JANGAN PUTUS HARAP DARI RAHMAT ALLAH, GALAKAN BERTAUBAT DAN BERISTIGHFAR & JANGAN TUNGGU PENYESALAN TAK BERGUNA.
Full video : https://youtu.be/tmJueM-uEdU
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini adalah tentang seruan Allah s.w.t Yang Maha Rahmat terhadap hamba-hamba-Nya agar kembali bertaubat kepada-Nya, sebelum tamat tempohnya; iaitu sebelum Kiamat kecil iaitu mati atau sebelum Kiamat besar.
- Kemudian Allah s.w.t ceritakan tentang golongan yang menyesal dengan penyesalan yang tiada guna dan faedah. Jika nak menyesal sekarang, semasa masih hidup dan ada tempohnya lagi ini!
- Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t ceritakan tentang amaran dan kekerasannya kepada orang kafir dengan janji azab dan siksaan dengan sebab kekufuran mereka.
- Maka dalam ayat ini Allah s.w.t buka pula pintu rahmat dan taubat-Nya, untuk mengubat jiwa yang terluka dan insaf, kepada mereka yang ingin kembali dan bertaubat kepada Allah s.w.t.
AYAT 53- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”WAHAI HAMBA-HAMBAKU YANG TELAH MELAMPAUI BATAS TERHADAP DIRI MEREKA SENDIRI (DENGAN PERBUATAN-PERBUATAN MAKSIAT), JANGANLAH KAMU BERPUTUS ASA DARI RAHMAT ALLAH, KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGAMPUNKAN SEGALA DOSA; SESUNGGUHNYA DIA LAH JUA YANG MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AZ-ZUMAR 39: 53)
- Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada hamba-hamba-Nya agar janganlah mereka yang telah terlanjur melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat sebelum mereka sedar dan beriman.
- Agar mereka jangan berputus-asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah telah mengampunkan segala dosa mereka yang lampau.
- Sabab nuzul ayat: Ibnu Abbas r.a berkata: Sekumpulan ahli syirik pada waktu jahiliyyah telah datang bertemu Rasulullah s.a.w sambil berkata: Dakwah kamu ini bagus tetapi bagaimana untuk kami yang melakukan pelbagai dosa dan maksiat seperti membunuh, zina dan lain-lain? Adakah jaminan bahawa dosa-dosa mereka yang lepas itu akan diampunkan.
Lalu Allah s.w.t menurunkan
ayat al-Furqan 68 & ayat az-Zumar ini:
{Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;}. (Al-Furqan 25:68).
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ayat ini (Surah az Zumar: 39: 53) turun berkenaan dengan kaum musyrikin Makkah yang keterlaluan di dalam melakukan maksiat kepada Allah.
Maka penurunan ayat ini adalah sebagai peringatan kepada mereka supaya tidak putus harapan di dalam mencari keampunan dari Allah. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dengan sanad yang sahih dari Ibnu Abbas).
- Allah s.w.t juga menyeru mereka ini dengan panggilan yang lunak dan lembut (يَاعِبَادِيَ) menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah s.w.t tehadap mereka ingin kembali kepada-Nya ini!
Sedangkan mereka ini adalah ahli maksiat dan pendosa kepada-Nya. Menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah s.w.t ke atas hamba-Nya! - Hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, \”Kalau seandainya seorang mukmin mengetahui segala bentuk hukuman yang ada di sisi Allah nescaya tidak akan ada seorang pun yang masih berhasrat untuk mendapatkan syurga-Nya. Dan kalau seandainya seorang kafir mengetahui segala bentuk rahmat yang ada di sisi Allah nescaya tidak akan ada seorang pun yang berputus asa untuk meraih syurga-Nya.\” (HR. Bukhari no. 6469 dan Muslim no. 2755) [HR Muslim].
