View Categories

(01) Surah Al-Anfal : Muqaddimah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Muqaddimah, Nama Surah, Isi Kandungan Surah & Munasabah Dan Hukum Di Dalam Surah Ini.

Full video : https://youtu.be/UVxQQtKN_5g?si=r4_YqWOb6kR1QNXU

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian kuliah tafsir bagi Surah Al-Anfal, سورة الأنفال, surah yang kelapan dalam juzuk kesembilan.
  1. Semoga Allah SWT kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  1. Surah Al-Anfal, سورة الأنفال adalah surah yang kelapan dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah Al-A’raf, سورة الأعراف, surah yang terakhir dalam juz yang kesembilan.
  1. Ramai ulama’ tafsir sepakat (ijma’) mengatakan : Surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah.
  1. Tetapi ada juga khilaf ulama’ yang berpendapat :
    Surah ini secara keseluruhannya adalah Madaniyyah kecuali 7 ayat yang bermula dari ayat 30 sehingga 37 yang turun di Makkah, iaitu bermula ayat:
    “وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ ٱللَّهُ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِين”
    {Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu}.
    Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.}
  1. Ia adalah surah yang agak panjang, mengandungi 75 ayat meliputi juzuk kesembilan dan juzuk kesepuluh.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan Surah ini nama Surah Al-Anfal, سورة الأنفال yang bererti (Harta rampasan perang) sempena perkataan “Al-Anfal” yang disebut dalam ayat (01) pertama lagi dan tidak disebut perkataan ini dalam surah lain!
    Ia menerangkan tentang cara pembahagian harta rampasan perang serta perkara yang berhubung dengan peperangan & perdamaian.
    Harta rampasan pertama yang umat Islam dapat ialah semasa peperangan Badar.
  1. Inilah antara kriteria cara penamaan sesuatu surah.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

Antara objektif utamanya:

  1. Allah nyatakan sebab-sebab pertolongan Allah.
    Kita manusia mengharapakan pertolongan Allah tetapi jika kriteria atau SOP nya tidak dipenuh, pertolongan itu tidak akan diberi atau hanya sebahagian atau lambat tiba.
    Semua ini diberi mengikut ketaqwaan kita kepada Allah, dari sudut kejiwaan untuk menerima limpah kurnia Allah.
  1. Allah juga menyatakan hukum jihad secara jelas.
    Inilah jihad bersenjata pertama yang diizinkan Allah SWT.

INTISARI KANDUNGANNYA :

(Pimpinan ar-Rahman, ms 322):

Menerangkan tentang perjuangan Rasulullah SAW menetang pencerobohan kaum kafir musyrik di mana akhirnya Baginda dan orang Islam yang dipimpinnya mencapai kemenangan besar dalam medan peperangan Badar!
Walaupun bilangan tentera Islam hanya 313 orang, kurang senjata & kurang tentera; tetapi kerana mereka mantap & jitu dari sudut jiwa & perghantungan kepada Allah SWT, maka mereka layak mendapat kemenangan.

Abu Jahal walaupun lengkap dengan senjata & ramai tentera serta membawa bersama arak & artis sebagai penghibur; tetapi mereka gagal bahkan Abu Jahal sendiri mati & dicampak ke dalam telaga buruk di Badar.
Orang musyrik sebelum itu tidak putus-putus mengganggu, menyiksa & menghalang orang Islam dari menjalankan tuntutan agamanya, nak solat pun tak boleh.
Orang Islam yang lemah ditindas, disiksa & diazab.

Lalu Rasulullah SAW & umatnya diperintahkan Allah SWT untuk memerangi golongan yang menceroboh itu sehingga hilang lenyap fitnah & gangguan lalu bebaslah orang Islam menjalankan agamanya.
Umat Islam juga diingatkan agar menjaga diri mereka daripada melakukan dosa yang membawa bala bencana yang bukan saja akan menimpa orang-orang yang zalim di kalangan mereka secara khusus tetapi akan menimpa secara umum sesiapa saja!
Yakni orang baik jika tak tegur orang jahat buat perkara mungkar akan menerima risiko kena kemurkaan Allah.
Ini kerana bala apabila ia datang ia tidak akan pilih-pilih, contoh jika banjir datang ia akan lanyak semuanya tidak kira masjid, rumah orang soleh atau rumah tok guru.

Jika tak mahu kena bala kita kena bertugas menjalankan amar ma’ruf & nahi mungkar!
Dengan ini Allah memberi amaran bahawa membiarkan perbuatan maksiat berkembang dalam masyarakat akan membawa bencana bukan saja ke atas orang yang berdosa itu bahkan ke atas masyarakat semua umumnya.
Jangan nak tunjuk kita hebat kerana kawasan kita selamat daripada bala (seperti banjir) yang menimpa kawasan lain, lalu mengaku TG dia wali atau seumpamanya!

Oleh itu untuk selamat, setiap orang bukan hanya berkewajipan menjauhkan diri daripada perbuatan mungkar, maksiat, khurafat, bid’aah dan segala perbuatan yang tidak baik; tetapi wajib juga mencegah perbuatan itu daripada merebak dalam masyarakat.
Ini yang kita bimbangkan hari ini; orang yang tahu diam, orang yang ada kuasa biar!
Sedangkan terang-terang seseorang itu menceritakan sesuatu perbuatan khurafat tetapi dibenarkan juga masuk, disambut dan diberi tempat di khayalak ramai!
Inilah kelemahan, Allahu Akbar!

Persediaan itu hendaklah sesuai dengan keadaan zaman & sebanding dengan senjata pihak lawan. Dalam surah ini diperintahkan supaya orang-orang Islam sentiasa berlengkap sedia dengan kekuatan pertahanan dan dengan berbagai jenis senjata yang dapat disediakan untuk menentang pencerobohan musuh.
Dalam pada itu jika pihak musuh suka hendak berdamai, maka Islam sentiasa membuka pintu berlapang dada kerana Islam adalah agama perdamaian.
Kita umat Islam boleh berdamai tetapi jangan sampai tergadai prinsip!!!

ISU PENTING DALAM SURAH (TAFSIR MUHARRAR) :

  1. Allah nyatakan hukum-hakam yang berkait dengan harta rampasan (الغنيمة); iaitu cara pembahagiannya & untuk apa digunakan harta itu.
  1. Pada awal surah lagi apabila ditanya tentang harta rampasan; Allah memerintahkan untuk bertaqwa kepada Allah & dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW.
    Serta perintah untuk mendamaikan di antara orang Islam.
    Ini adalah ciri-ciri, tanda-tanda mantap atau tidak iman seseorang itu.
    Jika berkelahi dan berebut harta maknanya iman masih belum mantap!
    Allah nak tunjuk apabila kita dapat kemenangan akan adalah hasad, tamak & perebutan harta & kuasa.
    Sebagaimana Allah sebut gambaran ahli kitab; kamu nampak mereka bersatu tetapi sebenarnya hati mereka berpecah!
    Mendamaikan antara orang Islam ini kena cepat sebelum ia merebak lalu hati sesama mukmin akan berpecah.
    Allah letakkan bahawa orang mukmin yang benar yang betul jiwanya semata-mata kerana Allah; Allah akan beri kepada mereka darjat yang tingi!
  1. Allah sebut, ceritakan tentang keluarnya Nabi SAW ke Badar.
    Apabila mereka tahu bahawa kafilah Abu Sufyan telah terlepas & yang ada di depan mereka adalah tentera Abu Jahal, ada sebahagian orang mukmin yang tidak suka & terasa seolah mereka dibawa untuk menerima kematian.
    Kemudian Allah nyatakan pertolongan Allah yang besar & rahmat Allah yang luas lalu menyuruh para sahabat bersedia untuk berperang.
    Syarat perjuangan untuk mendapat pertolongan Allah:
    i- Ikhlas

    ii- Satukan kalimah, jangan saling benci-membeci berbalah sesama sendiri.
    Allah nyatakan tujuan orang mukmin keluar ke Badar berbeza dengan tujuan Abu Jahal & golongan musyrikin:
    i- Orang mukmin kerana nak menegakkan agama.

    ii- Abu Jahal kerana riya’ nak tunjuk kekuatannya kepada manusia.
    Akhirnya dia terbunuh dan dicanpakkan ke dalam telaga!
    Setibanya di Badar Allah tunjukkan tempatnya, kita akan lihat pada ayatnya nanti.
    Kerana itulah kita pergi bawa jemaah jejak Sirah ke badar untuk melihat medan peperangan pertama dalam Islam ini, di manakah kubur para syuhada’, bukit yang dikatakan tempat malaikat turun.
    Untuk menghayati sirah & ibrah itulah objektif utama kita!
  1. Beberapa seruan untuk orang mukmin
    {يا أيها الذين آمنوا},
    Allah panggil dalam ayat ini untuk ajak bimbing mereka untuk kebaikan & kebahagian mereka.
  1. Allah SWT peringatkan kepada Nabi SAW tentang nikmat Allah yang begitu besar apabila Allah selamatkan Baginda daripada tipu-daya kejahatan orang musyrikin di Makkah.
    Allah turunkan ayat ini untuk memperingatkan nikmat-Nya.
    Kerana itu ulama’ khilaf : Apakah ayat ini Madaniyyah atau Makkiyyah kerana mungkin Allah turunkan ayat ini untuk peringatkan Nabi SAW akan nikmat yang lalu!
  1. Allah tunjukkan perangai buruk puak kafir akibat dari jahil & keras kepala.
  1. Allah nyatakan bahawa wujudnya Nabi SAW menjadi keamanan kepada penduduk Makkah.
    Kerana Nabi SAW ada bersama mereka Allah tidak turunkan bala.
    Apabila Nabi SAW berhijrah ke Madinah mereka akan ditimpa azab kerana mereka menyekat orang daripada Masjidil-Haram, juga menyekat & menghalang manusia daripada ikut Islam.
  1. Allah seru orang kafir agar berpada, berhenti & cukuplah melawan orang Islam.
    Iaitu dengan diizinkan kepada orang Islam untuk berperang melawan mereka!
    Allah beri jaminan awal lagi bahawa Dia akan bantu orang beriman.
    Dalam ayat ini Allah ajar kepada kita untuk memperingatkannya:
    Ayat 39 : {Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.} (Al-Anfal 8:39).
    Serta Allah beri amaran kepada puak munafikin tak usahlah kamu berselindung di sebalik apa saja helah & alasan, Allah akan dedahkan tembelang kamu!
  1. Allah akan perincikan hukum harta rampasan, yang dihalalkan untuk umat Nabi Muhammad SAW.
    Berbeza dengan umat terdahulu, mereka tidak boleh memilikinya, harta rampasan dari perangg akan dikumpulkan kemudian longgokan harta itu akan dibakar dengan api.
    Allah nyatakan apa yang diumumkan pada awal surah kemudian diperincikannya.
  1. Allah nyatakan hukum perjanjian antara orang Islam & orang kafir.
    Serta apakah hukuman bagi orang yang membatalkan perjanjian.
    Islam tidak ajar kita khinat tidak tunai janji.
    Sebelum dapat kemenangan ditabur segala janji tetapi apabila dah menang dapat kuasa; semua orang kena kencing!
    Tidak perlu buat alasan berselindung disebalik strategi atau taktik, jika dah menipu itu tipulah!
    Itu bukan cara Islam.
    Serta bilakah untuk berdamai.
  1. Allah juga nyatakan hukum tawanan perang.
    Apabila dapat 70 orang tawanan dalam perang Badar, Allah ajarnya, kita akan lihat nanti.
    Serta hukum orang Islam yang tidak berhijrah serta apakah keadaan mereka.

MUNASABAH SURAH INI DENGAN SURAH SEBELUMNYA :

  1. Munasabah Surah al-Anfal datang selepas Surah Al-A’raf:
    i- Dalam Surah Al-A’raf kita mendengar banyak kisah tentang para anbiya’ dan rasul-rasul AS yang berdepan dengan kaumnya seperti Nabi Musa dan lain-lain.

    ii- Maka dalam Surah Al-Anfal khas Allah ceritakan tentang Nabi Muhammad SAW bersama kaumnya.
    Yakni fokus kepada Rasulullah SAW, sehingga orang mengatakan surah ini adalah Madaniyyah, turun di Madinah dan Badariyyah kerana menceritakan tentang peperangan Badar.
    Alhamdulillah minat DAAM kepada sejarah atau Sirah Nabi SAW & menulis tentangnya.
    Telah terhasil dua buku yang berkait dengan Sirah Nabi SAW iaitu Buku Madinah & kembarnya Makkah.
    Hanya buku tentang Palestin yang belum ditulis kerana belum menjejakkan lagi kaki di sana!
    Jika yahudi keluar dari Palestin insya’ Allah kita akan segera ke sana!

HUKUM DI DALAM SURAH INI :

  1. Ia mengandungi beberapa hukum jihad & peperangan yang kita kena ambil, antaranya ialah:
    i- Cara pembahagian harta rampasan perang hanya Nabi SAW yang dapat tentukan berdasarkan wahyu dari Allah SWT.

    ii- Pertembungan antara haq & batil tidak akan berhenti sehingga ke hari Kiamat.
    Kerana itu Allah sebut dalam ayat ke-8:
    {Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.} (Al-Anfal 8:8)
    Ini dalam peperangan akan terserlah antara haq & batil.

    iii- Allah menghantar bantuan tentera dari kalangan malaikat secara fizikal & realiti!
    Ini dapat dilihat kesan yang berbeza antara kafir yang dibunuh oleh malaikat, ada kesan terbakar akibat pukulan malaikat dengan yang dibunuh oleh tentera Islam (sesama manusia), ada kesan tikaman senjata yang biasa.
  1. Maka kita dapat faham bahawa hukum Allah SWT ini ada sebabnya, kamu minta Allah akan beri ikut ilmu & kehendak-Nya.
    Kamu minta Allah beri bantuan.
    Dalam ayat ini Allah sebut kaedah-kaedah peperangan dalam Islam.
  1. Dalam surah ini ada 6 seruan kepada orang beriman. Setiap kali Allah nak beri arahan atau hukum akan diseru:
    {Wahai orang yang beriman, يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟}.
  1. Allah juga nyatakan dalam surah ini bahawa Allah jaga Nabi SAW daripada kejahatan manusia.
    Inilah antara beberapa ringkasan yang dapat kita petik daripada surah ini.

KHULASAH :

  1. Alhamdulillah tamatlah dulu muqaddimah & pengenalan untuk Surah Al-Anfal, سورة الأنفال yang cukup menarik ini.
    Semoga ia memberi semangat untuk kita sambung kuliah tafsir dengan ayat pertamanya besok insya’ Allah.

PENUTUP :

  1. Semoga Allah bantu kita untuk terus semangat dan istiqomah untuk terus bertadabbur memahami ayat-ayat Allah.
  1. Kita berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang Maha Indah, dengan sifat-Nya yang Maha Tinggi agar cerahkan hati kita, lapangkan dada kita untuk kita memahami Kalamullah, menyayanginnya & beramal dengannya!
  1. Serta semoga Allah memberi bantuan kepada semua umat Islam yang ditindas dizalimi seperti saudara kita di Palestin yang diganyang oleh yahudi dan di mana saja atas dunia ini!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs