View Categories

SURAH FUSSILAT : AYAT 13-18

\"\"

ANCAMAN KEPADA KAFIR YANG TIDAK MAHU BERIMAN, DAKWAH TAUHID PARA RASUL & KEBINASAAN KAUM AD DAN THAMUD.

Full video : https://youtu.be/_w89ToOXx38

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memberi ancaman kepada orang kafir yang keras kepala, ingkar tidak mahu beriman. Mereka akan binasa seperti kaum terdahulu.
  2. Semua nabi dan rasul a.s dakwah mereka ialah tauhid kepada Allah s.w.t.
  3. Kemudian Allah s.w.t bawa contoh tentang kebinasaan dua kaum iaitu Ad dan Thamud. Ini sebagai peringatan dan amaran agar jangan berani melawan Islam, jangan berani melawan apa yang dibawa oleh para rasul dan nabi. Terutamanya khas bagi umat ini jangan melawan Rasulullah s.a.w.
  4. Munasabah ayat:
    i- dari ayat 6, Allah sudah jelaskan bahawa Tuhan kamu yang Esa,

ii- kemudian ayat 9; adakah kamu tetap nak kafir juga dengan Allah yang mencipta langit dan bumi,

iii- kemudian jika masih degil keras kepala juga, dibawa ayat 13 ini, amaran terakhir. Yakni setelah selesai hujjah dengan dalil dan bukti, mereka menolak & ingkar juga, maka diberi amaran keras!

  1. Dalam ayat ke 9 Allah s.w.t nyatakan bahawa Dia mencipta bumi dan apa yang ada di atasnya dalam 4 masa.
    Kemudian Allah s.w.t cipta langit pula dalam dua masa kemudian bersemayam atas Arasy-Nya.

Tetapi kenapa firman Allah s.w.t dalam ayat ini menunjukkan seolah langit yang dicipta dulu sebelum bumi??:

Firman Allah s.w.t: {Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang.Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), } (An-Naazi\’aat: 29-30)

Maka timbul persoalan yang mana dicipta dulu, langit atau bumi?

Jawapan: Kata ulama\’ Tafsir; Allah s.w.t cipta bumi dulu kemudian baru dicipta langit. Setelah itu kembali ke bumi untuk dihamparkan iaitu dicipta kelengkapan yang perlu di atasnya seperti bukit-bukau, pokok-pokok, sungai dan lautan selepas itu.

Ini kerana dalam ayat 30 itu Allah kata dia hampar (دَحَاهَا) bumi selepas itu, bukan dicipta (خلقها), kerana bumi sudah dicipta dulu sebelum langit cuma belum disempurnakan kelengkapan yang ada di atasnya seperti bukit-bukau, laut-sungai, tumbuhan dan sebagainya.

Ditafsirkan maksud dihampar (دَحَاهَا) dengan ayat seterusnya iaitu ayat 31 Allah berfirman pula:
{Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya;} (An-Naazi\’aat 79:31) – yakni bumi sudah dicipta sebelum langit cuma belum dihiasi/dihampari dengan hiasan dan kelengkapannya.

Inilah jamak (dikumpulkan) ayat-ayat dan ditafsirkan oleh Ibnu Abbas r.a. maka tiada percanggahan dalam ayat itu antara satu sama lainnya.

ii- ada juga pendapat kedua yang mengatakan ia dicipta bersama atau serta. Tetapi kita pilih pendapat yang pertama.

AYAT 13- {OLEH ITU, KALAU MEREKA (YANG MUSYRIK) BERPALING (DARIPADA MENGESAKAN ALLAH DAN MENURUT JALAN YANG LURUS), MAKA KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AKU MEMBERI AMARAN KEPADA KAMU DENGAN (AZAB YANG DAHSYAT, IAITU) PETIR, SEPERTI PETIR YANG TELAH MENYAMBAR KAUM AAD DAN KAUM THAMUD!\”} (FUSSILAT 41:13)

  1. Allah s.w.t peringatkan kepada puak kafir musyrikin yang syirik yang ingkar berpaling dari mengikut jalan yang lurus, lalu mereka diberi amaran yang keras akan dibinasakan juga seperti kaum yang terdahulu.
  2. Iaitu kaum Ad dan kaum Thamud yang telah dibinasakan dengan petir dan angin kencang. Kesannya masih ada dan dapat mereka lihat dalam perjalanan kafilah perdagangan mereka ke Yaman dan ke Syam setiap tahun.
  3. Amaran keras ini adalah cara untuk mengubati orang yang degil dan keras kepala; setelah diberi nasihat, dakwah, peringatan secara dalil dan hujjah yang jelas.

AYAT 14- {(MEREKA DITIMPA AZAB ITU) KERANA SEMASA MEREKA DIDATANGI RASUL-RASUL (MEMBERIKAN BERBAGAI PENJELASAN) MENGENAI KEADAAN HIDUP MEREKA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT (SAMBIL MELARANG MEREKA): \”JANGANLAH KAMU MENYEMBAH MELAINKAN ALLAH\”, MEREKA MENJAWAB: \”JIKA TUHAN KAMI HENDAK (MENGUTUS RASUL-RASUL) TENTULAH IA AKAN MENURUNKAN MALAIKAT; OLEH ITU SESUNGGUHNYA KAMI KUFUR INGKAR AKAN APA YANG (KAMU KATAKAN): KAMU DIUTUS MEMBAWANYA!\”} (FUSSILAT 41:14)

  1. Azab itu tidak datang tiba-tiba, mereka ditimpa azan selepas mereka telah didatangi oleh para rasul yang diutus untuk mengajar dan berdakwah kepada mereka tentang hidup dunia dan akhirat. Juga supaya mereka hanya menyembah Allah yang Esa tanpa menyekutukan-Nya.
  2. Mereka mendustakan para rasul itu dan menjawab jika benar Allah mahu mengutus rasul pasti Allah akan hantar malaikat, bukan manusia seperti kamu!
  3. Dengan terang-terangan mereka berkata: Kami kufur dan ingkar dengan apa yang kamu bawa ini! Kami tidak percaya dan tidak akan ikut kamu, manusia biasa seperti kami juga!
  4. Terdapat beberapa huraian tentang ayat dalam firman Allah s.w.t yang lain.
    i- {Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: \”Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?\”} (Al-A\’raaf 7:65)

ii- {Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: \”Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-A\’raaf 7:73)

iii- {Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): \”Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.} (Al-Mu\’minuun 23:24)

AYAT 15- {ADAPUN KAUM AAD, MAKA MEREKA BERLAKU SOMBONG TAKBUR DI MUKA BUMI DENGAN TIADA SEBARANG ALASAN YANG BENAR, SERTA BERKATA: \”SIAPAKAH YANG LEBIH KUAT DARI KAMI?\” DAN (MENGAPA MEREKA BERSIKAP DEMIKIAN?) TIDAKKAH MEREKA MEMERHATIKAN BAHAWA ALLAH YANG MENCIPTAKAN MEREKA (DARI TIADA KEPADA ADA) ADALAH LEBIH BESAR KEKUATANNYA DARI MEREKA? DAN SEMEMANGNYA MEREKA SENGAJA MENGINGKARI TANDA-TANDA KEKUATAN KAMI (SEDANG MEREKA SEDIA MENGETAHUINYA).} (FUSSILAT 41:15)

  1. Dalam ayat ini diceritakan tentang kaum Ad, iaitu kaum Nabi Hud a.s. Tempat mereka adalah di Yaman lama sekarang ini.
  2. Mereka ini sombong dan takabbur kerana mereka adalah satu kaum yang kuat samada dari segi jisim atau kemajuan teknologi. Mereka mencabar dengan angkuh: Siapakah yang lebih kuat daripada kami?
  3. Kenapakah mereka bersikap begitu sedangkan sudah dibawa bukti-bukti dan dalil akan kekuasaan dan keesaan Allah s.w.t yang mencipta mereka dari tiada kepada ada, serta pemciptaan langit dan bumi yang lebih besar daripada mereka!
  4. Sebenarnya mereka sedia mengetahuinya akan kekuasaan Allah s.w.t tetapi sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan dan kekuasaan Allah s.w.t! Lalu tunggu dan terimalah akibatnya!

AYAT 16- {LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA ANGIN RIBUT YANG KENCANG DALAM BEBERAPA HARI YANG NAHAS MALANG, KERANA KAMI HENDAK MERASAKAN MEREKA AZAB SEKSA YANG MENGHINA DALAM KEHIDUPAN DUNIA; DAN SESUNGGUHNYA AZAB SEKSA HARI AKHIRAT LEBIH BESAR KEHINAANNYA; SEDANG MEREKA TIDAK DIBERIKAN PERTOLONGAN (MENGHINDARKAN AZAB ITU).} (FUSSILAT 41:16)

  1. Allah s.w.t hantarkan kepada mereka satu azab melalui angin kencang yang kuat dan mengerikan bunyinya! (رِيحًا صَرْصَرًا) Ini kerana mereka tinggal dalam bangunan tinggi di atas bukit maka bencana jenis sesuai untuk menyerang mereka.
  2. Itulah hari yang berlakunya nahas dan malang (أَيَّامٍ نَحِسَاتٍ) ke atas mereka yang ingkar itu! Mereka mendapat azab siksa yang menghinakan tetapi azab dan kehinaan di Akhirat bagi mereka lebih besar lagi kelak!
  3. Tiada siapa yang akan dapat menolong mereka untuk menghindarkan azab itu samada di dunia atau di Akhirat.

