Nabi Syu’aib AS Diancam Oleh Kaumnya, Tetap Pendirian Syu’aib & Kaumnya Dibinasakan.
Full video : https://youtu.be/mXdMG-4fMQ4?si=bV5WuI5SOtpD92Ue
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 88 sehingga 93.
Sudah masuk dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini ialah sambungan kepada kisah Nabi Syu’aib AS sebelum ini, Baginda diancam oleh kaumnya, apabila beri nasihat kepada mereka tentang perbuatan buruk mereka.
Ini adalah kisah nabi yang kelima dalam Surah Al-A’raf ini.
- Tetapi ancaman itu tidak memberi kesan, tetap pendirian Syu’aib tidak goyah dalam dakwah yang dibawanya.
- Akhirnya kaum nabi Nabi Syu’aib ini, kaum Madyan, ashabul Aikah, dibinasakan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya :
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perangai buruk penduduk Madyan.
Siri ini disambung lagi kisah mereka.
- Sempena sudah berlalu satu pertiga atau 10 awal Ramadhan, kita periksa diri kita, ibadat kita apakah kita mengisinya dengan sebaiknya agar tidak kerugian peluang yang Allah beri ini.
Insya’ Allah 10 yang tengah ini kita tingkatkan lagi yang akan datang, perkemaskan yang sudah ada semoga kita mencapai target menjadi orang yang bertaqwa.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 88- {KETUA-KETUA YANG SOMBONG TAKBUR DARI KAUM NABI SYUAIB BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENGUSIRMU WAHAI SYUAIB DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG MENJADI PENGIKUT-PENGIKUTMU DARI NEGERI KAMI INI, ATAU KAMU BERPINDAH KEPADA AGAMA KAMI”. NABI SYUAIB MENJAWAB: “ADAKAH (KAMU HENDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) SEKALIPUN KAMI TIDAK MENYUKAINYA?} (AL-A’RAF 7:88)
- Apabila Nabi Nabi Syu’aib beri teguran dan peringatan tentang perbuatan buruk kaumnya yang suka mengurangkan sukatan & timbangan dalam urusan mereka.
- Mereka membalas dan mengancam & mencabar untuk :
i- Mengusir Nabi Syu’aib dan pengikutnya yang beriman keluar dari negeri mereka pula.
ii- Atau sebaiknya Nabi Syu’aib yang ikut agama mereka.
- Seperti yang kita selalu hurai, yang selalu ke depan dalam menentang adalah para ketua {ٱلْمَلَأُ} yang sombong takabbur, degil keras kepala tak mahu dengar kata.
Perkataan {ٱلْمَلَأُ} yang Allah gunakan dalam al-Quran merujuk pada mereka yang dicela, sombong; maka tidak sesuai untuk kita gunakan istilah ini kepada kawan-kawan Islam kita yang gedebe (samseng).
- Nabi Syu’aib bukan seorang yang penakut dan tiada prinsip walaupun pengikutnya tidak ramai kerana mati berprinsip lebih baik dari hidup tanpa prinsip & pendirian tetap.
- Beliau membalas, Apa yang kamu akan buat jika kami tidak menyukainya?
Yakni tidak mahu keluar atau tidak mahu ikut agama mereka.
Ayat ini adalah ayat bantah, lawan hujjah mereka itu, bukan hanya diam & lemah.
Begitulah uslub para pendakwah apabila berhadapan dengan tentangan & tekanan; lihat keadaan jangan agresif sangat & jangan lemah sangat!
- Mengikut Syeikh Syanqiti RHM, ayat ini menimbulkan perbincangan apakah nabi Nabi Syu’aib sebelum menjadi nabi pernah ikut agama mereka itu?
- Jawapan: Pandangan majoriti ulama’ kata : Para nabi termasuk Nabi Syuaib AS adalah tempat Allah hantar wahyu, tempat menyimpan kebaikan, mereka tidak pernah kufur, tidak pernah syirik.
Para anbiya’ dijaga tauhid mereka dari awal keturun sehingga menjadi rasul.
Selepas menjadi rasul lebih-lebih lagi.
