View Categories

SURAH MUHAMMAD : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ANCAMAN KEPADA PENENTANG AGAMA ISLAM & PUJIAN UNTUK ORANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/hU4yxh3o6XA

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Isnin 27 Zulqa\’dah 1443H bersamaan 27hb Jun 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Muhammad – سورة محمد
  2. Surah Muhammad, adalah surah ke-47 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Al-Jathiyah dalam juz ke 26, mengandungi 38 ayat.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Madinah iaitu selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Madaniyyah.
  4. Dinamakan surah ini sebagai Surah Muhammad S.A.W – سورة محمد yang bermakna (Nabi Muhammad s.a.w) kerana pada awal surah ini diterangkan bahawa orang kafir yang menentang Islam, Allah akan disia-siakan amal mereka. Sebaliknya orang yang beriman dan beramal soleh serta meyakini kebenaran al-Quran yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w, Allah s.w.t akan mengampunkan dosa-dosa mereka serta mendapat kejayaan di Akhirat kelak.

Disebut perkataan (محمد) pada ayat ke-2: {وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَى مُحَمَّدٍ}

  1. Dalam surah Aal-Imran pada ayat 144 ada juga disebut nama Muhammad ini:
    {وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ }- {Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul.}
  2. Ada juga yang menamakannya sebagai surah (القتال) yang bermakna (Peperangan) kerana disebut dan disyariatkan padanya peperangan.
    Diterangkan secara khusus peperangan yang berlaku antara orang Islam dan orang kafir yang menceroboh. Juga diterangkan hukum-hukum & peraturan serta balasan yang sebaiknya bagi orang Islam yang gugur syahid.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Setelah diterangkan tentang keadaan orang beriman & orang yang kafir; serta memberi arahan agar orang yang beriman bersedia untuk berjuang di jalan Allah dan berjuang dengan gagah berani menentang pencerobohan musuh.

Maka Allah s.w.t menegaskan bahawa orang yang mengaku beriman akan diuji, sehingga ternyata adanya orang-orang yang berjuang di antara mereka & orang yang sabar menjalankan perintah-Nya sehingga dapat disahkan benar atau tidak berita-berita tentang keadaan mereka.

  1. Kemudian Allah s.w.t juga mengingatkan bahawa kehidupan dunia yang tidak berasaskan iman & taqwa hanyalah ibarat permainan & hiburan semata. Jika akhirnya mereka beriman dan bertaqwa maka itu adalah sebaiknya.
  2. Allah s.w.t juga tidak meminta mereka untuk mendermakan hartanya kecuali untuk memberikan balasan yang lebih baik. Tetapi sayang, kebanyakan manusia bersifat bakhil kedekut, sedangkan sekiranya mereka bakhil untuk menderma harta ke jalan Allah, mereka itu hanya berlaku bakhil pada dirinya sendiri.
  3. Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa Allah Ta\’ala Maha Kaya tidak berhajat kepada sesiapa sedangkan kamu semua adalah orang miskin yang berhajat kepada-Nya dalam segala segi!
  4. Jika kamu enggan beriman, bertaqwa dan menderma, maka Allah s.w.t akan menggantikan kamu dengan yang kaum lain, setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH- TAFSIR MUHARRAR :

  1. Antara objektif utamanya ialah Allah s.w.t menggalak dan memberi semangat agar bejihad pada jalan Allah & berperang dengan orang kafir, serta mematahkan kekuatan mereka dan menyatakan buruknya akhir perjalanan hidup mereka.
  2. Juga untuk mendedahkan buruknya perilaku mereka serta memberi amaran agar jangan terperangkap dengan permainaan puak munafik.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Menyatakan buruknya akhir perjalanan puak kafir dan eloknya akhir perjalanan orang beriman yang akan ke syurga.
  2. Menggalakkan orang mukmin agar keras & tegas untuk berlawan dengan puak kafir yang menentang Islam. Jika mereka dapat ditewaskan maka tawanlah mereka.
  3. Allah janjikan pertolongan kepada orang mukmin dengan syarat apabila mereka memberi pertolongan kepada Allah iaitu dengan membantu perjuangan agama Allah dan rasul-Nya serta diberi khabar gembira dengan nikmat syurga.

Sebaliknya Allah memeberi janji buruk & kecelaan kepada orang yang tidak mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada umat terdahulu. Jika masih lagi kufur, maka mereka akan binasa.

  1. Allah s.w.t sebut sebahagian kecil perangai dan sikap munafik terhadap Rasulullah s.a.w dan dakwahnya. Iaitu sifat buruk seperti penipu, buruk perangai, penakut apabila diajak berperang dan sebagainya.
  2. Menyatakan bahawa perangai munafiq yang bertalam dua muka, menyebabkan mereka dikuasai syaitan serta memusuhi Islam.
  3. Allah janjikan siksa terhadap orang kafir serta amalan kebajikan mereka semuanya akan gugur menjadi debu yang berterbangan.
  4. Allah memerintahkan orang mukmin untuk taat kepada Allah & rasul.
    Serta melarang dari sifat putus asa dan kecewa dari rahmat Allah serta kemenangan bagi mereka.
    Juga peringatan dari sifat bakhil yang buruk, maka sentiasalah bernafkah fisabilillah, baru dapat nikmat yang baik.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENGHALANGI (DIRINYA DAN ORANG LAIN) DARI JALAN ALLAH, ALLAH SIA-SIAKAN SEGALA AMAL MEREKA.} (MUHAMMAD 47:1)

  1. Orang kafir yang menghalang dirinya & orang lain dari jalan Allah, dari mengikut Islam, maka tidak akan memberi faedah segala amal baik mereka.
  2. Yakni amal mereka yang baik di dunia dulu seperti menolong orang dalam kesusahan dan kerabat yang memerlukan, semuanya menjadi debu berterbangan dan tiada nilai di sisi Allah s.w.t.
  3. Tentang maksud orang kafir yang menyekat dari jalan Allah {وَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ} ini kata ulama\’:
    i- asalnya turun untuk kafir Quraisy- yang menyekat kaumnya dari menerima Islam & dakwah Rasulullah s.a.w.

ii- ahli Kitab yahudi & Nasrani yang menyekat orang daripada beriman kepada Rasulullah s.a.w.

iii- ada ulama\’ kata umum, asal kafir yang menyekat maka dia termasuk dalam golongan ini!

  1. Sia-sia amalan mereka { أَضَلَّ أَعْمَالَهُمْ} samada hilang pahalanya atau perancangan jahat mereka semasa di dunia ini gagal semuanya.

AYAT 2- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH SERTA BERIMAN KEPADA AL-QURAN YANG DITURUNKAN KEPADA NABI MUHAMMAD (S.A.W) – YANG IALAH KEBENARAN DARI TUHAN MEREKA, – ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA-DOSA MEREKA, DAN MENJAYAKAN KEADAAN MEREKA (DI DUNIA DAN DI AKHIRAT).} (MUHAMMAD 47:2)

  1. Ayat ini tentang orang yang beriman kepada Allah & Rasul, beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada Nabi s.a.w, serta beramal soleh, mereka akan:
    i- diberi taufik untuk menjalankan suruhan agama,

ii- diberi dorongan untuk mencapai kejayaan dalam hidupnya di dunia,

iii- serta di Akhirat pasti akan beroleh kejayaan!

  1. Setelah Allah nyatakan hal orang kafir dalam ayat pertama, ayat ini adalah tentang keadaan orang mukmin yang beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w maka dia akan diampunkan oleh Allah s.w.t dengan sebab iman & amal soleh.
  2. Allah s.w.t juga akan perbaik dan elokkan keadaan mereka di dunia & Akhirat.
  3. Kata ulama\’ maksudnya {Allah mengampunkan dosa-dosa mereka}- adalah dosa-dosa kecil mereka { كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ} kerana untuk dosa besar biasanya digunakan perkataan zanbu/zanub { ذَنُوبِ\\ ذَنْبٌ}.
  4. Dalilnya firman Allah s.w.t: {Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).} (An-Nisaa\’ 4:31)
  5. Hadis: Sabda Rasulullah S.A.W: \”Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar (الكبائر).\” (HR Muslim)
  6. Dosa itu terbahagi kepada dua; dosa besar & dosa kecil.
    Kata ulama\’, kaedahnya: Jika ia berkumpul (disebut sekali keduanya) maka ia berpisah, jika ia berpisah (disebut satu sahaja) maka ia bersama yakni bermaksud dua-duanya. Jika tidak disebut satu-satu yakni termasuk kedua-duanya.
  7. Allah baiki hati kita, kerana apabila hati itu baik maka baiklah kesemua aspek badan & kehidupan kerana ia adalah raja dalam badan manusia.
  8. Kemudian balasan itu mengikut kategori amal, kata ulama\’; yang baik dapat baik, yang buruk dapat balasan buruk!

AYAT 3- {BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN, KERANA SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR MENURUT PERKARA YANG SALAH, DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN MENURUT PERKARA YANG BENAR DARI TUHAN MEREKA. DEMIKIANLAH ALLAH MENERANGKAN KEPADA UMAT MANUSIA AKAN SIFAT DAN AKIBAT BAWAAN MEREKA MASING-MASING.} (MUHAMMAD 47:3)

  1. Kesesatan ini kerana puak kafir mengikut jalan yang salah, amalan mereka yang batil, tidak mahu ikut kebenaran & ikut syaitan, maka sesatlah mereka dari jalan yang benar.
  2. Manakala bagi orang mukmin pula Allah ampunkan dosa mereka, perelokkan keadaan mereka, hati jadi baik, amalan mereka ikhlas, dengan sebab mereka ikut jalan Allah yang benar, yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
  3. Allah s.w.t bawa kepada manusia bandingan untuk mereka pilih & ikut! Sudah diterangkan kepada manusia, bawa gambaran dan contoh keadaan pelbagai jenis kepada manusia & sifat mereka, sehingga tidak ada lagi keraguan & kesamaran di hadapan mereka! Jelas ini baik ini buruk, ini benar ini batil! Tinggal pilihan sendiri sahaja!
  4. Kata Syeikh Syanqiti rhm.: Allah bawa bandingan yakni dibuat perlawanan: baik lawan buruk, soleh lawan toleh, mukmin lawan kufur, benar lawan batil.
    Maka pilihlah mana yang kamu mahu ikut.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {{Orang-orang yang kafir serta menghalangi (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah, Allah sia-siakan segala amal mereka.}- dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bahawa:
    i- Dia tidak akan memberi bimbingan & pertolongan kepada orang kafir yang sesat dari jalan-Nya. Bahkan Allah akan bagi bimbingan dan panduan untuk orang yang beriman.

ii- Segala amalan baik mereka (orang kafir) tidak akan diterima serta gugur segala pahala mereka semuanya.

iii- dapat difahami dari ayat ini bahawa orang mukmin tidak akan gugur pahalanya secara keseluruhan cuma mungkin akan berkurangan atau hilang dengan sebab-sebab tertentu, seperti firman Allah s.w.t ini:
{Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.} (Al-Baqarah 2:264)

Yakni orang mukmin akan hilang amalan dengan sifat dan perangai buruk. Manakala orang kafir hilang & gugur terus dengan sifat kufur mereka.

Kaedahnya; maksiat akan melahirkan maksiat, dosa akan melahirkan dosa. Kebaikan akan melahirkan kebaikan.

  1. Ayat 2- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w)}- ayat ini mengajar cara beradab dengan Rasulullah s.a.w dalam bab panggilan.
    Allah s.w.t tidak panggil nama Baginda s.a.w kecuali dengan jalan cerita (مقام الإخبار), manakala jika dengan seruan atau panggilan di panggil dengan pangkatnya seperti { يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ} atau { يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ}.

Allah s.w.t sendiri mengajar kita agar beradab dengan panggilan terhadap Rasulullah s.a.w, maka jangan sekali-kali kita pula memanggil dan menyeru-nyeru nama Baginda s.a.w dengan Ya Muhammad dan seumpamanya, seperti dalam sesetengah selawat yang dibuat.

Firman Allah s.w.t:
{Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.} (An-Nuur 24:63)

Ini adalah salah satu ciri-ciri keistimewaan Baginda s.a.w. Buku susunan DAAM:
41 Kelebihan Rasulullah S.A.W, boleh didapati di:
http://www.dartaibah.com/…

Tentang kafir yang menyekat dari jalan Allah { وَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ } siapakah mereka?

Golongan kafir ini ada beberapa kategori:
i- ada kafir pak turut. Sebut ketuanya tidak menafikan pengikutnya juga. Maka keduanya termasuk dalam golongan yang dicela ini.

ii- siapa yang kufur dia telah mnyekat dirinya daripada menerima kebenaran.

  1. Ayat 3- {Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya orang-orang yang kafir menurut perkara yang salah, dan sesungguhnya orang-orang yang beriman menurut perkara yang benar dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah menerangkan kepada umat manusia akan sifat dan akibat bawaan mereka masing-masing.}- difahami dari perbandingan ini: antara kafir yang tidak beriman & mukmin yang beriman- keduanya adalah sangat berlawanan.

Jika nak tahu yang mana salah & yang mana benar maka ayat ini menggalakkan supaya menuntut ilmu dari kitab Allah dan Sunnah Nabi s.a.w & beramal dengannya barulah kita akan menjadi orang yang mengikut kebenaran.
Kebenaran tidak akan datang hanya dengan semangat, wajib dengan ilmu & belajar.

Ini kerana Islam itu tertegak atas hujjah & kebenaran. Maka kita pilihlah nak masuk kumpulan mana, yang benar atau batil!

  1. Ayat 3- {Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya orang-orang yang kafir menurut perkara yang salah,}- penjelasan yang Allah beri ini memberi penjelasan kepada manusia akan keadaan & sifat mereka, yakni supaya mereka tahu berada di dalam golongan mana agar mereka tidak terus sesat. Jika mereka masih tidak mahu menerima penjelasan ini, mereka tidak akan dapat membezakan antara yang haq & batil!

Jika mereka terus tutup mata & telinga, maka mereka akan menyokong kebatilan yang sesat & menghentam habis-habisan orang yang mendedahkan kebenaran pula!

Inilah permainan dan perhiasan syaitan yang menggalakkan manusia dalam kesesatan.

Kita kena ada ilmu basirah (berfikir dengan hati), barulah kita dapat keluar dari kelompok yang sesat atau puak munafiq yang berpura Islam tetapi di dalamnya kafir, na\’uzubillah.

  1. Ayat 3- {Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya orang-orang yang kafir menurut perkara yang salah,}- dengan sebab sesatnya akidah mereka, amalan puak kafir itu maka tidak memberi manfaat apa-apa kepada mereka. Jika tapak/asasnya salah maka akan sengetlah bangunan itu.

Kerana itu puak kafir cuba runtuhkan Islam dari akar umbinya, contoh seperti mengatakan al-Quran itu tidak betul, mana lagi hujjah atau sumber hukum kita?

Permainan Syiah pula yang mengatakan semua sahabat Nabi s.a.w itu kebanyakannya telah murtad, kecuali beberapa orang. Maka sumber ahli sunnah adalah sumber yang tidak boleh dipakai! Maka jika sumber tidak boleh dipakai maka banyaklah maklumat yang tidak boleh diterima kerana sumber itu salah!

Inilah putar belit iblis supaya orang yang sesat tetap dalam kesesatannya serta menyekat orang lain daripada celik mata terhadap apa kesalahan yang mereka lakukan itu! Berhati-hatilah dengan permainan syaitan, kerana ia bijak untuk menyesatkan manusia.
Siapa kata syaitan tak bijak bermakna dia itu yang tidak bijak!

Mereka bermain dengan fakta hujjah dari sumber asal. Sedangkan orang kafir itu sebenarnya sudah tahu secara asasnya, dalam jiwa mereka tahu ada Allah tetapi tidak mahu beriman!

Orang beriman pula walaupun tahu benda itu salah tetapi kerana mahu membela dengan membabi buta akan pihak tertentu, sanggup buat apa saja asalkan menang dalam perlawanan walaupun apa yang dipertahankan itu memang sudah jelas dari sudut kesesatannya!

Powered by BetterDocs