View Categories

SURAH MUHAMMAD : AYAT 7-11

\"\"

PEJUANG AGAMA DITOLONG OLEH ALLAH, KERUGIAN PUAK KAFIR & IKTIBAR DARI ORANG DAHULU.

Full video : https://youtu.be/AQwyRAcTifk

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Pejuang Agama Ditolong Oleh Allah. Iaitu Allah memberi jaminan bahawa jika kamu berjuang & berjihad untuk menegakkan agama Allah, Dia akan beri pertolongan & kemenangan. Inilah pertolongan bersyarat, berjuang akan datang pertolongan, insya\’ Allah.
  2. Kerugian Puak Kafir kerana akan digugurkan segala amalan kebaikannya, tidak berguna atau memberi faedah bahkan sesat perjalanan hidupnya.
  3. Kita juga diminta supaya berjalan di muka bumi, untuk mengambil iktibar dan pengajaran dari umat terdahulu yang telah dibinasakan akibat dari kekufuran dan keangkuhan mereka.
  4. Munasabah ayat:
    Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang peperangan;
    i- jika kamu jumpa orang kafir, pancung kepalanya!
    Maka para oreintalis mengambil ayat ini untuk menuduh bahawa Islam itu mengajar keganasan dan peperangan. Kita kata TIDAK sekali-kali, ia bukan semborono atau sewenang-wenangnya begitu!
    Ia ada syaratnya iaitu orang yang menentang & melawan, baru kita lawan.

ii- Allah juga sebut tentang kelebihan yang besar bagi orang yang mati syahid, maka bila diberi penjelasan sedemikian, pendengar pun celik mata buka telinga mendengarnya, nak tengok macamana adakah para pejuang itu menang atau tidak???

iii- Maka ayat ke-7 adalah syarat untuk mencapai kemenangan. Ini kerana pertolongan Allah tidak datang begitu saja, rezeki tidak datang bergolek, kamu kena usaha dengan menolong agama Allah yakni berjuang menegakkan agama.
Inilah yang dikatakan pertolongan bersyarat. Siapa nak pertolongan dia kena mulakan dulu langkahnya dengan berjuang.

  1. Ini kerana agama ini perlu kepada pejuang yang menegakkan agama & pejuang untuk menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w. Walaupun jika Allah mahu Dia dapat memenangkan agama-Nya dan mengalahkan semua musuh Allah tanpa perlukan bantuan.

AYAT 7- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KALAU KAMU MEMBELA (AGAMA) ALLAH NESCAYA ALLAH MEMBELA KAMU (UNTUK MENCAPAI KEMENANGAN) DAN MENEGUHKAN TAPAK PENDIRIAN KAMU.} (MUHAMMAD 47:7)

  1. Dalam ayat ini Allah tujukan firman-Nya kepada orang yang taat & dengar kata; iaitu orang yang beriman (يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا).
  2. Allah menjamin akan menolong orang yang beriman jika mereka membela agama Allah. Allah akan teguhkan tapak pendirian kamu; iaitu sehingga kamu dapat berjuang dengan gagahnya di medan peperangan serta menjadikan kamu teguh keimanan.
  3. Yakni jangan lari dalam perjuangan agama, perjuangan menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w dalam masyarakat walaupun mendapat tentangan & kecaman.

AYAT 8- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG KAFIR, MAKA KECELAKAANLAH BAGI MEREKA, DAN (ALLAH) MENSIA-SIAKAN AMAL-AMAL MEREKA.} (MUHAMMAD 47:8)

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah sebut bahawa Dia akan menetapkan pendirian para pejuang Islam supaya tidak lari dari medan peperangan, ada yang mengatakan pasti ada juga orang kafir yang sabar & kuat berjuang, yang teguh juga semangatnya, maka akan berterusanlah peperangan!
  2. Maka ayat ini menghapuskan sangkaan itu, Allah nyatakan bahawa orang kafir akan binasa & celaka.
    Mereka akan tumbang & tewas, pegangan dan perjuangan mereka akan goyah dan lemah, mereka akan tersungkur (فَتَعْسًا لَهُمْ).
  3. Timbul pula persoalan; kenapa hari ini tampak seolah mereka, orang kafir yang menang sedangkan umat Islam lemah & kalah?
    Betullah ini kerana umat Islam hari ini tidak teguh yakni tidak memperjuangkan agama Allah dengan sepenuhnya! Mereka tidak membela agama Allah maka Allah juga tidak membela mereka dengan memberi kemenangan!
  4. Allah juga tidak akan menerima amalan mereka (golongan kafir), amalan mereka akan menjadi sia-sia, gugur seperti debu-debu yang berterbangan, tidak akan memberi apa-apa faedah bagi Akhirat mereka.

AYAT 9- {BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA TIDAK MENYUKAI APA YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH (MENGENAI AJARAN TAUHID DAN HUKUM-HUKUM SYARAK YANG DITERANGKAN DI DALAM AL-QURAN), LALU ALLAH MENGGUGURKAN AMAL-AMAL MEREKA.} (MUHAMMAD 47:9)

  1. Ayat ini menunjukkan Allah s.w.t membatalkan amalan mereka, tidak mendapat kebaikan dunia & Akhirat, kecuali sedikit pulangan mereka di dunia ini, kesenangan hidup yang sementara sahaja atas dunia ini! Malang sekali nasib mereka.
  2. Maka jika kita ada kenalan atau kawan yang masih belum menerima hidayat Islam, berdakwahlah kepada mereka, tunjukkan keindahan Islam sebagai tanda kita sayang kepada mereka. Kerana ada hadis Rasulullah s.a.w yang menyatakan betapa besarnya pahala jika kita dapat mengembalikan seorang manusia itu kepada agama Allah s.w.t.
  3. Hadis- Rasulullah s.a.w bersabda:
    فَوَاللَّهِ لأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
    \”Demi Allah, sungguh satu orang saja diberi petunjuk (oleh Allah) melalui perantaraanmu, maka itu lebih baik dari unta merah.\” [HR Bukhari]

Disebut unta merah kerana ia adalah satu harta yang amat mahal & bernilai pada waktu itu.

AYAT 10- {MAKA TIDAKKAH MEREKA TELAH MENGEMBARA DI MUKA BUMI, SERTA MEREKA MEMERHATIKAN BAGAIMANA AKIBAT ORANG-ORANG KAFIR YANG TERDAHULU DARI MEREKA? ALLAH TELAH MENGHANCURKAN ORANG-ORANG ITU; DAN ORANG-ORANG KAFIR (YANG MENURUT JEJAK MEREKA) AKAN BEROLEH AKIBAT-AKIBAT BURUK YANG SEPERTI ITU.} (MUHAMMAD 47:10)

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t ajar kepada kita agar jangan ambil mudah & remeh tentang isu iman, jika tidak bala akan menimpa kecuali orang yang mendapat keamanan dari Allah s.w.t! Tidak akan memndapat keamanan dari azab Allah orang yang berpaling dari agama Allah!
  2. Maka ayat ini mengajak kita berfikir. Allah bertanya lagi; tidakkah mereka orang kafir itu mengembara atas muka bumi ini dan melihat daripada kesan peninggalan kaum terdahulu yang telah dibinasakan Allah s.w.t akibat dari kekufuran mereka.
  3. Allah s.w.t telah binasakan (دَمَّرَ) mereka semua, ada yang keseluruhannya seperti kaum Nabi Lut a.s. Tetapi ada yang hidup kembali ini kerana maksiat itu akan melahirkan maksiat.
  4. Maka sesiapa yang mengikut jejak dan perangai seperti mereka itu, kafir dan penentang Islam zaman ini juga akan beroleh akibat yang buruk seperti mereka yang terdahulu itu! Na\’uzubillah.

AYAT 11- {BALASAN YANG DEMIKIAN, KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MENJADI PELINDUNG ORANG-ORANG YANG BERIMAN, DAN SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR: TIADA SESIAPAPUN YANG DAPAT MEMBERIKAN PERLINDUNGAN KEPADA MEREKA.} (MUHAMMAD 47:11)

  1. Allah s.w.t menjamin bahawa Dia akan memberi kemenangan kepada orang yang beriman. Allah akan menjadi Pelindung bagi mereka.
  2. Manakala puak kafir tidak ada penolong bagi mereka, tiada siapapun yang akan dapat memberi pertolongan kepada mereka, apatah lagi sembahan mereka yang tidak dapat bergerak & tidak dapat berkelip matapun itu!
  3. Dalam isu aqidah kita tidak boleh diam, orang hina Allah & Rasul, wajib kita lawan dan bela agama ini! Jika hina peribadi kita cubalah sabar dan bertenang.
  4. Kisah semasa peperangan Uhud, apabila Abu Sufyan mengangkat berhala sembahan mereka, Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat menjawab dan mempertahankan Allah. [HR Bukhari & Muslim].

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 7- {Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.}- ayat ini memberi jamianan akan pertolongan Allah kepada oang yang beriman.

Ayat ini juga Allah s.w.t ajar kepada kita agar semua pergerakan kerja buat dalam hidup kita adalah kerana Allah.
Kerana untuk menolong & mengangkat agama Allah. Bukan nak cari pengikut fanatik yang membela tok gurunya membabi buta.

Ayat ini mengajar kekuatan untuk menjalankan amar ma\’ruf & nahi mungkar dalam agama.

  1. Ayat 8- {Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka, dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka.} – jika ada orang yang tidak menerima ajaran Islam, lihat kepada keadaannya:
    i- kerana tidak mahu terima & tidak percaya maka dia akan kufur. Dia menolak dan memperlekehkan agama, tidak terima terus.

ii- kerana dia malas & cuai- ada ulama\’ kata hanya fasiq, belum keluar dari agama lagi. Belum kafir tetapi dalam keadaan bahaya kepada agama.

Ayat ini menyatakan sebab, jika kamu buat begini maka akan gugurlah amalan kamu.

  1. Ayat 10- {Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka?}- cara Allah menangani umat-nya hanya satu. Semua umat terdahulu dibinasakan kerana mereka kufur, keras kepala tidak mahu beriman.
    Maka ayat ini memberi amaran bahawa sesiapa yang mendustakan Rasulullah s.a.w akan binasa.

Ayat ini juga menggalakkan kita berjalan atas muka bumi untuk mengambil pengajaran & iktibar dari kesan peninggalan orang terdahulu.

  1. Ayat 11- {Balasan yang demikian, kerana sesungguhnya Allah menjadi Pelindung orang-orang yang beriman}- kata ulama\’ ayat ini adalah antara ayat al-Quran yang memberi harapan yang tinggi kepada kita orang beriman. Allah sebagai Pelindung (مَوْلَى),yakni Allah akan jaga orang yang beriman.

Walaupun kadang-kadang kita terjebak dengan maksiat dan terlanggar benda mungkar, tetapi kita masih lagi dalam kelompok orang yang beriman.

Allah buka pintu taubat pada waktu malam untuk orang yang berdosa pada waktu siang, begitu juga sebaliknya; pintu taubat dibuka juga pada waktu siang untuk orang yang berdosa pada waktu malam.

Yakni pintu taubat itu terbuka 24 jam, selagi mana nyawa belum berada di halkum atau matahari naik di sebelah barat!

Maka para mukminin, para solehin, kita bergembira dengan ayat ini, Allah beri jaminan bahawa siapa yang beriman, Allah akan jaga. Tetapi wajib jaga tahap kita, yakni beriman & beramal soleh.

  1. Ayat 11- {dan sesungguhnya orang-orang yang kafir: tiada sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka.}- jelas lagi nyata bagi orang kafir tiada penolong & pelindung, atas dunia mungin ada perlindungan sementara tetapi tiada yang kekal bagi mereka.

Ada sedikit perbincangan untuk tadabbur, dalam ayat ini Allah kata bahawa tiada pelindung, \’maula\’ bagi orang kafir, tetapi kenapa dalam ayat ini Allah berfirman:
{Dan mereka dikembalikan kepada Allah, Tuhan mereka (اللَّهِ مَوْلَاهُمُ) yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.} (Yunus 10:30)

Kenapa ada juga \’maula\’ (اللَّهِ مَوْلَاهُمُ) bagi mereka?

Jawapannya ini kerana bagi perkataan (مَوْلَى) \’maula\’ itu boleh membawa kepada tiga erti:
i- ketua, ii- tuan, atau; iii- penolong.

a- maka yang dimaksudkan dalam ayat 11 ini ialah \’maula\’ penolong- maka tidak ada penolong bagi mereka yang kafir.

b- manakala dalam surah Yunus yang dijehendaki ialah \’maula\’ Tuhan, yang bermakna Allah yang sebagai ketua & Tuhan bagi mereka, yang memiliki dunia ini termasuk puak kafir itu!

Maka jelaslah tidak bercanggah antara dua ayat ini. Allah akan memberi pertolongan kepada orang yang beriman tetapi Allah tidak akan menolong puak kafir yang syirik kepada-NYA.

Marilah kita berdoa siang & malam agar mendapat pertolongan, penjagaan dan perlindungan dari Allah s.w.t sentiasa.

Powered by BetterDocs