TANDA QUDRAT ALLAH MENCIPTAKAN MALAM, SIANG, MATAHARI DAN BULAN; LARANGAN SUJUD KEPADA MAKHLUK SELAIN ALLAH & KUASA ALLAH MENGHIDUPKAN BENDA MATI.
Full video : https://youtu.be/P5OVvq9NvYc
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini kita ada sujud tilawah/sejadah pada ayat 38. Sebagai mengikut Sunnah Nabi s.a.w, kita akan sujud. Maka bersedialah untuk sujud, jika ditinggalkan adalah rugi kerana tak dapat pahala.
- Dalam ayat-ayat ini Allah s.w.t menunjukkan dalil kekuasaan dan keEsaan Allah s.w.t di atas dan di bawah, iaitu kejadian malam & siang serta matahari & bulan.
- Allah s.w.t juga membawa dalil agar jangan sujud kepada makhluk yang Allah cipta tetapi sujudlah kepada Allah Pencipta iaitu al-Khaliq.
- Dibawa bukti kekuasaan Allah s.w.t di atas seperti langit, bulan, matahari dan lain-lain. Kemudian bumi ini dan apa yang ada di atasnya seperti bukit-bukau, tumbuhan dan semuanya.
- Semua ini untuk menzahirkan dalil dan bukti tentang Kuasa Allah Menghidupkan semula manusia yang mati apabila tiba masanya. Serta untuk menguatkan dalil-dalil atas kewujudan Allah s.w.t, keEsaaan dan kekuasaan-Nya, alhamdulillah.
- Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menjelaskan bahawa sebaik perkataan dan perbuatan itu adalah berdakwah mengajak manusia kembali kepada Allah, mengabdikan diri dan menyembah Allah.
Kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t tunjukkan dalil-dalil di atas (العلوية) dan di bawah (السفلية) yang menunjukkan kepada kuasa Allah yang sangat besar dan hikmah penciptaan yang cukup teliti.
Maka menjadi satu hujjah yang mantap bahawa dakwah yang kita bawa ini ialah untuk menguatkan dalil-dalil ke atas wujudnya Allah s.w.t, keEsaan dan kekuasaan-Nya serta sifat-Nya yang Maha Tinggi. Dakwah kita ialah kepada Allah, bukan untuk orang taksub dan ikut kita saja.
- Ayat ini menunjukkan betapa indahnya susunan ayat al-Quran ini. Sepatutnya inilah kita tadabbur dan belajar supaya kita memahami bahawa Allah turunkan al-Quran ini sebagai kitab petunjuk dan garis panduan kepada makhluk-Nya.
AYAT 37- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA KEKUASAANNYA IALAH MALAM DAN SIANG, SERTA MATAHARI DAN BULAN. JANGANLAH KAMU SUJUD KEPADA MATAHARI DAN JANGANLAH PULA SUJUD KEPADA BULAN, DAN SEBALIKNYA HENDAKLAH KAMU SUJUD KEPADA ALLAH YANG MENCIPTAKANNYA, KALAU BETULLAH KAMU HANYA BERIBADAT KEPADA ALLAH.} (FUSSILAT 41:37)
- Allah nyatakan bahawa antara tanda-tanda kekuasaan dan keagungan-Nya ialah;
i-silih bergantinya malam dan siang, bertukar ganti cerah dan gelap. Tidak pernah berhenti sejak kejadian bumi dulu.
ii- serta matahari dan bulan yang sentiasa bergerak dengan teratur, berterusan tidak pernah terlanggar. Atas landasan dan paksi masing-masing tanpa tersalah. Semua ini Allah buat untuk manfaat manusia bagi orang yang berfikir.
- Ayat ini ditafsir oleh firman Allah s.w.t ini:
{Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.} (Al-Israa\’ 17:12). - Rasulullah S.A.W bersabda: \”Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda-tanda kekuasaan Allah.
Allah menakutkan hamba-hambaNya dengan perubahan matahari dan bulan, dan matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan mati seseorang dari kalangan manusia, maka apabila kamu melihat berlakunya suasana (gerhana), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan kelihatan semula bagi kamu,\” [HR Bukhari & Muslim]. - Jelas Allah s.w.t melarang dalam ayat ini: {Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya.} Begitu juga kepada semua makhluk lain yang semuanya adalah ciptaan Allah Azza wa Jalla.
- Barulah kamu benar-benar dan betul-betul beriman dan beribadat kepada Allah s.w.t! Jangan berani-berani sembah atau hormat kepada sesama makhluk seperti tok-tok guru atau syeikh yang dipuja sehingga membawa kepada taksub yang melampau!
- Firman Allah s.w.t: {\”Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar.
\”Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,} (An-Naml 27: 23-24)
*Burung hud-hud lebih cerdik daripada manusia yang syirik.
AYAT 38- {OLEH ITU, KALAU MEREKA TETAP INGKAR DENGAN ANGKUHNYA (DARIPADA MEMATUHI PERINTAH ALLAH DAN MENGESAKANNYA, MAKA TIDAKLAH MENJEJASKAN KEBESARAN TUHAN), KERANA MALAIKAT-MALAIKAT YANG ADA DI SISI TUHANMU TETAP BERTASBIH KEPADANYA PADA WAKTU MALAM DAN SIANG, DENGAN TIDAK MEREKA MERASA JEMU.} (FUSSILAT 41:38)
- Sekiranya puak kafir itu sombong, angkuh takabbur dan besar diri daripada menyembah Allah, mengabdi diri dan hanya sujud kepada Allah sahaja, maka tidaklah semua kekufuran dan keingkaran itu menjejaskan kebesaran Tuhan.
- Allah tidak perlu kepada keimanan dan ibadat mereka, bukan Allah yang rugi jika ada makhluk yang tidak menyembahnnya, bahkan mereka itu yang akan kerugian dan dalam penyesalan seumur hidup nanti!
- Ini kerana Allah sudah ada di sisi-Nya makhluk lain iaitu malaikat-malaikat yang tetap bertasbih kepada-Nya pada waktu malam dan siang.
- Malaikat ini tidak pernah merasa jemu atau letih. Mereka amat patuh dan taat tidak pernah mengingkari perintah Allah s.w.t!
- Firman Allah stw:
i- {Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.} (Al-A\’raaf 7:206)
ii- {Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih.
Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.} (Al-Anbiyaa\’ 21: 19-20)
AYAT 39- {DAN DI ANTARA TANDA-TANDA KEKUASAANNYA, ENGKAU MELIHAT BUMI KOSONG SEPI (DALAM KEADAAN KERING DAN TANDUS), MAKA APABILA KAMI MENURUNKAN HUJAN MENIMPANYA, BERGERAKLAH TANAHNYA SERTA SUBURLAH TANAMANNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH YANG MENGHIDUPKANNYA SUDAH TENTU BERKUASA MENGHIDUPKAN MAKHLUK-MAKHLUK YANG TELAH MATI; SESUNGGUHNYA IA MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (FUSSILAT 41:39)
- Munasabah ayat ini: Setelah Allah s.w.t sebut empat tanda yang besar di sebelah atas iaitu malam dan siang, serta matahari dan bulan, Allah sebut pula tanda kekuasaan-Nya di bawah iaitu di bumi.
- Antaranya ialah menghidupkan semula bumi yang telah mati, iaitu yang kering kontang dan tandus dari sebarang tumbuhan. Tetapi apabila turun hujan dan disirami air, ia hidup dengan keluar dan tumbuhnya tumbuhan yang menghiujau dan subur.
- Ini adalah sebagai dalil kepada kita untuk berfikir dan meyakini tanda bahawa Allah s.w.t berkuasa juga untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati.
- Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Maka tiada apa yang mustahil dan pelik bagi-Nya.
- Firman Allah s.w.t:
i- {Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Hajj 22: 5-6)
ii- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,} (Qaaf 50:16)
- Hadis Rasulullah s.a.w tentang tiupan sangkakala dan manusia hidup semula.
diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ \”. قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ \” ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً. فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: \”Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: \”Aku enggan menjawab\”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: \”Aku enggan menjawab\”. Adakah 40 tahun? \”Aku enggan menjawab.\”
Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah S.W.T menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.\”[HR al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)]
- Allah s.w.t tutup ayat ini dengan menekankan bahawa: {Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 37- {Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.}- kata para ulama\’ tadabbur; ayat ini menjadi isyarat kepada penekanan untuk menjaga manusia ini dari terjebak kepada sujud kepada yang selain dari Allah.
Jika kamu nak jadi manusia yang baik dan hebat, maka sujudlah hanya kepada Allah s.w.t bukan kepada makhluk.
Persoalan; Tetapi kenapa Allah suruh malaikat dan iblis sujud kepada Nabi Adam a.s dulu?
i- kerana ia adalah perintah Allah Azza wa Jalla, maka sujud itu adalah satu perbuatan menurut perintah Allah. Jika Allah perintah sujud kepada apa atau siapapun, maka ia adalah satu ibadat kepada Allah. Ia juga adalah satu kemulian kepada malaikat yang menurut perintah Allah s.w.t dan satu kemuliaan kepada nabi Adam a.s.
Cuma iblis yang sombong dan ingkar maka dia dilaknat sehingga ke hari Kiamat.
ii- ia bukan sujud ibadat kepada Nabi Adam a.s, tetapi hanya sujud hormat kepadanya.
Timbul persoalan bolehkah sujud kepada orang?
Nabi s.a.w jelas melarang perbuatan ini dan antara pendapat ulama\’ Mazhab Syafei:
i- Kata Imam an-Nawawi: Apa yang dilakukan oleh orang ramai yang sujud kepada sesama manusia seperti kepada syeikh-syeikh maka ia adalah perbuatan haram dengan sepakat para ulama\’ Islam. Ia boleh membawa kepada kufur jika mereka berniat untuk menyembah orang itu. Jika tanpa niat ibadat, perbuatan itu sendiri adalah satu perbuatan yang haram, satu dosa besar. [Al-Majmu\’].
ii- Imam Ibnu Hajar: Apa yang dibuat oleh puak jahil dengan sujud kepada syeikh-syeikh mereka, maka itu adalah satu perbuatan yang jelas haram. Jika mereka berniat ibadat atau sembah kepada guru & syeikh mereka itu, maka ia boleh membawa kepada kekufuran.
iii- Kata Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya: Sujud kepada makhluk yang dilarang itu telah digunakan oleh mereka yang mengaku ahli Tasauf yang jahil, menjadi kebiasaan mereka di dalam majlis-majlis pengajian atau masuk berjumpa guru mereka, untuk sujud tunduk kepada guru-guru mereka hatta mengadap kakinya kerana terlalu taksub dan asyik kepadanya.
Ingatlah para asatizah dan mereka yang memegang kuasa dalam bidang agama, ingatlah kita cari hujjah untuk menyelamatkan masyarakat bukan untuk kepentingan pihak tertentu.
Jangan buka pintu kepada orang jahil yang boleh membawa bahaya yang lebih besar. Setiap benda sesat atas dunia ini pasti ada peminat dan pengikutnya.
Kerana itu kata Imam Syafei rmh:
Bagi setiap benda yang jatuh pasti ada pengutipnya. (لكل ساقطة لاقط)
Allah s.w.t juga larang dari sujud kepada matahari, sedangkan ia adalah satu makhluk Allah yang hebat dan gah, tanda yang paling besar dan jelas di alam nyata ini, ia cerah bercahaya, banyak faedah dan manfaatnya kepada manusia dan makhluk lain atas dunia ini.
Maka sujud kepada benda lain yang lebih kecil dan lemah serta tiada manfaat daripadanya, seperti kubur, pokok-pokok dan seumpamanya pastilah tidak boleh dan lebih dilarang lagi.
- Ayat 37- {dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya,} – ini adalah balaghah uslub (gaya ayat) dalam al-Quran yang amat tinggi.
Allah bawa satu hukum serta dalil yang jelas, yang boleh difikir oleh akal tentang larangan itu, ini dalil kauni qadari.
i- Allah s.w.t larang sembah semua makhluk yang lain TETAPI sembahlah Allah Yang Mencipta segalanya itu.
Kerana pastilah PENCIPTA yang lebih Esa dan berkuasa daripada semua makhluk itu yang berhak disembah semata-mata.
ii- Ayat ini juga menjadi dalil kepada sunatnya untuk solat sunat gerhana bulan dan matahari.
Bila berlaku gerhana, Rasulullah s.a.w mengajar untuk solat, bersedekah dan minta ampun kepada Allah.
Tidak ada solat lain yang berkait khas dengan sebab bulan atau matahari kecuali solat dua gerhana ini (خسوف القمر وكسوف الشمس).
Manakala solat lima waktu yang kita dirikan itu adalah mengikut masa dan waktu bukan kerana matahari.
- Ayat 38- {Oleh itu, kalau mereka tetap ingkar dengan angkuhnya (daripada mematuhi perintah Allah dan mengesakanNya, maka tidaklah menjejaskan kebesaran Tuhan), kerana malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu tetap bertasbih kepadaNya pada waktu malam dan siang, dengan tidak mereka merasa jemu.}- timbul persoalan apakah ada malaikat yang tiada tugas dan kerja seperti malaikat lain, tetapi hanya bertasbih saja? Sedangkan dalam ayat lain ada disebut malaikat yang bertugas dan turun naik dari langit ke bumi, bekerja seperti menjaga manusia, mencabut nyawa, memberi rezeki menurunkan hujan, menjaga pintu syurga dan neraka dan lain-lain.
Jawapannya: Memang ada malaikat yang Allah s.w.t ciptakan khas hanya bertasbih, menyuci dan membesarkan Allah s.w.t sahaja. Seperti ada malaikat yang bersujud dan rukuk sahaja, semuanya dicipta untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Ada yang bekerja juga kerana malaikat itu banyak kategori dan tugasnya.
- Ayat 39- {Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati;}- Allah s.w.t beri dalil ini yang dapat kita tengok di depan mata kita, yang dapat kita tengok dan saksikan setiap waktu supaya kita dapat berifikir.
Ini adalah kias dengan dalil (قياس الدلالة), sekarang ini Allah s.w.t boleh hidupkan bumi, maka apa lemah atau peliknya untuk Allah s.w.t hidupkan semula manusia yang telah mati- (قياس إحياء على إحياء). Sedangkan Dia yang mencipta mereka dulu dari tiada kepada ada. - Ayat 39- {Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.}- ini adalah kita ambil dalil umum untuk menyatakan perkara yang khas. Bahawa Allah s.w.t berkuasa atas segalanya (dalil umum); bukan hanya dapat menghidupkan yang mati sahaja (ini dalil khas). Maka yang umum pastilah lebih luas dan mencakupi segala yang khas dan kecil-kecil yang lain juga.
Tamatlah kita lima faedah yang dpat kita kutip dari tiga ayat dalam siri ini.