View Categories

(02) Surah Al-Anfal : Ayat 1-4

Hukum Harta Ghanimah, Lima Sifat Mukmin Sebenar & Darjat Mereka.

Full video : https://youtu.be/7TyRul9ZgME?si=GQdqvfXowQAz0ztJ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dan dalam siri ini kita akan mulakan tafsir kepada Surah Al-Anfal dengan ayat 1 sehingga 3 dalam juzuk kesembilan.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini ialah Allah nyatakan tentang hukum harta rampasan perang (ghanimah), sahabat bertanya kepada Nabi SAW apabila berlaku perang pertama dalam Islam iaitu Peperangan Badar pada tahun ke-2H.
  1. Kemudian Allah perintahkan agar para sahabat menerima hukum harta ghanimah sebagaimana yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan wahyu dari Allah.
  1. Allah sebut lima sifat mukmin sebenar iaitu:
    i- Gementar hati apabila membaca ayat-ayat Allah

    ii- Bertambah iman mereka dengan baca ayat al-Quran,

    iii- Mereka bertawakkal kepada Allah,

    iv- Mendirikan solat

    v- Dan infaq fi-sabilillah.
    Cukup sifat ini Allah nyatakan merekalah orang mukmin yang sebenar.
  1. Kemudian Allah nyatakan darjat mereka orang mukmin di sisi Allah adalah mengikut keikhlasan, darjat taqwa dan amalan yang mereka kerjakan!
    Ya Allah jadikan kami orang yang menerima semua hukum Allah dengan tenang & redha serta bersifat dengan sifat orang mukmin yang sebenar ini!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ.

AYAT 1- {MEREKA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) TENTANG HARTA RAMPASAN PERANG. KATAKANLAH: “HARTA RAMPASAN PERANG ITU (TERSERAH) BAGI ALLAH DAN BAGI RASULNYA (UNTUK MENENTUKAN PEMBAHAGIANNYA). OLEH ITU, BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN PERBAIKILAH KEADAAN PERHUBUNGAN DI ANTARA KAMU, SERTA TAATLAH KEPADA ALLAH DAN RASULNYA, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN”.} (AL-ANFAL 8:1)

  1. Sebab nuzul ayat ini:
    i- Riwayat dari Abdullah bin Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda pada hari peperangan Badar:
    Siapa yang membunuh musuh maka ia mendapatkan ini dan ini.
    Siapa yang dapat menawan tawanan maka ia mendapat ini dan ini.
    Orang-orang tua tetap bertahan dibawah panji-panji.
    Sedangkan para pemuda segera membunuh musuh dan mengambil harta rampasan perang. Lantas orang-orang tua berkata kepada para pemuda, “Berilah bahagian kami. Sesungguhnya kami adalah penolong kamu. Seandainya kamu ditimpa sesuatu. pasti kamu akan berlindung kepada kami.
    Selanjutnya mereka mengadukan hal tersebut kepada Nabi ﷺ sehingga turunlah ayat, “Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah, “Harta rampasan perang itu milik Allah dan rasul (Menurut ketentuan Allah dan rasul-Nya).
    ” [HR Abu Daud & an-Nasaei].

    ii- Dari Sa’ad bin Abi Waqas, dia berkata:
    Ketika perang Badar meletus, saudaraku, iaitu Umair tewas. Sebagai balasannya, aku pun membunuh Said bin Ash lalu aku mengambil pedangnya dan membawanya kepada Nabi ﷺ.
    Baginda bersabda: “Pergilah dan lemparkanlah kedalam barang-barang rampasan perang.”
    Aku pun kembali dengan perasaan yang hanya diketahui oleh Allah mengenai kesedihanku atas terbunuhnya saudaraku dan diambilnya harta rampasan perangku.
    Hanya beberapa saat setelah berjalan hingga turunlah Surah Al-Anfal. Lantas Nabi ﷺ bersabda, “Pergilah dan ambillah pedangmu.”
    [HR Ahmad].

    iii- Hadis riwayat dari Sa’ad, ia berkata,
    Ketika terjadi perang Badar, aku datang membawa pedang lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah membalaskan dendam dadaku terhadap orang-orang musyrikin. Berikanlah pedang itu untukku.”
    Baginda bersabda: “Pedang ini bukan milikku atau milikmu.”
    Aku berkata, “Mungkin saja pedang ini diberikan kepada orang yang tidak bertempur sebagaimana yang aku lakukan.”
    Selanjutnya Rasulullah ﷺ mendatangiku dan bersabda, “Sesungguhnya tadi engkau meminta (pedang ini) kepadaku dan ia bukan milikku. Sekarang pedang ini sudah menjadi milikku dan sekarang menjadi hakmu.”
    Dia berkata, “Lantas turunlah ayat: {Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang (pembahagian) harta rampasan perang.}

    [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasa’i].
  1. Timbul perbincangan apakah ayat ini masih digunakan atau telah dimansukhkan:
    i- Majoriti ulama’ kata : Ia telah dimansukhkan dengan ayat 41 nanti.
    {Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya,….} (Al-Anfal 8:41)

    ii- Ada ulama’ kata : Ia tidak dimansukhkan cuma dijelaskan dengan lebih terperinci dengan ayat 41 tersebut.
    Jadi kita kata kedua pendapat ini boleh diterima kerana jika dimansukhkan atau tidak pun keduanya guna dalil dari ayat yang sama.
  1. Ayat ini memutuskan dengan cepat hukuman dari Allah kerana takut ada bibit, bibit pertembungan antara para sahabat akibat dari rasa tak puas hati, maka damaikan mereka terus.
    Ayat Allah jelas, harta rampasan adalah untuk Nabi SAW putuskan kepada siapa yang mahu diberi & bagaimana pembahagiannya.
  1. Kita lihatlah perang dunia hari ini serta ahli politik yang berkuasa, jika sebelum naik & dapat kuasa- segala janji dan integriti dipegang tetapi apabila naik semuanya entah ke mana hilang dek silauan harta & kuasa.
  1. Kerana itu Allah sebut dalam al-Quran tentang yahudi yang kamu nampak mereka seolah bersatu sedangkan hakikatnya tidak begitu, hati mereka berpecah-pecah!
    Masing-masing nak kekayaan & kekuasaan.
  1. Kemudian Allah putuskan dari awal lagi, jika kamu orang beriman & bertaqwa terimalah hukum yang Allah tetapkan ini & apa yang Nabi SAW putuskan berdasarkan wahyu dari Allah SWT.
    Jangan pertikaikan.
  1. Nota: Dalam peperangan Badar dengan pimpinan Rasulullah SAW tentera Islam berjaya menewaskan musuh dan mendapat kemenangan yang besar.
    Mereka juga berjaya mendapat harta rampasan perang yang banyak.
    Terdapat sebahagian golongan muda yang tidak setuju dengan cara pembahagian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dan berharap agar semuanya diberikan kepada mereka kerana yang berjuang dengan handalnya sementara orang tua hanya menunggu di pos sahaja.
    Lalu turunlah firman Allah SWT yang tersebut.
  1. Allah menyatakan bahawa selepas peperangan Badar di mana kaum muslimin mendapat kemenangan besar di mana 70 orang pembesar Quraisy berjaya dibunuh, 70 ditawan bersama dengan harta rampasan & senjata perang yang banyak!
    Setelah melihat harta yang banyak ini para sahabat datang bertanya tentang cara pembahagiannya, pemuda dengan pandangan mereka, orang yang lebih tua dengan pandangannya!
  1. Maka Nabi SAW menjawab bahawa harta ini milik Allah & Nabi SAW sebagai pembahaginya, maka kamu kena terima!
    Serah kepada Nabi SAW, jangan berkelahi, berebut harta dan saling tuduh-menuduh.
  1. Kata Ibnu Athiyah : Tiada khilaf di kalangan ulama’ tafsir bahawa ayat ini diturunkan sempana peperangan Badar!
    Syeikh Syanqiti mengatakan : Ayat ini khas menegur para sahabat yang berselisih pendapat, perbezaan pandangan sahabat yang tak puas hati tentang harta rampasan perang!
  1. Orang yang duduk dalam perjuangan Islam kena hadam ayat ini dari awal lagi, jika tidak akan kecewa & tiada kemanisan dalam perjuangan kerana tak dapat habuan dunia yang dikejar.
    Contoh : ketua cawangan kecewa dan marah kerana tak dapat jawatan, tak dapat jadi penghulu dan sebagainya.
  1. Ayat ini walaupun cerita tentang peperangan Badar; tetapi menyentap perasaan umat Islam di akhir zaman yang berebut jawatan nak kedudukan!
    Inilah suasana yang berlaku!
  1. Kerana itu kamu orang beriman kena ada 3 sifat ini barulah selamat & aman iaitu taqwa, islah & taat.
    Jika tidak rosaklah perjalanan hidup & agama kita!
    Jika ada sedikit pergeseran terus damaikan dengan segera serah kepada Allah & Rasul, sebelum merebak dan mendalam.

AYAT 2- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU (YANG SEMPURNA IMANNYA) IALAH MEREKA YANG APABILA DISEBUT NAMA ALLAH (DAN SIFAT-SIFATNYA) GEMENTARLAH HATI MEREKA; DAN APABILA DIBACAKAN KEPADA MEREKA AYAT-AYATNYA, MENJADIKAN MEREKA BERTAMBAH IMAN, DAN KEPADA TUHAN MEREKA JUALAH MEREKA BERSERAH.} (AL-ANFAL 8:2)

  1. Orang beriman yang sempuran iman mereka akan mempunyai sifat ini:
    i- Mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka;

    ii- Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman. Yakni mereka baca al-Quran dengan tadabbur dan faham maknanya meningkat iman.

    iii- Dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah diri bulat-bulat.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah perintahkan orang beriman untuk taat kepada Allah & Rasul-Nya.

    ii- Apabila kamu taat & beriman maka datanglah sifat-sifat ini :
    i- Apabila disebut nama Allah, Al-Asma’ al-Husna-Nya dan sifat-sifat yang Maha Tinggi; gementar hati mereka takut & gerun kepada Allah.

    ii- Apabila dibaca ayat-ayat Allah bertambah iman mereka, naik semangat dan sentiasa membenarkan ayat-ayat Allah.
    Maka jika kita nak gilap hati & tambah iman maka baca & tadabburlah al-Quran.
    Firman Allah SWT tentang tambah iman ini:
    {Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): “Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?” Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya).}
    (At-Taubah 9:124)

    iii- Sifat ketiga mereka bertawakkal kepada Allah SWT.
    Ingatlah kemenangan dan segala nikmat yang kita dapat ini bukan dengan sebab kekuatan kita sendiri!
    Jika tiada bantuan & pertolongan Allah tidak akan berjaya!
    Kerana itu kela letak tawakkal tinggi kepada Allah; tidak bergantung hanya pada diri sendiri, tidak sombong dan tidak angkuh.

AYAT 3- {IAITU ORANG-ORANG YANG MENDIRIKAN SEMBAHYANG DAN YANG MENDERMAKAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG KAMI KURNIAKAN KEPADA MEREKA.} (AL-ANFAL 8:3)

  1. Sifat orang mukmin yang sempurna imannya lagi:
    iv- Sifat keempat ialah mendirikan solat dengan istiqomah & sempurna.
    Hebat setara mana seseorang itu jika tidak solat tidak ada faedah & hebatnya.
    Dia bukan seorang yang benar, bukan pejuang Islam.
    Jaga waktu solat, semua solat sama ada yang fardhu atau solat sunat.
    Ini kerana solat sunat sebagai sokongan kepada solat fardhu yang ada kekurangannya.
    Kerana itu kita sangat kempen jangan lupa solat fardhu berjemaan serta jangan tinggalkan juga solat sunat!

    v- Mereka juga apabila mendapat harta terus derma & infaq fi-sabilillah.
    Ini adalah sedekah yang dibuat dengan sukarela & ikhlas.
    Ingat zakat itu wajib, bukan pilihan maka tak boleh bangga dengan zakat kerana jika kamu tak keluar zakat kamu berdosa.

AYAT 4- {MEREKALAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN DENGAN SEBENAR-BENARNYA. MEREKA AKAN MENDAPAT PANGKAT-PANGKAT YANG TINGGI DI SISI TUHAN MEREKA DAN KEAMPUNAN SERTA LIMPAH KURNIA YANG MULIA (DI SYURGA).} (AL-ANFAL 8:4)

  1. Di akhir ayat Allah nyatakan mereka yang bersifat begini adalah orang yang beriman dengan sebenarnya.
  1. Bagi mereka ini balasan pahala yang besar iaitu:
    i- Darjat martabat yang tinggi di sisi Tuhan mereka mengikut tahap keimanan & perjuangan mereka.

    ii- Mereka akan diberi keampunan.

    iii- Serta rezeki yang murah dari Tuhan, amal kita sedikit tetapi pahala yang Allah beri amat besar.
  1. Hadis Riwayat Abu Sa‘id al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    Sesungguhnya penduduk syurga saling melihat orang yang berada di atas mereka sebagaimana kamu semua melihat bintang yang bersinar terang (الدُّرِّيُّ) di langit di timur atau barat, kerana kelebihan yang mereka miliki.
    Mereka bertanya: wahai Rasulullah, apakah mereka itu para nabi?
    Baginda menjawab:
    “Benar, demi Zat yang jiwaku berada ditangan-Nya, dan para kaum yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul.
    ” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Banyak lagi hadis-hadis lain tetapi cukuplah ianya untuk memberi motivasi dan galakan untuk menguatkan semangat kita beribadat, sentiasa berzikir, baca al-Quran & takut kepada Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang…}-

    Yakni para sahabat selepas peperangan Badar bertanya kepada Nabi SAW {يَسْـَٔلُونَكَ} tentang cara pembahagian harta rampasan perang iaitu ghanimah (غنيمة) atau anfal (أنفال) itu.
    Dalam ayat ini Allah SWT guna sighah (مضارع)- present tense walaupun sepatutnya sighah (ماضي)- past tense kerana para sahabat telahpun bertanya bukan baru nak tanya.
    Ini untuk menunjukkan mereka akan terus bertanya lagi {يَسْـَٔلُونَكَ} pada masa depan pun.
    Yakni selagi ada harta ghanimah selagi itu akan ada orang bertanya tentangnya!
    Begitulah bila ada harta semua orang akan bertanya dan menginginkannya!
    Sama seperti pangkat & jawatan, masing-masing tarik-menarik, masa buat kerja atau bertugas masing-masing tolak-menolak!!
  1. Ayat 1- {Katakanlah: “Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya).}-

    Maka Allah jawab, Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul-Nya
    {ٱلْأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ}.
    Kenapa disebut bagi Allah & bagi Rasul
    {لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ}؟
    Hikmahnya:
    Kerana jika dikatakan milik Rasul saja; jika Rasul wafat siapa akan ambil tanggungjawab nanti?
    Maka jika disebut nama Allah maka harta milik Allah, maka ia menjadi tetap sebagai milik pejuang Islam pada sepanjang masa.
    Kata ulama’ tadabbur : Allah sebut {لِلَّهِ} dalam ayat ini mengandungi dua faedah:
    i- Rasulullah SAW bertindak memutuskan membahagikan harta itu mengikut wahyu arahan Allah SWT. Bukan kata pandai-pandai Baginda saja.

    ii- Ayat ini memberi kuasa kepada ketua pemimpin tentera apabila Nabi SAW tiada atau telah wafat.
    Ini kerana apabila dikatakan hak Allah, ia akan menjadi hak milik orang Islam sepanjang zaman.
    Maka apabila berlaku peperangan ketua tentera yang berkuasa & berhak menentukan siapa harta yang dapat harta itu!
    Yakni Allah memberikan harta itu kepada siapa yang Dia kehendaki dan tidak ada siapa yang boleh menentangnya kerana ia adalah hak Allah.
    Rasulullah SAW pula membahaginya mengikut perintah Allah.
    Maka kamu semua sebagai orang yang beriman; hendaklah menerima & redha dengan ketentuan Allah dan Rasul-Nya.
  1. Ayat 2- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka;…}-

    Iman itu ada pasang surut, turun naik.

    Ayat 2- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka;…}-

    Ini menunjukkan iman itu ada pasang surut naik turunnya.
    Apabila kita ingat kepada Allah dan banyak ibadat maka iman itu makin kuat & mantap. Menunjukkan sangat penting kita sentiasa gilapkan iman supaya ia sentiasa kuat dan mantap.
    Hadis, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya iman boleh menjadi lusuh di dalam jiwa sebahagian daripada kamu sebagaimana lusuhnya pakaian.
    Maka mohonlah kepada ALLAH agar diperbaharui iman di dalam hati kamu.”

    (HR al-Hakim dan at-Tabarani)
    Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu memperbaharui iman kamu.
    Lalu sahabat bertanya kepada Rasulullah: “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami?”
    Rasulullah lantas menjelaskan: “Dengan memperbanyakkan menyebut (zikir) Lailaha illallah.
    ” (HR Ahmad)

    Dalam ayat ini Allah mulakan dengan hati, kerana dari hatilah amalan kita bermula.
    Sesungguhnya amal itu bermula dengan niat, niat datang dari hati.
    Pentingnya dalam semua perjuangan ini hati kita ikhlas, jika tidak rugilah kita.
    Kena letak ikhlas ini di depan jangan di belakang kerana ia adalah tonggak amalan.

    3 tonggak ini yang akan menjadikan seseorang itu betul-betul beriman:
    i- Taqwa, kerana tak mungkin tanpa taqwa hati akan menjadi baik!
    Contoh, orang yang tak solat tapi mengaku hati baik, tak tutup aurat tetapi mengaku hati baik!
    Kita kata macamana hati kamu baik, kerana orang yang berhati baik ialah orang yang bertaqwa yang patuh, takut kepada Allah & menjalankan semua perintahnya.
    Rasulullah SAW orang yang paling bertaqwa, mendirikan solat sehingga bengkak-bengkak kakinya!
    Kita tidak boleh kata karamah kepada orang yang menyalahi ajaran Syari’ah.
    Jika tidak banyaklah ajaran sesat yang boleh diterima atas dunia ini!

    ii- Islah yang mendamaikan antara manusia sangat penting!
    Seperti kita mesti damaikan sesama pendakwah dulu sebelum kita nak dakwah kepada orang kafir!
    Kita lihat saja dalam negara ini yang berkelahi adalah sesama Islam, yang tuduh-menuduh label-melabel sesama sendiri adalah orang agama.
    Lihat orang tak sapu muka lepas solat pun terus dilabel dituduh sehingga nasihatnya tidak boleh didengar terus!
    Tetapi orang yang mengaku benar solat bersama bunian diberi tempat & disambut pula!
    Inilah yang berlaku sekarang ini, Allahu al-Musta’an!

    iii- Sifat ketiga ialah taat kepada Allah SWT & Rasulullah SAW.
    Tiga tonggak inilah sifat orang mukmin yang benar-benar beriman.
    Kemudian dari sudut amali adalah 5 sifat sebagaimana yang kita telah bincangkan dari dua ayat di atas tadi.
    Sifat orang-orang beriman dari dua ayat pertama Surah Al-Anfal:
    i- Takut dan gementar hati bila disebut nama Allah, sentiasa Membesarkan Allah.

    ii- Bertambah iman bila disebut nama Allah dan dibaca ayat-ayat Quran.

    iii- Bertawakkal kepada Allah dalam segala urusan.

    iv- Mengerjakan solat fardhu dan sunat dengan menjaga solat lengkap dengan SOP.

    v- Sentiasa Infaq; sedekah dan derma fi-sabilillah dengan rezeki yang Allah beri.
  1. Ayat 2- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman,…}-

    Sebagaimana kita kena ingat 5 sifat orang yang beriman- yang pertamanya ialah mereka ini apabila disebut nama Allah gementar hatinya, bertambah iman dan makin yakin.
    Imam Bukhari & imam-imam besar yang lain berpendapat bahawa iman itu bertambah & berkurang.
    Iman menjadi kuat & bertambah dengan ibadat manakala ia akan lemah & berkurangan dengan maksiat & kurangnya ibadat.
    Maka kita orang beriman sentiasa gilapkan iman kita, bertawakkal kepada Allah, mendirikan solat & infaq fi-sabilillah.
    Kenapa solat selalu disebut dengan indaq?
    Ini kerana solat & infaq adalah seiring, solat kita gunakan (infaq) masa & badan kita untuk beribadat.
    Manakala infaq kita gunakan harta benda kita untuk beribadat, bukan senang untuk seseorang melepaskan hartanya beri kepada orang lain!
    Sifat bakhil adalah sinonim dalam diri manusia.
    Jika orang boleh lepaskan hartanya untuk orang lain maka itu adalah tanda orang yang beriman!
    Rugi besar siapa yang tidak mahu infaq fi-sabilillah.
    Harta itu rezeki yang Allah beri lebih-lebih lagi harta pusaka yang kita dapat daripada orang tua kita.
    Jika infaq harta itu, pahalanya juga akan turut mengalir kepada mereka di dalam kuburnya juga!
    Jika kita sudah ada duit & harta sendiri, waqafkanlahnya untuk kedua ibu bapa untuk menjadi anak yang soleh, jika kita orang susah boleh dermakan setakat yang mampu.
  1. Ayat 4- {Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya….}-

    Allah kata mereka itulah orang yang benar-bmnr beriman.
    Orang yang benar-benar beriman ialah orang yang beriman serta beramal soleh.
    Kata Imam al-Hasan al-Basri : Iman itu bukan dengan angan-angan, atau dengan cita-cita, atau berlagak sahaja!
    Iman itu ialah apa yang terpasak dalam hati serta amalan yang membenarkannya.
    Kerana itu Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah itu merupakan burhan (bukti iman).” (Sahih Muslim)
    Yakni orang yang boleh sedekah adalah orang yang beriman kepada Allah SWT kerana dia meyakini janji Allah akan pulangan yang besar darinya!
    Maka apabila seseorang itu telah merasai kemanisan iman, akan terzahir kesan iman melalui perbuatannya dengan amal ibadat, melalui lidahnya dengan sentiasa berzikir, baca al-Quran, tiada hasad dengki kepada orang, anggotanya tunduk akur patuh taat kepada Allah SWT!

    Ya Allah jadikan kami orang yang bersifat dengan lima sifat yang mulia ini, yang sentiasa ingat & sentiasa takut kepada-Mu, yang boleh mengalirkan air matanya semata-mata takut kepada Allah Azza wa Jalla.

Ya Allah sebagaimana kami takut kepada-Mu di dunia ini, amankanlah kami di Akhirat kelak!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs