View Categories

(21) Surah Al-A’raf : Ayat 55-56

Adab Berdoa Kepada Allah SWT, Jangan Melakukan Kerosakan & Rahmat Allah SWT Dekat.

Full video : https://youtu.be/iUGgU9tEu1U?si=vhvq9_VChcPiG_U7

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 55 sehingga 56 dalam juzuk kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT ajar adab berdoa kepada Allah SWT.
    Pertama adab secara fizikal iaitu jangan dok bertempik dan melaung suara dengan kuat.
    Yang kedua adab hati apabila berdoa iaitu mesti yakin dan fokus kepada Allah.
    Jangan mulut saja berdoa tetapi hati duduk di lain.
  1. Allah SWT juga larang jangan melakukan kerosakan {وَلَا تُفْسِدُوا۟} atas muka bumi ini.
  1. Allah tegaskan bahawa sesungguhnya rahmat Allah SWT itu dekat dengan orang-orang yang baik.
    Jika nak dekat dengan Allah kita kena jadi orang baik {ٱلْمُحْسِنِينَ}.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan dalil-dalil tentang keEsaanAllah, ketuanan, kekuasaan-Nya menyusun atur alam ini serta hikmah setiap apa yang dicipta-Nya.

    ii- Maka dalam ayat ini dibawa tauhid al-Uluhiyyah (الألوهية) iaitu tentang keEsaan, ketuhanan Allah SWT.
    Hanya Allah yang Esa, yang kita beribadat dan berdoa kepada-Nya dengan cara takut, merendah diri dan berharap.

    iii- Doa itu amat penting dalam Islam kerana ia adalah otak kepada ibadat.
    Bahkan terdapat dalam hadis Doa itu sendiri adalah satu ibadat [HR Abu Daud].
    Kerana itu kita dilarang dari berdoa kepada tunggul kayu batu yang selain daripada Allah yang Maha Agung & Esa!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 55- {BERDOALAH KEPADA TUHAN KAMU DENGAN MERENDAH DIRI DAN (DENGAN SUARA) PERLAHAN-LAHAN. SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (AL-A’RAF 7:55)

  1. Allah mengajar adab berdoa secaar zahir kepada kita!
    Pertamanya ialah berdoa kepada Tuhan kamu, Pencipta & Tuan kamu, Penyusun atur urusan kamu dengan : khusyuk, merendah diri, tawadhuk dan jangan sombong.
    Juga berdoalah dengan suara yang perlahan, hanya kita dengan Allah semata-mata.
  1. Doa itu ada dua sama ada:
    i- Doa permohonan & permintaan.
    Seperti kita minta kebaikan, kesihatan, kesenangan dan apa saja permintaan.

    ii- Doa ibadat seperti solat dan lain-lain.
    Nabi SAW namakan solat itu sebagai doa bermula dari takbirnya sehingga selesai.
    Ini kerana kita berdoa dalam solat untuk minta restu Allah, menjadi baik, diterima solat & ibadat; itulah doa.
    Sebagaimana sebuah hadis riwayat dari Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari ‘Arafah dan sebaik-baik apa yang aku dan para nabi sebelumku ucapkan adalah:

    لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
    Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha Menguasai atas segala sesuatu.” (HR Tirmizi, hadis hasan).
  1. Ayat ini dituju khas orang mukmin kerana Allah mahu mengajar untuk berdoa dan meminta pertolongan kepada Allah SWT semata-mata, dengan khusyuk dan rendah diri.
    Orang kafir mereka berdoa dan meminta kepada yang lain dari Allah.
    Kerana itu para ulama’ mahu menyekat jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan seperti berdoa kepada orang mati, tunggul kayu dan seumpamanya.
  1. Beberapa faedah kita perlahankan doa:
    i- Untuk memantapkan iman.
    Walaupun secara perlahan kita yakin dan percaya bahawa Allah Maha mendengar.
    Kita tahu doa kita sama ada perlahan atau kuat Allah SWT akan sentiasa mendengarnya.

    ii- Ini merupakan satu adab yang besar dan mengagungkan Allah SWT.
    Seperti mana kamu berada di hadapan raja atau pemimpin besar, pastilah kamu tidak akan bertempik melaung, penuh dengan adab & protokol.
    Pastilah Allah SWT tiada bandingan-Nya, lebih tinggi & besar daripada semua makhluk.

    iii- Lebih membawa kepada kekhusyukan.
    Itulah roh doa & isi kandungan yang mantap.

    iv- Lebih menunjukkan keikhlasan kita kepada Allah.
    Bukan mengiklankan kepada seluruh alam maya secara live.

    v- Apabila perlahan lebih kuat terikat hati kita kepada Allah.

    vi- Menunjukkan kita lebih yakin bahawa kita dekat kepada Allah.
    Hadis, seorang lelaki Arab Badwi bertemu Nabi SAW, Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah , apakah Tuhan kita dekat sehingga kita berbisik kepada-Nya atau Dia jauh sehingga kita menyeru-Nya (dengan suara keras).”
    Mendengar pertanyaan ini, Nabi pun diam dan tak menjawabnya.

    Maka turunlah ayat ini (Surah Al-Baqarah: 186) :

    وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ.
    Maksudnya: {Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (QS Al-Baqarah Ayat 186). [HR Ibnu Jarir].

    vii- Apabila kita perlahan kita akan sentiasa mengulangnya kerana tidak penat, jika kuat bertempik & melaung akan mudah letih & jemu.
  1. Adab ini diambil juga dari firman Allah SWT ini:
    {Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.} (Al-A’raf 7:205)
  1. Sebuah hadis riwayat dari Abu Musa al-Asy’ari RA yang menceritakan;
    “Ketika kami (para sahabat) bersama Rasulullah SAW dalam suatu peperangan, tidak sekali-kali kami menaiki suatu pendakian dan berada di tempat yang tinggi serta tidak pula kami menuruni suatu lembah melainkan kami mengeraskan suara kami seraya mengucapkan takbir.”
    Abu Musa melanjutkan kisahnya, Lalu Nabi SAW mendekat ke arah kami dan bersabda ;
    “Wahai manusia, tenangkan-lah diri kamu, kerana sesungguhnya kamu bukan berseru kepada Tuhan yang tuli, bukan pula kepada yang ghaib, sesungguhnya kamu hanya berseru kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
    Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru lebih dekat kepada seseorang di antara kamu dari leher unta kenderaannya.”
    [HR Bukhari & Muslim].
  1. Fiqh berdoa juga jika menjadi imam dan ada makmum yang berdoa sama; kena kuatkan sikit hatta mereka boleh dengar untuk mengaminkan doa kita itu.
    Biar mereka dengar & tahu apa yang kita minta untuk aminkannya, tetapi jangan terlalu kuat sehingga menggangu jemaah yang lain.

AYAT 55- {…SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.}-

  1. Munasabah ayat ini:
    i- Apabila Allah suruh kita berdoa dengan perlahan, khusyuk dan merendah diri, manakala lawannya ialah melaung bertempik, meratap meraung dan berdoa dengan permohonan yang tidak sesuai; itulah melampaui batas.

    ii- Yakni Allah SWT tidak suka mana-mana hamba-Nya yang melampaui batas yang Allah gariskan dalam apa jua keadaan sama ada dalam ibadat, berdoa, makan-minum dan semua perkara.
  1. Nota [214]:
    Berdoa secara melampaui batas itu ialah:
    i- Ialah meghalakan doa permohonan kepada selain dari Allah SWT.
    Orang suruh berdoa kepada Allah dia minta dengan kubur, dengan tok wali dan seumpamanya.

    ii- Memohon sesuatu yang tidak sepatutnya dan tidak logik seperti minta jadi nabi, minta jadi raja atau minta nak jadi muda semula dan seumpamanya.

    iii- Atau berdoa minta sesuatu yang tidak mengikut undang-undang peraturan Tuhan atau tidak munasabah untuk menghasilkan sesuatu seperti minta jadi orang alim atau pandai sedangkan dia malas hangit untuk belajar & menuntut ilmu.
  1. Kisah dari Abu Nu’amah bahawasanya seorang sahabat, Abdullah bin Mughaffal RA mendengar anaknya membaca doa antaranya:
    Ya Allah berilah kami istana putih di sisi kanan Syurga”.
    Mendengar ini, ayahnya spontan memberi nasihat kepada anaknya:
    “Wahai anakku mintalah kepada Allah Syurga dan berlindunglah kepada-Nya dari api Neraka, kerana aku ada mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    “Akan muncul dari umatku sekelompok kaum yang berlebihan dalam bersuci dan berdoa”

    (HR. Ahmad 20554, Abu Daud 96, Ibnu Majah 3864, Syuaib Al-Arnauth menilai hadis ini hasan).
    Imam Al-Munawi menjelaskan hadis ini. Makna: “berlebihan dalam berdoa” adalah melampaui batas, dengan meminta sesuatu yang tidak boleh atau mengeraskan suara ketika berdoa atau memaksakan lafaz bersajak dalam berdoa.
    Termasuk melampaui dalam berdoa juga kita meminta keburukan & kecelakaan kepada orang Islam.
    Jika orang kafir atau orang jahat tak mengapa.
  1. Orang yang melampaui dalam berdoa itu dia telah melanggar adab berdoa iaitu: Sepatutnya kita perlahankan doa.
    Jika ada makmum boleh kuat sedikit tetapi jangan sehingga mengganggu orang lain.
    Yang dibenarkan angkat suara dalam ibadat hanyalah talbiyah dan takbir dua hari raya itupun secara sederhana bukan bertempik melaung juga.
  1. Hadis riwayat dari Abi Musa al-Asy’ari RA dia menceritakan bahawa :
    Orang-orang mengeraskan suara mereka ketika berdoa.
    Lalu, Rasulullah SAW bersabda:
    “Wahai manusia, lembutlah terhadap dirimu. Sesungguhnya, kamu tidak berdoa kepada orang yang tuli atau jauh.
    Kamu berdoa kepada Zat Yang Maha Mendengar, lagi dekat. Dia ada bersama kamu.
    ” (HR Bukhari dan Muslim)
  1. Kata al-Hasan al-Basri : “Orang-orang Muslim orang zaman dulu bersungguh-sungguh dalam berdoa dan tidak terdengar dari mereka suara, kecuali bisikan antara mereka dan Tuhan mereka.”
  1. Kesimpulannya melampau dalam berdoa ialah:
    i- Meninggalkan arahah Allah SWT.

    ii- Mengeraskan suara.

    iii- Menggunakan perkataan yang tidak baik!

    iv- Meminta sesuatu yang tidak munasabah dan tidak logik serta melampaui batas.
  1. Firman Allah SWT juga:
    i- {“Berdoalah kepada-Ku. Nescaya Aku akan perkenankan untuk kamu”.} [Ghafir: Ayat 60].

    ii- {“Aku akan memperkenankan doa orang-orang yang berdoa kepada-Ku”}. [Al-Baqarah: ayat186].

    iii- {“Dan berdoalah kepada Allah dengan rasa takut dan penuh harap akan rahmat-Nya.} [Al-A’raf: 56].

AYAT 56- {DAN JANGANLAH KAMU BERBUAT KEROSAKAN DI BUMI SESUDAH ALLAH MENYEDIAKAN SEGALA YANG MEMBAWA KEBAIKAN PADANYA, DAN BERDOALAH KEPADANYA DENGAN PERASAAN BIMBANG (KALAU-KALAU TIDAK DITERIMA) DAN JUGA DENGAN PERASAAN TERLALU MENGHARAPKAN (SUPAYA MAKBUL). SESUNGGUHNYA RAHMAT ALLAH ITU DEKAT KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMPERBAIKI AMALANNYA.} (AL-A’RAF 7:56)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan adab berdoa secara fizikal atau zahir.

    ii- Dalam ayat ini Allah ajar cara berdoa dalam hati.
    Serta ingatlah salah satu doa yang Allah tidak terima ialah doa orang yang buat kerosakan atas muka bumi ini!
  1. [215] Yakni sesudah Allah Ta’ala menjadikan berbagai jenis nikmat kerohanian dan kebendaan di bumi dengan mengutuskan Rasul-rasul dan memberi petunjuk kepada manusia untuk menggunakan segala benda yang dijadikan-Nya bagi faedah diri manusia sendiri dan masyarakatnya.
    Dulu manusia dalam kerosakan syirik & maksiat, Allah baikinya dengan hantar nabi & rasul.
  1. Berbuat kerosakan mencakupi:
    i- Merosak agama dengan kufur dan bid’ah;

    ii- Merosak jiwa dengan membunuh dan memotong anggota tubuh;

    iii- Merosak harta dengan merompak, mencuri; dan memperdaya & menipu.

    iv- Merosak akal dengan minum yang memabukkan dan sebagainya;

    v- Merosak nasab dengan melakukan zina, liwat (homoseksual), dan menuduh berbuat zina (qazaf).
  1. Akhir sekali Allah SWT ajar sekali lagi jika kamu mahu berdoa & dikabulkan:
    i- Jadilah orang yang baik dan soleh.

    ii- Berdoalah kepada Allah SWT dengan hati, ikhlaskan doa kepada Allah semata-mata.
    Iaitu dengan rasa takut kepada kemurkaan Allah dan tamak berharap agar Allah redha & kabulkan doa kita.
  1. Contoh berdoa dengan ikhlas : Jika ada orang minta kita tolong berdoa kepadanya jangan dengan niat nak terima balasan atau bayaran seperti duit dan lain-lain.
    Terutamanya jika mereka itu dalam kesusahan dan kesempitan, kita yang kena bantu mereka; bukan ambil duit dari mereka pula!
  1. Di akhir ayat Allah kata: Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat dengan orang yang baik {ٱلْمُحْسِنِينَ}.
    Ya Allah jadikan kita dari kalangan orang yang muhsinin supaya rahmat Allah melimpah ke atas kita!
  1. Nota [216] Ayat Suci ini menegaskan dasar “Ihsan”, yakni apa jua pekerjaan dan amal perbuatan yang kita kerjakan hendaklah dibuat dengan sebaik-baiknya, dengan rapi dan sempurna, sama ada yang berhubung dengan dunia apa lagi yang berhubung dengan akhirat untuk mendapat rahmat Tuhan.
    Rahmat & kurnia Allah sangat luas, jangan kita pula yang cuai dan lalai.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT :
    {Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.} (Az-Zumar 39:10)
  1. Yang penting SOP doa ini ada empat:
    i- Merendah diri semata-mata kepada Allah.

    ii- Dalam keadaan perlahan dan khusyuk.

    iii- Takut kepada Allah, doa ditolak.

    iv- Berharap & tamak agar dikabulkan.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 55- {berdoalah kepada tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.}-

    Serulah Tuhan kamu, berdoalah kepada Allah dengan adab-adabnya.
    Syarat doa yang pertama adalah mintalah dengan ikhlas kepada Allah Azza wa Jalla.
    Minta terus & direct kepada Allah bukan kepada yang lain seperti wali yang telah mati!
    Ayat ini mengajar kepada kita supaya sentiasa berdoa dan minta dengan adab & SOP yang ditetapkan Allah SWT.
    Doa dengan perlahan dan khusyuk lebih afdhal dari suara yang kuat kerana:
    i- Ia lebih selamat dari riya’.

    ii- Menunjukkan keyakinan seorang hamba kepada Allah.
    Serta tujuh lagi peraturan & adab berdoa seperti di atas tadi sama ada dari segi zahir & batin.
  1. Ayat 55- {berdoalah kepada tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan…}-

    Ini ialah untuk kita lihat apakah tujuan & objektif kita berdoa.
    Tujuan berdoa itu ialah:
    i- Untuk kita meluahkan permintaan kita

    ii- Melahirkan perasaan, hajat dan pengharapan kita.
    Kerana itu minta dengan manusia dimarah & dibenci, manusia tak suka orang sentiasa meminta-minta.
    Tetapi tak minta dengan Allah akan dimurkai! Bahkan Allah suka hamba-Nya yang banyak berdoa kepada-Nya.
    Maka sentiasalah kita minta kepada Allah dengan menzahirkan kelemahan kita, hajat kita dan kehendak kita kepada Allah SWT semata-mata!
    Untuk mustajab doa dikalbulkan mestilah segala adab & SOP doa dipenuhi:
    i- Secara zahir {تَضَرُّعًۭا وَخُفْيَةً}- iaitu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.

    ii- Secara batin {خَوْفًۭا وَطَمَعًا}, dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul).
    Kita buatlah apa yang diperintahkan Allah SWT agar Allah redha, beri rahmat-Nya dan kabulkan doa-doa kita!
  1. Ayat 55- {… sesungguhnya allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.}-

    Terdapat beberapa maksud melampaui dalam berdoa:
    i- Dari sudut bahasa: terlalu menggunakan bahasa yang berputar belit seperti bersajak berpantun.
    Kita kena minta dengan Allah secara direct dan terus kepada Allah.
    Tak perlu berbunga sastera bahasa sehingga tak faham.

    ii- Dari sudut zahir, dengan perlahan jangan melaung bertempik!

    iii- Dari sudut isi doa: Minta sesuatu yang mustahil dan mecarik adab, minta jadi muda semula, minta kaya atau bijak tanpa usaha, minta sesuatu yang lebih-lebih, atau sesuatu yang bertentangan dengan ketepan Allah dari makhluk-Nya seperti minta matahari naik dari utara.

    iv- Berdoa dengan tidak ikhlas – dengan hati yang lalai & lagha bukan dengan {خَوْفًۭا وَطَمَعًا} kepada Allah.
  1. Ayat 56- {dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya,…}-

    Jangan kamu buat kerosakan atas muka bumi ini setelah Allah sediakan & bawakan kebaikan.
    Allah telah buat yang molek, bumi ini telah dimakmurkan oleh Nabi dengan tauhid, ibadat dan seumpamanya disambung oleh para sahabat kemudian datang manusia tukarnya.
    Mereka tukar dari tauhid yang murni kepada tauhid yang bercampur-campur, dari tauhid kepada Allah kepada syirik, dari Sunnah kepada bid’ah, dari kebaikan kepada perbalahan dan seumpamanya yang mana itu semua adalah melampaui dan melakukan kerosakan atas muka bumi!
    Fasad atau kerosakan ini bukan dari sudut agama saja ia juga termasuk:
    i- Dari sudut agama pastilah.

    ii- Dari sudut jiwa seperti berlaku pembunuhan,

    iii- Dari sudut keturunan & maruah, berlaku zina sehingga anak zina berleluasa.

    iv- Dari sudut harta rasuah, riba, kecurian dan penipuan.

    iv- Dari sudut akal seperti pemikiran karut yang masuk dari luar, video-video lucah tersebar tanpa kawalan, minum arak, dadah dan lain-lain.
    Semua contoh sudah kita dibawa di atas tadi.
    Kerosakan itu begitu banyak yang mesti kita sekat, jauhi dan bendung!
  1. Ayat 56- {… dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul)…}-

    Sekali lagi Allah bawa kepada kita adab berdoa iaitu: iaitu dengan hati yang khusyuk, suara perlahan, tidak riya’ & takabbur serta sangat mengharapkan agar Allah terimanya!
    Kerana itu Allah kata sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang berbuat baik!
    Orang baik tidak akan buat syirik kepada Allah, tidak akan buat mungkar & maksiat kepada Allah, orang baik tidak akan menukar Sunnah kepada bid’ah dan seumpamanya.
    Mudah-mudahan Allah kabulkan doa kita & sentiasalah berdoa dengan doa yang ma’thur yang diakar oleh Nabi SAW.
    Jangan dok cari yang pelik-pelik dan tidak pasti sumber dari mana.
    Boleh rujuk kitab Perisai Muslim atau Al-Azkar Nawawi yang lebih panjang!
    Buku Perisai Muslim.
    https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
    Kadang-kadang orang yang suka mengaji dan belajar tetapi cara dia dok share & sebar dalam grup tu seperti orang yang tak mengaji!
    Dulu dekat-dekat Ramadhan ni akan sibuk keluar borang ambil upah untuk baca al-Quran & tahlil untuk keluarga yang telah mati!
    Kita kata anak-anak yang sayang kepada ibu bapanya- kamu sendiri yang buat, berdoa & baca al-Quran untuk mereka bukan upah orang lain buat!
    Itulah sepatutnya yang kita kena buat!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs