View Categories

SURAH LUQMAN : AYAT 25-30

\"\"

PENGAKUAN ORANG KAFIR AKAN WUJUDNYA ALLAH, BANDINGAN LUASNYA ILMU ALLAH DENGAN LAUTAN SEBAGAI TINTA & MUDAH SAHAJA ALLAH NAK BANGKITKAN SEMULA HAMBA-NYA.

Full video : https://youtu.be/kvWafBEVTP4

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah, syukur atas nikmat agama Islam yang ada pada kita serta pendidikan agama dan juga diberi nikmat peluang kita untuk bertadabbur ayat-ayat al-Quran. Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang bersyukur atas segala nikmat-Nya, untuk mengekalkannya juga untuk mendapat nikmat-nikmat lain, lalu mendapat nikmat sebenar iaitu keredhaan-Nya.
  2. Dalam siri sebelum ini Allah s.w.t bawa dalil keesaan dan keagungan-Nya dalam penciptaan langit tanpa tiang serta pelbagai anugerah nikmatnya yang zahir dan batin kepada manusia.
  3. Jika mengakui akan ciptaan Allah ini menunjukan bahawa wajib kita memuji hanya Allah serta menyembah hanya DIA, kenapa mensyirikkan-Nya dengan yang lain jika sedar Dia yang Maha Mencipta.
  4. Dalam ayat lepas Allah s.w.t juga memberi kata-kata yang menenangkan Rasulullah s.a.w agar jangan berdukacita dengan pembohongan dan pendustaan orang kafir itu, kerana di akhirat kelak mereka akan menyesal selepas mengetahui segala kebenaran ini.
  5. Maka dibawa ayat-ayat berikutnnya ini sebagai kesinambungan daripada ayat yang sebelumnya. Di mana kaum kafir itu apabila ditanya mengakui dan mengiktiraf akan Allah s.w.t yang menciptakan langit dan bumi.

AYAT 25- {DAN SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERTANYA KEPADA MEREKA (YANG MUSYRIK) ITU: \”SIAPAKAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI?\” SUDAH TENTU MEREKA AKAN MENJAWAB: ALLAH! UCAPKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”ALHAMDULILLAH\” (SEBAGAI BERSYUKUR DISEBABKAN PENGAKUAN MEREKA YANG DEMIKIAN – TIDAK MENGINGKARI ALLAH), BAHKAN KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT TAUHID DAN PENGERTIAN SYIRIK).} (LUQMAN 31:25)

  1. Allah s.w.t beritahu kepada Rasulullah s.a.w jika Baginda bertanya kepada puak kafir (Quraisy di Makkah pada masa itu), \”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?\” Pasti mereka tidak akan teragak-agak menjawab: \”Allah\”.
  2. Rasulullah disuruh ucapkan \”Alhamdulillah\” sebagai bersyukur atas jawapan dan pengakuan ini! Yakni mereka mengakui akan kewujudan Allah dan penciptaan-Nya.
  3. Tetapi malangnya bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat tauhid dan pengertian syirik! Amat memeningkan, mereka mengaku Allah s.w.t yang mencipta Alam ini tetapi dalam masa yang sama mereka menyembah yang lain, syirik dan mempersekutukan-Nya pula!
  4. Mereka tidak tahu, maka tidak tadabbur al-Quran dan tidak ambil peduli dengan dakwah Rasulullah s.a.w, lalu mereka akan kehilangan banyak perkara atas dunia ini.
  5. Kata ulama\’ tadabbur, kalimah {Tetapi malangnya bahkan kebanyakan mereka- بَلْ أَكْثَرُهُمْ } – akan datang selepasnya ayat samada: لَا يَعْلَمُونَ tidak mengetahui atau tidak bersyukur atau tidak beriman. Yakni perkataan \’kebanyakan mereka/ramai\’ ini menunjukkan kepada golongan yang tidak baik. Manakala bila disebut perktaan golongan sedikit adalah golongan yang baik seperti beriman, bersyukur dan lain-lain.
  6. Tetapi kita kena ingat bukan bermakna satu parameter, yang ramai itu betul dan yang sedikit itu salah. Begitu juga sebaliknya. Ukurannya adalah siapa yang berada di atas landasan yang benar, tidak kira sedikit atau ramai!

AYAT 26- {ALLAH JUA YANG MEMILIKI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI; SESUNGGUHNYA ALLAH DIA LAH JUA YANG MAHA KAYA, LAGI SENTIASA TERPUJI.} (LUQMAN 31:26)

  1. Allah s.w.t nyatakan di sini bahawa Allah Azza wa Jalla itu memiliki segala sifat yang sempurna, sifat yang Agung sebagai dalil kekuasaan-Nya.
  2. Allah s.w.t menunjukkan bahawa miliknya segala yang ada di langit dan di bumi.
  3. Sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. Dia tidak memerlukan kepada segala ketaatan dan ibadat makhluk. Kita beribadat itu untuk diri kita sendiri, untuk melayakkan kita menerima keredhaan Allah s.w.t.

AYAT 27- {DAN SEKIRANYA SEGALA POHON YANG ADA DI BUMI MENJADI PENA, DAN SEGALA LAUTAN (MENJADI TINTA), DENGAN DIBANTU KEPADANYA TUJUH LAUTAN LAGI SESUDAH ITU, NESCAYA TIDAK AKAN HABIS KALIMAH-KALIMAH ALLAH ITU DITULIS. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (LUQMAN 31:27)

  1. Allah s.w.t membuat contoh perbandingan jika segala pokok yang ada di atas dunia ini menjadi pena, manakala segala air laut 7 lautan serta semuanya menjadi dakwatnya; nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Yakni ilmu dan maklumat yang ada di sisi Allah s.w.t. sangat luas dan banyak.
  2. Kata Imam Ibnu Kathir: Perkataan tujuh itu menunjukkan banyak bukan hanya tepat-tepat tujuh, bahkan lebih lagi!
  3. Imam-imam Sunnah mengatakan bahawa Allah s.w.t sentiasa berkata-kata dengan apa yang dia nak bila-bila masa dikehendakinya. كونه متكلما
  4. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, Yakni berkuasa mutlak, tiada siapa yang boleh sekat apa yang dia nak bagi dan buat, dan sebaliknya tiada yang boleh beri dan buat apa yang Allah sekat.
  5. Serta tiada siapa yang boleh menolak taqdir Allah s.w.t, tetapi dalam masa yang sama kita kena berusaha, tidak boleh semata-mata menyerah kepada taqdir. Maka insya\’ Allah kita tidak akan stress dan menyesali atas apa yang telah berlaku dari taqdir yang telah ditetapkan.
  6. Allah s.w.t juga lagi Maha Bijaksana. Yakni segala yang Allah s.w.t ciptakan dan taqdirkan itu semuanya ada hikmah, bukan Allah s.w.t jadikan sesuatu dengan suka-suka tanpa keperluan dan hikmahnya. Maka sebagai orang beriman kita bersyukur apabila mendapat nikmat dan sabar apabila ditimpa ujian.
  7. Alhamdulillah di atas semua keadaan.

AYAT 28- {(BAGI ALLAH YANG MAHA KUASA) SOAL MENCIPTAKAN KAMU SEMUA (DARI TIADA KEPADA ADA), DAN SOAL MEMBANGKITKAN KAMU HIDUP SEMULA SESUDAH MATI, TIDAK ADA APA-APA SUKARNYA, HANYALAH SEPERTI (MENCIPTA DAN MENGHIDUPKAN SEMULA) SEORANG MANUSIA SAHAJA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MELIHAT.} (LUQMAN 31:28)

  1. Ayat ini serta 3 ayat yang berikutnya menegas akan kuasa Allah s.w.t yang tidak terbatas, pengetahuan-Nya yang amat luas serta kemurahan-Nya yang tidak putus-putus.
  2. Allah s.w.t menyatakan dengan terperinci kepada orang kafir yang tidak percaya akan kebangkitan semula itu:
    i- bahawa Dia yang menciptakan kamu semua dari tiada kepada ada.
    ii- Maka apa yang peliknya untuk Dia membangkitkan semula kamu yang sudah ada semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya.
    iii- hanyalah seperti mencipta dan menghidupkan semula seorang manusia sahaja.
  3. Allah bagi amaran, jangan kamu fikir Allah itu lemah dan tidak mampu untuk melakukan semua itu, dia yang menciptakan manusia, mematikan mereka, apatah lagi untuk menghidupakan mereka semula serta dari keluar dari kubur.
  4. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Kata ulama\’ cukuplah dengan kita beriman dan berpegang dengan tiga sifat Allah s.w.t untuk mencegah diri kita daripada melakukan maksiat dan kejahatan di atas dunia ini, iaitu Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat dan Maha Mengetahui!
  5. Kita tidak akan mengumpat, mengutuk dan memfitnah orang serta lain-lain perbuatan buruk dan maksiat dalam apa jua keadaan gelap atau cerah, ada orang atau tidak!

AYAT 29- {TIDAKKAH ENGKAU MEMERHATIKAN BAHAWA ALLAH MEMASUKKAN MALAM PADA SIANG DAN MEMASUKKAN SIANG PADA MALAM (SILIH BERGANTI), DAN IA MEMUDAHKAN MATAHARI DAN BULAN (UNTUK FAEDAH MAKHLUK-MAKHLUKNYA)? TIAP-TIAP SATU DARI KEDUANYA BEREDAR UNTUK SUATU MASA YANG TELAH DITETAPKAN. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (LUQMAN 31:29)

  1. Ayat ini adalah dalil tentang keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t lagi. Iaitu tentang silih bergantinya siang dan malam, matahari dan bulan yang diciptakan untuk faedah dan kemudahan makhluk-makhluk-Nya.
  2. Keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Matahari naik turun selama 24 jam, kemudian setahun pusingannya, bulan pula sejak dari kecil bulan sabit sehingga purnama kemudian kecil semula selama sebulan tempohnya. Semuanya untuk kemudahan manusia.
  3. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam خَبِيرٌ akan apa yang kamu lakukan. Bukan hanya setakat pengetahuan biasa tetapi amat mendalam dan menyeluruh.

AYAT 30- {BERSIFATNYA ALLAH DENGAN PENUH KEKUASAAN DAN LUAS ILMU PENGETAHUAN ITU KERANA BAHAWASANYA ALLAH DIA LAH SAHAJA TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA, DAN BAHAWA SEGALA YANG MEREKA SEMBAH SELAIN DARI ALLAH ADALAH PALSU BELAKA. DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA ALLAH DIA LAH YANG MAHA TINGGI KEADAANNYA, LAGI MAHA BESAR (KEKUASAANNYA).} (LUQMAN 31:30)

  1. Allah s.w.t sifat-Nya dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan. Tujuh lautan menjadi dakwat tidak cukup untuk menulisnya.
  2. Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, yang berhak disembah dipuja dan dipuji. Dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu belaka. Ini adalah kata putus bahawa semuanya palsu dan batil!
  3. Segala dalil yang dibawa ini langit bumi, matahari bulan bintang dan semuanya, menunjukkan akan Allah Dia lah Yang Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Besar kekuasaan-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :


A- Faedah Dari Sudut Pendidikan:

  1. Ayat 25- {Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: \”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah\”.} – para ulama\’ berkata ayat ini menjadi dalil bahawa puak musyrikin pada zaman Rasulullah s.a.w mereka mengakui dan mengiktiraf bahawa Allah s.w.t itu yang mencipta langit dan bumi ini. Yakni ikrar dengan tauhid Rububiyyah, (Tauhid Ketuanan) Pencipta Allah.
  2. Ulama\’ kata sesiapa yang mengakui tentang dengan tauhid Rububiyyah, Tauhid Ketuanan, Pencipta Allah saja tidak memberi manfaat dan tidak dikira beriman. Selagi dia tidak beriman dan mengakui Ketuhanan dan Keesaan bahawa hanya Allah yang Berhak disembah, iaitu Tauhid Uluhiyyah, tidak membawa apa-apa manfaat.
  3. Ayat 25- {bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).} – Allah s.w.t menafikan ilmu dari kaum musyrikin itu. Yakni apabila mereka tahu tetapi tidak memberi faedah, maka seolah mereka tidak tahu dan tidak ada ilmu! Dalam al-Quran sudah sebut: Kebanyakan mereka tidak mengetahui, tidak berakal, tidak berfikir dan seumpamanya yang boleh membawa kepada kebaikan hidup mereka. Tetapi ingat ramai atau sedikit tidak menunjukkan betul, yang penting adalah berada di atas manhaj yang benar!
    Contoh; orang yang banyak belajar dan mengaji, baca banyak kitab tetapi dari sudut amalannya tidak menunjukkanya, solat fardhu saja, sunat tidak, bercakap merapu dan guna hadis palsu, maka kita nafikan ilmu dalam perkara itu.
  4. Ayat 28- Allah kata – Buat baru atau bangkit semula adalah sama bagi Allah lalu ditutup dengan ayat – {Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} – ayat ini sebagai ancaman kepada orang yang tidak beriman akan kebangkitan semula, amaran bahawa Allah s.w.t melihat, mendengar dan mengetahui semua apa yang mereka buat! Maka terimalah akibatnya nanti.
  5. Ayat 29- { Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.} – ayat ini pula memberi amaran kepada orang yang tidak setuju dengan Syariat Allah s.w.t sedangkan Allah perkenalkan Dia itu Maha Mengetahui dengan mendalam خَبِيرٌ apa saja yang terjadi dan akan berlaku atas dunia ini. Jika ada manusia kata undang-undang Allah s.w.t tidak sesuai dengan zaman dan keadaan moden hari ini! Jangan kita cuba berani nak langar atau rendahkan hukum Allah.
    Contoh dalam kehidupan: Kita terima dan ikut nasihat pakar kesihatan dan lain-lain. **Hati-hati- nasihat untuk yang mahu mengiklankan hibah takaful insuran dan lain-lain, mahu berniaga boleh tetapi jangan sekali-kali kondem hukum Faraidh yang Allah s.w.t telah tetapkan! Begitu juga dalam hukum Hudud, Riba, rasuah dan lain-lain, jangan kita pandang lekeh dan main-main.
  6. Ayat 28- {(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja.} – Allah s.w.t bawa dalil yang boleh kita nampak sekarang ini untuk meyakinkan kita akan benda yang dijanjikan pada masa akan datang memang tepat!
    استدلال على المشهود بالموعود
  7. Ayat 28- masih lagi dalam ayat ini, dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan Aku cipta kamu dulu mudah saja, maka untuk menghidupkan semula tiada payahnya.
    Ulama\’ menyatakan ayat ini adalah kias/bandingan dengan cara lakonan, tunjuk yang sudah ada sebagai contoh kepada janji yang akan datang.
  8. Ayat 29- {Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan.} – menunjukkan perjalanan matahari dan bulan itu ada tempoh dan peraturannya yang telah ditetapkan. Maka apabila dunia sudah berakhir pada hari Kiamat nanti ia akan bertukar arahnya seperti terbit dari Barat maka itu menunjukkan ada masalah, apabila matahari sudah masuk lorong no-entry.
  9. Ayat 30- {Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya.} – semua yang keluar dan bersandar kepada Allah s.w.t, semuanya benar kerana ia datang dari Allah s.w.t yang Maha Benar, الْحَقُّ
  10. Ayat 30 -{bahawasanya Allah Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya- اللَّهَ هُوَ الْحَقُّ } menunjukan dalil bahawa al-Haqq الْحَقُّ adalah salah satu daripada nama-nama Allah yang indah. الأسماء الحسنى

Powered by BetterDocs