MARYAM BAWA BALIK ANAKNYA, ISA BERCAKAP MEMPERKENALKAN DIRINYA DAN BEBERAPA WASIAT IBADAH DILAKUKAN & KUASA ALLAH DENGAN \”KUN FA YAKUN\”.
Full video: https://youtu.be/0etLss4mbTM
MUQADDIMAH:
1. Sekarang kita masuk ke episod seterusnya di mana Maryam membawa anaknya kembali kepada kaumnya.
2. Sebelum ini diceritakan malaikat datang menemui Maryam membawa khabar bahawa dia akan dikurniakan anak. Lalu ditiup ruh maka hamillah dia.
3. Apabila hamil Maryam membawa diri ke sebelah timur sehingga selamat melahirkan seorang anak dekat sebatang pokok tamar.
4. Berlaku lagi karamahnya, anak kecil yang baru dilahirkan itu dapat bercakap, mengalir air sungai untuk kegunaannya, serta pokok tamar itu berbuah untuk menjadi makanannnya.
5. Maryam juga diberi nasihat agar tidak bercakap apabila ditanya oleh kaumnya nanti serta hanya memberi isyarata kepada anaknya.
6. Setelah melihat semua kejadian ajaib ini Maryam mendapat kekuatan dan keberanian untuk kembali semula menghadapi kaumnya. Kita lihat kisahnya dalam siri ini insya\’ Allah.
AYAT 27- {KEMUDIAN BALIKLAH IA KEPADA KAUMNYA DENGAN MENDOKONG ANAKNYA MEREKA PUN MENEMPELAKNYA DENGAN BERKATA: WAHAI MARYAM! SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH MELAKUKAN SUATU PERKARA YANG BESAR SALAHNYA!} (MARYAM 19:27)
1. Maryam pun kembali semula kepada kaumnya dengan mendukung anaknya secara terang-terangan dengan tenang dan yakin.
2. Ayat ini menyatakan- {Maryam mendukung anaknya} untuk menzahirkan bahawa dia berjalan balik membawa anaknya.
3. Kaumnya terkejut dan terus menempelak Maryam mengatakan dia telah melakukan sesuatu yang amat besar salahnya iaitu zina.
AYAT 28- {\”WAHAI SAUDARA PEREMPUAN HARUN, BAPAMU BUKANLAH SEORANG YANG BURUK AKHLAKNYA, DAN IBUMU PULA BUKANLAH SEORANG PEREMPUAN JAHAT!\”} (MARYAM 19:28)
1. Mereka juga mengungkitkan keturunannya, menyebut nama abangnya Harun, atau ada ulama\’ kata seorang yang terkenal soleh pada masa itu, (ada juga yang kata dinisbahkan kepada Nabi Harun adik nabi Musa, tetapi pendapat ini tidak tepat kerana terlalu jauh jarak masa mereka).
2. Yakni tidak layak Maryam buat kerja buruk begitu sedangkan dia seorang yang kuat beribadat, duduk di masjid. Dia juga keturunan orang yang baik dan soleh, adik-beradik Harun yang soleh, bapanya orang yang mulia dan ibunya juga orang yang baik.
3. Orang yang baik-baik akan memilih nama yang baik-baik untuk keturunannya seperti nama para rasul dan anbiya’, orang-orang soleh dan solihin. Maka Harun disini adalah merujuk kepada seorang yang soleh pada zaman itu samada adik beradik Maryam atau bukan.
4. Diriwayatkan oleh al- Mughirah bin Syu’bah yang diutus oleh Rasulullah s.a.w ke Najran di negeri Yaman di mana terdapat orang- orang Nasrani dan mereka bertanya kepadanya: “Mengapa kamu membaca di dalam Al-Quran, wahai saudara perempuan Harun, padahal Harun dan Musa itu hidupnya lama sekali sebelum lahirnya Isa ibnu Maryam?”
Al- Mughirah tidak sempat memberikan jawapan dan apabila beliau apabila beliau pulang ke Madinah dan berjumpa Rasulullah, beliau mengemukakan pertanyaan itu.
Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: “Mengapa kamu tidak memberitahu mereka, bahawa kebiasaan mereka (Bani Israil) itu suka menyebut-nyebut nama para nabi dan orang- orang soleh sebelum mereka. [HR Ahmad].
AYAT 29- {MAKA MARYAM SEGERA MENUNJUK KEPADA ANAKNYA. MEREKA BERKATA (DENGAN HAIRANNYA): \”BAGAIMANA KAMI BOLEH BERKATA-KATA DENGAN SEORANG YANG MASIH KANAK-KANAK DALAM BUAIAN?\”} (MARYAM 19:29)
1. Maryam ikut perintah Allah yang telah mengajarnya agar diam dan jangan menjawab serta menunjuk kepada anak yang di atas dukungannya.
2. Kaumnya hairan pula lalu berkata: \”Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang bayi yang masih dalam buaian?\”
3. Bertambahlah keraguan dan tohmahan mereka kepadanya.
AYAT 30- {IA MENJAWAB:\” SESUNGGUHNYA AKU INI HAMBA ALLAH; IA TELAH MEMBERIKAN KEPADAKU KITAB (INJIL), DAN IA TELAH MENJADIKAN DAKU SEORANG NABI.} (MARYAM 19:30)
a. Disini berlakulah mukjizat yang besar dari Nabi Isa a.s. Dia bercakap dan memberikan 9 sifat keistimewaannya:
1. Sesungguhnya aku ini HAMBA ALLAH.
2. Aku akan diberikan sebuah KITAB (injil). Sebelum ini mereka berpegang dengan kitab Taurat dari Musa a.s.
3. Allah akan jadikan aku seorang NABI.
AYAT 31- {DAN IA MENJADIKAN DAKU SEORANG YANG BERKAT DI MANA SAHAJA AKU BERADA, DAN DIPERINTAHKAN DAKU MENGERJAKAN SEMBAHYANG DAN MEMBERI ZAKAT SELAGI AKU HIDUP.} (MARYAM 19:31)
Antara sifat Isa yang diberitahunya sendiri semasa bayi lagi:
4. Allah menjadikan aku seorang yang berkat, membawa kebaikan dan manfaat yang banyak sekali kepada Bani Israil ini.
5. Aku diperintahkan untuk mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat selama aku hidup. Bagaimana solat dan zakatnya wallahu a’lam.
B. Ada ulama\’ kata zakat itu bermakna zakat harta seperti kita hari ini, ada kata zakat itu bererti membersihkan jiwa dan diri daripada segala jenis dosa, maksiat dan perbuatan yangtidak baik.
AYAT 32- {\”SERTA (DIPERINTAHKAN DAKU) TAAT DAN BERBUAT BAIK KEPADA IBUKU, DAN IA TIDAK MENJADIKAN DAKU SEORANG YANG SOMBONG TAKBUR ATAU DERHAKA.} (MARYAM 19:32)
Sifat Isa a.s lagi:
6. Diperintahkan untuk taat dan berbakti kepada ibuku, Maryam. Isa ini antara anak yang sangat taat dan baik kepada ibu.
7. Allah tidak menjadikan aku seorang yang sombong dan takabbur.
8. Juga aku bukan seorang yang jahat dan celaka.
AYAT 33- {DAN SEGALA KESELAMATAN SERTA KESEJAHTERAAN DILIMPAHKAN KEPADAKU PADA HARI AKU DIPERANAKKAN DAN PADA HARI AKU MATI, SERTA PADA HARI AKU DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA (PADA HARI KIAMAT)\”.} (MARYAM 19:33).
a. Sifat Nabi Isa a.s lagi:
9. Isa a.s akan dilimpahkan segala selamat sejahtera yakni Allah s.w.t akan menjaganya dari ganguan syaitan pada hari dia diperanakkan dan pada hari dia mati, (yakni bukan dalam keadaan dibunuh, dipalang atau disalib seperti dakwaan puak kafir) serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
b. Setiap manusia akan diganggu syaitan sejak lahir lagi, dia akan cuba cucuk seorang bayi. Tetapi Isa dan ibunya Maryam selamat daripada gangguan syaitan ini berkat doa neneknya sebagaimana dalam ayat yang lepas.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Ketika manusia dilahirkan dari perut (rahim) ibunya, ia menangis dengan kuat. Itu kerana ia ditampar oleh syaitan terkutuk yang tak seorangpun selamat darinya kecuali Nabi Isa ibnu Maryam dan ibunya, alaihimas salam. Ini kerana Allah melindungi mereka berdua kerana ibu kepada Sayyidah Maryam, isteri Imran, sebelumnya pernah berdoa begini: {Dan sesungguhnya aku mohon perlindungan kepada-Mu, untuk dia dan keturunannya, dari gangguan syaitan yang terkutuk.} [Aal-Imran:36].
Juga disebutkan dalam hadis, ‘Ketika Iblis datang untuk menusuknya, maka tusukan itu mengenai tabir.” [HR. Bukhari dan Muslim].
c- Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s hanya bercakap ketika mula-mula lahir bersama ibunya, kemudian ketika mula-mula dibawa balik berjumpa kaumnya. Iaitu untuk membersihkan tuduhan terhadap ibunya dan menerangkan sifat-sifatnya itu, kemudian kembali menjadi seperti bayi biasa tidak bercakap lagi sehingga membesar dan tiba waktunya. Menunjukkan mukjizat yang besar, bukan hanya bayi ajaib luar biasa.
d- Kata al-Qurtubhi- kuasa Allah s.w.t boleh buat apa saja, Dia boleh memberi kuasa untuk Isa a.s bercakap pada bila-bila masa sahaja yang Dia kehendaki.
AYAT 34- {YANG DEMIKIAN SIFAT-SIFATNYA ITULAH ISA IBNI MARYAM. KETERANGAN YANG TERSEBUT IALAH KETERANGAN YANG SEBENAR-BENARNYA, YANG MEREKA RAGU-RAGU DAN BERSELISIHAN PADANYA.} (MARYAM 19:34).
1. Itulah sifat-sifat Nabi Isa bin Maryam yang sahih dan benar,seorang manusia dan rasul. Bagi orang Islam itulah sifat Isa a.s, seorang hamba dan rasul.
2. Bukan sebagaimana dakwaan orang-orang kafir itu yang penuh keraguan dan perselisihan padanya. Yahudi kata anak zina, Kristian pula kata anak Tuhan, والعياذ بالله
3. Isa ibnu Maryam; dinisbahkan kepada ibunya kerana dia memang tiada bapa. Seorang manusia biasa yang ada bapa, gunalah nama bapanya jangan cuba tiru Isa bin Maryam.
4. Ini kerana seorang manusia itu diseru kepada bapanya. Apabila minta orang mendoakan atau solat hajat terus bagi nama berbinkan ibu. Biasanya yang minta nama bin/binti ibu ini berkait dengan perbomohan dan kepercayaan karut orang Melayu.
Ayat 35– {Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: \”Jadilah engkau\”, lalu menjadilah ia.}
(Maryam 19:35)
1. Yakni Allah s.w.t yang demikian sifat dan kekuasaan-Nya, Maha Sucilah Dia daripada anak-pinak dan sifat-sifat sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang kafir itu.
2. Apabila Allah s.w.t berkehendakkan sesuatu perkara itu terjadi, maka cukuplah sekadar DIA berfirman kepadanya: \”Jadilah engkau\”, lalu menjadilah ia.
AYAT 36- {DAN SESUNGGUHNYA ALLAH IALAH TUHANKU DAN TUHAN KAMU MAKA SEMBAHLAH KAMU AKAN DIA INILAH JALAN YANG BETUL – LURUS\”.} (MARYAM 19:36)
1. Isa a.s menegaskan kepada kaumnya bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan dia dan Tuhan mereka semua juga, maka sembahlah akan Dia dan itulah jalan lurus yang sebenarnya.
2. Nabi Isa a.s berdakwah dan menafikan segala tuduhan-tuduhan yang ada dalam kepala kaumnya pada masa itu yang mengatakan dia adalah anak tuhan.
3. Tetapi malangnya sehingga ke hari ini berterusan lagi puak kafir (Kristian) yang mendakwa dia adalah anak Tuhan sedangkan Isa a.s sendiri telah menafikannya dengan jelas.
BEBERPA FAEDAH RINGKAS :
1 Nabi Isa a.s telah menceritakan sendiri ketika berkata-kata kepada kaumnya semasa bayi, 9 sifat keistimewaannya:
i. Sesungguhnya aku ini HAMBA ALLAH.
ii. Aku akan diberikan sebuah KITAB (injil). Sebelum ini mereka berpegang dengan kitab Taurat dari Musa a.s.
iii. Allah akan jadikan aku seorang NABI.
iv. Allah menjadikan aku seorang yang berkat, membawa kebaikan dan manfaat yang banyak sekali kepada Bani Israil ini.
v. Aku diperintahkan untuk mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat selama aku hidup. Bagaimana solat dan zakatnya wallahu a’lam.
vi. Diperintahkan untuk taat dan berbakti kepada ibuku, Maryam. Nabi Isa a.s antara anak yang sangat taat dan baik kepada ibu.
vii. Allah tidak menjadikan aku seorang yang sombong dan takabbur.
viii. Juga aku bukan seorang yang jahat dan celaka.
ix. Isa a.s akan dilimpahkan segala selamat sejahtera, yakni Allah s.w.t akan menjaganya dari ganguan syaitan pada hari dia diperanakkan dan pada hari dia mati, (yakni bukan dalam keadaan dibunuh, dipalang atau disalib seperti dakwaan puak kafir), serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
2. Nabi Isa telah berwasiat kepada kaumnya untuk menunaikan solat, zakat dan isu khas berbuat baik kepada ibu bapa. Isu ini disebut khas kerana dalam kalangan Bani Israil pada masa itu amat lemah dan kurang sifat taat dan berbakti kepada ibu bapa, maka ajaran Nabi Isa memberi penekanan dalam hal ini.
3. Penekanan ini bukan hanya untuk Bani israil, bahkan untuk kita juga ummat Nabi Muhammad s.a.w, banyak juga hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang mengajar sifat ini, baik kepada ibu bapa yang masih hidup atau sudah mati.
4. Maka tamatlah kisah Nabi Isa a.s dan ibunya Sayyidah Maryam dalam surah yang besar ini. Faedah dan khulasahnya insya\’ Allah dalam siri yang akan datang.
Wallahu a’lam.