Sebahagian Orang Tidak Suka Ke Badar, Allah SWT Janjikan 2 Kumpulan & Pertembungan Untuk Menzahirkan Yang Hak.
Full video : https://youtu.be/dev7HP5PyPY?si=kwlwOP5HUoifwW_f
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 5 sehingga 8 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam ayat yang ini Allah SWT nyatakan bahawa sebahagian orang tidak suka ke Badar, mereka lebih suka untuk mengejar rombongan Abu Sufyan yang membawa barang dagangan.
- Allah SWT nyatakan jika mereka keluar dari Madinah, Allah janjikan 2 kumpulan untuk mereka bertemu sama ada rombongan kafilah perdagangan Abu Sufyan atau rombongan tentera pimpinan Abu Jahal.
- Lalu Allah pilih mereka untuk bertemu dengan tentera Abu Jahal sebagai satu pertembungan untuk menzahirkan yang hak & batil.
Islam akan menang dan muncul sebagai yang hak manakala perjuangan Abu Jahal adalah batil.
Banyak perkara yang kita tidak suka atau selesa dalam perjuangan ini, tetapi begitulah perjuangan.
Kata ahli fikir : Jika nak selesa jangan masuk dalam perjuangan, hanya duduk di rumah, kumpulkan harta & kekayaan, jangan cakap tentang perjuangan.
Kerana kita akan pasti akan melalui ujian & tribulasi dalam menegakkan agama yang murni ini!
Ya Allah jadikan kami dari golongan mujahidin yang membela agama-Mu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kemenangan yang diperolehi oleh tentera Islam serta cara pembahagian rampasan perang yang diserahkan kepada Allah & Rasul-Nya.
Maka ada sebahagian sahabat yang tak puas hati & tidak selesa dengan pembahagian ghanimah itu.
ii- Maka datang ayat ini menceritakan kejadian yang hampir sama, Allah kata sebagaimana Allah keluarkan kamu dari Madinah, pada asalnya dengan niat lain iaitu untuk mengejar delegasi, kafilah perdagangan pimpinan Abu Sufayan dalam perjalanan pulang dari Syam ke Makkah, yang membawa harta perdagangan yang begitu banyak!
Mengikut ahli sejarah hanya mempunyai 40 pengawal sahaja tetapi hasil sangat lumayan!
Jika mereka dapat tawan yang ini akan banjir Madinah dengan harta rampasan.
Tetapi apa boleh buat kafilah itu terlepas dan selamat dan yang ada di hadapan mata adalah rombongan tentera Abu Jahal yang ramai & lengkap dengan senjata!
Oleh kerana yang ini tak selesa yang dulu pun tak selesa maka kena memahami bahawa Allah yang pilih yang terbaik kepada kamu!
Ini kerana jika kita kaya cepat, menang dengan mudah, nanti kita akan sombong, jadi manusia yang bangga diri lupa kepada Allah.
Bahawa kita menang bukan sebab kita kuat tetapi kerana Allah tolong!
Nak kuat macamana, tentera hanya 313 atau lebih sedikit sahaja, senjata tak cukup, tentera sedikit tetapi kamu senang-senang dapat kemenangan.
Kerana itu bila dapat dapat harta rampasan ada orang nak ambil segera, Nabi SAW larang jangan ambil, letak dulu, tunggu Allah & Rasul-Nya membahagikannya.
Allah nak didik orang Islam agar sabar & syukur dengan kemenangan yang ada
Tetapi jika kita menang awal, cepat naik kita boleh tengok depan mata kita contoh-contoh pada zaman dulu, jika zaman Nabi Musa ada Qarun, atau zaman kita ini pun ada berapa ramai watak-watak perebutan harta & jawatan, tak kira dari kumpulan mana pun kerana itu adalah ujian Tuhan!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 5- {SEBAGAIMANA (HARTA RAMPASAN PERANG DITENTUKAN PEMBAHAGIANNYA DENGAN KEBENARAN, MAKA) TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGELUARKANMU DARI RUMAHMU (UNTUK PERGI BERPERANG) DENGAN KEBENARAN JUGA, SEDANG SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU (SEBENARNYA) TIDAK SUKA (TURUT BERJUANG).} (AL-ANFAL 8: 5)
- Sebagaimana Allah keluarkan kamu dari Madinah untuk bertemu dengan rombongan Abu Sufyan tetapi akhirnya terpaksa tukar rancangan harus pergi ke Badar pula.
- Lalu Allah nyatakan terdapat sebahagian orang Islam (bukan semua) yang keluar bersama Nabi SAW dari Madinah pada hari itu yang tidak selesa (bukan tak terima terus) untuk pergi ke Badar bagi memerangi tentera Abu Jahal.
- Tetapi Allah tidak ikut kehendak atau perasaan manusia kerana Allah buat ikut kehendak-Nya, untuk beri kemaslahatan dunia & Akhirat bagi manusia.
- Antara maslahah itu ialah:
i- Allah tak mahu mereka cepat naik & dapat harta kesenangan dengan mudah.
Nanti terikut dengan perangai Qarun.
ii- Allah nak uji hati kamu, apakah kamu akan taat mutlak kepada perintah Allah & Rasul-Nya. Jika Allah sudah pilih jalan untuk kamu kenapa nak cari jalan lain lagi??
Inilah kemaslahatan dunia & Akhirat.
AYAT 6- {MEREKA MEMBANTAHMU TENTANG KEBENARAN (BERJIHAD) SETELAH NYATA (KEPADA MEREKA KEMENANGAN YANG ENGKAU JANJIKAN), SEOLAH-OLAH MEREKA DIHALAU KEPADA KEMATIAN, SEDANG MEREKA MELIHAT (SEBAB-SEBABNYA).} (AL-ANFAL 8: 6)
- Sebahagian sahabat yang tak suka bertembung dengan Abu Jahal di Badar datang berhujjah dengan Rasulullah SAW, kenapa kita nak pergi juga walaupun tak cukup senjata & bilangan tentera tak cukup.
- Sedangkan Rasulullah SAW keluar itu dengan wahyu Allah SWT, Allah telah menjanjikan kemenangan kepada mereka, maka bersedia & jangan runsing jika kamu tidak ada senjata atau tentera yang sedikit, kerana kita yakin bahawa janji Allah itu benar.
Ini kerana kelebihan pejuang Islam duduk pada kekuatan jiwa, tawakkal & keikhlasan dalam perjuangan.
- Allah gambarkan kebimbangan & ketakutan mereka itu seolah mereka keluar mencari maut di Badar, keluar untuk mati.
Kerana Abu Sufyan telah lepas yang ada di hadapan sekarang adalah Abu Jahal dengan bala tentera yang besar!
- Tujuan asal mereka keluar dari Madinah adalah untuk menyekat rombongan perdagangan Abu Sufyan yang membawa banyak harta untuk kembali ke Makkah.
Tetapi Abu Sufayn telah dapat berita tentang ini lalu hantar utusan ke Makkah untuk menghantar bantuan.
Beliau juga ambil langkah menukar route perjalanan dan terlepas dan selamat.
- Abu Jahal yang juga mendengar berita ini membawa rombongan tenteranya yang ramai, dengan kelengkapan senjata yang lengkap untuk melindungi kafilah harta Abu Sufyan.
Apabila Abu Sufyan telah terlepas dari bahaya dia mengirim pula berita kepada Abu Jahal untuk berundur balik ke Makkah.
- Tetapi Abu Jahal yang sombong angkuh mahu meneruskan perjalanannya ke Badar dengan tentera yang besar dan penyanyi-penyanyi yang dibawa untuk menunjukkan kekuatannya kepada manusia dengan berpesta, bergendang dan minum arak di sana.
AYAT 7- {DAN (INGATLAH) KETIKA ALLAH MENJANJIKAN KEPADA KAMU SALAH SATU DARI DUA ANGKATAN, MENJADI UNTUK KAMU (MENGHADAPINYA), SEDANG KAMU SUKA KIRANYA (ANGKATAN PERNIAGAAN) BUKAN ANGKATAN (PERANG) YANG MEMPUNYAI KEKUATAN ITU YANG DIJADIKAN UNTUK KAMU (MENGHADAPINYA). PADAHAL ALLAH MENGHENDAKI UNTUK MENETAPKAN YANG BENAR (AGAMA ISLAM) DENGAN KALIMAH-KALIMAHNYA, DAN UNTUK MEMBINASAKAN KAUM YANG KAFIR SELURUHNYA;} (AL-ANFAL 8: 7)
- Ingatlah wahai orang beriman; apabila Allah wahyukan kepada Rasul-Nya, menjanjikan kepada kamu kemenangan ke atas salah satu dari dua angkatan, untuk kamu menghadapinya dalam pertembungan.
- Nota: Dua Angkatan ini maksudnya:
i- Rombongan perdagangan Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan, dalam perjalanan pulang ke Makkah dari Syam (Syria).
ii- Angkatan tentera yang dipimpin oleh Abu Jahal yang sedang mara dari Makkah menuju ke Badar.
- Apa yang kamu mahunya ialah rombongan Abu Sufyan, tak mahu Abu Jahal.
Ini kerana membawa harta yang banyak & sedikit pengawal bersenjatanya.
- Maka kamu jangan bimbang, ini kerana Allah mahu:
i- Tunjukkan kekuatan-Nya, nak tunjukkan kekuatan kamu, Allah nak tunjukkan kepada semua orang walaupun kamu sedikit, kamu pernah ditindas diganyang di Makkah dulu oleh Abu Jahal & gengnya; sekarang di Badar akan terserlahlah kebenaran & kekuatan yang sebenarnya!
Yakni Allah mahu menetapkan yang benar agama Islam dengan Kalimah-kalimahNya.
ii- Binasakan kaum kafir, binasakan ketua-ketua pemuka Quraisy.
Mati semuanya bergulingan tak tinggal baka keturunan!
Ini pentingnya kita belajar Sirah, ada cerita ada pengajarannya.
Cerita ringkas tentang Perang Badar ini boleh lihat buku:
Madinah Munawwarah.
https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
AYAT 8- {SUPAYA ALLAH MENEGAKKAN YANG BENAR ITU DAN MENGHAPUSKAN YANG SALAH (KUFUR DAN SYIRIK), SEKALIPUN GOLONGAN (KAFIR MUSYRIK) YANG BERDOSA ITU TIDAK MENYUKAINYA.} (AL-ANFAL 8: 8)
- Sekali lagi Allah ulang dalam ayat ini:
i- Ini kerana Allah nak menegakkan yang benar itu.
ii- Dan menghapuskan yang salah iaitu kufur dan syirik,
Sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.
- Allah mahu itu kita jangan mudah koyak, jangan mudah lemah dan putus-asa; kerana kita mempunyai asset yang besar iaitu kekuatan jiwa, kekuatan tawakkal & pertolongan Allah Azza wa Jalla.
- Ingat; apabila kita rasa kita kuat, kita akan lemah kerana kita tidak akan mendapat pertolongan Allah SWT.
PENUTUP& FAEDAH :
- Ayat 5- {Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).}-
Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Allah yang keluarkan kamu ke Badar dengan jalan yang benar; tetapi sebahagian orang mukmin tak suka.
Ini menunjukkan bahawa kita sebagai orang beriman yakinlah dengan pilihan & ketentuan Allah.
Kata ahli fikir : YANG terbaik adalah apa yang Allah pilih (الخير ما اختاره الله).
Dalam kes ini Allah pilih orang mukmin untuk bertembung dengan Abu Jahal maka sabarlah jika tidak banyak lagi kita akan berdepan dengan ujian.
Nota:
i- Jika dalam pembahagian harta rampasan perang ada segolongan yang tidak suka dengan pembahagian sama-rata oleh Nabi SAW.
ii- Maka dalam soal pergi berperang di Badar pun ada yang tidak suka.
Tetapi akhirnya dalam kedua kejadian itu mereka akur kepada perintah Allah itu kerana ternyata amatlah baik untuk mereka bukan sebagaimana yang mereka sangkakan!
Maka dalam ayat ini adalah persamaan
(التشبيه حال بحال)
Antara keadaan pertama dengan keadaan kedua:
i- Keadaan pertama, harta rampasan ini Allah kata Aku yang akan bahagikannya bukan kamu pilih sendiri.
Ini kerana jika diberi kebebasan ambil sendiri harta itu, manusia akan tamak & tak akan puas, tak dapat kawal diri, tak akan rasa cukup dan memadai lalu akan berlaku perebutan dan hasad dengki.
Sebagaimana manusia minum air laut tidak akan puas.
ii- Keadaan kedua, pilihan Allah untuk bertembung dengan kumpulan mana; walaupun nampak keras dan tetapi akhirnya kemenangan yang besar bagi tentera Islam & dapat banyak harta lagi.
Kemenangan itu dengan kuasa Allah bukan kerana kekuatan kamu semata-mata.
Walaupun kamu tak suka yang pertama & juga yang kedua tetapi apa yang yang terbaik untuk kita pastilah apa yang Allah pilih.
Betapa banyak keputusan yang terjadi yang kita tidak puas hati pada awalnya, kemudian beberapa tahun kemudian kita dapati ia adalah kebaikan untuk kita dalam jangka masa yang panjang!
Jika tentera Islam mendapat kemenangan yang awal dan mudah lalu dapat harta yang banyak, takut akan memberi fitnah orang masuk Islam sebab nak harta yang banyak pula!
Nanti ketulenan perjuangan dalam Islam untuk menegakkan agama Allah akan tercalar.
Betapa hikmah dalam perang Badar, kita akan nampak terserlah didikan Allah kepada sahabat Nabi SAW yang mulia supaya mereka sabar, akur & jangan bimbang akan kemenangan orang mukmin!
- Ayat 6- {Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).}-
Ada sebahagian dari mereka yang tidak suka lalu datang berhujjah dengan Nabi SAW menyatakan kebimbangan.
Jangan gopoh & gaduh, Allah SWT mengetahui apa yang Dia kehendaki dan Nabi SAW tidak akan bertindak ikut nafsunya tetapi adalah berdasarkan panduan wahyu dari Allah SWT.
Pada asalnya, dalam perjanjian Rasulullah SAW dengan penduduk Madinah semasa Perjanjian Aqabah dulu, mereka berjanji akan melindungi Rasulullah SAW selagi Baginda berada di Madinah.
Sekarang mereka mahu keluar dari Madinah, menuju ke Badar yang lebih dari 150km dari Madinah.
Lalu Nabi SAW memanggil para sahabatnya dari pihak Muhajirin dan Ansar untuk mesyuarat, bangun Abu Bakar dan Umar menyatakan sokongan untuk keluar berperang.
Kemudian Miqdad bin al-Aswad dari pihak Muhajirin tangkas tampil mengeluarkan kenyataan:
يَا رَسُولَ اللهِ اِمْضِ لِماَ أَرَاكَ اللهُ فَنَحْنُ مَعَكَ، وَ اللهِ لاَ نَقُوْلُ لَكَ كَماَ قَالَتْ بَنُوْا إِسْرَائِيْلَ لِمُوْسَى: اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِناَّ ههُناَ قَاعِدُوْنَ، وَلكِنِ اِذْهَبْ أَنْتَ وَ رَبُّكَ فَقَاتِلاَ إِنَّا مَعَكُمَا مُقَاتِلُوْنَ، فَوَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ لَوْ سِرْتَ بِنَا إِلى بَرْكِ الْغِمَادِ .
لَجَالَدْنَا مَعَك، مِنْ دُوْنِهِ حَتَّى تَبْلُغَهُ.
“Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepada mu oleh Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidak akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa: (Pergilah kamu bersama Tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja.)
Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu bersama Tuhanmu, kami pasti akan berperang bersama kamu berdua, maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran.
“Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al Ghimad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun yang terjadi.”
Kemudian Nabi SAW bersabda lagi:
أَشِيْرُونِي أَيْهاَ النَّاسُ –
“Berilah pendapat kamu wahai manusia.”
Maka tampillah Saad bin Muaz RA, wakil dari Ansar lalu berkata:
وَاللهِ لَكَأَنَّكَ تُرِيْدُنَا ياَ رَسُولَ اللهِ
“Demi Allah, seperti kamu mahukan kenyataan dari kami (pihak Ansar) pula ya Rasulullah!”
Rasulullah SAW menjawab: “ya!”
Lalu Saad bin Muaz menegaskan:
فَقَدْ آمَنَّا بِكَ فَصَدَّقْناَكَ وَشَهِدْناَ أَنَّ مَا جِئْتُ بِهِ هُوَ الْحَقُّ، وَ أَعْطَيْناَكَ عَلى ذلِكَ عُهُوْدَناَ وَمَوَاثِيْقَناَ عَلى السَّمْعِ وَالطَّاع فَامْضِ ياَ رَسُوْلَ اللهِ لِمَا أَرَدْتَ، فَوَالَّذِيْ بَعَثَكَ بِالْحَقِ لَوِاسْتَعْرَضْتَ بِنَا هذَا الْبَحْرَ فَخُضْتَهُ لَخُضْناَهُ مَعَكَ مَا تَخَلَّفَ مِنَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ، وَمَا نَكْرَهُ أَنْ تَلْقَى بِناَ عَدُوَّناَ غَدًا، إِناَّ لَصُبُرٌ فِي الْحَرْبِ صُدُقٌ فِي اللِّقاَءِ، وَلَعَلَّ اللهَ يُرِيْكَ مِنَّا ماَ تَقَرُّبِهِ عَيْنُكَ فَسِرْ بِناَ عَلى بَرَكَةِ اللهِ
“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan.
Kami sedia mendengar dan taat kepadamu.
Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki.
“Maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu.
Tiada seorang pun di antara kami yang akan berundur ke belakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok.
“Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan.
Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”.
Mendengar penegasan dari wakil kaum Ansar, Nabi SAW sangat gembira dan terus mengerahkan para sahabat untuk berangkat menuju medan dengan sabdanya:
سِيْرُوْا وَأَبْشِرُوْا فَإِنَّ اللهَ تَعاَلى قَدْ وَعَدَنِيْ إِحْدَى الطَّائِفَتَيْنِ
وَ اللهِ لَكَأَنِّي اْلآن أَنْظُرُ إِلى مَصَارِعِ اْلقَوْمِ.
“Berangkat dan bergembiralah kamu, sesungguhnya Allah SWT telah berjanji kepadaku salah satu dari dua pasukan (sama ada pasukan pimpinan Abu Sufian atau Abu Jahal).
Demi Allah, seakan-akan aku nampak tempat binasa mereka.” [HR Bukhari].
Itulah yang dijanjikan oleh Allah SWT maka apabila mereka (kafir tiba di situ) terus mereka jatuh.
- Ayat 6- {… seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).}-
Yakni bukan mereka nak pergi sendiri dengan kehendak hati tetapi seolah ditarik untuk pergi ke sana.
Begitulah dalam perjuangan ini kadang-kadang kita rasa lemah, akan binasa & kecundang tetapi kita tak tahu apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Kerana itu kata para ulama’ : Dalam perjuangan kita, jangan minta jalan yang selesa saja.
Begitulah keadaan para pejuang & pendakwah, tidak ada istilah kapet merah bagi mereka, kadang-kadang ditaburi dengan onak dan duri tetapi kita kena lalui jalannya.
Kita kena ingat setiap perjalananan itu ada kelebihannya, ada kesannya serta ada hak untuk orang itu berbincang & berhujjah, datang bertanya kepada yang berkenaan seperti para sahabat berhujjah dengan Nabi SAW itu.
Biasanya orang menentang & membantah ini sebelum timbulnya hasil & terzahirnya kebenaran.
Orang akan bertanya & tidak puas hati jika tidak jelas & ada keraguan, kerana itu pentingnya penjelasan dan perbincangan agar jelas & tiada keraguan.
Apabila orang faham & puas hati dengan penjelasn kita insya’ Allah selesai masalah.
- Ayat 7- {Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya),…}-
Kita kadang-kadang tiada pilihan; kita kena rempuh semuanya, kena lawan belaka.
Walaupun jiwa kita pasti mahu yang mudah tetapi kadang-kadang kita kena lalui juga jalan yang sukar.
Sebagaimana para sahabat sangat berharap dapat kafilah dagang Abu Sufyan kerana ia lebih mudah mereka tak bersenjata pastilah mudah untuk menawannya.
Maka Allah kata: Aku nak tunjukkan untuk kamu masuk hadapinya dulu baru kamu tahu kesannya.
Kerana jika kamu tak cuba atau laluinya kamu tidak akan tahu cabarannya, kekuatannya dan hasil natijahnya!
Kata orang-orang tua : Anak cucu dalam perahu, tak acu tah tahu!
Ini pertembuangn yang pertama, tetapi jangan takut Allah sudah janjikan kemenangan kepada kamu!
Jika kamu mendapat kemengan dan habuan harta rampasan dengan jalan mudah tanpa peperangan kamu mungkin mudah lupa & mudah hilang kesyukuran.
Tetapi apabila melawan tentera Abu Jahal yang besar & lengkap, pasti akan melalui kesukaran & cabaran yang besar!
Apabila kamu menang & dapat mengalahkan mereka pastilah akan memberi kesan impak yang besar, kamu akan sentiasa mengingatinya serta bersyukur atas kemenangan yang besar itu, kerana kamu mendapatnya dengan jalan yang sukar!
- Ayat 8- {Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.}-
Allah nyatakan tujuannya meletakkan mereka bertembung dengan puak kafir, tentera Abu Jahal itu adalah kerana:
i- Nak menghapuskan musyrikin yang batil.
ii- Menzahirkan yang benar itu benar, yang salah itu salah.
iii- Menunjukkan kepada kamu bahawa Allah SWT Maha Berkuasa.
Yakni Allah kata tujuan Allah menjadikan kamu bertembung dengan puak kafir ini untuk menzahirkan yang benar itu benar yang batil itu batil.
Maka jangan takut, jangan bimbang, teruskan perjuangan kemenangan akan datang.
Tetapi ingat jika tak cukup masanya (yakni belum tiba tempohnya) Allah tak akan bagi kemenangan.
Kita lihat betapa banyak pejuang Islam pada zaman mutakhir ini hampir nak dapat kemenangan & memegang tampuk pemerintahan.
Tetapi Allah tak beri lagi, ini kerana Allah Maha Kaya, Allah tahu mungkin jika dia menang akan terserlah keburukan & kekurangannya.
Allah Maha Kaya, para pejuang letakkan keihklasan kita untuk berjuang menegakkan Islam, jika menang alhamdulillah, jika tak menangpun alhamdulillah.
Jangan takut, jangan bimbang, walaupun kamu kalah pada awalnya.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.