Ahli Neraka Minta Bantuan Ahli Syurga, Hukuman Diputuskan & Sebab Mereka Diazab.
Full video : https://youtu.be/puXfhLR3qmQ?si=S8pf9uBGGWzaqzKR
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 50 sehingga 51 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa ahli neraka minta bantuan ahli syurga yang mereka kenal, mereka minta terutamanya dituangkan sedikit air untuk mereka.
- Ahli syurga menjawab: Apakan daya hukuman sudah diputuskan, semua itu diharamkan kepada mereka!
Sedangkan di dunia dulu mereka sudah makan & minum segalanya yang haram tanpa sekatan dan batasan.
- Antara sebab mereka ini diazab adalah kerana bagi mereka agama adalah main-main lalu sebagaimana mereka lupa untuk beriman atas dunia dulu maka sekarang Allah lupa untuk menyelamatkan mereka di Akhirat.
- Inilah ayat yang menakutkan!
Betapa ramai di sekeliling kita mereka yang tidak beriman.
Kita yang sudah beriman ini berusahalah untuk menjadi mukmin yang sejati, yang patuh & taat kepada perintah Allah, berpeganglah, gigitlah dengan gigi geraham Sunnah Rasulullah SAW Ikutinya dalam semua amalan, perbuatan & iktiqad kita, mudah-mudahan kita selamat di dunia & aman di Akhirat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang dialog antara ashabul A’raf dengan kawannya ahli neraka.
Di mana ahli syurga tempelak ahli neraka, bagaimana keadaan kamu yang dalam azab neraka sedangkan mereka yang kamu hina & benci dulu sekarang berada dalam nikmat Allah!
Ayat ini sindiran ini besar kesannya dan amat menyakitkan hati & perasaan.
Selingan, Pernah terbaca satu iklan di sebuah kedai kopi :
Kopi ini pahit tetapi ingat sindiran ibu mertua lebih pahit!
ii- Dalam ayat ini ahli neraka pula yang bercakap.
Di mana mereka merayu kepada ahli syurga untuk menghulurkan kepada mereka sedikit air sebagai minuman kerana mereka sangat kelaparan & kehausan!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 50- {DAN (TUHAN MENERANGKAN PULA KEHINAAN AHLI NERAKA DENGAN FIRMANNYA): AHLI NERAKA MENYERU AHLI SYURGA (DENGAN BERKATA): “LIMPAHKANLAH KEPADA KAMI SEDIKIT DARI AIR ATAU DARI REZEKI (MAKANAN) YANG TELAH DIKURNIAKAN ALLAH KEPADA KAMU”. MEREKA (AHLI SYURGA) MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH HARAMKAN KEDUA-DUANYA ATAS ORANG-ORANG KAFIR”.} (AL-A’RAF 7:50)
- Kita masih lagi dalam kisah tentang ashabul A’raf.
Kali ini Allah menerangkan pula tentang kehinaan ahli neraka di mana ahli neraka pula menyeru dan memanggil ahli syurga yang mereka kenali untuk meminta bantuan dan bekalan makan minum!
- Mereka meminta agar dituangkan sedikit air kepada mereka kerana mereka dalam kepanasan, kelaparan & kehausan yang amat dahsyat & bersangatan!
- Kata ulama’ tafsir seperti Ibnu Asyur : Mereka ini minta banyak air {أَفِيضُوا۟} kerana terlalu dahaga dan panas bukan sekadar (اِسْقُوا) sedikit pun tak apalah.
- Mereka ini minta air dulu sebelum makan kerana tersangat haus, serta apa-apa saja yang ada dari minuman & makanan di dalam syurga itu!
Mereka ini minta dari kawan-kawan mereka yang dikenali semasa atas dunia dulu!
- Kerana itu sangat ditekankan jika kita ada kawan atau kenalan apatah lagi sahabat yang baik dari kalangan bukan Islam, jangan sesekali kita lupa untuk berdakwah dan kemukakan Islam kepada mereka.
Biarlah walaupun mereka menolak pada awalnya, sekurang-kurangnya kita pernah cuba untuk berusaha menolong mereka!
Mungkin akan terbuka hati selepas itu lalu selamat daripada kekal di dalam neraka!