AYAT 17- {ADAPUN KAUM THAMUD, MAKA KAMI BERI PETUNJUK KEPADANYA, LALU MEREKA MENGUTAMAKAN KESESATAN DARI HIDAYAH PETUNJUK; MEREKA PUN DISAMBAR OLEH PETIR AZAB YANG MENGHINA DENGAN SEBAB APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (FUSSILAT 41:17)

  1. Kaum Thamud pula adalah kaum Nabi Soleh, mereka telah diberi hidayah petunjuk yang dibawa oleh rasul mereka, tetapi mereka menolaknya kerana memilih dan mengutamakan kesesatan, tidak mahu meninggalkannya untuk beriman kepada Allah s.w.t!
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatkanlah peristiwa kebinasaan) Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Soleh); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas-bekas tempat kediaman mereka; dan (kebinasaan mereka yang demikian ialah disebabkan) Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang-orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah).} (Al-\’Ankabuut 29:38)
  3. Lalu akibat kekufuran mereka itu, Allah s.w.t hantar azab yang berupa tempikan suara yang dahsyat dan mengerikan. Ini kerana mereka tinggal di dalam bukit yang dipahat menjadi rumah, lalu sesuailah azab ini dengan mereka.
  4. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami hantarkan kepada mereka satu pekikan (yang dahsyat), lalu menjadilah mereka (hancur) seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, yang dikumpulkan oleh pemilik kandang binatang ternak.} (Al-Qamar 54:31)

AYAT 18- {DAN KAMI SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA MEREKA TETAP BERTAQWA.} (FUSSILAT 41:18)

  1. Maka untuk menjadi orang selamat kamu hendaklah menjadi orang yang beriman, beramal soleh dan bertaqwa kepada Allah s.w.t, menjauhi syirik dan kesesatan.
  2. Jika tidak kamu akan binasa sebagaimana kaum yang terdahulu!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 13- {Oleh itu, kalau mereka (yang musyrik) berpaling (daripada mengesakan Allah dan menurut jalan yang lurus), maka katakanlah (wahai Muhammad): \”Aku memberi amaran kepada kamu dengan (azab yang dahsyat,…}- timbul persoalan; bagaimana Rasulullah s.a.w sebagai seorang nabi harus memberi amaran kepada kaum Quraisy satu azab dahsyat yang telah berlaku kepada orang dahulu sedangkan tidak berlaku kebinasan kepada umat Baginda s.a.w di atas dunia ini sebagaimana kebinasaan umat dahulu.

Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).} (Al-Anfaal 8:33)

Jawapan:
i- surah al-Anfal itu adalah Madaniyyah yang turun di Madinah selepas hijrah, manakala surah Fussilaat adalah surah Makkiyyah, ia adalah amaran Rasulullah s.a.w kepada kaum Quraisy di Makkah yang berbalah dengannya.

ii- kerana kaum Quraisy ini pengembara yang melalui kawasan Ad dan Thamud mereka kenal dan tahu apa yang berlaku ke atas kaum Ad dan Thamud yang telah binasa. Ini sebagai kias dan bandingan dengan apa yang mereka tahu dan kenal. Kaum Quraisy ini tahu tentang kebinasaan dua kaum ini maka Rasulullah s.a.w beri contoh ini kepada mereka.

  1. Ayat 14- {(Mereka ditimpa azab itu) kerana semasa mereka didatangi Rasul-rasul (memberikan berbagai penjelasan) mengenai keadaan hidup mereka di dunia dan di akhirat (sambil melarang mereka): \”Janganlah kamu menyembah melainkan Allah\”}- para rasul itu semuanya. dakwahnya satu saja iaitu merealisasikan tauhid dalam kehidupan manusia.
    Maka semua kita, para pendakwah dan sesiapa saja wajib membawa dakwah tauhid mengesakan Allah s.w.t, tauhid yang suci murni, tanpa syubah dan keraguan. Maka para pendakwah habiskan masa dan tenaga kamu kepada mengangkat Sunnah Nabi s.a.w. bukan kepada ajaran lain yang belum tentu sahihnya atau memang terbukti sesat!

Hadis Rasulullah s.a.w:
Tiga kumpulan yang sangat dibenci oleh Allah s.w.t:

أَبْغَضُ النَّاسِ إلى اللَّهِ ثَلاثَةٌ: مُلْحِدٌ في الحَرَمِ، ومُبْتَغٍ في الإسْلامِ سُنَّةَ الجاهِلِيَّةِ، ومُطَّلِبُ دَمِ امْرِئٍ بغيرِ حَقٍّ لِيُهَرِيقَ دَمَهُ. الراوي: عبدالله بن عباس. المحدث :البخاري

Maksudnya: \”Manusia yang sangat dimurkai oleh Allah ada 3 golongan:
1- Orang yang melakukan ilhad – kejahatan di tanah haram.
2- Orang yang ingin menghidupkan kembali budaya jahiliyah yang telah dihapuskan oleh ulama\’ Islam.
3- Orang yang ingin membunuh orang yang yang tidak bersalah\”.
[HR Bukhari No. 6882]

*Oleh itu jangan sesekali ingin membenar atau menghidupkan semula amalan yang telah diputuskan sebagai jahiliyah yang menyeleweng dari landasan Islam. Besar sekali dosa dan keburukannya.

  1. Ayat 14- {Mereka menjawab: \”Jika Tuhan kami hendak (mengutus Rasul-rasul) tentulah Ia akan menurunkan malaikat;}- ayat ini menunjukkan puak kafir ini walaupun mereka syirik mereka tahu dan kenal malaikat. Allah sebut tentang kaum Ad, Thamud dan Nuh yang kenal malaikat.

Firman Allah s.w.t: {Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): \”Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi Rasul-Nya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.} (Al-Mu\’minuun 23:24)

Syubhah atau keraguan ini turun-temurun menjadi dakwaan puak kafir, bahkan mereka mengatakan malaikat itu anak perempuan Tuhan. Mereka tahu tetapi mereka tidak beriman.

  1. Ayat 15- {Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar,}- ayat ini menunjukkan bahawa mereka itu sombong tanpa hak, takabbur tanpa kebenaran, semata-mata keras kepala tanpa maklumat dan hujjah yang jelas.

Begitulah manusia yang sombong, mereka menolak kebenaran tanpa hak, takabbur tanpa hujjah dan maklumat yang jelas dan mantap. Jika ada hujjah yang jelas dan sahih untuk menolak sesuatu bukan satu penderhakaan bahkan menegak kebenaran.

  1. Ayat 17- {Adapun kaum Thamud, …. mereka pun disambar oleh petir azab yang menghina dengan sebab apa yang mereka telah lakukan.}- Allah s.w.t telah menyebut tentang jenis azab yang dikenakan ke atas kaum Thamud ini dengan beberapa ibarat dan jenis:

Firman Allah s.w.t tentang binasanya kaum Thamud dalam beberapa bentuk azabnya:
i- dalam ayat (17) ini dibinasakan dengan petir yang kuat (فَأَخَذَتْهُمْ صَاعِقَةُ).

ii- {Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.} (Az-Zaariyaat 51:44) (الصَّاعِقَةُ)

iii- {Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.} (Hud 11:67) ()- letusan suara (الصَّيْحَةُ).

iv- { Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.} (Al-A\’raaf 7:78). Gempa bumi (الرَّجْفَةُ).

v- Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya.} (An-Naml 27:51) hancurkan (دَمَّرْنَاهُمْ).

vi- { Maka (masing-masing menerima azab dunianya) – adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya.} (Al-Haaqqah 69:5) petir yang dahsyat (بِالطَّاغِيَةِ).

vii- {(Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).} (Asy-Syams 91:14) musnahkan-(فَدَمْدَمَ)

viii- {Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana). Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan.} (Asy-Syu\’araa\’: 157-158). Azab yang membinasakan (الْعَذَابُ).

Kata para ulama\’: Ibarat ini walaupun banyak, semuanya merujuk kepada satu saja iaitu Allah s.w.t hantar azab, dengan cara satu letusan suara yang kuat seperti petir yang menggoncangkan bumi dan azab yang membinasakan.

Allah s.w.t juga nyatakan bahawa mereka binasa dengan sebab usaha mereka, perbuatan itu baik atau jahat dianggap sebagai usaha. Maka jika tidak mahu binasa jangan berusaha melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah s.w.t, mudah-mudahan kita selamat insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs