ALLAH CELA PUAK KAFIR YANG TIDAK MAHU BERIMAN, ALLAH CIPTAKAN BUMI DAN MAKANAN 4 MASA & MENCIPTA LANGIT PULA 2 MASA.
Full video : https://youtu.be/bFL1Z9S-qXk
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t mencela puak kafir yang tidak mahu beriman walaupun mereka tahu Allah yang menciptakan langit dan bumi, mereka tetap ingkar dan terus berada dalam kekufuruan.
- Lalu Allah nyatakan bahawa Dia jadikan bumi ini dalam 2 masa, kemudian dicipta tumbuhan dan segala keperluan manusia yang lain dalam 2 masa, kemudian dicipta langit pula dalam 2 masa, menjadikan 6 masa semuanya.
- Dalam siri yang lepas kita sudah mengenali secara ringkas tentang surah Fussilat ini dalam muqaddimahnya. Terutamanya tentang al-Quran yang terperinci (فُصِّلَتْ) ayat-ayatnya, difahami oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan kita semuanya yang belajar insya\’ Allah.
- Munasabah ayat; mulai ayat ini ditegaskan bahawa Allah s.w.t yang menjadikn langit, bumi dan segala isi kandungannya dalam beberapa peringkat, berapa lama tempohnya tiada siapa yang mengetahuianya wallahu a\’lam.
Ini setelah Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa Baginda adalah manusia biasa seperti mereka, cuma dilantik sebagai rasul datang untuk berdakwah menyeru mereka kepada tauhid, mengesakan Allah s.w.t tanpa sekutu. - Jadi ayat ini tempelak kepada puak kafir yang mahu mensyirikkan Allah s.w.t dengan benda lain serta tak cerdiknya mereka yang kufur kepada Allah s.w.t!
- Inilah antara bukti tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t kepada kita bahawa Allah s.w.t Maha Berkuasa serta semua makhluk dibawah kuasa-Nya.
AYAT 9- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESUNGGUHNYA TIDAK PATUT KAMU KUFUR KEPADA TUHAN YANG MENCIPTAKAN BUMI DALAM DUA MASA, DAN KAMU ADAKAN SEKUTU-SEKUTU BAGINYA! YANG DEMIKIAN (SIFATNYA DAN KEKUASAANNYA) IALAH ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM,} (FUSSILAT 41:9)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata kaum musyrikin, menempelak dan mencela perbuatan mereka kufur dan menyekutukan Allah s.w.t. sedangkan mereka tahu Allah s.w.t itu yang berkuasa.
- Adakah mereka kufur kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi yang begitu luas dan besar, daripada tiada kepada ada dalam dua masa. Sedangkan berhala yang kamu sembah itu tiada apa daya dan kuasa lansung!
- Kamu jadikan sekutu bagi Allah s.w.t yang Maha Berkuasa, yang tiada bandingannya iaitu Allah Tuhan sekalian alam. Dialah Pemilik alam ini, yang mencipta, mengaturnya dan memberi rezeki kepada makhluk di atasnya.
- Nasihat Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a dalam satu hadis yang panjang:
إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ
Maksudnya: \”…Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah S.W.T untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atas mu…\” [Jami\’ Tirmizi (2516)].
- Yakni jika kita nak minta doa atau pertolongan sesuatu yang bukan dalam kemampuan makhluk dan manusia biasa WAJIB minta dengan Allah.
Tetapi jika nak minta tolong angkat barang, buat rumah, tolong masak, jumpa doktor dan sebagainya itu bukan termasuk dalam perkara yang dilarang. Kita nak berhujjah pun biar guna logik akal. - Kemudian Allah s.w.t memperkenalkan pula bukti kekuasaan dan ciptaan-Nya dalam ayat yang berikut;
AYAT 10- {DAN IA MENJADIKAN DI BUMI GUNUNG-GANANG YANG MENETAPNYA (TERSERGAM TINGGI) DI ATASNYA, SERTA IA MELIMPAHKAN BERKAT PADANYA, DAN IA MENENTUKAN ADA PADANYA BAHAN-BAHAN KEPERLUAN HIDUP PENDUDUKNYA, SEKADAR YANG MENYAMAI HAJAT YANG DIMINTA DAN DIKEHENDAKI OLEH KEADAAN MEREKA; (SEMUANYA ITU BERLAKU) DALAM EMPAT MASA.} (FUSSILAT 41:10)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menunjukkan kepada kita tiga perkara yang ajaib dan susunan yang begitu mantap:
i- Allah yang menjadikan di bumi gunung-ganang, bukit-bukau (رَوَاسِيَ) yang kukuh tersergam tinggi, yang fungsinya menetap & meneguhkan bumi!
Firman Allah s.w.t:
{Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju.} (Al-Nahl 16:15)
{(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?
Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?} (An-Naba\’ 78:7)
ii- Allah juga melimpahkan berkat-Nya pada bumi dan gunung ini. Yakni dengan benda-benda yang banyak faedahnya seperti tanaman, kehidupan, khazanah dari perutnya serta manusia yang memakmurinya.
iii- Kemudian Allah s.w.t juga menyediakan bahan-bahan keperluan hidup penduduknya dari segi hajat keperluan yang mereka minta atau kehendaki mengikut keadaan mereka.
- Semua ini dicipta dalam empat masa (فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ). Yakni Allah s.w.t cipta bumi dalam 2 masa seperti ayat 9, cipta apa yang ada di atasnya seperti gunung dan tumbuhan dalam 2 masa kemudian cipta langit pula dalam 2 masa, menjadikan semuanya 6 masa.
- Firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu – setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?} (Yunus 10:3)
AYAT 11- {KEMUDIAN IA MENUNJUKKAN KEHENDAKNYA KE ARAH (BAHAN-BAHAN) LANGIT SEDANG LANGIT ITU MASIH BERUPA ASAP; LALU IA BERFIRMAN KEPADANYA DAN KEPADA BUMI: \”TURUTLAH KAMU BERDUA AKAN PERINTAHKU, SAMA ADA DENGAN SUKARELA ATAU DENGAN PAKSA!\” KEDUANYA MENJAWAB: \”KAMI BERDUA SEDIA MENURUT – PATUH DENGAN SUKARELA.\”} (FUSSILAT 41:11)
- Sekarang Allah s.w.t ceritakan tentang penciptaan bahagian atas iaitu langit dan cakerawala. Pada asalnya langit itu hanya berupa seperti asap.
- Kemudian Allah bertanya kepada langit dan bumi adakah mahu mengikut perintah-Nya dengan baik atau dengan paksa? Keduanya langit dan bumi menjawab: \”Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela.\”
- Tetapi ajaibnya manusia yang dikurniakan akal fikiran dan belajar ini pula menolak kebenaran, tidak mahu akur dan patuh kepada perintah Allah Azza wa Jalla.
AYAT 12- {LALU IA MENJADIKANNYA TUJUH LANGIT, DALAM DUA MASA; DAN IA MEMBERITAHU KEPADA TIAP-TIAP LANGIT AKAN URUSAN DAN KEPERLUANNYA MASING-MASING. DAN KAMI HIASI LANGIT YANG DEKAT (PADA PANDANGAN MATA PENDUDUK BUMI) DENGAN BINTANG-BINTANG YANG BERSINAR CEMERLANG SERTA MEMELIHARA LANGIT ITU DENGAN SEBAIK-BAIKNYA. DEMIKIANLAH KETENTUAN ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (FUSSILAT 41:12)
- Allah s.w.t ceritakan lagi bahawa Dia telah menjadikan tujuh lapis langit, dalam dua masa; kemudian Dia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan pentadbiran-Nya dan keperluannya masing-masing. Semuanya kena ikut kehendak dan perintah Allah s.w.t bukan kehendak sendiri!
- Firman Allah s.w.t:
{Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Baqarah 2:29) - Allah s.w.t juga telah hiasi langit dunia, iaitu langit yang paling bawah dan dekat dengan kita di bumi;
i- dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang.
ii- serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Iaitu dijaga oleh malaikat dari pencerobohan syaitan dan iblis.
Firman Allah s.w.t: {Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.
Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.
Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan.} (Al-Hijr: 16-18)
- Syaitan yang terlepas inilah yang akan membawa turun maklumat yang dicuri kepada para bomoh tukang sihir tukang tilik sekutu mereka yang akan mengaburi dan menipu manusia untuk mempercayainya pula! Lalu manusia akan percaya kepada tilikan dan tuduhan yang dibuat!
- Demikianlah ketentuan Allah s.w.t yang Maha Berkuasa lagi amat Mengetahui! Semua yang telah disebut ini, elok dan indahnya penciptaan langit dan bumi semua dengan taqdir Allah s.w.t yang Maha Berkuasa lagi amat Mengetahui.
- Ayat ini memberi kepada kita dua perkara yang:
i- bila kita tahu bahawa semua ini ciptaan Allah s.w.t yang Maha Berkuasa, maka kita yakin dan percaya bahawa penciptaan itu molek, kukuh dan kuat.
ii- bila kita kenal Allah s.w.t yang Maha Mengetahui, maka ayat ini menjadi pasak dan sekatan kepada kita, tidak berani buat maksiat dan mungkar kerana kita tahu sifat Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui ini.
- Yang jadi masalahnya kenapa kita mudah goyah ini kerana iman kita turun naik berkelip seperti lampu jalan.
Bila kita belajar dan dengar peringatan ini kita sedar, kemudian lupa dan lalai balik!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 9- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa}- Allah perintahkan Rasulullah s.a.w tanya puak kafir adakah kamu kufur dengan Allah s.w.t Pencipta alam ini?
Ayat ini menjadi dalil bahawa kewajipan orang mukmin mengatakan kufurnya orang yang melakukan perbuatan kufur dan syirik dengan bukti yang nyata. Jika benda salah kita cakap salah jangan berlapik-lapik lagi.
Ayat ini juga mengajar bahawa tidak harus kita bermuka-muka (مداهنة) dengan orang kafir, atau ambil hati (مجاملة) atau golongan sekular, liberal yang menyamakan semua agama itu baik dan benar. Yakni bila kita tengok orang maksiat kita diam tidak mahu menegurnya.
Manakala tentang maksudnya (dua masa) kita tidak perlu mengorek mencarinya, kita tidak akan menjumpainya juga, kerana Rasulullah s.a.w pun tidak menafsirkannya. Itu hak Allah s.w.t.
- Ayat 10- {Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya.}- persoalan kenapa Allah s.w.t sebut gunung dan bukit atas bumi dan di atasnya (مِنْ فَوْقِهَا). Sedangkan gunung dan bukit itu memang terletak di atas bumi?
Jawapan:
i- untuk mengambil satu gambaran pemandangan yang indah dan cantik. Betapa banjaran gunung sering menjadi satu pemandangan yang indah bagi manusia, setiap negara mempunyai keistimewaannya tersendiri.
ii- terserlahnya bukit-bukau ini untuk menyatakan hikmah penciptaan Allah s.w.t, sebagai pasak bumi.
iii- atas bukit juga banyak lagi manfaat dan faedah yang Allah buat. Seperti sebagai bayang tempat berteduh, ada gua yang juga boleh menjadi tempat perlindungan dan berteduh manusia dan haiwan.
iv- bukit juga menjadi sumber air kepada manusia. Ada mata air dan air terjun keluar darinya yang mengalir turun menjadi sumber air.
Terlalu banyak yang dapat kita gali dalam ayat ini sahaja, tentang bukit dan dia atasnya, maka cukuplah setakat yang kita nampak saja.
- Ayat 10- {dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka;}- yakni Allah s.w.t menjadikan keperluan dan rezeki sumber makanan bagi manusia mengikut setiap tempat, keadaan dan keperluannya. Maka akan berlakulah petukaran antara negeri-negeri dan negara-negara mengikut permintaan dan keperluan hajat!
Contoh jika nak kurma kita import dari Arab Saudi. Mereka nak durian mari cari di tempat kita. Nak makan kacang dari negeri lain pula dan seumpamanya.
Banyak sekali faedah-faedah ini semua supaya kita menjadi manusia yang bersyukur kepada Allah s.w.t. bukan yang kufur.
- Ayat 11- {lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: \”Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!\” Keduanya menjawab: \”Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela.\”}- mereka pilih untuk patuh kepada perintah dan aturan Allah, maka perjalanan dan pentadbiran langit dan bumi sekarang ini aman dan teratur. Sekali-kala terjadi gempa dan tsunami itu kerana Allah mahu menyedarkan manusia yang sudah banyak buat kerosakan atas muka bumi ini.
Kata ulama\’ tadabbur; ayat ini menunjukkan kepada taat dan akur benda yang tidak berakal. Semua benda ini dihadapan Allah s.w.t seolah ada akal dan kehendak.
Walaupun tidak berakal seperti langit bumi, bukit batu dan kayu, mereka tetap patuh dan taat kepada Allah s.w.t, maka kita manusia yang ada akal dan taklif, takkan tidak mahu akur dan taat kepada perintah dan aturan Allah Azza wa Jalla?
Beberapa kisah yang sahih berdasarkan dari hadis Rasulullah s.a.w:
i- hadis riwayat daripada Abdullah R.A berkata:
لَقَدْ كُنَّا نَأْكُلُ الطَّعَامَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَنَحْنُ نَسْمَعُ تَسْبِيحَ الطَّعَامِ
Maksudnya: \”Sesungguhnya ketika kami menjamu selera bersama Nabi S.A.W lalu kami mendengar makanan itu sedang bertasbih.\” [al-Tirmizi (3993).
ii- Daripada Abu Humaid R.A berkata, kami pulang bersama Rasulullah S.A.W dari peperangan Tabuk sehingga kami sudah tiba di Madinah, maka telah bersabda Nabi S.A.W:
هَذِهِ طَابَةُ، وَهَذَا أُحُدٌ، جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ
Maksudnya: \”Ini adalah Kota yang baik dan ini adalah Uhud iaitu bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.\” [HR al-Bukhari (4422)]
iii- Hadis riwayat daripada Jabir bin Abdullah r.a; Kisah batang tamar yang menangis kerana tidak akan digunakan oleh Rasulullah s.a.w lagi sebagai tempat bersandar/berpijaknya ketika berkhutbah. [HR Bukhari].
- Ayat 12- {Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.}- semua susun atur pentadbiran dunia ini dicipta oleh Allah s.w.t yang mempunyai dua sifat ini- Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
Kata ulama\’; kita yakinlah kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui, maka setiap yang Dia cipta dan buat itu ada hikmah dan susunan pentadbiran yang teratur!
Contoh; peringatan agar jangan mempertikai dan merendahkan hukum Faraidh (pembahagian harta pusaka), kerana Faraidh ialah HAK Allah yang telah ditetapkannya dalam al-Quran.
Hanya Dia yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana keperluan dan apa yang sesuai bagi manusia. Tiada siapa yang boleh mempertikaikan!!
Jika nak kempen hibbah atau apa skim pun, guna cara yang baik dan berhemah, jangan merendahkan hukum-hakam ciptaan Allah Azza wa Jalla.
Ayat ini juga menjadi peringatan kepada kita agar jangan buat maksiat di mana saja, di tempat tersembunyi atau nyata, kerana Allah Yang Maha Mengetahui akan mengetahuinya walau di mana kita berada pun!
Kita jaga diri kita, buat perkara yang baik jangan buat yang buruk.