View Categories

SURAH YAASIN : AYAT 41-44

\"\"

DALIL QUDRAT ALLAH; MANUSIA NAIK BAHTERA, SEHINGGA KINI SEBAGAI KENDERAAN & NIKMAT ALLAH TIMBUL TAK TENGGELAM.

Full video : https://youtu.be/-6jZyVnRayI

MUQADDIMAH :

  1. Perbincangan kita dalam siri ini ini ialah sambungan kepada siri yang lepas, iaitu tentang tanda-tanda Wahdaniah dan Qudrat Allah s.w.t di atas bumi, kemudian naik ke atas langit.
  2. Hari kita melihat pula tanda kekuasan Allah s.w.t di lautan. Tentang perjalanan bahtera dan kapal.
  3. Setelah melihat dalil kekuasaan Allah s.w.t pada dua tempat:
    i- iaitu apa yang ada di atas bumi dari tumbuhan, pokok, bukit bukau dan sebagainya.
    ii- apa yang ada di atas langit seperti matahari, bulan, bintang, planet dan semua yang ada dari segi sistem cakerawalanya.
  4. Maka hari ini pula kita turun ke lihat ke atas laut pula.

AYAT 41- {DAN SATU DALIL LAGI UNTUK MEREKA (INSAF) IALAH, KAMI MEMBAWA BELAYAR JENIS KELUARGA MEREKA DALAM BAHTERA YANG PENUH SARAT;} (YAA SIIN 36:41)

  1. Ini adalah satu dalil dan tanda yang besar yang dibawa bagi mereka iaitu kaum kafir Quraisy yang ada pada masa itu. Kemudian untuk semua manusia selepas mereka. Kerana ayat al-Quran ini turun pada zaman mereka, kemudian bersambung untuk seluruh manusia sehingga ke hari Kiamat.
  2. Iaitu tanda yang menunjukkan kepada kesempurnaan kekuasan Allah s.w.t, Dia buat apa yang Dia mahu.
  3. Sesungguhnya Allah s.w.t telah membawa dengan menyelamatkan keturunan nenek moyang mereka di atas bathera yang penuh itu. Ulama\’ kata maksudnya:
    i- bahtera (الْفُلْكِ) itu bahtera Nuh a.s. dan orang-orang yang beriman kepadanya yang bersamanya di atas bahtera itu.
    ii- zuriat- (ذُرِّيَّتَهُمْ) jenis keluarga manusia iaitu datuk nenek manusia ini dulu.
  4. Pada masa itu tidak ada seorang pun dari keturunan Bani Adam yang ada di muka bumi ini selamat kecuali mereka yang berada di dalam kapal Nabi Nuh a.s. yang penuh dengan muatan manusia dan haiwan-haiwan.
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.} (Al-Israa\’ 17:70)

AYAT 42- {DAN KAMI CIPTAKAN UNTUK MEREKA, JENIS-JENIS KENDERAAN YANG SAMA DENGANNYA, YANG MEREKA DAPAT MENGENDERAINYA.} (YAA SIIN 36:42)

  1. Allah s.w.t juga ciptakan juga bagi manusia pelbagai jenis kenderaan lain seperti kapal Nabi Nuh a.s. itu, iaitu (bagi ilham ajar/mereka) yang mereka buat dengan tangan mereka berupa kapal yang lebih besar atau yang lebih kecil serta pengangkutan umum lainnya yang ada samada di daratan atau lautan.
    Dia mengajarkan mereka cara supaya tidak tenggelam dan teknik kemahiran yang lainnya.
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya.} (Az-Zukhruf 43:12).
  3. Ulama\’ Abu Hayyan berkata maksud: (مِنْ مِثْلِهِ) yang seumpamanya ialah: termasuk juga kenderaan daratan seperti unta kuda dan pengangkutan zaman ini juga.

AYAT 43- {DAN JIKA KAMI KEHENDAKI, KAMI BOLEH TENGGELAMKAN MEREKA; (KIRANYA KAMI LAKUKAN YANG DEMIKIAN) MAKA TIDAK ADA YANG DAPAT MEMBERI PERTOLONGAN KEPADA MEREKA, DAN MEREKA JUGA TIDAK DAPAT DISELAMATKAN,} (YAA SIIN 36:43)

  1. Jika Allah s.w.t mahu jadikan mereka tenggelam, boleh aje, tiada siapa pun yang dapat menolong dan menyelamatkan mereka dari musibah tenggelam yang menimpa mereka.
  2. Tetapi Allah selamatkan mereka dengan diberinya rahmat dan kesenangan hidup untuk mereka. Mereka bersenang di atas dunia, mereka dapat berjalan di daratan, juga dapat belayar di laut.
  3. Kita lihat hari ini dalam beribu kapal belayar di laut, hanya berapa peratus saja yang tenggelam dan kemalangan.

AYAT 44- {KECUALI DENGAN KEMURAHAN DARI PIHAK KAMI MEMBERI RAHMAT DAN KESENANGAN HIDUP KEPADA MEREKA HINGGA KE SUATU MASA.} (YAA SIIN 36:44)

  1. Tetapi Allah selamatkan mereka kerana berkat rahmat-Nya, mereka dapat berjalan di daratan, juga dapat belayar di laut.
  2. Tetapi semua itu ada tempohnya. Allah s.w.t memelihara mereka dan membiarkan mereka selamat, beri masa dan tempoh yang tertentu, yang telah ditentukan di sisi Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 43- {Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan,}- ulama\’ kata semasa kita naik kapal atau kita berada di mana saja yang dalam keadaan aman dan tenang, dalam masa yang sama jangan sekali-kali kita berasa aman dan tenang dari azab dan kemurkaan Allah s.w.t. Kita kena sentiasa ingat dan berhati-hati akan kuasa dan kehendak Allah s.w.t, walaupun dalam nikmat, boleh saja Allah s.w.t tenggelamkan atau turunkan bala jika Dia kehendaki!
  2. Ayat 43- {Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka,}- wajib kita ingat dan lihat kepada nikmat Allah s.w.t yang telah memberi kita rezeki dan nikmat dari laut. Anugerah ini supaya kita sentiasa bersyukur kepada Allah.
  3. Ayat 41- {Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;}- ayat ini menunjukkan kepada nikmat Allah s.w.t juga, jika Allah s.w.t tidak memberi kita kemudahan menggunakan teknologi bahtera ini banyak tempat yang manusia tidak akan dapat sampai. Pada zaman dulu manusia belayar mengembara, berdagang dan berdakwah ke seluruh pelusuk dunia, dari benua ke benua meredah lautan yang luas dengan selamat dan jayanya. Pada hari ini bertambah lagi kemajuan dan teknologi manusia dalam teknologi pengangkutan. Betapa besar dan luasnya anugerah Allah s.w.t kepada manusia.
  4. Ayat 41- {Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;}- Allah sebut dalam ayat ini jenis keluarga keturunan mereka (ذُرِّيَّتَهُمْ) – ini kerana bukan semua manusia yang naik atas bahtera itu, hanya beberapa jenis sahaja yang naik ke atasnya dan selamat.
  5. Ayat 41- {Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;}- antara tanda kekuasaan Allah s.w.t itu ialah Allah bawa mereka atas bahtera- ini kerana bawa manusia naik atas bahtera itu adalah sesuatu yang istimewa dan pelik. Jika atas bumi adalah tidak pelik dan biasa.
  6. Ayat 41- {Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;}- ayat ini dalil bahawa boleh kita kata bahawa Allah s.w.t yang bawa orang ini (أَنَّا حَمَلْنَا) yakni bukan dengan kudrat kita tetapi dengan izin Allah s.w.t. Kita boleh kata, aku sampai di isni kerana Allah s.w.t yang bawa aku, yakni dengan izin Allah s.w.t kita sampai.
  7. Ayat 42- {Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.}- kita kembalikan segala usaha dan perbuatan kita kepada Allah s.w.t, memang kita buat dengan pilihan kita tetapi semuanya dengan izin dan kuasa Allah s.w.t yang memberi ilham dan kemampuan untuk itu.
  8. Ayat 42- {Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya…}- maksud ayat ini bukan bermakna semua mesti sama dan serupa. Setiap yang serupa itu tidak semesti sama seratus peratus. Seperti kita kata anak seseorang itu serupa dengan bapanya, tidak bermakna sama terus, cuma dapat dicami bahawa ia adalah anak si polan.
  9. Ayat 44- {Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.}- Allah s.w.t beri tempoh tertentu kepada manusia dan setiap keadaan ada tempohnya Menunjukkan setiap benda itu akan berakhir, mustahil seseorang itu kekal atas dunia ini selamanya.
    Penyair al-Mutanabbi pernah bersyair (terjemahan bebas):
    Walaupun aku selamat dari penyakit ini;
    tetapi tidak semestinya aku akan selamat dari kematian.
    Aku hanya selamat daripada kematian dengan sebab penyakit ini sahaja.
  10. Ayat 41- {Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;}- ayat ini menunjukan berpindahnya tanda kekuasaan Allah s.w.t dari bumi dan langit kepada lautan. Semuanya untuk kita mengambil pengajaran SERTA mengingati anugerah dan nikmat Allah s.w.t yang permudahkan perjalanan bahtera atas air tanpa tenggelam serta pelbagai nikmat lain lagi yang tidak terhitung banyaknyna.

Powered by BetterDocs