View Categories

SURAH LUQMAN : AYAT 33-34

\"\"

TAQWA MENGHIMPUN KEMBALI KELUARGA, AMARAN JANGAN TERPEDAYA DENGAN DUNIA & 5 KUNCI PERKARA GHAIB HANYA ALLAH YANG MENGETAHUI.

Full video : https://youtu.be/I0qUMTN6A1o

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan tamatkan tafsir dan tadabbur surah Luqman dengan dua ayat yang terakhir.
    Walaupun ayat-ayatnya sedikit hanya 34 ayat, tetapi dari awal sehingga akhir 10 siri kukiah dan alhamdulillah 100 faedah yang dapat kita kutip.
    Mudah-mudahan ia boleh menjadi panduan dan pedoman dalam kehidupan kita.
  2. Dalam siri yang lepas kita tengok bagaimana kekuasaan Allah s.w.t dalam mengapungkan kapal bahtera yang besar di atas pemukaan laut.
    Kehidupan di laut pula kadang bergelombang penuh kecemasan kadang tenang perjalanannya.
    Maka wajib kita sabar ketika diuji dan bersyukur apabila suka dan tenang, begitulah kehidupan kita di atas dunia ini berkisar kepada dua keadaan ini.
  3. Kata Imam Malik rhm.: Sunnah Nabi s.a.w itu seperti bahtera Nabi Nuh a.s, siapa yang nak selamat dari tenggelam maka naiklah ke atasnya.
  4. Dalam siri ini Allah s.w.t akhiri surah ini dengan menyeru sekelian manusia samada yang beriman atau kafir, bertaqwa atau munafiq, bahawa mereka semua akan bertemu dengan Allah s.w.t pada hari Kiamat nanti. Maka buatlah persediaan yang sepatutnya untuk menghadapi kematian dan Kiamat.
  5. Ayat ini datang selepas Allah s.w.t jelaskan dengan sejelasnya akan tanda-tanda dan dalil keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. yang ada di langit, bumi, daratan dan lautan serta dalam penciptaan manusia sendiri.
  6. Kemudian Allah bawa peringatan bahawa kamu semua akan dikumpulkan di hadapan Allah s.w.t dan Allah tahu semua perkara yang kamu lakukan – satu penutup yang cukup mantap dan kemas, jika kamu tidak ambil pengajaran lagi maka bukan salah al-Quran, tetapi silap manusia sendiri!

AYAT 33- {WAHAI SEKELIAN MANUSIA, BERTAQWALAH KEPADA TUHAN KAMU, DAN TAKUTILAH AKAN HARI (AKHIRAT) YANG PADANYA SESEORANG IBU ATAU BAPA TIDAK DAPAT MELEPASKAN ANAKNYA DARI AZAB DOSANYA, DAN SEORANG ANAK PULA TIDAK DAPAT MELEPASKAN IBU ATAU BAPANYA DARI AZAB DOSA MASING-MASING SEDIKIT PUN. SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH ITU ADALAH BENAR, MAKA JANGANLAH KAMU DIPERDAYAKAN OLEH KEHIDUPAN DUNIA, DAN JANGAN PULA KAMU DIPERDAYAKAN OLEH BISIKAN DAN AJAKAN SYAITAN YANG MENYEBABKAN KAMU BERANI MELANGGAR PERINTAH ALLAH.} (LUQMAN 31:33)

  1. Allah s.w.t. berfirman menyeru sekelian manusia memperingatkan agar untuk:
    i- Bertakwalah kamu semua kepada Allah Tuhan kamu.
    Taqwa itu adalah dengan mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Taqwa ini sebagai satu tembok, benteng yang tebal dan kukuh antara kita dan kemurkaan & azab Allah s.w.t.
  2. Juga takutlah kamu kepada Hari Akhirat di mana setiap manusia membawa diri masing-masing, tiada siapa dapat membantu satu sama lain walaupun antara anak dan ibu bapanya. Tiada siapa dapat melepas dosa dan azab orang lain lansung.
  3. Firman Allah s.w.t: {Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,
    Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; – Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.} (\’Abasa: 34-37)
  4. Ayat ini hendaklah dibaca dengan ayat ini: {Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.} (At-Tuur 52:21)
  5. Ulama\’ kata dua ayat ini tidak bercanggah, kerana ayat pertama menunjukan keadaan manusia semasa mula-mula keluar dari kubur, sebelum dihisab dan dihakimi.
    Ayat kedua adalah selepas siap semuanya, orang yang beriman akan bertemu kembali dengan kaumnya keluarga yang beriman – ini adalah syaratnya IMAN.
  6. Maka beringatlah jangan kita sombong dan berbuat sewenanganya atas dunia ini, ingat di depan kita ada kubur, di depan kita ada Hisab, maka buatlah apa yang kamu suka kerana di sana ada pembalasan yang tidak akan lepas seorang pun dari satu perbuatannya pun!
    Fitnah itu amat besar di sisi Allah s.w.t!
  7. Ingatlah janji Allah s.w.t benar, maka jangan berani kamu melanggarnya.
  8. Janganlah juga sekali-kali kamu terpedaya oleh kehidupan dunia ini, iaitu perhiasannya, kemewahannya dan berbagai hal yang menggoda di dalamnya sehingga berpaling dari persiapan untuk mati, persiapan untuk akhirat, menangguh-nangguhkan taubat, meninggalkan maksiat dan dosa, sehingga kematian tiba dan penyesalan tiada guna lagi!
  9. Muhasabah: Ada orang cuba kaitkan: Sayyidina Ab Bakar As-Siddiq r.a menjadi Khalifah ketika berumur 61 tahun dan selepas dua tahun wafat pada umur 63 tahun, maka kitapun masih boleh kejar dunia dan pangkat walaupun sudah lanjut usia! Jangan kita bandingkan dan kira umurnya ini, yang amat besar sumbanganya kepada agama dan tinggi keimanannya, Abu Bakar yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w.
  10. Dari Abu Sa\’id al-Khudri r.a, dari Nabi ﷺ, Baginda bersabda, \”Sesungguhnya dunia ini manis dan indah. Dan sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memberi kuasa kepada kamu untuk mengelola apa yang ada di dalamnya, lalu Dia melihat bagaimana kamu berbuat. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadap dunia dan wanita, kerana fitnah yang pertama kali terjadi pada Bani Israil adalah kerana wanita.\” [HR Muslim].
  11. Janganlah kamu sampai terpedaya oleh syaitan dari mentaati Allah.
    Sesungguhnya syaitan itu dipanggil syaitan kerana kerjanya sentiasa menipu manusia, memperdayakan, menjanjikan, membisikkan ke dalam hati dan memberikan angan-angan yang panjang dan tinggi, dan tidak lengah terhadapnya dalam semua waktu. Padahal tiada sesuatu pun dari apa yang dijanjikan syaitan itu akan dipenuhi.
  12. Ada ulama\’ kata tipu-daya itu adalah semua tipu-daya dan godaan dunia ini dari segi harta, pangkat kedudukan dan semuanya.
    Yang penting kedua tipu-daya ini boleh dijamak (kumpul)kan!
  13. Firman Allah s.w.t: {Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.} (An-Nisaa\’ 4:120)
  14. Firman Allah s.w.t lagi: {Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.} (Al-A\’raaf 7:27

AYAT 34- {SESUNGGUHNYA DI SISI ALLAH PENGETAHUAN YANG TEPAT TENTANG HARI KIAMAT. DAN DIA LAH JUA YANG MENURUNKAN HUJAN, DAN YANG MENGETAHUI DENGAN SEBENAR-BENARNYA TENTANG APA YANG ADA DALAM RAHIM (IBU YANG MENGANDUNG). DAN TIADA SESEORANG PUN YANG BETUL MENGETAHUI APA YANG AKAN DIUSAHAKANNYA ESOK (SAMA ADA BAIK ATAU JAHAT); DAN TIADA SEORANGPUN YANG DAPAT MENGETAHUI DI BUMI NEGERI MANAKAH IA AKAN MATI. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI AMAT MELIPUTI PENGETAHUANNYA.} (LUQMAN 31:34)

  1. Allah s.w.t bagitahu kepada manusia bahawa sesungguhnya janji Allah itu benar, serta menegaskan bahawa terdapat 5 kunci tentang 5 rahsia ini hanya Allah s.w.t yang tahu tentangnya:
    i- Tentang hari Kiamat.
    Tentang bila berlakunya tiada siapa yang tahu samada para Rasul atau malaikat! Apatah lagi manusia biasa.

ii- tentang bilakah akan turunnya hujan.

iii- apa yang ada dalam rahim kandungan seorang ibu.

iv- tentang apa yang akan diusahakannya esok, samada baik atau jahat.

v- dibumi manakah seseorang itu akan mati.

  1. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengatakan wahai manusia kamu tidak tahu tetapi {Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya}.
  2. Allah telah bawa DUA dalil untuk tunjuk kepada kita bahawa Dia berkuasa untuk Kebangkitan semula ini:
    i- bumi yang kering hidup dan menghijau semula selepas hujan.
    ii- awal kejadian manusia, maka tidak susah untuk Allah s.w.t ulang balik menghidupkannya semula selepas mati.
  3. Kita lihat satu persatu kunci rahsia ini.
    Tentang Hari KIAMAT:
    i- Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kita tentang hari Kiamat, di mana malaikat Israfil telah bersedia memegang serunainya diletak dimulutnya, menunggu masa perintah Allah untuk meniupnya, bila-bila masa saja. [HR Ahmad].
    Ini menunjukkan malaikat juga tidak tahu bila akan berlaku Kiamat.

b. Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Kunci-kunci semua yang ghaib itu ada lima, tiada seorang pun yang mengetahuinya kecuali hanya Allah, kemudian dibacanya ayat al-Quran ini: {Sesungguhnya Allah, hanya di sisi-Nyalah pengetahuan tentang hari kiamat; Dialah yang menurunkan hujan; Dia mengetahui apa yang ada di dalam rahim; tiada seorang pun yang mengetahui apa yang akan diusahakannya esok; dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.}\” [HR Muslim].

  1. Tentang HUJAN:
    i- hanya Allah s.w.t yang mengetahui secara tepat bilakah akan turunnya hujan, berapa banyak jumlahnya dan berapa lama.

ii- Pengetahuan bersifat ramalan:
a- Pusat Kaji Cuaca atau Jabatan Meteorlogi – hanya meramal dan menjangka kedatangan hujan dan panas. Juga setakat pengetahuan dan ilmu manusia yang diberi tentang angin, kedudukan awan dan apa yang berlaku di langit, udara mengikut ilmu yang mereka pelajari. Itupun terhad untuk tempoh yang terdekat dan tertentu sahaja.
Ini bukan sama seperti bomoh hujan, kerana ia menggunakan fakta dan berdasarkan benda yang wujud dan dapat dilihat.

b- Ahli falak atau pakar ilmu astronomi, mengetahui bila berlakunya gerhana matahari dan bulan, musim tengkujuh dan musim kemarau mengikut perhitungan yang mereka lakukan. Ini disebabkan perkara itu tidak termasuk dalam perkara ghaib dan boleh diterima oleh akal manusia. Lagipun pengetahuan mereka tentang perkara itu masih lagi bersifat ramalan dan bukannya suatu kepastian.

  1. Hanya Allah s.w.t sahaja yang tahu apa yang ada dalam perut seorang ibu.
    Manakala ultra-sound oleh doktor itu hanya mendekatkan manusia kepada rahsia itu, bukan betul-betul tepat juga, sama seperti ahli falak/kaji cuaca tadi juga sedikit ilmu yang diberi oleh Allah s.w.t. Ini kerana Allah s.w.t sudah beritahu Dia yang pegang kunci itu, maka manusia tidak dapat merempuhnya.
  2. Tentang apa yang akan disusahakannya esok, samada baik atau jahat.
    Manusia itu hanya boleh merancang dan merangka, membuat misi dan visi, tetapi Allah s.w.t yang akan menentukannya. Maka setiap kali membuat rancangan atau janji, kita jangan lupa menyebut insya\’ Allah!

8.Manusia juga tidak tahu di bumi manakah seseorang itu akan mati.
Ini adalah rahsia yang dipegang oleh Allah s.w.t. di manakah dia akan mati dan tanah kubur seorang manusia itu.
Kisah Israiliyyat – orang yang cuba lari dari malaikat maut pada zaman Nabi Sulaiman.

  1. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan; {Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.}
    maka jelaslah di sini segala rahsia yang tersembunyi dari manusia itu hanya Allah yang mengetahuinya.
    Sesiapa yang mengaku mengetahui semua ini maka sesungguhnya dia telah kufur kepada al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :


A- Dari Sudut Pendidikan;

  1. Ayat 33- {Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) } – ayat ini memberi peringatan kepada kita agar takut kepada suatu hari yang amat dahsyat dan huru-hara.
    Maka wajib kita kena buat persiapan awal yang secukupnya dengan bertaqwa kepada Allah s.w.t. jangan tahu saja tanpa apa-apa usaha dan persiapan.
  2. Ayat 33- {Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan} – Allah ingatkan bahawa janji Allah itu benar, maka jangan kamu terperangkap dan terpedaya dengan bisikan dan ajakan Syaitan.
  3. Ayat 33- {maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan} – dalam ayat Allah s.w.t gambarkan manusia ini ada 3 kategori:
    i- yang terpedaya dengan dunia, bila dunia panggil dia.

ii- syaitan datang waswaskan dalam hatinya, memasuki jarum dan godaannya untuk menangguhkan taubat, melewatkan ibadat dan lain-lain.

iii- yang tidak peduli dengan godaan dunia, dia tengok kepada dunia hanya sebagai alat untuk meraih bekal menuju ke akhirat nanti.

Hadis pesanan Rasulullah kepada Ibnu Umar r.a: Dari Ibnu Umar r.anhuma, dia berkat: \”Rasulullah s.a.w memegang kedua bahuku, lalu bersabda, \’Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing atau seorang musafir\’ [dan persiapkan dirimu termasuk orang yang akan menjadi penghuni kubur (pasti akan mati)].\” [HR Bukhari].

Ibnu Umar r.a sendiri pula berkata:
\”Jika engkau berada di petang hari, janganlah menunggu pagi hari. Dan jika engkau berada di pagi hari, janganlah menunggu petang hari. Pergunakanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu dan hidupmu sebelum matimu.\”

Ayat 33- {maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia} – seseorang itu terpedaya dari hukum Allah s.w.t, sehingga rasa aman dan selamat dari apa yang telah disusun dan ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Merasakan masih ada masa, tidak apa masih sempat bertaubat, umur panjang lagi dan seumpamanya.

Allah bagi kemewahan dan kesenangan supaya makin tidak sedar dan jauh dari Allah s.w.t. sebagaimana dalam hadis tentang istidraj – diriwayatkan daripada \’Uqbah bin \’Amir R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
Maksudnya: \”Apabila kamu melihat Allah S.W.T memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.\” [Riwayat Ahmad].
*Maka kita jangan terpedaya dan merasa tidak adil dan mahu ikut perbuatannya.

B- Faedah Ilmiah:

Ayat 33- {Seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun} – bagaimana ini sedangkan ada hadis yang menceritakan seorang itu naik darjat tinggi hasil dari doa anaknya.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ، فَيَقُولُ: يَا رَبِّ، أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Maksudnya: \”Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini? Allah berfirman: dengan istighfar anak kamu kepadamu\”. [Riwayat Ahmad].

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang anak yang soleh itu mampu mengangkat darjat ahli keluarganya di syurga.

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadis yang masyhur berkaitan doa seorang anak yang soleh kepada ibu bapanya merupakan satu amalan yang tidak akan terputus walaupun ibubapanya sudah tiada di dunia lagi.

Ulama\’ kata ayat al-Quran ini menunjukkan keadaan semasa mula-mula dibangkitkan dari kubur, masih tidak tahu siapa yang menjadi ahli syurga dan siapa ahli neraka, keadaan huru-hara di Padang Mahsyar untuk dihitung (hisab) dan diadili, maka tiada siapa yang boleh menolong siapa.

Manakala hadis itu pula cerita tentang ibu bapa yang sudah berada di dalam syurga, yakni dia sendiri orang soleh yang sudah mendapat balasan baik, maka memberi manfaat kepadanya doa dan istighfar anaknya yang soleh pula. Wallahu a\’lam.

Ayat 33- { maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia} – terbukanya pintu nikmat khazanah dunia boleh menjadi penyebab terbesar manusia berubah dari baik lalu tiba-tiba terpedaya dan tersasar.
Contoh- Qarun pada zaman Nabi Musa a.s.

Ayat 34- {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.} – lima perkara ini tiada manusia yang dapat tahu dengan tepat.
Sesiapa yang mengaku dia tahu bererti dia telah kufur dengan al-Quran.

Sayyidah Aisyah Ummul Mukminin r.a. berkata:
وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يُخْبِرُ بِمَا يَكُونُ فِى غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللَّهِ الْفِرْيَةَ وَاللَّهُ يَقُولُ (قُلْ لاَ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللَّهُ ).
\”Sesiapa yang mengatakan bahwasanya dia mengetahui apa yang akan terjadi pada esok hari, maka sungguh dia telah berbuat dusta yang besar kepada Allah Azza wa Jalla. (Ini kerana) Allah Azza wa Jalla telah berfirman maksudnya: {Katakanlah, tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang gaib, kecuali Allah.} [An-Namlu: 65].\”
[HR Bukhari & Muslim].

Ayat 34- {Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.} – tetapi Allah s.w.t buka dan bawa tanda-tanda dan alamat kepada hampirnya kepada manusia melalui hadis untuk bersedia dan beringat.
Seperti anak derhaka kepada ibu bapa, banyaknya banggunan tinggi dan lain-lain. Supaya kita beringat bahawa tanda Kiamat kita (mati) sudah dekat, juga tanda Kiamat besar. Diutusnya Rasulullah s.a.w itu sebagai rasul akhir zaman adalah antara tanda Kiamat.

Ayat 34- { dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung).} – dalam ayat ini Allah s.w.t gunakan perkataan apa (ma) di dalam rahim (مَا فِي الْأَرْحَامِ ) bukan (مَن) siapa- kerana ia sudah jelas manusia (siapa), tetapi (apa) ini adalah tentang manusia dan sifatnya seperti jantina dan lain-lain.

Ayat 34- {Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok} – untuk maksudnya { betul mengetahui }, Allah s.w.t guna perkataan (وَمَا تَدْرِي) ilmu dirayah, bukan (وَمَا تَعلم) kerana ilmu dirayah itu ia bukan ilmu pengetahuan biasa tetapi tak tau apa yang akan dibuat esok, tidak boleh dipastikan. Ilmu perancangan ada tetapi ilmu untuk buatnya, jadi atau tak jadi esoknya, hanya Allah s.w.t saja yang tahu.

Begitulah betapa detail dan terperinci bahasa (Balaghah & Lughah) al-Quran, satu mukjizat dan keajaiban, terlalu banyak untuk dikorek dan dipelajari bagi pakar bahasa dan ulama\’ tafsir yang mahir dan mampu.

Alhamdulillah, bersyukur dengan limpah kurnia Allah s.w.t kita dapat khatam, habiskan 10 siri Surah Luqman dengan 100 Faedah ringkas.

Powered by BetterDocs