SURAH AL-ISRA’ : AYAT 26-31

KEWAJIPAN BERBAKTI KEPADA KAUM KERABAT DAN GOLONGAN MISKIN, LARANGAN MEMBAZIR DAN BOROS, BAKHIL & BUNUH ANAK KERANA TAKUT PAPA.


Full video: https://youtu.be/OY786jI0kz8

MUQADDIMAH:
Ayat-ayat siri ini masih di dalam ciri2 Syiar Islam & Iman:
1. Tauhid Kepada Allah s.w.t.
2. Berbuat baik dan berbakti kepada Ibubapa.
3. Siri ini pula; berbuat baik kepada orang sekeliling seperti kaum kerabat dan golongan miskin.

AYAT 26- {DAN BERIKANLAH KEPADA KERABATMU, DAN ORANG MISKIN SERTA ORANG MUSAFIR AKAN HAKNYA MASING-MASING; DAN JANGANLAH ENGKAU MEMBELANJAKAN HARTAMU DENGAN BOROS YANG MELAMPAU.} (AL-ISRAA’ 17:26)

Kewajipan Berbakti Kepada kaum kerabat dan golongan miskin.
Apakah maksud beri hak ini?
1. Bagi kaum kerabat – i- Birr- yakni buat baik, ii-sambung silaturrahim dan iii-bantu mereka jika ada keperluan.
2. Bagi orang miskin tunaikan hak mereka iaitu zakat, juga ihsan iaitu sedekah dan sumbangan.
3. Bagi Orang musafir yang terputus bekalan, antara haknya jadikan mereka tetamu, bagi tumpangan atau cari tempat tinggal, beri makan dan mereka juga berhak mendapat zakat dalam keadaan itu. Contoh orang yang habis tiket bas, terlekat di negeri orang, kenderaan rosak dan lain-lain.
4. Antara Syiar Islam juga ialah jangan membazir atau boros berbelanja.
Apakah maksud membazir: Yakni infak atau habiskan duit bukan sepatutnya, bukan pada tempatnya atau guna untuk maksiat. Atau beri duit yang terlebih banyak untuk seseorang, banyak pihak dapat bantuan tetapi masih tidak cuba ubah kehidupan untuk meraih simpati. Atau beri sedekah pada orang yang (kita tahu dia akan) salah guna, bukan buat belanja nafkah tetapi buat beli rokok, berjudi dan lain-lain. Jika kita tahu nak buat macamana.
Pembaziran asal harta, guna ditempat yang tidak baik dan maksiat.

AYAT 27- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BOROS ITU ADALAH SAUDARA-SAUDARA SYAITAN, SEDANG SYAITAN ITU PULA ADALAH MAKHLUK YANG SANGAT KUFUR KEPADA TUHANNYA.} (AL-ISRAA’ 17:27)

Membazir Sifat syaitan.
1. Jika membazir seolah-olah saudara syaitan kerana membazir adalah sifatnya dan syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Allah s.w.t.
2. Jika menggunakan harta di jalan yang tidak sepatutnya, tidak Syar’ie, walaupun sedikit dikira membazir dan kufur akan nikmat Allah.
3. Maka disinilah dikira saudara syaitan kerana sama dari segi perbuatan dan sifatnya, iaitu membazir dan kufur akan nikmat Allah.

AYAT 28- {DAN JIKA ENGKAU TERPAKSA BERPALING TIDAK MELAYANI MEREKA, KERANA MENUNGGU REZEKI DARI TUHANMU YANG ENGKAU HARAPKAN, MAKA KATAKANLAH KEPADA MEREKA KATA-KATA YANG MENYENANGKAN HATI.} (AL-ISRAA’ 17:28)

Ciri-ciri/ syi’ar iman yang seterusnya:
1. Maksud ayat- {Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka..} yakni Jika engkau tidak mampu menolong orang yang mengharapkan, yang meminta bantuan itu (tiga golongan tadi) kerana tiada rezeki lebih juga, maka beritahulah kepada mereka dengan baik dan berterus-terang.
2. Jangan pula mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati mereka samada dengan menghina atau tidak. Berilah kata-kata semangat, motivasi dan mendoakan mereka.

AYAT 29- {DAN JANGANLAH ENGKAU JADIKAN TANGANMU TERBELENGGU DI LEHERMU, DAN JANGANLAH PULA ENGKAU MENGHULURKANNYA DENGAN SEHABIS-HABISNYA, KERANA AKIBATNYA AKAN TINGGALLAH ENGKAU DENGAN KEADAAN YANG TERCELA SERTA KERING KEPUTUSAN.} (AL-ISRAA’ 17:29)

Larangan daripada terlalu bakhil dan kedekut.
1. Tangan terbelenggu di leher – maksudnya terlalu kikir dan bakhil seolah terikat tangan. Larangan dari sifat ini, hatta ke atas diri sendiri dan tidak mengeluarkan hak harta yang sepatutnya.
2. Juga larangan agar jangan terlalu boros sehingga menjadi kering habis hartanya lalu akan menjadi hina dan tercela. Tiada guna lagi penyesalan.
3. Ayat ini mengajar manusia cara menguruskan harta dengan sebaiknya, iaitu bersederhana. Tidak terlalu boros dan bukan terlalu bakhil.

Perbandingan Antara Orang Yang Pemurah Dengan Orang Yang Kedekut:
Dari Abu Hurairah r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
“Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.” [HR al-Bukhari].

AYAT 30- {SESUNGGUHNYA TUHANMU-LAH YANG MELUASKAN REZEKI BAGI SESIAPA YANG DIKEHENDAKI-NYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURAN-NYA), DAN IA JUGA YANG MENYEMPITKANNYA (MENURUT YANG DEMIKIAN). SESUNGGUHNYA IA MAHA MENDALAM PENGETAHUAN-NYA, LAGI MAHA MELIHAT AKAN HAMBA-HAMBA-NYA.} (AL-ISRAA’ 17:30)

Allah Memberi Rezeki Kepada Sesiapa Yang Dikehendaki-Nya.
1. Yakni jika kamu tidak mampu menolong orang yang susah itu, jangan runsing kerana Allah s.w.t telah mengatur rezeki kepada semua makhluk-Nya. Allah juga Maha Mengetahui apa niat kamu.
2. Ada yang kaya dan ada yang miskin, semuanya saling memerlukan dan melengkapi jika ikut hukum dan perintah Islam yang sebenar.
3. Manusia itu pelbagai jenis kejadiaannya; ada yang kaya menjadi jahat dengan sebab limpahan harta dan berbuat maksiat, ada pula yang menjadi miskin dengan sebab kemiskinan.
4. Semua ini ujian ke atas setiap manusia, maka yang diberi rezeki wajib bersyukur, manakala yang diberi ujian bersabarlah. Insya Allah pahala dan balasan baik dari Allah akan menanti.

AYAT 31- {DAN JANGANLAH KAMU MEMBUNUH ANAK-ANAK KAMU KERANA TAKUTKAN KEPAPAAN; KAMILAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA MEREKA DAN KEPADA KAMU. SESUNGGUHNYA PERBUATAN MEMBUNUH MEREKA ADALAH SATU KESALAHAN YANG BESAR.} (AL-ISRAA’ 17:31)

Larangan Tidak Yakin Rezeki Allah s.w.t.
1. Haram bunuh anak kerana takut miskin, ini kerana rezeki setiap manusia itu telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
2. Perbuatan membunuh itu sendiri adalah satu DOSA BESAR apatah lagi jika membunuh anak sendiri, juga kerana tidak yakin akan rezeki daripada Allah s.w.t, maka berganda-ganda dosanya.

PENUTUP:
Beberapa Syiar agama Islam yang kita dapat ambil pengajaran untuk diamalkan:
1. Perintah dan galakan untuk berbakti kepada kaum kerabat dan berbuat baik kepada golongan miskin dan susah serta orang musafir yang terkadasa dalam kesulitan.
2. Jika tidak dapat memberi bantuan, berilah janji yang baik seperti nasihat motivasi yang membina semangat. Jangan pula menyakiti hati mereka dengan menghina atau mengeluarkan kata-kata buruk.
3. Islam mengajar cara menguruskan harta dengan sebaiknya, iaitu bersederhana. Tidak terlalu boros sehingga membazir atau membelanjakannya di jalan maksiat.
4. Islam juga melarang kikir dan bakhil sehingga tidak mengeluarkan hak dan kewajipannya.

Wallahu A’lam.