View Categories

SURAH LUQMAN : AYAT 1-5

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, CIRI KEISTIMEWAAN PERANAN AL-QURAN PENUH HIKMAH & SIFAT GOLONGAN MUHSININ.

Full video : https://youtu.be/HeNlukIJLvw

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini Isnin 11 Rabi\’ul Awawl 1443H bersamaan 18hb Oktober 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Luqman.
  2. Surah Luqman, surah ke-31 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 21 dan mengandungi 34 ayat.
  3. Walaupun pendek mengandungi banyak hikmat, pengajaran, iktibar dan nasihat dari Luqman al-Hakim (Luqman yang bijak).
  4. Ittifaq ulama\’ tafsir mengatakan surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah.
    Ada ulama\’ kata Makkiyyah melainkan:
    i- 3 ayat iaitu ayat 27, 28 & 29 yang turun di Madinah.
    ii- kecuali 2 ayat – ayat 27 & 28.
    iii- kecuali 1 ayat tentang zakat. Ayat 4.
  5. Ia mengandungi kisah pengajaran dan pemantapan aqidah untuk kaum muslim Makkah pada peringkat awal yang menghadapi tekanan dan tentangan dari musyrikin Makkah pada masa itu.
  6. Dinamakan surah ini Surah Luqman- kerana kisah mengenainya ada disebut pada ayat 12 dan beberapa ayat yang berikutnya. Kisahnya yang penuh dengan hikmah dan nasihat untuk anaknya, yang dapat kita ambil pengajaran bagi mendidik jiwa kita juga keluarga kita.
  7. Kata Syeikh Ibnu \’Asyur nama surah ini hanya dikenali sebagai Luqman tiada nama lain. Inilah yang dikenali di kalangan para Qurra\’ (pembaca al-Quran) dan ulama\’ tafsir.
    Kisah dan nama Luqman ini hanya disebut dalam surah ini sahaja.

INTISARI KANDUNGAN :

  1. Pada awal surah Allah s.w.t menceritakan tentang orang yang bahagia dan berjaya ialah mereka yang mendapat hidayah dan mematuhi ajaran al-Quran.
  2. Serta orang yang ingkar yang bukan saja ingkar akan al-Quran tetapi terlibat dalam hiburan yang sia-sia serta menyesatkan orang lain juga.
  3. Diceritakan perihal tentang Luqman seorang lelaki soleh (bukan nabi) yang dikurniakan Allah s.w.t dengan ilmu dan kebijaksanaan.
  4. Luqman menasihati anaknya supaya menjauhi syirik dan melakukan amal soleh, dan bersyukur atas segala nikmat Allah s.w.t, berbuat kepada kedua ibu bapa lebih-lebih lagi kepada ibu.
  5. Allah s.w.t telah bawa dalil dan keterangan tentang faedah di langit dan bumi, tetapi manusia yang kafir masih berdegil dalam kejahilan dan kesesatan.
  6. Orang yang sabar dan berserah diri atas apa yang ditakdirkan ke atas dirinya selepas berusaha bersungguh-sungguh adalah mereka yang berpegang kepada janji Allah.
  7. Surah ini diakhiri dengan menyuruh manusia bertaqwa kepada Allah dan takut akan balasan buruk di akhirat kelak. Kerana seorang ibu atau bapa tidak dapat menolong anaknya atau kaum keluarganya.
  8. Ditegaskan bahawa janji Allah itu benar maka jangan terpedaya dengan syaitan dan melanggar perintah Allah.
  9. Allah yang Mengetahui dengan tepat tentang hari Kiamat, yang menurunkan hujan, tahu apa yang ada dalam rahim seorang ibu. Tiada seorang tahu apakah yang akan dibuatnya esok serta dimana atau bila dia akan di mati.

OBJEKTIF SURAH :

1- Ayat ini ditujukan ucapannya kepada manusia untuk menghidupkan jiwa mereka, untuk menjamin supaya mereka mendapat kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat.

  1. Maksud kehidupan yang baik di dunia ialah dengan tauhid yang murni dan beribadat yang betul kepada Allah s.w.t. manakala kehidupan yang hakiki ialah di akhirat kelak.
    Dunia tempat kita meninggalkan bukan tempat tinggal yang kekal.
  2. Menetapkan adanya peristiwa bangkit semula (al-Hisab) dan balasan (al-Jaza\’) di akhirat kelak.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t memberi pujian kepada al-Quran sebagai satu hidayah dan rahmat kepada orang beriman. Serta disebut beberapa sifat orang beriman.
  2. Allah s.w.t juga sebut beberapa sudut dari sifat orang kafir yang mempermainkan dan berpaling dari ayat Allah s.w.t.
  3. Surah ini juga menegakkan hujjah dan dalil di atas keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
  4. Menyebut kisah Syeikh Luqman dan apa yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya dari hikmah kebijaksanaan dan beberapa pesanan kepada anaknya.
    Pesanan yang mengandungi hukum, dakwah akidah yang jitu, akhlak mulia, menunaikan ibadat dan menjiwai muraqabah (pantauan) Allah s.w.t.
  5. Menjelaskan beberapa jenis nikmat yang Allah anugherahkan kepada hamba-Nya dan ilmu Allah meliputi semua perkara, tiada yang tersembunyi dari ilmu-Nya.
  6. Takziah ke atas puak kafir yang sentiasa mengikut (taqlid) kepada ajaran datuk nenek dan tidak mahu buka minda kepada kebenaran, tertutup hati dari keagungan Allah s.w.t.
  7. Kisahnya juga ada menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang ditentang oleh kaumnya, bahawa begitulah sunnah para nabi dan pejuang dakwah semuanya.
  8. Allah s.w.t menyeru semua manusia supaya bertaqwa kepada Allah dan jangan terpedaya dengan kehidupan dunia.
  9. Allah s.w.t sebut 5 kunci perkara ghaib yang hanya ada dengan-Nya, tidak diberi ilmu ini kepada malaikat, rasul atau siapa saja selain-Nya.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.


AYAT 1- {ALIF, LAM, MIIM.} الم (LUQMAN 31:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah المقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam. Mim )
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- {INI IALAH AYAT-AYAT KITAB (AL-QURAN) YANG MENGANDUNGI HIKMAT-HIKMAT DAN KEBENARAN YANG TETAP KUKUH,} (LUQMAN 31:2)

  1. Allah s.w.t menyatakan ayat al-Quran adalah kitab yang mengandungi hikmah dan kebenaran yang teguh dan kukuh. Teguhnya kerana ia menjadi hidayah membawa manusia ke arah kebenaran, ayat yang tinggi dan besar kedudukannya.
  2. Mengandungi hikmah yang teguh dalam lafaz dan maknanya, tiada percanggahan dalam ceritanya, tiada kepincangan dalam maklumatnya, tiada kesilapan atau kepalsuan dalam faktanya.
  3. Ini ialah ayat-ayat Al-Quran, juga Kitab yang jelas nyata kandungannya dan kebenarannya, yang terpelihara dan terjaga dari segala penyelewengan dan pengubahan.
  4. Firman Allah s.w.t: {Alif, Laam, Raa\’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} (Hud 11:1)
    Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.} (Al-Israa\’ 17:9)

AYAT 3- {MENJADI HIDAYAH PETUNJUK DAN RAHMAT BAGI ORANG-ORANG YANG SEDIA MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG BAIK.} (LUQMAN 31:3)

  1. Al-Quran selain dari menjadi kitab hidayah dan petunjuk ia juga akan menjadi satu rahmat dan penolong bagi orang yang baik لِلْمُحْسِنِين:
    i- wajib baik dengan Allah – beriman dan patuh hukum-hakam dan beribadat sebaiknya kepada Allah s.w.t.
    ii- dan baik juga hubungannya dengan manusia. Tidak zalim dan tunaikan hak & tanggung-jawab masing-masing.

AYAT 4- {IAITU ORANG-ORANG YANG MENDIRIKAN SOLAT, DAN MEMBERI ZAKAT, SERTA MEREKA YAKIN TENTANG ADANYA HARI AKHIRAT.} (LUQMAN 31:4)

  1. Allah s.w.t sebut lagi sifat orang yang baik الْمُحْسِنِين:
    i- mendirikan solat.
    ii- mengeluarkan zakat (bersih) harta dan jiwa. Yakni harta diterima dengan cara yang halal dan keluarkan hak harta yang wajib dan sunat, serta zakat- bersih jiwa dan hatinya.
    iii- mereka juga yakin dengan adanya hari Akhirat.

AYAT 5- {MEREKA ITULAH YANG TETAP MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK DARI TUHAN MEREKA, DAN MEREKALAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (LUQMAN 31:5)

  1. Lalu mereka yang bersifat dengan sifat tadi, mereka itulah yang akan tetap mendapat hidayah petunjuk dari Allah s.w.t.
  2. Mereka itulah orang-orang yang beruntung, berbahagia dan berjaya di dunia dan di akhiratnya. Mereka mendapat redha Tuhannya, pahala-Nya di dunia dan akhirat, serta selamat dari kemurkaan dan siksa-Nya.
  3. Semoga kita menjadi orang mendapat faedah dan manfaat akibat dari PKP Covid-19 ini, kita tingkatkan keimanan dan ibadat, belajar dan tadabbur al-Quran serta cuba beramal dengannya sepenuhnya.
  4. Kata Sayyidina Usman r.a:
    إن الله يزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن
    Allah s.w.t memberi kuasa kepada pemerintah / penguasa itu untuk mencegah maksiat dan munkar lebih kuat kuasanya daripada al-Quran.
  5. Antara punca rosak manusia di akhir zaman ialah rosaknya ukhuwwah dan penyakit hati yang takabbur, sombong dan penuh hasad sesama muslim.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 3- {Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang sedia mengerjakan amal-amal yang baik.} – Ihsan- orang yang muhsinin- menjadi orang yang baik itu menjadi sebab untuk mencapai ilmu dan menjadi orang yang soleh.
    Ilmu itu datang dari hidayah yang Allah beri, serta rahmat dalam amalan.
    Bertambahnya ihsan manusia itu apabila bertambahnya ilmu dan amalan.
    Apakah ihsan: Dalam suatu hadis apabila malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah s.a.w bertanya tentang Islam, Iman dan Ihsan:
    \”Kemudian dia (Jibril) bertanya lagi: Jelaskan kepadaku pula apakah maksud Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: \”Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.\” (HR. Muslim)
  2. Ayat 4- {Iaitu orang-orang yang mendirikan solat} – untuk menjadi orang muhsin dan dipuji oleh Allah maka dirikanlah solat.
  3. Ayat 2- {Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,} – maksud kukuh ialah: tiada siapa yang dapat cabar al-Quran dari segi bahasa dan lafaznya. Lafaznya tidak boleh diubah, ditukar dan diseleweng.
  4. Kukuhnya al-Quran juga dari sudut kandungannya, dari segi cerita orang yang terdahulu & terkemudian, tentang perkara-perkara ghaib, semuanya bertepatan dengan realiti kehidupan manusia.
    Para pengkaji dan saintis ilmuwan semuanya tidak dapat mengingkari fakta dan maklumat yang dibawanya, semuanya bertepatan dengan realiti dan ilmu sains serta perubatan hari ini. Tiada yang bercanggah dengan akal yang waras dan logik serta segala ilmu moden.
  5. Kukuhnya al-Quran kerana apabila ia memerintahkan sesuatu dengan menyebutkan hikmah dan faedahnya. Ia melarang sesuatu dengan menyebutkan kerosakan dan bahayanya.
  6. Allah s.w.t kumpul dalam al-Quran ayat galakan dan amaran (targhib dan tarhib), nasihatnya begitu menyentuh jiwa, orang yang faham, apabila membacanya akan bercucuran air mata jika hatinya lembut. Tetapi hati yang keras dan degil tetapi tidak dapat ditembusi lalu mereka adalah orang yang kerugian dunia dan akhirat.
  7. Walaupun kita dapati ayat-ayat atau cerita yang berulang dalam al-Quran – seperti kisah nabi-nabi – tetapi semuanya tiada lansung maklumat yang bercanggah bahkan setiap surah dan ayatnya mempunyai episod dan pengajaran yang berbeza.
    Pengulangan pada kisah, hukum dan sebagainya adalah agar tetap diingati. Semuanya bersesuaian, tidak bertentangan atau bercanggah antara satu sama lain.
    Sesiapa yang mengkaji al-Quran dan semakin mamahami, akan makin terasa kemanisan dan keindahannya.
  8. Ayat 2- {Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,} – semua kebaikan terkumpul dalam al-Quran; kebaikan, rahmat, hidayah, ilmu dan maklumat yang bermanfaat, rahmat, cara melakukan amal ibadat yang sahih dan semuanya.
  9. Ayat 4- {Iaitu orang-orang yang mendirikan solat} – solat adalah amalan yang tertinggi bagi seorang mukmin, sebagaimana amalan Rasulullah s.a.w yang solat sehingga bengkak-bengkak kakinya. Bukan hanya solat fardhu dengan sempurna tetapi solat sunat.
  10. Ayat 5- {Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.} – Allah s.w.t sifatkan mereka yang beramal (seperti solat sebagai amalan yang zahir) dan yang yakin dengan hari Akhirat (amalan batin, hati yang ikhlas) maka Allah ulang dua kali, mereka هُمُ:
    i- mereka inilah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari Allah,
    ii- dan mereka inilah orang-orang yang berjaya.

SOLAT ITU JUGA MENGANDUNGI DUA SIFAT –

i- sifat yang zahir amalan anggota seperti qiyam, rukuk, sujud dan lain-lain.
ii- dan solat yang batin iaitu solat dengan hati yang khusyuk.

MACAMANA UNTUK DAPAT HATI YANG KHUSYUK?

Kita kena bayar zakat iaitu:
i- zakat harta – keluarkan zakat, sedekah yang wajib, hak harta.
ii- zakat jiwa – bersihkan jiwa daripada perkara yang tidak baik.
Sebagai usaha boleh cuba talaqi Kuliah atau baca kitab Penawar Bagi Hati.

Semoga kita termasuk dalam golongan al-Muhsinin yang melayakkan kita ke syurga Allah s.w.t.

Powered by BetterDocs