nampak seolah bercanggah dengan firman Allah s.w.t ini:
{Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian;} (Al-\’Aadiyaat 100: 6-7).
Yakni mereka sendiri tahu, apa yang mereka buat dan menyaksikan atas diri mereka sendiri.
Sedangkan dalam ayat az-Zumar ini terserlah apa yang mereka tidak sangka.
Jawapan:
i- penyaksian manusia itu atas dirinya sendiri selepas Allah s.w.t buka dan tayang segalanya di Akhirat kelak.
Setelah terserlah segalanya.
ii- Penyaksian seorang manusia ke atas diri mereka sendiri itu pada hari Kiamat!
Sebagai mana firman Allah s.w.t: {Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).} (Al-An\’aam 6:130)
*Yakni mengikut keadaan dan kita boleh satukan antara dua ayat ini.
Mungkin juga seorang manusia itu menyangka amalan dan pegangannya benar kerana ulama\’, tok guru, syeikh atau ustaz yang mereka ikut kata ianya benar! Lalu dia berpeganglah dan melawan semua orang lain yang menentangnya.
Tetapi pada hari Kiamat kelak, ianya terzahir salah dan tidak benar.
Tempat pertama nampak salah atau benar ini akan terzahir ialah apabila kaum muslimin berarak menuju ke kolam Nabi s.a.w.
Rasulullah S.A.W bersabda: \”Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga/kolam. Siapa saja yang melaluinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, nescaya tidak akan haus selamanya.
Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalang dari menemui diriku.\” (HR Bukhari, no. 6528 dan Muslim, no. 4243)
Dalam satu hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Aku berkata: \”Mereka termasuk umatku!\” Namun muncul jawaban: \”Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalmu.\”
Aku pun berkata: \”Pergi dari sini, Pergi dari sini, bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.\” (HR Bukhari, no. 6097).
Yakni terserlah apa yang mereka pegang salah dan tidak terima.
Ini yang kita takut; buat ibadat banyak tetapi tidak menepati apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w, maka ia adalah cukup bahaya dan merugikan!
- Ayat 47- {Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat,}- Kata ulama\’ tadabbur ayat ini menunjukkan:
i- apabila mereka berada di dalam keadaan azab ini:
tiada nilai lagi harta milik mereka dulu.
ii- Ayat {Andaikata orang yang zalim}- ayat ini menunjukkan amaran keras daripada melakukan kezaliman. Samada menzalimi diri sendiri dengan syirik dan kufur atau melakukan maksiat. Atau menzalimi orang lain! Keduanya akan mengalami penyesalan di akhirat kelak.
Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar\”.} (Luqman 31:13)
- Ayat 46- {Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya\”.}- ayat ini memberi ketenangan dan kesabaran kepada kaum mukmin, bahawa Allah s.w.t kata mintalah hidayah dari Allah, Allah akan pimpin kamu ke jalan yang benar.
Apabila kamu yakin kamu berjuang di atas jalan yang benar maka terus istiqomah berjuang kemudian serahkan urusan kita kepada Allah s.w.t! - Ayat 48- {dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.}- azab yang mereka dustakan, tidak percaya dan ejek-ejek dulu akan dibawa kepada mereka.
i-Ulama\’ kata memerli dan mempermainkan dengan Allah, Rasulullah dan ayat-ayat Allah s.w.t akan menjadi sebab seseorang itu kena azab dan menjadi kufur dari agama Islam.
ii- Sebagaimana firman Allah s.w.t: {Katakanlah: \”Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?\” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.} (At-Taubah 9: 65-66)
iii- Kisah tentang ayat ini; Al-Hafiz Ibnu Kathir telah meriwayatkan daripada beberapa orang sahabat seperti Ibnu \’Umar, Muhammad bin Kaab dan Zaid bin Aslam R.A bahawa seorang munafiq telah berkata sewaktu keluar untuk pergi berperang ke Tabuk: \”Kami tidak pernah melihat satu golongan seperti para Qurra\’ ini (iaitu tentera yang keluar ke Tabuk, Rasulullah S.A.W dan para sahabat).
Mereka hanya gemar mengisi perut sahaja, mempunyai lidah yang suka berbohong serta sangat pengecut bila berdepan dengan musuh\”.
Seorang sahabat bernama \’Auf bin Malik terus membantah: \”Bohong! Apa yang engkau cakapkan itu adalah dusta. Engkau seorang munafiq. Aku akan laporkan kepada Rasulullah S.A.W apa yang engkau katakan\”.
Kemudian datanglah munafiq tadi menghadap Rasulullah S.A.W, sedang Baginda S.A.W berada di atas untanya untuk keluar. Beliau cuba memujuk Baginda, kononnya apa yang diucapkan itu cakap-cakap kosong dan main-main sahaja bagi menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan.
Rasulullah S.A.W terus berjalan tanpa menghiraukan rayuannya.
Beliau terus bergantung pada tali unta Baginda dan ditarik oleh unta itu di atas batu. Rasulullah S.A.W hanya menjawab dengan ayat al-Quran yang telah diturunkan,
{وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ}
\”Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu beristihza\’ (bersenda gurau atau bermain olok-olok)? Tidak usahlah kamu meminta maaf. Sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman\”. (At-Taubah: 65-66.)
[Lihat Tafsir Ibnu Kathir 2/351].
iv- Inilah bahayanya jika perli dan main-main dengan al-Quran dan hukum hakam agama.
Boleh baca sebuah makalah tulisan Dr Abu Anas Madani: Golongan Yang Mempersendakan Agama; Dahulu Dan Sekarang.
Baca: http://www.abuanasmadani.com/golongan-mempersenda/…
Semoga kita dapat mengutip faedah dan pengajaran dari ayat-ayat yang kita tadabbur ini untuk dijadikan sebagai garisan dan panduan hidup kita sepanjang hayat, bukan untuk hanya hari ini sahaja.
Hari ini hari Jumaat; ingat Jumaat ingat selawat ke atas Nabi s.a.w dan jangan lupa baca surah al-Kahfi. Bagi Jemaah lelaki jangan lupa pergi awal ke masjid!