View Categories

SURAH SABA\’ : AYAT 10-11

\"\"

BEBERAPA KELEBIHAN NABI DAUD A.S, ARAHAN BUAT KERJA DENGAN TELITI & SENTIASA MELAKUKAN AMAL SOLEH.

Full video : https://youtu.be/SdsooSJGzok

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan bibcangkan dua ayat sahaja tetapi sarat dengan pengajaran, iktibar dan maklumat yang boleh kita kutip. Cerita ini bukan kisah biasa, ia adalah kisah yang diceritakan oleh Allah s.w.t kepada kita.
  2. Kali ini kita akan dengar cerita tentang Nabi Allah Daud a.s. Kita sudah dengar banyak kali cerita Nabi Daud ini. Kisah nabi-nabi ini akan berulang dalam pelbagai surah lain dalam al-Quran, bukan hanya dalam satu surah sahaja. Tetapi ilmu tadabbur ini menyerlahkan kepada kita rahsia, mukjizat al-Quran.
  3. Setiap kali Allah sebut kisah Nabi pasti ada iktibar dan pengajaran baru yang dapat kita ambil hikmahnya, yang Allah sentuh dalam ayat itu yang perlu kita kaji dan selidik. Walaupun ia berulang tetapi jangan kita remehkannya kerana ia episod dan sudut lain yang Allah s.w.t. sentuh dan bicangkan, pasti terdapat hikmah dan pengajaran baru yang kita dapat selepas kita teliti dan selidik.
  4. Begitulah al-Quran, Kalamullah, satu mukjizat, yang sarat dengan maklumat, yang kukuh dengan fakta, yang tidak jemu kita membacanya. Ya Allah jadikanlah kami semua ini pencinta al-Quran, yang baca, yang belajar & tadabbur dan beramal dengan al-Quran, Aamin.
  5. Munasabah / kesinambungan ayat hari ini dengan ayat yang sebelumnya:
    i- puak kafir itu ingkar akan kebangkitan semula yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. dan mengatakannya mustahil untuk berlaku. Lalu Allah s.w.t ceritakan dalam ayat ini bahawa banyak benda yang kamu kata mustahil pada adatnya, tetapi secara zahirnya ada mukjizat yang Allah anugerahkan kepada para nabi. Banyak kisah mereka telah diriwayatkan dalam kitab yang terdahulu seperti mana burung-burung bertasbih dengan Daud, besi menjadi lembut seperti tepung di tangannya. Kemudian Allah s.w.t berikan pula kepada anaknya nabi Sulaiman, mudahkan perjalanan angin untuknya, tembaga lembut di tangannya dan jin-jin menjadi hamba buruh kepadanya dalam melakukan kerja.

ii- Dalam ayat 9 yang lepas Allah s.w.t berfirman: {Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti). عَبْدٍ مُنِيبٍ} – maka Allah s.w.t sebut dalam ayat ini antara hamba-Nya yang paling kuat kembali kepada Allah (عَبْدٍ مُنِيبٍ) ialah Nabi Daud a.s, dari kalangan hamba yang terdahulu, manakala yang terkemudian sudah pastilah nabi Muhammad s.a.w yang paling dekat dengan Allah s.w.t. Kemudian ada dari kalangan umat Rasulullah s.a.w ini juga orang yang banyak kembali kepada Allah.

iii- Allah s.w.t juga sebut dalam ayat yang lepas bahawa telah banyak Dia berikan kurniaan kepada hamba-Nya samada disebut dengan perkataan keadilan atau kelebihan. Maka kelebihan inilah yang membuatkan orang-orang terkemudian semangat untuk mengejarnya, samada syurga-Nya, nikmat-Nya dan keampunan-Nya. Maka Allah s.w.t bawa contoh dalam ayat ini seorang hamba-nya yang munib, yang diberi banyak kelebihan kerana dia seorang hamba yang dekat kedudukannya di sisi Allah s.w.t. Maka jika kita nak juga kelebihan di sisi Allah s.w.t ini, kena dekatkan diri kita dengan Allah s.w.t menjadi hamba-Nya yang munib.

AYAT 10 – {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MEMBERIKAN KEPADA NABI DAUD LIMPAH KURNIA DARI KAMI (SAMBIL KAMI BERFIRMAN): \”HAI GUNUNG-GANANG, ULANG-ULANGILAH MENGUCAP TASBIH BERSAMA-SAMA DENGAN NABI DAUD, DAN WAHAI BURUNG-BURUNG (BERTASBIHLAH BERSAMA-SAMA DENGANNYA)!\” DAN JUGA TELAH MELEMBUTKAN BESI BAGINYA; } (SABA\’ 34:10)

  1. Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang kelebihan dan nikmat فَضْلًا yang telah dikurniakan kepada hamba dan rasul-Nya Daud a.s.
    Sebagaimana firman-Nya juga:
    {Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.} (Al-Anbiyaa\’ 21:79)
    {Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?} (Al-Anbiyaa\’ 21:80)
  2. Nabi Daud a.s adalah antara hamba Allah s.w.t yang paling kuat kembali kepada Allah (عَبْدٍ مُنِيبٍ) hamba yang dekat dengan Allah s.w.t. maka dia diberi kelebihan dan nikmat yang banyak oleh Allah s.w.t.
  3. Semua nabi-nabi ada kelebihannya yang tersendiri. Ada yang diberi kelebihan lebih dari yang lain. Firman-Nya: {Sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain;} (Al-Israa\’ 17:55).
    Kemudian Allah s.w.t sebut bahawa telah diberi beberapa keistimewaan khusus kepada Nabi Daud a.s.
  4. Ulama\’ membincangkan dan keluar beberapa senarai tentang maksud limpah kurnia { فَضْلًا } Allah s.w.t terhadapa nabi Daud a.s.
  5. Ibnu Asyur menyenaraikan apakah kelebihan yang dianugerahkan kepada Nabi Daud dari maksud limpah kurnia {فَضْلًا}
    i- kelebihan kenabian.
    ii- sebagai Raja, ketua kerajaan.
    iii- sangat menumpukan perhatian untuk membaik pulih umatnya.
    iv- dia juga seorang Qadhi, ketua hakim negaranya yang adil.
    v- seorang yang sangat berani dalam peperangan.
    vi- nikmat yang luas dan besar.
    vii- Nabi yang tidak bergantung kepada manusia, makan hasil usahanya sendiri.
    viii- telah menerima Kitab dari Allah iaitu az-Zabur.
    ix- seorang nabi yang mempunyai suara merdu.
    x- panjang umur dalam kerja islah/reformasi.
  6. Kata Syeikh Amin as-Syanqiti, maksud firman Allah s.w.t: [Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia {فَضْلًا} – telah dijelaskan lagi dalam beberapa ayat lagi:
    i- {Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya.} (Al-Baqarah 2:251)
    ii- {Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).} (Saad 38:20)
    iii- {Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).} (Saad 38:30)
    iv- {Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi,} (Saad 38:26)
    v- {Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman;} (An-Naml 27:15)
    vi- {Sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.} (Al-Israa\’ 17:55)
  7. Dalam bab Nabi Daud ini Allah s.w.t banyak sebut sifatnya yang awaab أَوَّابٌ, munib مُنِيبٍ, iaitu yang banyak kembali kepada Allah s.w.t.
  8. Keistimewaannya lagi, Allah s.w.t memerintahkan agar bukit-bukau, gunung-ganang dan burung-burung bertasbih dengan Nabi Daud. Bila nabi Daud bertasbih mereka akan ikutnya juga. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.} (Al-Anbiyaa\’ 21:79)

ii- {Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.}
(Saad 38:18)
{Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya); tiap-tiap satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya.} (Saad 38:19)

  1. Timbul pula persoalan bagaimana bukit bertasbih? Burung bolehlah kita dengar berkicau bunyinya. Para ulama\’ kata Allah s.w.t yang maha Berkuasa boleh menjadikan manusia bersuara, maka apa peliknya untuk Allah s.w.t buat bukit dan gunung boleh bertasbih, apabila kita yakin kita akan faham, alhamdulillah.
  2. Allah s.w.t juga melembutkan besi ditangan Daud, tidak perlu dipanasakan dan dicairkan terlebih dahulu, besi di tangan Daud seolah tanah liat atau adunan tepung yang lembut sedia untuk dibentuk. Boleh dibentuk sebagaimaan saja yang dikehendakinya.

AYAT 11 – {(SERTA KAMI WAHYUKAN KEPADANYA): \”BUATLAH BAJU-BAJU BESI YANG LUAS LABUH, DAN SEMPURNAKANLAH JALINANNYA SEKADAR YANG DIKEHENDAKI; DAN KERJAKANLAH KAMU (WAHAI DAUD DAN UMATMU) AMAL-AMAL YANG SOLEH, SESUNGGUHNYA AKU MAHA MELIHAT AKAN SEGALA YANG KAMU KERJAKAN\”. } (SABA\’ 34:11)

  1. Kemudian Allah s.w.t perintahkan nabi Daud untuk buat baju besi yang labuh daripada besi itu. Baju besi yang dipakai sebagai perisai keselamatan dalam peperangan.
  2. Cara nak buat baju itu pula diajar oleh Allah s.w.t dengan begitu teliti agar dapat memberi perlindungan yang semaksimum mungkin. Ukuran kena tepat, yakni saiz yang labuh, padan dan muat, ketebalan besi yang cukup hatta tidak terlalu berat untuk dipakai dan tidak nipis sehingga membahayakan, jalinannya pula jangan terlalu luas sehingga dapat ditembusi senjata musuh atau sempit yang menyusahkan pergerakan.
  3. Subhanalah betapa teliti dan lengkapnya i\’jaz al-Quran! Jika kita tidak tadabbur perhati satu-satu kalimahnya kita akan baca dan laluinya begitu saja dengan menyangka bahawa ia hanyalah kisah sama yang berulang. Tiada dalam al-Quran ini cerita yang tiada faedah, kalam Allah yang semuanya berhikmah.
  4. Jika kita tidak faham kena akui kita tidak ada ilmu dan kena belajar lagi dengan orang yang ada ilmu bukan hanya pandai komplen. Ilmu yang Allah beri semuanya boleh difahami, orang yang diberi ilmu akan memahaminya. Maka orang yang tidak faham kena belajar dengan orang yang ada ilmu!
  5. Ar-Razi berkata maksud firman Allah s.w.t: {dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki;}- isyarat kepada Allah s.w.t beri keizinan untuk Nabi Daud mencari rezeki, tetapi kerja setakat yang diperlukan sahaja, jangan lebih masa, waktu lain adalah untuk urusan rakyat dan pemerintahannya serta waktu untuk beribadat! Kita pun kena ingat nak cari rezeki berpada-pada, jangan menjadi hamba kepada kerja jika tiada keperluan sehingga tiada masa untuk ibadat dan keluarga.
  6. Nabi Daud ini adalah contoh ikon ahli ibadat atau rasul yang mencari rezeki. Ini adalah cara khas untuknya. Allah s.w.t mahu mengajar kepada kita tentang kelebihan mencari rezeki dengan hasil usaha tangan sendiri, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:

عَنْ الْمِقْدَامِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Daripada Al-Miqdam R.A dari Rasulullah S.A.W, Baginda bersabda: \”Tidak ada seseorang yang memakan satu makanan pun yang lebih baik dari makanan hasil usaha tangannya (bekerja) sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud A.S. memakan makanan dari hasil usahanya sendiri.\”. (HR Bukhari No: 1930)

  1. Maka ahli ibadat zaman ini, kita yang bukan nabi atau raja ini jangan pula duduk mengharapkan rezeki sahaja, tetapi hendaklan berusaha dan berikhtiar kemudian bertawakkal-lah kepada Allah.
  2. Kemudian Allah s.w.t memerintahkan nabi Daud untuk mengerjakan amal soleh. Amal soleh; ikhlas kepada Allah s.w.t & ikut apa yang Nabi s.a.w ajar. Yakni dalam kes nabi Daud yang bertepatan dengan Kitab-Nya Zabur dan Syari\’ah yang Allah s.w.t turunkan kepadanya. Allah s.w.t. telah melimpahkan nikmat-Nya kepada kamu, keluargamu dan umatmu. Maka bersyukurlah dan gunakanlah nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. untuk mengerjakan amal soleh.
  3. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengatakan { sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan\”. } Yakni Allah s.w.t. sentiasa mengawasi kita, Dia melihat dan mengetahui semua perbuatan dan ucapan, tidak ada sesuatu pun yang terlindung bagi-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 10 – {Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami} – dalam ayat ini Allah sebut nikmat yang dia berikan kepada nabi Daud a.s. dan nabi Sulaiman, untuk menunjukkan kepada kaum Quraisy yang diturunkan ayat ini di kalangan mereka, bahawa jika kepada nabi dulupun ada kelebihan dan nikmatnya yang tertentu, kepada nabi Muhammad juga pasti ada kelebihan dan nikmat yang banyak yang Allah kurniakan.
  2. Ayat 10 – {(sambil Kami berfirman): \”Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud,} – menunjukkan semua benda yang tidak bernyawa dan tidak berakal ini juga memahami perintah dan percakapan Allah s.w.t. Bagaimana dalam ayat lain diceritakan bukit hancur kerana takut dan gerun kepada Allah s.w.t, tetapi hati manusia yang kerdil ini lebih keras daripada batu yang pejal dan keras, tidak terasa takut atau gerun terus ingkar dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.
    Ulama\’ kata jika makhluk-makhluk itu tidak faham apa yang diarahkan oleh Allah, pastilah arahan Allah itu hanya sia-sia, sedangkan tidak ada perbuatan, percakapan dan arahan Allah s.w.t itu yang sia-sia, tidak difahami dan tidak ada hikmah.
  3. Ayat 10 – {(sambil Kami berfirman): \”Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud,} – Dalam ayat ini Allah s.w.t menjadikan bukit dan burung itu satu taraf dengan orang yang berakal. Ini juga menunjukkan benda tidak bernyawa dan haiwan faham, boleh bercakap dan tunduk akur kepada perintah Allah s.w.t, tetapi kita manusia yang diberi akal tetap degil sombong dan keras kepala. Insya\’ Allah dengan tadabbur ayat-ayat al-Quran ini dapat menjadikan hati kita lembut, bila baca ayat al-Quran tentang azab kita menangis kerana takut, bila baca ayat tentang nikmat kita juga menangis kerana lemahnya kita tidak dapat menyambut tawaran yang begitu besar dari Allah ini.
  4. Ayat 11 – {(Serta Kami wahyukan kepadanya): \”Buatlah baju-baju besi yang luas labuh,} – ayat ini menunjukkan harus memakai baju besi dalam dalam peperangan sebagai satu langkah keselamatan, bukan bermakna tidak tawakkal kepada Allah. Ini dalil kepada harus berikhtiar dan berusaha sebagai untuk mengurangkan risiko dalam pelbagai muamalat dan pekerjaan buat kita, seperti berubat, mengambil ubat atau vaksin dan lain-lain. Kita juga kena pandai bezakan antara pergantungan hati kepada benda ghaib yang boleh membawa kepada syirik dengan minta pertolongan secara fizikal kepada sesama makhluk yang memang ada kemahiran, ia harus.
  5. Ayat 11 – {(Serta Kami wahyukan kepadanya): \”Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki;} – ulama\’ kata ini dalil bahawa orang yang hebat dan kuat tidak salah atau kurang kehebatannya untuk belajar benda-benda amali atau teknikal seperti pertukangan dan seumpamannya. Bahkan akan menambahkan kelebihan, Rasulullah s.a.w sendiri pernah menjahit baju dan kasutnya sendiri.
    Sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w di atas tentang makan hasil usaha sendiri seperti Nabi Daud a.s. Tetapi bagi ahli ilmu/ustaz jangan sampai tertingal kerja asas sebagai pendakwah dan penyampai ilmu kepada masyarakat, kena pandai bagi masa.
  6. Ayat 11 – {(Serta Kami wahyukan kepadanya): \”Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki;} – dalil kepada bahawa dalam setiap kerja yang kita buat kena itqan- iaitu halus, cermat dan teliti, buat dengan sebaik mungkin setakat yang mampu. Jangan hanya tangkap muat dan cuai. Kerana itu jika nak cari kerja kena sesuai dengan kemahiran dan minat kita.
  7. Ayat 11 – { dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh,}- amal soleh sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. dalam amal ibadat yang dibuat, kerja kebajikan sesama manusia dan sebagainya.
  8. Ayat 11 – { dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh,} – amaran keras jangan buat benda yang Allah larang. Jika ada amanah & tugas jangan cuai, kamu buat kerja atau tidak, buat amal ikhlas atau tidak, sesungguhnya Allah sw tahu dan lihat semuanya. Kemudian ia akan dinilai semuanya oleh Allah s.w.t.
  9. Ayat 11 – {(Serta Kami wahyukan kepadanya): dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ } -Apa saja urusan kita mesti berpaksikan kepada keadilan. Kerana itu Allah s.w.t ajar kepada Nabi Daud untuk teliti dalam menggunakan bahan dan teliti buat kerja. Hatta kepada anak-anak sendiri pun Allah s.w.t suruh berlaku adil. Keadilan itu pula tidak semestnya sama banyak dari segi kuantiti, tetapi keadilan itu ikut keperluan, saiz dan hajat. Contoh; hukum Allah s.w.t dalam pembahagian harta pusaka, jangan pertikaikan semuanya ada hikmah yang nyata.
  10. Ayat 10 – {Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami- فَضْلًا } – ayat ini memperingatkan kepada kita untuk kembali kepada Allah, insaf diri, banyak bertaubat, banyak buat ibadat dan amal soleh. Maka kita akan mendapat inayah, penjagaan Allah s.w.t dan akan diberi banyak kelebihan dan kebaikan. Ayat ini juga memperingatkan kita agar jangan lawan, jika sebaliknya kita buat tak baik dan buat amal tak soleh, maka Allah s.w.t tidak akan jaga kita, kita akan duduk dibawah inayah nafsu dan kawalan syaitan, boleh kita bayangkan bagaimana perangai orang begitu! Na\’uzubillahi min zalik!

BEGITULAH AL-QURAN MAKIN DITADABBUR SEMAKIN INDAH, SEMAKIN BANYAK ILMU DAN HIKMAH YANG DAPAT DIKOREK, SEPERTI BUAH KURMA MAKIN DIKUNYAH SEMAKIN MANIS.

Powered by BetterDocs