View Categories

(04) Surah Al-Anfal : Ayat 9-11

Pertolongan Allah Kepada Ahli Badar, 1000 Malaikat Bersama & Tentera Islam Mengantuk.

Full video : https://youtu.be/Riim0jnLGgM?si=FY_cpCmefbhUgMpY

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 09 sehingga 11 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan beberapa nikmat yang dianugerahkan kepada ahli Badar.
    Yang penting kita perlu mensyukuri nikmat yang mulia ini, ada tujuh nikmat yang kita sebut nanti insya’ Allah.
  1. Antaranya ialah pertolongan Allah kepada ahli Badar, apabila mereka minta Allah perkenankan terus.
    Allah nyatakan khabar gembira dengan dihantar 1000 malaikat turun dari langit untuk berperang bersama tentera Islam.
  1. Satu lagi nikmat dalam kegawatan, ketakutan sedang fikir tentang senjata tak cukup, kurang tentera ialah turunnya hujan rahmat & tentera Islam mengantuk lalu tertidur memberi tenaga kepada mereka.
    Itulah pertolongan & bantuan Allah kepada hamba-hamba-Nya yang cukup syarat cukup SOP.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang tujuan Allah temukan tentera Islam dengan Abu Jahal adalah untuk menzahirkan kebenaran & membatalkan kebatilan!

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan kamu jangan bimbang, jangan takut, jika kamu rasa tidak ada kekuatan nak lawan, mintalah pertolongan dengan Allah.
    Bila kamu minta Allah akan lansung perkenankan doa kamu itu!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 9- {(INGATLAH) KETIKA KAMU MEMOHON PERTOLONGAN KEPADA TUHAN KAMU, LALU IA PERKENANKAN PERMOHONAN KAMU (DENGAN FIRMANNYA): “SESUNGGUHNYA AKU AKAN MEMBANTU KAMU DENGAN SERIBU (BALA TENTERA) DARI MALAIKAT YANG DATANG BERTURUT-TURUT.} (AL-ANFAL 8:9)

  1. Sabab nuzul ayat ini:
    Hadis riwayat dari Umar bin Al-Khattab RA katanya:
    Pada hari terjadinya perang Badar, Rasulullah ﷺ melihat kaum musyrikin, semuanya berjumlah seribu orang, sedangkan para sahabat Baginda hanya berjumlah tiga ratus sembilan belas orang.
    Nabi ﷺ menghadap ke kiblat, kemudian Baginda tadahkan kedua tangan-nya ke langit lalu Baginda berdoa kepada Rabb (ﷻ);
    اللهم آني أنشدك عهدك ووعدك اللهم آن تهلك هذه العصابة من آهل الاسلام (المؤمنون المحاربون) لا تعبد في الآرض

    Maksudnya: “Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu.
    Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi.”
    Demikianlah, Baginda terus menerus berdoa kepada Rabb (ﷻ), mengangkat kedua tangan-nya sambil menghadap ke kiblat, sehingga rida’ / selendang Baginda (ﷺ) terlepas dari bahunya.
    Abu Bakar RA mendatangi Nabi ﷺ, lalu diambilnya selendang Baginda dan diletakkannya kembali ke bahu Baginda, kemudian dia sentiasa berada di belakang Baginda (ﷺ).

    Kata Abu Bakar, “Wahai Nabi Allah!
    Cukuplah kiranya Tuan bermunajat dengan Allah, kerana Dia pasti akan menepati janji-Nya kepada Tuan.

    Lalu Allah (ﷻ) menurunkan ayat:
    {Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu, seribu Malaikat yang datang beriring-iringan.} [Al-Anfal 8: 9). [HR Muslim].
  1. Cara berdoa ini tengok tempat juga:
    i- Jika dalam peperangan, dalam keadaan gawat doa meminta pertolongan Nabi SAW angkat tangan Baginda sehingga nampak putih ketiaknya.
    Begitu juga ketika dalam doa istisqa’, minta hujan.
    Yakni jika doa nak memohon meminta bantuan Nabi SAW angkat tinggi tanganya.

    ii- Manakala jika doa minta keampunan, minta rahmat seperti doa semasa hari Arafah pada waktu wsquf, Baginda hanya mengangkat rendah saja tangannya sekadar di dada- seperti kita meminta sesuatu dengan orang takkan nak angkat tangan tinggi-tingi pula.
  1. Inilah salah satu ayat yang menceritakan tentang peperangan Badar.
    Allah ingatkan Nabi SAW ketika Baginda SAW mengangkat tangannya berdoa kepada Allah minta pertolongan untuk mengalahkan musuh.
  1. Maka Allah perkenankan doa Nabi SAW itu, memberi pertolongan untuk mengalahkan musuhnya dengan menghantar kepadanya 1000 malaikat.
    Disebut bilangan dihantar sebanyak itu untuk menguatkann semangat tentera Islam & lalu berasa yakin & semangat, kerana jika dari sudut keperluan tidak perlu seramai itu malaikat yang hebat!
  1. Manakala dalam ayat lain Allah SWT berfirman:

    {(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,
    “Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.} (A-li’Imran 3:125) |
  1. Terdapat khilaf tentang beza bilangan dalam dua ayat ini lalu kata ulama’ :
    i- Ada ulama’ berpendapat bahawa : Kedua kisah ini adalah tentang Perang Badar, kerana Allah berfirman lagi:
    {Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (A-li’Imran 3:126)

    ii- Ada ulama’ kata : Ayat dalam surah Ali-Imran adalah tawaran Allah untuk hantar 5000 malaikat semasa peperangan Uhud.
    Tetapi kerana berlaku kekhilafan dalam perang Uhud tawaran itu tak jadi.
    Manakala dalam perang Badar hanya 1000 malaikat sahaja.
  1. Persoalan apakah malaikat itu turut berperang atau hanya hadir sekadar meramaikan tentera Islam???
    Jawapannya sebagaimana hadis di bawah ini.
  1. Hadis, Diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA bahawa :

    Salah seorang lelaki muslim yang sedang menghadapi seorang musyrik di depannya menceritakan kepada kami bahawa tiba-tiba ia mendengar suara pukulan cemeti di atasnya dan suara seorang pahlawan yang mengatakan, ‘Majulah Haizum -(أقدم حيزوم) (Haizum nama kuda tunggangan Malaikat Jibril AS’.
    Kemudian dia lihat lelaki musyrik itu terkapar.”
    la melanjutkan, “Lelaki muslim itu mengamatinya, ternyata kepalanya telah remuk dan wajahnya terkoyak seperti (bekas) sebatan cemeti.
    Lalu ia mengumpulkan sekelompok kaumnya.
    Kemudian orang Ansar itu datang dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW, dan Baginda bersabda,
    “Engkau benar bahawa itu bantuan langit yang ketiga.
    Pada hari itu, mereka membunuh tujuh puluh orang (musuh) dan menawan tujuh puluh orang lainnya
    .” [HR Muslim].
  1. Hadis kelebihan ahli Badar:
    Riwayat dari Mu’az bin Rafa’ah ibnu Rafi’ az-Zarqi dari ayahnya yang ikut serta dalam Perang Badar al-Kubra.
    Dia berkata, “Malaikat Jibril AS mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, ‘Apa pendapatmu tentang pengikut Perang Badar dari kalanganmu?’ Rasulullah SAW menjawab,
    ‘Mereka dari kalangan kaum muslimin yang paling utama.
    Malaikat Jibril AS menjawab kembali: Demikian juga dengan para malaikat yang ikut serta dalam Perang Bada
    r.” [HR Bukhari].
  1. Tetapi kita jangan lebih-lebih, ambil nama ahli Badar buat tangkal azimat dan lain-lain perbuatan yang mengandungi kepercayaan khurafat pula!
    Itu jelas tidak benar!

AYAT 10- {DAN ALLAH TIDAK MENJADIKAN (BANTUAN MALAIKAT) ITU MELAINKAN SEBAGAI BERITA GEMBIRA DAN SUPAYA HATI KAMU TENANG TENTERAM DENGANNYA. DAN KEMENANGAN ITU PULA HANYALAH DARI SISI ALLAH. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-ANFAL 8:10)

  1. Kita jangan dakwa kita menang sebab kita handal, hebat atau kuat!
    Tetapi kita menang sebab kita dapat pertolongan dari Allah dan Allah beri kemenangan itu apabila cukup syaratnya!
  1. Allah jadikan bantuan malaikat ini sebagai:
    i- Khabar gembira dengan kemenangan.

    ii- Untuk tenangkan hati orang mukmin jangan takut & gerun lawan tetap lawan.
  1. Kamu akan dapat kemenangan tetapi ingat jangan sombong, angkuh & jangan takabbur, segala pertolongan untuk menang itu datang dari Allah.
  1. Kadang-kadang timbul juga persoalan, orang kafir yang menang itu, apakah mereka mendapat pertolongan dari Allah????
  1. Jawapan: Itu bukan pertolongan, Allah nak uji orang beriman kerana tidak bersatu lalu untuk uji kamu Allah beri kemenangan kepada orang kafir.
    Bukan kata Allah Redha kepada mereka!
  1. Di akhir ayat Allah kata bahawa :
    i- Sesungguhnya Allah Maha Kuasa {ٱلْعَزِيزِ}– berkuasa untuk memberi pertolongan & kemenangan kepada kamu.

    ii- Lagi Maha Bijaksana {ٱلْحَكِيمِ}, untuk memilih keadaan apa yang sesuai untuk diberi kepada kamu!
    Maka kita orang Islam jangan sombong, jangan bangga dengan kemenangan, muhasabah diri apakah kemenangan aku ini untuk menegakkan agama Allah atau kemenangan kafir itu untuk memberi peluang orang kafir untuk menindas orang Islam.

AYAT 11- {(INGATLAH) KETIKA KAMU DILIPUTI PERASAAN MENGANTUK SEBAGAI SATU (PEMBERIAN) AMAN DARI ALLAH (UNTUK MENGHAPUSKAN KECEMASAN KAMU). DAN (INGATLAH KETIKA) IA MENURUNKAN KEPADA KAMU HUJAN DARI LANGIT UNTUK MENSUCIKAN KAMU DENGANNYA DAN MENGHAPUSKAN DARI KAMU GANGGUAN SYAITAN, DAN JUGA UNTUK MENGUATKAN HATI KAMU DAN MENETAPKAN DENGANNYA TAPAK PENDIRIAN (KAMU DI MEDAN PERJUANGAN).} (AL-ANFAL 8:11)

  1. Munasabah ayat:
    i. Di awal ayat Allah nyatakan bahawa Dia beri pertolongan kepada kamu.

    ii- Maka datang ayat ini diceritakan antara pertolongan Allah ialah pada malam peperangan ketika kamu dalam perasaan bimbang gerun dan takut memikirkan macam-macam; memerlukan rehat maka Allah beri kamu rasa mengantuk lalu tidur dengan tenang.
  1. Sama seperti keadaan semasa perang Uhud, apabila keadaan teruk, ramai yang syahid, cedera dan luka-luka lalu Allah beri mengantuk juga untuk tidur rehat sekejap!
    Firman Allah SWT ::
    {Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas).} (A-li’Imran 3:154)
    Ingat, mengantuk ketika takut itu rahmat dari Allah, mengantuk ketika belajar, dalam kelas, kuliah atau khutbah itu syaitan yang ulit.
    Contoh, esok kita nak buat major operation septutnya takut tak lena tidur tetapi Allah bagi kita lena, alhamdulillah.
  1. Ulama’ berbeza pendapat tentang bilakah waktu mengantuk ini??
    i- Ada kata pada malam peperangan itu, ini yang sesuai.

    ii- Ada kata pada waktu siang selepas peperangan.
  1. Allah juga katakan Dia turunkan air hujan dari langit untuk:
    i- Digunakan untuk berwudhuk & bersuci, mungkin orang tertidur bermimpi bila bangun perlu untuk mandi & berwuduk

    ii- Menghilangkan gangguan & waswas syaitan

    iii- Untuk menguatkan hati kamu, yakin dengan pertolongan Allah & kemenangan.

    iv- Menjadikan pasir tempat berpijak mampat, tidak mudah terjerlus tentera Islam.
    Ini adalah hikmat Allah turunkan hujan pada malam itu.
  1. Ulama’ berbeza pendapat tentang : Bilakah waktu hujan ini??
    Timbul persoalan pula mengantuk dulu atau hujan dulu yang turun?
    i- Mengikut pendapat ulama’, mengikut zahir ayat secara tertib dalam al-Quran, mengantuk & tidur dahulu. Kerana apabila bangun air sudah tersedia bagi yang memerlukannya.

    ii- Pandangan kedua seperti Mujahid RHM, hujan dulu sebelum mengantuk.
    Apabila hujan, pasir rapat, suasana sejuk, maka tentera pun mengantuk lalu lena tidur.
    Begitulah pandangan ulama’ yang betulnya wallahu a’lam.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 9- {(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya)…}-

    Apabila kamu minta pertolongan dengan Allah, Allah SWT akan perkenankannya.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini mengajar kita orang beriman untuk meminta pertolongan dari Allah.
    Dengan syarat-syarat, SOP & prosedurenya yang betul.
    Jangan minta pertolongan dengan Allah sedangkan benda itu maksiat, Tuhan tak akan bagi pertolongan.
    Jika dapat kemenangan pun itu bukan pertolongan tetapi Allah nak beri ujian kepada kamu!
    Jadi sesiapa yang mohon minta pertolongan dari Allah; Allah kata Dia akan memperkenankannya.
    Maka jangan takut, jangan malas, jangan tak minta kerana Allah telah janjikan untuk beri pertolongan.
    Kemudian Allah puji Nabi SAW & para sahabatnya, kerana waktu mereka takut dalam peperangan Badar mereka meminta pertolongan dari Allah SWT.
    Sebagaimana dalam hadis Nabi SAW berdoa di Badar tadi.
    Nabi kita mengangkat tangan bermunajat, menangis sehingga jatuh kain rida’nya, sehingga sahabat setianya Saidina Abu Bakar menenangkannya.
    Kita boleh bayangkan keadaan Nabi SAW malam itu begitu bermunajat, beribtihal, dengan khusyuk dan pasrah, bermunajat mengharapkan bantuan Allah.
    Sedangkan para sahabat lain Allah beri nikmat mengantuk lalu lena tidur untuk menghilangkan ketakutan & kebimbangan mereka!
    Tetapi Rasulullah SAW sebagai ketua tak tidur.
  1. Ayat 9- {… lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.}-

    Betapa Allah jawab terus, Allah beri khabar gembira bahawa Dia akan perkenankan permohonan Nabi SAW.
    Allah SWT cepat dan segera beri pertolongan, minta terus beri!
    Allah perkenankan permintaan itu dengan beri tawaran untuk hantar 1000 malaikat berduyun-duyun untuk membantu Nabi SAW & tentera Islam.
    Inilah pertolongan Allah SWT yang segera.
    Kata ulama’ tadabbur : Jika ada orang meminta dengan kita & kita dapat beri dan tunaikannya, kita beri dulu khabar gembira kepada mereka.
    Jika kita tak mampu nak tunaikan permintaan mereka, beritahu terus juga agar mereka tidak berharap & menunggu-nunggu.
    Begitu juga jika permintaan itu tidak perlu dibantu atau kita tak mampu nak penuhinya, beritahu terus juga!
    Bilangan malaikat kita telah bahaskan tadi, sama ada 1000 atau 5000?
    Ramai ulama’ kata : Hanya 1000, yang 5000 tadi adalah tawaran yang Allah beri semasa peperangan Uhud, tetapi kerana insiden yang menyayat hati berlaku; maka malaikat tak jadi turun.
  1. Ayat 10- {Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah.}-

    Pertolongan & kemenangan itu hanya dari Allah semata-mata.
    Kadang-kadang kita rasa hebat, kita kuat, Allah beri kemenangan, gabungan kita mantap maka kita jadi sombong & angkuh!
    Ingat apa yang kita dapat dari Allah, Allah yang tentukan.
    Allah beri kumpulan itu menang bukan bererti Allah redha, itu hanya ketentuan Allah
    (إرادة كونية).
    Kila lihat atas duni sekarang ini betapa ramai orang kafir, orang zalim dan jahat yang menang & naik jadi ketua, dapat pangkat keadaan & kuasa
    Kita orang beriman wajib letakkan iktikad bahawa segala kemenangan & pertolongan itu datang dari Allah bukan yang lain.
    Pertolongan Allah itu boleh jadi dalam perlbagai bentuk, banyak lagi caranya bukan dengan hantar malaikat sahaja.

    Hadis, Sabda Nabi SAW :
    وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ بَيْنَ يَدَيْ مَسِيرَةِ شَهْرٍ.
    Ertinya: “Dan dibantu akan daku dengan ketakutan (pihak musuh) pada hadapanku pada jarak masa sebulan.” [HR Muslim].
  1. Ayat 11- {(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu).}-

    Allah beri mengantuk adalah salah satu nikmat kepada ahli Badar.
    Kenapa Allah sebut khas mengantuk sebagai salah satu nikmat-Nya?
    Jawapan:
    i- Semuanya adalah ketentuan Allah SWT sama ada mengantuk atau tidur.
    Tetapi dalam isu mengantuk ketika takut dalam perang Badar ini adalah ssatu nikmat yang besar dari Allah.
    Ini orang yang dalam keadaan takut, stress bila tidur akan lega sikit.

    ii- Mereka takut kerana bilangan kafir ramai manakala tentera Islam sedikit, maka daripada dok memikirkan perkara itu lebih baik tidur sahaja sebagai ubatnya.

    iii- Tidur beramai-ramai bukan sesuatu yang biasa, semua sekali tentera mengantuk & tidur adalah sesuatu yang luar biasa & pastilah ia nikmat yang besar dari Allah SWT!
  1. Ayat 11- {Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk…}-

    Allah mengingatkan juga nikmat yang diberikan kepada kaum muslimin iaitu diturunkan hujan rahmat ke atas mereka.
    Allah turunkan hujan, adalah satu nikmat yang besar & melaluinya membawa beberapa kelebihan lagi.
    Terdapat 7 kelebihan nikmat keseluruhannya yang Allah berikan kepada tentera Islam pada malam itu:
    i- Bila buat permohonan; Allah turunkan pertolongan segera.

    ii- Allah berikan kepada mereka mengantuk.
    Mengantuk ketika takut adalah nikmat, mengantuk ketika menuntut ilmu, ulitan syaitan.
    Manakala mengantuk ketika memandu kenderaan, adalah bala!!
    Penyakit baru micro sleep, yang boleh menyebabkan kemalangan, Allah al-Musta’an.

    iii- Allah turunkan hujan untuk kebersihan & toharah,

    iv- Allah kuatkan hati umat Islam, sabar & tak goyah,

    v- Pasir menjadi mantap, kaki tetap berpijak tak goyah & tak jerlus.

    vi- Allah beri ilham kepada malaikat untuk turun membantu tentera Islam.

    vii- Allah jadikan perasaan gerun & takut dalam hati musuh iaitu Abu Jahal.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Insya’ Allah jadual kelas tafsir ini kita akan disambung pada hari Isnin bagi beri laluan kepada kuliah bulanan DDAAM di Masjid Negara KL.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs