MUKA ORANG KAFIR HITAM HARI KIAMAT, KESELAMATAN BAGI ORANG MUKMIN & SYIRIK MENGUGURKAN SEMUA AMALAN.
Full video : https://youtu.be/KNnRlj2gf_Y
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah kita dapat menyambung dan meneruskan siri Kuliah Tafsir al-Quran kita ini.
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang puak kafir, keadaan mereka yang dahsyat di Akhirat esok, muka mereka hitam gelap dan penuh kesiksaan. Na\’uzubillah!
- Manakala orang beriman muka mereka putih dan bercahaya, keadaan mereka aman damai, melintasi Sirat dengan baik dan dapat menjejakkan kaki ke dalam syurga.
Sentiasalah berdoa, insya\’ Allah semoga kita termasuk dalam golongan ini. - Munasabah ayat: Dalam siri yang lepas Allah s.w.t sebut tentang kata-kata penyesalan orang kafir di akhirat kelak. Semasa di atas dunia mereka bebas dan senang, kufur dan ingkar tanpa percaya kepada apa yang disampaikan kepada mereka kerana belum sampai kepada mereka azab.
- Seperti dalam ayat 56, mereka menyesal dan berharap untuk kembali ke dunia berbuat kebaikan dan beriman, tetapi ini adalah satu penyesalan yang tidak berfaedah, angan-angan yang tidak mungkin dan mustahil, yang tiada guna lagi!
- Lalu dalam ayat ini Allah s.w.t bawakan keadaan mereka pada hari Kiamat, muka mereka gelap hitam legam, akibat pendustaan mereka terhadap Allah s.w.t!
- Pendustaan mereka kepada Allah s.w.t itu antaranya: Mereka mendakwa Allah s.w.t ada isteri dan anak, malaikat itu anak perempuan Allah s.w.t. Maka balasan dan keadaan mereka diceritakan dalam ayat seterusnya ini!
AYAT 60- {DAN PADA HARI KIAMAT, ENGKAU AKAN MELIHAT ORANG-ORANG YANG BERDUSTA TERHADAP ALLAH (DAN YANG MENYATAKAN KESEDIHAN ITU) – MUKA MEREKA HITAM LEGAM; BUKANKAH (TELAH DIKETAHUI BAHAWA) DALAM NERAKA JAHANNAM DISEDIAKAN TEMPAT TINGGAL BAGI ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR?} (AZ-ZUMAR 39:60)
- Allah nyatakan bahawa pada hari Kiamat kita akan melihat orang berdusta kepada Allah s.w.t, yang terzahir kesedihan dan kesiksaan itu dengan muka mereka yang hitam legam, tiada keceriaan sedikit pun!
- Ini adalah suatu janji yang Allah s.w.t nyatakan kepada orang yang derhaka pada hari Kiamat kelak. Di atas dunia ini mungkin mereka selamat dan bebas. Tetapi di akhirat esok mereka akan mendapat balasan azab yang dahsyat, yang menakutkan dan tidak terperi.
- Maka kita sebagai orang yang beriman, kena berhati-hati dan ingat, jangan bermudah dan pandang ringan akan neraka dan azabnya yang amat dahsyat tempat dan keadaannya!
- Firman Allah s.w.t: {(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): \”Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu\”.} (Aali \’Imraan 3:106)
- Pada akhir ayat ini Allah s.w.t ungkit dan tanya kepada mereka; tidakkah sudah diberitahu kepada mereka bahawa neraka Jahannam disediakan sebagai tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur? Sifat sombong sangat buruk dan dahsyat, maka janganlah kamu sombong sesama manusia, apatah lagi jika sombong kepada Allah s.w.t!!!!
- Hadis riwayat Ibnu Mas\’ud r.a:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
Rasulullah s.a.w bersabda: \”Tidak akan masuk syurga, orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan.\” Seorang laki-laki bertanya, \”Sesungguhnya kita ini suka apabila baju dan kasutnya cantik (apakah ini termasuk dalam kesombongan)?\”
Baginda menjawab: \”Sesungguhnya Allah itu cantik dan menyukai yang cantik. Manakala kesombongan itu menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.\” (HR Muslim No: 131) - Sifat sombong, takabbur dan riya\’ akan menghapuskan kebaikan walaupun dia seorang yang beriman dan banyak beramal! Semoga Allah s.w.t mengeluarkan semua sifat ini daripada hati kita kerana ia adalah sifat ahli neraka dan sifat yang akan membinasakan!
AYAT 61- {DAN (SEBALIKNYA) ALLAH AKAN MENYELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERTAQWA (YANG MENJAUHKAN DIRI DARI PERBUATAN SYIRIK DAN MAKSIAT) DENGAN MEREKA MENDAPAT KEMENANGAN BESAR (KEREDHAAN ALLAH) MEREKA TIDAK AKAN DISENTUH SESUATU YANG BURUK, DAN TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AZ-ZUMAR 39:61)
- Manakala ayat ini menceritakan tentang sifat orang yang bertaqwa (المتقين). Merekalah yang akan diselamatkan oleh Allah s.w.t!
- Iaitu mereka yang menjauhkan diri dari segala sifat dan perbuatan yang buruk seperti syirik dan maksiat, termasuk sifat takabbur tadi!
- Mereka ini akan mendapat kemenangan besar iaitu keredhaan Allah, mereka akan dan selamat, tidak akan ditimpa sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.
- Maka wajiblah kita sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar selamat dari azab neraka, Antaranya yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk dibaca pada akhir solat:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
\”Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu dari azab jahannam, dari azab kubur, dari ujian dan fitnah mereka yang hidup & mati, serta perlindungan dari fitnah ujian dajjal.\” (HR Bukhari & Muslim).
AYAT 62- {ALLAH YANG MENCIPTAKAN TIAP-TIAP SESUATU, DAN DIA LAH YANG MENTADBIRKAN SERTA MENGUASAI SEGALA-GALANYA.} (AZ-ZUMAR 39:62)
- Setelah Allah menyebut tentang janji baik (وعد) bagi orang yang baik dan janji buruk (وعيد) kepada yang derhaka itu, maka sekarang dibawa kembali kepada dalil Tauhid kepada Allah s.w.t dan sifat-Nya.
- Allah sebagai Pencipta setiap sesuatu dan juga Pentadbir serta menguasai segala-galanya atas dunia ini!
- Ini sangat penting agar kita sentiasa ingat akan keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t lalu menjadi hamba-Nya yang sentiasa bertaqwa dan kembali kepada-Nya.
AYAT 63- {DIA SAHAJALAH YANG MENGUASAI URUSAN DAN PERBENDAHARAAN LANGIT DAN BUMI; (ORANG-ORANG YANG PERCAYAKAN YANG DEMIKIAN BERUNTUNGLAH) DAN ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR AKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH YANG JELAS NYATA ITU, MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG PALING RUGI.} (AZ-ZUMAR 39:63)
- Langit dan bumi ini di bawah kekuasaan Allah s.w.t sepenuhnya, tiada sekutu bagi-Nya! Dia yang mencipta, menguasai dan mentadbirnya sepenuhnya!
- Tetapi orang yang kufur dan tidak percaya akan semua ini walaupun setelah dibawa dalil dan tanda-tanda yang nyata jelas, maka merekalah orang yang akan rugi serugi-ruginya di akhirat nanti!
- Maka mereka akan ditimpa azab dan suasana yang amat dahsyat!
AYAT 64- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD, KEPADA ORANG-ORANG MUSYRIK ITU: \”SESUDAH JELAS DALIL-DALIL KEESAAN ALLAH YANG DEMIKIAN), PATUTKAH KAMU MENYURUHKU MENYEMBAH ATAU MEMUJA YANG LAIN DARI ALLAH, WAHAI ORANG-ORANG YANG JAHIL?\”} (AZ-ZUMAR 39:64)
- Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bertegas kepada kaum musyrikin itu bahawa Baginda sekali-kali tidak akan ikut kepada suruhan dan ajakan mereka untuk menyembah atau memuja yang lain dari Allah.
- Bahkan mereka diseru dengan {Wahai orang-orang yang jahil?} – (أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ)! Kerana sudah jelas dibawa kepada mereka dalil-dalil keesaan Allah tetapi mereka tetapi ingkar dan kufur!
AYAT 65- {DAN SESUNGGUHNYA TELAH DIWAHYUKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DAN KEPADA NABI-NABI YANG TERDAHULU DARIPADAMU: \”DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA ENGKAU (DAN PENGIKUT-PENGIKUTMU) MEMPERSEKUTUKAN (SESUATU YANG LAIN DENGAN ALLAH) TENTULAH AKAN GUGUR AMALMU, DAN ENGKAU AKAN TETAP MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AZ-ZUMAR 39:65)
- Dakwah Rasulullah s.a.w dan para nabi-nabi yang terdahulu adalah sama untuk Tauhid kepada Allah s.w.t. Cuma perundangan Syari\’ahnya ada perbezaan.
- Allah s.w.t menyatakan kepada Rasulullah dan para nabi yang terdahulu bahawa jika pengikut mereka melakukan syirik kepada Allah s.w.t, maka akan gugur dan terhapus segala amalan mereka yang telah dilakukan! Serta mereka akan menjadi orang yang rugi!
- Kerana itulah Islam cuba menghalang dan menyekat segala amalan dan iktikad yang boleh membawa ke arah itu samada sedar atau tanpa sedar!
- Maka menjadi kewajipan kepada pemerintah dan penguasa agama untuk menjaga akidah umat ini agar tidak goyah dan terpesong ke arah syirik dan mempersekutukan Allah s.w.t!
AYAT 66- {\”(JANGANLAH MENYEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH) BAHKAN (APABILA BERIBADAT) MAKA HENDAKLAH ENGKAU MENYEMBAH ALLAH SEMATA-MATA, DAN HENDAKLAH ENGKAU MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG BERSYUKUR\”. (AZ-ZUMAR 39:66)
- Sekali lagi diingatkan agar manusia jangan menyembah yang lain dari Allah, bahkan apabila beribadat maka hendaklah menyembah Allah semata-mata tanpa sekutu! Ini adalah seruan kepada tauhid dan larangan daripada syirik!
- Serta kita juga hendaklah menjadi dari orang-orang yang bersyukur! Syukur itu pula bukan sesuatu yang mudah dan hanya lafaz dengan lidah sahaja, perlaksanaannya kena betul.
- Bagaimanakah cara syukur yang betul dan tandanya. Kita lihat contoh manusia yang agung, Rasulullah s.a.w sebagai qudwah dan contoh untuk kita.
- UM Aisyah r.a meriwayatkan bahawa: \”Nabi S.A.W menunaikan solat malam sehingga bengkak kedua-dua telapak kaki baginda, lalu aku katakan kepada baginda, \’Mengapakah engkau melakukan seperti ini, ya Rasulullah, padahal dosamu yang lalu mahupun yang akan datang telah diampunkan oleh Allah?
\’Baginda menjawab, Adakah aku tidak boleh menjadi hamba Allah yang bersyukur?\” [HR Bukhari dan Muslim]. - Betapa Maka marilah kita menjadi orang yang bersyukur dengan banyak melakukan ketaatan dan amal ibadat kepada Allah s.w.t!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
- Ayat 60- {Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?}- ayat ini adalah amaran keras akan sifat takabbur! Balasannya bagi mereka yang takabbur adalah masuk neraka Jahannam samada:
i- takabbur Mutlaq iaitu orang kafir yang menolak terus kebenaran.
ii- takabbur biasa iaitu orang yang beriman tetapi ada sifat takabbur dalam hati. Riya\’, menunjuk dan menghina sesama manusia.
Mereka ini yang beriman atau yang kafir akan masuk neraka semuanya, cuma berbeza tempoh kekekalan dan jenis azab. Tetapi keduanya cukup dahsyat dan menakutkan, kita minta berlindung darinya!
Maka jangan sekali-kali kita bersifat takabbur, menolak kebenaran dan menghina manusia lain.
- Ayat 61- {Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa}- ini adalah jalan untuk selamat di dunia dan akhirat! Iaitu bertaqwa kepada Allah s.w.t., siapa nak selamat dunia akhirat maka bertaqwalah kepada Allah s.w.t! Ya Allah jadikanlah kami dari golongan yang bertaqwa!
- Ayat 63- {Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi;}- ayat ini mengenalkan sifat Allah s.w.t kepada kita, iaitu Allah yang mencipta dan menguasai langit dan bumi. Maka ayat ini mengajar kepada kita untuk sepenuhnya, 100% bergantung, bertawakkal dan meminta pertolongan dari Allah s.w.t! Jangan sekali-kali ada permohonan kepada yang lain walaupun hanya secara main-main atau suka-suka! Jika hati tidak percaya jangan buat kerana saja-saja atau ikut-ikut kerana akibatnya sama juga!
- Ayat 66- {Maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur\”.}- ayat ini mengajar kepada kita satu perkara yang besar; iaitu untuk ikhlas menyembah Allah s.w.t semata-mata serta bersyukur kepada-Nya. Cara untuk bersyukur adalah dengan menyembah Allah s.w.t dengan ikhlas!
Syukur itu keduanya, syukur atas nikmat dunia dan Akhirat:
i- nikmat dunia seperti kesihatan, kesenangan, kekayaan harta, zuriat yang soleh dan lain-lain.
ii- manakala nikmat akhirat -Allah s.w.t buka hati kita, beri taufiq hidayah untuk beriman, suka beribadat, jauhi dari syirik, khurafat, munkar dan bid\’ah!
- Ayat 65- {\”Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu}- syirik adalah suatu benda yang besar dan amat buruk kesannya, syirik pembatal segala amal.
Maka berhati-hatilah dan jauhilahnya walaupun hanya sekadar sesuatu yang khilaf dan syubhat. Kerana ia boleh membatalkan segala amalan, lebih-lebih lagi syirik yang tidak nampak seperti riak takabbur ujub dan seumpamanya!
Mantapkan tauhid, gigit kemas sunnah Nabi S.A.W, (pegang) dengan sekuatnya apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada kita, jauhi dan keluar terus dari perkara khilaf dan ada pendapat bahawa ia boleh membawa kepada syirik.
Tinggalkannya terus yang bid\’ah, khilaf dan munkar kerana ia adalah satu jalan yang berliku dan bahaya, tidak rugi bahkan kita akan selamat!
Siapa yang syirik, rugilah segala ibadat dan batal segala amalannya, ia satu dosa yang besar, tidak dimaafkan melainkan bertaubat pada Allah Azza wa Jalla!