- Allah s.w.t berkata dia akan mengampunkan semua dosa hamba-Nya kecuali syirik, satu dosa yang tidak diampaunkan. Sebagaimana firman-Nya:
{Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.} (An-Nisaa\’ 4:48) - Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ
Maksudnya: \”Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.\” [HR Muslim]. - Sabda Rasulullah S.A.W dalam satu hadis qudsi: \”Telah berfirman Allah S.W.T: Wahai anak Adam! Setiap kali engkau memohon dan mengharap kepada-Ku, Aku tetap mengampunimu atas segala dosa yang engkau lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Andai kata dosa-dosamu sampai setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuni. Wahai anak Adam! Andai kata engkau datang kepada-Ku dengan dosa sepenuh bumi, kemudian engkau menemui-Ku, sedang engkau tiada menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.\” [HR at-Tirimizi].
- Begitulah Allah s.w.t sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
AYAT 54- {\”DAN KEMBALILAH KAMU KEPADA TUHAN KAMU DENGAN BERTAUBAT, SERTA BERSERAH BULAT-BULAT KEPADANYA, SEBELUM KAMU DIDATANGI AZAB; KERANA SESUDAH ITU KAMU TIDAK AKAN DIBERIKAN PERTOLONGAN.} (AZ-ZUMAR 39: 54)
- Segeralah bertaubat kepada Allah sebelum pintu taubat dan keampunan tertutup atau datang azab kepada kamu.
- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t membuka ruang yang luas kepada orang yang berdosa. Yakni galakan untuk bertaubat dan kembali (وَأَنِيبُوا) kepada-Nya.
- Maka dalam ayat ini adalah cara pengisian, berserah diri sepenuhnya kepada Allah (وَأَسْلِمُوا), lalu akur, patut, taat dan tunduk kepada segala perintah dan larangan Allah s.w.t.
- Juga melakukan segala penyerahan (وَأَسْلِمُوا) dan ibadat ini ikhlas semata-mata kerana Allah, bukan kerana terpaksa atau sambil-lewa sahaja!
- Segeralah kembali sebelum azab datang kepada kamu jika orang kafir kerana kekufurannya, jika ahli maksiat atas dosa dan maksiatnya, maka tiada lagi pertolongan dari Allah! Sudah tiada siapa yang akan peduli lagi, waktu orang panggil dan buka pintu dia tak datang!
AYAT 55- {\”DAN TURUTLAH – AL-QURAN – SEBAIK-BAIK. (PANDUAN HIDUP) YANG DITURUNKAN KEPADA KAMU DARI TUHAN KAMU, SEBELUM KAMU DIDATANGI AZAB SECARA MENGEJUT, SEDANG KAMU TIDAK MENYEDARINYA.} (AZ-ZUMAR 39: 55)
- Selepas pengisian, diajar pula bagaimana untuk berada di atas landasan yang baik. Ayat ini adalah garis panduan dan caranya.
- Jika kamu nak selamat dan bahagia maka ikutlah al-Quran yang diturunkan Allah s.w.t kepada kamu melalui Rasulullah s.a.w. Maka wajib juga ikut Sunnah kerana al-Quran itu menyuruh mengikut Nabi s.a.w. Wajib ikut dua-dua bukan salah satu sahaja.
- Ikut semua panduan dan hukum-hakam yang dibawa al-Quran- perintahnya, larangannya, mengambil pengajaran, membenarkan kisah-kisahnya serta ikut semua panduan dan ajarannya!
- Ikutlah al-Quran dan Sunnah sebelum habis tempohnya, iaitu apabila datang azab atau kematian secara mengejut, sedangkan kamu tidak sedar dan lalai akannya!
AYAT 56- {\”(DIPERINTAHKAN DEMIKIAN) SUPAYA JANGAN SESEORANG (MENYESAL DENGAN) BERKATA: \”SUNGGUH BESAR SESAL DAN KECEWAKU KERANA AKU TELAH MENCUAIKAN KEWAJIPAN-KEWAJIPANKU TERHADAP ALLAH SERTA AKU TELAH MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG SUNGGUH MEMPEROLOK-OLOKKAN (AGAMA ALLAH DAN PENGANUT-PENGANUTNYA)!} (AZ-ZUMAR 39:56)
- Janganlah kamu menyesal yang tiada guna dengan berkata dengan kata-kata penyesalan ini: Sungguh besar sesal dan kecewaku (يَاحَسْرَتَا عَلَى مَا فَرَّطْتُ) kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah.
*Ini ucapan penyesalan tidak berguna yang pertama. - Bila dia tengok azab di depan mata baru mengaku: Serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan agama Allah dan penganut-penganutnya! Memperli Allah, rasul dan orang yang beriman sebelum ini!
AYAT 57- {\”ATAU BERKATA: `KALAULAH ALLAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADAKU, TENTULAH AKU TELAH MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA !\”} (AZ-ZUMAR 39:57)
- Mereka juga berkata: Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, (لَوْ أَنَّ اللَّهَ هَدَانِي) tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa!
Ini adalah lafaz ucapan tidak berguna yang kedua. - Hadis dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: \”Bahawa penghuni neraka akan ditunjukkan tempatnya di dalam syurga jika dia orang yang beriman. Lalu mereka menyesal dan berkatalah kalaulah Allah bagi aku hidayah pasti kau akan berada di situ. Maka mereka menyesal dan kecewa sangat-sangat!
Ahli syurga juga ditunjukkan tempatnya di dalam neraka jika mereka tidak insaf dan bertaubat, lalu mereka berkata: Kalaulah Allah tidak beri hidayah kepadaku di situlah tempatku! Lalu mereka bertambah syukur kerana telah selamat dari azab yang dahsyat itu!\” [HR An-Nasaei & Ahmad].
AYAT 58- {\”ATAU BERKATA SEMASA IA MELIHAT AZAB: `KALAULAH AKU DAPAT KEMBALI KE DUNIA, NESCAYA MENJADILAH AKU DARI ORANG-ORANG YANG MENGERJAKAN KEBAIKAN!\”} (AZ-ZUMAR 39:58)G BERTAQWA !\”} (AZ-ZUMAR 39:57)
- Mereka juga berkata apabila melihat azab yang disediakan untuk mereka: Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, ( لَوْ أَنَّ لِي كَرَّةً) nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!
*Ini adalah ucapan penyesalan yang ketiga. - Tetapi malangnya semua penyesalan dan kalau-kalau ini tiada guna dan faedah lagi bagi mereka!
- Sama juga dengan firman Allah s.w.t ini:
{Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: \”Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman\”.} (Al-An\’aam 6:27) - Inilah angan-angan dan cita-cita yang tidak munkin akan tercapai dan berlaku lagi! Tidak akan hidup kembali dan kembali semula ke dunia setiap manusia yang telah mati.
AYAT 59- {(KATA-KATA YANG TERSEBUT DITOLAK OLEH ALLAH DENGAN FIRMANNYA): \”BAHKAN TELAHPUN DATANG KEPADAMU AYAT-AYAT PETUNJUKKU (MELALUI RASULKU), MAKA ENGKAU TELAH MENDUSTAKANNYA SERTA ENGKAU BERLAKU SOMBONG ANGKUH MENGENAINYA, DAN ENGKAU TELAH MENJADIKAN DIRIMU DARI ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR!\”} (AZ-ZUMAR 39:59)
- Semua kata-kata penyesalan itu ditolak dan dijawab oleh Allah s.w.t. Tak perlu lagi kamu menyesal merayu dan berjanji!
- Ayat-ayat dan petunjuk, serta rasul Allah telah sampai kepada kamu, tetapi kamu yang degil keras kepala menolak dan mendustakan semuanya serta sombong lagi angkuh!
