View Categories

SURAH GHAFIR : AYAT 7-9

\"\"

PERANAN MALAIKAT PEMIKUL ARASH, MALAIKAT MENDOAKAN ORANG MUKMIN & MEMAHAMI ISI DOA MALAIKAT.

Full video : https://youtu.be/V4LQ1mWGJ3o

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah perbincangan tentang salah satu daripada makhluk Allah yang taat setia sentiasa patuh kepada Allah, dan prihatin kepada kita manusia. Malaikat ini banyak bilangannya tidak terhitung. YANG kita belajar 10 nama itu hanya ketua-ketuanya baru. Pembantunya banyak lagi.
  2. Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:
    الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ، يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، ثُمَّ لَا يَعُودُونَ إِلَيْهِ
    Baitul-Ma\’mur ada di langit ketujuh, setiap hari dimasuki oleh 70,000 malaikat (untuk bertawaf), dan mereka tidak kembali lagi.. (HR. Ahmad 12558 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).
  3. Baitul Ma\’mur adalah seperti Ka\’bah bagi para penghuni langit. Kita dapat sedikit gambaran betapa ramainya malaikat jika setiap hari ada 70 ribu yang masuk ke Baitul-Makmur dan setiap hari adalah malaikat yang lain pula! Allahu Akbar!
  4. Dalam ayat ini Allah s.w.t menceritakan kepada kita juga tentang malaikat yang memikul Arasy, berapa ramai bilangan dan saiznya kita lihat nanti.
  5. Munasabah ayat; setelah menceritakan tentang perihal orang kafir musyrikin yang menentang Rasulullah s.a.w dan memusuhi orang-orang yang beriman, diceritakan pula dalam ayat ini dan ayat-ayat berikutnnya tentang malaikat yang mencintai orang yang beriman serta mendoakan untuk mereka, ibu bapa, anak isteri serta seluruh keluarganya agar mereka diampuni dan diberi rahmat oleh Allah s.w.t.
    Mereka amat prihatin terhadap kita sehinggakan mereka berdoa meminta keampunan dan pertolongan khas untuk kita. Maka kita sebagai orang yang beriman hendaklah segera bertaubat kembali kepada Allah s.w.t.
  6. Dalam ayat lepas juga Allah s.w.t telah sebut tentang keadaan orang kafir yang membantah ayat-ayat Allah dan mendustakannya, maka dibawa dalam ayat ini tentang sejenis lagi makhluk, hamba Allah iaitu malaikat yang tidak pernah menderhaka dan membantah akan perintah Allah, sentiasa patuh dan taat setia mengerjakan segala perintah-Nya.

AYAT 7- {MALAIKAT YANG MEMIKUL ARASY DAN MALAIKAT YANG BERADA DI SEKELILINGNYA, BERTASBIH MEMUJI TUHANNYA; DAN BERIMAN KEPADANYA; SERTA MEREKA MEMOHON AMPUN BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN (DENGAN BERDOA MERAYU): \”WAHAI TUHAN KAMI! RAHMATMU DAN ILMUMU MELIPUTI SEGALA-GALANYA; MAKA BERILAH AMPUN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT SERTA MENURUT JALANMU, DAN PELIHARALAH MEREKA DARI AZAB NERAKA.} (GHAAFIR 40:7)

  1. Allah s.w.t ceritakan dalam ayat ini tentang malaikat yang besar iaitu pemikul Arasy dan malaikat yang tawaf mengelilingi Arasy Tuhan yang mulia.
  2. Kerja mereka ialah:
    i- bertasbih (يُسَبِّحُونَ) kepada Tuhan, mensuci dan membersihkan Allah s.w.t dari segala kekurangan dan kelemahan, dengan penuh cinta dan ta\’zim.

ii- mereka juga beriman (وَيُؤْمِنُونَ بِهِ) kepada Allah s.w.t

iii- serta mereka memohon ampun (وَيَسْتَغْفِرُونَ) berdoa kepada Allah agar anugerahkan kepada manusia yang beriman keampunan, kemaafan dan beberapa perkara lagi.

  1. Firman Allah s.w.t: {Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya, dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu.} (Al-Haaqqah 69:17)
  2. Tentang saiz malaikat ada hadis riwayat dari Jabir bin Abdullah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    [عن جابر بن عبدالله:] أُذِن لي أن أُحدِّث عن ملكٍ من ملائكةِ اللهِ، من حملةِ العرشِ: إنَّ ما بينَ شحمةِ أُذنهِ إلى عاتقِه، مسيرةُ سبعمائةِ عامٍ
    الألباني (ت ١٤7٠)، صحيح أبي داود ٤٧7٧ • صحيح •
    Maksudnya: \”Aku diizinkan untuk bercakap tentang salah satu malaikat Allah yang memikul Arasy. Jarak antara cuping telinga dengan bahunya adalah seperti perjalanan sejauh tujuh ratus tahun.\” (HR Abu Daud)
  3. Jangan rasa pelik, apa yang Nabi s.a.w cerita kita terima dan ambilnya sebagai satu kebenaran dan beriman dengannya.
  4. Tentang sifat ketiga malaikat iaitu: memohon ampun (وَيَسْتَغْفِرُونَ) berdoa merayu kepada Allah agar anugerahkan keampunan, kemaafan kepada manusia yang beriman, yang mengakui keEsaan Allah dan berlepas diri dari segala sembahan lain selain dari Allah (syirik).
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (Asy-Syuura 42:5).
  6. Apakah doa malaikat itu? Inilah cara teknik berdoa yang diajar oleh malaikat:
    i- memuji Allah s.w.t.

ii- berselawat ke atas Rasulullah s.a.w.

iii- bertawasul kepada Allah s.w.t dengan nama-nama dan sifat-Nya yang mulia. Inilah tawasul yang disyariatkan untuk diguna.

iv- kemudian barulah berdoa memohon apa yang diminta.

Tuduhan jahat yang mengatakan DAAM mengatakan orang yang bertawasul syirik dan kafir! Ini adalah fitnah yang besar dan amat jahat! Video ini banyak berlegar, maka kita serah kepada Allah s.w.t untuk mengadili dan menilainya pada hari kiamat.

  1. Doa malaikat itu ialah agar Allah s.w.t:
    i- memberi keampunan kepada orang-orang yang telah bertaubat dan insaf, serta mereka telah kembali dan menurut jalan-Mu. (فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا)

ii- jauhi dan peliharalah mereka dari azab neraka Jahim. (وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ)

AYAT 8- {\”WAHAI TUHAN KAMI! DAN MASUKKANLAH MEREKA KE DALAM SYURGA \”ADN\” YANG ENGKAU TELAH JANJIKAN KEPADA MEREKA; DAN (MASUKKANLAH BERSAMA-SAMA MEREKA): ORANG-ORANG YANG LAYAK DI ANTARA IBU BAPA MEREKA, DAN ISTERI-ISTERI MEREKA, SERTA KETURUNAN MEREKA. SESUNGGUHNYA ENGKAULAH JUA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (GHAAFIR 40:8)

  1. Doa malaikat lagi kepada kita ialah:
    i- masukkanlah mereka ke dalam Syurga \”Adni\” (yang kekal- عَدْنٍ) yang Engkau telah janjikan kepada mereka;

ii- serta masukkan bersama mereka orang yang LAYAK dari kalangan ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka.

  1. Ini dita\’kidkan dalam firman Allah s.w.t: {Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.} (Ar-Ra\’d 13:23).
  2. Timbul persoalan pula, jika ibu bapa atau suami isteri tak sama level dengan anak-anak dan pasangannya macamana? Maka akan diguna kuasa syafaat, satu sama lain boleh naik dengan pertolongan yang lain, ibu bapa boleh naik darjatnya dengan istighfar anaknya!
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.} (At-Tuur 52:21).
  4. Selepas berdoa dan memohon semua ini, akhirnya malaikat kembalikan ilmu Allah kepada Allah s.w.t dengan berkata: {Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}

AYAT 9- {\”DAN PELIHARALAH MEREKA DARI (BALASAN) KEJAHATAN-KEJAHATAN (YANG DILAKUKANNYA); DAN (SEBENARNYA) SESIAPA YANG ENGKAU PELIHARA PADA HARI ITU DARI TERKENA (BALASAN) KEJAHATAN-KEJAHATAN (YANG DILAKUKANNYA) MAKA SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH MENGURNIAKAN RAHMAT KEPADANYA; DAN YANG DEMIKIAN ITULAH KEMENANGAN YANG BESAR (NILAINYA)\”.} (GHAAFIR 40:9)

  1. Kemudian malaikat berdoa lagi:
    i- peliharalah mereka yang sudah insaf dan bertaubat dari balasan kejahatan-kejahatan yang telah dilakukannya.

ii- sesiapa yang telah Engkau ampunkan kesalahan dan dosanya dulu, maka Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya.

iii- siapa yang Allah bagi selamat dan rahmat kepadanya, maka itu itulah kemenangan yang besar nilainya!

  1. Munasabah ayat: pada awal ayat dan doanya, malaikat telah memohon ampun kepada manusia yang beriman, kemudian malaikat minta lagi agar digugurkan azab, pelihara mereka dari balasan atas kejahatan yang telah mereka bertaubat darinya.
    *Inilah ilmu Fiqhi doa, kita minta dengan detail dan terperinci sebagaimana doa malaikat kepada kita ini!
  2. Firman Allah s.w.t: {Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (A-li\’Imraan 3:185)
  3. Kuliah DDAAM sebelum ini: Mereka Yang Mendapat Doa Malaikat:

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 7- {Malaikat yang memikul Arasy}- kata ulama\’ ini sabit bahawa Arasy itu ada pemikulnya! Allah itu Maha Berkuasa tetapi kenapa disebut tentang pemikul Arasy ini? Sedangkan langit pun tiada tiang dan pemikulnya? Kata ulama\’ sebagai satu isyarat bahawa Allah s.w.t memuliakan Arasy. Setiap yang mulia ada penjaga dan dengan ada pemikul lagi menunjukkan keagungan, kebesaran dan kemuliaannya. minta ampun kepada orang yang beriman.
  2. Ciri-ciri doa malaikat dalam ayat ini mengandungi beberapa perkara:
    i- ayat ini menunjukkan bahawa malaikat itu betul-betul mengenal Allah s.w.t. Mereka berdoa dengan bertawassul menggunakan nama dan sifat Allah s.w.t yang sesuai dan munasabah.

ii- kandungan doa malaikat itu bertepatan dengan apa Allah s.w.t mahu. Mereka buat perkara yang Allah s.w.t suka. Allah sayang dan suka kepada hamba yang beriman dan soleh, maka malaikat pun ambil berat dan prihatin dengan mendoakan kita.

iii- doa malaikat ini mengajar kepada kita teknik untuk tadabbur ayat-ayat Allah s.w.t. Fiqhud-doa ayat al-Quran malaikat ini sangat terperinci untuk di tadabbur dengan memahami maknanya!

iv- Kita kena berhati-hati dalam lafaz doa. Malaikat ini bijak dia tidak doakan kepada semua manusia, hanya kepada yang layak untuk mendapat kebaikan. Begitu juga kita jangan berdoa secara umum untuk Allah hapuskan atau timpa bala ke atas seluruh sesuatu negeri atau negara, kerana di dalamnya pasti ada juga mereka yang soleh dan beriman. Hati-hati jangan umumkan semua perkara.

  1. Ayat 8- {\”Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga \”Adn\” yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka.}- ulama\’ kata malaikat ini suka untuk melengkapkan doa. Jangan berdoa untuk kita saja tetapi untuk seluruh keluarga dan zuriat keturunan kita. Beginilah juga cara nabi Ibrahim a.s berdoa, untuk seluruh keluarga dan zuriat keturunannya.

Firman Allah s.w.t:
{ رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُسْلِمَةً لَكَ }
\”Ya Tuhan kami jadikanlah kami orang yang Berserah diri kepada-Mu dan anak cucu kami juga umat yang berserah diri kepada-Mu.} [Al- Baqarah:128].

Lengkaplah kebahagiaan seseorang apabila dapat berkumpul bersama anak, iseri dan kaum keluarga di dalam syurga nanti. Timbul persoalan seperti tadi jika tidak sama tahap atau tingkatan.

Jawapannya seperti dalam surah At-Tuur di atas, boleh memberi syafaat satu sama lain antara ibu bapa dan anak-anak yang soleh.
Maka marilah kita sama-sama tingkatkan keimanan & ketqwaan kepada Allah s.w.t agar kita semua dapat masuk syurga sekeluarga serta berada pada tahap/level yang sama di dalam syurga nanti insya\’ Allah.

  1. Ayat 9- {\”Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya);- dari ayat ini ada soalan kenapa dalam doa malaikat ini terperinci? Kenapa apabila kita berdoa kena nyatakan secara detail apa yang kita pinta dan mahu?
    Ini kerana:
    i- doa itu satu ibadat. Makin kita detailkan makin kita bertaqarrub kepada Allah s.w.t.

ii- lebih baik kita terperinci baru umum. Sebagaimana doa Rasulullah s.a.w semasa tawaf, semasa 3 penjuru (rukun) awal adalah doa khas apa yang kita mahu, apabila tiba di rukun akhir (Rukun Yamani) baru Baginda berdoa umum minta kebaikan dunia dan akhirat serta dilindungi dari azab neraka. Inilah Fiqhud-Doa.

iii- kerana kita nak bercakap banyak dengan Allah. Ya Rabbi, Ya Allah. Maka kita panjang dan jelaskan permohonan dan permintaan kita.

Antara doa yang sering dibaca oleh Rasulullah s.a.w:
i- \”Ya Allah, ampunilah dosaku seluruhnya, baik yang kecil mahupun yang besar, yang pertama mahupun yang terakhir, yang nyata mahupun yang tersembunyi.\”

ii- \”Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, tunjukilah aku, selamatkanlah aku, dan berikanlah rezeki kepadaku.\” [HR Muslim].

Baginda berdoa dan meminta dengan terperinci, jika mahu boleh sahaja sekadar; Ya Allah ampunkan dosaku! Tetapi untuk memanjangkan munajat & taqarrubnya kepada Allah s.w.t Baginda berdoa dengan detail dan terperinci.

  1. Akhir sekali teknik berdoa jangan lupa sebagaimana yang diajar oleh para malaikat.
    Dalam sunnah berdoa ialah:
    i- pertama sekali puji Allah s.w.t.
    ii- berselawat ke atas Nabi s.a.w.
    iii- bertawassul dengan nama & sifat Allah s.w.t yang mulia.
    iv- barulah kita berdoa untuk diri kita, barulah lengkap permohonan.

Yang paling besar sekali untuk mendapatkan doa malaikat kita mestilah menjadi orang yang beriman, yang mantap dan murni akidahnya, kerana malaikat hanya doakan untuk orang beriman.
Kita juga jangan lupa mendoakan kepada sesama orang yang beriman dalam doa-doa kita.

Powered by BetterDocs