MENGAMBIL PENGAJARAN DARI UMAT TERDAHULU, BILANGAN MEREKA RAMAI FIZIKALNYA KUAT & BILA DATANG AZAB MENYESAL TIDAK BERGUNA.
Full video : https://youtu.be/4UGC8ArJEno
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t suruh kita berjalan atas muka bumi ini dan mengambil pengajaran iktibar dari kisah umat terdahulu yang telah dibinasakan.
- Bilangan mereka ramai lebih kuat daripada kita dan kaum Quraisy pada masa Rasulullah s.a.w dulu.
- Mereka mula menyesal hanya apabila melihat azab di depan mata. Kita juga walaupun tidak turun azab, jangan tunggu mati datang menjenguk baru nak menyesal. Nak menyesal sekarang ini bukan apabila pintu taubat sudah tertutup.
- Munasabah ayat: Allah susun ayat-ayat-Nya dengan susunan yang cukup halus dan lengkap iaitu:
i- mula-mula dibawa dalil-dalil tentang kekuasaan dan rahmat Allah yang begitu sempurna.
ii- dibawa pula amaran kepada orang yang menentang.
iii- kemudian sekali lagi amaran dan peringatan keras kepada orang kafir seluruhnya, iaitu manusia yang menentang ayat-ayat Allah, jika ikut jejak langkah orang yang terdahulu, kamu juga akan binasa seperti mereka!
AYAT 82-{SELAIN DARI ITU, TIDAKKAH MEREKA TELAH BERJALAN DAN MENGEMBARA DI MUKA BUMI, DENGAN ITU TIDAKKAH MEREKA MEMERHATIKAN BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA (YANG TELAH DIBINASAKAN DENGAN SEBAB DOSA-DOSANYA)? ORANG-ORANG ITU LEBIH RAMAI DARI MEREKA, DAN LEBIH DARI MEREKA TENTANG KEKUATAN TENAGA DAN TENTANG KESAN-KESAN USAHA PEMBANGUNAN DI MUKA BUMI. DALAM PADA ITU, APA YANG TELAH DIUSAHAKAN OLEH ORANG-ORANG ITU, TIDAK DAPAT MENOLONGNYA SEDIKITPUN.} (GHAAFIR 40:82)
- Dalam ayat ini adalah pertanyaan, Allah suruh Rasulullah s.a.w tanya kepada kafir Quraisy, kenapakah puak kafir masih lagi ingkar kepada Allah s.w.t sedangkan mereka sudah mengembara di atas muka bumi ni, tidakkah mereka memerhatikan kemusnahan orang terdahulu daripada mereka yang sudah dibinasakan akibat dosa-dosa mereka.
- Ini supaya mereka berfikir dan mengambil iktibar akan apa yang mereka lihat.
- Walaupun khitab (percakapan) ayat Quranini untuk kaum Quraisy, kerana mereka yang menghadapi Nabi s.a.w pada masa itu, tetapi pengajarannya umum untuk seluruh manusia dan mereka yang menentang ayat-ayat Allah s.w.t selepas itu sehingga ke hari Kiamat.
- Keadaan umat terdahulu pula: orang kafir dari umat terdahulu lebih ramai bilangannya daripada kafir Quraisy! Mereka juga lebih kuat dari tenaga, kemahiran dan kemajuan teknologi, kesan usaha pembangunan mereka di muka bumi pun jelas dan kuat!
- Ini terbukti, dari apa yang dapat lihat daripada kesan peninggalan mereka seperti di Madain Soleh di Madinah- bukit besar yang dipahat, menjadi tempat kediaman oleh mereka, teknologi piramid di Mesir, kesan kaum Ad di Yaman dan seumpamanya.
- Tetapi semua itu tidak dapat menolong dan menyelamatkan mereka daripada azab Allah s.w.t!
AYAT 83-{KERANA PADA MASA MEREKA DIDATANGI OLEH RASUL-RASUL YANG DIUTUS KEPADA MEREKA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (UNTUK MENYELAMATKAN MEREKA, MEREKA MENGEJEK-EJEKNYA, DAN) MEREKA BERGEMBIRA DENGAN PENGETAHUAN YANG ADA PADA MEREKA (YANG MENGENAI KEDUNIAAN SEMATA-MATA); DAN DENGAN YANG DEMIKIAN MEREKA PUN DILIPUTI OLEH AZAB YANG MEREKA EJEK-EJEK DAHULU.} (GHAAFIR 40:83)
- Mereka ini apabila datang kepada umat yang terdahulu, rasul-rasul yang diutus Allah s.w.t dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas dan nyata (بِالْبَيِّنَاتِ) yang Allah berikan kepada mereka iaitu dengan ilmu atau kitab, atau mukjizat yang nyata dan boleh dilihat seperti tongkat nabi Musa a.s dan lain-lain.
- Apakah mukjizat: Sesuatu yang diluar pemikiran manusia, yang Allah s.w.t berikan kepada setiap nabinya, sesuatu yang hebat dan di luar kebiasaan. Jika kepada bukan nabi, dipanggil karamat, kepada nabi & rasul dipannggil mukjizat!
- Ini semua adalah untuk menyelamatkan mereka dari kesesatan dan aqidah yang batil.
- Tetapi mereka menolaknya kerana bangga dan gembira dengan apa yang mereka ada dari segi teknologi, harta kekayaan dan kedudukan dia atas dunia ini. Sama saja kafir Quraisy dan orang kafir sekarang yang juga mengejek dan memandang hina terhadap umat Islam hari ini.
- Kemudian Allah s.w.t katakan, akan datang azab yang meliputi orang kafir itu atas apa yang mereka ejek-ejek dan dustakannya dulu.
AYAT 84-{MAKA KETIKA MEREKA MELIHAT AZAB KAMI, MEREKA BERKATA: \”KAMI BERIMAN KEPADA ALLAH SEMATA-MATA, DAN KAMI KUFUR INGKAR KEPADA BENDA-BENDA YANG DENGAN SEBABNYA KAMI MENJADI MUSYRIK\”.} (GHAAFIR 40:84)
- Tetapi apabila lihat azab Allah di depan mata baru mereka nak kenal Allah!
- Mereka mengaku beriman dan berkata: \”Kami beriman kepada Allah semata-mata, bahkan mereka kata lagi kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik\”.
- Tetapi pengakuan dan penyesalan itu sudah tidak berguna lansung, tiada faedah dan kemaafan lagi bagi mereka!
- Firman Allah s.w.t: {Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.
Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: \”Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim\”.} (Al-A\’raaf: 4-5) - Begitulah kita juga, jangan terpedaya mengejar dunia sehingga lupa akan kematian dan Kiamat yang akan tiba bila-bila tanpa tanda dan amaran!
AYAT 85-{MAKA IMAN YANG MEREKA KATAKAN SEMASA MELIHAT AZAB KAMI, TIDAK BERGUNA LAGI KEPADA MEREKA; YANG DEMIKIAN ADALAH MENURUT \”SUNNATULLAH\” (UNDANG-UNDANG PERATURAN ALLAH) YANG TELAH BERLAKU KEPADA HAMBA-HAMBANYA. DAN PADA SAAT ITU RUGILAH ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR.} (GHAAFIR 40:85)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menjawab dakwaan dan pengakuan mereka itu. Sama seperti dalam ayat di bawah ini.
- Firman Allah s.w.t: {Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: \”Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)\”.} (Al-An\’aam 6:158)
- Ayat ini memberi kesedaran dan amaran kepada kita, nak bertaubat dan menyesal sekarang ini, bukan selepas pintu taubat ditutup; maka tidak berguna lagi segala keinsafan, penyesalan dan pengakuan!
- Demikianlahlah menurut \”Sunnatullah\” (ketetapan/undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Iaitu orang kafir akan binasa dan berada dalam kerugian, menyesal atau tidak menyesal pun tidak berguna lagi!
- Ingatlah jika turun azab Allah akan kena semua yang berada di kawasan itu, yang beriman dan yang kufur. Juga lebih malang lagi jika orang soleh dan berilmu tidak mengingkari kemungkaran dan maksiat yang dilakukan dalam kawasannya, ini akan menjadi sebab turun bala.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 82-{Selain dari itu, tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)?}- dari ayat ini diambil faedah oleh seorang tokoh yang hebat, Ar-Razi rhm. dalam tafsirnya dengan berkata:
\”Sesiapa yang meninggalkan kepatuhan Syari\’ah kerana semata-mata nak jaga kedudukan, ingin ke depan daripada orang lain dengan jawatan dan pangkat, maka dia telah menjual Akhiratnya dengan Dunia. Dunia ini hanya fana\’ sementara sahaja, Akhirat yang kekal abadi dan tempat pembalasan yang hakiki!\”
i- Amanah orang yang berilmu dan berjawatan- Maka hati-hatilah sesiapa saja yang diberi amanah untuk menjaga agama ini, beringatlah kita akan dipikulkan dan disoal tentangnya di Akhirat kelak. Ingatlah menjaga Syari\’ah, menjaga kepentingan agama dan maslahat umat Islam pada hari ini adalah lebih besar dari menjaga jawatan dan kedudukan dunia ini.
ii- ayat ini juga sebagai satu galakan agar kita mengambil iktibar dan pengajaran dari apa yang terjadi kepada umat yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada para sahabat , jika kamu nak masuk ke tempat sebegini (yakni tempat kaum yang dilaknat dan dibinasakan oleh Allah s.w.t), kamu kena menangis, jika tidak jangan masuk!
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa: \”Rasulullah S.A.W ketika berada di al-Hijr (daerah kaum Thamud), maka baginda pernah bersabda:
لا تدخلوا على هؤلاء القوم المعذبين إلا أن تكونوا باكين فإن لم تكونوا باكين فلا تدخلوا عليهم أن يصيبكم مثل ما أصابهم
Maksudnya: \”Janganlah kamu masuk ke tempat orang-orang yang disiksa itu kecuali jika kamu dalam keadaan menangis. Jika tidak dapat menangis, maka janganlah kamu memasukinya, dikhuwatirkan kamu tertimpa seperti apa yang telah menimpa mereka.\” (HR Bukhari no. 3200, Muslim no. 2980 dan Ahmad)
Kemudiannya diriwayatkan bahawa Baginda menutup kepala dan menyuruh kenderaannya bergerak laju sehinggalah dapat meninggalkan kawasan tersebut.
- Ayat 83-{Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan) mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka (yang mengenai keduniaan semata-mata);- ayat ini mengajar kepada kita bahawa seseorang itu tidak belajar dan buka hati & mindanya kecuali dia tahu dan rasa dia tidak pandai. Tetapi jika seseorang itu berasa dia pandai, dia akan merendahkan orang lain, tidak akan menerima kebenaran yang dibawa walaupun ianya jelas.
Maka jika nak belajar, jangan letak diri kita lebih pandai daripada orang lain. Kita dengar dulu jika apa yang dia bawa betul dan sahih mengikut bukti dan dalil yang boleh dipercayai, atau hanya sekadar bersandar kepada mimpi dan andaian, maka kita kaji dan periksa buat penilaian.
Inilah yang terjadi kepada puak kafir yang merasa diri mereka lebih pandai dan sombong bangga dengan kemajuan dan kekayaan mereka daripada rasul yang diutus kepada mereka.
- Ayat 83-{Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan}- kata ulama\’ keterangan (الْبَيِّنَاتِ) ini samada mukjizat yang diberikan kepada para rasul yang dapat dilihat seperti unta Nabi Soleh, tongkat nabi Musa a.s, makanan dan air menjadi banyak pada masa Rasulullah s.a.w dan lain-lain.
Maka menjadi kewajipan kepada para pendakwah dan orang alim untuk berdakwah, menyebar dan mengajar kepada orang ramai, kena bawa dalil dan keterangan yang jelas dari sumber yang sahih.
Para pendakwah kena bertanggung-jawab, ini kerana:
i- mengikut sunnah para rasul yang apabila bawa ajaran akan bawa dalil dan keterangan yang jelas.
ii- orang yang menerima ajaran akan tenang dan mudah terima kerana ada sumber yang jelas dan sahih!
Kata Abu Anas Madan (عفا الله عنه):
Beramal dengan Sunnah; hati tenang dan pahala yakin dapat, insya\’ Allah.
- Ayat 83-{Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan.}- kenapa para rasul diberi mukjizat dan ayat-ayat Allah?
i- rahmat dari Allah s.w.t. Sebagai tanda keistimewaan dan kebenaran para rasul, jika tidak senanglah sesiapa saja boleh mengaku sebagai rasul tanpa perlu ada bukti dan ayat-ayat keterangan.
ii- hikmah dari Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w: \”Tidak ada mana-mana rasul yang diutus oleh Allah s.w.t kecuali diberi mukjizat.\” [HR Bukhari].
Mukjizat ini ada yang berterusan seperti al-Quran dan ada yang terhenti setakat zaman rasul itu sahaja seperti juga Kitab mereka.
- Ayat 84-{Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: \”Kami beriman kepada Allah semata-mata,}- Allah tegaskan jika selepas datang azab atau sakratul maut di depan mata, taubat tidak akan diterima lagi! Mati sudah di depan mata tidak lagi diterima taubatnya, jika hanya sakit tenat mungkin akan diterima lagi.
Ayat ini juga menggalakkan kita agar segera bertaubat, segera beriman, segera kembali kepada Allah s.w.t jangan tangguh-tangguh sehingga kerugian penyesalan yang tiada beguna lagi.
Pada akhir surah ini, ayat 85 Allah s.w.t kata: {Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.}. { وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْكَافِرُونَ}
Apakah bezanya dengan firman Allah sebelum ini dalam ayat 78: {Pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.} { وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْمُبْطِلُونَ }
Jawapan: Ini kerana setiap orang kafir itu salah (batil), orang yang salah juga akan mengeluarkan perkataan yang salah.
Maka supaya kita tidak termasuk dalam kerugian, rugi di dunia apatah lagi di Akhirat, kita keluarlah dari kelompok orang yang salah, masuk dalam kelompok orang yang beriman, yang mengikut Sunnah Nabi s.a.w. Semoga kita termasuk dalam orang yang diberi hidayah dan taufiq oleh Allah s.w.t sehingga kita mati.
Kita juga minta perlindungan agar tidak bertukar dari baik menjadi tak baik.
اللهم إني أعوذ بك من الحور بعد الكور
\”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada berundur semula ke belakang (tidak melakukan amal soleh) setelah bergerak maju ke hadapan (melaksanakan amal soleh).\”
Alhamdulillah tamatlah kita perbincangan, tafsir dan tadabbur Surah Ghafir atau al-Mukmin ini.
Semoga kita mendapat faedah manfaat darinya, beramal dengan amal soleh dan menjauhkan diri dari maksiat dan mungkar, suka belajar dan menuntut ilmu, diberi kefahaman yang baik untuk memahami al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
Juga semoga Allah s.w.t taufiqkan kita agar dapat beribadat sebanyak dan sebaiknya pada bulan Ramadahan ini.