SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 7-9

AYAT MUHKAM DAN MUTASYABIH, SIKAP PENCARI KERAGUAN & DOA AR-RASIKHUN YANG MANTAP IMAN.

Full video : https://youtu.be/-EmQ5YgxWZw?si=OOSQkVR7k508ICee

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 7 sehingga 9, surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang jenis ayat dalam al-Quran: ayat muhkam (jelas & nyata) dan ayat mutasyabih (ayat yang perlu kepada penjelasan) kerana ia boleh ditakwil & ditafsir dengan pelbagai makna.
  3. Siapakah yang dapat menafsir & huraikannya? Iaitu ar-Rasikhun {الراسخون}, mereka diberi ilmu oleh Allah s.w.t maka mereka boleh tahu & tafsirkannya dengan tepat. Tiada ayat dalam al-Quran ini yang tidak boleh difahami oleh semua manusia.
  4. Allah juga terangkan tentang sikap pencari keraguan {الزائغون}, suka cari benda pelik untuk timbulkan keraguan di kalangan orang ramai.
  5. Kemudian Allah bawa doa ar-Rasikhun {الراسخون} iaitu mereka yang mantap iman, ilmu & kefahamannya tentang al-Quran.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 7- {{DIA LAH YANG MENURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) KITAB SUCI AL-QURAN. SEBAHAGIAN BESAR DARI AL-QURAN ITU IALAH AYAT-AYAT “MUHKAMAAT” (YANG TETAP, TEGAS DAN NYATA MAKNANYA SERTA JELAS MAKSUDNYA); AYAT-AYAT MUHKAMAAT ITU IALAH IBU (ATAU POKOK) ISI AL-QURAN. DAN YANG LAIN LAGI IALAH AYAT-AYAT “MUTASYAABIHAAT” (YANG SAMAR-SAMAR, TIDAK TERANG MAKSUDNYA). OLEH SEBAB ITU (TIMBULAH FAHAM YANG BERLAINAN MENURUT KANDUNGAN HATI MASING-MASING) – ADAPUN ORANG-ORANG YANG ADA DALAM HATINYA KECENDERUNGAN KE ARAH KESESATAN, MAKA MEREKA SELALU MENURUT APA YANG SAMAR-SAMAR DARI AL-QURAN UNTUK MENCARI FITNAH DAN MENCARI-CARI TAKWILNYA (MEMUTARKAN MAKSUDNYA MENURUT YANG DISUKAINYA). PADAHAL TIDAK ADA YANG MENGETAHUI TAKWILNYA (TAFSIR MAKSUDNYA YANG SEBENAR) MELAINKAN ALLAH. DAN ORANG-ORANG YANG TETAP TEGUH SERTA MENDALAM PENGETAHUANNYA DALAM ILMU-ILMU AGAMA, BERKATA:” KAMI BERIMAN KEPADANYA, SEMUANYA ITU DATANGNYA DARI SISI TUHAN KAMI” DAN TIADALAH YANG MENGAMBIL PELAJARAN DAN PERINGATAN MELAINKAN ORANG-ORANG YANG BERFIKIRAN.} (AALI-IMRAN 3:7)

  1. Allah nyatakan bahawa dalam al-Quran ini isi kandungannya yang utama ialah ayat-ayat muhkam, iaitu ayat yang jelas maknanya serta juga ayat-ayat yang mutasyabih.
  2. Maksudnya ayat muhkamat {مُّحْكَمَـٰتٌ}:
    Ayat yang tetap, tegas (tidak dimansukhkan), jelas tanpa perlu ditakwil maknanya.

Ayat-ayat ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran, iaitu isi kandungan yang utama dalam al-Quran.

Antara contohnya ayat muhkamat ialah:
i- {Katakanlah (Muhammad): “Marilah aku bacakan apa yang diharamkan Tuhan kepadamu Janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan apa pun, berbuat baik kepada ibu bapak, janganlah membunuh anak-anakmu kerana miskin, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, janganlah kamu mendekati perbuatan yang keji, baik yang terihat ataupun yang tersembunyi, janganlah kamu membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar.”

Demikianlah Dia memerinahkan kepadamu agar kamu mengerti.

Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, sampai dia mencapai (usia) dewasa.
Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil.
Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya.
Apabila kamu berbicara, bicaralan sejujurnya, sekalipun dia kerabat (mu), dan penuhilah janji Allah.
Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu ingat.
Dan sungguh, inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah! Jangan kamu kuti jalan-jalan (yang lain), yang akan mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu bertakwa.} [al-An’aam: 151-153]

ii- [Al-Isra’: 23-26]:
{Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).} (Al-Israa’ 17:23)

{Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”} (Al-Israa’ 17:24)

{Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.} (Al-Israa’ 17:25)

{Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.} (Al-Israa’ 17:26).

iii- {Isa tidak lain hanyalah seorang hamba yang Kami berikan kepadanya nikmat (kenabian) dan Kami jadikan dia sebagai tanda bukti (kekuasaan Allah) untuk Bani lsrail.} [Az-Zukhruf: 59].

  1. Kemudian ada juga ayat-ayat “Mutasyaabihaat” {متشابهات} yang samar-samar, tidak terang maksudnya. Ia perlu kepada huraian & penjelasan supaya orang yang dengar boleh faham, tahu & reti apa yang disebut oleh Allah s.w.t.

Kerana itu timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing.

Antara contoh ayat-ayat ini ialah:
i- {Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya.
Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).} (An-Nisaa’ 4:171)

ii- {(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”.} (A-li’Imraan 3:55)

iii- Seperti firman Allah S.W.T tentang Zat-Nya:
{ٱلرَّحْمَـٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ}
{(Iaitu) Yang Maha Pengasih. Yang bersemayam di atas Arasy.} (Tohaa: 5)

iv- { يَدُ ٱللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ}
{Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka.} (Al-Fath: 10)

  1. Maka ayat-ayat ini perlukan tafsiran dan huraian.

i- Ulama’ salaf mentafsirkan sebagaimana yang disebut oleh Allah s.w.t.

ii- manakala ulama’ khalaf mentakwilkannya kerana mereka tidak mahu orang dok berfikir bagaimana Allah s.w.t duduk dan sebagainya.
Begitulah jika kita fikirkan Allah seperti makhluk.

iii- tetapi jika kita tahu bahawa Allah s.w.t itu tidak seperti makhluk maka ia tidak menjadi masalah.

Kita berpegang dengan ayat ini sebagai penyekatnya {لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىءٌ}- {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)} (Asy-Syuura 42:11)

Peranan Sunnah pula adalah memperincikan apa yang umum di dalam al-Quran.

  1. Allah nyatakan lagi terdapat manusia yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya iaitu memutarkan maksudnya menurut yang disukainya.
  2. Inilah golongan az-Za’ighun {الزائغون} yang mahu menimbulkan satu fitnah supaya orang dengan al-Quran ini tidak berapa yakin, tidak berapa percaya & tidak faham!

Begitulah seperti kumpulan hakikat & makrifat yang mencari-cari tafsir yang mereka nak & putar belit ayat al-Quran ikut hawa nfsu mereka!

Seperti dalam ayat poligami: {Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.} (An-Nisaa’ 4:3)

Mereka bukan baca dengan (atau); tetapi campur semuanya (2+3+4) maka jadi boleh kahwin 9 orang perempuan dalam satu masa!

Inilah golongan yang amat sesat & tafsir al-Quran ikut hawa nafsi sendiri.

  1. Rasulullah s.a.w juga telah berpesan tentang golongan ini:

Hadis riwayat UM Aisyah r.a katanya: Rasulullah saw. membaca ayat ini (Aali Imran Imran- ayat 7).
Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila kamu melihat orang-orang yang mengikuti ayat-ayat mutasyabihat itulah orang-orang yang dimaksud Allah dalam ayat itu {الزائغون}.
Maka jauhilah, hati-hatilah dengan mereka:” [HR Bukhari & Muslim].

Mereka ini nak tafsir ayat al-Quran pergi ambil pendapat & pandangan ahli falsafah & ahli lain kerana nak lari dari tafsiran yang telah dibuat oleh ulama’ Salaf!

Racun yang masuk dalam hati umat yang dibawa oleh para ahli falsafah yang nak mengelirukan umat Islam iniamat bahaya.
Ini kerana mereka mahu menakutkan & menjauhkan manusia dari al-Quran!

  1. Tidak ada dalam al-Quran tidak ada benda yang tidak dapat difahami.
    Allah nyatakan bahawa semuanya:

i- hanya Allah saja yang tahu (bacaan pertama jika berhenti setakat waqaf itu).
{ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ }-
tidak ada yang tahu tafsirannya yang sebenar kecuali Allah.
Jika kita ambil yang ini sempitlah skopnya; kerana tidak mungkin Allah s.w.t turunkan ayat al-Quran supaya kita tidak tahu apa & tidak faham apa yang Allah nak sampaikan!

ii- bacaan kedua jika disambung: hanya Allah s.w.t & orang yang mantap ilmunya serta mahir dalam tafsir ayat-ayat al-Quran, yang diberi ilmu makrifat & kefahaman oleh Allah s.w.t iaitu golongan { وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ}.

Ini kerana tidak ada dalam al-Quran ayat & perkara yang tidak dapat difahami oleh akal manusia, alhamdulillah.

Salah seorangnya sahabat yang mulia Abdullah bin Abbas r.a yang diberi Allah kefahaman ini. Dia sendiri yang mengakui hal ini bahawa dia salah seorang ar-Rasikhun fil ilm.

  1. Majoriti ulama’ tafsir & para sahabat seperti Ubai bin ka’ab, UM Aisyah, Ibnu Abbas, Ibnu Umar r.anhum dan lain-lain yang berpendapat bacaanya adalah disambung dengan
    { وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ}
    jangan berhenti. Alhamdulillah!
  2. Kata Ibnu Abbas r.a: Akulah salah seorang yang diberi ilmu kefahaman itu Allah s.w.t.
    Aku dapat memahami dan menghuraikan semua ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w .
  3. Hadis riwayat Amru bin al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Ayat al-Quran ini tidak bercanggah antara satu sama lain, apa yang kamu tahu amalkannya. Apa yang kamu tidak jelas, tidak faham; kamu berimanlah bahawa ayat ini datang dari Allah. [HR Ibnu Bardawaih- sanad ].

Yakni jika kamu tak faham jangan lupa ulama’ faham!

Jangan nak heret ulama’ juga dengan mengatakan mereka tidak faham!
Ingatlah ulama’ salaf lebih alim dalam menafsirkan al-Quran & ulama’ Khalaf melengkapkan lagi tafsiran al-Quran ini!

Yakni Rasulullah s.a.w ajar kepada kita; apa yang kamu tak tahu kamu beriman dengannya; apa yang kamu tahu maka amalkannya!
Kita beriman dengan semua ayat-ayat al-Quran alhamdulillah!

  1. Mereka golongan ar-Rasikhun ini berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami.”

Yakni jika ada ayat yang kamu tidak faham ada orang lain seperti para ulama’ yang faham.

Ini kerana tidak mungkin para sahabat & para Ummul Mukminini jika mereka dengar ayat al-Quran & tidak fahamnya; tetapi tidak bertanya kepada Rasulullah s.a.w akan maksudnya!

  1. Allah s.w.t tutup ayat ini mengatakan bahawa tidak akan mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran {أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ}.
    Mereka ini akan terima, beriman dan ambil pengajaran dari semua ayat-ayat Allah s.w.t!

AYAT 8- {{(MEREKA BERDOA DENGAN BERKATA): “WAHAI TUHAN KAMI! JANGANLAH ENGKAU MEMESONGKAN HATI KAMI SESUDAH ENGKAU BERI PETUNJUK KEPADA KAMI, DAN KURNIAKANLAH KEPADA KAMI LIMPAH RAHMAT DARI SISIMU; SESUNGGUHNYA ENGKAU JUALAH TUHAN YANG MELIMPAH-LIMPAH PEMBERIANNYA.} (AALI-IMRAN 3:8)

  1. Dalam ayat ini adalah doa orang yang diberi ilmu { وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ}:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ

i- Mereka meminta agar istiqomah & sabit hatinya atas iman: {Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami}
ii- Mereka juga memohon rahmat Allah: {dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu}. Yakni kefahaman dengan al-Quran, beramal & yakin dengannya.

iii- Kemudian mereka menyatakan dengan yakin: {sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya}.

  1. Rasulullah s.a.w selalu berdoa dengan doa ini:
    hadis lain yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, katanya:

قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ؟
قَالَتْ: كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ.
قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ؟
قَالَ: يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah:
“Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah S.A.W yang paling banyak apabila Baginda S.A.W disisi engkau?”
Beliau menjawab: “Doa Baginda S.A.W yang paling banyak adalah:
(يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) –
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” –
Ummu Salamah berkata: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah S.A.W; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa:
“يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”.

Lalu Baginda S.A.W menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.”
[HR Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)].

AYAT 9- {{“WAHAI TUHAN KAMI! SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YANG AKAN MENGHIMPUNKAN SEKALIAN MANUSIA, UNTUK (MENERIMA BALASAN PADA) SUATU HARI (HARI KIAMAT) YANG TIDAK ADA SYAK PADANYA”. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMUNGKIRI JANJINYA.} (AALI-IMRAN 3:9)

  1. Doa mereka { وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ} lagi merupakan pengakuan & permohonan kepada Allah agar diampunkan kesalah dosa pada hari Kiamat kelak, janganlah dimalukan dengan didedah keburukan di Akhirat kelak!
  2. Mereka berdoa lagi sambil mengikrarkan:

رَبَّنَآ إِنَّكَ جَامِعُ ٱلنَّاسِ لِيَوْمٍۢ لَّا رَيْبَ فِيهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُخْلِفُ ٱلْمِيعَادَ

i- Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia,
ii- untuk menerima balasan pada suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”.

iii- Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

  1. Kita minta Allah s.w.t ampunkan dosa kita, bangkitkan kita pada hari Kiamat dengan letakkan kami bersama orang yang beriman kepada-Mu & al-Quran, yang mantap iman & kefahamannya tentang al-Quran { وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ} jangan goyah.
  2. Serta jika ada salah kita dalam kefahaman dalam al-Quran, dalam Sunnah, salah dalam ibadat tak ikut Nabi s.a.w, salah dalam perbuatan kita; maka kita minta agar Allah s.w.t ampunkan dosa kita, maafkan kesalahan kami! Janganlah Engkau hina & malukan kami di hadapan khayalak pada hari Kiamat kelak!!
  3. Cukuplah untuk kita faham bahawa dalam al-Quran ini ada ayat muhkam, ada ayat yang mutasyabih.
    Orang yang beriman kepada Allah yang mantap imannya jika tak faham dia akan tanya, jika tak faham juga tetap beriman.
    Ini kerana kita tahu al-Quran ini turun dari sisi Allah Azza wa Jalla bukan dibuat atau reka oleh manusia atau malaikat!
  4. Inilah peranan & tanggung-jawab kita apabila kita baca al-Quran, kita kena beriman, percaya & yakin mudah-mudahan al-Quran akan jadi pemandu kita di dunia, peneman kita di dalam kubur & pembimbing kita di Akhirat, Aaamiin.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 7- {{Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya).}-

Allah s.w.t nyatakan dalam al-Quran ini dua kategori ayat iaitu ayat “Muhkamaat”; yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya dan ayat-ayat “Mutasyaabihaat”; yang samar-samar, tidak terang maksudnya.

Maka Allah s.w.t bahagaikan dalil as-Sam’iyyat ini kepada dua:

i- Ayat Muhkamaat- kita dengar dan terus boleh faham. Inilah asal Ummul-Kitab, berada pada ayat Muhkam.

ii- Ada juga ayat Mutasyaabihaat – yakni adakalanya perlu kepada huraian, dan kita yakin tiada dalam kalangan sahabat, tabien & ulama’-ulama’ besar yang tidak faham semuanya!

Jika ada ayat yang nampak bercanggah secara zahir kita kena kembarkan bersama ayat muhkam & mutasyabihat- maka jelaslah makna sebenar yang Allah mahu sampaikan.

Tetapi kerana al-Quran ini datang dari Allah pasti tidak ada percanggahan & pertentangan sebagaimana jaminan Allah dalam firman-Nya ini:

{Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.} (An-Nisaa’ 4:82)

Contoh ayat mutasyabih dijelaskan dengan ayat muhkam:

i- Firman Allah SWT tentang Nabi Isa a.s.
إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَىٰ مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ ۖ
“Sungguh Al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya.” (an-Nisaa’ : 171)

ii- Ia Dijelaskan dengan ayat muhkam ini, firman-Nya:
{Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa bagi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam.} (Ali ‘Imran: 59)
{Dia (Isa) tidak lain hanyalah seorang hamba yang Kami berikan nikmat (kenabian) kepadanya, dan Kami jadikan dia sebagai contoh bagi Bani Israil.} (az-Zukhruf: 59)

Jangan jika kita tak faham; kita sandarkan kepada Allah!

  1. Ayat 7- {adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).}-

Allah kata ada manusia ini suka mencari sesuatu yang pelik & meragukan!

Ada manusia yang berperangai begini untuk menimbulkan fitnah kepada orang ramai agar mereka keliru & celaru lalu berpecah belah & merundum iman mereka.

Bahaya puak ini mereka salah guna al-Quran- seperti puak makrifat yang salah guna ayat ini dan buat pegangan yang salah dengannya:
{Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.
وَٱعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ ٱلْيَقِينُ-}- [Al-Hijr 15:99]
Lalu ada kumpulan ajaran sesat buat pegangan:
Mereka kata mereka sudah yakin jadi tak perlu sembah Allah yakni tak payah solat lagi- mereka yang masih solat itu adalah ahli Syari’ah yang masih belum kenal Allah!

Begitulah az-Za’ighun yang celaru lagi sesat-menyesatkan mencari ayat-ayat tafsir ikut kehendak nafsu mereka.

Mereka buat lari tafsir agar orang tidak beriman- kononnya nak menyucikan Allah s.w.t daripada menyerupai makhluk!

Sedangkan Allah s.w.t sendiri yang sebut & bawa sifat-sifat itu!

Allah juga telah letakkan satu keadaan apabila kita bincangkan tentang Allah jangan samakan dengan makhluk!
Kerana Allah tidak sama dengan makhluk!

  1. Ayat 7- {وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ}- Bahagian ayat ini boleh dibaca dengan dua bacaan iaitu:

i- berhenti setakat ini sahaja
وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ }:
Ayat 7- {Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah.}

ii- Sambungkannya dengan ayat selepasnya
{وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُۥٓ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ وَٱلرَّٰسِخُونَ فِى ٱلْعِلْمِ}.
Kita kata alhamdulillah.

Ayat 7- {Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama.

Ulama’ kata orang tahu ramai tetapi orang yang betul-betul faham & mahir tentang al-Quran tidak ramai.
Mereka ini ada dan sentiasa bersifat tawadhuk dengan berdoa kepada Allah s.w.t.

  1. Ayat 7- {Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.}-

Allah nyatakan bahawa golongan yang dapat manfaat dari Quran, yang ingat akan peraturan Allah, yang taat kepada Allah adalah orang berfikir dengan ikhlas iaitu golongan Ulul-Albab, yang berfikir & mengkaji tentang ayat-ayat Allah.

Semoga kita menjadi termasuk dalam golongan yang mendapat hidayah dan manfaat, menjadi ulul-albab- guna akal fikiran untuk tadabbur al-Quran, memahami maknanya & beramal dengannya.
Amin ya Rabbal-Alamin!

  1. Ayat 8- {{(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.}- ini adalah doa orang yang diberi ilmu (ar-Rasikhun).

Sentiasalah kita pun mengamalkannya:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya!

Sentiasalah kita baca ayat ini dengan niat doa serta kembarkan dengan doa ini juga di dalam atau luar solat boleh belaka:

(يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) –

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” –

Ini doa yang sangat penting kerana hati kita ini duduk di bawah kuasa Allah- Dia boleh tukarkannya pada bila-bila masa saja pagi petang siang malam!

Sebagai orang yang beriman jangan ada dalam hati kita perasaan bahawa kita akan aman daripada perancangan Allah Azza wa Jalla.

Kerana itu kena letak hati bergantung kepada Allah, moga Allah tidak palingkan hati kita setelah beriman & mendapat hidayah!

Mudah-mudahan kita selamat & jangan over confident- terlalu yakin dengan ilmu & iman kita sehhingga kecundang akhirnya!

Makluman:
Insya’ Allah musa’adah ke Selatan Thai diteruskan- Sila hulurkan sumbangan anda!
Akaun Dakwah Unlimited –
Maybank: 5630-2861-5736

Koleksi catatan tafsir yang lepas di:
www.abuanasmadani.com