- Maka kamu telah menjadi dari golongan yang kufur dan ingkar kepada Allah dan Rasul-Nya!
- Jika kita nak menyesal dan insaf adalah SEKARANG ini semasa masih hidup dan atas dunia ini!
Penyesalan itu satu taubat!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 53- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,}- ayat ini menunjukkan luasnya rahmat Allah s.w.t, kasih-sayangnya tidak putus.
Cuba kita lihat:
i- Allah s.w.t panggil hamba-nya (wahai hamba-Ku) walaupun mereka adalah orang yang berdosa dan berbuat maksiat. Menunjukkan hamba itu sangat berhajat kepada rahmat Allah s.w.t.
ii- Allah panggil mereka dengan nisbahkan kepada diri-Nya sendiri. Hamba-KU! Inilah kemulian seorang hamba itu apabila Allah nisbahkan kepada diri-Nya.
iii- Allah kata mereka adalah orang yang menganianyai dirinya sendiri, Kerana mereka mendapat azab atas sebab perbuatan mereka sendiri.
iv- jangan putus harap dari rahmat Allah s.w.t yang sangat luas.
v- Allah perkenalkan diri-Nya sebagai Yang mengampunkan dosa-dosa. Semua jenis dosa kecuali syirik. Tetapi jika mereka masuk Islam dan bertaubat semua dosanya akan diampunkan.
v- Allah s.w.t juga sebut bahawa Dia Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
- Ayat ini sangat luas tetapi kesimpulannya sebagai satu larangan agar jangan putus-asa kepada rahmat dan pengampunan Allah Azza wa Jalla kerana ia termasuk dalam satu dosa besar!
- Ayat 54- {\”Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat}- ayat ini sebagai satu galakan agar bersegera bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t sementara pintu taubat masih terbuka. Kerana kita dengan kematian adalah sangat dekat dan kita tidak tahu bila ia akan datang!
Juga wajib ikhlas dalam segala amalan kepada Allah s.w.t, jika tidak, tidak akan memberi faedah kepada amalan zahir dan batinnya. - Ayat 55- {\”Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu,}- ayat ini menunjukkan bahawa wajib kita ikut hidayah petunjuk al-Quran berpanduakn ulama\’ yang muktabar.
Al-Quran pula mengarahkan kita agar ikut Nabi s.a.w .
Ini juga pujian kepada al-Quran sebagai sesuatu yang turun dari sisi Allah s.w.t, yang sarat dengan pengajaran iktibar, hukum-hakam, peristiwa yang telah berlaku dulu serta yang akan berlaku di akhirat kelak.
Kita carilah penawar dan petunjuk dari al-Quran yang diturunkan kepada kita ini! - Ayat 55- {Sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.}- Allah s.w.t ingatkan kepada kita bahawa jika kamu ingkar kamu akan ditimpa azab!
Jadi kita sentiasa buat persiapan sebelum didatangi bala atau kematian yang mengejut. - Tiga ayat penyesalan yang diucapakan oleh puak kafir dalam (Ayat 56, 57 & 58). Manusia ini sepatutnya menyesal sekarang sebelum penyesalan yang tiada faedah!
kita bertaqwa dan insaflah sekarang, dengan ayat-ayat al-Quran Allah s.w.t yang boleh dibaca dan ditadabbur, dengan ayat-ayat (tanda) Allah s.w.t yang boleh dilihat seperti kejadian langit dan bumi.
Semoga dengan tadabbur ini memberi manfaat sebagai bekalan kita di dunia untuk menuju Akhirat.
Sebagaimana kata ulama: Berjalan kepada manusia dengan kaki; tetapi berjalan menuju kepada Allah adalah dengan hati!
Ya Allah jadikan kami pemilik hati yang sejahtera, yang ikhlas dan cinta kepada-Mu ya Allah, yang cinta kepada Sunnah Rasulullah s.a.w dan sesama umat Islam seluruhnya!