View Categories

(25) Surah Al-A’raf : Ayat 73-79

Kisah Nabi Soleh AS, Berdakwah Kepada Kaumnya & Binasa Para Penentangnya Yang Menyembelih Unta Mukjizatnya.

Full video : https://youtu.be/UC_87W8Xj_o?si=QeMolLq2qYqbjJak

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 73 sehingga 79 dalam juzuk kelapan.
  1. Dalam siri ini adalah tentang kisah nabi yang ketiga dalam surah ini.
    Allah SWT nyatakan kisah Nabi Soleh AS, selepas kisah nabi Adam, nabi Nuh & nabi Hud sebelumnya.
    Plot cerita tak jauh cuma mukjizat berbeza. Penentangan & cabaran lebih kurang, tuduhan dan fitnah adalah mainan orang kafir yang mengingkari.
  1. Kisah Nabi Soleh AS berdakwah kepada kaumnya iaitu kaum Thamud.
    Kaum Thamud ini tempatnya di al-Hijr atau sekarang di kenali sebagai Madain Soleh di al-Ula, Arab Saudi.
    Jaraknya dengan Madinah lebih kurang 400km.
    Sekarang dijadikan tempat pelancongan, kita berhati-hatilah dan sentiasa ingat pesan Nabi SAW tentang pergi ke tempat yang pernah dilaknat oleh Allah.
  1. Mereka meminta mukjizat dari nabi Soleh lalu Allah hantar unta, tetapi mereka tak puas hati, mereka sembelih pula unta itu!
    Lalu Allah binasakan para penentangnya yang menyembelih unta mukjizatnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah Nabi Hud yang diutuskan kepada kaumnya, Ad & dia berdakwah kepada mereka kepada tauhid.
    Kaumnya yang menentang akhirnya dibinasakan oleh azab Allah.

    ii- Datang ayat-ayat ini membawa kisah tentang Nabi Solah dan kaumnya pula iaitu kaum Thamud.
    Kaumnya yang ingkar minta bukti tetapi apabila Allah hantar mukjizat seekor unta mereka membunuhnya pula.
    Lalu Allah juga binasakan mereka yang kafir ini semuanya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 73- {DAN KEPADA KAUM THAMUD (KAMI UTUSKAN) SAUDARA MEREKA: NABI SOLEH. IA BERKATA: “WAHAI KAUMKU! SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH, (SEBENARNYA) TIADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU KETERANGAN YANG NYATA (MUKJIZAT) DARI TUHAN KAMU; INI ADALAH SEEKOR UNTA BETINA (DARI) ALLAH SEBAGAI KETERANGAN BAGI KAMU (MEMBUKTIKAN KEBENARANKU). OLEH ITU, BIARKANLAH UNTA ITU MENCARI MAKAN DI BUMI ALLAH, DAN JANGANLAH KAMU MENYENTUHNYA DENGAN SESUATU YANG MENYAKITINYA; (KALAU KAMU MENYENTUHNYA) MAKA KAMU AKAN DITIMPA AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-A’RAF 7:73)

  1. Allah utuskan Nabi Soleh kepada kaumnya, anak beranak sekampungnya iaitu kaum Thamud.
    Sama seperti Nabi Hud, Nabi Soleh juga adalah anak tempatan yang dipilih sebagai nabi kepada kaumnya.
  1. Maksudnya {أَخَاهُمْ} ialah dari kabilah yang sama.
    Nabi Soleh menyeru kaumnya dengan panggilan mesra dan penuh penghormatan {يَـٰقَوْمِ}.
  1. Dakwahnya sama dengan dakwah para nabi yang lain iaitu: {Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.} Iaitu tauhid mengesakan Allah & menjauhkan dari syirik.
  1. Mereka ini tidak terus percaya kepada dakwah Nabi Soleh bahkan mereka minta satu mukjizat sebagai bukti kebenarannya.
    Nabi Soleh berdoa minta dengan Allah, lalu Allah hantar seekor unta yang keluar dari bukit/batu.
    Mukjizat ialah tanda kemuliaan yang Allah beri kepada seorang rasul sebagai tanda kebenarannya.
  1. Kata ar-Razi : Al-Quran telah menunjukkan bahawa ia sendiri mengandungi tanda-tanda keagungan Allah SWT.
    Unta itu adalah satu mukjizat yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT.
  1. Nabi Soleh memberi peringatan kepada kaumnya tentang unta itu:
    i- Ini adalah seekor unta betina dari Allah {نَاقَةُ ٱللَّهِ} sebagai keterangan bagi kamu membuktikan kebenaranku.

