View Categories

(05) Surah Al-Anfal : Ayat 12-14

Allah Arahkan Malaikat Membantu Tentera Islam, Campakkan Gerun Dalam Hati Kafir & Azab Ke Atas Kuffar.

Full video : https://youtu.be/UZ3A0FXHMRc?si=s5_hbcIHW1ogIPNI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal dengan ayat 12 sehingga 14 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Allah arahkan para malaikat supaya turun membantu dan memberi sokongan kepada tentera Islam di Badar.
  1. Serta Allah campakkan perasaan gerun dalam hati kafir serta pukullah atas tengkok mereka kerana mereka telah menentang Allah & Rasul-Nya. Orang yang menentang Allah & Rasul layak mendapat azab dunia & Akhirat.
  1. Allah peringatkan nikmat & bantuan-Nya ini kepada Rasulullah & para sahabat; lalu mereka mendapat kemenangan.
    Inilah nikmat anugerah yang besar yang wajib disyukuri bukan sekadar dikenang.
    Ingat & bersyukur bukan ingat saja tak cukup!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya :
    i- Didalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan dua sebab ketenangan bagi tentera Islam iaitu mengantuk dan turunnya hujan yang menyejukkan suasana & memantapkan pasir serta sebagai air kegunaan.
    Ini adalah nikmat secara zahir yang kita boleh nampak.

    ii- Maka datang ayat ini adalah nikmat yang kita tak nampak, tetapi yang kita dapat tahu melalui wahyu Allah. Iaitu bahawa Allah telah perintahkan malaikat agar turun sama membantu tentera Islam dalam peperangan sehingga mereka mencapai kemenangan.
    Dalam al-Quran kata 1000 malaikat yang Allah hantar dalam peperangan Badar.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 12- {(INGATLAH) KETIKA TUHANMU WAHYUKAN KEPADA MALAIKAT: “SESUNGGUHNYA AKU MENYERTAI KAMU (MEMBERI PERTOLONGAN), MAKA TETAPKANLAH (HATI) ORANG-ORANG YANG BERIMAN. AKU AKAN MENGISI HATI ORANG-ORANG YANG KAFIR DENGAN PERASAAN GERUN; OLEH ITU, PANCUNGLAH LEHER MEREKA (MUSUH) DAN POTONGLAH TIAP-TIAP ANGGOTA MEREKA”} (AL-ANFAL 8:12)

  1. Allah peringatkan kepada Nabi SAW nikmat & anugerah-Nya yang pertama, iaitu:
    i- Ketika Allah ilhamkan kepada malaikat iaitu bagi perintah & arahan kepada malaikat untuk pergi membantu tentera Islam di Badar.
  1. Ini untuk mengukuhkan tentera Islam & meguatkan semangat mereka, bahawa Allah bersama mereka dalam memberikan pertolongan & sokongan!
  1. Nikmat yang kedua ialah :
    i- Allah telah menetapkan hati orang yang beriman, menguatkan semangat mereka serta perbetulkan niat mereka dalam memerangi musuh mereka!
    Tujuan utama adalah untuk membela agama Allah bukan untuk mencari harta dan meraih habuan dunia yang lain.

    ii- Serta beri khabar gembira bahawa tentera Badar akan menang!
  1. Nikmat dan pertolongan ketiga:
    i- Allah isikan, campakkan ke dalam hati orang kafir perasaan takut, gerun terhadap tentera Islam.

    ii- Walaupun tentera Islam tak ramai, alat kelengkapan & senjatanya tak lengkap, orang kafir tetap rasa gerun, kecut perut apabila melihat mereka!

    iii- Ini kerana mereka orang kafir yang tidak beriman kepada Allah serta mendustakan Allah & Rasul-Nya; maka Allah campakkan rasa gerun dalam hati mereka!
  1. Ayat ini ditafsirkan juga oleh beberapa ayat al-Quran lain:
    i- {Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya..} (A-li’Imran 3:151)

    ii- { Dan Ia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun…} (Al-Ahzab 33:26)

    iii- {Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam)…} (Al-Hasy-r 59:2)
  1. Hadis riwayat daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنَ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي: نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ، وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا، وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ، وَأُحِلَّتْ لِي الغَنَائِمُ، وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً، وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ.

    Maksudnya: “Aku diberikan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku.
    -(Pertama) Aku diberi pertolongan dengan dicampakkan perasaan takut dalam hati musuh sejauh sebulan perjalanan.
    -(Kedua) Bumi ini telah dijadikan untuk aku bersujud dan bersuci. Oleh itu sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, hendaklah menunaikan solat di mana sahaja apabila telah masuk waktunya.
    -(Ketiga) Harta ghanimah (rampasan perang) dihalalkan buat aku.
    -(Keempat) Seseorang nabi itu selalunya diutuskan untuk kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan untuk manusia seluruhnya.
    -Dan (kelima) Aku diberi hak keistimewaan untuk memberi syafaat (kepada umatku).”

    [HR al-Bukhari (438) dan Muslim (521)].
  1. Arahan yang keempat, Allah perintahkan dan beri izin kepada malaikat & tentera Islam untuk memenggal kepala { فَٱضْرِبُوا۟ فَوْقَ ٱلْأَعْنَاقِ} musuh yang kafir itu!
    Pancung leher mereka agar terus mati!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini :

    {Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya….} (Muhammad 47:4)
  1. Arahan yang kelima: Allah suruh tentera Islam penggal kepala mereka juga potong anggota tangan & kaki mereka
    {وَٱضْرِبُوا۟ مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍۢ}.
    Ini hanya dibenarkan ketika berlaku pertempuran dalalm peperangan.
    Tetapi selepas mereka mati, haram buat begitu kepada mayat mereka!
    Hanya semasa sama-sama hidup sahaja boleh bunuh-membunuh.
    Inilah keadilan & rahmat Islam.
  1. Hadis Nabi SAW tentang larangan ini:
    Menurut wasiat Rasulullah ﷺ kepada panglima perang yang hendak berperang:

    اغْزُوا بِاسْمِ اللهِ فِي سَبِيلِ اللهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِاللهِ، اغْزُوا وَلاَ ‏تَغُلُّوا، ‏وَلاَ ‏تَغْدِرُوا، ‌‏وَلاَ ‏تُـمَثِّلوا، ‏وَلاَ تَقْتُلُوا وَلِيدًا، أَوِ امْرَأَةً، وَلا كَبِيرًا فَانِيًا، وَلا مُنْعَزِلاً بِصَوْمَعَةٍ.
    Berperanglah dengan menyebut nama Allah dan di jalan Allah. Perangilah mereka yang kufur kepada Allah. Berperanglah, jangan kalian berlebihan (dalam membunuh). Jangan kalian lari dari medan perang, jangan kalian mencacatkan tubuh, janganlah kalian membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua, dan rahib-rahib di tempat ibadah mereka.” (HR. Muslim no. 1731 dan lain-lain].
  1. Betapa Islam agama yang membawa rahmat melarang agar jangan membunuh kanak-kanak, orang tua & wanita tidak mengangkat senjata!
    Bukan seperti barat yang mendakwa memperjuangkan human right, tetapi lihat saja bagaimana keadaan mereka menghadapi isu di Palestine, kanak-kanan kena, orang tua pun kena.

AYAT 13- {(PERINTAH) YANG DEMIKIAN IALAH KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA MENENTANG ALLAH DAN RASULNYA; DAN SESIAPA YANG MENENTANG ALLAH DAN RASULNYA, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSANYA.} (AL-ANFAL 8:13)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah perintahkan untuk penggal kepala orang kafir & potong anggota (ini hukum).
    Apakah ini menunjukkan Islam agama yang ganas & kejam?

    ii- Maka datang ayat Allah nyatakan sebab perintah itu (sebabnya- تعليل), puncanya kerana mereka kafir tidak beriman kepada Allah, mereka menentang Allah & Rasul-Nya.
    Jika mereka Islam tiada siapa boleh kacau & khianat mereka.
  1. Yakni semua hukuman yang Allah jatuhkan ke atas mereka ini adalah kerana mereka lawan, ingkar, menentang Allah & Rasul serta memilih jalan yang Allah tidak suruh, Allah kata ke kanan mereka ke kiri, maka layaklah mereka mendapat azab siksa yang dahsyat ini!
  1. Sesiapa saja yang mengingkari perintah Allah, menyalahi ajaran Rasulullah SAW, maka mereka layaklah ke atas mereka azab Allah yang Maha berat seksa-Nya.
  1. Peringatan dan amaran sudah diberi, jika kamu dengar kamu selamat, jika kamu ingkar pastilah kamu akan binasa!

AYAT 14- {ITULAH (AZAB DUNIA) MAKA RASALAH DIA (HAI ORANG-ORANG KAFIR). SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR DISEDIAKAN BAGINYA AZAB NERAKA (DI AKHIRAT).} (AL-ANFAL 8:14)

  1. Munasabah ayat :
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan siapa yang menyalahi & ingkar kepada Allah & Rasul, layak mendapat azab yang berat!

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan jenis azab itu.
  1. Maka kerana kekufuran & keingkaran kamu itu wahai orang kafir, maka rasalah kamu {فَذُوقُوهُ} azab-Nya atas dunia ini lagi!
    Iaitu Azab yang segera atas dunia ini; diperangi, dibunuh atau dicederakan, kemudian menjadi tawanan perang, harta dirampas, anak isteri menjadi tawanan!
  1. Kemudian di Akhirat kelak, sesungguhnya azab neraka yang disediakan menanti dengan siksaan yang begitu dahsyat!
    Balasan dunia itu hanyalah sedikit & kecil berbanding dengan azab neraka, kerana itu Allah kata : Kamu rasalah dulu atas dunia ini.
    Seperti selepas memasak kita rasa dulu (cicip) makanan itu, bukan makan banyak lagi, baru rasa.
  1. Azab neraka itu tidak dibayangkan dahsyat dan beratnya, maka adalah tugas kita, kerja kita untuk menyelamatkan diri daripada neraka!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 12- {(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun;…}-

    Allah wahyukan, beri arahan kepada malaikat untuk bersama dengan tentera Islam.
    Allah juga tetapkan hati orang yang beriman agar mantap semangat & keberanian.
    Kata ulama’ : Antara rahmat Allah kepada hamba-Nya ialah Allah permudahkan urusan ketaatan.
    Apabila kita terima perintah Allah, kita rasa mudah untuk taat, senang terima & buatnya, akur dan terus buat tanpa banyak.
    Begitulah sifat malaikat, yang sentiasa taat, akur dan segera buat perintah Allah, mereka tak akan derhaka sesekali!
    Ayat ini untuk orang beriman ambil contoh iktibar, pukul anak sindir menantu!
    Jika malaikat boleh dengar & taat begitu, kenapa kamu orang beriman tak mahu dengar!
    Allah juga kata Dia tetapkan pendirian orang beriman, orang beriman sangat berharap dan perlukan untuk Allah tetapkan pendirian kita
    Kerana jika Allah tak tetapkan pendirian & iman kita, kita akan terumbang-ambing, hanyut ikut arus kemungkaran & dalam maksiat!
    Ini sangat bahaya.
    Maka kita sentiasa berusaha agar Allah tetapkan pendirian kita, teguhkan hati kita, mantapkan keimanan kita.
    Iaitu dengan kita sentiasa melakukan ketaatan, berdoa, berzikir, menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya.
    Jika tidak dengan pertolongan & limpah kurnia Allah, kita akan hanyut seperti mereka yang dalam kehanyutan dalam dunia syahwat & kerakusan dunia.
    Kita semua tahu bagaimana rakusnya nafsu & dunia menguasai manusia jika kita jauh dari Allah SWT!
    Ya Allah tetapkan hati kami, mantapkan iman kami, atas ketaatan & agama ini serta berpaksikan al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
  1. Ayat 12- {(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun;…}-

    Allah kata Dia akan campakkan ke dalam hati orang kafir rasa gerun.
    Telah menjadi Sunnatullah, apabila adanya kumpulan Islam yang bangkit untuk menegakkan agama Allah atas muka bumi ini, menyebarkan tauhid, menjauhkan manusia daripada syirik dan menegakkan manhaj gaya hidup atas agama Allah, Allah akan beri pertolongan, kekuatan jiwa & rasa gerun dalam hati musuh.
    Pertolongan Allah itu boleh jadi dalam pelbagai cara, antaranya:
    i- Allah tetapkan hati orang mukmin, mantapkan semangat & keimanan mereka;

    ii- Campakkan rasa gerun dalam hati musuh & kafir. Ini satu pertolongan yang amat besar.

    Sebagaimana hadis riwayat dari Jabir bin Abdullah RA bahawa beliau bersama Rasulullah SAW dalam satu ghazwah yang menuju ke Najd.
    Dalam perjalanan pulang, apabila mereka sampai di kawasan hutan yang ditumbuhi dengan pokok-pokok berduri, Rasulullah SAW turun dari tunganggannya untuk berehat, lalu para sahabat juga bertebaran untuk mencari tempat berteduh masing-masing.
    Rasulullah SAW berteduh di bawah sebatang pokok dan mengantungkan pedangnya pada pokok tersebut lantas kami pun tertidur seketika. Tiba-tiba kami mendengar suara Rasulullah SAW memanggil kami. Kami dapati di hadapan Baginda seorang badawi kafir.
    Baginda Rasulullah SAW bersabda:

    Dia telah mencuri pedangku ketika aku sedang tidur, apabila aku terjaga aku dapati sebilah pedang terhunus dihadapanku & dia berkata: ”Siapakah yang dapat melindungi kamu Muhammad dari pedang ini?
    Baginda SAW menjawab: Allah yang menjagaku, sebanyak 3 kali lantas orang itu terduduk dan jatuh pedangnya.
    Rasulullah SAW tidak menghukum dengan perbuatannya itu
    . [HR Bukhari].
    Kita ini pejuang kebenaran & penegak Sunnah; kena mantapkan iman, kuatkan semangat & berani menyatakan kebenaran.
    Contoh hakikat yang kita dapat lihat hari ini: Antara perlawanan antara umat Islam Palestine & Yahudi, yang mempunyai senjata yang canggih, sebenarnya gerun & takut kepada Palestin walaupun mereka hanya guna anak batu dan senjata yang tidak seberapa.
    Inlah contoh Allah telah campakkan ke dalam hati mereka perasaan gerun & gentar yang merobek hati mereka.
  1. Ayat 12- {(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: …}-

