View Categories

(23) Surah Al-A’raf : Ayat 59-64

Kisah Nabi Nuh AS, Berdakwah Kepada Kaumnya & Binasa Para Penentangnya.

Full video : https://youtu.be/UyhePAz6zTU?si=SkQxknLPidAPoEEx

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 59 sehingga 64 dalam juzuk kelapan.
  1. Ayat ini merupakan permulaan bagi kisah sejarah beberapa orang rasul & nabi AS dalam Surah Al-A’raf ini.
    Ia akan dimulakan dengan kisah Nabi Nuh AS.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Nuh AS, yang berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun tanpa ramai yang beriman.
  1. Kemudian Allah ceritakan bagaimana binasa para penentangnya dalam taufan yang begitu besar.
    Nabi Nuh merupakan rasul ulul azmi yang pertama, yang mendapat tentangan dahsyat dari kaumnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang hujjah & bukti yang menunjukkan kepada ketuhanan & ketuanan Allah SWT (الألوهية والربوبية), keagungan & keEsaan Allah yang berkuasa menurunkan hujan dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan sebagai tanda kuasa Allah untuk menghidupkan semula manusia selepas mati.

    ii- Datang ayat ini membawa kisah para nabi AS bermula dengan dengan Nuh AS.
  1. Apakah faedah kisah nabi-nabi ini berulang dalam al-Quran:
    i- Allah nak menyatakan pendustaaan dakwah terhadap Nabi SAW bukan hanya bermula dengan kaum Quraisy tetapi dengan umat yang terdahulu lagi.

    ii- Allah nak nyatakan sesiapa yang lawan akan binasa!
    Lihat saja kaum Nabi Nuh, bukan binasa kecil tetapi kebinasaan yang menyeluruh (استئصال).

    iii- Orang zalim diberi tangguh & tempoh
    (يمهل ولا يهمل) tetapi tidak dibiarkan.
    Tindakan mesti diambil juga akhirnya.

    iv- Semua kisah ini untuk menunjukan benarnya apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
    KERANA Baginda seorang yang tidak menulis & membaca, tidak belajar dengan ahli kitab & tidak ada rujukan lain tetapi Baginda boleh menceritakan kisah nabi & kaum terdahulu dengan tepat dan benar; maka sudah tentu ia datang dari Allah SWT.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 59- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGUTUSKAN NABI NUH KEPADA KAUMNYA, LALU BERKATALAH IA: “WAHAI KAUMKU! SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH, (SEBENARNYA) TIDAK ADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG, KAMU AKAN DITIMPA AZAB HARI YANG BESAR (HARI KIAMAT)”} (AL-A’RAF 7:59)

  1. Allah SWT bersumpah bahawa demi sesungguhnya Allah telah mengutuskan kaum Nabi Nuh kepadanya yang musyrikin dan dia berdakwah membawa ajaran tauhid kepada mereka.
  1. Nota 219- Setelah Allah menerangkan dalam permulaan surah ini tentang kisah Nabi Adam AS dan segala yang berhubung dengan kisah itu dan penciptaanya (Adam) yang menghairankan; yang menjadi dalil kepada keEsaan & ketuhanan Allah SWT.
    Serta ditegakkan hujjah-hujjah yang tidak dapat disangkal tentang sahihnya perkara kebangkitan sekian makhluk sesudah mati.
    Maka dalam ayat ini serta ayat yang berikutnya diceritakan pula kisah rasul-rasul AS serta yang berlaku kepada mereka bersama dengan umatnya masing-masing.
  1. Nabi Nuh AS menyeru kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.”
  1. Inilah dakwah semua para nabi AS kepada umatnya iaitu untuk menyembah Allah & menjauhi taghut!
    Ajaran tauhid yang murni & suci, wajib ada dua ini serentak, terbang dengan dua sayap, bukan sembah Allah tetapi masih syirik kepada-Nya.
  1. Nabi Nuh menyatakan prihatin dan kebimbanganya terhadap kaumnya jika mereka tidak beriman: Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar iaitu hari kiamat!

AYAT 60- {KETUA-KETUA DARI KAUMNYA BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI NAMPAKMU (WAHAI NUH) BERADA DALAM KESESATAN YANG NYATA”.} (AL-A’RAF 7:60)

  1. Tetapi bukan mudah dakwah itu; kaumnya tidak menerima kebenaran & ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh bahkan mereka menentang dan mengejek & memperolokannya.
  1. Golongan pembesar (ٱلْمَلَأُ) mereka pula dengan sombong & degil menjawab: “Sesungguhnya kami nampakmu wahai Nuh berada dalam kesesatan yang nyata”.
    Kerana itu tidak sesuai untuk kita gunakan perkataan al-Mala’ (ٱلْمَلَأُ) ini untuk golongan kita kerana Allah gunakannya dalam al-Quran untuk kaum kafir yang menentang para rasul mereka.
  1. Yakni seruan nabi Nuh mendapat tentangan hebat dari kaumnya dan mereka menuduh Nabi Nuh itu sendiri yang sesat, bukan mereka!

AYAT 61- {NABI NUH MENJAWAB: “WAHAI KAUMKU! TIDAK ADA PADAKU SEBARANG KESESATAN, TETAPI AKU ADALAH SEORANG RASUL DARI TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-A’RAF 7:61)

  1. Nabi Nuh menyangkal tuduhan kaumnya, menyatakan Dia tidak sesat tetapi adalah utusan dari Allah, datang untuk memperingatkan mereka agar beriman & tidak mengingkari perintah Allah.
  1. Nabi Nuh menjawab tuduhan kaumnya, menyeru mereka dengan lembut {wahai kaumku- قَالَ يَـٰقَوْمِ} dan menyatakan bahawa:
    i- Tidak ada padaku sebarang kesesatan,

    ii- Tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

AYAT 62- {“(TUGASKU) MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU PERINTAH-PERINTAH YANG (DIUTUSKAN OLEH) TUHANKU, SERTA AKU MEMBERI NASIHAT KEPADA KAMU, SEDANG AKU MENGETAHUI (MELALUI WAHYU) DARI ALLAH AKAN APA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (AL-A’RAF 7:62)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Nabi Nuh AS menafikan tuduhan jahat kaumnya yang mengatakan dia sesat.

    ii- Dalam ayat ini Nabi Nuh menyatakan tugasnya pula.
  1. Nabi Nuh berdialog dengan mereka dengan menyatakan bahawa tugasnya ialah:
    i- Menyampaikan risalah, prinsip dakwah yang diturunkan Allah kepadanya.

    ii- Memberi nasihat supaya mereka menerima apa yang disampaikannya dari Allah SWT kepada mereka.
    Inilah tugas para pendakwah secara asasnya : Nyatakan prinsip tauhid & beri nasihat/dakwah.
  1. Kemudian Nabi Nuh bertegas bahawa apa yang disampaikannya adalah apa yang dia terima melalui wahyu dari Allah akan apa yang mereka tidak mengetahuinya.
  1. Maka kamu jangan cuba lawan, terimalah ajaran wahyu dari Allah ini walaupun ia mungkin berbeza dari apa yang kamu tahu & biasa sebelum ini!

AYAT 63- {“ADAKAH KAMU MERASA RAGU-RAGU DAN HAIRAN TENTANG DATANGNYA KEPADA KAMU NASIHAT PENGAJARAN DARI TUHAN KAMU MELALUI SEORANG LELAKI DARI GOLONGAN KAMU, UNTUK MEMBERI PERINGATAN KEPADA KAMU, DAN SUPAYA KAMU BERTAQWA DAN JUGA SUPAYA KAMU BEROLEH RAHMAT?”.} (AL-A’RAF 7:63)

  1. Nabi Nuh meneruskan lagi dialognya dengan bertanya kepada kaumnya apakah mereka berasa pelik & lekeh (yakni tidak yakin) kerana dia seorang lelaki dari golongan mereka, orang kampung itu sendiri yang dilantik menjadi utusan Allah.
  1. Yakni apa peliknya jika Allah utuskan Nabi Nuh sebagai rasul dari kaum mereka sendiri yang datang untuk menyampaikan peringatan wahyu dari Allah:
    i- Supaya mereka bertaqwa.

    ii- Dan juga supaya mereka peroleh rahmat.
  1. Biasanya begitulah lumrah manusia:
    i- Kaum dahulu tidak mahu rasul dari kalangan mereka sendiri bahkan mahu malaikat yang turun, dihantar dari langit kepada mereka.

    ii- Orang kampung kita juga, jika ustaz local dari negeri atau kawasan sendiri yang berkuliah, tak masyhur dah, tetapi jika penceramah yang diundang dari luar negeri atau selebriti yang datang baru mereka bersungguh dan datang.

AYAT 64- {MEREKA TERUS MENDUSTAKANNYA, LALU KAMI SELAMATKAN DIA DAN ORANG-ORANG YANG BERSAMANYA DI DALAM BAHTERA, DAN KAMI KARAMKAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI. SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH KAUM YANG BUTA (MATAHATINYA DARIPADA MELIHAT KEBENARAN).} (AL-A’RAF 7:64)

  1. Mereka terus mendustakannya, tidak mahu beriman dan menerima dakwahnya kecuali hanya sedikit, beberapa orang sahaja, hatta isteri & anak lelakinya sendiri tidak beriman dengannya.
  1. Apabila telah jelas wahyu dari Allah bahawa tidak akan ada lagi dari kalangan kaumnya yang akan beriman barulah Nabi Nuh mengangkat tangan berdoa kepada Allah untuk membinasakan semua kafir atas dunia ini.
    Itupun setelah dia berdakwah selama 950 tahun.
  1. Maka Allah perintahkan Nabi Nuh untuk membina bahtera dan mengisinya dengan kaumnya yang beriman dan membawa sepasang (jantan & betina) dari setiap jenis haiwan yang ada di kawasanya pada masa itu!
  1. Firman Allah SWT :

    {(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman”. Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.} (Hud 11:40) |
  1. Setelah orang beriman & haiwan-haiwan itu selamat naik atas bahtera Nabi Nuh, Allah menurunkan bala bencananya yang berupa taufan, air banjir yang dahsyat & Allah selamatkan mereka semua.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
    { Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai makhluk).
    Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir) yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).
    Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
    Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.} (Asy-Syu’ara’ 26: 119-122)
  1. Diakhir ayat Allah kata: Kemudian Allah tenggelamkan semu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
    Mereka semua binasa dalam banjir besar itu tidak meninggalkan baka pada masa itu termasuk anak & isteri yang derhaka!
  1. Mereka itulah kaum yang buta; iaitu buta hati, tidak boleh melihat dengan mata hati.
    Yakni mereka adalah kaum yang buta dari kebenaran, tidak boleh melihatnya dan tidak pula boleh mengambil hidayah darinya. Beritahulah apa benda pun mereka tidak akan menerimanya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 59- {Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya,… }-

    Siapakah Nabi Nuh ini?
    i- Nama penuhnya adalah Nuh bin Lamik bin Mutawasylikh bin Akhnukh.

    ii- Dia adalah rasul pertama yang diutus kepada manusia atas dunia ini selepas Nabi Adam.
    Dalilnya sebagaimana tersebut dalam hadis syafaat riwayat dari Abu Hurairah, dalam Sahih Muslim.

    iii- Nabi Nuh adalah Rasul pertama yang mengharamkan menikahi adik beradik, anak perempuan, saudara perempuan, ibu saudara dari jalur ayah, dan jalur ibu.
    Ini kerana Syari’ah semasa Nabi Adam boleh kahwin adik-beradik kerana tidak ada manusia lain pada waktu itu.

    iv- Tidak ada nabi yang menerima penentangan yang dahsyat dari kaumnya sebagaimana Nabi Nuh AS.
    Muhammad bin Ishaq berkata: “Tak seorang Nabi pun yang mendapat gangguan dari kaumnya sebagaimana Nabi Nuh, kecuali nabi itu dibunuh.”

    v- Dia adalah seorang tukang kayu.
    Nabi Daud pula tukang besi.

    vi- Dia dibangkitkan ketika berumur 40 tahun dan hidup lagi selepas banjir itu selama 60 tahun sehingga ramai anak cucunya.
    Nuh adalah bapa manusia yang kedua kerana manusia yang berkembang biak selepas itu adalah dari keturunannya.
    Mengikut Tafsir Wahbah: Jika ada ahli sejarah yang mengatakan Nabi Idris ialah nabi yang kedua, itu tidak tepat.

    vii- Jarak antara Nabi Adam & Nuh adalah 10 kurun, semuanya adalah baik & Islam.
    Sehingga matinya orang soleh di kalangan mereka lalu dengan ajaran syaitan mereka buat patung untuk mengingati orang soleh itu.
    Pada mula hanya lihat, datang generasi selepas itu mula gosok untuk ambil berkat, bagi salam, tunduk hormat akhirnya rukuk, sujud akhirnya sembah terus!
    Berlakunya permulaan penyembahan berhala atas muka bumi ini kerana cintakan orang soleh dan memuliakan mereka dengan melampaui dan salah selepas kematian mereka!
    Allah telah menyebut nama mereka orang-orang soleh dari datuk-datuk nabi Nuh (Wadd, Suwa’, Yaghuts, Ya’uq dan Nasr) yang akhirnya menjadi berhala yang disembah mereka:
    {“Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa’, yaghuts, ya’uq dan nasr”.} ~[Surah Nuh ayat: 23].

    vii- Kisah Nabi Nuh disebut sebanyak 43 kali dalam al-Quran.
    Kisahnya yang agak panjang ada disebut dalam Surah Al-A’raf ini, surah Hud, al-Mukminun, Syua’ra’, Qamar dan surah Nuh.
  1. Ayat 59- {… lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.}-

    Inilah paksi dan asas utama kepada dakwah para nabi-nabi AS iaitu tauhid ajak orang sembah kepada Allah SWT & tinggalkan syirik.
    Bukan seperti dakwaan setengah orang, awal-awal kita kena tahu ialah nazar (tengok) dan syak, bukan begitu!
    Awal-awal yang kita belajar ialah tauhid kepada Allah SWT, itulah yang pertama.
    Dakwah kita bermula dengan tauhid kepada Allah, ajar masyarakat tentang keEsaan Allah SWT, bukan yang lain dulu.
    Belajar & tadabbur al-Quran juga sangat penting kerana asas tauhid & fardhu ain duduk dalam al-Quran semuanya.
  1. Ayat 59- {… lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”}-

    Selain berdakwah kepada tauhid, Nabi Nuh juga memberi nasihat & peringatan kepada kaumnya.
    Dakwah pula tak lengkap tanpa memberi nasihat & amaran bagi sesiapa yang ingkar, tak dengar larang, bahawa azab akan menimpa ke atas mereka.
    Islam kena terbang dengan dua sayap, galakan & amaran {ترهيب وترغيب} jika tidak akan pincang perjalan agama ini.
  1. Ayat 60- {Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.}-

    Tuduhan telah dijatuhkan! Nabi Nuh AS dituduh sebagai orang sesat oleh kaumnya.
    Bila sesat tak betul berjalan, orang tak akan dengar & tak akan ikut, itulah kaedahnya.
    Begitulah bila kita lihat penentangan kaum kepada para nabi & rasul, termasuk kepada Rasulullah SAW, ia pergi kepada tuduhan sesat, gila, tukang sihir, zaman Nabi kerana kuat orang bermain syair & qasidah, Baginda juga dituduh sebagai penyair!
    Nabi Nuh ini dituduh sebagai sesat, yakni bawa ajaran sesat yang tidak patut diikuti.
    Tuduhan dibuat untuk membunuh karekter orang itu.
    Yakni untuk menyekat dari awal, untuk menjauhkan orang ramai darinya, para penentang & musuh membuat tuduhan dengan niat buruk & jahat.
    Nabi Muhammad SAW pula dituduh gila atau tukang sihir oleh kaum Quraisy.
    Tetapi ingat jika makin kuat dakyah serangan peribadi ke atas seseorang akan membuat orang makin cari & cuba mendekati.
    Begitulah juga dengan apa yang terjadi pada Nabi SAW dan apabila orang pergi berjumpa dengan Baginda akan melihat sendiri akhlaknya yang mulia dan ajarannya yang benar. Yang menjadikan mereka tertarik dan menerima dakwah Baginda SAW.
    Begitu juga dengan para pendakwah yang menyampaikan kebenaran akan dibuat tuduhan jahat ke atasnya.
    Pembunuh karekter ini akan sentiasa berlaku di sepanjang zaman.
    Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 62- {“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.}-

    Dalam ayat ini Nabi Nuh AS menyatakan tugas utamanya sebagai utusan Allah kepada kaumnya.
    Dari Ayat ini 3 perkara yang perlu dipelajari oleh para pendakwah:
    i- Menyampaikan ilmu & dakwah.
    Kerja kita para pendakwah ialah menyampaikan, ada orang dengar alhamdulillah jika tidak; tidak mengapa.
    Pada zaman teknologi moden ini, gunakan segala kemudahan yang ada seperti media sosial untuk sampaikan dakwah kepada orang ramai.

    ii- Beri nasihat & peringatan dengan baik-baik.

    iii- Sumber ilmu yang kita nak ambil itu hendaklah dari sumber yang sahih & authentic.
    Bagi kita umat Nabi Muhammad ini; Nabi SAW kata dia telah tinggalkan kepada umatnya dua sumber yang jelas iaitu al-Quran & Sunnah Nabi SAW untuk memahaminya adalah dengan huraian para ulama’ yang muktabar!
    Tidak akan ada orang yang terus pandai dengan belajar sendiri, perlu kepada guru seperti ulama’ & imam-imam yang muktabar untuk menghuraikannya kepada kita.
    Cukuplah kisah Nabi Nuh AS secara ringkas dulu, insya’ Allah episod akan datang tentang kaum Ad dan Nabi Hud.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs