View Categories

SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 49-52

\"\"

SIKAP MANUSIA CARI ALLAH KETIKA SUSAH, GOLONGAN ZALIM TIDAK SENANG HIDUP & REZEKI DITENTUKAN OLEH ALLAH.

Full video : https://youtu.be/iDEQ7Y-6Jqg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang sikap manusia yang hanya ingat dan mencari Allah s.w.t ketika susah, ketika senang tak ingat kepada Allah s.w.t.
  2. Kita orang mukmin jangan begitu, susah atau senang kita ingat kepada Allah s.w.t sentiasa, jika senang kita syukur, jika susah kita bersabar.
  3. Jika kita lihat orang kafir senang dan gembira, kaya raya sekarang ini, kita kena ingat dunia ini hanya pinjaman, semua itu hanya sementara dan tidak akan kekal!
  4. Kuasa memberi rezeki adalah milik kuasa Allah s.w.t, kerana itu tidak sama rezeki setiap manusia walaupun adik beradik seibu-sebapa.
  5. Kita sentiasalah baca doa ini setiap pagi dan petang:

اللّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
\”Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.\”

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t ceritakan gaya hidup puak kafir yang buruk dan penuh kesyirikan, lalu Allah s.w.t dedahkan segalanya di Akhirat kelak.
    Maka mereka terkejut dan melalui azab yang mereka dustakan dan ejek atas dunia dulu.
  2. Allah juga nyatakan tentang puak kafir yang akui kewujudan Allah s.w.t sebagai tuhan tetapi mereka tidak menyembahnya, bahkan syirik kepada-Nya. TETAPI apabila mereka tersepit atau kena bala barulah mereka ingat kepada Allah dan menyeru serta minta pertolongannya.
    Kita lihat terjemahan ayatnya.

AYAT 49- {MAKA APABILA MANUSIA DISENTUH OLEH SESUATU BAHAYA, IA SEGERA BERDOA KEPADA KAMI; KEMUDIAN APABILA KAMI MEMBERIKANNYA SESUATU NIKMAT (SEBAGAI KURNIA) DARI KAMI, BERKATALAH IA (DENGAN SOMBONGNYA): \”AKU DIBERIKAN NIKMAT INI HANYALAH DISEBABKAN PENGETAHUAN DAN KEPANDAIAN YANG ADA PADAKU\”. (TIDAKLAH BENAR APA YANG DIKATAKANNYA ITU) BAHKAN PEMBERIAN NIKMAT YANG TERSEBUT ADALAH UJIAN (ADAKAH IA BERSYUKUR ATAU SEBALIKNYA), AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT ITU).} (AZ-ZUMAR 39:49)

  1. Allah s.w.t ceritakan tentang sifat kaum kafir dan musyrikin ini yang apabila ditimpa sesuatu bahaya atau kesusahan barulah mereka ingat kepada Allah s.w.t segera berdoa kepada-Nya. Minta pertolongan dan dihilangkan kesusahan itu!
  2. Tetapi apabila hilang kesusahan itu dan mendapat sesuatu nikmat yang Allah berikan, mereka berkata pula dengan sombong bahawa segala nikmat yang mereka dapat itu kerana kemahiran dan kepandaian mereka sendiri, yakni hasil usaha mereka sendiri lalu mereka berjaya dan senang!
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu rahmat dari Kami sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak bersyukur): \”Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!\” Maka demi sesungguhnya! Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka merasai azab seksa yang seberat-beratnya.}

{Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.} (Fussilat 41: 50-51)

ii- {Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.] (At-Taghaabun 64:15)
Maksud fitnah ialah ujian. Sebagaimana kata ayat al-Quran juga bahawa anak isteri dan harta itu adalah fitnah; yakni ujian kepada manusia.

  1. Yakni Allah s.w.t beri nikmat itu sebagai ujian kepada manusia, untuk melihat samada ia syukur atau kufur! Tetapi manusia masih tidak sedar dan terus berada dalam kekufuran dan maksiat, tidak bersyukur dan bersabar!

AYAT 50- {SEBENARNYA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA TELAH JUGA MENGATAKAN YANG DEMIKIAN MAKA SEGALA YANG MEREKA USAHAKAN ITU TIDAK DAPAT MENYELAMATKAN MEREKA (DARI AZAB ALLAH).} (AZ-ZUMAR 39:50)

  1. Kaum terdahulu sebelum ini juga beranggap begitu.
    Mereka mendakwa apa rezeki dan nikmat yang mereka dapat adalah kerana kebijakan, kepandaian dan usaha mereka semata, lansung tidak sandarkan rezeki dan kesenangan mereka itu kepada Allah s.w.t. Menganggapnya mereka dapat semua itu kerana kebijakan dan usaha mereka.
  2. Munasabah ayat: Apabila puak Quraisy datang membanggakan diri kepada Rasulullah s.a.w akan kekayaan mereka, keluarga yang ramai dan kekuasaan qabilah mereka, Allah s.w.t memberitahu kepada Rasulullah s.a.w bahawa perkataan mereka itu sama seperti yang telah diucapkan oleh kaum terdahulu sebelum mereka!
  3. Qarun telah katakan ini, sebagaimana dalam firman Allah s.w.t:
    i- {Qarun menjawab (dengan sombongnya): \”Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku\”.} (Al-Qasas 28:78)

ii- {Dan mereka berkata lagi: \”Kami lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa\”.] (Saba\’ 34:35)

  1. Sedangkan semua yang mereka usahakan itu dari segi harta, kekuatan dan kekuasaan tidak akan dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah!
  2. Semasa di atas dunia ini lagi kita tidak berkuasa, contoh jika kita sakit, jika mampu kita boleh pilih hospital atau doktor mana yang dikehendaki, tetapi kita tidak boleh membeli atau membayar untuk hilang kesakitan atau kesembuhan sepenuhnya!

AYAT 51- {LALU MEREKA DITIMPA KEBURUKAN PADAH PERBUATAN-PERBUATAN JAHAT YANG MEREKA LAKUKAN; DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM DI ANTARA GOLONGAN (YANG MUSYRIK) INI AKAN DITIMPA JUGA AKIBAT BURUK PERBUATAN-PERBUATAN BURUK PERBUATAN JAHAT YANG MEREKA LAKUKAN, DAN MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKAN DIRI.} (AZ-ZUMAR 39:51)

  1. Lalu akibat perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan, mereka ditimpa keburukan padah dan ditimpa bala dari Allah s.w.t!
  2. Contohnya sebagaimana Qarun yang telah ditelan oleh bumi dengan segala harta kekayaan yang dibanggakannya itu.

Firman Allah s.w.t:
{Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah\” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.} (Al-Qasas 28:81)

  1. Begitu juga orang-orang yang zalim di antara golongan musyrikin juga akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan terhadap Rasulullah dan kaum mukminin pada masa itu. Perang Badar adalah azab awal yang dikenakan ke atas kaum musyrikin Makkah.
  2. Mereka tidak akan selamat, tiada siapa yang dapat menolong dan membantu mereka dari azab dan hukuman Allah s.w.t!

AYAT 52- {(MENGAPA MEREKA MENDAKWA DEMIKIAN), TIDAKKAH MEREKA MENGETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA, DAN IA JUGA YANG MENYEMPITKANNYA? SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS BAGI ORANG-ORANG YANG PERCAYAKAN (ILMU DAN KEBIJAKSANAAN ALLAH).} (AZ-ZUMAR 39: 52)

  1. Dakwaan mereka bahawa segala yang mereka dapat itu kerana kepandaian dan usaha mereka sendiri itu, tidak benar sama sekali!
  2. Sesungguhnya Allah yang berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ada yang mewah dan luas rezekinya, ada yang sederhana dan ada yang sempit rezekinya! Semua kedudukan rezeki dan susun atur nikmat setiap manusia itu tidak sama dan berbeza-beza.
  3. Semua ini adalah ayat-ayat; tanda kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t yang jelas, penuh hikmah dan bijaksana, yang jelas bagi orang yang beriman!
  4. Jika kita sebagai yang beriman percaya akan ilmu dan kebijaksanaan Allah maka kita kena akur dan ikutlah undang-undang dan Syari\’ah Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 49- {Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami;}- kata para ulama\’ tadabbur, manusia ini ada tiga kategori:

i- ada yang lansung tidak percaya kepada tuhan iaitu puak atheis, mulhid yang hidup tanpa agama seperti haiwan!

ii- yang percaya separuh, seperti puak kafir zaman dulu, mereka tahu dan percaya ada tuhan, mereka percaya Allah yang cipta langit dan bumi, tetapi tetap syirik menyembah selain Allah seperti berhala dan lain-lain. Tetapi mereka ini apabila susah memanggil dan berdoa minta tolong kepada Allah jua akhirnya! Ketika senang lupa kembali!

iii- kafir total, yang lansung tidak panggil tuhan, ini kafir yang syirik terus, yang sembah dan panggil dewa-dewa sembahannya, susah atau senang walaupun mereka tahu ada tuhan.

Maka kita sebagai orang Islam, jauhi dan ketepikan semua ini, kita panggil berdoa dan ingat kepada Allah s.w.t ketika senang atau susah, Jangan sampai terjebak ke dalam khurafat yang akan membawa kepada syirik- na\’uzubillah!

  1. Ayat 49- {(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).}- Allah s.w.t uji kita dengan nikmat sebagaimana juga Allah uji manusia dengan bala.
    Sebagaimana kata Nabi Sulaiman a.s dalam firman Allah ini:
    {Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: \”Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya\”.} (An-Naml 27:40)

Untuk lebih memahami makna fitnah ujian; boleh lihat buku tulisan Dr Abu Anas; Tenang Dalam Ujian, di http://www.dartaibah.com/#!/~/search/keyword=tenang

Tetapi kebanyakan manusia tidak sedar dan lupa. Lalu mereka menjadikan dalil senang itu bahawa Allah suka dan redha kepada mereka!

Contoh para artis yang mempunyai jutaan peminat dan harta kekayaan walaupun mereka hidup dalam maksiat dan kelaghaan.
Atau orang kafir yang menjadi jutawan dan orang terhormat atas dunia ini! Ini adalah perangkap maut syaitan serta istidraj dari Allah- nikmat yang Allah beri kerana tidak redha, maka mereka akan lalai berterusan dan hanyut dalam maksiat.

Firman Allah s.w.t:
{\”Sesungguhnya Kami memberi tangguh kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka; dan bagi mereka azab yang menghinakan.\”} [Aali Imran: 178].
Hadis riwayat Abu Musa al-Asy\’ari r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
إن اللهَ ليُملي للظالمِ، حتّى إذا أخذه لم يفلتْهُ، قال: ثمّ قرأ: وَكَذَٰلِكَ أَخْذُ رَبِّكَ إِذَا أَخَذَ الْقُرَىٰ وَهِيَ ظَالِمَةٌ ۚ إِنَّ أَخْذَهُ أَلِيمٌ شَدِيدٌ
\”Sesungguhnya Allah akan menangguhkan siksaan bagi orang yang berbuat zalim. Apabila Allah telah menghukumnya, maka Dia tidak akan pernah melepaskannya.\” Lalu Baginda membaca ayat ini:
{Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.} (Hud 11:102).\” [HR al-Bukhari].

  1. Ayat 50- {Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah).}- ulama\’ kata amalan manusia itulah hasil usaha dia.
    Kata pepatah:
    Apa benih yang ditabur, itulah hasil yang akan dituai.

Apa yang kamu buat atas dunia ini samada baik atau buruk, maka begitulah balasan dan apa yang akan kamu dapat di Akhirat kelak! Buat baik dapat pahala dan balasan baik, buat jahat akan dapat dosa dan azab Allah s.w.t.

Maka kewajipan bagi seorang manusia itu untuk kembali kepada Allah! Apa sahaja hasil usaha kita atau yang kita miliki daripada harta, anak isteri, pangkat kuasa dan segalanya tidak akan dapat menyelamatkan diri kita di akhirat kelak! Jika kita banyak kembali kepada Allah s.w.t di atas dunia ini barulah kita akan mendapat pertolongan Allah!

  1. Ayat 52- {Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).}- sesungguhnya pembahagi rezeki senang susah, luas sempit itu adalah menjadi tanda akan kekuasaan Allah s.w.t bagi orang yang beriman.

Kenapa disebut orang yang beriman sahaja?
Kerana hanya orang mukmin akan insof dan faham serta dapat manfaat dari tadabbur al-Quran ini!
Maka jelaslah iman itu adalah wasilah (alat) untuk kita mendapat hidayah petunjuk dari Allah s.w.t. Apabila iman lemah maka makin lemah untuk mendapat kefahaman daripada ayat-ayat atau dalil yang dibawa.

  1. Ayat 49- {kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): \”Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku\”.}- kita mahu tadabbur tentang perbezaan antara ayat ini dengan ayat Qarun dalam firman Allah s.w.t ayat 78 surah al-Qasas.

i- dalam ayat 49 ini orang kafir kata dengan ilmu dan kepandaian yang dia miliki (أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ).

ii- manakala dalam ayat tentang Qarun:
{Qarun menjawab (dengan sombongnya): \”Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku
(أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي)\”.} [al-Qasas: 78].
*Yakni ada tambahan perkataan (عِنْدِي) yang bermakna yang ada padaku, di sisiku!

Jawapan:
i- ilmu dalam ayat 49 ini hanyalah ilmu biasa, yang umum semata-mata bijak dan cerdik seorang manusia (أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ).

ii- manakala Qarun itu adalah seorang biasa yang tiba-tiba menjadi kaya mendadak, maka dia mendakwa dia ada ilmu khas, ilmu yang ada padanya (أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِنْدِي).

Semoga Allah selamatkan kita dari sifat sombong dan bangga diri yang membinasakan itu.

Powered by BetterDocs