- Jadi apabila ahli neraka merayu minta air dan makanan, ahli syurga terus menjawab dengan tegas!
Maaflah tidak sesekali, kerana Allah telah menjatuhkan hukuman bahawa makanan & minuman syurga adalah haram selamanya kepada orang kafir & ahli neraka!
- Ini kerana semasa di atas dunia dulu kamu wahai orang kafir telah melantak memakan & minum apa saja yang haram tanpa sekatan dan balasan!
Manakala orang Islam terhad, ada hukum halal & haramnya yang wajib dijaga!
- Maka di dalam syurga tiada apa sekatan lagi bagi ahli syurga; tiada yang haram, tiada yang tidak suci, tiada yang bahaya atau beracun, yang memberi mudharat, bahkan semuanya nikmat yang indah lagi lazat, halalan toyyiban!
AYAT 51- { (TUHAN BERFIRMAN: ORANG-ORANG KAFIR ITU IALAH) ORANG-ORANG YANG MENJADIKAN PERKARA-PERKARA AGAMA MEREKA SEBAGAI HIBURAN YANG MELALAIKAN DAN PERMAINAN, DAN ORANG-ORANG YANG TELAH TERPEDAYA DENGAN KEHIDUPAN DUNIA (SEGALA KEMEWAHANNYA DAN KELAZATANNYA). OLEH ITU, PADA HARI INI (HARI KIAMAT), KAMI LUPAKAN (TIDAK HIRAUKAN) MEREKA SEBAGAIMANA MEREKA TELAH LUPA (TIDAK HIRAUKAN PERSIAPAN-PERSIPAN UNTUK) MENEMUI HARI MEREKA INI, DAN JUGA KERANA MEREKA SELALU MENGINGKARI AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI.} (AL-A’RAF 7:51)
- Allah menjelaskan apakah sifat orang kafir ini; pertamanya mereka adalah orang yang menjadikan agama mereka sebagai hiburan dan permainan.
- Ulama’ menjelaskan apakah maksud
{لَهْوًۭا وَلَعِبًۭا}-
hiburan yang melalaikan dan permainan ini:
i- Mereka jadikan agama ini sebagai permainan, mereka ke Ka’bah bukan untuk beribadat tetapi hanya menari, bergendang, bersiul, bertepuk tangan, tawaf dengan telanjang dan seumpamanya perbuatan yang melalaikan!
Hati-hati kita hari ini jangan sampai agama kita juga jadi mainan & hiburan.
Contoh atas nama cinta Rasul, bergendang berlagu dari petang sampai tengah malam, apatah lagi dalam masjid.
Jangan sampai orang ingat agama kita agama gendang dan main-main juga!
ii- Atau mereka mempersendakan dan mempermainkan agama dengan mengolok-olok dan menghinanya.
Katanya peliknya agama ini tuhan yang banyak jadi satu???
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah juga:
{Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan, dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu : menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.} (Al-Maidah 5: 57 & 58)
- Sifat kedua orang kafir ini ialah mereka terpedaya dengan dunia & sifat kosmetiknya!
Mereka ini kerjaya & bisnisnya berjaya, buka hotel atau kedai orang ramai, rumah mereka banglo besar, pengikut & pekerja mereka ramai; lalu mereka happy dan tenang dengan kehidupan dunia yang mereka miliki lalu mereka lupa kepada ayat Allah & hari Akhirat. Merekalah penghuni neraka dengan sebab apa yang mereka buat!
- Firman Allah SWT :
{Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.} (Yunus 10:8)
- Lalu Allah melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan persiapan untuk menghadapi hari Akhirat ini.
Mereka lansung tidak fikir tentang Akhirat & agama.
- Maksudnya Allah lupakan mereka ialah Allah tidak pedulikan mereka, tidak ambil berat tentang mereka.
Allah biarkan mereka lapar, dahaga & tersiksa di dalam neraka kerana mereka lupa & tidak mahu beriman di Akhirat dulu!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.} (As-Sajdah 32:14)
- Dalam sebuah hadis riwayat dari Abu Hurairah RA dan Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda:
“Pada hari kiamat didatangkan seorang hamba. Kemudian dikatakan kepadanya: “Bukankah telah Aku berikan kepadamu pendengaran, penglihatan, harta, dan anak?
Aku tundukkan untukmu binatang ternak, tanam-tanaman.
Aku tinggalkan kamu dalam keadaan menjadi pemimpin dan mendapatkan seperempat hasil rampasan perang.
Apakah dulu kamu mengira akan bertemu dengan-Ku pada hari ini?”
Orang itu menjawab, “Tidak.”
Allah pun berfirman: “Kalau begitu pada hari ini Aku pun melupakanmu.”
(HR at-Tirmizi, beliau berkata: hadis sahih gharib, lihat al-Ba’th karya Ibnu Abi Daud, hal. 36-37)
- Sebab ketiga Allah biarkan mereka duduk dalam neraka juga kerana mereka ini telah mengingkari ayat-ayat Allah, tidak beriman kepada Allah, tidak percaya kepada al-Quran & tidak menerima dakwah dan ajaran Nabi SAW!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 50- {Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu”.}-
Ahli neraka minta air & makanan dari kawannya yang ahli syurga!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menunjukkan manusia ini tidak terlepas untuk makan & minum.
Walaupun sedang kena azab, mereka tetap mahu kepada makanan & minuman.
Lihat saja kepada orang yang keluar bekerja untuk mencari rezeki, biasa disebut, keluar cari makan.
Kerana manusia & makanan tidak dapat berpisah, bajet yang besar dihabiskan oleh manusia daripada hartanya adalah untuk makanan & minuman.
Sepanjang hidup kita kerja untuk makan kerana ia adalah asas dalam kehidupan.
Ada majlis pasti ada jamuan makanan hatta majlis kuliah di masjid.
Allah telah jadikan makanan sebagai satu perkara yang penting dalam hidup manusia.
Kerana itu juga Allah telah buka pintu yang seluasnya yang halal & toyiib untuk kita.
Jika kita cari yang haram lagi maka itu adalah kesalahan & dosa yang besar!
Begitulah kehidupan manusia tetapi kita orang mukmin kena pastikan cari yang halal serta jauhkan yang haram.
- Ayat 50- {… ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air…}-
Kenapa mereka ahli neraka minta air dulu?
Apa hikmah Allah sebut begini?
Kata ulama’ tadabbur : Ini kerana dalam perut mereka itu kosong & panas akibat terlalu panasnya neraka Jahannam!
Sama seperti orang yang bekerja di tengah panas di bawah terik matahari pastilah apa yang dikehendakinya air yang sejuk untuk diminum melebihi daripada hajat kepada benda lain!
Bila Allah sebut air menunjukkan besarnya kedudukan air dalam kehidupan manusia sebagaimana firman Allah ini:
{Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?} (Al-Anbiya’ 21:30)
Kenapa Allah guna kalimat berikan kepada kami {أَفِيضُوا۟}, bukan tuangkan saja (اسقوا), ini kerana mereka minta air dengan penuh keinginan dan berharap sangat untuk dapat banyak air bagi menghilangkan dahaga yang amat teruk itu!
- Ayat 50- {… ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): “Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air…}-
Ini juga menunjukkan betapa penting dan besarnya kelebihan air!
Kerana itu ulama’ tadabbur berkata : Sedekah yang paling afdhal ialah apabila kita beri apa yang dapat menunaikan & memenuhi keperluan hajat mereka.
Ada juga riwayat kata sedekah yang paling afdhal ialah air.
Ini ialah di tempat yang tiada air atau sedikit & orang di situ amat memerlukan air.
Jika air sudah banyak boleh sedekah makanan dan lain-lain pula!
Yakni apa yang penting jika nak beri sumbangan kita lihat apa keperluan orang yang mahu kita beri itu!
Di setiap tempat & setiap manusia ada hajat dan keperluannya yang tersendiri & khas.
Dari Sa’ad bin ‘Ubadah RA, ia berkata:
“Wahai Rasulullah, bahwasanya Ummu Sa’ad (ibundaku) meninggal dunia. Sedekah apakah yang afdal untuknya?”
Nabi SAW menjawab, “Sedekah air.”
Lantas Sa’ad pun menggali telaga untuk ibunya, lalu ia mengatakan,:
“Telaga ini untuk Ummu Sa’ad (ibundaku).” (HR. Abu Daud)
Orang juga telah bertanya kepada Ibnu Abbas RA apakah sedekah yang paling afdhal? Jawabnya: Air.
Dalilnya lihatlah kepada ayat al-Quran ini bagaimana ahli neraka minta air dari ahli syurga, menunjukkan betapa besarnya kepentingan air.
Ada ulama’ kata : Sesiapa yang banyak dosa maka banyaklah bersedekah air. Yakni selepas dia insaf & bertaubatlah!
Bahkan Allah telah mengampunkan dosa seorang yang telah memberi minum air kepada seekor anjing.
Kisah dari ulama’ salaf: Terdapat seorang yang diuji dengan penyakit kulit, berkudis yang tidak kering-kering. Habis usaha ikhtiar berubat tetapi tidak sembuh-sembuh!
Dia pergi berjumpa seorang Syeikh menceritakan keadaannya lalu Syeikh menasihatinya untuk mencari satu tempat yang orang memerlukan air dan gali telaga di situ.
Dia pun berbuat begitu dan dengan taqdir Allah penyakitnya sembuh.
Kerana itulah projek air ini amat besar pahalanya.
Sekarang ini kita ada infaq untuk projek air (telaga) di Yaman, boleh kita sama-sama menyumbangnya.
- Ayat 50- {… Mereka (ahli Syurga) menjawab: “Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir”.} –
Ahli syurga menjawab kepada ahli neraka, mereka berkata:
Minta maaflah kawan, hukum telah dikeluarkan bahawa Allah tidak benarkan air & makanan dari syurga diberi kepada orang kafir!
Kamu tiada hak untuk meminumnya!
Hadis, kisah orang Islam yang dihalau dari kolam Nabi SAW.
Diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’ad RA katanya Nabi SAW telah bersabda:
إِنِّي فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ مَنْ مَرَّ عَلَيَّ شَرِبَ ، وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا ، لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ، ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْ ، فَأَقُولُ : إِنَّهُمْ مِنِّي ، فَيُقَالُ : إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ ، فَأَقُولُ : سُحْقًا ، سُحْقًا ، لِمَنْ غَيَّرَ بَعْدِي
Maksudnya: “Sungguhnya aku akan menunggu kamu sekelian di kolam Kauthar. Barangsiapa yang datang padaku akan minum ia dan siapa yang minum ia niscaya tidak akan dahaga selama-lamanya. Sungguh akan datang atasku beberapa kaum yang aku kenali mereka dan mereka mengenaliku kemudian dihalang antaraku dan antara mereka.
Maka kataku: Sesungguhnya mereka itu dari umatku.
Lalu dikatakan: Sungguhnya kamu tidak tahu apa yang telah mereka perbuat kemudian dari ketiadaanmu.
Lalu aku berkata: Pergi dari sini. Pergi dari sini bagi barang siapa yang membuat perubahan selepas ketiadaanku.” (HR Bukhari & Muslim)
Daripada riwayat Abu Hurairah RA :
(فَيُقَالُ : إِنَّهُمْ قَدْ بَدَّلُوا بَعْدَكَ . فَأَقُولُ : سُحْقًا سُحْقًا)
Ertinya: “Maka dikatakan: Sungguhnya mereka telah menggantikan Syariatmu kemudian dari ketiadaanmu.
Maka aku berkata: Pergi! Pergi dari sini.” (HR Muslim)
Dari hadis ini membawa dalil bahawa tiada khilaf dari kalangan ulama’ bahawa tuan kolam atau telaga berhak untuk menghalang orang lain daripada meminum di kolamnya.
Jadi dari ayat ini ahli syurga kata mereka tidak boleh beri minum air dari syurga kepada ahli neraka yang kafir!
- Ayat 51- {… Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini,…}-
Allah berfirman: Sebagaimana kamu tak peduli kepada agama semasa kamu hidup dulu, maka pada hari ini Aku balas tak peduli kepada kamu!
Maka para jemaah sekelian yang mencintai ilmu, kita kena ingat, jika kita lupa beragama, lupa al-Quran, lupa Sunnah tak mahu ikut dua sumber yang besar ini;
Tunggulah di Akhirat kelak, kita akan dilupai Allah untuk diberi rahmat & dilupakan oleh Nabi SAW untuk diberi syafaatnya.
Allahu al-Musta’an!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.