AYAT 89- {“SESUNGGUHNYA (BERMAKNA) KAMI BERDUSTA TERHADAP ALLAH, JIKA KAMI BERPINDAH KEPADA AGAMA KAMU SESUDAH ALLAH MENYELAMATKAN KAMI DARIPADANYA. DAN TIDAKLAH HARUS KAMI BERPINDAH KEPADANYA SAMA SEKALI, KECUALI JIKA ALLAH TUHAN KAMI, MENGHENDAKINYA. PENGETAHUAN TUHAN KAMI MELIPUTI AKAN TIAP-TIAP SESUATU. KEPADA ALLAH JUALAH KAMI BERTAWAKAL. WAHAI TUHAN KAMI, HUKUMKANLAH ANTARA KAMI DAN KAUM KAMI DENGAN KEBENARAN (KEADILAN), KERANA ENGKAU JUALAH SEBAIK-BAIK HAKIM”.} (AL-A’RAF 7:89)
- Nabi Syu’aib terus berdebat & berhujjah dengan kaumnya yang kafir:
i- Takkanlah kami selepas Allah selamatkan kami dengan tauhid; nak kembali syirik seperti kamu?
ii- Jika kami berbuat demikian bermakna kami telah berdusta terhadap Allah.
iii- Kami semua adalah mukmin yang beriman kepada Allah & tidak akan syirik sama sekali;
iv- Kecuali jika Allah mengkehendakinya.
Kena banyak berdoa agar Allah tetapkan hati kita atas landasan iman, kerana Allah yang dapat membolak-balikkan hati manusia.
Kita nak apa jadipun kita ini tetap dalam Islam & berakhir dengan husnul khatimah.
- Antara doa-doa istiqomah yang baik:
i- “اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ” –
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas Agama-Mu.”
ii- اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْحَوْرِ بَعْدَ الْكَوْرِ-
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari terpesong dari landasan yang benar setelah mendapat hidayah.”
iii- اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة-:
Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.
Insya’ Allah siapa yang takut awal akan aman kemudiannya, siapa yang aman awal akan susah kemudiannya yakni atas dunia relax pemalas maka di Akhirat akan menyesal dan susah.
Siapa yang jinak dengan masjid ketika hidupnya, bila mati pun orang akan bawa ke masjid.
- Kemudian Nabi Nabi Syu’aib berdoa: {Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal.} Tetapi jangan tawakkal saja tanpa usaha, kita kena ambil sebab atau langkah-langkah yang menunjukkan kita telah usaha & ikhtiar baru bertawakkal kepada Allah.
- Di akhir ayat Nabi Syu’aib berdoa lagi :
i- {{Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), yakni tolonglah kami dalam kalahkan mereka.
ii- Ini kerana kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim yang adil wahai Tuhan kami!
Ini uslub berdebat juga, akhirinya dengan serahkan urusan & hukuman kepada Tuhan.
AYAT 90- {DAN BERKATALAH PULA KETUA-KETUA YANG KAFIR DARI KAUM NABI SYUAIB (KEPADA ORANG RAMAI): “SESUNGGUHNYA JIKA KAMU MENGIKUT SYUAIB NESCAYA KAMU DENGAN PERBUATAN YANG DEMIKIAN MENJADILAH ORANG-ORANG YANG RUGI”.} (AL-A’RAF 7:90)
- Dialog berhenti di situ saja, puak ketua kafir, para al-mala’ yang sombong takabbur itu menghasut kaumnya pula dengan memburuk-burukkan nabi Syuaib, jangan mengikutinya, jika tidak kamu adalah orang yang sesat & rugi.
- Munasabah ayat :
i- Selepas mereka berlawan dan berhujjah dengan Nabi Syu’aib, mereka tidak terlawannya maka mereka;
ii- Ambil taktik kotor dengan memburukkan Nabi Syu’aib, beri amaran kepada para pengikutnya pula, jangan ikut Nabi Syu’aib jika tidak kamu akan rugi, sama ada rugi dari sudut aqidah mengikut pandangan mereka atau rugi dari sudut keduniaan, hilang kontrak, tak naik pangkat, tak dapat projek dan seumpamanya.
- Yakni mereka ini selain syirik, menipu dalam sukatan, mereka ugut pula dari sudut duniawi.
AYAT 91- {MAKA MEREKA DIBINASAKAN OLEH GEMPA, LALU MENJADILAH MEREKA MAYAT-MAYAT YANG TERSUNGKUR DI TEMPAT MASING-MASING.} (AL-A’RAF 7:91)
- Akhirnya tiba tempoh yang dijanjikan, mereka dibinasakan oleh azab gempa yang dahsyat, yang mana mayat-mayat mereka guling-bating, bergelimpangan!
- Menurut ayat-ayat al-Quran yang lain azab yang dikenakan ke atas mereka ada tiga jenis:
i- Dengan gempa { فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ}.
ii- Dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi,
{ وَأَخَذَتِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ٱلصَّيْحَةُ}.
Ada kata tempikan malaikat.
iii- {Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung, فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمْ عَذَابُ يَوْمِ ٱلظُّلَّةِ ۚ}
Ulama’ kata : Ketiga jenis azab ini tidak bercanggah antara satu sama lain bahkan ketiga-tiganya berlaku dalam satu episod, yang mana datang dulu semuanya menakutkan & berlaku semua.
- Maka binasalah mereka kesemuanya, bergelimpangan mayat-mayat mereka {جَـٰثِمِينَ}.
AYAT 92- {ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN NABI SYUAIB (PUNAH-RANAH) SEOLAH-OLAH MEREKA TIDAK PERNAH MENDIAMI NEGERI ITU. ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN NABI SYUAIB, MEREKALAH ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-A’RAF 7:92)
- Maka akhirnya mereka yang mendustakan Nabi Syu’aib, hancur binasa seolah mereka tidak pernah wujud sebelum ini, seolah tidak pernah ada tinggal di negeri mereka itu.
Betapa dahsyatnya azab yang menimpa mereka sehingga hilang segala kesan & jejak mereka semua!
- Mereka yang mendustakan ini sebenarnya adalah orang yang akan kerugian dunia & Akhirat.
AYAT 93- {KEMUDIAN NABI SYUAIB MENINGGALKAN MEREKA SAMBIL BERKATA: “WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENYAMPAIKAN KEPADA KAMU PERINTAH-PERINTAH TUHANKU, DAN AKU TELAH MEMBERI NASIHAT KEPADA KAMU. OLEH ITU, TIDAKLAH AKU MERASA SEDIH TERHADAP ORANG-ORANG KAFIR (YANG TELAH BINASA ITU)”.} (AL-A’RAF 7:93)
- Selepas selesai azab itu, malaikat pun pergi, semua kaumnya mati bergelimpangan, Nabi Syu’aib pun keluar meninggalkan tempat itu sambil berkata:
i- “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, aku telah jalankan tugasku;
ii- Dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, beri amaran & segala peringatan tetapi kamu tak dengar juga;
iii- Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)”.}
- Peristiwa ini sama seperti yang berlaku kepada nabi Soleh, juga perbicangan bilakah monolog oleh para nabi ini berlaku, sama juga seperti perbincangan dalam siri yang lepas. Sama ada sebelum kebinasaan atau selepas kebinasaan mereka.
- Perkara ini juga telah berlaku kepada Rasulullah SAW selepas peperangan Badar. Setelah selesai peperangan Rasulullah arahkan sahabat mencampakkan mayat kafir yang terbunuh ke dalam sebuah telaga buruk & Baginda SAW menziarahi mayat mereka sambil bermonolog juga.
Wahai para kafir apa yang kamu dapat, apakah kamu telah dapati apa yang kamu dustakan dulu benar… dan seumpamanya.
Ini kerana Nabi kata para mayat itu dengar cuma tak boleh jawab.
- Kita orang Islam jika ziarahi kubur jangan mengarut, cukup sekadar beri salam & mendoakan kebaikan bagi mereka.
Perbuatan karut seperti mengadu bercakap dengan orang dalam kubur, bahkan yang teruk lagi tulis surat kepada mayat.
Ini adalah perbuatan-perbuatan khurafat yang boleh membawa kepada syirik & wajib kita hapuskan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 88- {Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman…}-
Kata ulama’ : Betapa kita lihat di sini Nabi Syu’aib seorang nabi yang diutuskan oleh Allah SWT berhadapan dengan satu kaum yang sombong takabbur keras kepala tidak mahu terima kebenaran.
Puak ini biasanya mereka tidak hormat kepada orang tua, mereka menggunakan bahasa yang tidak beradab seperti nak usir keluar.
Hakikat yang berlaku dalam negara kita sekarang ini, DDAAM pernah terbaca dalam internet, terdapat satu golongan orang muda yang buat sesuatu yang tidak elok, lalu seorang tokoh agama, muti menegurnya, dan mereka boleh menjawabnya balik dengan mengatakan mufti otak di kepala lutut!
Begitulah sekarang apabila berbeza pendapat saja terus hilang hormat & kewarasan!
Allahu al-Musta’an.
Allah nyatakan bahawa puak al-mala’ ini sifat mereka adalah sombong takabbur & tidak mahu terima kebenaran.
- Ayat 88- {… “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada agama kami”.}-
Di sini kaumnya meberi amaran & ancaman kepada Nabi Syu’aib.
Bentuk amaran yang mereka beri kepada Nabi Syu’aib ada dua:
i- Kami akan halau kamu dari negeri ini.
Ini kerana bagi seseorang untuk tinggalkan negeri tempat asalnya adalah satu bentuk kesiksaan.
Kerana itu dalam Islam ada satu bentuk hukuman buang daerah.
Jadi dua sebab mereka nak halau Nabi Syu’aib :
i- Kerana tak mahu Nabi Syu’aib ganggu mereka.
ii- Ia adalah satu bentuk kesiksaan; mereka mahu Nabi Syu’aib tersiksa.
Pernah Imam Haramain ditanya :
Sekarang ini jalan dari Madinah ke Syam sudah elok untuk dilalui, apakah kita masih boleh solat jamak & qasar lagi?
Jawab Syeikh: Cukuplah berpisah dengan keluarga itu satu penyiksaan.
Sabda Rasulullah SAW juga:
…السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنْ الْعَذَابِ…
Musafir itu sebahagian daripada azab… [HR Bukhari]
Kerana itu orang kafir guna satu pendekatan ancaman yang membuatkan kita rasa gerun & takut.
Dalam Islam digalakkan untuk meninggalkan keluarga dengan beriktikaf di masjid pada malam sepuluh yang terakhir Ramadhan.
Cabaran iktikaf hari ini dengan adanya gajet-gajet ditangan pasti akan mengganggu dan tidak ada tumpuan yang sepenuhnya pada ibadat.
- Ayat 89- {“Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya…..}-
Para rasul & nabi mesti nyatakan prinsip dakwahnya.
Yakni jika aku bercakap atau buat tak ikut wahyu, bukan seperti yang Allah perintah, maka aku telah berdusta, menunggang nama Allah Azza wa Jalla.
Inilah pentingnya bagi para pendakwah untuk menyatakan kebenaran.
Apa yang kita buat atau tak buat itu cerita lain, jangan jika perkara yang kita tak buat walaupun ia benar kita sembunyikannya!
Imam Nawawi menyatakan bahawa anak murid mesti tanya gurunya jika dia nampak gurunya buat sesuatu yang berlainan atau berbeza dari apa yang diajarnya.
Contoh: Dia ajar cara solat kena berdiri tegak dengan khusyuk; tiba-tiba kita lihat dia berdiri senget, boleh tanyanya kenapa.
Rupanya Syeikh sakit lutut atau gout atau seumpamanya, apa yang dia buat itu tak tepat tetapi apa yang diajarnya benar.
Yang tak tahannya penunggang agama hari ini, mereka tukar modified agama supaya betul & selari dengan apa yang dia buat & ajar.
Mereka akan cari dalil supaya boleh belako apa yang mereka buat!
Inilah istilah netizen hari ini.
Sepatutnya apa yang kita buat kena selari dengan agama, nyatakan yang sebenarnya begini manakala apa yang aku buat ini tidak tepat tetapi ada alasan atau sebabnya begini-begini.
- Ayat 92- {Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu.}-
Kaumnya yang mendustakan Nabi Syu’aib telah habis dibinasakan dengan azab Allah seolah mereka tidak pernah wujud atas dunia ini hancur lebur semuanya.
Kerana itu kita tahu ummat Nabi Muhammad SAW ini tidak akan dikenakan azab secara total begitu.
Tetapi ada kaedahnya iaitu;
Mereka akan diberi tempoh & tidak akan dibiarkan (يُمْهِلُ ولا يُهْمِل).
Kita lihat saja sejarah betapa ramai pemimpin diktator dan zalim atas dunia ini yang memerintah buat beberapa lama, bahkan berpuluh tahun, tetapi akhirnya akan jatuh jua.
Ahli tafsir mengatakan bahawa tempoh Nabi Musa berdoa untuk kebinasaan Firaun dengan tenggelamnya Firaun dalam Laut Merah adalah selama 40 tahun kemudian.
Itu doa seorang Nabi apatah lagi kita manusia yang banyak silap ini, sabarlah jika Allah tidak realisasikan doa kita dalam masa yang terdekat.
- Ayat 93- {Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu.}-
Nabi Syu’aib meluahkan persaan dan kekesalannya kepada kaumnya yang telah binasa itu.
Aku sudah sampaikan tugasku, beri nasihat, sudah pesan kepada kamu semua tetapi kamu tidak mahu terima juga; maka beginilah akibatnya ke atas kamu!!
Sama seperti orang ibu yang telah nasihat & larang anaknya, tetapi si anak buat juga; kemudian terkena sesuatu yang tidak elok, pastilah akan terkeluar juga perasaan kesal & marahnya kerana tak dengar katanya dulu.
Akhirnya kita ingatlah bahawa para pendakwah kena bertegas dengan prinsip walaupun akan kehilangan dunia.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.