View Categories

SURAH YAASIN : AYAT 1-7

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ALLAH S.W.T BERSUMPAH DENGAN QURAN & RAMAINYA PENENTANG NABI S.A.W.

Full video : https://youtu.be/p7u4nIWzn3Q

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini, pagi Jumaat 19 J. Ula 1443H bersamaan 24hb Disember 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Yaasin- (يس).
  2. Surah Yaasin, adalah surah ke-36 dalam tertib susunan al-Quran, masih lagi dalam juz ke 22 dan akan masuk ke-23, mengandungi 83 ayat.
  3. Dinukilkan para ulama\’ tafsir sepakat mengatakan surah ini diturunkan di Makkah sebelum Rasulullah berhijrah maka ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Ada juga yang mengatakan Makkiyah kecuali satu ayat iaitu:
    i- ayat 47 adalah Madaniyyah.
    ii- ayat 12 adalah Madaniyyah.
  5. Surah ini dinamakan surah Yaasin, (يس) kerana Allah s.w.t memulakan surah ini dengan dua huruf yang tersebut. Maksudnya hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui. Ia hanyalah satu-satunya surah yang dimulai dengan dua huruf ini, maka berbezalah ia dengan surah-surah lain.
  6. Boleh lihat dalam Kitab Tafsir Al-Durr Al-Manthur (الدر المنثور في التفسير بالماثور) oleh Imam Suyuti; riwayat-riwayat yang menyebut tentang namanya Yaasin.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Pada awal surah ini Allah s.w.t tegaskan kebenaran al-Quran sebagai wahyu yang diturunkan-Nya dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul-Nya yang diutus yang tetap di atas jalan yang lurus. Serta digambarkan tentang keadaan orang yang berdegil atas kekufurannya, dan telah diketahuinya bahawa mereka tidak akan beriman. Kesombongan dan kedegilam mereka membelenggu daripada patuh kepada kebenaran. Tamak kepada harta dan pangkat kebesaran telah menghalang mereka daripada menerima kebenaran dan melihat jalan yang benar.
  2. Kemudian ditegaskan bahawa amaran yang berkesan dan mendatangkan faedah hanya diberikan kepada orang yang besedia menurut al-Quran serta mereka takut untuk melanggar perintah Allah s.w.t yang Amat Pemurah, semasa mereka tidak melihat Tuhan atau azabnya. Inilah beriman secara ghaib.
  3. Lalu diperintah Nabi Muhammad s.a.w untuk menceritakan kepada kaum musyrikin yang menentangnya tentang penduduk sebuah bandar yang silam, yang telah mendustakan rasul mereka dan akibat buruk yang menimpanya. Sebaliknya balasan baik bagi orang yang beriman di kalangan mereka.
  4. Kemudian ditegaskan sungguh besar penyesalan dan kekecewaan bagi orang yang menginkari kebenaran, kenapa mereka bersikap demikian? Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat yang terdahulu yang telah dibinasakan akibat kekufuran mereka.
  5. Sebenarnya tidak ada satu makhluk pun yang ditinggalkan daripada dikumpulkan di Padang Mahsyar, pada hari akhirat kelak untuk dibicarakan dan menerima balasan.
  6. Kemudian dibawa dalil-dalil yang jelas untuk memahami keEsaan dan kekuasan Allah s.w.t:
    i- bumi yang mati yang dihidupkannya dengan pelbagai tanaman subur.
    ii- pertukaran malam dan siang yang silih berganti.
    iii- matahari yang kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya.
    iv- bulah yang ditentukan peredarannya dengan melalui beberapa peringkat sehingga diakhir peredarannya kembali ke peringkat awalnya, berbentuk melengkung seperti tandan yang kering (bulan sabit atau hilal).
  7. Kemudian diterangkan keadaan yang berlaku pada hari Akhirat serta balasan yang akan diterima oleh kafir dan beriman. Masing-masing ada balasan.
  8. Surah diakhiri ini dengan menerang akan kekuasaan Allah s.w.t, apabila Dia menghendaki adanya sesuatu hanya dengan berfirman kepada hakikat sesuatu itu {kun fayakun}, jadi- maka jadilah ia! Maha Suci Allah yang Memiliki setiap sesuatu dan kepada-Nya kembali sekelian makhluk.

