ORANG BERTAQWA DIIRING KE SYURGA, 8 PINTU SYURGA DIBUKA KEPADA MEREKA & MALAIKAT BERTASBIH DI SEKELILING ARASY.
Full video : https://youtu.be/5i8Scf5-1zE
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas diceritakan tentang keadaan para kafir dan musyrikin di Akhirat kelak. Bagaimana mereka diseret ke neraka oleh malaikat dan pintu-pintu neraka terbuka luas menunggu kedatang mereka, na\’izubillah.
- Alhamdulillah dalam siri ini ayat yang kita akan bincangkan ialah tentang orang bertaqwa, bagaimana suasana dan keadaan mereka.
- Kita juga berharap agar kita tergolong dalam golongan ini, insya\’ Allah.
اللهم اجعلنا من المتقين
AYAT 73- {DAN ORANG-ORANG YANG BERTAQWA KEPADA TUHAN MEREKA AKAN DIBAWA KE SYURGA DENGAN BERPASUK-PASUKAN, SEHINGGA APABILA MEREKA SAMPAI KE SYURGA YANG PINTU-PINTUNYA SEDIA TERBUKA DAN PENJAGA-PENJAGANYA MENGALU-ALUKAN MEREKA DENGAN KATA-KATA: \”SALAM SEJAHTERA KEPADA KAMU, BERBAHAGIALAH KAMU, MAKA SILALAH MASUK KE DALAM SYURGA INI DENGAN KEADAAN TINGGAL KEKAL DI DALAMNYA\” (MEREKA PUN MASUK)} (AZ-ZUMAR 39:73)
- Ayat ini menceritakan keadaan orang yang baik, berbanding dengan ayat sebelumnya. Allah s.w.t menyatakan betapa orang-orang yang bertaqwa diiring (وَسِيقَ) ke syurga dengan penuh penghormatan secara berkumpulan (زُمَرًا) juga.
- Walaupun ayat ini menggunakan perkataan yang sama seperti dalam ayat (71) sebelumnya iaitu gambaran untuk orang yang celaka, tetapi ia mempunyai makna yang berbeza. Yang pertama dihalau dengan penuh siksaan dan penghinaan, manakala orang yang bertaqwa, Allah s.w.t muliakan mereka diiring oleh para malaikat kepada Tuhan di syurga mereka secara berkumpulan juga.
- Setiap kumpulan ini mempunyai nasib yang berbeza. Begitu juga darjat ahli syurga, juga berbeza-beza tingkatannya, yang tertinggi syurga Firdaus, mengikut balasan akan amalan dan ibadat yang mereka lakukan di dunia dulu! Yang penting kita berdoa minta masuk syurga, terserahlah kepada Allah s.w.t untuk memberi tingkat mana.
- Hadis Rasulullah s.a.w- tentang sifat ahli syurga: Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah s.a.w bersabda: \”Sesungguhnya kelompok pertama yang memasuki syurga, wajah mereka bagaikan bulan purnama pada waktu malam, diikuti golongan yang bagaikan bintang yang terang sinarnya di langit.
Mereka ini tidak membuang air kecil dan besar, tidak berhingus dan tidak ada seorang pun meludah. Sisir rambut mereka diperbuat daripada emas, mengeluarkan peluh yang berbau harum seperti kasturi dan wangian mereka daripada kayu gaharu.
Pada saat itu isteri mereka dalam kalangan bidadari yang cantik jelita. Mereka memiliki akhlak yang satu iaitu semuanya baik, dan mempunyai bentuk tubuh badan seperti bapa mereka iaitu Nabi Adam, yang ketinggian mencecah 60 hasta menjulang ke langit.\” [HR Bukhari & Muslim].
- Bila sampai ke syurga, pintu-pintunya sedia terbuka menyambut ketibaan mereka. Kunci Syurga ini bukan susah tetapi tidak semua orang yang mampu mendapatkannya.
Sebagai hadis Rasulullah s.a.w ini, - Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأَ فَيَسْبِغُ اْلوُضُوْءَ ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةَ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ
\”Tidaklah salah seorang di antara kamu berwudhu\’ dengan menyempurnakan wudhu\’nya kemudian ia membaca doa ini:
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
Ertinya: \’Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya\’) kecuali dibuka baginya lapan pintu syurga untuk dia masuki dari mana saja yang dia mahu.\” [HR. Muslim].
Doa dan Baca selepas wudhu\’ yang panjang ada dalam Perisai Muslim. Semoga kita semua sudah hafaz dan amalkannya selalu.
- Kita dapat lihat di sini pintu syurga ada lapan, manakala pintu neraka ada tujuh, ini menunjukkan betapa rahmat Allah s.w.t itu lebih luas dari kemurkaan-Nya.
- Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
فِي الجَنَّةِ ثَمَانِيَةُ أبْوَابٍ، فِيهَا بَابٌ يُسَمَّى الرَّيَّانَ، لا يَدْخُلُهُ إلَّا الصَّائِمُونَ.