    ii- Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya.
  1. Bahkan mereka telah diberi amaran dengan jelas oleh Nabi Soleh: kalau kamu menyentuhnya, yakni menyakitinya, kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
  1. Kisah ini ditafsirkan oleh banyak ayat-ayat Quran yang lain:
    i- {Nabi Soleh berkata: “Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
    “Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya)”.} (Asy-Syu’ara’ 26: 155-156)
    Yakni mereka bergilir minum air telaga dengan unta itu, sehari mereka & sehari unta.
    Pada hari giliran unta mereka tidak boleh usiknya.
  1. Al-Quran sudah lengkap bawa kisah pengajaran & amaran, tak perlu lagi kita cari yang lain, yang pelik-pelik seperti kisah israiliyyat.

AYAT 74- {“DAN KENANGLAH KETIKA ALLAH MENJADIKAN KAMU KHALIFAH-KHALIFAH SESUDAH KAUM AAD, DAN DI TEMPATKANNYA KAMU DI BUMI, (DENGAN DIBERI KEMUDAHAN) UNTUK KAMU MENDIRIKAN ISTANA-ISTANA DI TANAHNYA YANG RATA, DAN KAMU MEMAHAT GUNUNG-GANANGNYA UNTUK DIJADIKAN RUMAH. MAKA KENANGKANLAH NIKMAT-NIKMAT ALLAH ITU DAN JANGANLAH KAMU BERMAHARAJALELA MELAKUKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI”.} (AL-A’RAF 7:74)

  1. Munasabah ayat :
    i- Dalam ayat sebelumnya Nabi Soleh berdakwah ajak kaumnya kepada tauhid;

    ii- Kemudian dalam ayat mereka diingatkan untuk bersyukur akan nikmat yang Allah beri kepada mereka.
  1. Kaum Thamud ini datang selepas kaum Ad yang dibinasakan dan mereka tahu tentang kisah kebinasaan kaum Ad itu.
  1. Allah beri kepada mereka kemudahan dan teknologi untuk hidup atas muka bumi ini.
    Penempatan mereka adalah di al-Hijri iaitu antara Hijaz dan Syam.
  1. Antara kemewahan & kecanggihan teknologi mereka ialah:

    i- Diberi kemudahan untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, yang mana mereka membina istana-istana indah & besar di kawasan tanah lapang atau lembah bukit, ini mereka diami pada musim panas untuk menyejukkan badan.

    ii- Dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah.
    Kemudian mereka juga mempunyai kepintaran dan kemahiran memahat gunung pula untuk dijadikan rumah kediaman pada musim sejuk untuk mengelakkan angin sejuk.
    Jadi mereka sejuk pada musim panas.
  1. Allah juga ceritakannya dalam firman-Nya ini:
    {“Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal, dengan bijak dan bersungguh-sungguh?} (Asy-Syu’ara’ 26:149)
    Cantik sekali bekas penempatan mereka ini tetapi kerana kita ingat hadis Nabi yang melarang untuk pergi ke tempat yang Allah pernah laknat, tidak pelu melancong suka-suka ke sana.
  1. Kerana itu Nabi Soleh berpesan mengingatkan kaumnya lagi:
    i- Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu;

    ii- Dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi.
  1. Kerosakan di muka bumi ini sama ada:
    i- Melakukan syirik kepada Allah dan segala perbuatan derhaka & dosa.

    ii- Kerosakan ekosistem bumi dengan sebab pembangunan seperti korek bukit, tebang pokok dan lain-lain.

AYAT 75- {KETUA-KETUA YANG SOMBONG TAKBUR DARI KAUMNYA BERKATA KEPADA ORANG-ORANG YANG DIPANDANG LEMAH IAITU ORANG-ORANG YANG TELAH BERIMAN DI ANTARA MEREKA: “TAHUKAH KAMU BAHAWA SOLEH ITU DIUTUS DARI TUHANNYA?” MEREKA MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA KAMI BERIMAN KEPADA APA YANG IA DIUTUS UNTUK MENYAMPAIKANNYA”.} (AL-A’RAF 7:75)

  1. Sekali lagi puak pembesar {ٱلْمَلَأُ} di kalangan mereka yang sombong lagi takabbur membuat di’ayah, menimbulkan keraguan dan curiga masyarakat, iaitu kaumnya yang lemah terhadap Nabi Soleh.
  1. Mereka berkata untuk menggoyahkan kepercayaan mereka yang telah beriman: “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus dari Tuhannya?”.
  1. Tetapi orang yang beriman tetap teguh imannya dan: Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya”

AYAT 76- {ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR ITU BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI TETAP INGKAR AKAN ORANG YANG KAMU BERIMAN KEPADANYA”.} (AL-A’RAF 7:76)

  1. Puak yang sombong & takabbur itu menjawab lagi, menegaskan kekufuran mereka dan penolakan mereka terhadap Nabi Soleh: “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman kepadanya”.

AYAT 77- {MAKA MEREKA PUN MENYEMBELIH UNTA ITU, DAN MEREKA MENDERHAKA TERHADAP PERINTAH TUHAN MEREKA, SAMBIL BERKATA: “HAI SOLEH! DATANGKANLAH AZAB YANG ENGKAU TELAH JANJIKAN KEPADA KAMI, JIKA BETUL ENGKAU DARI RASUL-RASUL YANG DIUTUS (OLEH ALLAH)”.} (AL-A’RAF 7:77)

  1. Akhirnya kumpulan yang ingkar mendusta itu berpakat untuk membunuh unta Nabi Soleh, perbuatan itu diketuai oleh Qudar bin Salif dan beberapa orang pemuda kaum.
  1. Setelah melakukan perbuatan derhaka menyembelih unta mukjizat itu mereka mencabar pula Nabi Soleh dengan berkata:
    Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus oleh Allah!!!

AYAT 78- {OLEH ITU, MEREKA PUN DIBINASAKAN OLEH GEMPA BUMI, LALU MENJADILAH MEREKA MAYAT-MAYAT YANG TERSUNGKUR DI TEMPAT TINGGAL MASING-MASING.} (AL-A’RAF 7:78)

  1. Akibat perbuatan derhaka mereka & cabaran sombong mereka itu, Allah pun turunkan azab bencana-Nya ke atas mereka.
  1. Mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi {ٱلرَّجْفَةُ}, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    {“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya”.
    Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan”.
    Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
    Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.} (Hud 11: 64-67)

AYAT 79- {MAKA NABI SOLEH PUN MENINGGALKAN MEREKA SAMBIL BERKATA: “WAHAI KAUMKU! AKU TELAH MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU PERUTUSAN TUHANKU, DAN AKU TELAH MEMBERI NASIHAT KEPADA KAMU, TETAPI KAMU TIDAK SUKA KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMBERI NASIHAT”. (AL-A’RAF 7:79)

  1. Alangkah sedihnya kisah Nabi Soleh ini. Setelah kebinasaan kaumnya Nabi soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat”.
  1. Terdapat persoalan bilah Nabi Soleh melontarkan kata-kata ini?
    Terdapat dua pendapat:
    i- Selepas kemusnahan kaumnya yang tidak beriman itu, mereka lalu binasa semuanya. Nabi Soleh pun masuk melihat mereka sambil berkata melepaskan perasaanya dengan penuh kekesalan & kesedihan.
    Sebagaimana Rasulullah SAW pergi bermonolog dengan kaum Quraisy yang telah terbunuh dalam peperangan Badar.

    ii- Ada juga ulama’ tafsir seperti al-Qurtubi kata : Sebelum kemusnahan mereka lagi, tetapi tanda-tanda azab telah datang.
    Lalu Nabi Soleh sempat lagi berpesan menasihat kepada mereka, sekarang tunggulah apa yang kamu pinta, azab Allah akan datang menimpa kamu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 73- {Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka:…}-

    Nabi Soleh ialah nabi & rasul yang utuskan kepada kaumnya iaitu kaum Thamud.
    Kaum Thamud ini juga kerjanya menyembah berhala.
    Nabi Soleh disebut namanya dalam al-Quran sebanyak 9 kali.
    Al-Imam al-Baghawi kata penuhnya ialah : Soleh bin Ubaid bin Asif bin Masih bin Ubaid bin Hadir bin Thamud.
    {Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.}- Inilah bahasa yang digunakan oleh para nabi ialah bahasa yang lemah lembut, lunak dan mesra, wahai kaumku.
    Uslub gaya dakwah para nabi sama iaitu untuk menyembah Allah tanpa mempersekutukannya dengan yang lain.
    {Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku).}-
    Nabi Soleh kata apabila kamu minta tanda; maka Allah hantar mukjizat yang berupa seekor unta betina yang kamu dapat minum susu darinya.
  1. Ayat 73- { Ia berkata: “Wahai kaumku!…. ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku).}-

    Mukjizat yang dihantar ialah seekor unta betina.
    Maka Nabi Soleh memangilnya sebagai unta Allah {نَاقَةُ ٱللَّهِ} kerana ia adalah satu mukjizat yang Allah hantar, ia keluar dari bukit bukan dilahirkan oleh seekor ibu!
    Dinisbahkan kepada Allah untuk mengagungkan, menunjukkan ketinggian kedudukannya.
    Contoh: Masjid kita panggil rumah Allah, nak tunjukkan kemuliaannya.
    Nabi Soleh juga memberi amaran & peringatan kepada mereka agar jangan menyakiti dan khianat kepada unta Allah itu.
    Biarlah ia bebas berkeliaran, makan & minum apa yang ia mahu. Jika tidak kamu akan dibinasakan.
  1. Ayat 74- {“Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu…}-

    Nabi Soleh mengingatkan kaumnya untuk bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah berikan kepada mereka.
    Maka jangan kamu buat kerosakan atas muka bumi ini dengan melakuakan syirik kepada Allah SWT.
    Allah juga mengatakan mereka ini telah dijadikan pengganti {خُلَفَآءَ} kepada kaum lain yang telah binasa untuk duduk atas muka bumi ini.
    Perbincangan: Jangan kata manusia ini khalifah Allah (خليفة الله) bahkan manusia adalah khalifah (pengganti) antara satu sama lain, pengganti kepada orang dahulu untuk duduk atas muka bumi ini.
    Ada perbincangan dalam Kitab al-Azkar an-Nawawi dalam bab: Larangan memanggil manusia sebagai Khalifah Allah.
    Boleh lihat di sini: https://youtu.be/jytZzZGF_j4?si=ynilsHknJsOJE_NR
    AAM 2025 Al-Azkar An-Nawawi (135) Gelaran “Khalifah Allah”, “As-Sayyid”, “Rabbi”, “Maula” Kepada Bos.
    Antara nikmat yang Allah beri ialah: Mereka kaum Thamud telah buat binaan yang tinggi atas muka bumi ini.
    Maka ulama’ kata : Harus kita buat binaan tinggi, banglo mewah dan sebagainya dengan hasil duit yang halal, itu juga adalah nikmat dari Allah.
    Tetapi dalam masa yang sama jangan lupa untuk bersyukur atas segala nikmat Allah itu!
  1. Ayat 75- {Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata kepada…}-

    Orang-orang besar, ketua {ٱلْمَلَأُ} yang sombong menghina orang beriman yang lemah dan mendustakan dakwah para nabi.
    Kita kena ingat pada setiap masa & zaman pasti ada saja ketua penentang Islam dan dakwah agama ini.
    Ada saja Firaun pada setiap zaman; kerana itu Abu Jahal dikatakan sebagai Firaun kepada umat Nabi Muhammad SAW.
    Umat Islam kena bersatu hati & kuat, jangan kita pula dok menumpang bawah ketiak mereka!
  1. Ayat 77- {Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka,…}-

    Mereka menyembelih unta itu {فَعَقَرُوا۟}.
    Di sini Allah gunakan perkataan {فَعَقَرُوا۟} kerana mereka sembelih unta itu bukan untuk makan dan dapat manfaat darinya, tetapi sembelih secara kejam untuk membunuh unta itu!
    Jika sembelih unta untuk makan digunakan perkataan an-Nahar (النَّحْر).
    Yang penting unta itu binasa dan mereka terus keras kepala.
    Maka ketetapan Allah SWT akan berlaku, mereka yang melakukan kezaliman atas muka bumi ini akan dibalas!
    Walaupun yang sembelih hanya seorang saja tetapi kerana semua berkomplot nak buat maksiat & dosa maka mereka dikira membunuh semuanya.
    Begitulah undang-undang Syari’ah Islam, siapa yang berkomplot merancang nak buat sesuatu jenayah sehingga mati mangsa, semuanya kena hukum balas bunuh.
    Begitulah sunnatullah lalu:
    Ayat 78- {Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.}– Apabila datang gempa bumi mereka semua mati tersungkur.
    Maka mereka semua musnah dibinasakan tidak tertinggal baka!
    Begitulah balasan Allah kepada orang-orang yang derhaka, sombong & takabbur.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs