KELAHIRAN NABI YAHYA AS MENERIMA JAWATAN NABI DAN BERPEGANG DENGAN TAURAT, SIFATNYA YANG BAIK & KISAH KEMATIAN 2 NABI INI.
Full video: https://youtu.be/OXTUODkHx2o
MUQADDIMAH :
1. Dalam siri lepas dijelaskan bahawa Nama Nabi Zakaria a.s ada disebut dalam al-Quran sebanyak 7 kali;
i & ii- 2 kali dalam ayat 37 surah Aal-Imran.
iii- 1 kali dalam ayat 38.
iv- 1 kali dalam surah al-An’am ayat 85,
v & vi- 2 dalam surah Maryam, ayat 2 & 7,
vii- sekali dalam surah al-Anbiya’- ayat 89.
2. Dalam siri ini kita dapati dalam al-Quran ada 5 tempat disebut nama Yahya a.s pula.
i- Surah Al Imran: 39. ii- Surah Al An\’am: 85. iii & iv- Surah Maryam: 7 &:12. v- Surah Al Anbiya\’: 90
3. Zakaria adalah suami kepada kakak Maryam, anak keluarga Aal-Imran yang dinazarkan oleh ibu bapanya untuk berkhidmat di tempat ibadat. Maryam juga ada seorang abang yang bernama Harun. Maryam kemudiannya adalah ibu kepada Nabi Isa a.s.
4. Zakaria sebagai penjaga Maryam yang masih kecil melihat banyak kelebihan dan karamah yang diberikan Tuhan kepada Maryam, sentiasa ada makanan dan lain-lain.
5. Melihat keajaiban inilah Nabi Zakaria mendapat ilham dan semangat untuk berdoa kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan zuriat untuk menyambung dakwahnya.
6. Lalu Allah s.w.t mengabulkan doanya dengan memberi khabar gembira bahawa dia akan dapat anak yang bernama Yahya. Siap dinamakan oleh Allah s.w.t., inilah salah satu kelebihan nabi Yahya a.s.
7. Yahya يحيى- adalah nama yang berasal daripada Bahasa Arab. Maksudnya hidup- asal الحياة. Yakni orang yang dihidupkan Allah s.w.t dengan keimanan & kenabian, maksiat dan kekotoran tidak masuk ke dalam hatinya.
8. Mereka ini- Zakaria, Yahya dan Maryam, bukan bangsa Arab, mereka adalah dari keturunan bani Israil yang hidup pada zaman itu.
AYAT 12- {\”WAHAI YAHYA, TERIMALAH KITAB ITU (SERTA AMALKANLAH) DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH! DAN KAMI BERIKAN KEPADANYA HIKMAT KEBIJAKSANAAN SEMASA IA MASIH KANAK-KANAK.} (MARYAM 19:12)
1. Allah s.w.t menyeru Nabi Yahya a.s sebagaimana dalam ayat ini, perintah untuk menerima kitab (ajaran) ini serta mengamalkannya dengan bersunguh-sungguh.
2. Nabi Yahya juga diberikan ilmu dan hikmah ketika masih kanak-kanak lagi.
2. Ulama\’ berbeza pendapat dalam maksud hikmat kebijaksaan ini:
i- ada yang kata maksudnya dia dilantik menjadi nabi ketika kanak-kanak lagi,
ii- ada kata bermaksud ilmu dan kebijaksanaan yang hakiki.
3. Tetapi ulama\’ semua bersetuju bahawa Isa dan Yahya dilantik menjadi nabi dan rasul awal lagi, yakni sebelum berumur 40 tahun, berbeza dengan nabi-nabi lain. Ini kerana tempoh hidup mereka di atas dunia sekejap sahaja.
AYAT 13- {DAN (KAMI MENGURNIAKANNYA) RAHMAT DARI SISI KAMI, SERTA KELEBIHAN YANG KEMBANG MANFAATNYA; DAN IA SEORANG YANG BERTAQWA.} (MARYAM 19:13)
1. Yahya diberi banyak rahmat dan kelebihan oleh Allah s.w.t, حَنَانًا
2. Dia seorang yang bersih daripada dosa dan maksiat. وَزَكَاةً
3. Dia juga seorang yang bertqwa, sangat patuh kepada perintah Allah s.w.t dan menjauhi segala larangan-Nya. تَقِيًّا
4. Ini adalah berkat doa bapanya yang berdoa untuk mendapat seorang anak yang soleh demi agama.
AYAT 14- {DAN IA TAAT SERTA BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPANYA, DAN IA PULA TIDAK SOMBONG ANGKUH ATAU DERHAKA.} (MARYAM 19:14)
1.yahya juga seorang anak yang taat serta amat suka berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.
2. Dia juga seorang tidak sombong dalam beribadat kepada Tuhannya serta sama sekali tidak berbuat derhaka kepada Allah dan ibu bapanya.
AYAT 15- {DAN (KAMI LIMPAHKAN) KEPADANYA SELAMAT SEJAHTERA PADA HARI IA DIPERANAKKAN, DAN PADA HARI IA MATI, SERTA PADA HARI IA DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA (PADA HARI KIAMAT).} (MARYAM 19:15) .
1. Allah s.w.t limpahkan kesejahteraan kepada Yahya serta menjaganya agar selamat daripada ganguan syaitan.
2. Di sini dinyatakan Allah s.w.t menjaganya pada 3 tempat; iaitu pada hari dia diperanakkan, dan pada hari dia mati, serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
3. Apakah hikmahnya? Ini kerana tiga tempat/suasana itu adalah sangat kritikal bagi seorang manusia:
i- Pada hari diperanakkan. Seorang bayi keluar dari rahim ibunya yang gelap dan selesa ke dunia asing yang cerah dan luas. Dikatakan syaitan juga akan mencucuk pinggangnya kerana itu dia menangis. Lalu kita sebagai muslim kena cepat berebut dengan syaitan, azankan ditelinga anak itu agar ia menjadi kalimah pertama yang didengarnya.
ii- Pada hari kematian. Pastilah sesuatu yang amat menakutkan, kiamat kecil kepada setiap manusia, dari ramai-ramai dan bebas di atas dunia, ditanam, masuk seorang diri di alam kubur yang gelap dan sempit, jika ada amalan baik beruntunglah, tetapi jika sebaliknya, malanglah dan terseksa.
iii- Pada waktu dihidupkan balik. Sekali lagi dari kegelapan dan keseorang dalam alam Kubur ke padang Mahsyar, hari perhimpunan yang penuh dengan segala manusia dan huru-hara yang amat dahsyat.
4. Kata Ulama\’ Sufyan bin ‘Uyainah: 3 Tempat yang kita akan berasa sangat terasing, keseorangan dan ketakutan adalah:
i. Dalam Rahim dari keseorangan ke tempat yang luas dan bising bila lahir ke dunia.
ii. Bila mati, dari atas dunia yang cerah dan ramai, ke alam kubur yang gelap dan sunyi, alam lain serta jumpa makhluk lain iaitu malaikat dan soalannya.
iii. Hari dibangkitan, perhimpunan agung di Padang Mahsyar, hari perkumpulan dan kacau bilau, dari gelap kepada cerah pula.
5. Jadi Allah s.w.t telah memberi jaminan bahawa Nabi Yahya a.s akan dipelihara dan selamat dalam 3 keadaan ini.
BEBERAPA KISAH BERKENAAN NABI YAHYA AS:
1. Nabi Yahya a.s. adalah sezaman dengan Nabi Isa a.s. bahkan mereka adalah saudara sepupu (ibu mereka dua beradik). Ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis Isra\’ dan Mi\’raj, bila Baginda s.a.w naik ke langit kedua dan berjumpa dua orang nabi ini.
2. Sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda: \”Sesungguhnya Allah s.w.t telah memerintahkan lima kalimat kepada Nabi Yahya bin Zakariya dan Isa a.s untuk dilaksanakan olehnya, dan menyuruh Bani Israil agar mereka melaksanakannya juga.\”
Ajaran yang dibawa oleh Nabi Yahya juga Nabi Isa a.s, kepada Bani Israil adalah 5 perkara:
i- Menyembah Allah s.w.t tanpa syirik kepada-Nya.
ii- Diperintahkan untuk Solat.
iii- Diperintahkan untuk Puasa.
iv- Diperintahkan untuk bersedekah.
v- Diperintahkan untuk berzikir kepada Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w menyambung bahawa aku pula mahu perintahkan kepada kamu dengan 5 perkara iaitu; hidup berjemaah, dengar dan taat, hijrah dan jihad. [HR at-Tirmizi].
3. Hiduplah Nabi Yahya berdakwah kepada manusia untuk menyembah dan beribadat kepada Allah s.w.t sehingga kematiannya. Begitu juga bapanya.
4. KISAH ISRAILIYYAT kematian para nabi, sering kita dengar bahawa kaum yahudi adalah pembunuh para nabi. Tersebar bahawa mereka berdua ini Yahya dan Zakaria dibunuh dengan kejam oleh kaum yahudi, digergaji dalam pokok dan lain-lain. Dalam al-Quran dan hadis yang sahih tidak disebut tentang cara kematian mereka. Maka tidak perlu kita mengorek mencarinya
5. Kisah Israiliyyat yang masyhur tentang sebab kematian Nabi Yahya, adalah kerana dibunuh oleh seorang Raja Yahudi di Palestin. Kisahnya Raja Herodus itu bercinta dan mahu kahwin dengan anak saudaranya sendiri iaitu Herodia. Yahya menghalangnya kerana dalam Syariat mereka pun haram berkahwin dengan sesama mahram. Lalu kerana marah terhadap Yahya yang tegas mengatakan pernikahan itu dilarang oleh Allah S.W.T, mereka lalu membunuhnya. Banyak kisahnya tetapi jangan percaya kerana tiada sumber.
6. Syeikh Dr Solah al-Khalidi membuat analisa tentang kisah ini dalam kitabnnya “Qasasul-Quran”.
(الدكتور صلاح عبد الفتاح الخالدي – القصص القرآني)
i- Menolak cerita ini kerana tiada kesahihan sumber, al-Quran tidak menyebutnya juga tiada hadis yang sahih boleh diangkat kepada Nabi s.a.w.
ii- Serta kerana ia juga bercanggah dengan fakta yang disebut dalam al-Quran. Dimana Allah s.w.t telah menegaskan bahawa Yahya itu akan sejahtera dan selamat pada hari dia diperanakkan, pada hari dia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula.
iii- Maka pastilah Allah s.w.t menjaganya dan dia meninggal dalam keadaan sejahtera dan terpelihara. Wallahu a’lam.
Wallahu a’lam.