    Allah perintahkan malaikat untuk turun membantu tentera Islam.
    Peranan malaikat dalam hidup manusia ini amat besar & banyak.
    Terdapat beberapa hadis Nabi yang menyebut bahawa malaikat ini hadir bersama kita:
    i- Antaranya dalam peperangan Allah hantar mereka untuk menguatkan tentera, lalu umat Islam menang dengan pertolongan malaikat.

    ii- Dalam majlis ilmu, Allah hantar malaikat untuk bawa rahmat kepada mereka yang menghadirinya.
    Malaikat hadir dalam majlis ilmu, dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id RA bahawa Baginda SAW bersabda:
    لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ المَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عليهمِ السَّكِينَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَن عِنْدَهُ
    Maksud: “Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingat) Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi rahmat, ditutunkan sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya.” (HR Muslim, no. 2700)
    Terdapat beberapa kumpulan manusia yang didoakan malaikat, boleh dengar Kuliah ini:
    https://youtu.be/SwqHYSv3-LA?si=S0vL2virn2E129b
    Apakah hikmah malaikat turun berperang sehingga 1000 bilanganya itu?
    Tidakkah cukup jika hanya Jibril saja atau mana-mana malaikat turun membawa azab & membinasakan tentera kafir seluruhnya???

    Jawapan:
    Allah nak beritahu bahawa peperangan ini adalah satu kemuliaan untuk Rasulullah SAW & tentera Islam.
    Bahawa kemenangan ini adalah kerana jihad & usaha mereka, kemuliaan manusia bukan kemuliaan untuk malaikat.
    Malaikat hanya datang membantu & menguatkan semangat jihad tentera Islam. Walaupun ada malaikat yang turut berjuang.
    Biar tentera kafir merasa kehinaan & kekalahan itu di tangan orang Islam!
    Muka-muka ini yang menzalimi orang Islam di Makkah dahulu.
  1. Ayat 12- {Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun;…}-

    Allah kata Dia akan campakkan ke dalam hati orang kafir perasaan gerun.
    Persoalan:
    Kenapa Allah tak sandarkan mencampakkan ketakutan & gerun itu oleh malaikat, tetapi Allah kata Dia sendiri yang campakkannya.
    Jawapan:
    Ini kerana malaikat yang Allah hantar itu hanya sebagai pembantu, penyokong sahaja, bahawa mereka tidak layak untuk buatnya.
    Allah yang campakkan (سَأُلْقِى) perasaan gerun itu, Allah sendiri bukan malaikat!
    Ia juga menunjukkan bahawa semua itu berlaku dengan taqdir & kuasa Allah!
    Kata ulama’ tafsir juga : Penggunaaan perkataan campak {سَأُلْقِى} ini untuk menunjukkan bahawa sekali Allah campak, habis masuk ke dalam hati semua orang kafir!
  1. Ayat 12- {… oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh)…}-

    Allah perintahkan tentera Islam untuk memancung atau memenggal leher musuh sehingga mati dalam peperangan.
    Ini kerana apabila putus leher pastilah akan mati terus.
    Kerana itu dalam Islam jika kena hukum qisas balas bunuh, beginilah caranya dipancung leher agar terus mati. Bukan seperti hukuman sekular gantung, tembak, kerusi letrik dan sebagainya yang menyiksakan.
    Allah juga nyatakan sebab mereka kena azab ini kerana mereka lawan Allah & Rasul-Nya.
    Allah juga kata kepada kafir untuk merasakan dulu {فَذُوقُوهُ} azab atas dunia ini.
    Iaitu sebelum mati kamu, atas dunia akan merasai dulu secebis azab siksaan dan perasaan takut & hina.
    Rasa itu adalah baru permulaan azab, bukan azab sepenuhnya lagi.
    Kerana di Akhirat kelak mereka akan diazab disiksa lagi di neraka yang lagi dahsyat dan berganda azabnya.
    Jadi sebagaimana kita buat analogi tadi:
    i- Rasa (kecap/cicip) makanan hanyalah sedikit sahaja dulu, bukan makan sehingga kenyang.

    ii- Begitulah azab yang Allah berikan atas dunia ini, hanya secebis atau sebahagian yang amat kecil sahaja berbanding dengan azab neraka di Akhirat kelak. Wal-‘iyazu billah.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs