View Categories

(08) Surah Al-Anfal : Ayat 20-23

Taatlah Kepada Allah SWT Dan Rasul SAW, Kafir Tuli Dari Mendengar Kebenaran & Menjauhinya.

Full video : https://youtu.be/BxfW5oq95_g?si=6eUsnaV0-kjjg_-N

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 20 sehingga 23 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam ayat yang mulia ini Allah SWT perintahkan orang beriman agar taatlah kepada Allah SWT dan Rasul SAW, jangan sesekali menjauhi & membelakangi arahan Allah & Rasul yang sudah sampai kepada kita!
  1. Jangan kita jadi seperti makhluk yang jahat atas dunia ini iaitu kafir yang membuta & mentulikan telinga dari mendengar kebenaran dan mereka menjauhinya.
    Mereka juga tidak guna akal fikiran untuk berfikir tentang keEsaan & keagungan Allah SWT.
  1. Allah juga kata jika dalam ilmu-Nya Allah tahu seseorang itu baik; Allah akan berinya hidayah!
    Tetapi apa boleh buat Allah telah gazet tulis dalam suratan catatan di Lauh mahfuz bahawa orang itu tidak baik; maka dia tidak akan dapat hidayah!
    Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana kita termasuk antara manusia yang baik atas dunia ini, yang beriman kepada Allah & Rasul-Nya.
    Maka jagalah rukun-rukun yang Allah perintahkan seperti iman, Islam & Ihsan juga akhlak supaya kita selamat di dunia & aman di Akhirat insya’ Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT perlihatkan kepada orang mukmin tanda-tanda kasih-sayangnya & Allah jaga hamba-nya yang beriman.
    Betapa besarnya pahala para sahabat yang taat kepada arahan Nabi SAW untuk keluar ke Badar, taat ketika berhadapan dengan Abu Jahal yang telah Allah tentukan.
    Betapa sahabat memberi akuan taat setia akan ikut ke mana saja Nabi SAW pergi & perintahkan.

    ii- Maka datang ayat ini; jika kamu sudah merasa hasil nikmat kemenangan hasil dari pertolongan Allah SWT, maka Allah beri perintah untuk memperkuatkan tanggungjawab orang yang beriman dengan menyuruh kamu akur, taat patuh kepada perintah Allah & Rasul-Nya SAW!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 20- (WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! TAATLAH KEPADA ALLAH DAN RASULNYA DAN JANGANLAH KAMU BERPALING DARIPADANYA, SEDANG KAMU MENDENGAR (AL-QURAN YANG MEWAJIBKAN TAATNYA).} (AL-ANFAL 8:20)

  1. Allah menyeru orang beriman agar bertaqwa & patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya SAW.
  1. Erti taqwa ialah buat segala yang diperintahkan & tinggalkan segala yang dilarang.
    Serta melakukan segala perintah itu dengan akur, taat, menyerah diri bulat-bulat serta redha dengan ketentuan Allah SWT!
    Jika buat juga tetapi sambil merungut & tidak redha dan ikhlas-itu bukan akur & patuh!
    Bukan cara orang beriman dan berserah kepada Allah.
  1. Jika dengar saja tetapi tidak ikut, tidak patuh & akur, bahkan lari ketaatan dengan melanggar perintah Allah & perintah Nabi SAW, meninggalkan segala ketaatan dan melakukan segala yang dilarang, itu dikira tidak dengar & tidak taat.

AYAT 21- {DAN JANGANLAH KAMU MENJADI SEPERTI ORANG-ORANG (KAFIR DAN MUNAFIK) YANG BERKATA: “KAMI DENGAR”, PADAHAL MEREKA TIDAK MENDENGAR (TIDAK MAHU MENERIMA DAN MEMATUHINYA).} (AL-ANFAL 8:21)

  1. Allah menegaskan; Jika kamu dengar sahaja, tetapi tidak mahu menerima & patuh kepada perintah Allah, maka seolah seperti orang kafir atau haiwan lembu yang sekadar dengar saja tetapi tidak berbuat apa-apa!
    Kafir musyrikin Arab faham & tahu apabila mendengar al-Quran kerana itu bahasa mereka. Maka mereka dengar saja tanpa menerimannya.
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah larang berpaling daripada arahan Allah & Rasul-Nya, tidak mahu dengar & patuh kepada perintah Allah

    ii- Datang ayat ini Allah buat bandingan orang yang bersifat begini dengan kumpulan yang tercela; iaitu seperti orang-orang kafir dan munafik yang mengaku mereka dengar tetapi tidak mahu menerima dan mematuhinya!!
  1. Allah berpesan kepada orang beriman jangan kamu bersifat dengan sifat dengar tetapi tidak ikut; seperti orang musyrikin.
    Bahkan mereka juga membuat tuduhan jahat terhadap Nabi SAW seperti gila, ahli sihir & penyair.
  1. Mereka kaum musyrikin ini yang apabila mendengar dengan telinga mereka ayat-ayat al-Quran yang dibaca mereka berkata:
    i- Kami dengar! Tetapi pada hakikatnya mereka tidak mengambil pengajaran & iktibar dari apa yang mereka dengar.

    ii- Juga mereka tidak berfikir dengan ayat-ayat Allah.

    iii- Lalu mereka tidak dapat manfaat daripadanya, tidak dapat faedah & pengajaran!!
  1. Mereka ini dianggap sebagai kategori orang yang tidak dengar, tuli daripada kebenaran walaupun mereka tidak tuli dari segi pendengaran.
    Kita tidak boleh dengar & ambil kira dakwaan, kami dengar tetapi tidak ikut! Itu satu dakwaan bodoh & sia-sia.
  1. Inilah yang kita takut, anak-anak orang Islam yang dengar al-Quran sejak dari lahir lagi, rumah pula dekat masjid, boleh kata hari-hari dengan al-Quran, tetapi bila besar tak ikut! Inilah yang dikira dengar tetapi tak ikut.

AYAT 22- {SESUNGGUHNYA SEJAHAT-JAHAT MAKHLUK YANG MELATA, PADA SISI (HUKUM DAN KETETAPAN) ALLAH, IALAH ORANG-ORANG YANG PEKAK LAGI BISU, YANG TIDAK MAHU MEMAHAMI SESUATUPUN (DENGAN AKAL FIKIRANNYA).} (AL-ANFAL 8:22)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sifatkan orang kafir yang mendengar tetapi tidak mahu ambil faedah adalah seperti orang tuli tak boleh dengar & bisu tak boleh cakap!

    ii- Maka Allah gambarkan mereka yang begitu perangainya adalah seburuk-buruk manusia & makhluk yang melata atas muka bumi, makhluk yang bisu & pekak, tidak mahu guna akal fikiran!!!
  1. Allah buat satu analogi yang begitu buruk & berat. Keras sekali ayat ini: Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata atas muka bumi ini ialah orang pekak lagi bisu tidak mahu dengar kebenaran daripada ayat-ayat Allah.
    Iaitu orang kafir sama ada kaum musyrikin di Makkah, kaum munafiq di Madinah dan termasuk juga orang Islam yang derhaka!.
  1. Ulama’ kata ayat : Ini ditujukan kepada bani Abd-Dar di Makkah, Ibnu Kathir rhm, kata tiada percanggahan, ia boleh jadi semua orang kafir sama ada kaum musyrikin di Makkah, kaum munafiq di Madinah dan semuanya.
  1. Setiap orang yang tak mendpaat manfaat dari ayat-ayat yang memberi manfaat kepada mereka, kumpulan ini Allah bandingkan mereka seperti haiwan yang tuli & bisu, dengar saja tak mahu ikut, lihat saja tetapi tak mahu terima kebenaran!
    Akal pula tidak berfungsi tidak mahu patuh kepada perintah Allah SWT!
  1. Firman Allah SWT juga tentang mereka ini:
    {Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.} (Al-Baqarah 2:171)
    Yakni segala panca indera mereka tidak berfungsi, ada telinga tuli, ada akal terbantut!
  1. Bahkan dalam ayat sebelum ini juga Allah berfirman dengan keras:

    {Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.} (Al-A’raf 7:179)
  1. Kata Ibnu Kathir RHM : Inilah sejahat-jahat makhluk (شر البرية).
    Kerana manusia yang ada akal, ada otak tetapi tidak mahu berfikir pastilah lebih teruk daripada haiwan!!!
    Ini kerana haiwan ia tidak ada otak, tetapi mereka akur kepada Allah.

AYAT 23- {DAN KALAULAH ALLAH MENGETAHUI ADA KEBAIKAN PADA MEREKA, TENTULAH IA MENJADIKAN MEREKA DAPAT MENDENGAR; DAN KALAU ALLAH MENJADIKAN MEREKA DAPAT MENDENGAR JUGA (DENGAN KEADAAN YANG DEMIKIAN), NESCAYA MEREKA TIDAK MENERIMANYA SAMBIL MEMALINGKAN DIRI.} (AL-ANFAL 8:23)

  1. Allah mengatakan jika Allah tahu seseorang itu ada kebaikan, Allah akan beri kepadanya kefahaman!
    Tetapi apa boleh buat mereka telah digazet mereka sebagai manusia yang tidak beriman, yang celaka dunia & Akhirat.
    Mereka ada telinga yang mendengar tetapi tidak menerima.
  1. Bahkan Allah kata jika diperdengarkan kepada mereka al-Quran, apa yang diucapkan kepada Nabi SAW, tetapi kerana hati mereka penuh dengan kebatilan & kesongsangan, mereka maka tidak ada faedahnya!
    Maka Allah tidak perdengarkan kepada mereka kerana tidak ada faedah, kalau dengar pun mereka lari, yakni sia-sia saja!
  1. Yang kita bimbangkan hari ini belajarnya banyak, mengajinya banyak, tetapi tidak beramal!!!!
    Ayat ini menjadikan kita bimbang & takut juga kerana kita tahu apa yang ada, apa yang Allah tetapkan di akhir hayat kita!
  1. Maka menjadi kewajipan kepada kita, sentiasa beriman, beramal & berdoa kepada Allah agar Allah masukkan kita dalam kalangan orang yang beriman dan mati dalam husnul khatimah.
  1. Antara doa yang diajar oleh Nabi SAW :
    اللهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ وَعَلى طَاعَتِكَ.
    “Wahai Tuhan yang membolak-balik hati, teguhkanlah kami di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu.
    Jika tak berdoa kita rugilah.
    Rugi besar jika kita tidak mengambil peluang besar yang diberikan Allah SWT!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 20- (Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya…}-

    Allah mulakan ayat ini dengan seruan dan panggilan kepada orang yang beriman!
    Allah seru: Wahai orang-orang beriman, kerana Allah nak hamba-Nya beri perhatian dan ambil pengajaran dari apa yang nak disampaikan.
    Begitu juga kita secara realitinya, jika nak buat pengumuman, kita kena pastikan orang dengar.
    Jika dalam keadaan bising dan hingar-bingar kita buat pengumuman pastilah orang tak dengar & tak ambil hirau!
    Maka tak sampailah maksud yang ingin disampaikan!
    Begitulah uslub al-Quran yang indah, apabila Allah nak sampaikan perkara penting akan dimulakan dengan seruan.
    Allah juga fokuskan, tujuan seruan itu kepada orang yang beriman!
    Allah kata kamu dengar dan kamu taatlah! Kamu jangan lari!
    Jika kamu dengar tapi kamu pekak, kamu tuli, apa faedahnya?
    Orang yang derhaka itu adalah orang yang diangap tak dengar!
    Walaupun orang itu baca al-Quran, boleh taranum tetapi jika dia tidak beramal dengan al-Quran, tidak patuh kepada Syari’ah; dia dianggap tak dengar!
    Kerana itu Nabi SAW kata ada orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran melaknatnya pula!
    Iaitu dia baca al-Quran tentang zalim, tetapi dia sendiri berbuat zalim lalu dia kena laknat!
    Dia baca al-Quran bahawa Allah melaknat orang yang makan riba, tetapi dia sendiri makan riba, maka dia kena laknat dan seumpamanya!
    Maka Allah seru orang beriman, kamu celik mata, buka telinga, lapang dada, kamu dengar jangan buat seperti tak dengar!
  1. Ayat 21- {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: “Kami dengar”, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).}-

    Kamu jangan jadi seperti orang yang kata dia dengar tetapi sebenar tak dengar!
    Iaitu jangan kamu jadi seperti orang-orang kafir yang mendengar tentang kebenaran Al-Quran lalu mereka faham dan tahu; tetapi mereka tidak mahu beriman dan percaya kepada perintah Allah SWT, mereka tidak taat perintah dan mereka langgar larangan Allah.
    Tidak cukup sekadar mendakwa saja beriman tetapi tindakan yang penting!
    Jangan bercakap tentang Islam, tentang iman tetapi perbuatannya lansung tidak menunjukkan sebagai orang yang beriman!
    Kata ulama’ : Iman itu bukan sekadar angan-angan atau bual-bual sahaja!
    Jika kamu mahu menjadi orang-orang yang beriman yang taat janganlah hanya sekadar angan-angan.
    Kita wajib beramal soleh dan beribadat dengan taat akan semua perintah Allah dan jauhi larangan-Nya.
    Fenomena sekarang, muslimat tak tutup aurat itu sudah menjadi satu perkara biasa (normal)!
    Di mana bapa, suami & abang-abang mereka!
    Jika soal tak tutup aurat ini pun tidak dapat selesai, maka tak usahlah nak bercakap hal-hal yang besar lagi, tentang umah atau negara lain!
    Kita kena bertanggungjawab jangan jadi seperti: {قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ}, iaitu dengar tetapi tidak memberi kesan ke dalam hati, lalu tidak beramal dengannya!
    Sedangkan segala hujjah dan dalil dia sudah tahu!
  1. Ayat 21- {Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: “Kami dengar”, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).}-

    Ada di kalangan manusia yang dia dengar ayat & dia mengaji, ambil subjek Islam, di kolej-kolej dan universiti Islam, tahu semuanya!
    Tetapi malangnya kehidupan mereka terasing daripada Islam.
    Inilah mereka yang mendengar tetapi sebenarnya tidak dengar akan kebenaran ayat-ayat Allah.
    Walaupun ayat ini turun kepada kafir musyrikin & munafiq yang dengar tapi buat tak dengar, ia juga terpakai kepada anak-anak orang Islam yang dengar tapi buat tak tahu!
    Inilah suasana yang bahaya dan zaman yang membimbangkan.
    Mereka belajar tinggi-tinggi, mendapat ijazah tetapi tidak beramal dengan ilmu yang dipelajarinya, maka ilmu itu seolah tidak memberi manfaat & kebaikan kepada mereka!
    Begitu para huffaz penghafaz al-Quran, siap tulis al-hafiz di belakang namanya, tetapi dari sudut amalan dan perangai bukan akhlak pembawa al-Quran dalam diri (حملة القرأن).
    Moga Allah bantu kita semua untuk menjaga, mendidik anak-anak kita & pelajar-pelajar kita untuk beramal dengan al-Quran, beramal dengan Sunnah Nabi SAW dalam ibadat & kehidupannya!
    الله المستعان!
  1. Ayat 22- {Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).}-

    Kenapa Allah kata seburuk-buruk haiwan yang melata atas muka bumi ini adalah manusia yang tak dengar kata??
    Ini kerana Allah beri mereka telinga, mata & hati semuanya ada!
    Tetapi telinga disalah guna untuk mendengar maksiat atau orang mengumpat; mata & mulut tidak digunakan untuk menyatakan kebaikan tetapi digunakan untuk perkara yang buruk bukan untuk berdakwah dan menyebarkan kebenaran agama Allah.
    Maka Allah kata inilah sejahat-jahat makhluk atas muka bumi!

    Dari ayat yang cukup keras ini ulama’ buat dalil bahawa : Boleh kita gunakan haiwan sebagai contoh atau bandingan kepada manusia!
    Sebagaimana dalam ilmu mantiq, manusia dikatakan haiwan yang boleh bercakap!
    Maka janganlah kamu ikut perangai haiwan. Haiwan itu memang jika dia dengarpun tapi dia tak tahu apa- maka kamu orang beriman yang sudah dengar yang sudah tahu; kenapa buat tak dengar kenapa tak ikut arahan & ketetapan Allah SWT.
    Maka kamu akan menjadi lebih buruk daripada haiwan!
    Walaupun ayat ini amat kasar tetapi Allah yang kata ini, bukan kita kata, apabila Allah sendiri yang kata, kita kena terimanya!
    Inilah hakikat, kita boleh lihat pada waktu solat, orang azan, iqamat & solat di masjid, manusia tidak malu lansung kepada Allah, ngap-ngap dok makan di kedai-kedai atau melepak di tepi jalan, tak malu lansung baik kepada manusia atau kepada Allah!
    Seolah seperti lembu kenyang yang tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya!
  1. Ayat 23- {Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar;…}-

    Allah kata jika Aku tahu ada kebaikan padanya, pastilah akan jadikan mereka dengar & ikut kebaikan, yakni dapat hidayah.
    Tetapi apabila sudah tiada kebaikan dalam hati, dengar yang baik pun tidak dapat memberi manfaat kepada mereka, kerana Allah telah tentukannya bahawa mereka tak dapat hidayah Allah!
    Orang yang baik apabila mendengar yang baik akan mendapat faedah yang baik!
    Jangan jadi pendengar yang tidak tahu apa!
    Cerita anak gajah dipijak oleh lori!
    Sehari dua ini tular kisah anak gajah yang mati dipijak oleh lori!
    Ramai orang yang turut sedih melihat ibunya yang menunggu dekat lori sambil menangis.
    Sebagaimana Allah kata Dia telah campakkan ke bumi ini 10% daripada perasaan sayang, pada hari Kiamat kelak Allah sempurnakan rahmat-Nya di kalangan hamba-hamba-Nya.
    Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    Sesungguhnya Allah mempunyai 100 rahmat, 1 di antaranya iaitu rahmat yang menjadikan makhluk itu sayang-menyayangi. Dan yang 99 nanti akan diturunkan pada hari kiamat”. [HR Muslim].

    Dalam riwayat lain dikatakan:
    Sesungguhnya ketika Allah Ta’ala menciptakan langit dan bumi, Allah menciptakan pula 100 rahmat di mana masing-masing rahmat itu memenuhi antara langit dan bumi.
    Kemudian Allah menjadikan 1 daripadanya sebagai rahmat di muka bumi ini, di mana dengan 1 rahmat itulah seseorang ibu mempunyai rasa kasih sayang terhadap anaknya; demikian juga binatang dan burung yang mana salah seeekor di antaranya mempunyai rasa kasih terhadap yang lain. Bila hari kiamat tiba, maka dilengkapkanlah rahmat ini
    ”. [HR Muslim].

    Yakni kita tahu haiwan-haiwan ini ada perasaan, dengan rahmat yang Allah campakkan mereka saling sayang antara satu sama lain, ibu-ibu haiwan sayang kepada anak-anak mereka!
    Tetapi kita jangan berlebih dalam bersedih kepada haiwan ini, sehingga mengatakan semoga anak gajah menunggu ibunya di syurga!
    Jangan dok sibuk kepada gajah, ingatkan dulu nasib kita sudah cukupkah amalan kita atas dunia ini untuk ke syurga??!
    Sebagai maklumat:
    Selepas matinya segala haiwan akan jadi tanah semula & tak akan masuk syurga.
    Hadis: Riwayat daripada Abu Ubaid RA bahawa Nabi SAW bersabda:
    Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya pada hari akhirat kelak. Iaitu setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada mereka (haiwan): ‘Jadilah kamu tanah‘.” [HR Muslim].
    Kata DDAAM :
    Semoga kesedihan ibu gajah boleh menyedarkan anak-anak yang yang tidak pedulikan ibu bapanya pada saat mereka telah tua!
    Kasihilah mereka ketika mereka masih ada, kerana kasih sayang ibu bapa sehingga ke mati serta perbuatan baik akan membawa kita ke syurga!
    Kita saling memerlukan semasa atas dunia ini, curahkan kasih-sayang kepada mereka.
    Anak-anak yang hantar ibu bapa ke pondok dan mana-mana tempat pengajian agama itu baik bukan kerana tak sayang!
    Ibu bapa pun curahkan kasih sayang, jaga & didiklah anak-anak dengan agama & kebaikan jangan pula sayang tak bertempat sehingga rosak anak.
    Hantar belajar agama & pendidikan yang sebaiknya!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs