Kisah Nabi Hud AS, Berdakwah Kepada Kaumnya & Binasa Para Penentangnya.
Full video : https://youtu.be/rqtMDOuQP4E?si=rCJSGDDy4QFaAIW2
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 65 sehingga 72 dalam juzuk kelapan.
- Dalam ayat-ayat ini Allah SWT nyatakan tentang kisah Nabi Hud Alaihissalam salah seorang nabi utusan Allah.
- Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya, yang mana mereka menentang dan menolak dakwahnya.
- Akhirnya Allah ceritakan kebinasaan yang menimpa para penentangnya.
Umat terdahulu Allah tidak simpan lama, lawan je akan dibinasakan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah Nabi Nuh AS, dakwahnya serta halangan dari kaumnya serta kebinasaan mereka.
ii- Dalam ayat ini pula Allah bawa kisah nabi yang selepasnya iaitu Nabi Hud AS yang berdakwah kepada tauhid & jangan syirik kepada Allah, begitulah kesinambungan dakwah para nabi semuanya mengajak tauhid kepada Allah.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 65- {DAN KEPADA KAUM AAD, (KAMI UTUSKAN) SAUDARA MEREKA: NABI HUD. IA BERKATA: “WAHAI KAUMKU! SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH, (SEBENARNYA) TIDAK ADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. OLEH ITU, TIDAKKAH KAMU MAHU BERTAQWA KEPADANYA?”} (AL-A’RAF 7:65)
- Nabi Hud AS diutus kepada kaumnya, orang kampungnya, anak beranaknya {أَخَاهُمْ} yang bernama Kaum Ad {عَادٍ}.
- Sebagaimana dakwah dan ajaran para nabi & rasul sebelumnya, semuanya adalah tauhid kepada Allah & jangan syirik kepada-Nya. Begitulah juga dakwah Nabi Hud AS ini.
- Nabi Hud menyeru kaumnya agar :
i- Sembahlah kamu akan Allah, sebenarnya tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya.
ii- Oleh kerana dakwah Nabi Hud adalah kesinambungan kepada dakwah Nabi Nuh, Tidakkah kamu dengar apa yang telah berlaku terhadap kaum sebelum kamu yang ingkar & telah binasa???
Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada Allah agar kamu selamat.
AYAT 66- {KETUA-KETUA YANG KAFIR DARI KAUMNYA BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI (WAHAI HUD) NAMPAKMU BERADA DALAM KEBODOHAN, DAN SESUNGGUHNYA KAMI FIKIR ENGKAU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG BERDUSTA”.} (AL-A’RAF 7:66)
- Seperti biasa menjawablah ketua-ketua kaum kafir yang keras kepala & sombong tidak mahu menerima kebenaran, yang Allah panggil mereka ini dengan gelaran {ٱلْمَلَأُ}, iaitu para pembesar yang jahat & sombong takabbur.
- Mereka membuat tuduhan untuk merendah & menghina Nabi Hud dengan mengatakan bahawa:
i- “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan {فِى سَفَاهَةٍۢ}.
ii- Dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta {مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ} dalam dakwaan sebagai nabi.
Inilah tuduhan buruk yang dilemparkan kepada para pendawah pada masa & tempat di mana saja pun, jika mereka nak menjatuhkan kredibilitinya!
- Padahal mereka ini kenal dan tahu siapa Nabi Hud ini sejak dari awal lagi kerana dia adalah orang kampung mereka yang lahir & membesar di kalangan mereka.
Hud adalah seorang yang baik akhlaknya, bukan orang yang jahat.
AYAT 67- {NABI HUD MENJAWAB: “WAHAI KAUMKU! TIDAK ADA PADAKU SEBARANG KEBODOHAN, TETAPI AKU ADALAH SEORANG RASUL DARI TUHAN SEKALIAN ALAM.} (AL-A’RAF 7:67)
- Nabi Hud menyangkal tuduhan kaumnya dengan lembut dan berhemah, masih menyeru mereka sebagai: Wahai kaumku {يَـٰقَوْمِ}.
- Aku bukan adalah orang yang bodoh tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam, kerjaku mengajak kamu tauhid kepada Allah & larang dari syirik!
AYAT 68- {“(TUGASKU) MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU AKAN PERINTAH-PERINTAH (YANG DIUTUSKAN OLEH) TUHANKU, DAN AKU ADALAH PEMBERI NASIHAT YANG AMANAH, BAGI KAMU.} (AL-A’RAF 7:68)
- Nabi Nuh memberi nasihat lagi kepada mereka dengan menyatakan bahawa tugasnya:
i- Menyampaikan kepada mereka akan perintah-perintah yang diutuskan oleh Tuhannya,
ii- Dan dia adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi mereka.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT :
{Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!} (Hud 11: 51-52)
AYAT 69- {“ADAKAH KAMU MERASA RAGU-RAGU DAN HAIRAN TENTANG DATANGNYA KEPADA KAMU NASIHAT PENGAJARAN DARI TUHAN KAMU, MELALUI SEORANG LELAKI DARI GOLONGAN KAMU, UNTUK MEMBERI PERINGATAN KEPADA KAMU? DAN KENANGLAH KETIKA ALLAH MENJADIKAN KAMU KHALIFAH-KHALIFAH SESUDAH KAUM NABI NUH, DAN ALLAH TELAH MENAMBAHKAN KAMU KELEBIHAN (DAN KEKUATAN) PADA BENTUK KEJADIAN TUBUH KAMU. MAKA KENANGLAH AKAN NIKMAT-NIKMAT ALLAH SUPAYA KAMU BERJAYA”.} (AL-A’RAF 7:69)
- Nabi Nuh terus berdebat & berhujjah dengan kaumnya lagi dengan bertanya apakah mereka berasa pelik & tidak percaya kerana rasul yang diutuskan Allah untuk memberi peringatan kepada mereka ini adalah dari kalangan mereka sendiri?
Yakni orang tempatan (local) bukan orang luar atau selebriti yang masyhur atau malaikat.
Begitulah manusia apabila orang tempatan tidak akan masyhur di kalangan mereka.
YANG penting apabila tidak mahu dengar atau terima mereka akan mencipta pelbagai alasan, bawalah rimau gajah sekalipun tetap ingkar!
- Nabi Hud memberi peringatan dan nasihat lagi kepada kaumnya:
i- Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh,
ii- Dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan dan kekuatan pada bentuk kejadian tubuh kamu.
- Kata Ibnu Asyur : Kaum Ad iaitu kaum Nabi Hud ini adalah kaum yang pertama membina tamadun penempatan yang hebat & lengkap selepas taufan/banjir Nabi Nuh AS yang memusnahkan segalanya dulu.
ii- Mereka ini adalah kaum yang tinggi tegap tubuh badannya, gagah perkasa dari segi fizikal & kuat tenaganya.
- Sebagaimana firman Allah SWT ini :
{(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka.)
Iaitu penduduk “Iram” yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya).
Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)?} (Al-Fajr 89: 6-8)
Mereka ini kaum yang hebat & gagah perkasa buat bangunan yang tinggi di atas bukit-bukit.
- Akhirnya Nabi Nuh berkata: Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya mendapat kebahagiaan dan kejayaan dunia Akhirat.
Demikian jawapan dan nasihat Nabi Nuh terhadap tuduhan kaumnya itu!
Cara bersyukur ialah dengan melakukan ketaatan maka kamu akan dapat kejayaan & kemenangan serta kebahagiaan abadi di dalam syurga kelak.
AYAT 70- {MEREKA BERKATA: “ADAKAH ENGKAU DATANG KEPADA KAMI SUPAYA KAMI HANYA MENYEMBAH ALLAH SEMATA-MATA, DAN MENINGGALKAN APA YANG PERNAH DISEMBAH OLEH DATUK NENEK KAMI? (KAMI TIDAK AKAN MENURUT) MAKA DATANGKANLAH AZAB YANG ENGKAU JANJIKAN KEPADA KAMI, JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (AL-A’RAF 7:70)
- Mereka ini menjawab pula kepada Nabi Nuh AS :
i- Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami?
ii- Kami tidak akan menurut maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar.
- Yakni mereka bertegas tidak akan meninggalkan segala sembahan berhala mereka itu & sesekali tidak akan menerima dakwah Nabi Nuh apatah lagi beriman dengannya!
- Mereka juga mencabar Nabi Nuh AS bahawa jika betul dia dari dari orang-orang yang benar atas dakwaannya, maka datangkanlah azab yang dia janjikan kepada mereka itu!!
- Lihatlah betapa degil, sombong & takabbur kaum Ad ini!
AYAT 71- {NABI HUD MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA TELAH TETAPLAH KAMU AKAN DITIMPA AZAB DAN KEMURKAAN DARI TUHAN KAMU. ADAKAH KAMU HENDAK BERBAHAS DENGANKU MENGENAI NAMA-NAMA YANG HANYA KAMU DAN NENEK MOYANG KAMU MENAMAKANNYA, SEDANG ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENURUNKAN SEBARANG BUKTI YANG MEMBENARKANNYA? MAKA TUNGGULAH (KEDATANGAN AZAB ITU), SESUNGGUHNYA AKU JUGA DARI ORANG-ORANG YANG TURUT MENUNGGU BERSAMA-SAMA KAMU”.} (AL-A’RAF 7:71)
- Nabi Hud menjawab dan memberi amaran bahawa telah ditetapkan mereka akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan.
- Dalam masa yang sama Nabi Hud terus berdebat & cuba memberi kesedaran kepada mereka:
i- Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya.
Berhala yang mereka sembah, mereka sendiri yang memberinya nama.
ii- Sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.
Yakni bukan dengan perintah atau ajaran dari Allah.
Kita kena tahu bezakan antara menghina agama orang lain dengan memberi penjelasan untuk menyatakan kesesatan agar masyarakat tidak terjerumus ke dalam syirik & sesat.
- Akhirnya Nabi Hud memberi kata pemutus: Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu!!!
- Dalam firman Allah yang lain diceritakan bagaimana kaum Ad ini telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang lagi dahsyat:
i- {Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya.} (Al-Haqqah 69:6)
ii- {Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut {ٱلرِّيحَ ٱلْعَقِيمَ} yang tidak mengandungi sebarang kebaikan;} (Az- Zariyat 51:41)
- Begitulah mengikut kisah dalam al-Quran diceritakan bahawa azab yang diturunkan kepada kaum-kaum yang menentang ini berbeza mengikut keadaan & kecenderungan kejahatan yang mereka buat.
Sama ada dengan angin kencang, suara gegak gempita, banjir besar, tenggelam dalam bumi dan seumpamanya.
AYAT 72- {MAKA KAMI SELAMATKAN DIA DAN ORANG-ORANG YANG BERSAMANYA, DENGAN RAHMAT DARI KAMI, DAN KAMI (BINASAKAN SERTA) PUTUSKAN KETURUNAN ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI, DAN MEREKA BUKANLAH ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-A’RAF 7:72)
- Dengan rahmat-Nya, Allah selamatkan Nabi Hud dan mereka yang beriman bersamanya.
Manakala mereka yang menentang Allah binasakan secara total (استئصال) serta putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
Umat Nabi Muhammad rahmatan lil-‘Alamin tidak begitu, tidak ada yang kena azab atau dibinasakan secara menyeluruh ini.
- Sebagaimana Allah gambarkan dalam firman-Nya ini:
i- {Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.} (Hud 11:58)
ii- {Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya,
Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.} (Al-Haqqah 69: 6-7)
- Di akhir ayat Allah kata : dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
Maka tak usahlah kamu bersedih dan kesal wahai Nabi Hud, mereka itu adalah orang yang celaka & rugi akibat kezaliman mereka sendiri!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 65- {Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud.}-
Allah kata Dia hantar kepada kaum Ad, nabi Hud yang merupakan saudara mereka, yakni kaumnya sendiri, dari kampung mereka sendiri!
Ini kerana sesama bangsa atau kaum lebih mudah untuk berinteraksi sesama mereka, kerana lebih memahami keaadan dan budaya satu sama lain.
Jika tidak mereka akan buat alasan tidak faham bahasa, berbeza bahasa dan budaya dan lain-lain sebab pendustaan!
Siapakah Nabi Hud & kaum Ad ini??
i- Hud ialah nabi yang diutus selepas Nabi Nuh AS. Nama penuh baginda ialah Hud bin Syalakh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh AS.
Dan ada juga yang menyebut nama baginda dengan Hud bin ‘Abdullah bin Rabbah bin Al-Jarud bin ‘Aad bin Aus bin Irm bin Sam bin Nuh.
Seperti demikianlah yang disebutkan oleh Imam Ibnu Jarir dalam Kitab Tarikh At-Thabari.
Dia adalah dari golongan pertengahan atau sederhana dalam kalangan kaumnya.
Begitulah biasanya para nabi yang diutuskan bukan terlalu tinggi kedudukan atau yang terlalu hina dalam kalangan kaumnya.
ii- Kaum Ad ini adalah kaum yang pertama membina tamadaun selepas kebinasaan kaum Nabi Nuh dulu.
Mereka juga mempunyai berhala mereka sendiri yang iaitu patung-patung yang dibuat & diberi nama Shamud dan Alhattar dan itu yang disembah sebagai tuhan mereka.
iii- Ad adalah suatu suku yang hidup di Jazirah (Semenanjung) Arab di suatu tempat bernama al-Ahqaf iaitu kawasan bukit pasir antara Oman & Hadra Maut di Yaman.
Mereka suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa.
iv- Nabi Hud disebut sebanyak 7 kali dalam al-Quran iaitu antaranya dalam Surah Hud, Surah Al-Mukminun, Surah Al-Ahqaf dan Surah Al-Haqqah.
- Ayat 65- { Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.}-
Begitulah asas ajaran & dakwah para nabi hanya satu, menyeru tauhid kepada Allah & larangan dari syirik kepada Allah!
Semua nabi dan rasul AS menyeru manusia kepada menyembah Allah Yang Esa dan menolak semua ibadat yang lain, walaupun berbeza dari segi Syariat (perundangan) dan hukum, tetapi sama pada asasnya iaitu Tauhid kepada Tuhan Yang Esa.
Sabda Nabi SAW :
الأنبياء إخوة لعلات. [رواه البخاري]
“Semua nabi adalah adik beradik tiri (sebapa tapi berlainan ibu)”. (HR Al-Bukhari).
Yakni semua nabi itu asas dakwahnya sama iaitu tauhid kepada Allah cuma mungkin berbeza sedikit pada hukum-hakam Syari’ahnya.
Contoh: Kaum Nabi Nuh boleh buat perkara ini tetapi tidak kaum Nabi Hud atau sebaliknya.
Sama seperti hukum Syari’ah kita umat Nabi Muhammad SAW tidak sama dengan beberapa hukum umat terdahulu.
Yakni berbeza mengikut kesesuaian tempat dan zaman.
- Ayat 66- {Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.}-
Berkata orang besar, mula melemparkan tuduhan dan fitnah jahat ke atas Nabi Hud.
Begitulah MO (modus operandi) puak kafir yang menentang terhadap para nabi yang diutuskan kepada mereka, akan dilemparkan dengan pelbagai sifat buruk & negatif seperti; sesat, bodoh, gila, tukang sihir, penyair dan seumpamanya.
Tetapi apabila berhadapan dengan tuduhan dan penghinaan jahat ini jangan mudah merah muka, melenting atau merajuk terus berdoa kebinasaan.
Contohilah para nabi walaupun dicabar, sabar dan tenang.
Pendakwah yang ikhlas jangan mudah marah tidak akan melenting dan akan sabar.
Para nabi terus berdakwah tidak mudah ambil tindakan bahkan bersabar terus berlembut sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Hud ini:
{Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.}
- Ayat 70- {… (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.}-
Mereka yang sombong & takabbur terus mencabar Nabi Hud untuk menurunkan azab ke atas mereka.
Begitulah biasanya orang yang keras kepala ini suka mencabar, terus minta azab.
Kita jangan jadi begitu, para pendakwah kena sabar & cool; orang nak berdebat ke, nak minta sumpah laknat, jangan sambut, jangan melayan provokasi yang dimainkan musuh jika ia tidak membawa faedah & kebaikan untuk agama kita!
- Ayat 72- {Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.}-
Kita kena ingat, yakin dan percaya bahawa janji Allah itu adalah benar.
Janji Allah itu benar!
Apabila Allah berjanji Dia akan beri bantuan kepada hamba-Nya yang beriman, beri pertolongan kepada hamba-Nya yang taat, kita yakin bahawa Allah akan sempurnakannya.
Yakin & percaya bahawa semua janji Allah itu benar, sebagaimana para nabi lepas seorang-seorang yang ditentang oleh kaumnya akan mencapai kejayaan akhirnya!
Mereka yang menentang pula, Allah akan dibinasakan.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.