View Categories

SURAH SABA\’ : AYAT 31-33

\"\"

GOLONGAN KAFIR INGKAR KEBENARAN AL-QURAN, PERBALAHAN PARA PEMIMPIN DENGAN PEGIKUT & JAWAPAN MASING-MASING HARI KIAMAT.

Full video : https://youtu.be/TG8o2zBCcDY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini ialah cerita tentang golongan kafir musyrikin yang cuba mencari kelemahan al-Quran untuk diperli dan didustakan.
  2. Kemudian Allah s.w.t gambarkan kepada kita perbalahan yang akan berlaku di dalam dalam neraka kelak, di antara para pengikut dan ketua mereka di dunia dulu, di mana mereka saling tuduh menuduh. Perkelahian yang tidak memberi faedah apa kecuali menimbulkan kebencian, menambahkan sakit hati dan azab!
  3. Juga penyesalan yang tidak berguna mereka setelah terbelenggu di dalam neraka!
  4. Selepas Allah s.w.t nyatakan 3 usul asas dalam agama ini iaitu:
    i- Ketauhidan Allah s.w.t.
    ii- Kenabian Rasulullah s.a.w.
    iii- Kebangkitan semula.
    *Ketiga-tiganya mereka tolak dan tidak terima.
  5. Lalu dalam ayat hari ini diceritakan tentang penolakan mereka tentang kitab pula dan keadaan mereka di Akhirat kelak.

AYAT 31 – {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR BERKATA: KAMI TIDAK AKAN BERIMAN SAMA SEKALI KEPADA AL-QURAN INI DAN TIDAK JUGA KEPADA KITAB-KITAB AGAMA YANG TERDAHULU DARIPADANYA\”. DAN (SUNGGUH NGERI) KALAU ENGKAU MELIHAT KETIKA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU DIBAWA BERDIRI DI HADAPAN TUHAN MEREKA (UNTUK DIHISAB), MASING-MASING TUDUH MENUDUH ANTARA SATU DENGAN YANG LAIN. ORANG-ORANG YANG TERTINDAS BERKATA KEPADA ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR (YANG MENJADI KETUANYA): \”KALAULAH TIDAK KERANA KAMU (MENINDAS DAN MEMPERDAYAKAN KAMI), TENTULAH KAMI SUDAH MENJADI ORANG YANG BERIMAN\”.} (SABA\’ 34:31)

  1. Maka orang-kafir berkata (pada masa itu kaum musyrikin Quraisy) bahawa mereka tidak akan beriman dengan kitab al-Quran dan semua kitab -kitab yang turun sebelum ini. Kemudian untuk semua jenis kafir sepanjang zaman yang menolak al-Quran.
  2. Kesinambungan ayat ini; kerana mereka puak Quraisy ini tidak membaca dan tidak ada kitab lalu mereka merujuk kepada kaum yahudi yang ada kitab Taurat, dan dalam Kitab Taurat itu ada disebut tentang sifat dan cerita tentang nabi akhir zaman. Selepas mereka balik tengok sifat itu betul-betul kena dan tepat dengan Nabi Muhammad, mereka amat terkejut dan marah lalu terus menolak menafikan juga tentang kebenaran semua kitab-kitab lain!
  3. Mereka pada asalnya ingin cari bukti untuk mendustakan Rasulullah s.a.w dan al-Quran, tetapi sebaliknya yang berlaku, mereka dapati bukti itu membenarkan Baginda s.a.w pula! Maka dengan marah mereka mengumumkan bahawa mereka sekali-kali tidak akan percaya kepada Al Qur\’an dan kitab-kitab sebelumnya seperti kitab Taurat dan Injil.
  4. Kemudian Allah s.w.t bawa gambaran tentang keadaan orang-orang yang zalim itu ketika dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka untuk dihisab, masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain.
  5. Pengikut-pengikut, yang menjadi pak turut semasa di dunia ini berkata sambil menuduh dan menyalahkan ketua ikutan mereka menyebabkan mereka tertekan, terpedaya dan tidak dapat beriman. Baru berani buka mulut pada waktu yang sudah tidak ada faedahnya!
  6. Para pengikut berkata kepada para pemimpin, \”kalau tidak kerana kamu menghalang kami dari petunjuk setelah ia datang kepada kami, tentulah kami mengikuti para rasul dan beriman kepada apa yang disampaikan oleh mereka kepada kami.\”

AYAT 32 – {ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR ITU MENJAWAB KEPADA ORANG-ORANG YANG TERTINDAS: KAMIKAH YANG TELAH MENGHALANG KAMU DARIPADA MENERIMA HIDAYAH PETUNJUK SESUDAH IA DATANG KEPADA KAMU? (BUKAN KAMI YANG MENGHALANG) BAHKAN KAMULAH YANG MENYEBABKAN DIRI SENDIRI MENJADI ORANG-ORANG YANG BERDOSA\”.} (SABA\’ 34:32)

  1. Mereka saling berdebat, berselisih, mencaci dan melempar kesalahan antara satu sama lain! Ketua itu pula menjawab;
  2. Para ketua yang sombong takabbur itu menjawab sambil melepaskan diri mereka tidak mengaku dengan sebab mereka!
  3. Para pemimpin menjawab kepada tuduhan para pengikut:
    i- Kamikah yang telah menghalang kamu dari petunjuk sesudah petunjuk itu datang kepada kamu? Tidak! Kami hanya mengajak kamu untuk mengikuti kami.
    ii- Sebenarnya kamu sendirilah orang-orang yang berbuat dosa. Kamu dengan rela hati mengikuti kami tanpa berfikir panjang dan tanpa meneliti. Kamu menentang dalil-dalil, bukti-bukti dan hujah-hujah yang disampaikan oleh para rasul, kerana mengikut keinginan nafsu kamu sendiri.\”
  4. Semua ini tiada guna, tidak dapat melepaskan diri sesiapa pun, perbalahan yang hamya menambah azab mental ke atas mereka sendiri. Maka sesal dahulu pendapatan, jika nak insaf dan selamat, insaflah di atas dunia ini lagi!

AYAT 33 – {DAN BERKATA PULA ORANG-ORANG YANG TERTINDAS KEPADA ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR ITU: \”TIDAK! BAHKAN (YANG MENGHALANG KAMI DARIPADA BERIMAN IALAH) PERBUATAN KAMU MEMPERDAYA KAMI MALAM DAN SIANG, KETIKA KAMU MENYURUH KAMI BERLAKU KUFUR KEPADA ALLAH DAN MENGADAKAN SEKUTU-SEKUTU BAGINYA. AKHIRNYA MASING-MASING DIAM SAMBIL MEMENDAMKAN PERASAAN SESAL DAN KECEWA SEMASA MEREKA MELIHAT AZAB; DAN KAMI PASANGKAN BELENGGU-BELENGGU PADA LEHER ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU. MEREKA TIDAK DIBALAS MELAINKAN DENGAN APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (SABA\’ 34:33)

  1. Para pengikut yang lemah itu menjawab balik kepada para pemimpin, \”Tidak! Kerana tipu muslihat kamu sepanjang masa itulah yang menghalang kami dari beriman. Kamu memperdaya kami malam dan siang, kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu bagiNya!
  2. Akhirnya apabila kedua belah pihak, iaitu para pemimpin dan para pengikutnya masuk ke dalam neraka dan melihat azab yang disediakan, masing-masing diam tak boleh kata apa lagi, hanya menyesali apa yang telah dilakukannya semasa di dunia.
  3. Mereka juga dibelenggu sebagaimana orang yang dipenjara dibelenggu dan dihinakan. Azab di atas azab, sedangkan mereka jika tidak dibelenggu pun tidak akan dapat lari lagi.
  4. Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia hanya membalas mereka dengan apa yang telah mereka lakukan semasa di atas dunia ini. Balasan yang sesuai dengan kekafiran, kefasikan dan kemaksiatan yang telah mereka kerjakan. Para pemimpin kafir mendapat balasannya sendiri dan para pengikutnya mendapat balasan yang sesuai dengan amal perbuatan mereka.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 31 – {Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini} – ayat ini sekadar menceritakan kata-kata orang kafir itu tanpa Allah membalas balik untuk membatalkan dakwaan mereka itu. Ini kerana ayat ini sudah jelas bahawa batil dan palsunya perkataan mereka. Sesuatu yang sudah ma\’ruf tidak perlu diulas dan dijawab. Begitu juga sepatutnya kita dalam kehidupan, jika sesuatu yang tidak penting dan tidak perlu, jangan ulas atau ambil kira lagi, jangan mudah percaya apa yang dibaca atau terus forward dan share apa yang diterima! Tetapi malangnya setiap benda yang jatuh itu pasti ada saja pemungutnya! Kita tengok ajaran sesat yang jelas nampak tidak waras dan tidak logik pun ramai pengikutnya dari pelbagai kalangan manusia. Bawalah tuduhan apa saja yang tidak logik ke atas seseorang, pasti ada yang percaya.
  2. Ayat 31 – { Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka }- ayat ini menetapkan bahawa kafir itu sendiri adalah satu kezaliman. Zalim yang paling besar ialah syirik kepada Allah s.w.t kerana dia telah melayakkan dirinya untuk disiksa di dalam neraka! Dalam Islam zalim seseorang tidak boleh menzalimi diri sendiri seperti mogok lapar dan seumpamanya. Walaupun ada setengahnya baik dengan manusia, tetapi dia telah zalim kepada Allah Azza wa Jalla!
  3. Ayat 31 – { Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya):} – pada waktu ini orang yang tertindas itu baru berani angkat kepala dan menjawab mencela pemimpinnya! Maka jika nak tegur atau nasihat, tegurlah dari awal jangan hanya bila boss hilang jawatan, baru berani nak kritik! Dalam Islam, agama itu nasihat, jika lihat benda tidak baik tegur sekarang bukan tunggu di akhirat nanti. Kerana itu penguasa itu makin angkuh dan sombong kerana orang bawahan tak berani melawan dan hanya mengampu. Ini mungkin juga kerana kezaliman dan kejahatan mereka yang menindas! Betapa ramai ulama\’ di dm penjara akibat pemimpin yang zalim.
  4. Ayat 31 – {Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka }- dalam ayat ini menunjukkan semua orang yang kafir dan zalim itu, sesiapa saja semuanya akan dihisab dan disiksa tiada yang terlepas. Boss atau pengikut, dua-dua akan kenaa hukum, cuma mungkin berbeza darjat kesiksaannya. Jangan ingat kita semata-mata ikut kepada orang akan lepas, kena fikir dan semak sendiri juga! Kita kena ada neraca timbangan keimanan dan amalan yang sahih.
  5. Ayat 31 – {Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain.} – dalam ayat ini menunjukkan mereka berkelahi sesama mereka saling tuduh menuduh. Ketika ini Allah s.w.t beri mulut mereka berbicara untuk menambahkan kehinaan dan azab bagi mereka. Ulama\’ kata begitu juga nanti sesama anggota badan manusia akan saling menjadi saksi antara satu sama lain, mengakui segala perbuatan tuannya di dunia ini. Maka hati-hatilah jangan sampai kita menyesal di akhirat nanti kerana segala perbuatan itu akan ada sahamnya.
  6. Ayat 33 – {\”Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang,}- mereka yang menyesatkan dan menyekat manusia dari jalan Allah ini tidak akan jemu dan henti-henti dalam dakyah mereka. Maka orang yang membawa kebenaran juga kena bangkit bekerja siang dan malam juga untuk mendedahkan kebatilan dan menyebarkan kebenaran ini! Kata ulama\’; jika orang yang berilmu dan baik, berdiam diri kepada perbuatan batil, maka ahli batil akan menyangka mereka di dalam kebenaran.
  7. Ayat 33 – {\”Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam dan siang,}- ulama\’ kata puak kafir buat perancangan dan kerja usaha siang malam, kita para pendakwah Islam pula terima bulat-bulat tanpa kajian. Orang Islam, orang yang baik-baik tidak ada kesedaran, tidak ada sensitiviti dalam agama. Tidak cuba selidik dan kaji apa yang ada di sebalik perancangan para kafir terutama orientalis. Kita juga kena bangkit dan berusaha tanpa henti juga siang dan malam. Kena ada ilmu tentang Pemikiran Semasa, kena peka tentang plan globalisasi barat.

i- Erti orientalis ialah puak barat/orang kafir yang kaji Islam, tulis tentang Islam, tetapi tidak menerima Islam, semata ilmu teori untuk menghancurkan orang Islam dari dalam. Contoh Ignac Goldziher yang menulis tentang beberapa buah buku tentang Aqidah Islam dan bukunya menjadi rujukan anak-anak orang Islam yang melanjutkan pengajian di Barat!

ii- Erti globalisasi:
Kata Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili rhm: Globalisasi ialah orang barat/kafir mahu kita buat apa yang dia buat, kita pakai seperti apa yang mereka pakai, makan apa yang mereka makan, ikut gaya hidup seperti mereka bahkan akhirnya akidah agama pun akan ikut mereka juga akhirnya! Na\’uzubillah!

Ini terbukti pada hari ini dari dalam hutan ke bandar besar hatta di Makkah semuanya ada kesan pengaruh mereka ini, makanan dan pakaian jangan dikira.

  1. Ayat 31 – {\”Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman\”.} – orang atasan, ketua, penguasa pemimpin itu berkuasa untuk memaksa menindas orang bawahannya untuk mengikut apa yang mereka suruh dan terapkan. Sebagai ketua masyarakat atau ketua keluarga setiap orang itu bertanggung-jawab kepada orang dibawahnya. Pemimpin negara kena peka dan yang betul-betul faham agama Islam dan mahu mendaulatkannya.
  2. Ayat 33 – {Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab;} – penyesalan itu hendaklah sebelum kena, sebelum dicekup.
    Jangan sudah terhantuk baru terngadah, baru menyesal di hari Kiamat, satu penyesalan yang tiada faedah lagi.
  3. Ayat 33 – { Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.} – Allah s.w.t tidak menzalimi hamba-Nya bahkan mereka sendiri yang menzalimi diri sendiri dengan menjadi kafir dan syirik, melakukan mungkar dan maksiat lalu melayakkan mereka menjadi ahli neraka.
    Dan mereka akan diazab, inilah maksudnya menzalimi diri dan roh sendiri.
    Na\’uzubillah!

Powered by BetterDocs