View Categories

SURAH TO-HA : AYAT 83-89

\"\"

NABI MUSA BERSEGERA KE BUKIT THUR, ALLAH CERITAKAN KEADAAN BANI ISRAEL & FITNAH LEMBU REKAAN SAMIRI SEBAGAI TUHAN.

Full video: https://youtu.be/Xpe-z_jF7I0

MUQADDIMAH :
1. Episod kali ini kisah Nabi Musa dan pengikutnya selepas kemusnahan Firaun dan tenteranya.
2. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr Maurice Bucaille, dikatakan jasad Firaun itu dijumpai sekitar tahun 1898M.
3. Kenapa Allah s.w.t hantar balik jasad Firaun ini ke pantai selepas tenggelam?
i- Untuk dijadikan dalil tanda kekuasan Allah s.w.t kepada orang kemudian selepasnya. Bagaimana dia dapat dikalahkan dengan kuasa Allah s.w.t.
ii- Untuk menunjukkan tanda bahawa Allah s.w.t akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.
iii- Untuk menjadi tanda bahawa Allah s.w.t akan ambil tindakan ke atas penguasa zalim yang menindas rakyatnya.
iv- Dalil akan kebenaran apa yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w ini. Tepat seperti realiti yang terjadi. Penemuan sains sebagai membuktikan.
v- tanda bahawa Al-Quran itu kalamullah, bukan rekaan manusia. Kerana itu segala faktanya benar dan tidak bercanggah.
4. Bilakah berlaku peristiwa ini? Dikatakan pada 10 Muharram. Dalilnya sebuah hadis riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;

قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏\”‏ مَا هَذَا ‏\”‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏\”‏ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ‏\”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” [Riwayat al-Bukhari].
5. Maka kaum Musa a.s hidup dalam keadaan aman dan bebas. Selepas itu Allah s.w.t memerintah supaya Nabi Musa a.s memilih 70 orang daripada kalangan pengikutnya (nuqaba’-ketua-ketua) untuk pergi ke Tursina bagi kali yang kedua. Kali pertama semasa kembali dari Madyan bersama keluarganya dulu.
6. Dalam perjalanan Musa a.s berasa tidak sabar untuk segera sampai lalu bertolak dulu meninggalkan para pengikutnya di belakang. Kita ikuti kisah seterusnya.

AYAT 83- {DAN APAKAH YANG MENYEBABKAN ENGKAU SEGERA DATANG KE MARI LEBIH DAHULU DARI KAUM ENGKAU WAHAI MUSA?} (TAHA 20:83)
1. Allah s.w.t menegur nabi Musa a.s kenapa gopoh dan tidak sabar lalu meninggalkan kaum yang dibawanya? Sedangkan mereka itu akan menjadi saksi majlis penerimaan wahyu/kitab nanti.

AYAT 84- {NABI MUSA MENJAWAB: \”MEREKA ITU ADA MENGIRINGI DAKU TIDAK JAUH DARI SINI; DAN AKU SEGERA DATANG KEPADAMU, WAHAI TUHANKU, SUPAYA ENGKAU REDA AKAN DAKU\”.} (TAHA 20:84)
1. Musa a.s menjawab dia bersegera dan meninggalkan pengikutnya kerana dia tidak sabar untuk bermunajat kepada Allah s.w.t dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.
2. Tidak mengapa katanya mereka tidak jauh di belakangnya.
3. Ini adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya, kitapun jika dalam satu rombongan kena tetap bersama jangan tinggalkan yang dibelakang.

AYAT 85- { (SETELAH SELESAINYA URUSAN ITU) MAKA ALLAH BERFIRMAN KEPADA NABI MUSA: \”SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGENAKAN KAUMMU SATU FITNAH UJIAN SEPENINGGALANMU, DAN MEREKA TELAH DISESATKAN OLEH SAMIRI\”} (TAHA 20:85)
1. Setelah selesai urusan itu, Allah s.w.t ceritakan kepada Musa a.s bahawa kaumnya yang ditinggalkan telah dikenakan ujian dan disesatkan oleh Samiri yang mencipta patung anak lembu untuk disembah.
2. Musa meninggalkan kaumnya di bawah jagaan saudaranya Harun a.s untuk datang bermunajat ini, hanya membawa beberapa orang (70) yang terpilih saja.
3. Siapakah Samiri ini? Dia adalah seorang munafik yang berpura beriman kepada Musa sedangkan batinnya masih dalam agama menyembah berhala. Kerana itu dia selamat menyeberang bersama pengikut nabi Musa a.s.
4. Banyak cerita-cerita yang pelik tentangnya dalam kisah Israiliyyat, tetapi Allah hanya sebut namanya di sini dan tidak diceritakan siapakah dia dan asalnya. Wallahu a’lam.
5. Kronologi cerita:
i- Bani Israil ini ada meminjam barang-barang kemas kepunyaan kaum Qibti, untuk dipakai pada hari perayaan mereka. Dalam kekalutan keluar dari Mesir sebelum tiba hari perayaan itu, mereka tidak sempat pulangkannya dan membawa bersama barang-barang itu bersama mereka.
ii Lalu selepas menyeberang lautan, tidak dapat hantar kembali barang-barang kemas itu, maka Samiri bagi cadangan untuk menghilangkan kerunsingan mereka.
iii- buat satu lubang dan campak & bakar semuanya barang pinjaman itu.
iv- Lalu dari emas cair inilah Samiri ukurkan sebuah patung anak lembu yang berongga. Lalu bila angin masuk seolah berbunyi suara, maka semua kagum dan menyembahnya.

AYAT 86- {MAKA KEMBALILAH NABI MUSA KEPADA KAUMNYA DENGAN PERASAAN MARAH DAN DUKACITA; IA BERKATA: \”WAHAI KAUMKU! BUKANKAH TUHAN KAMU TELAH MENJANJIKAN KAMU DENGAN SATU PERJANJIAN YANG BAIK? PATUTKAH KAMU MERASA PANJANG MASA PEMERGIANKU MENERIMA APA YANG DIJANJIKAN ITU? ATAU KAMU SENGAJA MENGHENDAKI SUPAYA KAMU DITIMPA KEMURKAAN DARI TUHAN KAMU, LALU KAMU MENYALAHI PERJANJIAN KAMU DENGANKU?\”} (TAHA 20:86).
1. Tidak sama khabar yang didengar dengan khabar yang dilihat sendiri. Musa a.s sudah tahu berita ini kerana Allah s.w.t telah beritahu tetapi dia dapat sabar lagi.
2. Tetapi apabila dia kembali dan lihat kesesatan ini dengan mata kepalanya sendiri, Musa a.s tidak dapat menahan marahnya. Mencampak lembaran Taurat ditanganya dan menarik janggut saudaranya Harun sambil memarahinya.
3. Kemudian bertanya kepada mereka kenapa tidak sabar sedangkan Allah s.w.t telah menjanjikan mereka dengan satu peranjian yang baik. Perjanjian yang baik itu ialah menurunkan Kitab Taurat kepada mereka.
4. Musa a.s bertanya lagi sedangkan dia pergi hanya sebentar dan mereka juga telah berjanji kepadanya, adakah mereka mahu ditimpa kemurkaan Allah s.w.t dengan menyalahi perjanjian itu?

AYAT 87- {MEREKA MENJAWAB: \”KAMI TIDAK MENYALAHI JANJI KAMI KEPADAMU ITU DENGAN KUASA DAN IKHTIAR KAMI, TETAPI KAMI TELAH DIBEBANKAN MEMBAWA BARANG-BARANG PERHIASAN ORANG-ORANG (MESIR) ITU, SUPAYA KAMI MENCAMPAKKANNYA KE DALAM API LALU KAMI MELAKUKAN YANG DEMIKIAN, MAKA DEMIKIANLAH JUGA \”SAMIRI\” MENCAMPAKKAN APA YANG DIBAWANYA.} (TAHA 20:87).
1. Mereka menjawab dengan berkata mereka bukan sengaja menyalahi janji dengan Nabi Musa a.s , tetapi terpaksa melakukannya kerana runsing dan bimbang dengan bebanan barang kemas pinjaman itu. Yakni mereka orang baik, merasa bersalah dan runsing dengan barang orang yang dipinjam dan tidak dapat dihantar kembali.
2. Lalu Samiri menimbulkan keraguan kepada mereka dengan memberi tekanan kerana dosa mereka itulah Musa a.s lambat kembali. Lalu memberi cadangan cara untuk hapuskan dos aitu dengan menggali lubang, campak semua barang kemas dalam satu lubang dan bakar. Samiri juga mencampakkan sesuatu ke dalam api itu. Apakah ianya?
3. Ada yang kata ia adalah tanah bekas pijakan tapak kuda Jibril, Samiri ambil lalu campak ke dalam api, lalu lembu itu keluar suara.

AYAT 88- {\”KEMUDIAN SAMIRI MENGELUARKAN UNTUK MEREKA DARI LEBURAN BARANG-BARANG ITU (PATUNG) SEEKOR ANAK LEMBU YANG BERTUBUH LAGI BERSUARA, LALU MEREKA BERKATA: \”INI IALAH TUHAN KAMU DAN TUHAN BAGI MUSA, TETAPI MUSA TELAH LUPA!\”} (TAHA 20:88)
1. Yakni Samiri mencipta dari leburan ema situ satu patung anak lembu yang lengkap tubuhnya lagi bersuara. Ia bersuara kerana berongga ada lubang, lalu akan berbunyi jika angin bertiup ke dalamnya, bukan sesuatu yang pelikpun.
2. Lalu mereka iaitu Samiri dan yang mencipta patung itu berkata: \”Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

AYAT 89- {PATUTKAH MEREKA TIDAK MAHU BERFIKIR SEHINGGA MEREKA TIDAK NAMPAK BAHAWA PATUNG ITU TIDAK DAPAT MENJAWAB PERKATAAN MEREKA, DAN TIDAK BERKUASA MENDATANGKAN BAHAYA ATAU MEMBERI MANFAAT KEPADA MEREKA?} (TAHA 20:89)
1. Allah s.w.t tujukan firman ini kepada mereka yang menyembah patung itu. Tidak berfikir akan kekurangan dan kelemahan patung itu, tidak boleh beri manfaat dan mudharat.
2. Allah s.w.t memberi peringatan agar kita menggunakan akal fikiran, dan belajar dengan ayat-ayat tauhid supaya kita tidak mudah terjerumus ke dalam kesesatan. Seperti ke kubur dan meminta orang mati untuk mendoakan kita.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Allah s.w.t tegur Musa a.s kerana meninggalkan kaumnya. Ini adalah untuk ajar Musa a.s adab bermusafir, tidak kena untuk seorang ketua meninggalkan pengikutnya di belakang. Seorang ketua biasanya duduk dibelakang, kena pastikan semua rakyatnya telah bertolak denganselamat.
2. Nabi Musa a.s gopoh dalam hal ini, maka semua sifat gopoh itu dicela. Nabi s.a.w ajar supaya kita tenang dan jangan gopoh.
3. Gopoh bukan bermakna bersegera dalam ibadat. Seperti segera mendirikan solat, segera bertaubat, segera bayar hutang, segera tanam mayat dan lain-lain, ini bukan gopoh.
4. Allah s.w.t ajar kita supaya berfikir sebelum menerima sesuatu ajaran atau doktrin.
5. Kenapa kaum nabi Musa a.s itu begitu cepat terpengaruh dengan ajaran Samiri? Ulama\’ kata ini kerana beberapa sebab:
i- Kebanyakan mereka orang yang baru beriman, tidak berapa teguh lagi imannya. Beriman dengan ikut-ikut sahaja bukan dengan kefahaman yang mantap.
ii. Mereka sangat ingin melihat tuhannya, jadi bila Samiri bawa sesuatu yang dikatakan tuhan terus percaya.
iii. Lembu itu bukan lembu biasa bagi mereka, sesuatu yang pelik jadi mudah untuk dipengaruhi. Samiri bawa pendekatan baru.
iv- Mereka sudah terlalu lama di bawah penindasan dan kezaliman Firaun, maka ketahanan mental dan fizikal mereka amat lemah, mudah dipengaruhi, tidak tetap pendirian dan tiada keberanian. Kerana itu mereka perlukan bimbingan dan ajaran Musa a.s yang tegas dan jelas.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs