MALAIKAT TURUNKAN WAHYU DENGAN PERINTAH ALLAH, KAUM MUSYRIK INGKAR DIBANGKIT SEMULA & SETIAP ORANG AKAN MELALUI SIRAT.
Full video: https://youtu.be/03oU-2NKXjg
MUQADDIMAH :
1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t sebut beberapa cerita anbiya’ a.s untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w. Bagaimana nabi-nabi yang lalu juga melalui cabaran dan halangan dalam dakwh sebagaimana Baginda s.a.w juga.
2. Kemudian tentang keadaan manusia selepas ketiadaan para nabi ini, di mana mereka menjadi kufur, tidak menjaga solat dan lain-lain.
3. Kemudian kisah kali ini pertanyaan Rasulullah s.a.w kepada Jibril apabila wahyu terlewat untuk sementara waktu. Juga orang kafir yang terus mengata dan memerli Rasulullah s.a.w.
4. Juga tentang pendustaan orang musyrik tentang kebangkitan semula serta keadaan manusia yang akan melalui titian sirat.
AYAT 64- {DAN (BERKATALAH MALAIKAT): \”KAMI TIDAK TURUN DARI SEMASA KE SEMASA MELAINKAN DENGAN PERINTAH TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD); DIA LAH JUA YANG MENGUASAI SERTA MENTADBIRKAN APA YANG DI HADAPAN KITA DAN APA YANG DI BELAKANG KITA SERTA APA YANG DI ANTARA ITU; DAN TIADALAH TUHANMU ITU LUPA.} (MARYAM 19:64)
1. Ini adalah dialog antara Rasulullah yang bertanya kepada malaikat Jibril tentang wahyu yang lama tidak turun.
2. Maka ayat ini adalah seolah jawapan dari Jibril kepada persoalan itu.
3. Apabila wahyu terhenti sementara waktu, kaum Quraisy terus mengejek dan mengata kepada Rasulullah yang sudah ditinggalkan Tuhannya.
4. Lalu malaikat Jibril datang menjawab supaya Rasulullah s.a.w jangan memperdulikan mereka puak kafir itu, sengaja mahu menyakiti dan membuat Rasulullah sedih dan runsing.
5. Jibril juga memberitahu bahawa dia turun dan datang bukan ikut suka atau atas kuasanya, melainkan dengan perintah Allah s.w.t. ada hikmanya, kadang-kadang kerana Allah s.w.t mahu menegur Nabi s.a.w, supaya berkata insya’ Allah dan seumpamanya.
6. Allah jualah yang memerintah dan mentadbir segala-galanya dan bukanlah Tuhan itu lupa, tetapi semuanya yang di hadapan kita yang di belakang kita terletak di bawah hikmah kebijaksanaan dan kehendak-Nya.
7. Tafsir ulama\’ tentang depan dan belakng ini; ada kata masa hidup dan masa mati, yang telah lepas dan yang akan datang dan seumpamanya, apa yang pasti semuanya di bawah kekuasan Allah s.w.t.
AYAT 65- {\”TUHAN YANG MENCIPTA DAN MENTADBIRKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA; OLEH ITU, SEMBAHLAH ENGKAU AKAN DIA DAN BERSABARLAH DENGAN TEKUN TETAP DALAM BERIBADAT KEPADANYA; ADAKAH ENGKAU MENGETAHUI SESIAPAPUN YANG SENAMA DAN SEBANDING DENGANNYA?\” (MARYAM 19:65).
1. Siapakah Tuhanmu yang tidak lupa ini? DIAlah Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya. (Tauhid Rububiyyah).
2. Maka sembahlah Dia, Allah semata-mata (Tauhid Uluhiyyah). Dan sabar dalam beribadat kepada-Nya, kerana bukan senang mahu istiqomah dalam apa jua ibadat dan ketaatan.
3. Dan hendaklah kamu sedar dan tahu bahawa TIADA sesiapapun yang senama dan sebanding dengan-Nya. Ini adalah tentang Nama-nama dan sifat Allah s.w.t yang mulia.
4. Ulama\’ kata ada beberapa faedah dan akidah yang kita kena faham dalam ayat ini:
i- Firman Allah s.w.t: {..dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadaNya;} bahawa dalam setiap ibadat itu ada masyaqqah – kesusahan yang tersendiri, tetapi walaupun susah masih di bawah skop kemampuan manusia. Maka kita wajib tekun dan sabar melakukannya, samada dalam muamalat pendapatan dan menjaga aurat bagi wanita.
ii- Dalam ayat ini: {Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya;} adalah tentang Tauhid Rububiyyah.
iii- Dalam ayat ini pula {Oleh itu, sembahlah engkau akan Dia} adalah tentang Tauhid Uluhiyyah.
iv- Dalam ayat ini pula: {Adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding dengan-Nya?} Menunjukkan tiada bandingan bagi Allah s.w.t serta yang seumpamanya. Asy-Syura ayat 11. Ini adalah tentang al-Asma’u wa as-siffatu Allah Azza wa Jalla, nama dan sifat Allah.
5- Kata ulama\’ Ibnu Aqil;
i- Setiap nama khas untuk Allah s.w.t seperti Allah, ar-Rahman al-Khaliq dan lain-lain tidak boleh dinamakan kepada manusia, mesti letakkan kalimah Abdun عبد yang bererti hamba di hadapannya seperti عبد الله dan lain-lain.
ii- Begitu juga tidak boleh guna nama-nama yang boleh menunjuk kepada takbur dan terlalu memuji seperti Malikun Azim (raja yang Agung), Khairun-Nisa’ yang bererti sebaik perempuan, sedangkan Rasulullah s.a.w telah katakan sebaik perempuan adalah Khadijah, Asiah isteri firaun dan seumpamanya. Begitu juga nama yang menunjukkan kepada penyembahan dan kesyirikan.
AYAT 66- {DAN MANUSIA (YANG KAFIR) BERKATA: \”APA! APABILA AKU MATI, ADAKAH AKU AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA?\” (MARYAM 19:66)
1. Dalam ayat ini adalah tentang sekumpulan manusia yang tidak menerima tauhid Allah s.w.t dan menolak kebangkitan semula.
2. Mereka memerli Rasulullah s.a.w dan mempermain-mainkan dengan berkata apakah selepas mati kita akan dibangkitkan dan hidup semula?
AYAT 67- {PATUTKAH MANUSIA ITU BERKATA DEMIKIAN DAN TIDAK MEMIKIRKAN BAHAWA KAMI TELAH MENCIPTAKAN DIA DAHULU SEDANG IA PADA MASA ITU BELUM ADA SEBARANG APAPUN? (MARYAM 19:67)
1. Tidak patut sama sekali manusia itu sombong dan takabbur begitu, sedangkan mereka dulu tiada apapun lalu Allah s.w.t mencipta mereka. Peringatan akan asal kejadian mereka. Surah Yasin [ayat 78].
2. Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis Qudsi (Hadis Qudsi maknanya lafaz oleh Rasulullah s.a.w tetapi maknanya dari Allah s.w.t.) tentang kumpulan manusia yang tidak percaya akan kebangkitan semula ini.
AYAT 68- {OLEH ITU, DEMI TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD)! SESUNGGUHNYA KAMI AKAN HIMPUNKAN MEREKA YANG KAFIR ITU BESERTA SYAITAN-SYAITAN DI PADANG MAHSYAR, KEMUDIAN KAMI AKAN BAWA MEREKA DUDUK BERLUTUT DI KELILING NERAKA JAHANNAM. (MARYAM 19:68)
1. Sekarang Allah datangkan amaran dan ancaman dengan bersumpah atas nama-Nya sendiri yang mulia:
i- Akan kumpulkan mereka yang kafir itu (pengikut) beserta syaitan-syaitan (boss/ketua yang diikuti) di Padang Mahsyar.
ii- Kemudian mereka akan dibawa duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.
AYAT 69- {SESUDAH ITU, SESUNGGUHNYA KAMI AKAN CABUT DARI TIAP-TIAP GOLONGAN, MANA-MANA ORANG YANG SANGAT DERHAKA KEPADA (ALLAH) AR-RAHMAN, DI ANTARA MEREKA. (MARYAM 19:69)
1. Ayat ini menunjukkan bahawa mula-mula dikumpulkan di Padang Mahsyar, kemudian di sekeliling neraka Jahannam, kemudian akan dipilih ketua-ketua yang paling jahat di kalangan mereka untuk dicampak ke dalam neraka terlebih dahulu. Maka awaslah para pelopor maksiat dan kejahatan. Na’uzubillah.
AYAT 70- {KEMUDIAN, SESUNGGUHNYA KAMI LEBIH MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG LEBIH PATUT DISEKSA DAN DIBAKAR DANGAN API NERAKA ITU. (MARYAM 19:70)
1. Allah s.w.t menerangkan bahawa kaum kafir itu tidak perlu mengajar dan memberitahu siapa yang perlu diazab dahulu kerana Allah s.w.t lebih mengetahui segalanya. Tentang siapa lebih patut diseksa dan dibakar dangan api neraka itu.
AYAT 71- {DAN TIADA SEORANGPUN DI ANTARA KAMU MELAINKAN AKAN SAMPAI KEPADANYA; (YANG DEMIKIAN) ADALAH SATU PERKARA YANG MESTI (BERLAKU) YANG TELAH DITETAPKAN OLEH TUHANMU. (MARYAM 19:71).
1. Ini sumpah Allah s.w.t; bahawa tidak akan ada seorang pun yang akan terlepas daripadanya. Maksud ayat ini bahawa: {.. semua orang akan sampai kepadanya}:
i- ada ulama\’ kata ke neraka.
ii- ada yang mengatakan ke Titian Sirat.
2. Yang demikian adalah perkara yang mesti berlaku, yang telah ditetapkan ole Allah s.w.t. Maksudnya semua orang samada yang beriman dan orang yang kafir akan tetap melalui neraka Jahannam dengan melalui titian sirat. Maka orang yang beriman serta mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya akan selamat masuk ke syurga. Manakala yang kafir akan jatuh ke dalam neraka والعياذ بالله .
3. Yakni ada dua kumpulan yang akan melalui sirat:
i- Mereka yang Beriman,
ii- Beriman tetapi melakukan maksiat.
Orang kafir tidak akan melaluinya, bahkan akan terus dicampak ke dalam neraka seperti ayat di atas tadi.
4. Hadis panjang yang diriwayatkan oleh Said al-Qudri r.a menyebut:
“Sewaktu dibentang al-jisr (jambatan/titian) di atas neraka jahannam, pada waktu itu Rasulullah akan dibenarkan memberi syafaat dan berdoa: “Ya Allah, selamatkanlah”. Baginda akan merasa berdebar, begitu jugalah umatnya yang sedang meniti titian itu.
Apabila ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan al-jisr itu, Baginda berkata ia adalah titian sirat yang licin, mempunyai lengan yang hujungnya runcing dan duri yang ada padanya dikenali sebagai as-sa’dan. Duri yang tajam dan beracun itu akan mengait manusia yang melalui titian sirat itu.
Menurut Rasulullah, ada di kalangan orang mukmin yang berlari meniti titian itu hanya sekelip mata. Ada yang sepantas buraq dan selamat menitinya, ada yang bagaikan angin, ada yang menitinya bagai burung yang berterbangan dan ada pula yang berlalu seperti kuda dan tunggangan lain.
Malah ada juga orang Islam yang terkena kaitan duri ketika meniti titian itu lalu dilempar ke neraka jahannam. Titian sirat itu sehalus sehelai rambut yang dibelah tujuh dan lebih tajam daripada mata pedang, dalam keadaan gelap, berbau hanyir dan kedengaran api neraka sedang marak serta duri yang sedang kait-mengait di bawahnya.
Selain itu ada juga orang Islam yang meniti titian itu di dalam keadaan merangkak lalu terjatuh dan menaiki semula titian. Apabila titian itu digoncang dan dikait sehingga terjatuh, ada yang terselamat, manakala ada juga yang terus terjatuh ke dalam neraka. Sewaktu tercampak dan melayang ke dalam neraka, kedengaran bunyi api marak yang akan memusnahkan dirinya.
Datang penjaga neraka dan bertanya kepadanya: “Tidak adakah orang yang mengajar dan memberitahumu tentang agama ketika hidup di dunia dahulu?”. Dijawabnya: “Ya aku pernah mendengarnya dahulu, sudah datang segala peringatan untuk kami. Tapi sayangnya kami dusta dan tidak mempedulikan apa yang berlaku, menjadikan kami sesat dan tidak mendengar terhadap pengajaran agama ini sendiri”. [HR Muslim].
AYAT 72- {KEMUDIAN KAMI AKAN SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERTAQWA, DAN KAMI AKAN BIARKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM (DENGAN KEKUFURANNYA DAN MAKSIATNYA) TINGGAL BERLUTUT DI DALAM NERAKA ITU.} (MARYAM 19:72)
1. Maksud ayat ini jelas, iaitu orang yang bertaqwa akan selamat manakala orang yang zalim dengan kekufuran dan maksiatnya akan tinggal berlutut, tetap di dalam neraka itu. والعياذ بالله
BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
1. Apabila manusia membantah tentang Kebangkitan semula ini, mula-mula Allah s.w.t menyuruh manusia untuk berfikir iaitu menggunakan otak/akal untuk memahami suasanan yang ada iaitu tentang asal kejadian penciptaanya sendiri.
2. Ayat ini juga adalah mukjizat al-Quran. Para ulama\’ berkata cukup mantap sekali hujjah yang dibawa oleh Allah s.w.t ini, tidak mampu manusia untuk mengadakanya.
3. Setiap orang akan melalui Titian Sirat ini tetapi tingkatannya berbeza-beza, nikmat ke atas orang yang bertaqwa. Rujuk kepada hadis di atas.
4. Ada juga pandangan ulama\’ kata orang mukmin akan masuk dan melihat neraka juga, walaupun tidak terasa azab, untuk melihatnya sendiri saja. Apakah hikmahnya?
i- Untuk memberi rasa gembira dan syukur kepada orang mukmin, setelah berada dalam neraka yang cukup gawat dan bahaya, apabila diselamatkan dan dikeluarkan daripadanya tidak dapat digambarkan kesyukurannya.
ii- Untuk menambahkan lagi siksaan azab dan dukacita ahli neraka apabila melihat kawannya yang beriman itu selamat dan ditarik keluar.
iii- Disitulah terzahirnya kepada ahli neraka akan kebenaran dakwah yang mereka tolak selama ini.
iv- Menambahkan lagi azab dan penyesalan kepada orang kafir apabila mereka berjumpa.
v- Untuk menzahirkan kepada orang mukmin akan kebenaran neraka yang diberi peringatan dan ancaman selama ini, lalu bertambah keimanan mereka.
vi- Menambahkan nikmat syurga kepada orang mukmin yang telah melihat sendiri akan azab neraka yang dahsyat. Dengan adanya perbandingan baru akan nampak perbezaannya.
YA ALLAH YA TUHANKU SELAMATKANLAH KAMI SEMUA DARIPADA AZAB NERAKA-MU DAN JADIKANLAH KAMI DARI GOLONGAN AHLI SYURGA-MU.
Wallahu a’lam.