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH :

  1. Antara objektif besar surah ini ialah menetapkan asas-asas kepada Usuluddin;
    i- Keesaan Allah s.w.t Tuhan pemilik alam ini.

ii- menetapkan Kebangkitan semula (البعث) dan pembalasan (الجزاء).

iii- Wahyu (al-Quran) dan Risalah kerasulan Rasulullah s.a.w.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Menguatkan benarnya Nabi s.a.w dan menetapkan Risalah ajarannya.
  2. Allah bawa satu kisah penduduk sebuah negeri dan apa yang berlaku antara mereka dengan rasul-rasul utusan yang Allah hantar kepada mereka.
  3. Menjelasakan sebahagian daripada tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t dan nikmat-nikmatnya ke atas hamba-Nya.
  4. Cerita tentang sebahagian dakwaan puak musyrikin yang batil serta hujjah bantahan menolak terhadap dakwaan mereka itu. Serta menjelaskan peristiwa mereka akan keluar dari kubur pada hari Kiamat kelak untuk dihisab dan diberi pembalasan.
  5. Menjelaskan apa yang Allah sediakan bagi orang mukmin dalam syurga dan bagi orang kafir dalam neraka serta bagaimana semua anggota mereka menjadi saksi, tangan, mulut lidah semuanya menjadi saksi!
  6. Allah s.w.t bersihkan al-Quran daripada tuduhan bahawa ia adalah rekaan Rasulullah s.a.w. serta membersihkan Baginda daripada tohmahan yang dibuat oleh Quraisy bahawa Baginda adalah penyair, ahli sihir dan lain-lain fitnah. Menenangkan hati Rasulullah s.a.w serta memberitahu tugas sebenarnya sebagai pemberi amaran dan pembawa khabar gembira.
  7. Surah ini menetapkan kebangkitan semula di Akhirat dan hujjah bagi mereka yang menolaknya!

KELEBIHAN SURAH YASIN :

  1. Terlalu banyak tersebar tentang kelebihannya, tetapi kebanyakana hadis itu tidak sahih bahkan ada yang terlalu berat, dhaif jiddah, dhaif secara hukum bahkan ada yang rekaan.
  2. Kesimpulannya hadis yang marfu\’ kepada Rasulullah s.a.w tidak sahih, serta mauquf dari sahabat ada juga yang sahih, serta pengalaman orang soleh. Kita kena semak dan pastikan.
  3. Yang pastinya Yasin adalah salah satu surah dalam al-Quran yang mulia ada kelebihannya, kita bacalah seperti surah-surah lain dalam al-Quran.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {YAA, SIIN.} يس (YAA SIIN 36:1)

  1. 1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah المقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ا,ل, م (Alif, Lam, Mim )
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk, orang fasih atau pakar dalam bahasa Arab pun tidak mampu menandingi al-Quran.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Terdapat beberapa pandangan ulama\’ tentang maksud perkataan Yaasin:
    i- wahai lelaki (ya Rajul) (يا رجل)

ii- wahai insan/manusia. (يا إنسان)

iii- ada kata salah satu daripada nama Nabi seperti mana To Ha (طه).
iv- Kata al-Wahidi dari Ibnu Abbas r.a maksudnya Ya Insan, iaitu Nabi Muhammad s.a.w,

v- ada kata maknanya wahai penghulu manusia. (يا سيد)

vi- kata Imam Malik ada salah satu daripada nama Allah.

v- satu sumpah yang Allah bersumpah dhn nama-Nya.
Yang sahihnya pendapat ulama\’ bahawa ia adalah serupa dengan huruf-huruf dalam surah al-Muqatta\’ah lain, seperti Alif Lam Mim, Ha mim dan lain-lain.
Tentang bahawa ia (Yaa Sin & To Haa) adalah nama Rasulullah s.a.w adalah tidak sahih dan tidak terdapat dalam mana-mana riwayat yang ada, tiada hadis sahih, Hasan atau Mursal.

vi- Syeikh Syanqiti kata setelah diteliti dalil yang ada dan pendapat majoriti ulama\’ tafsir ia adalah huruf yang terputus (al-Muqatta\’ahالمقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu seperti – ا,ل, م(Alif, Lam. Mim ) dan lain-lain.

  1. Maksudnya yang sebenar dan paling senang sebagaimana pilihan para ulama\’ ialah- wallahu a\’lam, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui maksudnya. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- {DEMI AL-QURAN YANG MENGANDUNGI HIKMAT-HIKMAT DAN KEBENARAN YANG TETAP KUKUH,} (YAA SIIN 36:2)

  1. Ayat al-Quran ini adalah sesuatu yang kukuh dan lengkap, tiada perkara yang tidak betul di awal, tengah dan belakangnya, serta ia (الْحَكِيمِ) iaitu penuh dengan hikmah dan makna yang cukup lengkap!
  2. Kata ulama\’ (الْحَكِيمِ) ini adalah menunjukkan al-Quran itu penuh dengan hikmah kebijaksanaan yang besar, setiap patah ayatnya ada hikmah samada kita tahu ada atau tidak. Dari halal haramnya, balasan baik dan azabnya, perintah dan larangannya, adab akhlaknya, balasan baik dan buruk, dan lain-lain semuanya ada hikmah.
  3. Ia adalah benar dan penuh hikmah! Serta sesuai sepanjang zaman dan masa. Sesiapa yang kata ia tidak sesuai, bererti ia menafikan hikmah al-Quran ini!
  4. Al-Quran bukan sekadar acara ia adalah sesuatu yang kita baca dan amalkan segala isi kandungannya. Dari segi perundangan & hukum-hakam, maka kamu yakin letakkan kepercaaan bahawa semua isi kanduang al-Quran itu benar & penuh hikmah.
  5. Ini dalam bab baca dan cari kelebihan semangat, tetapi dalam bab perundangan kenapa Yaasin dan Quran dipinggirkan? Kita kena kembalikan fungsi al-Quran ke dalam masyarakat, dibaca ditadabbur dihayati dan diamalkan!

AYAT 3- {SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD ADALAH SEORANG RASUL) DARI RASUL-RASUL YANG TELAH DIUTUS,} (YAA SIIN 36:3)

  1. Ayat ini adalah ayat ta\’kid – (إِنَّكَ لَمِنَ) dengan beberapa huruf. Ini untuk menguatkan bahawa engkau Muhammad adalah benar-benar seorang rasul yang diutus oleh Allah s.w.t, bukan hanya kamu mengaku sendiri!

AYAT 4- {YANG TETAP DI ATAS JALAN YANG LURUS (AGAMA ISLAM).} (YAA SIIN 36:4)

  1. Ini adalah jalan yang lurus, tiada bengkok, yang akan menyampaikan kamu kepada Allah s.w.t dan syurga.
  2. Jika tidak ikut jalan yang diajar oleh Rasul kamu akan sesat, tidak akan jumpa jalan yang lurus! Jangan ikut yang jalan yang merapu dan tidak sahih!

AYAT 5- {AL-QURAN ITU, DITURUNKAN OLEH ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI,} (YAA SIIN 36:5)

  1. Al-Quran ini diturunkan (تَنْزِيلَ) oleh Allah s.w.t. Siapakah Dia?
  2. Dia adalah Tuhan:
    i- Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزِ) – yang mempunyai kekuatan, yang sentiasa menang dan gagah perkasa, tiada siapa yang dapat kalahkan-Nya

ii- lagi Maha Mengasihani (الرَّحِيمِ) yang sangat kasihan belas lagi mengasihani kepada orang yang beriman dan mengikut ajaran-Nya.

  1. Allah nisbahkan penurunan (تَنْزِيلَ) al-Quran itu kepada dua nama-Nya yang mulia itu maka ini adalah isyarat kepada:

i- wajib kita beramal dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran. Jika tidak, ingatlah dihadapan kita adalah Allah s.w.t yang Maha Gagah Perkasa, Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزِ) yang boleh mengambil tindakan ke atas penderhaka!

ii- al-Quran ini juga diturunkan oleh Allah s.w.t yang Maha kasihan belas, Maha Mengasihani (الرَّحِيمِ)- ayat ini pula menjadi isyarat bahawa al-Quran ini Allah turunkan semata-mata sebagai rahmat dari Allah kepada hamba-Nya. Untuk menghidupkan hati, menjadi pemandu dan pedoman untuk kita sampai balik kepada Allah s.w.t.

AYAT 6- {SUPAYA ENGKAU MEMBERI PERINGATAN DAN AMARAN KEPADA KAUM YANG DATUK NENEKNYA TELAH LAMA TIDAK DIBERIKAN PERINGATAN DAN AMARAN; SEBAB ITULAH MEREKA LALAI.} (YAA SIIN 36:6)

  1. Dalam ayat ini pula Allah s.w.t nyatakan tugas Rasulullah s.a.w. yang hakiki iaitu sebagai pemberi peringatan dan amaran.
  2. Kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; (قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ) siapakah mereka?
  3. Kata ulama\’ maksudnya kaum ini ialah:
    i- bangsa Arab al-Adnaniyyun- iaitu asal kepada penduduk Arab penghuni Makkah. Telah berlalu beberapa kurun, terputus hubungnan dan ajaran dengan nabi-nabi yang terdahulu, sudah tiada ajaran Taurat & Injil. Nama Adnan ini ialah asal kepada penduduk Arab. عدنان

ii- satu kumpulan kaum yang anak beranaknya tidak peduli kepada agama kerana sudah terlalu lama terputus dengan wahyu yang sebelumnya dan mereka bukan ahli Kitab, terputus tengah jalan ajarannya. Jadi tidak tahu untuk beri nasihat dan ajaran.

iii- datuk nenek mereka sendiri adalah penyembah berhala yang sesat jadi bagaimana mereka mahu memberi peringatan!
iv- Kata as-Sam\’ani- maksudnya ialah kaum Quraisy itu sendiri yang telah terputus ajaran asal agama Samawi dari mereka. Kecuali beberapa orang sahaja.

  1. Kesimpulannya kita katakan kaum ini maksudnya kaum Quraisy. Kerana mereka tiada rasul dan kitab. Mereka adalah kaum jahiliyyah yang tiada ilmu dan agama. Mereka mereka-reka sendiri ajaran agama dan amal ibadat, mereka menyembah patung-patung berhala, batu, kayu, bahkan patung dari tamar yang dibuat sendiri, kemudian dimakan pula apabila habis musimnya!

AYAT 7- {DEMI SESUNGGUHNYA, TELAH TETAP HUKUMAN SEKSA ATAS KEBANYAKAN MEREKA, KERANA MEREKA TIDAK MAHU BERIMAN.} (YAA SIIN 36:7)

  1. Ayat ini setelah Allah s.w.t hantar Nabi dan menjalankan dakwah, jika penentangan berterusan, maka Allah s.w.t telah tetapkan bahawa azab Allah s.w.t akan menimpa ke atas mereka dan sesiapa yang menentang Allah dan rasul-Nya.
  2. Ini adalah contoh kepada kaum musyrikin Makkah yang tidak mahu beriman bahkan terus menentang Rasulullah s.a.w siang malam. Sehingga telah dicop ditutup hati mereka, bahawa mereka tidak akan beriman lagi dan akan menjadi ahli neraka! Mereka mati terbunuh dalam keadaan menentang Rasulullah s.a.w.
    Nauzubillahi min zalik!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Yaa, Siin.} يس & Ayat 2- {Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,}- menunjukkan bahawa al-Quran ini yang teguh yang tetap, tiada siapa yang dapat mencabar dan melawan al-Quran sehingga ke hari Kiamat! Walaupun pakar bahasa yang fasih dan mahir pun tidak dapat meniru dan melemahkannya! Inilah I\’jazu al-Quran (kelebihan).
  2. Ayat 2- {Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,}- ayat ini menunjukkan kepada keagungan al-Quran kerana Allah s.w.t bersumpah dengannya. Allah s.w.t tidak akan bersumpah kecuali dengan sesuatu yang hebat dan agung. Al-Quran itu sendiri satu mukjizat yang agung, kekal sehingga kepada hari Kiamat. Kita fokus mukjizat al-Quran kepada isi kandungannya; bukan hanya semata yang fizikal seperti tidak basah tidak terbakar dan seumpamanya.
  3. Ayat 3- {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,}- Allah s.w.t kuatkan ayat bagi sesuatu yang penting. Seperti dalam ayat ini dengan huruf penguat (إِنَّكَ لَمِنَ) bahawa demi sesungguhnya Engkau! Walaupun Allah sebut cerita ini kepada orang mukmin, ia tetap ditekankan untuk menunjukkan kepentingannya.
  4. Ayat 3- {Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,}- hubungan yang tidak tersembunyi antara yang menjadi alat bersumpah itu al-Quran dan dengan apa yang disumpahkan dengannya iaitu risalah kenabian Rasulullah s.a.w. Ayat ni menjadi dalil akan kebenaran risalah dan dakwah nabi Muhammad, Rasulullah s.a.w sehingga ke hari Kiamat. Ini adalah mukjizat Nabi s.a.w yang kekal.
  5. Ayat 4- {Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam).}- rasul membawa manusia kepada jalan yang benar! Ini juga menolak fahaman puak batiniyyah yang mengatakan apabila seseorang manusia itu sudah sampai ke tahap tingi yang tertentu, maka tidak perlu lagi mendirikan ibadat seperti solat dan lain-lain. Ini adalah sesuatu fahaman yang sesat dan menyeleweng! Sedangkan Rasulullah s.a.w sehingga ke akhir hayatnya sendiri tetap menunaikan solat.

Maka pihak berkuasa wajib bertanggung-jawab mengambil tindakan dan menjelaskan kepada orang ramai tentang kesalahan dan kesesatan ini, sampai bila nak biarkan, jangan biarkan orang awam kebingungan dan berbalah sesama sendiri atau akhirnya menjadi pengikut ajaran sesat ini pula!

  1. Ayat 5- {Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,}- perkataan (تَنْزِيلَ) ini menunkukkan bahawa al-Quran itu diturunkan secara berperingkat, sedikit demi sedikit. Bermula dari hari wahyu pertama (Iqra\’) sehinggalah kepada ayat terakhir dekat kewafatan Rasulullah s.a.w iaitu selama hampir 23 tahun. Tidak sama dengan Taurat & Injil yang turun sekaligus.
  2. Ayat 5- {Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,}- peringatan bahawa yang menurunkan al-Quran ini Allah yang mempunyai dua sifat ini:
    i- jangan berani lawan dan cabar al-Quran dan hukum-hakam Allah s.w.t yang Yang Maha Kuasa, ia berkuasa membalas dan menghukum kamu!

ii- dalam masa yang sama ia juga diturunkan oleh Allah s.w.t yang Maha Mengasihani, yakni ia juga mengandungi segala hikmah dan al-Quran adalah kesan dari rahmat Allah. Ayatnya walaupun nampak keras tetapi amat diperlukan oleh manusia; Contoh hukuman potong tangan orang yang mencuri. Ia amat penting untuk keamanan dan keharmonian dalam masyarakat agar takut untuk membuat jenayah.
Kerana iman yang tidak mantap dalam hati, sekarang ini manusia sanggup menipu walaupun atas nama untuk buat masjid.

  1. Ulama\’ buat kajian ini dalil bahawa apabila Allah s.w.t menyebut al-Quran ia akan dikuti dengan menyebut nama dan sifat-Nya yang amat agung dan mulia. Yakni bila sebut al-Quran, Allah akan sebut nama-Nya. Kenapa kamu tak percaya kepada al-Quran? Maka jangan berani untuk lawan Allah s.w.t!

Antaranya firman Allah s.w.t:
i- {Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Az-Zumar 39:1)

ii- {Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Al-Jaathiyah 45:2)

iii- {Diturunkan Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Al-Ahqaaf 46:2)

iv- {Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;} (Ghaafir 40:2)

v- {Ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.} (Fussilat 41:42) dan banyak lagi dalam ayat-ayat lain.

  1. Ayat 6- {Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.}- kerja Rasulullah s.a.w ialah datang untuk memberi nasihat dan dakwah kepada kaum yang telah terputus dakwah dan nasihat. Umat yang Nabi kita dibangkitkan kepadanya iaitu kaum Quraisy, yang tidak ada orang memberi nasihat kepada mereka.
    Kata Ibnu Kathir: Allah s.w.t tidak mengutus seorang nabi selepas Nabi Ismail kepada kaum Arab, sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w ini! Yang ada sebelum itu nabi Isa kepada kaum lain.
  2. Ayat 7- {Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.}- setelah dinyatakan dalil dan dibawa hujjah, tidak dengar juga, maka Allah s.w.t tetap dan copkan ke atas mereka bahawa mereka tidak akan beriman! Maklumat dan amaran sudah jelas, siapa yang lawan dan enggan terima juga maka mereka adalah kafir dan akan menjadi penghuni neraka jahannam! setelah dibawa hujjah mereka tidak hirau juga baru dibuat keputusan, dimeterikan. Hakikatnnya lebih ramai orang yang kafir daripada yang beriman! Semoga kita istiqomah dan tetap selamat di atas jalan dan landasan yang benar!

Powered by BetterDocs