View Categories

SURAH FATHIR : AYAT 38-41

\"\"

ALLAH MENGETAHUI DALAM HATI MANUSIA, SYIRIK ADALAH PEGANGAN LEMAH & RAHMAT ALLAH MENAHAN LANGIT DARI RUNTUH.

Full video : https://youtu.be/w_HuP4A56f0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih lagi dalam perbicangan tanda kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t. Kali ini Allah s.w.t cerita tentang ilmu-Nya yang mengetahui semua perkara, yang di langit di bumi hatta di dalam hati manusia.
  2. Ayat ini munasabahnya selepas kita bincangkan dalam ayat yang lepas, tentang orang kafir yang sentiasa berada dalam azab walaupun tempoh mereka berada dalam kekufuran di atas dunia hanya sekejap, tetapi Akhirat yang kekal abadi tidak akan habis dan putus lagi.
  3. Maka jangan kata Allah s.w.t itu tidak adil, ini kerana Allah s.w.t mengetahui semua yang di langit dan di bumi dan apa yang tersembunyi dalam hati kamu samada kufur, nifaq atau riya\’! Allah tahu semua yang zahir dan yang batin.
  4. Ayat ini menjadi tanda besar kepada kita yang beriman agar sentiasa berwaspada, kepada amaran pembalasan, di Akhirat esok akan dikira dan dihitung semuanya kerana Allah s.w.t tahu segala yang kita lakukan hatta yang tersembunyi dalam hati!

AYAT 38- {SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI SEGALA RAHSIA DI LANGIT DAN DI BUMI; SESUNGGUHNYA IA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG TERKANDUNG DI DALAM DADA.} (FATHIR 35:38)

  1. Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui semua apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Dia tahu apa ghaib di langit dan di bumi apatah lagi yang zahir dan jelas.
  2. Dia Maha Mengetahui juga segala isi hati manusia. Dia mengetahui segala rahsia dan apa yang disembunyikan dalam dada berupa maksud baik dan buruk. Tetapi manusia tidak akan tahu apa yang ada dalam hati orang lain, jangan pandai-pandai menekanya, kecuali apa yang terzahir dari perangainya, terjelma oleh anggotanya.
  3. Sebagaimana kata ulama\’: \”Sebuah bekas itu akan mengeluarkan apa yang terkandung di dalamnya\”. Jika isi kandunganya jus, maka jus yang akan keluar, jika teh atau kopi yang ada, maka itu juga yang akan keluar!
    Begitu juga manusia itu, apa yang ada dalam hatinya akan terjelma dan terzahir melalui anggotanya- perbuatan dan perkataan! Maka bagi orang mukmin tiada istilah hati baik walaupun mulut jahat/busuk!
  4. Dengan pengetahuan-Nya ini Allah akan memberikan balasan masing-masing yang setimpal dengan perbuatan mereka, Allah s.w.t itu Maha Adil, luas ilmu-Nya. malaikat tidak akan salah catat, jangan cuba menafi dan mendakwa dizalimi pula! Itupun Allah s.w.t bagi peluang, setelah dibacakan suratan amalan seseorang itu, lalu ditanya jika ada bantahan, jika ada yang tidak kena! Allah s.w.t telah bagi tempoh dan peluang yang secukupnya!

AYAT 39- {DIA LAH YANG MENJADIKAN KAMU ORANG-ORANG YANG BERKUASA DI MUKA BUMI SILIH BERGANTI; OLEH ITU SESIAPA YANG KUFUR INGKAR MAKA BALASAN KUFURNYA ITU AKAN MENIMPA DIRINYA SENDIRI; DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR, KUFURNYA TIDAK MENAMBAHKAN MEREKA DI SISI TUHAN MEREKA MELAINKAN KEMURKAAN DAN KEHINAAN; DAN JUGA ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU, KUFURNYA TIDAK MENAMBAHKAN MEREKA MELAINKAN KERUGIAN JUA.} (FATHIR 35:39)

  1. Dialah yang menjadikan manusia khalifah-khalifah (خَلَائِفَ) di bumi. Iaitu suatu kaum menggantikan kaum yang lain sebelum mereka dan suatu generasi datang menggantikan generasi yang sebelumnya. Orang yang berkuasa dan silih berganti.
  2. Kalimah (خَلَائِفَ) ialah jamak (plural) kepada kalimah khalifah (خليفة) yang bermakna pengganti, untuk memakmurkan bumi ini. Jika ada juga yang buat kerosakan atas muka bumi ini samada dari segi perbuatan atau akidah maka itu adalah orang yang kufur dan tidak tunaikan tugasnya yang dilantik Allah s.w.t.
  3. Ada ulama\’ menegur; Jangan salah guna kata; \”Kita manusia sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini!\” Ini kerana kita hanya khalifah saja, Allah tak kata Khalifah-Nya. Allah lantik kita sebagai khalifah (pengganti) bagi manusia yang sebelumnya yang telah tiada!
  4. Allah menjadikan nikmat kuasa kepada kita di atas muka bumi ini untuk disyukuri!
  5. Maka sesiapa yang kafir kepada Allah, maka akibat kekafirannya menimpa dirinya sendiri. Iaitu dosa dan hukuman dari perbuatan kafirnya itu akan memudharatkan dirinya sendiri, bukan orang lain.
  6. Bahkan perbuatan mereka itu akan menambah kemurkaan Allah s.w.t ke atas mereka. Serta mereka mendapat kehinaan di sisi Allah dan di sisi manusia. Selama mereka masih hidup tetapi kafir, mereka merugikan dirinya sendiri di hari kiamat.
  7. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat): \”Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana) semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan kufur\”.} [Ghafir: 10].

AYAT 40- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SUDAHKAH KAMU MENGETAHUI KEKUASAAN DAN KELAYAKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU JADIKAN SEKUTU-SEKUTU, YANG KAMU SERU DAN SEMBAH SELAIN ALLAH? TUNJUKKANLAH KEPADAKU APA YANG MEREKA TELAH CIPTAKAN DARI BAHAGIAN BUMI INI?. ATAU ADAKAH MEREKA MEMPUNYAI SEBARANG PERKONGSIAN (DENGAN ALLAH) DALAM MENCIPTA DAN MENGURUSKAN LANGIT? ATAU PERNAHKAH KAMI MEMBERI MEREKA SEBUAH KITAB (MENGAKUI MEREKA MENJADI KONGSI KAMI), MAKA (DENGAN ITU MENJADILAH) PERKONGSIAN MEREKA BERDASARKAN KETERANGAN YANG TERDAPAT DARI KITAB ITU? \”(TIDAK ADA SESUATU ALASAN PUN) BAHKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU, TERPEDAYA DENGAN KATA-KATA YANG DISEBUTKAN OLEH SETENGAHNYA KEPADA YANG LAIN, KATA-KATA YANG HANYA MENJANJIKAN PERKARA YANG TIDAK BENAR.} (FATHIR 35:40)

  1. Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bertanya kepada orang-orang musyrik dengan 3 perkara ini:
    i- \”Terangkanlah kepadaku tentang sekutu-sekutu kamu yang kamu seru selain Allah.\” Iaitu berhala-berhala dan sekutu-sekutu yang kamu sembah-sembah selain Allah. Adakah mereka memang berhak disembah dan diminta?

ii- Atau adakah mereka mempunyai saham atau peranan dalam penciptaan langit? Tentu orang-orang musyrik akan mengatakan, bahawa sekutu-sekutu mereka itu tidak memiliki peranan apa-apa terhadap penciptaan langit apalagi mengaturnya.

iii- Atau adakah Kami memberi kepada mereka sebuah kitab? Iaitu kitab yang menyuruh dan menyokong mereka berbuat syirik, dan menyembah patung dan berhala.

  1. Ayat ini memberikan hujjah-hujjah yang menunjukkan perbuatan syirik itu bukan sesuatu yang benar dan diterima oleh Allah s.w.t. Mereka hanyalah satu golongan yang terpedaya. Mereka hanya semata-mata mengikuti hawa nafsu, angan-angan dan pendapat mereka sendiri, padahal kenyataanya adalah pendustaan, kebatilan dan kepalsuan belaka.
  2. Kata Qurtubi: Orang-orang zalim itu (kufur dan syirik), sebahagian mereka hanya menjanjikan tipu-daya belaka kepada sebahagian yang lain. Iaitu ketua-ketua menjanjikan kepada pengikutnya bahawa apa yang mereka buat dan sembah itu dapat memberi syafaat.
  3. Seperti manusia hari ini, yang mahu buat amal ibadat, masih lagi mencari-cari amalan yang ada bantahan, yang ada khilaf, sedangkan yang sahih solid 100% dari Rasulullah s.a.w sudah ada dan jelas, tetapi kurang diterima.

AYAT 41- {SESUNGGUHNYA ALLAH MENAHAN DAN MEMELIHARA LANGIT DAN BUMI SUPAYA TIDAK BERGANJAK DARI PERATURAN DAN KEADAAN YANG DITETAPKAN BAGINYA; DAN JIKA KEDUANYA (DITAKDIRKAN) BERGANJAK MAKA TIDAK ADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MENAHANNYA DARIPADA BERLAKU DEMIKIAN SELAIN DARI ALLAH. SESUNGGUHNYA IA MAHA PENYABAR, LAGI MAHA PENGAMPUN.} (FATHIR 35:41)

  1. Ayat ini menunjukkan kekuasaan dan rahmat Allah s.w.t ke atas kita manusia.
  2. Firman Allah s.w.t: {Hampir-hampir langit pecah darinya dan terbelah bumi dan tersungkur gunung-gunung runtuh. Kerana mereka menganggap bagi Ar Rahman anak.} [Maryam 90-91].
  3. Yakni dengan sebab kemurkaan-Nya, Allah s.w.t boleh menghancur atau meruntuhkan langit untuk menimpa ke atas manusia, atau untuk memerintahkan bumi untuk menelan mereka yang syirik dan kufur ini. Tetapi tetapi keampunan-Nya begitu luas sehingga meliputi mereka, begitu juga kesabaran-Nya dan kepemurahan-Nya.
  4. Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi agar tidak berganjak, iaitu agar tidak bergeser dari tempatnya masing-masing. Kekuasaan-Nya Maha Besar, dengan kekuasaan-Nya itulah langit dan bumi berdiri tegak dengan izin-Nya.
  5. Jika keduanya akan lenyap, tidak ada seorang pun yang mampu menahannya selain Allah. Tiada yang dapat mempertahankan keutuhan keduanya selain Dia. Allah s.w.t. menetapkan agar langit dan bumi tetap ada agar menjadi tempat bagi makhluk-Nya, memberi manfaat dan memberi pelajaran agar mereka mengetahui sebahagian dari besarnya kekuasaan-Nya dan kekuatan-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 38- {Sesungguhnya Ia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.}- ulama\’ membincangkan dimanakah hati/dada (الصُّدُورِ) itu berada? Jawapannya ialah hati nurani (jiwa perasaan) bukan hati/jantung organ dalaman manusia itu!
    Allah s.w.t berfirman: {Tetapi yang buta itu ialah mata hati (الْقُلُوبُ) yang ada di dalam dada (الصُّدُورِ).} (Al-Hajj 22:46)

Isyarat bahawa pangkalan baik-buruk kita itu berada dalam hati. Bila tunjuk semua orang tunjuk ke dada, hatta dalam hadis pun ada Rasulullah s.a.w bersabda iman itu di sini sambil menunjukkan kepada dadanya!

Ayat ini juga menjadi amaran keras agar apa yang kita sembunyikan dalam hati kita dengan apa yang kita zahirkan biarlah sama! Jangan di luar beriman atau baik tetapi dalam hati kufur seperti golongan munafiq! Atau bagi orang yang beriman di dalam hati riya\’, takabbur, mencari glamour dan sebagainya. Ingat Allah s.w.t suluh dan tahu semua yang ada dalam hati kita!
Maka sentiasalah jaga, bersihkan dan gilap hati kita daripada segala perkara buruk dan sifat yang tidak baik!

Untuk meluaskan bacaan boleh lihat: http://www.dartaibah.com/…
Serta banyak lagi buku-buku motivasi keimanan.

  1. Ayat 39- {Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti;} – ayat ini menjadi khabar gembira kepada orang mukmin dan amaran kepada orang kafir! Ini kerana yang dominan dan berkuasa atas muka bumi ini sepanjang zaman adalah puak kafir! Bermula dari zaman Nuh, Musa dan sehingga zaman kita ini ada kuasa-kuasa besar yang bukan Islam. Tetapi dalam ayat ini Allah s.w.t janjikan bahawa kita pada suatu masa akan menjadi orang yang berkuasa untuk memakmurkan bumi ini dengan Syari\’ah Allah s.w.t.

Tetapi malangnya orang muslim ini apabila mendapat kuasa sombong lupa daratan dan berbalah sesama sendiri, tidak bersatu dan bekerjasama sesama Islam. Banyak sudah yang berlaku dalam sejarah umat dan negara Islam hari ini!

  1. Ayat 41- {Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi}- Allah s.w.t yang jaga & pegang langit dan bumi ini bergerak atas paksinya supaya tidak hilang dan rosak. Ini kerana Allah s.w.t masih lagi letak masa dan tempohnya bagi langit bumi, matahari bintang dan bulan untuk bergerak silih berganti keluarnya. Apabila tiba hari Kiamat maka semuanya akan musnah hancur dan huru-hara! Maka ketika itu pintu taubat akan ditutup.
    Maka marilah kita segera bertaubat kembali kepada Allah s.w.t semasa pintu taubat masih terbuka ini!
  2. Ayat 40- {bahkan orang-orang yang zalim itu, terpedaya dengan kata-kata yang disebutkan oleh setengahnya kepada yang lain, kata-kata yang hanya menjanjikan perkara yang tidak benar.}- puak kafir dan zalim itu sesama mereka saling tipu-menipu dan memperdaya! Ayat ini memberi peringatan agar kita jangan berangan-angan saja dengan Allah s.w.t. Nak ke syurga dan nak jadi orang baik dan soleh, kena ikut jalannya, buat amal ibadat kena belajar cara yang benar dan sahih jangan tersilap lorong, jika tidak kita akan terpedaya! Ada orang yang sudah mahu kembali tetapi silap pilih jalan tidak ikut yang Sunnah pula!

Kita juga kena tau bezakan antara angan-angan & cita-cita. Cita-cita kita akan buat dan usaha untuk mencapainya, manakala orang yang terpedaya akan banyak angan-angannya.
Kata ulama\’: Sunnah itu umpama bahtera Nabi Nuh a.s, siapa yang naik ke atasnya akan selamat, siapa yang di bawah akan musnah!

  1. Ayat 39- {Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti;} – umat manusia ini silih berganti antara generasi ke generasi yang seterusnya. Orang ni lahir orang ni mati, tukar shift, jika tidak pasti penuh dan limpah bumi ini dengan penduduknya, tiada tempat lagi untuk kita. Manusia yang dapat kuasa pula ada yang amanah dan memakmurkan bumi ini, ada juga yang khianat dan melakukakan kerosakan dan kezaliman di atas bumi ini! Ya Allah kurniakanlah kepada kami pemimpin yang baik! Tetapi ingat untuk mendapat pemimpin yang baik, kita kena jadi rakyat yang baik juga! Nak anak jadi baik, kita sebagai ibu bapa lebih dahulu kena jadi baik!
  2. Ayat 39- {dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; } – kaedah kata bahawa hukum yang diikat dengan satu sifat, ia akan bertambah dengan bertambahnya sifat itu. Seperti orang kafir- lagi banyak kekufuran dan perbuatan jahat; lagi Allah s.w.t murka dan jauh dari-Nya. Sebaliknya orang beriman pula, lagi banyak kebaikan dan amal ibadat; lagi dekat kita dengan Allah s.w.t. Untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t jaga yang fardhu serta tambah yang sunatntya juga. Allah s.w.t amat menyukai orang yang banyak ibadat sunatnya.
  3. Ayat 40- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku apa yang mereka telah………} – al-Quran ini penuh dengan uslub munazarah (gaya perdebatan) yang hebat. Dalam ayat ini Allah s.w.t cabar orang kafir dengan 3 perkara, hujjah yang mereka tidak dapat jawab dan nafikan!
    i- adakah sekutu yang mereka sembah itu terlibat dalam penciptaan bumi?
    ii- adakah mereka terlibat dalam penciptaan langit?
    iii- adakah bagi mereka Kitab untuk beramal dan berhukum dengannya?
    Maka terserlah kebatilan dan kepalsuan perbuatan mereka yang syirik itu!
    Jangan mudah percaya kepada ramalan dan tilik nasib yang boleh membawa kepada syirik.
  4. Jangan suka menyebar berita yang tak pasti, yang boleh menyebabkan orang menjadi lemah semangat.
  5. Ayat 40- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu-sekutu, yang kamu seru dan sembah selain Allah? Tunjukkanlah kepadaku…}- ayat ini sekaligus meremeh, melemah dan meruntuhkan pegangan orang kafir itu! Tetapi mereka biasanya akan pusing pula hujjah mereka. Hatta kita orang Islam jagalah tauhid yang murni, jangan dicampur-adukkan dengan yang pelik-pelik!
    Tetapi yang pelik dan karut itulah orang suka! Ditakuti benda khurafat itu akan membawa kepada tingkat syirik pula!
  6. Ayat 41- {Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak..}- Allah s.w.t tahan kemarahan dan kemurkaannya walaupun mereka melakukan kekufuran dan kesyirikan yang nyata di atas muka bumi ini! Ada yang mendakwa Allah s.w.t ada anak dan seumpamanya. Betapa banyak peluang yang Allah s.w.t berikan kepada manusia, mudah-mudahan mereka insaf, tinggalkan maksiat dan mungkar, kembali kepada Allah s.w.t.
  7. Ayat 41- { Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.}- ayat ini membawa sebab kenapa Allah s.w.t tidak buat semua itu, iaitu pecahkan langit dan bumi akibat kemurkaan-Nya? Ini kerana {Sesungguhnya Ia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.} Dengan dua sifat-Nya ini Dia memberikan masa tangguh dan tempoh bagi mereka untuk bertaubat, dan Dia tidak segera mengazab mereka. manusia diberi peluang untuk kembali kepada Allah, kembali kepada al-Quran, kembali kepada ajaran Rasulullah s.a.w!

Powered by BetterDocs