View Categories

SURAH GHAFIR : AYAT 60-65

\"\"

GALAKAN AGAR BERDOA KEPADA ALLAH, NIKMAT ALLAH CIPTAKAN MALAM DAN SIANG & BUMI DAN LANGIT, REZEKI YANG DISEDIAKAN.

Full video : https://youtu.be/s1lb0ihnb3U

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah Allah s.w.t arahkan agar kita berdoa memohon kepada Allah s.w.t. Jangan minta dengan apa saja atas dunia dalam bab berdoa dan meminta permohonan yang diangkat kepada Allah s.w.t.
  2. Allah s.w.t juga ungkit ingatkan kepada kita beberapa anugerah dan nikmat yang Allah s.w.t cipta kepada kita iaitu:
    i- pencipataan siang dan malam
    ii- langit dan bumi serta
    iii- kejadian manusia yang sempurna dan elok kejadiannya.
  3. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t menerangkan dalam ayat yang lepas bahawa hari Kiamat itu adalah sesuatu yang benar dan akan berlaku. Telah dimaklumi secara umum bahawa manusia tidak akan mendapat apa-apa manfaat dan pertolongan lagi di Akhirat kecuali yang beriman dan taat kepada perintah Allah s.w.t.
  4. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ajar hamba-hamba-Nya yang beriman dari kalangan umat nabi Muhammad s.a.w agar banyak berdoa dan beribadat kepada-Nya untuk kebaikan mereka di dunia juga di Akhirat. Allah s.w.t juga memberi jaminan akan memperkenankan doa mereka.
  5. Firman Allah s.w.t: {\”Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka (jawablah), sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.\”} [Al-Baqarah: 186].

AYAT 60-{DAN TUHAN KAMU BERFIRMAN: \”BERDOALAH KAMU KEPADAKU NESCAYA AKU PERKENANKAN DOA PERMOHONAN KAMU. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR DARIPADA BERIBADAT DAN BERDOA KEPADAKU, AKAN MASUK NERAKA JAHANNAM DALAM KEADAAN HINA.} (GHAAFIR 40:60)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t berfirman memerintahkan manusia untuk berdoa kepada-Nya serta berjanji akan memperkenankannya.
  2. Hadis Riwayat An-Nu\’man bin Basyir r.a. berkata Rasulullah s.a.w apabila menghuraikan tentang ayat ini bersabda: \”Doa itu adalah satu ibadat.\” Kemudian Rasulullah s.a.w terus membaca ayat ini sehingga ke akhir. [HR at-Tirmizi, an-Nasaie, Abu Daud dan lain-lain.]
  3. Sesungguhnya orang yang tidak berdoa ialah orang yang tidak mahu tunduk kepada Allah s.w.t, dia adalah orang yang sombong, angkuh & takabbur.
  4. Kita jangan fikirkan ada doa kita itu akan dikabulkan atau tidak, yang penting adakah kita berdoa atau tidak kepada Allah s.w.t. Kerja kita hanya bedoa, sebagai satu ibadat kita akan dapat pahalanya juga insya\’ Allah.
  5. Sebagaimana kata Sayyidina Umar al-Khattab r.a; \”Aku tidak pernah fikirkan adakah doa aku dikabulkan atau tidak, yang aku fikir adakah aku berdoa atau tidak kepada Allah s.w.t.\”
  6. Daripada Abi Said al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksudnya: \”Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandung dosa dan tidak bertujuan memutus silaturahim, melainkan Allah S.W.T akan menqabulkannya dengan tiga cara:
i- Allah akan mengabulkan doanya sesegera mungkin,
ii- Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,
iii- dan Allah akan tukar dengan menjauhkan darinya keburukan.\” [HR Imam Ahmad- Hasan].

  1. Allah s.w.t kata lagi bahawa orang yang sombong tidak mahu berdoa kepada Allah, mereka akan masuk dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina.
  2. Ibadat adalah salah satu cara yang dilakukan oleh seorang hamba untuk menyatakan kemuliaan, keesaan dan keagungan Allah s.w.t serta melahirkan kesedaran akan kemiskinan, keinsafan, kehinaan dan kelemahan diri kita. Maka jika seseorang itu sombong takabbur dari melakukan ibadat dan berdoa kepada Allah, maka dia telah sombong dari mengakui kebesaran Allah s.w.t dan mengakui kelemahan dan kehinaan dirinya! Yakni dia rasa dia diri dia kuat.
  3. Banyak hadis-hadis tentang orang yang sombong dan takabbur ini telah kita baca dalam siri-siri yang lepas.
    Antaranya: Pada hari Kiamat kelak Allah s.w.t akan himpunkan orang -orang yang sombong takabbur dalam keadaaan kecil dan hina. [HR at-Tirmizi dan lain-lain.]
  4. Imam Ibn \’Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah S.W.T menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang Islam.

AYAT 61-{ALLAH YANG MENJADIKAN MALAM UNTUK KAMU SUPAYA KAMU BEREHAT PADANYA, DAN MENJADIKAN SIANG TERANG-BENDERANG (SUPAYA KAMU BERUSAHA). SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MELIMPAH-LIMPAH KURNIANYA KEPADA MANUSIA SELURUHNYA, AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK BERSYUKUR.} (GHAAFIR 40:61)

  1. Allah s.w.t menjadikan malam sebagai satu masa untuk manusia berehat tubuh badan, duduk & tidur di rumah. Juga untuk bermunajat, beribadat kepada Allah s.w.t dalam kesunyian dan tanpa pandangan manusia.
  2. Manakala siang pula Allah jadikan terang-benderang untuk manusia keluar rumah berusaha mencari rezeki dan melakukan segala urusan hariannya.
  3. Begitulah limpah kurnia dan nikmat Allah terhadap manusia amat luas dan banyak. Tetapi malangnya kebanyakan manusia tidak reti bersyukur kepada Allah. Tidak syukur ertinya tidak beribadat kepada Allah s.w.t.
  4. Maka kita berdoa semoga menjadi golongan yang sedikit ini iaitu yang bersyukur kepada Allah s.w.t! Kita juga mohon selamat dari kemurkaan Allah s.w.t.

AYAT 62-{YANG BERSIFAT DEMIKIAN IALAH ALLAH, TUHAN KAMU; YANG MENCIPTAKAN TIAP-TIAP SESUATU (DARI TIADA KEPADA ADA); TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA; MAKA BAGAIMANA KAMU DAPAT DIPALINGKAN (DARIPADA MENYEMBAHNYA)?} (GHAAFIR 40:62)

  1. Nikmat ketiga ialah Allah s.w.t mencipta kita makhluk yang lemah ini dari tiada kepada ada. Inilah sifat Allah s.w.t, Tuhan yang mencipta setiap sesuatu dari tiada kepada ada.
  2. Tiada Tuhan Yang Berhak disembah melainkan Allah s.w.t { لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ}. Yang berhak dipuja-puji dan tempat memohon pertolongan!
  3. Tetapi mengapa setelah dibawa segala dalil yang jelas dan nyata, keterangan yang hak, bagaimana kamu masih dapat dipalingkan daripada menyembah Allah s.w.t yang maha berkuasa???

AYAT 63-{SEBAGAIMANA TERPALINGNYA MEREKA ITU (DARIPADA MENYEMBAH ALLAH), TERPALING JUGA ORANG-ORANG YANG MENGINGKARI KETERANGAN-KETERANGAN ALLAH.} (GHAAFIR 40:63)

  1. Ada orang kafir yang sedari awal tutup terus pintu hatinya, lansung tidak mahu terima Allah s.w.t. Ada juga yang seolah mahu terima, tetapi bila kita beri keterangan dia ingkar dan membuat pelbagai tuduhan seperti gila dan ahli sihir.
  2. Yakni demikianlah undang-undang kejadian yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, sesiapa yang tidak mahu mengikut ajaran Allah, tinggalkan ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w yang sahih, maka dengan senang akan dipaling dan diselewengkan daripada jalan kebenaran.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: \”Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini)?\” Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.} (At-Taubah 9:127)

AYAT 64-{ALLAH YANG MENJADIKAN BUMI SEBAGAI TEMPAT PENETAPAN UNTUK KAMU, DAN LANGIT SEBAGAI BUMBUNG YANG KUKUH BINAANNYA; DAN IA MEMBENTUK KAMU LALU MEMPERELOKKAN RUPA KAMU, SERTA DIKURNIAKAN KEPADA KAMU DARI BENDA-BENDA YANG BAIK LAGI HALAL. YANG DEMIKIAN (KEKUASAANNYA DAN KEMURAHANNYA) IALAH ALLAH TUHAN KAMU; MAKA NYATALAH KELEBIHAN DAN KEMURAHAN ALLAH, TUHAN SEKALIAN ALAM.} (GHAAFIR 40:64)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut pula nikmatnya yang lain iaitu Allah jadikan bumi ini tetap dan tidak bergoyang untuk kita hidup mendiami di atasnya dengan aman. Sekali-sekala gempa bumi yang kecil membawa kemusnahan, belum lagi goncangan hari Kiamat yang tidak terperi.
  2. Allah s.w.t juga jadikan langit itu satu bumbung yang kukuh binaannya di atas kita.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:32)
    ii- {Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?} (An-Naba\’ 78:12)
  4. Nikmat yang keenam: Allah s.w.t juga membentuk kita manusia dan memperelokkan rupa kita (وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ). Manusia itu semua cantik dan elok. Alhamdulillah.
  5. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).} (At-Tiin 95:4)
  6. Allah s.w.t juga kurniakan nikmat rezeki kepada kita benda yang baik lagi halal. Yang elok, lazat, baik, comel dan bermanfaat kepada manusia.
  7. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.} (Al-Israa\’ 17:70).
  8. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan menyatakan sifat-Nya, inilah Allah, tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha banyak kelebihan-Nya, Tuhan sekalian alam.

Ayat 65-{Dia lah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.} (Ghaafir 40:65)

  1. Dalam ayat sebelumnya Allah s.w.t suruh kita berdoa, manakala dalam ayat ini diajar kepada kita bagaimana cara untuk berdoa.
  2. Allah suruh kita berdoa dan beribadat kepada-Nya semata-mata, dengan ikhlas iaitu sekali-kali jangan ada unsur:
    i- Riya\’- riya\’ zaman sekarang lebih mudah tersebar dan ditunjukkan kepada orang ramai terutama melalui medsos. الله المستعان
    ii- syirik iaitu jangan sekutukan-Nya dengan sesuatu apa-pun!
  3. Iaitu Allah, Tuhan Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, maka sembahlah Allah s.w.t semata-mata serta ikhlaskan amal ibadat kepada-Nya yakni JANGAN riya\’. (فَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ).
  4. Maka segala puji itu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha pemurah dan nyata menyediakan segala keperluan bagi manusia.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 60-{Dan Tuhan kamu berfirman: \”Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.}- ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t yang memerintahkan hamba-Nya supaya minta dengan DIA. Bukan dengan makhluk lain dalam perkara yang mereka tidak mampu. Ini antara dalil lemah-lembut dan kasih sayang Allah s.w.t terhadapa hamba-Nya.

Seorang ulama\’, iaitu Thawus r.a berkata kepada ulama\’ lain, \’Ata\’ bin Abi Rabah rhm.: Wahai \’Ata\’, jangan kamu minta hajatmu kepada makhluk yang menutup pintunya bahkan ada pengawal lagi didepan pintunya. Tetapi kamu mintalah dengan Allah yang memerintahkan agar kamu minta dengan-Nya dan dia berjanji juga akan menunaikan permintaan hamba-Nya!\”

Ayat ini juga menunjukkan bahawa kita meminta berdoa dengan Allah s.w.t adalah lebih baik daripada kita hanya bersabar. Ini kerana doa itu sendiri satu ibadat dan Rasulullah s.a.w amat menggalakkan kita untuk berdoa kepada Allah s.w.t.

Allah juga namakan doa itu sebagai satu ibadat, bahkan hadis Rasulullah s.a.w juga mengatakan begitu.

  1. Ayat 60-{Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.}- kata ulama\’ sombong yang lawan kepada iman, tuannya tidak akan masuk syurga.

a- Kerana itulah:

  • Iblis dilaknat selamanya kerana dia sombong.
  • Firaun diazab di alam barzakh kerana dia sombong.
  • Yahudi tidak mahu beriman kerana dia sombong tidak mahu menerima Rasulullah s.a.w.
  • kita manusia hari ini pun ramai juga yang sombong, menolak apa yang dikatakan sunnah dan memperkecilkannya.

Hadis Rasulullah s.a.w: Orang yang sombong itu ialah orang yang menolak kebenaran dan menghina orang lain. [HR Muslim].

Maka jangan kita jangan menjadi orang yang sombong, tidak mahu berdoa kepada Allah serta menolak kebenaran yang dibawa kepadanya.

b- Allah kata lagi mereka yang sombong ini akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam dalam keadaan hina.
Ulama\’ kata ayat ini menunjukkan orang sombong di dunia akan di hina di Akhirat. Balasan itu adalah setimpal mengikut apa kesalahan yang dibuat semasa di dunia dulu.
Jika di dunia dulu kamu tawadhuk dan merendah diri, Allah s.w.t akan angkat darjat kamu di Akhirat kelak!

  1. Ayat 61-{Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha).}- Allah jadikan malam dan siang supaya kita ambil fikir dan guna nikmat yang ada untuk kebaikan. Allah juga kata Dia sediakan bumi ini untuk kemudahan manusia mendiaminya menunjukkan betapa luasanya rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

Luasnya rahmat Allah s.w.t Dia berikan rezeki mengikut apa Dia kehendaki dan melalui jalan yang kita tidak sangkanya! Maka sentiasalah kita ihklaskan diri dalam beribadat kepada Allah s.w.t tanpa syirik dan riya\’.

  1. Ayat 61-{Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.}- ayat ini menjadi dalil bahawa wajib kita bersyukur kepada Allah s.w.t. Siapa yang bersyukur Allah akan tambah nikmat & rezekinya, siapa yang kufur tunggulah, Allah akan ambil kembali, semuanya hanya pinjaman dan sementara, akan hilang hartanya begitu saja, dunia ini berputar sekali di atas sekali di bawah.

Allah s.w.t juga mengatakan bahawa ramai manusia yang tidak bersyukur.
**Ulama\’ tadabbur menghalusi perbincangan dengan memberi amaran bahawa jangan kita ambil hukum atau kaedah dengan kiaskan hukuman Allah s.w.t dengan perbuatan manusia semata-mata. Contoh- Bila diberitahu: Haram saham ini. Dijawabnya: Haram apa, orang ramai membelinya hatta ustaz-ustaz!
Parameter atau neraca timbangan yang kita guna adalah dengan apa yang tepat dengan Kitab & Sunnah, bukan dengan perbuatan manusia.

Firman Allah s.w.t: {Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.} (Al-An\’aam 6:116)

Maka jika kita nak selamat ikut apa yang diarahkan oleh Allah dan Rasul bukan ikut kepala otak kita sendiri atau apa yang orang ramai buat!

  1. Ayat 64-{dan Ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu,}- ayat ini menjadi dalil larangan membuat ukiran dan patung yang sempurna seperti manusia dan haiwan yang bernyawa.
    Hadis- Rasulullah S.A.W bersabda :

إِنَّ الَّذِينَ يَصْنَعُونَ هَذِهِ الصُّوَرَ يُعَذَّبُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، يُقَالُ لَهُمْ: أَحْيُوا مَا خَلَقْتُمْ

Maksudnya: \”Sesungguhnya orang-orang yang membuat patung-patung ini nanti di hari kiamat akan disiksa dan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah patung yang kamu buat itu.\” [HR Bukhari (5951)]

  • Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.

Ayat ini juga mengajar kita agar bersyukur dengan melihat kepada kejadian dan penciptaan diri kita sendiri, anggota badan dan kedudukannya. Allah s.w.t cipta kita dengan seelok-elok kejadian!

Cantik atau huduh itu subjektif, mengikut pandangan masing-masing. Setiap orang ada pilihan dan citarasanya sendiri. Jika tidak; tidak akan habis barang di kedai dan tidak akan ramai manusia yang berkahwin atas dunia ini.

Kisah dari Imam Syafei rhm. yang didatangi oleh seorang lelaki yang telah berniat akan jatuh talak jika isteri yang baru dikahwininya itu huduh. Dia bertanya kepada Imam adakah telah jatuh talak kerana setelah melihat isterinya dia merasakan dia (isteri) itu huduh.
Imam berkata tidak jatuh talak.
Tanya lelaki itu: Kenapa?
Kerana sebelum si suami itu kahwin dengan dia telah ramai orang lain yang melamarnya, yakni dia cantik di mata orang lain, cuma di mata dia saja tidak cantik. Maka tidak jatuh talak kerana wanita tidak huduh pun di mata orang lain!

Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata:
\”لكل ساقطة لاقط – bagi setiap benda jatuh pasti ada yang mengutipnya!\”

Kerana itu Rasulullah s.a.w mengajar sesiapa yang nak kahwin kena lihat sendiri bakal isterinya. Supaya tidak menjadi masalah di kemudian hari, keputusan akhir di tangan pengantin bukan pada ibu pengantin.

Begitulah Allah s.w.t telah mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian sebagai satu nikmat yang amat besar kepada kita.

Powered by BetterDocs