View Categories

(07) Surah Al-Anfal : Ayat 17-19

Allah SWT Yang Tolong Tentera Badar, Meruntuhkan Keegoan Kafir & Jangan Cuba Ganggu Lagi.

Full video : https://youtu.be/U9Oif83kpko?si=F4ur_HnptqPtDzZH

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 17 sehingga 19 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa semua yang berlaku adalah dengan izin Allah.
    Sepertimana dalam peperangan Badar ini walaupun pada zahirnya kamu yang berperang atau lontar tetapi hakikatnya ia merupakan ketentuan Allah SWT, dengan pertolongan dan kuasa Allah.
    Serta Allah beri kepada mukmin pengurniaan yang baik iaitu kemenangan dalam perang Badar, walaupun bilangan tidak ramai tetapi kejayaan yang dicapai besar!
  1. Kemudian Allah nyatakan betapa sombong & egonya Abu Jahal ketika datang ke Badar dengan doanya yang angkuh menyangka dia benar & Nabi SAW salah; lalu Allah meruntuhkan keegoan kafir dengan kekalahan yang amat menghina.
  1. Kemudian Allah bagi amaran kepada orang kafir agar jangan cuba ganggu lagi orang Islam atau Allah akan ambil tindakan, kamu kacau lagi, kamu akan kena akibatnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT larang orang beriman dari meninggalkan medan perjuangan, lari dari musuh atau berpaling belakang lari dari musuh!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan tak perlu kamu lari; jika Allah nak buat kamu kena kamu akan kena!
    Maka datang ayat ini nak beritahu kepada kamu agar sabarlah, pertolongan Allah SWT bersama kamu!
    Sedikit atau ramai bilangan kamu, jika tidak mendapat pertolongan Allah, tetap tidak akan menang!
    Ia juga menceritakan kepada orang Islam bahawa sifat tawakkal itu kena tinggi!
    Inilah pegangan kita ahli Sunnah; Semua perbuatan kita memang kita yang buat tetapi semua itu di bawah taqdir Allah SWT!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 17- {MAKA BUKANLAH KAMU YANG MEMBUNUH MEREKA, AKAN TETAPI ALLAH JUALAH YANG MENYEBABKAN PEMBUNUHAN MEREKA. DAN BUKANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) YANG MELEMPAR KETIKA ENGKAU MELEMPAR, AKAN TETAPI ALLAH JUALAH YANG MELEMPAR (UNTUK MEMBINASAKAN ORANG-ORANG KAFIR), DAN UNTUK MENGURNIAKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DENGAN PENGURNIAAN YANG BAIK (KEMENANGAN) DARIPADANYA. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.} (AL-ANFAL 8:17)

  1. Allah menyatakan wahai orang beriman, walaupun pun pada zahirnya kamu yang berperang & memenggal, tetapi ingatlah Allah yang memberi pertolongan kepada kamu lalu kamu menang!
    Bukan kamu yang melempar, membunuh atau menyerang musuh dengan semata-mata kekuatan kamu; tetapi semua itu dengan kuasa & kehendak Allah yang memberi kamu pertolongan & kekuatan.
  1. Nota: Dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW telah berdoa ke hadrat Allah memohon pertolongan-Nya lalu mengambil segenggam pasir dan melemparnya ke arah tentera musuh. Lalu dengan kuasa Allah pasir itu masuk ke dalam mata semua tentera musuh lalu tentera Islam mencapai kemenangan.
    Itulah dengan kuasa Allah, jika hanya perbuatan manusia mana pasir boleh terbang & sampai kepada semua musuh begitu.
  1. Allah beri pertolongan kepada kamu sehingga kamu menang.
    Allah yang memberi sebab untuk kamu menang, sebabnya adalah:
    i- Kamu (Nabi SAW) berdoa memohon pertolongan maka Allah perkenan & bantu.

    ii- Nak kuatkan semangat Allah hantar malaikat turun.

    iii- Nak suruh tenang suasana Allah turunkan hujan.

    iv- Supaya hilang keresahan, Allah bagi perasaan mengantuk lalu tertidur.
    Ini antara pertolongan Allah, sebagaimana yang kita bincangkan pada awal ayat dulu, ada 7 nikmat yang Allah anugerahkan kepada tentera Badar!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT :
    i- {Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).} (A-li’Imran 3:123)
    Jika Allah beri pertolongan, kamu lemah atau sedikit, kuat atau banyak, akan menang!

    ii- {“Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”.} (Al-Baqarah 2:249)
  1. Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa:
    i- Wahai tentera Islam, kamu berjaya membunuh & mengalahkan musuh bukan semata-mata kerana kekuatan kamu tetapi Allahlah yang memenangkan kamu dan Dialah yang membunuh mereka dengan jalan memberikan kekuatan pada kamu dan meniupkan ke dalam jiwa orang-orang kafir itu rasa takut dan gentar.
    {فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ قَتَلَهُمْ}

    ii- Dan demikian pula bukan engkau wahai Nabi Muhammad SAW, yang melempar batu-batu kecil ketika engkau melempar, tetapi Allah yang melempar dengan menyampaikan lemparanmu itu ke muka orang-orang musyrik, kerana akibat dari lemparan itu tidak mungkin terjadi jika yang melakukannya makhluk biasa.
    {وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ رَمَىٰ ۚ}
    Sabab nuzul ayat ini:
    Dijelaskan oleh para ulama dan ahli hadis, ayat tersebut menceritakan bahawa Rasulullah SAW dalam Perang Badar mengambil segenggam tanah dan pasir, lalu melemparkannya ke wajah pasukan kafir seraya berkata :
    شاهت الوجوه!
    Semoga wajah kamu rosak!”
    Kemudian tanah itu pun masuk ke mata seluruh kaum musyrik sebagaimana ungkapan ‘Semoga wajah kalian rusak!’ masuk ke telinga mereka.
    Akibatnya, mereka sibuk membersihkan mata dari tanah lalu mundur, meskipun mereka sebenarnya berada dalam posisi menyerang.

    [HR Ahmad dalam al-Musnad, Ibnu Saad dalam ath-Thabagût al-Kubrâ, Ibnu Hibban dalam as-Sahih, dan at-Tabarani].

    Lalu untuk mengingatkan orang beriman akan kekuasaan Allah, Allah SWT berfirman kepada: {Ketika kamu melempar tanah dan ia sampai pada mata mereka, itu bukan dengan kekuatanmu, akan tetapi ia sampai kepada mereka dengan kekuatan dan kemampuan kami.}

    iii- Allah berbuat demikian untuk membinasakan kaum musyrikin dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin yang mantap imannya, dengan kemenangan yang baik.
    Allah SWT telah mengurniakan kepada orang mukmin nikmat dan pengurniaan yang baik {وَلِيُبْلِىَ ٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَآءً حَسَنًا ۚ}.
    Sepakat ulama’ tafsir berkata : Bala di sini bermaksud nikmat, bala yang baik.

    iv- Sungguh, Allah Maha Mendengar doa dan permohonan Nabi SAW yang penuh khusyuk, pengharapan & penuh semangat dengan jiwa & raga. Allah juga mendengar & mengetahui baik yang disembunyikan mahupun yang dinyatakan.
    {إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ}

    v- Allah juga Maha Mengetahui apa yang lebih baik untuk hamba-Nya.
    Lalu Allah memperkenankan doa Nabi SAW dan mengurniakan kemenangan kepada tentera Islam.
    Mata mereka masuk pasir, hati mereka gerun, semua itu perancangan yang disusun oleh Allah SWT untuk membatalkan perancangan puak kafir & mengalahkan mereka dalam Perang yang besar itu!
    Badar itu adalah satu mercu tanda yang besar (بدر الكبرى)- hari pemisah antara yang haq & batil, hari pertembungan dua pihak!
    Besar dari sudut psikologinya, infaq dan kesannya.
  1. Inilah pegangan kita, apa yang kita buat semuanya dengan kuasa Allah SWT.
    Apa yang penting kita usaha dulu kemudian bertawakkall lah kepada Allah.

AYAT 18- {DEMIKIANLAH (CARANYA NIKMAT YANG DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU), DAN SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MELUMPUHKAN TIPU DAYA ORANG-ORANG YANG KAFIR.} (AL-ANFAL 8:18)

  1. Antara nikmat Allah juga melemahkan kekuatan tentera kafir dan melumpuhkan tipu-daya mereka, mencampakkan perasaan gerun & takut ke dalam hati mereka!
  1. Yakni Allah SWT membatalkan perancangan jahat puak kafir untuk menghapuskan orang Islam, dengan mengalahkan mereka lalu menanglah tentera Islam.

AYAT 19- {JIKA KAMU (HAI ORANG-ORANG MUSYRIK) MEMOHON SUPAYA DIBERI KEMENANGAN (BAGI PIHAK YANG BENAR) MAKA SESUNGGUHNYA KEMENANGAN (YANG KAMU POHONKAN) ITU TELAH DATANG (DAN DISAKSIKAN OLEH) KAMU; DAN JIKA KAMU BERHENTI (DARIPADA MEMUSUHI NABI MUHAMMAD, SAW) MAKA YANG DEMIKIAN AMAT BAIK BAGI KAMU, DAN JIKA KAMU KEMBALI (MEMUSUHINYA), KAMI JUGA KEMBALI (MENOLONGNYA MENGALAHKAN KAMU); DAN GOLONGAN (ANGKATAN PERANG) KAMU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENYELAMATKAN KAMU SEDIKITPUN, SEKALIPUN IA LEBIH RAMAI; DAN (YANG DEMIKIAN ITU ADALAH KERANA) SESUNGGUHNYA ALLAH BESERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-ANFAL 8:19)

  1. Ayat ini menyatakan tentang Abu Jahal yang berdoa pada malam perang Badar untuk kemenangan pihak musyrikin, tetapi sebaliknya Allah beri kemenangan itu kepada pihak Islam!
  1. Dalam suatu riwayat ada dinyatakan bahawa Abu Jahal pernah meminta kemenangan kepada Allah ketika pasukannya bertemu dengan pasukan kaum Muslimin.
    Dia berdoa:
    “Ya Allah siapakah yang sebenarnya yang memutuskan silaturrahim dan datang membawa ajaran yang tidak dikenali. Buktikanlah kemusnahannya esok.

    ltulah permintaan kemenangan yang disebut Allah di dalam ayat ini (Surah Al-Anfal: 8:19). [Diriwayatkan oleh al Hakim dari Abdullah bin Tha’labah bin Shair].

    ii- Dalam riwayat lain pula ada dinyatakan bahawa Abu Jahal berdoa:
    Ya Allah berilah pertolongan kepada yang paling mulia di antara dua golongan ini, yang paling terhormat di antara dua pasukan ini.”
    Maka turunlah ayat ini (Surah Al-Anfal: 8:19)
    Sebagai penjelasan bahawa kemenangan adalah di pihak kaum Muslimin yang paling mulia dan terhormat.
    (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Athiyah)
  1. Allah telah beri amaran kepada pihak kafir Quraisy, jika kamu berhenti daripada memusuhi Nabi Muhammad SAW adalah lebih baik bagi kamu!
    Ini kerana kamu kenal Baginda sebagai seorang yang sentiasa benar, jujur & amanah, kamu yang tabalnya!
  1. Jika kamu kembali menentang, melawan Nabi SAW dan berpegang dengan kekufuran & kesesatan kamu, kami akan kembali untuk menentang kamu & memberi pertolongan kepada Nabi SAW!
    Allah bagi amaran, kamu bangkit, akan dilawan!
    Ramainya bilangan kamu tidak akan menjamin kemengangan bagi pihak kamu!
  1. Memang keadaan dalam peperangan Badar itu adalah memihak kepada tentera musyrikin Quraisy dengan 3 nisbah 1, yakni tentera musyrikin adalah 3 kali ganda daripada tentera Islam dari segi bilangan jumlah tentera serta kelengkapan senjata dan persediaan yang lebih besar.
  1. Jika dilihat dari segi logik akal pastilah tentera Islam akan kalah tetapi kerana Allah SWT bersama orang mukmin dengan pertolongan dan bantuan-Nya, maka orang mukmin yang menang!
  1. Jangan ingat kerana kita tidak ramai kita lemah!
    Kerana tidak semestinya yang ramai itu betul atau menang!
    Ramailah setara mana musuhpun jika Allah bersama kita, orang mukmin akan menang!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 17- {Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka.}-

    Dalam ayat ini Allah nyatakan bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka!
    Maka kamu jangan dok bangga besar kepala berasa kamu hebat & kuat, kerana kamu membunuh mereka bukan kerana kekuatan kamu semata-mata, tetapi Allah yang memberi pertolongan dan bantuan.
    Iaitu Allah hantar tentera malaikat turun membantu & Allah campakkan perasaan gerun ke dalam hati musuh, serta banyak lagi pertolongan yang Allah beri lalu kamu mendapat kemenangan!
    Nabi SAW telah berdoa minta agar Allah tunaikan apa yang Dia telah janjikan dari awal lagi iaitu pertolongan & kemenangan bagi pihak Islam.
    Ulama’ juga berkata : Ayat ini menolak fahaman qadariyah yang mengatakan tidak ada taqdir, semua perkara berlaku dengan sendirinya!
    Dalam ayat ini Allah sandarkan & nyatakan dengan jelas, Allah yang membunuh mereka, yakni sebab kematian mereka itu Allah yang tentukan bukan hanya terjadi begitu saja
    Pegangan ahli Sunnah; Kita yakin & percaya, beriman kepada qadha’ & qadar Allah SWT, bukan bermudah-mudah.
  1. Ayat 17- { Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir),}-

    Allah katakan Nabi SAW yang lontar/lempar tetapi kesannya tak tau!
    Seperti kita ambil kayu atau batu lalu lontarnya; tetapi kena atau tidak kita tak tahu hasilnya!
    Yakni Allah kata walaupun Nabi SAW yang melempar pasir atau batu itu, tetapi kesannya, hasil natijahnya, Allah yang beri, Allah yang tentukan
    Allah yang berikan segalanya jangan kita begitu yakin, Allah telah ingatkan hatta kepada Nabi SAW pun, bukan kamu yang lontar tetapi Allah yang melontar, menyampaikan segenggam pasir kepada muka-muka seluruh orang kafir sehingga melemahkan mereka.
    Cukup bahaya jika kita sandarkan segala hasil perkara yang terjadi kepada diri kita.
    Sayalah begitu, sayalah begini!
    Kerana kita akan menjadi sombong, takabbur & angkuh.
    Jangan begitu, kita kena tawadhuk.
    Segala yang buat ini hanyalah sebagai satu usaha, tetapi yang meluluskannya, yang membei kesan hanyalah Allah SWT!
    Kerana itu kita kena sentiasa bersyukur, banyak insaf & muhasabah diri, ingat kepada pertolongan Allah SWT, barulah kita jadi orang yang sedar, bersyukur & tawadhuk kerana kita tahu Allah yang bantu kita!!!
  1. Ayat 19- {Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu;…}-

    Puak kafir & Abu Jahal telah berdoa kepada Allah dengan penuh kesombongan, memohon untuk memberi kemenangan kepada mereka sebagai pihak yang benar & mengalahkan Nabi SAW!
    Maka Allah perkenankan doa itu, Allah beri kemenangan kepada pihak yang benar iaitu kepada Rasulullah SAW & pihak Islam!
    Maka sekarang kamu sudah saksikan, kamu lihat di depan mata kamu sendiri, bahawa Nabi SAW yang menang, Abu Jahal telah tewas, maka itu bermakna Nabi SAW yang benar!
    Dalam suatu riwayat ada dinyatakan bahawa Abu Jahal pernah meminta kemenangan kepada Allah ketika pasukannya bertemu dengan pasukan kaum Muslimin.
    Dia berdoa:

    Ya Allah siapakah yang sebenarnya yang memutuskan silaturrahim dan datang membawa ajaran yang tidak dikenali. Buktikanlah kemusnahannya esok.” (yakni dimaksudkanya Nabi SAW).
    ltulah permintaan kemenangan yang disebut Allah di dalam ayat ini (Al Anfal: 8:19). [Diriwayatkan oleh al Hakim dari Abdullah bin Tha’labah bin Shair].

    ii- Dalam riwayat lain pula ada dinyatakan bahawa Abu Jahal berdoa:
    “Ya Allah berilah pertolongan kepada yang paling mulia di antara dua golongan ini, yang paling terhormat di antara dua pasukan ini.”
    Maka turunlah ayat ini (Surah al Anfal: 8:19)
    sebagai penjelasan bahawa kemenangan adalah di pihak kaum Muslimin yang paling mulia dan terhormat. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dari Athiyah)
    Maka Abu Jahal minta ditunjukkan kebenaran, minta binasa Nabi SAW, maka Allah tunjukkan kebenaran dengan menang Nabi SAW & umat Islam serta musnahkan dia & tenteranya dengan kekalahan dan kematian yang besar!
    Menunjukkan orang kafir pun berdoa kepada Allah, tetapi doa mereka bukan untuk kebaikan & ikut agama.
    Kita pun berdoalah kepada Allah untuk bantu kita umat Islam mendapat kemenangan, dapat melaksanakan undang-undang Syari’ah atas muka bumi ini walaupun tidak sepenuhnya, hapuskan judi, tempat maksiat, pelacuran & riba!! Amin ya Rabb!!
  1. Ayat 17- {… Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.}-

    Allah menegaskan bahawa Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
    Ulama’ tadabbur kata : Kita berpegang dengan ayat ini bahawa Allah bersifat Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui, supaya kita takut, kita gerun kepada Allah!
    Jika kita sedar bahawa Allah tahu & dengar semua perkara; kita tidak akan minta perkara yang tidak baik, tidak akan berbuat perkara yang buruk, mencela mencaci orang atau rosakkan niat kita.
    Yang penting kita kena tahu bahawa Allah tahu apa yang dalam & luar hati kamu maka jangan kamu berani buat dosa maksiat, mungkar dan semuanya.
    Ini kerana semua perkara adalah sama bagi Allah, yang zahir & yang tersembunyi, malam & siang, yang dalam tanah & atas tanah, bagi ilmu Allah hanya satu!!!
    Ayat ini adalah ayat tasawuf, kerana apabila kita sedar bahawa Allah SWT tahu apa yang zahir & yang tersembunyi, yang di luar atau di dalam hati maka kita sesekali tidak akan berani untuk buat dosa maksiat dan kemungkaran, tidak berani untuk ada niat tersembunyi yang boleh merosakkan hati & amal kita!!
    Peringatan: Jika kita nak menderma, bersedekah, hati-hati; pilihlah medium atau pihak NGO yang dapat dipercayai & amanah.
    Jika kita tahu mereka mengenakan peratus-peratus atas derma orang ramai, kita jauhi, carilah yang lain!
    Berhati-hatilah perangkap iblis ini amat merbahaya!
  1. Ayat 19- {…. Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai;…}-

    Allah katakan di sini ramai atau besar bilangan tak semestinya menang, sedikit tidak semestinya kalah.
    Ramai juga tak semestinya kuat, ramai tak semestinya betul, sedikit tak semestinya lemah atau salah!
    Betul salah dalam perjuangan menegakkan agama ini adalah berdasarkan kepada al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang kita pegang.
    Kekuatan yang kita ada ini hanya yang zahir sahaja, kekuatan yang sebenar adalah pertolongan & apa yang diberi & yang ditaqdirkan Allah SWT!
    Maka dalam ayat ini Allah peringatkan kepada tentera Islam agar kamu jangan sombong, jangan bangga, jangan agah, kerana walaupun kamu ramai kamu tidak semestinya betul, tidak semestinya kuat!
    Perjalanan Islam juga bermula dengan gharib (asing), ketika di Makkah hanya Rasulullah SAW bersama beberapa orang sahabat yang lemah lagi sedikit!
    Islam hanya kuat & ramai apabila Nabi SAW mengambil Kota Makkah.
    Apabila kamu sudah menang maka jangan lupa untuk bertasbih kepada Allah!
    Jangan lagha jangan hanyut, kita hanya hamba Allah yang menjalankan tugas yang diberi oleh Allah Azza wa Jalla.
    Kita mengharapkan dengan usaha-usaha yang kita lakukan, untuk menyebarkan kefahaman al-Quran, untuk menyebarkan Sunnah Nabi SAW, menegakkan yang haq & menghapuskan yang batil, kita harap Allah SWT menerima keikhlasan & perjuangan kita.
    Usah pedulikan halangan-halangan yang ada, kerana apabila Allah redha kepada kita, semua yang lain itu kecil!
    اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ.
    Ya Allah! Bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalanku dari perasaan riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.”

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs