MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH S.W.T BERSUMPAH DENGAN QURAN & ORANG KAFIR YANG SOMBONG DAN PENYESALANNYA.
Full video : https://youtu.be/J0rEeLxxdUQ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini, pagi Jumaat 25 J. Thani 1443H bersamaan 28hb Januari 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Saad – سورة ص.
- Surah Saad, adalah surah ke-38 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah as-Soffaat dalam juz ke 23. Ia mengandungi 88 ayat yang pendek-pendek, yang membincangkan tentang dalil wahdaniyyah (Keesaan) Allah s.w.t dan bahawa Kebangkitan semula itu benar!
- Dinukilkan para ulama\’ tafsir sepakat mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah. Antara ialah Imam al-Mawardi, Ibnu Atiyyah, Ibnu al-Jauzi, Qurtubi dan lain-lain.
- Dinamakan Surah Saad (ص), kerana Allah s.w.t mulakan surah ini dengan huruf Saad sebutir ini. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengandungi maksudnya, tetapi dari segi bahasa maknanya Saad adalah menyekat.
- Kata Ibnu Asyur rhm.; telah tertulis dilembaran al-Quran dan kitab-kitab tafsir dan Sunnah, athar oleh para salafus-Soleh, surah ini ditulis namanya dengan Surah Saad (ص), yang bermakna menyekat atau menghalang.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menegaskan soal Tauhid yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, kebenaran wahyu al-Quran yang turun kepadanya serta kebenaran hari akhirat serta balasan bagi orang yang beriman dan orang yang ingkar. Dua jenis inilah golongan manusia atas dunia ini!
- Hakikat ini disebut berulang-ulang dalam surah Makkiyyah untuk membasmikan fahaman syirik dalam segala bentuknya.
- Setelah menerangkan telatah golongan yang menentang Rasulullah dan menolak hujjah mereka, Allah s.w.t menegaskan bahawa jawatan nabi itu adalah limpah kurnia yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tiada siapa boleh minta usaha atau berkuasa menyekatnya!
- Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w supaya bersabar terhadap apa saja yang dikatakan oleh golongan kafir yang menentangnya. Ini kerana pada akhirnya Baginda akan berjaya mencapai kemenangan yang besar dalam dakwah dan perjuangannya.
- Untuk memberi semangat kepada Rasulullah s.a.w, Allah s.w.t telah menceritakan tentang kisah nabi-nabi yang lalu, yang telah menerima dan melalui pelbagai ujian, tetapi mereka telah bersabar dengan tabah hati menghadapinya dan akhirnya mereka berjaya.
- Dalam surah ini diceritakan secara khusus tentang kesabaran nabi Ayub a.s dan pelbagai ujian yang dihadapinya.
- Diterangkan keadaan orang beriman dan balasan yang sebaiknya yang akan mereka nikmati di akhirat kelak, serta keadaan orang yang kafir dan azab siksa yang akan mereka hadapi. Hakikat ini disebut secara berulang-ulang di dalam al-Quran, supaya orang beriman bertambah mantap keimanan dan amalan baktinya, dan orang kafir segera insaf dan bertaubat.
- Setelah diterangkan bahawa tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk difahami kandungan ayat-ayatnya, untuk diamalksn bukan hanya untuk dibaca dan dilagukan sahaja.
- Surah ini diakhiri dengan memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk menegaskan kepada golongan yang menentangnnya bahawa dia tidak meminta bayaran upah daripada mereka atas dakwah yang dibawanya, bahkan al-Quran itu tidak lain melainkan sebagai peringatan kepada seluruh manusia dan mereka akan mengetahui kebenarannya tidak lama lagi.
OBJEKTIF/ MAQASID SURAH :
- Untuk menegakkan dalil tentang keesaan Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya.
- Benarnya apa yang dibawa dan diajar oleh Rasulullah s.a.w.
- Bahawa Kebangkitan semula itu benar serta untuk menolak dan menepis sebarang keraguan, kecelaruan, kekeliruan dan tuduhan yang ditimbulkan oleh kafir musyrikin.
TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :
- Menyatakan tentang sikap orang kafir terhadapa Rasulullah s.a.w, mengingkari kenabiannya dan ajaran tauhid yang dibawanya.
- Menenangkan hati Rasulullah s.a.w dari apa yang ditimpa ke atas Baginda oleh puaka kafir, dengan cara Allah s.w.t bawa kisah umat terdahulu yang juga telah menentang dan mendustakan rasul-rasul mereka, maka Allah s.w.t suruh Nabi s.a.w bersabar.
- Allah s.w.t juga ceritakakan tentang nabi Daud dan anaknya nabi Sulaiman a.s.
- Allah s.w.t juga sebut tentang kisah nabi Ayub dan ujian yang bala ditimpa ke atasnya dan betapa sabarnya nabi Ayub a.s.
- Allah memuji beberapa orang nabi dalam surah ini, iaitu nabi Ibrahim, Ishak, Ya\’kub, Ismail, Ilyasa\’ dan Zulkifli.
- Allah s.w.t sebut beberapa perkara yang disediakan nikmat bagi orang yang bertaqwa serta bala bencana yang Allah sediakan bagi puak taghut, kafir yang derhaka dari azab dan siksaannya.
- Allah s.w.t sebut juga sebahagian dari kisah nabi Adam a.s dan musuh tradisinya iaitu Iblis.
DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.
AYAT 01-{SAAD; DEMI AL-QURAN YANG MEMPUNYAI KEMULIAAN SERTA MENGANDUNGI PERINGATAN DAN PENGAJARAN.}- { ص وَالْقُرْآنِ ذِي الذِّكْرِ} (SAAD 38:1)
- Surah ini dimulai dengan satu huruf saja yang dibaca penuh. Iaitu Saad (ص).
- Kita telah bincangkan bermula dari surah al-Baqarah tentang surah-surah yang dimulai dengan huruf (al-Muqatta\’ah- المقطعة ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu seperti- ا,ل, م (Alif, Lam, Mim) dan lain-lain.
- Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk, orang fasih atau pakar dalam bahasa Arab pun tidak mampu menandingi al-Quran.
- Maksudnya yang sebenar dan paling senang sebagaimana pilihan para ulama\’ ialah- wallahu a\’lam, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui maksudnya. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.
- Allah juga memulakan surah ini dengan bersumpah dengan al-Quran yang memberi peringatan (الذِّكْرِ) kepada kamu dari apa yang kamu lalai dan lupa.
- Kata ulama\’ maksud perkataan (الذِّكْرِ) ini:
i- al-Quran yang mulia.
ii- al-Quran yang besar kedudukan di sisi Allah s.w.t.
iii- al-Quran sebagai memberi peringatan kepada hamba Allah s.w.t yang lupa, lagha dan lalai. - Firman Allah s.w.t lagi:
i- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?} (Al-Anbiyaa\’ 21:10)
ii- {(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.} (Saad 38:29)
AYAT 02 -{ (ORANG-ORANG YANG MENGINGKARI KERASULANMU – WAHAI MUHAMMAD – TIDAK BERDASARKAN KEBENARAN) BAHKAN MEREKA YANG KAFIR ITU BERSIFAT SOMBONG ANGKUH DAN SUKA MENENTANG KEBENARAN. (SAAD 38:2)
- Setelah menerangkan tentang sifat al-Quran, Allah s.w.t menjeaskan pula tentang sikap puak kafir musyrikin yang menentang membuta tuli tanpa hujjah dan kebenaran.
- Mereka juga sombong dan angkuh, hanya mahu menolak dan menentang kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah tanpa menimbangnya!
- Kenapa puak kafir tidak dapat manfaat daripada al-Quran, sedangkan al-Quran turun dalam bahasa mereka yang jelas???? Ini kerana:
i- mereka sombong, keras hati, tidak mahu mengambil manfaat dari al-Quran dan tidak mahu beriman dengannya.
ii- kerja mereka hanya mahu melawan Rasulullah s.a.w tutup terus hati daripada menerima kebenaran.
- Kita yang sudah beriman ini pun jangan sampai tidak mendapat manfaat daripada al-Quran. Baca dan beramal-lah dengan al-Quran!
AYAT 03 -{ (TIDAKKAH MEREKA MENYEDARI) BERAPA BANYAK UMAT-UMAT (YANG INGKAR) YANG TERDAHULU DARI MEREKA, KAMI BINASAKAN? LALU MEREKA MEMINTA PERTOLONGAN, PADAHAL SAAT ITU BUKANLAH SAAT MEMINTA PERTOLONGAN MELEPASKAN DIRI DARI AZAB. (SAAD 38:3)
- Allah s.w.t bawa contoh peringatan kepada mereka tentang umat terdahulu, betapa ramai yang telah dibinasakan kerana mereka ingkar kepada rasul yang diutuskn kepada mereka, mendustakan kitab-kitab Allah.
- Maka pada waktu itu (apabila turun azab), tiada guna lagi bantuan dan pertolongan, kerana sudah tamat tempoh untuk bertaubat, insaf dan beriman!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Kita perhatikan beberapa surah dalam al-Quran yang Allah s.w.t mulakan dengan satu huruf saja seperti ق, ص, ن dan lain-lain.
Dalam surah Saad ini kita perhatikan ada beberapa bantahan dari puak kafir yang cuba menyekat al-Quran:
i- bantahan mereka terhadapa keesaan Allah s.w.t.
ii- bantahan di hadapan Nabi Daud a.s.
iii- perbalahan dalam neraka.
iv- perbincangan ilmiah para malaikat.
v- iblis lawan dan bantah apabila Allah sruh dia sujud kepada Adam a.s
vi- iblis berbantah-bantah tentang bagaimana cara untuk menyesatkan anak Adam.
Jadi dalam surah Saad in banyak perbalahan dan bantahan orang kafir!
- Ayat 02 -{(Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu – wahai Muhammad – tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran.} – puak kafir ini ingkar, sombong, melawan dan sentiasa menentang serta menyekat orang lain daripada kebenaran. Mereka sentiasa berlawan dengan kebenaran samada lawan Allah, rasul, pengikut rasul yang beriman sehingga ke hari Kiamat.
Ayat ini mengajar kepada kita agar jangan berani-berani menolak kebenaran sebagaimana puak kafir ini! - Ayat 02 -{(Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu – wahai Muhammad – tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran.} – kumpulam yang mendustakan ajaran para rasul dan nabi itu ramai sejak dari dahulu lagi! Sebab binasa mereka kerana mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t. kerana itu ramai tidak menjamin kebenaran dan tidak semestinya mereka betul!
- Ayat 02 -{(Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu – wahai Muhammad – tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran.}- ayat ini memberi amaran keras kepada orang yang menentang Allah dan rasul bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk membinasakan mereka pada bila-bila masa sahaja. Contoh Firaun dan Qarun yang asalnya sombong dan berkuasa akhirnya binasa dek azab Allah dalam sekelip mata.
- Ayat 03 -{Lalu mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat meminta pertolongan melepaskan diri dari azab.}- penyesalan yang tidak berfaedah lagi apabila sudah nazak, nyawa dihalkum atau bila datangnya azab Allah s.w.t, tiada siapa yang akan selamat dan aman.
Taubat hanya diterima ketika kita masih boleh membuat pilihan, bila sudah tiada pilhan dan jalan untuk selamat, maka sudah tiada guna lagi seperti Firaun yang sudah tenggelam dalam laut baru mengaku nak beriman!
Maka marilah kita sama-sama sentiasa sedar dan insaf sebelum terlambat semuanya!