ORANG KAFIR TERPISAH DARI ORANG MU\’MIN, MULUT DIKUNCI DAN ANGGOTA BERCAKAP & SEMUA DI BAWAH KUASA ALLAH.
Full video : https://youtu.be/4i14YUiQjC0
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini adalah kisah yang sebaliknya dari kegembiraan dan kesenangan yang kita dengar dalam siri yang lepas iaitu tentang keadaan ahli syurga yang penuh dalam nikmat kurniaan Allah s.w.t!
Ayat hari ini adalah tentang hal keadaan orang kafir yang telah dijatuhkan hukuman neraka. Na\’zubillahi min zalik! - Allah s.w.t berfirman ceritakan kepada kita bahawa golongan kafir akan terpisah daripada orang mukmin di akhirat kelak! Kisah yang penuh air mata dan penyesalan yang tidak berguna lagi!
- Pada hari itu Allah s.w.t mengungkit balik tentang perjanjian yang dibuat dengan manusia untuk hanya menyembah-Nya, kenapa kamu ikut juga syaitan?
Oleh kerana kamu ikut syaitan maka terimalah akibatnya! - Pada waktu itu mulut masih lagi dapat bercakap, dan masih cuba lagi nak kelentong, memberi alasan untuk berlepas diri, lalu Allah s.w.t kunci mulut tidak boleh lagi bercakap!
Manakala semua anggota lain dengan kuasa Allah s.w.t dapat bercakap menjadi saksi kepada segala perbuatan tuannya di atas dunia dulu. - Kesinambungan ayat, setelah Allah s.w.t ceritakan tentang keadaan orang beriman yang mendapat balasan syurga yang penuh nikmat dan kebahagiaan, dalam ayat ini diceritakan pula tentang keadaan orang kafir, bermula dari di Padang Mahsyar lagi!
- Begitulah keadaan orang-orang yang menderhaka semasa di akhirat, mereka telah mendapat ketetapan azab, dan mereka wajib disiksa. Na\’uzubillah!
AYAT 59- {DAN (SEBALIKNYA DIKATAKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG KAFIR): \”BERPISAHLAH KAMU PADA HARI INI, HAI ORANG-ORANG YANG BERDOSA, (DARI BERCAMPUR GAUL DENGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN).} (YAA SIIN 36:59)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t sebutkan pula kisah balasan jahat kepada orang kafir yang berdosa. Iaitu golongan sebelah kiri.
- Dikatakan kepada mereka pada ketika semua manusia berkumpul di Padang Mahsyar pada hari Kiamat bahawa kamu akan dipisahkan, tidak akan bercampur dan bersama dengan orang yang beriman lagi walaupun siapa saja!!!
- Ini kerana hukuman tidak sama lagi, orang beriman akan berada di bawah bayangan yang teduh manakala orang kafir dalam kepanasan.
- Firman Allah s.w.t dalam ayat lain:
i- {Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).} (Ar-Ruum 30:14]. - Manusia ini sudahlah menzalimi dirinya sendiri, dia juga jahil tentang keadaannya. Kejahilan itu (tidak tahu) adalah satu alasan atau sebab untuk diberi keuzurun.
Tetapi hujjah tidak tahu itu tidak akan diterima lagi di sini, kerana Allah s.w.t telah hantar para rasul yang memandu dan memimpin kamu ke arah jalan yang benar, Allah s.w.t juga telah buat perjanjian dengan hamba-Nya tetapi kamu masih juga ambil jalan yang tidak baik! - Semua ini setelah Allah hantar rasul dan bawa segala hujjah keterangan untuk kamu beriman, tetapi kamu tetap ingkar degil dan tidak mahu menerima kebenaran dan beriman!
- Maka terimalah akibat balasannya pada hari ini!
