CELAAN TERHADAP KAFIR MENOLAK QURAN, TANDA QUDRAT ALLAH DI UFUK DAN DALAM DIRI MANUSIA & ILMU ALLAH MELIPUTI SEMUA PERKARA.
Full video : https://youtu.be/4-manocHfyg
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah kita sudah sampai ke penghujung, ini adalah siri terakhir bagi surah Fussilat, surah yang ke 41 yang mengandungi 54 ayat.
Selepas ini kita akan masuk surah asy-Syura insya\’ Allah. - Dalam ayat-ayat siri ini Allah s.w.t mencela golongan kafir yang menolak al-Quran, dalam siri lepas kita sudah sebut pelbagai karenah mereka dengan al-Quran.
- Antara tanda keagungan dan qudrat Allah s.w.t yang dapat kita lihat ialah:
i- Di Ufuk yang jauh dan luas antara bumi dan langit.
Kemudian kembalikan pandangan ke-
ii- Dalam Diri Manusia sendiri! Tak perlu pergi jauh.
Tujuannya supaya manusia tahu dan sedar adanya Pencipta.
- Kemudian Allah menyatakan bahawa ilmu Allah itu luas dan Meliputi Semua Perkara, maka jangan kamu berani melanggar dan melawan Syari\’ah Allah s.w.t kerana Dia tahu semua apa yang kamu lakukan.
- Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menyebut dalam ayat-ayat yang lepas tentang janji buruk iaitu janji azab (الوعيد), serta keadaan orang kafir di Akhirat kelak yang berlepas diri daripada apa yang mereka sekutukan (syirik) kerana mereka tahu mereka salah.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa manusia itu apabila dia sudah tahu dia salah, dia akan panik dan ketakutan, maka dia akan tarik balik, tidak mengaku apa yang dia buat atas dunia dulu.
- Begitulah sifat manusia itu bertukar, bila dia kuat dan senang, dia akan sombong, angkuh dan takabbur.
Tetapi apabila dia lemah dan dalam kesusahan, dia akan lemah dan tidak bermaya, baru mencari Allah dan berdoa ikhlas meminta pertolongan dari Allah. - Kita orang Islam jangan begini, jangan hanya ingat dan cari Allah s.w.t apabila terdesak sahaja! Ketika senang dan susah wajib kita sentiasa ingat kepada Allah!
AYAT 52- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SUDAHKAH NAMPAK BAIKNYA KEADAAN KAMU JIKA AL-QURAN INI (YANG DATANGNYA) DARI ALLAH KEMUDIAN KAMU MENGINGKARINYA? SIAPAKAH YANG LEBIH SESAT DARIPADA ORANG YANG TETAP BERADA DALAM PERBALAHAN DAN PERTENTANGAN, YANG MENYIMPANG JAUH DARI KEBENARAN?\”} (FUSSILAT 41:52)
- Kemudian Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepada puak kafir itu apakah yang akan mereka buat dan rasa jika al-Quran yang mereka kufur dan ingkarinya itu akhirnya mereka nampak dan tahu ia betul dan benar dari sisi Allah s.w.t? Yakni supaya mereka insof- berpada-pada dalam perbuatan mereka membenci dan mengingkari Rasulullah s.a.w.
- Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi nasihat kepada orang kafir agar jangan tunjuk sangat permusuhan kepada Rasulullah s.a.w kerana jika terbukti kebenarannya mereka juga yang akan kesipuan dan malu nanti!
- Beza antara insaf & insof;
i- insaf (إنساف)- bahasa Melayu dengan makna sedar diri dan menyesal akan kesalahannya.
ii- insof (إنصاف)- bahasa Arab dengan makna adil dan berpada-pada. - Hadis yang berpesan agar jangan terlampau menyayangi dan membeci seseorang seseorang.
ﻋَﻦْ ﺃَﺑِﻲ ﻫُﺮَﻳْﺮَﺓَ ـ ﺃُﺭَاﻩُ ﺭَﻓَﻌَﻪُ ـ ﻗَﺎﻝَ: «ﺃَﺣْﺒِﺐْ ﺣَﺒِﻴﺒَﻚَ ﻫﻮﻧﺎ ﻣَﺎ ﻋَﺴَﻰ ﺃَﻥْ ﻳَﻜُﻮﻥَ ﺑَﻐِﻴﻀَﻚَ ﻳَﻮْﻣًﺎ ﻣَﺎ، ﻭَﺃَﺑْﻐِﺾْ ﺑَﻐِﻴﻀَﻚَ ﻫَﻮْﻧًﺎ ﻣَﺎ ﻋَﺴَﻰ ﺃَﻥْ ﻳَﻜُﻮﻥَ ﺣَﺒِﻴﺒَﻚَ ﻳَﻮْﻣًﺎ ﻣَﺎ»
Dari Abu Hurairah r.a secara marfu\’: \”Cintailah orang yang kau cinta secara berpada, boleh jadi suatu hari dia menjadi orang yang kau benci.
Dan bencilah kepada orang yang kau benci secara berpada juga, kerana boleh jadi suatu hari dia yang kau benci menjadi orang yang kau cintai.\” (HR at-Tirmizi) - Ayat ini memberi pengajaran yang besar kepada kita, mengajar agar insof- kita kena berpada samada dalam membenci atau memuja sesama manusia, jangan lebih-lebih kerana kita tidak tahu bagaimana hujung-jatuh pengakhirannya.
- Musuh hari ini boleh menjadi kawan esok hari, begitu juga sebaliknya.
Maka berhati-hati dan bersederhanalah dalam segala perbuatan kita.
AYAT 53 – {KAMI AKAN PERLIHATKAN KEPADA MEREKA TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI DI MERATA-RATA TEMPAT (DALAM ALAM YANG TERBENTANG LUAS INI) DAN PADA DIRI MEREKA SENDIRI, SEHINGGA TERNYATA JELAS KEPADA MEREKA BAHAWA AL-QURAN ADALAH BENAR. BELUMKAH TERNYATA KEPADA MEREKA KEBENARAN ITU DAN BELUMKAH CUKUP (BAGI MEREKA) BAHAWA TUHANMU MENGETAHUI DAN MENYAKSIKAN TIAP-TIAP SESUATU?} (FUSSILAT 41:53)
- Setelah Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w menyampaikan kepada mereka dakwah (hidayah menyampaikan) bahawa depan mata mereka ada tanda di merata-rata tempat dalam alam yang terbentang luas ini (ufuq) dan pada diri mereka sendiri.
- Dalil akan kekuasaan Allah s.w.t. dalil yang ada dalam diri manusia itu sendiri itu ialah seperti kesihatan, penglihatan, pendengaran dan lain-lain angota badan.
- Allah s.w.t berjanji kepada Rasul-Nya (untuk menenangkan hati Baginda) bahawa Allah akan bawa dan tunjuk dalil dan tanda bahawa al-Quran itu benar kepada orang kafir akhirnya.
Paling cepat semasa masih hidup lagi sebagaimana sebahagian sahabat yang dulunya musuh dan membenci Rasulullah, tetapi setelah mendapat hidayah menjadi pembela dan panglima Islam yang unggul. - Tetapi ada juga puak kafir yang tidak sedar-sedar dan tidak nampak kebaikan sehingga maut datang, maka baru nampak tempat mereka di alam barzakh yang akan mendapat azab.
Penyesalan yang besar sekali ialah di Akhirat kelak, tetapi segalanya tidak berguna lagi! - Allah s.w.t juga memberitahu Rasulullah s.a.w apabila Baginda sudah berdakwah mengajar dan memberi bimbingan kepada mereka, jika mereka masih ingkar degil dan keras kepala maka biarkanlah mereka, tugas Baginda s.a.w sudah selesai dalam menyampaikan amanahnya.
- Ini kerana hidayah itu ada dua jenis:
i- Pertama (Hidayatul Irsyad Wal Bayan), hidayah memberi bimbingan, penunjuk jalan, memberi ajaran dan keterangan itu kerja Nabi s.a.w dan para rasul yang disambung oleh para sahabat, tabi\’en, imam-imam dan pendakwah semuanya.
ii- Hidayah Taufiq- Hidayah untuk beri taufiq buka hati manusia untuk terima apa yang kita ajar, apa yang dibawa oleh al-Quran dan hadis, itu kerja Tuhan. Bukan senang untuk berdakwah kepada manusia, pasti akan ada tentangan dan pendustaan.
- Semua dalil dan ayat yang menunjukkan al-Quran itu benar dan kekuasaan Allah s.w.t ini tidak syak dan ragu lagi. Ini terbukti dalam kajian semua ilmu modern dan sains hari ini, seperti ilmu atsronomi, geologi dan seumpamanya.
- Kemudian kembali lihat kepada penciptaan manusia itu sendiri, lihat kepada tubuh badannya.
Tetapi bak kata ulama\’; Semua nikmat ini tidak terasa dan tidak dihargai hatta ianya hilang dan tiada lagi. Dulu kita sihat sekarang sudah sakit, dulu muda sekarang sakit, dulu aktif sekarang lemah dan uzur! - Firman Allah s.w.t: {Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,
Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?} (Az-Zaariyaat 51: 20-21). - Banyak sekali ayat-ayat yang Allah s.w.t minta agar kita fikir tentang alam yang luas ini serta tentang kejadian diri kita sendiri ini. Untuk lebih menginsafkan kita ziarah hospital, lihat orang yang sudah diambil sebahagian nikmatnya!
- Semua ini untuk manusia yang berfikir sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.
- Ayat ini maknanya:
i- ditujukan secara khusus kepada kaum musyrikin yang menentang Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t akan memperlihatkan kepada mereka perkembangan Islam di seluruh dunia dan lebih-lebih lagi di tanah air mereka sendiri, iaitu di Makkah dan Tanah Arab lain.
Maka barulah jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu datang dari Allah dan bahawa segala yang dijanjikan di dalamnya akan tetap berlaku!
ii- ditujukan secara umum kepada umat manusia, terutamanya golongan yang ingkar bahawa Allah s.w.t akan tunjukkan kepada mereka dari masa ke semasa sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemajuan umat manusia. Setiap masa tanda itu sentiasa ada dan terserlah satu persatu. Dalil yang ada di merata alam serta pada diri mereka sendiri, sehingga menimbulkan iman dan yakin, lalu jelaslah bahawa apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w itu benar.
AYAT 54 – {INGATLAH! SESUNGGUHNYA MEREKA (YANG KUFUR INGKAR) SENTIASA BERADA DI DALAM KEADAAN SYAK – RAGU-RAGU TENTANG PERTEMUAN DENGAN TUHAN MEREKA. INGATLAH! SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (FUSSILAT 41:54)
- Orang yang kufur akan sentiasa syak dan ragu, tentang kebangkitan pada hari Kiamat dan menerima balasan. Mereka tidak percaya kepada al-Quran, bamgkit semula, pembalasan dan hari Kiamat semuanya.
- Lalu Allah s.w.t memberi peringatan bahawa ilmu Allah itu Maha Meliputi setiap sesuatu maka jangan kamu berani mengingkari-Nya dan buat maksiat.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 52- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sudahkah nampak baiknya keadaan kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah kemudian kamu mengingkarinya?}- tetapi sayangnya pengetahuan dan penyesalan itu tidak memberi faedah lagi.
Kata ulama\’, ayat ini menjadi satu sentuhan perasaan, jika kita buat sesuatu biarlah ada sifat insof (adil) dalam diri kita.
Jangan menyangka hanya kita 100% yang betul manakala orang lain 100% salah. Cuba kaji dan buka minda.
Begitulah al-Quran ini jika kita buka minda dan kaji, kita akan jumpa hidayah dan kebenaran dalam al-Quran.
Jika orang baca al-Quran saja tanpa tadabburnya; maka dia tidak akan dapat kebaikannya, hanya dapat pahala membacanya saja.
Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.} (Al-A\’raaf 7:206).
Maka kita orang beriman kita yakin al-Quran itu Kalamullah yang diturunkan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah s.a.w.
- Ayat 53 – {Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri,}- Ayat ini menjadi dalil untuk kita berfikir, mengkaji ayat-ayat tanda-tanda keagungan dan kekuasaan Allah. Lagi banyak kita tadabbur dan kaji ayat al-Quran, lagi mantap keimanan kepada Allah Azza wa Jalla, lagi nampak kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
- Ayat 53 – {Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri,}- ayat in menjadi satu sudut bahawa Allah s.w.t bawa cerita tentang benda ghaib atau masa depan dalam al-Quran.
i- Salah satunya ialah janji Allah bahawa Islam ini akan mendapat kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t. Islam akan sampai ke seluruh pelusuk timur dan barat.
Rasulullah S.A.W bersabda, \”Sesungguhnya agama ini akan sampai ke seluruh dunia, di mana adanya malam dan siang. Allah S.W.T tidak akan meninggalkan satu rumah pun, baik di kota mahu pun di desa kecuali Allah S.W.T akan memasukkan agama ini dengan kemuliaan atau kehinaan yang dihinakan: Kemuliaan yang dengannya Allah S.W.T memuliakan Islam dan kehinaan yang dengannya Allah S.W.T akan menghina-hinakan kekufuran.\” [HR Ahmad].
ii- Juga tanda dalam diri kamu sendiri ialah Makkah dapat dikuasai kembali oleh Rasulullah dan umat Islam pada bulan Ramadhan, tahun ke-8H. Serta negara-negara Arab yang lain.
Firman Allah s.w.t:
i- {Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.} (Al-Fath 48:1)
ii- {Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), -Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.} (An-Nasr 110: 1-2)
Kuasa besar Rom dan Parsi jatuh kepada Islam pada zaman Khalifah ar-Rasyidin. Pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah Islam sampai ke Eropah.
Tetapi pertolongan Allah dan kemenangan ini dengan syarat umat Islam itu kena mantap iman dan kuat jiwanya, kuat berpegang dan mengamalkan Islam baru pertolongan Allah akan datang. Ini kerana cinta itu berbalas, kamu kuat keimanan dan cinta kepada Allah, maka cinta dan pertolongan Allah juga akan cepat dan kuat.
- Ayat 53 – {Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?}- ayat ini menjadi khabar gembira yang besar bahawa Allah s.w.t akan beri pertolongan dan kemenangan kepada agama ini. Tetapi pertolongan itu bersyarat seperti di atas, ia tidak akan terjadi dengan sendiri begitu saja.
- Ayat 54 – {Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu.}- untuk menta\’kid dan merealisasikan dalam hidup kita pengetahuan bahawa hidup kita ini dalam pemerhatian dan pemantauan (مراقبة الله) Allah s.w.t! Allah mengetahui semua perkara yang kita lakukan. Maka jika kita takut kepada Allah bererti mesti takut nak buat maksiat dan melanggar syariat Allah.
Hadis Rasulullah s.a.w tentang soalan malaikat apakah makna ihsan:
\”Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya dia sedang melihat kamu. \” [HR Bukhari & Muslim].
Dengan kita tahu sifat Allah yang luas dan meliputi ilmu pengetahuan-Nya, memberi manfaat untuk kita, agar tidak berani melanggar perintah Allah s.w.t.
Alhamdulillah tamatlah kita 11 siri surah Fussilat, semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk terus istiqomah dan beramal dengan kebaikan.