Maksudnya: \”Di dalam syurga terdapat lapan pintu. Di antara pintu-pintu tersebut ada pintu yang bernama Ar-Rayyan, yang tidak dapat masuk syurga melalui pintu tersebut kecuali orang-orang yang berpuasa\”. [HR. Bukhari]. - Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
\”Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada Hari Kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya, \”Siapa kamu?\”. Rasulullah menjawab, \”Aku Muhammad.\” Penjaga syurga berkata, \”Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu.\” Rasulullah menyebut lagi, \”Aku adalah Nabi yang paling ramai pengikut pada Hari Kiamat nanti dan sayalah orang pertama sekali akan mengetuk pintu syurga.\” [HR Muslim]. - Nabi s.a.w menyatakan luas pintu syurga sejauh Makkah dengan Hajar di Bahrain atau Makkah dengan Busra di Syam (Syria).
*Jarak Sekarang di antara Makkah dan Hajar iaitu lebih kurang 1,125 kilometer. Pintu yang luas ini jangan sampai kita tidak jumpa jalan untuk sampai kepadanya! - Penjaga syurga (خَزَنَتُهَا) mengalu-alukan kedatangan mereka dengan mengucapkan salam sejahtera (سَلَامٌ عَلَيْكُمْ) ke atas kamu penghuni syurga. Ini adalah salam penghormatan dari Allah dan para malaikat untuk ahli syurga!
- Malaikat juga sambut mereka masuk untuk tinggal kekal di dalamnya kerana amalan, perbuatan dan sifat mereka yang baik. Kekal selamanya tidak akan keluar lagi insya\’ Allah.
- Hadis Qantarah. Dari Abu Said Al-Khudri Rasulullah bersabda: \”Jika orang yang beriman telah melepasi neraka, mereka akan ditahan di suatu jambatan yang disebut Qantarah yang terletak antara syurga dan neraka, lalu di sana mereka akan diqisas (dibalas) atas kezaliman yang terjadi sesama mereka di dunia, sehingga apabila telah tidak ada lagi dosa barulah mereka diizinkan untuk memasuki syurga, dan demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh seorang dari mereka berada di tempat tinggalnya di syurga lebih aku kenal dari pada rumah mereka di dunia\”. [HR Bukhari].
- Ya Allah apabila kita bersemangat untuk ke syurga maka tingkatkanlah amalan ibadat kita, basahkan lidah kita dengan zikir, sebagaimana kata ulama\’:
Sebut nama Allah dapat pahala, sebut nama manusia dapat bala! - Tamatlah episod kisah kemasukan ahli syurga ke dalamnya.
AYAT 74- {SERTA MEREKA BERKATA: \”SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG TELAH MENEPATI JANJINYA KEPADA KAMI, DAN YANG MENJADIKAN KAMI MEWARISI BUMI SYURGA INI DENGAN SEBEBAS-BEBASNYA, KAMI BOLEH MENGAMBIL TEMPAT DARI SYURGA INI DI MANA SAHAJA KAMI SUKAI; MAKA PEMBERIAN YANG DEMIKIAN IALAH SEBAIK-BAIK BALASAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERAMAL\”.} (AZ-ZUMAR 39:74)
- Setelah berada di dalam syurga mereka mengucapkan alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menunaikan segala janji-Nya, yang membalas segala perbuatan dan amalan mereka, meninggalkan segala larangan Allah, sekarang janji telah ditepati! Mereka mewaris syurga dengan bebasnya.
- Firman Allah s.w.t: {Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: \”Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran\”. Dan mereka diseru: \”Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan\”.} (Al-A\’raaf 7:43).
- Firman Allah s.w.t: {Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.} (Maryam 19:63).
- Rasulullah s.a.w menafsirkan tentang ayat ini dalam hadisnya:
Hadis setiap orang telah disediakan dua tempat iaitu di syurga dan neraka. Maka mereka akan saling mewarisinya mengikut amalan dan perbuatan mereka di dunia ini.
والدليل على أن لكل منا منزلاً في الجنة ومنزلاً في النار قول الرسول صلى الله عليه وسلم: [ما منكم من أحد إلا له منزلان منزل في الجنة ومنزل في النار، فإذا مات ودخل النار ورث أهل الجنة منزله]، وذلك قوله تعالى: «أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ»، (رواه ابن ماجه وأورده الألباني في الأحاديث الصحيحة) - Pemberian itu adalah sebaik-baik balasan pahala bagi orang yang beramal! Ayat ini untuk menenang dan melapangkan dada kita untuk menjadi orang yang beriman dan bertaqwa.
AYAT 75- {DAN (PADA HARI ITU) ENGKAU AKAN MELIHAT MALAIKAT BEREDAR DI SEKELILING ARASY DENGAN BERTASBIH MEMUJI TUHAN MEREKA, SERTA MEREKA DIHAKIMI DENGAN ADIL; DAN (MASING-MASING BERSYUKUR AKAN KEPUTUSAN ITU DENGAN) MENGUCAPKAN: \”SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SELURUH ALAM!\”} (AZ-ZUMAR 39:75)
- Ayat ini adalah tentang sifat dan kedudukan malaikat di sisi Allah s.w.t.