AYAT 60- {\”BUKANKAH AKU TELAH PERINTAHKAN KAMU WAHAI ANAK-ANAK ADAM, SUPAYA KAMU JANGAN MENYEMBAH SYAITAN? SESUNGGUHNYA IA MUSUH YANG NYATA TERHADAP KAMU!} (YAA SIIN 36:60)
- Allah s.w.t telah berfirman: Wahai hamba-Ku yang kafir, bukankah aku telah sampaikan dan beri maran kepada kamu melalui lidah para rasul-Ku agar kamu jangan menyembah syaitan!
- Kata ulama\’ sembah syaitan (تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ) itu tidak bermakna sujud tetapi ikut apa yang dia suruh, taat kepada ajakan dan godaannya, menjadi pengikut kejahatan dan kezaliman kepada diri sendiri.
- Sebabnya (علة) kenapa Allah s.w.t melarang manusia daripada menyembah syaitan?
Ini kerana mereka adalah musuh yang nyata (عَدُوٌّ مُبِينٌ) bagi manusia!
Ia sudah bersumpah untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah!
Itulah kerja dan tugas utamanya; memesongkan manusia daripada kebenaran! - Larangan dengan membawa sebab (علة) ini kesannya sangat besar ke atas jiwa orang yang dilarang.
Begitulah bila kita melarang dan menyuruh anak kita buat sesuatu kena beri sebab yang mereka dapat faham dan terima! Tetapi jangan pula larang anak tetapi kita ibu bapa buat pula!
Contoh adalah melalui tauladan! - Maka sesiapa yang telah mentaati syaitan dengan mengerjakan semua kekufuran dan kemaksiatan, maka dia telah melanggar perjanjian dengan Allah s.w.t!
- Selepas larangan daripada ikut dan sembah syaitan; Allah s.w.t bawa pula arahan untuk menyembah Allah s.w.t semata-mata.
- Jelas di sini contoh kaedah Fiqhiyyah:
(درء المفاسد مقدم على جلب المصالح):
Menolak yang buruk itu lebih
utama daripada menarik kemaslahatan yang diperlukan.
Tolak dulu syirik kemudian terapkan Tauhid kepada Allah s.w.t. - Ia juga bertepatan dengan kaedah: (التَّخَلِية قبل الْتحَّلِيةْ)
Yakni kosongkan dulu daripada benda yang buruk baru isikan dengan benda yang baik! Jangan dibiarkan bercampur, bersihkan hati dulu dari segala penyakit dan kekotorannya, kemudian baru diisikan dengan akhlak yang mulia.
Delete dulu yang lama baru install balik yang baru!
AYAT 61- {\”DAN (AKU PERINTAHKAN): HENDAKLAH KAMU MENYEMBAHKU; INILAH JALAN YANG LURUS.} (YAA SIIN 36:61)
- Aku perintahkan kamu agar menyembah Aku, iaitu beribadah hanya kepada-Ku dan menaati-Ku, itulah jalan yang lurus!
AYAT 62- {\”DAN SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU TELAH MENYESATKAN GOLONGAN YANG RAMAI DI ANTARA KAMU; (SETELAH KAMU MENGETAHUI AKIBAT MEREKA) MAKA TIDAKKAH SEPATUTNYA KAMU BERFIKIR DAN INSAF?} (YAA SIIN 36:62)
- Syaitan telah menyesatkan ramai manusia, ramai yang telah terpedaya menjadi pengikutnya.
- Firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): \”Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)!
Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia\”.
Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: \”Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami\”.
(Allah berfirman): \”Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah\”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.} [Al-An\’aam 6:128] - Tidakkah sepatutnya kamu yang mempunyai akal yang sihat, gunakannya untuk berfikir dengan kebenaran, tentu kamu akan memilih taat kepada Tuhanmu, menyembah-Nya semata, tidak menyekutukan-Nya, tidak menentang-Nya dan tidak akan mengikuti syaitan kerana akibatnya membuat kamu masuk ke dalam neraka
AYAT 63- {\”YANG KAMU SAKSIKAN SEKARANG IALAH NERAKA JAHANNAM, YANG KAMU SELALU DIANCAM MEMASUKINYA (KALAU KAMU TIDAK TAATKAN PERINTAH ALLAH).} (YAA SIIN 36:63)
- Dikatakan lagi kepada mereka: Inilah azab neraka Jahanam yang pernah diperingatkan oleh para rasul kepadamu, namun kamu mendustakannya, yang kamu main-mainkannya dulu.
- Maka sekarang lihatlah dengan mata kepalamu.
Dikatakan penjaga neraka yang berkata begini kepada mereka.
AYAT 64- {\”RASALAH KAMU BAKARANNYA PADA HARI INI, DISEBABKAN PERBUATAN KUFUR YANG KAMU TELAH LAKUKAN!\”} (YAA SIIN 36:64)
- Dikatakan lagi kepada mereka: Masuklah kamu ke dalamnya pada hari ini, rasakanlah kepanasannya, azab bakarannya, semua ini akibat dan sebab kamu kufur di dunia dulu!
- Maka tiada jalan untuk selamat lagi, nak lari ke depan atau ke belakang tidak selamat semuanya.
Tiada guna penyesalan dan keinsafan lagi! - Jika nak kesal dan takut; sekaranglah masanya, semasa kita masih hidup dan mampu untuk insaf dan bertaubat.
AYAT 65- {PADA WAKTU ITU KAMI METERAIKAN MULUT MEREKA (SEJURUS); DAN (MEMBERI PELUANG KEPADA) TANGAN-TANGAN MEREKA MEMBERITAHU KAMI (KESALAHAN MASING-MASING), DAN KAKI MEREKA PULA MENJADI SAKSI TENTANG APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN.} (YAA SIIN 36:65)
- Pada hari itu, mereka masih ingin kelentong lagi, mulut menjawab memberi alasan! Lalu apa yang berlaku?
- Lalu Allah s.w.t perintahkan agar mulut orang-orang kafir dan orang-orang munafik dikunci, dibisukan, tidak dapat berbicara dan mereka tidak mampu mengingkari kekafiran, perbuatan jahat, mendustakan ucapan sumpah mereka ketika di dunia.
- Kata As-Sam\’ani: Ketika orang kafir mengingkari kekufuran mereka lalu Allah s.w.t kunci mulut mereka!
- Selepas mulut dikunci lalu semua anggota tubuh mereka yang lainnya, dengan kuasa Allah dijadikan dapat berbicara dan memberikan kesaksian terhadap apa yang telah mereka kerjakan, bermula dari peha dan bahunya.
- Firman Allah s.w.t dalam ayat lain lagi:
i- {Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam membisu.} (An-Naml 27:85)
ii- {Inilah hari mereka tidak dapat berkata-kata, (kerana masing-masing terpinga-pinga ketakutan)} (Al-Mursalaat 77:35)
iii- {\”Pada hari (ketika ) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa-apa yang dikerjakan oleh mereka dahulu.\”} ( An-Nur : 24 )
- Hadis anggota bercakap menjadi saksi di akhirat :
i- Hadis riwayat Anas bin Malik: Sahabat melihat Nabi s.a.w ketawa (senyum) daripada Anas bin Malik R.A katanya:
\”Pada suatu hari, kami duduk bersama Rasulullah S.A.W dalam keadaan gembira. Kemudian Rasulullah bertanya kepada kami: \”Tahukah kamu mengapa aku suka dan kamupun demikian juga?\” Jawab kami: \”Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.\”
Lalu Nabi S.A.W memberitahu: \”Aku suka kerana satu dialog lucu antara Allah Taala dengan Hamba-Nya.
Hamba itu berkata kepada Tuhan: \”Wahai Tuhan, tidakkah Tuhan berkuasa melindungi aku daripada kezaliman?\” Jawab Tuhan: \”Sesungguhnya Aku tidak melakukan kezaliman terhadap hamba-Ku.\”
Berkata lagi hamba tersebut: \”Kalau begitu datangkanlah kepadaku saksi yang tidak akan menzalimi diriku.\”
Allah Taala berfirman (seperti yang termaktub dalam Surah al-Isra ayat 14 yang bermaksud): \”Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghitung terhadapmu.\”
Allah Taala menyatakan kepada hamba-Nya, bahawa mereka tidak perlu bimbang terhadap keadilan Allah S.W.T pada Hari Akhirat kerana saksi yang akan didatangkan untuk mengadili hamba tersebut adalah dirinya sendiri, iaitu anggota tubuh mereka. [HR Muslim 2969].
AYAT 66- {(MATAHATI ORANG-ORANG YANG MENDERHAKA ITU ROSAK) DAN KALAU KAMI KEHENDAKI, KAMI BERKUASA MENGHAPUSKAN BENTUK DAN BIJI MATA KEPALA MEREKA MENJADI RATA, SEHINGGA MASING-MASING MENERPA MENCARI-CARI JALAN (YANG BIASA MEREKA LALUI). (KIRANYA DIJADIKAN DEMIKIAN) MAKA BAGAIMANAKAH MEREKA DAPAT MELIHATNYA?} (YAA SIIN 36:66)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi amaran kepada golongan kafir yang ada di atas dunia dan sekarang ini. Akan azab dan perkara yang berlaku kepada mereka di akhirat.
- Setelah puak kafir mengakui bahawa mereka telah syirik dan bersalah, lalu Allah s.w.t berfirman bahawa matahati orang kafir dan golongan musyrikin itu telah rosak kerana tidak dapat melihat kebenaran dan menerimanya.
- Jika Allah s.w.t. menghendaki, pasti Dia butakan mata mereka, atau buat mereka tiada mata, rata saja mukanya tanpa mata untuk melihat dan membiarkan gerakan mereka. Lalu mereka tidak nampak jalan yang ditempuhnya, mereka tidak nampak petunjuk, kebenaran, perkara yang hak, jalan keselamatan dan jalan ke syurga.
AYAT 67- {(KEKUATAN AKAL FIKIRAN MEREKA JUGA TIDAK SIHAT) DAN KALAU KAMI KEHENDAKI, KAMI BERKUASA MANGUBAHKAN KEADAAN JASMANI MEREKA (MENJADI KAKU BEKU) DI TEMPAT YANG MEREKA BERADA PADANYA; MAKA DENGAN ITU, MEREKA TIDAK DAPAT MARA KE HADAPAN DAN JUGA TIDAK DAPAT UNDUR KE BELAKANG.} (YAA SIIN 36:67)66)
- Allah s.w.t kata lagi, jika Dia kehendaki boleh saja Dia tukarkan rupa bentuk jasmani manusia itu samada jadi binatang lain, Dia jadikan mereka batu atau dalam bentuk apa saja, atau Allah lumpuhkan mereka, jadikan mereka beku, tidak dapat bergerak maju ke depan atau undur ke belakang.
- Begitulah pada hari ini, muncullah ajaran sesat yang bagaimana saja, hatta yang tidak logik oleh akal pun, tetap saja ada pengikut dan pengutipnya.
Kita berharap kerajaan dan pihak berkuasa merusaha mengambil tindakan tegas untuk membanterasnya sebelum menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Dalam al-Quran itu pasti akan disebut dua-dua dimensi, yang positif & negatif. Apabila disebut yang baik pasti akan disebut juga yang buruknya.
Jika disebut tentang nikmat syurga, maka pasti akan diikuti oleh azab neraka, maka barulah seimbang hidup manusia, berjalan antara pengharapan dan takut (الرجاء والخوف).
Jika hanya berita gembira dan harapan saja mereka akan jadi lalai dan lagha, manakala jika ancaman dan ugutan sahaja, hidup mereka juga tidak tenang dan rehat, jika hanya salah satu saja akan pincang dan tidak dapat terbang sempurna! - Ayat 59- {Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir):} – dalam ayat ini Allah s.w.t seru panggil golongan ini sebagai (أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ) wahai golongan kafir yang bersalah!
Ini kerana ketika itu mereka sudah berada di akhirat, mereka itu sudah tetap sebagai ahli neraka yang akan dihukum!
Maka setiap tempat itu ada panggilan munasabah yang sesuai dengannya. - Ayat 60- {\”Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,}- menunjukkan rahmat Allah s.w.t ke atas manusia, ada amaran dan ajaran sebelum dijatuhkan hukuman. Allah hantar rasul dan turunkan Kitab-Nya kepada manusia untuk berdakwah dan membimbing mereka.
- Ayat 60- {\” supaya kamu jangan menyembah Syaitan?}- menunjukkan bahawa setiap maksiat dan dosa yang dibuat bermakna kita telah ikut syaitan. Bukan sembah bermakna hanya rukuk sujud dan beribadat kepadanya saja.
- Ayat 60- {\”Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan?} – ibadat itu adalah ketaatan! sesiapa yang taat kepada Allah dan melakukan segala perintah dan tinggalkan larangannya maka dia telah beribadat kepada Allah s.w.t! Begitu juga orang yang taat kepada syaitan, ikut apa yang disuruh dan diajar oleh syaitan maka bermakna dia telah sembah syaitan!
- Ayat 60- {\”supaya kamu jangan menyembah Syaitan?}- ibadat bukan hanya rukuk dan sujud sahaja, tetapi apa saja dari perbuatan syirik dan khurafat, juga hatta ibadat yang kamu buat kepada selain daripada Allah maka dikira kamu sembah syaitan!
- Ayat 60- {\”supaya kamu jangan menyembah Syaitan?} – Allah s.w.t larang kita daripada menyembah syaitan, kemudian di bawa ayat ini : Ayat 61- {\”Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.}- inilah yang dikatakan kosongkan, hilangkan semua yang syirik dan karut, dimulakan dengan penafian, buangkan (التَّخَلِية ) kemudian barulah isbat dengan hanya menyembah Allah s.w.t, inilah yang dikatakan (الْتحَّلِيةْ) hiaskan dengan kebaikan.
- Ayat 61- {inilah jalan yang lurus.}- bukan hanya semata-mata jalan tetapi yang lurus yang diredhai Allah s.w.t kerana menuju kepada-Nya serta akan membawa kepada kebahagiaan.
- Ayat 65- {Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka} – kenapa Allah s.w.t tutup mulut mereka? Untuk mengelakkan perlawanan, tidak mahu lagi beri peluang kepada mereka untuk cuba berhujjah.
Ayat ini tidak bertentangan dengan ayat dari surah [An-Nur: 24] ini:
{Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.}.
ULAMA\’ KATA IA BERBEZA DARI SEGI :
i- (Yaasin) keadaan orang kafir- manakala surah (An-Nur) adalah tentang orang munafiq.
ii- Tempoh hari Kiamat dan hari Hisab itu amat panjang, pada awalnya mulut itu boleh bercakap kemudian dikunci untuk beri peluang kepada anggota pula untuk menjadi saksi agar keadilan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
iii- Bagaimana anggota lain dapat bercakap?
Tak perlu fikir kerana teknologi modern hari ini telah membuktikan banyak perkara yang kita tidak terfikir sebelum ini telah berlaku dan tidak mustahil!
Apatah lagi dengan kehendak dan kuasa Allah s.w.t, tiada yang mustahil dan pelik!
- Ayat 66- {Dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata,} & Ayat 67- {Dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) Allah s.w.t buat bandingan benda yang dapat diterima akal dengan sesuatu yang dapat dilihat dengan mata- jika Allah mahu dia boleh saja tukar rupa mereka secara fizikal, tetapi yang dikehendaki di sini boleh juga bermakna mereka bertukar sifat dan perangai seolah haiwan yang tidak berakal!