Surah As-Sajdah : Ayat 18-22

Perbezaan Sifat Orang Mu’min Dan Fasiq, Orang Kafir Ditimpa Azab Di Dunia Agar Insaf & Golongan Menolak Quran Adalah Zalim.💎

♥ Live Pagi Isnin 25 R. Awwal 1443H = 1/11/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah As-Sajdah (05) Ayat [18-22]♥

Full video: https://fb.watch/8_VlqCzeX2/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri ini kita akan melihat perbandingan antara orang mukmin dan orang fasiq serta ke manakah hala-tuju masing-masing.
  2. Allah s.w.t juga menyatakan sebab kenapa berlakunya azab semasa di dunia lagi, ini kerana supaya mereka insaf dan bertaubat. kembali kepada Allah s.w.t.
  3. Disebut azab dan dinyatakan sebab. Objektifnya supaya mereka beriman kepada Allah s.w.t dan ikut ajaran Rasulullah s.a.w. Jika kamu tidak ikut juga maka terimalah akibatnya.
  4. Dalam siri yang lepas kita telah bincang tentang sifat orang mukmin yang apabila mendengar ayat-ayat Allah s.w.t terus menundukkan dirinya sujud kepada Allah s.w.t. Ini kerana sedar mereka lemah dan bergantung kepada kuasa dan ihsan Allah s.w.t kerana itu mereka bersedia bersujud dan sembah-Nya.
  5. Mereka juga tidak sombong, boleh bangun malam meninggalkan kerehatan tempat tidur, semata-mata untuk beribadat kepada Allah s.w.t.
  6. Mereka juga tidak sayang untuk bersedekah mengeluarkan nikmat harta yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada mereka.
  7. Kata Imam al-Hasan Basri rhm.: Oleh kerana mereka sembunyikan ibadat malam mereka, maka Allah s.w.t juga sembunyikan dulu apakah balasan nikmat yang akan diberikan kepada mereka nanti sebagai satu kejutan (surprise).
  8. Itulah nikmat yang kita harapkan, kita rahsiakan ibadat kita daripada manusia, kita hanya tujukan kepada Allah s.w.t, semoga kita mendapat syurga yang sifatnya.
  9. Tiga sifat syurga: Mata tidak pernah tengok, telinga tidak pernah dengar dan fikiran tidak dapat gambarkannya.
  10. Kita juga telah mendengar akan keadaan orang kafir di akhirat kelak yang tunduk penuh penyesalan dan kehinaan.

🌺*Ayat 18- {(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).
(As-Sajdah 32:18)

  1. Ayat ini dalam bentuk soalan. Allah s.w.t bertanya kepada kita adakah kita fikir akan sama balasan antara orang mukmin dan orang fasiq? Supaya kita buka minda, samakah orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, yang taat dan menurut perintah-Nya, manakala orang fasiq ialah yang ingkar dan kufur dan mendustakan semua itu?
  2. Pastilah tidak sama sama-sekali. Allah s.w.t itu Maha Adil & Maha Bijaksana. Mereka akan menerima balasan yang bersesuaian dengan amalan masing-masing.
  3. Allah sebut secara jamak (ramai) – لَا يَسْتَوُونَ kerana kembali untuk kelompok mereka semua, semuanya tidak sama. Hatta sesama kelompok mukmin pun tidak sama dan ada darjat tingkatannya.
  4. Firman Allah s.w.t dalam surah lain juga:
    i- {Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?} {Sood: 28].

ii- {Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.} (Al-Jaathiyah 45:21)

🌺*Ayat 19- {Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
(As-Sajdah 32:19)

  1. Di sini Allah s.w.t menerangkan pula balasan bagi orang yang beriman (dengan semua 6 rukun iman) serta mereka itu mestilah yang beramal soleh. Iman tanpa amal adalah tidak lengkap.
  2. Amal soleh pula mempunyai dua syarat:
    i- ikhlas kerana Allah s.w.t.
    ii- bertepatan dengan ajaran dan sunnah Nabi s.a.w.
  3. Mizan (neraca) amalan yang betul ialah yang mengikut sunnah Nabi s.a.w, tidak perlu isytihar diri ahli sunnah tetapi amalannya bukan ambil dari Sunnah Rasulullah s.a.w. tetapi dikutip dari bermacam sumber lain.
  4. Bagi mereka ini Allah s.w.t akan sediakan Syurga sebagai tempat tinggal – نُزُلًا- sebagai persiapan untuk menyambut ketibaan mereka. Balasan syuga ini yang tetap dan kekal abadi.
  5. Maka jangan kita fikirkan bagaimanakah balasan syurga itu tetapi fikirkan bagaimana cara untuk kita nak sampai kepadanya.
    Apakah jalan yang kita ambil ini betul atau tidak.
  6. Ini adalah sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan di atas dunia dari beriman dan taat kepada Allah s.w.t. Tanda balasan untuk ketataan mereka, bukan balasan pahala satu persatu tidak mungkin terbalas kerana nikmat Allah terlalu besar.

🌺*Ayat 20- {Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.
(As-Sajdah 32:20)

  1. Manakala bagi orang fasiq pula,yang keluar dari beriman dan ketaatan, yang kafir dan derhaka, maka Allah sediakan tempat kembali mereka adalah neraka yang penuh azab siksa yang pedih, dan tidak akan diringankan walaupun sesaat siksa yang menimpa mereka.
  2. Setia kali mereka berasa hendak lari atau cuba keluar dari neraka kerana tidak tahan dengan azabnya, mereka akan ditolak kembali semula oleh penjaga neraka.
  3. Firman Allah s.w.t: {Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: “Rasalah kamu azab seksa yang membakar!”} (Al-Hajj: 21-22)
  4. Mereka juga didera dan diazab secara mental dengan dicerca dan dihina serta dikatakan segala kata-kata yang menambahkan penyesalan mereka.
  5. Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya. Dikatakan hal itu kepada mereka dengan nada kecaman dan celaan.

🌺*Ayat 21- {Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab yang dekat (dunia) sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.}
(As-Sajdah 32:21)

  1. Sebelum ini semasa di dunia Allah s.w.t telah bagi mereka amaran dengan memberikan mereka merasa sedikit azab yang kecil – الْعَذَابِ الْأَدْنَى.
  2. Ulama’ kata maksud azab yang dekat الْعَذَابِ الْأَدْنَى ini ialah:
    i- azab musibah di dunia seperti pelbagi malapetaka.
    ii- azab khas untuk mereka yang melawan Rasulullah s.a.w iaitu Perang Badar.
    iii- ada kata kemarau panjang.
    iv. Semua azab dan ujian yang berlaku itulah azab dunia.
    v- Hukuman HUDUD yang dijalankan ke atas mereka.
    vi- pembunuhan dan kelaparan dalam peperangan.
    vii- azab kubur, iaitu yang berlaku sebelum Kiamat.
  3. Kata asy-Syaukani:- Tidak ada halangan untuk kita kumpulkan semua makna ini, yakni semuanya boleh jadi dalam apa bentuk azab yang berlaku, kerana tujuan azab itu Allah berikan supaya mereka insaf dan kembali bertaubat.
  4. Jika tidak insaf juga maka tunggulah hukuman dan azab Allah s.w.t yang besar di akhirat kelak.
  5. Seperti di dalam negara kita hari ini apabila sesama Islam tidak bersatu dan berkelahi, Allah tunjukkan dengan memberi sedikit kekuasaan kepada bukan Islam dan kita dapat lihat apa agenda mereka. Jika kita masih tidak nampak dan tidak insaf maka tunggulah peringatan dan kerosakan yang besar.

🌺*Ayat 22- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.}
(As-Sajdah 32:22)

  1. Allah s.w.t berfirman bahawa tiada manusia yang lebih zalim daripada mereka yang selepas diberi amaran dan peringatan tadi, masih berpaling dan mengingkarinya, masih tidak mahu kembali insaf dan bertaubat, maka mereka itulah orang zalim kepada diri mereka sendiri.
  2. Mereka bukan saja akan dikenakan azab di akhirat kelak, tetapi akan ditimpa dulu azab di atas dunia ini supaya mereka insaf dan bertaubat kembali ke jalan Allah. Tetapi jika mereka masih berdegil maka ternyatalah mereka orang yang zalim dan akan menerima azab yang setimpal dengannya.
  3. {Orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya,}- Kata ulama’ maksud ayat-ayat Tuhannya- بِآيَاتِ رَبِّهِ itu ialah:
    i- segala hujjah dan alamat, samada hujjah dan bukti yang dapat dilihat serta ayat al-Quran yang dibaca dan didengar,
    ii- semua kitab-kitab yang turun dari langit semuanya.
    iii- bukti yang dapat dilihat seperti kesan kebinasaan orang zaman dahulu atau huru-hara yang sedang berlaku sekarang.
    ulama’ juga mengambil kesimpulan semua pendapat ini juga boleh dikumpulkan bersama (dijamakkan).
  4. Jika selepas dibawa semua bukti dan dalil ayat-ayat Tuhan ini, mereka tetap sombong tidak mahu terima dan angkuh tidak mahu tunduk, maka Allah s.w.t akan ambil tindakan-Nya ke atas mereka yang lari berpaling ini: {Sesungguhnya Kami tetap membalas.}

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 18- {(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik?} – Allah s.w.t mahu supaya kita berfikir sendiri dengan akal dan hati yang terbuka bahawa dua golongan yang baik dan jahat adalah tidak akan sama!
    Mereka tidak sama, baik secara akal mahupun syara’, mereka tidak sama kelak di sisi Allah pada hari kiamat, balasan mereka pasti tidak sama.
  2. Ayat 22- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya);} – ayat ini mengajar kita untuk menerima nasihat dan peringatan tentang Allah dan Akhirat dari sesiapa saja yang benar.
    Kata ulama’: “Untuk mencari kebenaran kita kena tengok kepada apa yang diucapkan, bukan kepada siapa yang mengucapkannya!” Inilah yang menjadikan orang ramai taksub itu kerana mereka lihat kepada sosok tokoh atau ustaz yang menyampaikannya, mereka sudah tidak kira samada yang disampaikan itu logik akal atau tidak, sahih atau tidak!
    Jangan pandai-pandai bagi jawatan dan gelaran kerana wataknya sahaja, lihat kepada apa yang disampaikannya dan hati ig ingin mencari kebenaran.
  3. Ayat 22- {Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya) –
    Kata ulama’, biasanya seseorang yang menolak hujjah itu adalah selepas dia tahu mengenainya.
    Manakala orang jahil dia tidak tahu dan tidak pandai untuk menolak hujjah. Maka kumpulan ini lebih dahsyat balasanya kerana dia tahu tetapi tetap ingkar dan menolak selepas diberi dalil dan penerangan.
  4. Orang mukmin itu digalakkan untuk mu’atabah iaitu mencela diri sendiri. Kita kena sentiasa muhasabah (periksa diri sendiri) dan apabila kita tersalah berbuat dosa atau dapati kesan keburukan dalamnya, maka kita pun mu’atabah- iaitu mencela dan marahilah nafsu sendiri itu. Serta sentiasa merasa muraqabah (pantauan) Allah s.w.t. Ini antara istilah tasauf, muraqabah- ihsan, muhasabah dan mu’atabah.
    *Tetapi amat malanglah selepas datang musibah corona ini jika masih tidak dapat mengambil pengajaran!
  5. Ayat 19- {Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh,} – Allah kembarkan iman dan amal kerana ini menunjukkan iman saja tanpa amal tidak cukup, wajib ada keduanya.
    Aqidah tauhid mantap tetapi tidak beramal, tidak mungkin! Tauhid, iman dan amal. Amal soleh pula wajib ikhlas kerana Allah s.w.t dan ikut ajaran Nabi s.a.w.
  6. Ayat 18- {(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama.} – ulama’ mengambil dalil dari ayat ini bahawa orang fasiq tidak boleh menjadi wali nikah dan saksi.
    Hukum fasiq itu itu kena lihat kepada keadaan dan suasana semasa, ikut zaman. Fasiq itu makna sebenarnya orang biasa buat dosa besar dan benda tidak baik.
  7. Ayat 18- {(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik?} – kata ulama’ ayat ini dalil bahawa nama fasiq itu boleh dipakai kepada dua-dua pihak, kafir dan fasiq maksiat; orang kafir yang memang fasiq dan orang beriman yang buat maksiat.
    Hukum itu ada 3 tingkat:
    i. Tak solat dan ingkarinya terus- kafir.
    ii- dia tidak ingkarinnya cuma sengaja tidak mahu buat, Ini dikira fasiq. Hukumannya kena tangkap, nasihat dan jika ingkar juga dibunuh!
    iii- yang munafiq, beriman secara zahir tetapi batinnya kufur, solat dalam keadaan malas dan semata-mata nak tunjuk kepada orang dia solat.
    *Nauzubillah dari ketiga-tiganya.
  8. Ayat 20- {Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ } – dalam ayat ini Allah s.w.t sebut bahawa semua kafir yang tidak beriman, tidak detail- tanpa apa-apa syarat dan sifat- balasan untuk mereka adalah neraka!
    Cukuplah sifat KAFIR itu sendiri satu dosa dan tiket untuk ke neraka. Baik dan tinggi integriti sesama manusia setara-mana sekalipun atas dunia ini, jika tidak beriman kepada Allah dia adalah kafir yang akan masuk neraka, walaupun tiada kejahatan lansung atas dan ini.
  • Ayat 19- {Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga- أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ}- Ini berbeza dengan orang yang beriman, mereka mempunyai tanggung-jawab dan syarat untuk mendapat balasan syurga, selain beriman mereka wajib beramal soleh dengan ikhlas dan menepati ajaran Nabi s.a.w. Wajib bertaqwa dengan mengikut segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
    Beriman saja tanpa amal tidak sempurna syaratnya.
  1. Ayat 21- {Supaya mereka rujuk kembali bertaubat.}- tujuan diuji seorang manusia – supaya mereka sedar, insaf, bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t.
  2. Ayat 21- {Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia} – untuk menunjukkan perbezaan antara dua jenis azab, azab dunia ini tidak boleh dibandingkan dengan azab akhirat, azab dunia ini sedikit sahaja, sedangkan azab neraka itu tidak dapat digambarkan betapa dahsyat dan pedihnya!

*Cukuplah jika semua cerita ini menginsafkan dan menakutkan hati kita, biarlah kita menjadi sebagaimana golongan yang digambarkan dalam ayat-15 ini: {Apabila dibaca ayat-ayat Allah terus bersujud -إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا }
bukan golongan yang bersifat sebaliknya iaitu ayat 22:
{Orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya –
مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَض}.