- Malaikat itu bergerak beredar di sekeliling asrasy sambil mereka bertasbih menuji Allah s.w.t.
- Sama dengan firman Allah s.w.t: {Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): \”Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.} (Ghaafir 40:7)
- Semua makhluk Allah s.w.t itu samada manusia dan jin akan dihakimi dengan adil oleh Allah s.w.t, siapa yang layak ke syurga dan siapa yang layak ke neraka.
- Masing-masing bersyukur akan keputusan itu serta lidah mereka tidak putus dengan mengucapkan: \”Segala puji tertentu bagi Allah (الْحَمْدُ لِلَّهِ) Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!\”
Penutup/Beberapa Faedah Ringkas :
- Ayat 73- {Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan}- ayat ini menyatakan bahawa taqwa menjadi sebab untuk masuk syurga. Jelas Allah sebut dalam ayat ini.
Firman Allah s.w.t tentang sifat orang yang bertaqwa: {Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;} (A-li\’Imraan 3: 133-134)
Dalam ayat ini Allah sebut tentang nasib orang yang bertaqwa yang diiring ke syurga, manakala dalam ayat (71) sebelum ini tentang keadaan orang kafir, tetapi Allah tidak sebut tentang keadaan orang ketiga iaitu ahli maksiat iaitu mereka yang beriman tetapi melakukan dosa dan maksiat, adakala buat dosa, tinggal solat dan lain-lain.
Ini kerana mereka ini ada dua kumpulan;
i- ahli maksiat tetapi mereka telah bertaubat kembali kepada Allah, maka tiada masalah lagi.
ii- orang yang melakukan maksiat tetapi mereka beriman, mengikut ahli Sunnah wal jamaah, mereka ini berada di bawah kehendak Allah s.w.t, Allah nak maafkan akan dimaafkan. Jika dia bertaubat dimaafkan atau jika tidak akan dibalas dengan dicelup dalam neraka sekejap sehingga habis dosanya lalu dikeluarkan kembali.
iii- manakala ada satu golongan al-A\’raf iaitu golongan atas pagar; yang sama banyak antara amalan baik dan perbuatan buruknya, syurga tidak neraka tidak. Tetapi akhirnya mereka ini akan ke syurga juga!
- Ayat 73- {sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka}- pintu-pintu syurga sedia terbuka, manakala pintu neraka pula sentiasa tertutup, hanya dibuka apabila tiba ahlinya.
Ayat ini juga menjadi dalil bahawa syurga dan neraka:
i- ada pintu yang boleh ditutup dan dibuka,
ii- setiap pintu ada penjaganya (خَزَنَة) yang menjaganya serta;
iii- pintu syurga amat luas dan dapat dibuka dengan mudah sebagaimana hadis-hadis di atas.
- Ayat 73- {penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:\” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu,}- ini syurga itu adalah negeri yang baik, tidak akan masuk syurga kecuali orang yang baik-baik (طِبْتُمْ).
Manusia ini terbahagi kepada 3 golongan:
i- ada orang yang baik lansung tidak tercalar akhlaknya. Mukmin dan bertqwa.
ii- ada orang yang buruk akhlak lansung tiada kebaikan kerana dia kafir.
iii- ada orang yang yang bercampur-campur, dia tidak akan masuk syurga sebelum dibersihkan segala persoalannya. Mukmin tapi ada dosa dan silap.
*Tempat yang baik tidak akan dimasuki kecuali oleh orang yang baik!
- Ayat 74 – {maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal\”.}- Allah s.w.t kata itu adalah sebaik pembalasan atau upah (أَجْرُ). Kena disebut sebagai upah sedangkan memang menjadi kewajipan untuk kita untuk solat, puasa, sedekah dan lain-lain ibadat?
Diibaratkan pahala itu seolah upah, untuk menunjukkan janji dari Allah itu adalah benar, setiap perbuatan baik itu akan dibalas, diupah, diberi ganjaran baik bagi orang bekerja melakukan kebaikan (الْعَامِلِينَ).
- Ayat 75- {Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka,}- terdapat beberapa ayat lain lagi yang menunjukkan keadaan dan sifat malaikat begini.
Firman Allah s.w.t juga:
i- {Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.} (Al-Haaqqah 69:17)
ii- {Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman.} (Ghaafir 40:7)
Ayat-ayat ini menunjukkan betapa besarnya tugas para malaikat, malaikat itu juga besar jisimnya, mereka boleh pikul Arasy, mereka mengellilingi Arasy, dunia mereka adalah di langit, mereka hanya turun naik untuk melakukan tugas di bumi. Kerja mereka juga sentiasa bertasbih kepada Allah s.w.t. maka kita pun marilah perbanyakkan tasbih kepada Allah s.w.t.
Alhamdulillah tamatlah surah az-Zumar dengan 19 siri Kuliah.
Kita sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar menganugerahkan kepada kita kefahaman yang baik, kecintaan kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, suka kepada ilmu, mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang diiringi ke dalam syurga Allah!
Hidup dan matikan kami dengan al-Quran, dalam keredhaan-Mu ya Allah.