View Categories

(29) Surah Al-A’raf : Ayat 94-100

Cara Allah SWT Nak Sedarkan Manusia, Galakan Agar Beriman & Kufur Mengundang Bencana.

Full video : https://youtu.be/_y_4AtUKLTs?si=lZA23-9EcHe9wA9K

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 94 sehingga 100 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan cara Allah SWT nak sedarkan manusia.
    Sama ada diberi ujian dengan kesusahan atau ujian dengan kesenangan.
    Yang mana lebih mudah untuk mereka sedar & insaf.
  1. Kemudian Allah nyatakan galakan agar beriman kepada mana-mana penduduk negeri sekalipun.
    Jika mereka beriman Allah akan beri kesenangan; negeri akan aman, makmur & rakyatnya akan senang dan bahagia.
  1. Sebaliknya jika mereka kafir, mereka akan dibinaskaan oleh Allah SWT, yakni kufur akan mengundang bencana & kemurkaan Allah SWT.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang lima kisah rasul & anbiya’ AS.
    Tentang dakwahnya serta umat-umat yang menentang dakwah mereka dikenakan azab secara total (استئصال), mati semuanya sekali.
    Maka ada orang kata azab ini kalau lawan rasul saja, maka selepas ketiadaan rasul, azab tidak akan datang lagi.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah menyatakan walaupun tiada nabi & rasul, tetapi siapa yang lawan ajaran Allah, menentang para pendakwah yang bawa ajaran rasul, sama sahaja seperti lawan Allah & rasul-Nya juga.
    Maka jangan ingat azab itu sudah tiada lagi.
    Seperti kita sekarang, Rasulullah SAW sudah wafat, tetapi ajaran rasul, al-Quran & Sunnah dan semua ajaran yang ditinggalkan rasul tetap ada, maka sesiapa yang lawannya seolah menentang rasul.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 94- {DAN (TUHAN BERFIRMAN): KAMI TIDAK MENGUTUS DALAM SESEBUAH NEGERI SEORANG NABI (YANG DIDUSTAKAN OLEH PENDUDUKNYA), MELAINKAN KAMI TIMPAKAN MEREKA DENGAN KESUSAHAN (KESEMPITAN HIDUP) DAN PENDERITAAN (PENYAKIT), SUPAYA MEREKA TUNDUK MERENDAH DIRI (INSAF DAN TIDAK BERLAKU SOMBONG TAKBUR).} (AL-A’RAF 7:94)

  1. Allah SWT menegaskan bahawa jika mana-mana negeri yang rasul diutuskan dan menyeru kepada tauhid keEsaan Allah, lalu penduduknya mendustakan dakwah rasul itu; mereka akan ditimpa bala, sama ada :
    i- Timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup), { بِٱلْبَأْسَآءِ}- hidup susah ditimpa kemiskinan & kefaqiran yakni ujian dari segi harta.

    ii- Dan penderitaan { وَٱلضَّرَّآءِ} dengan makna penyakit, hidup senang atau kaya raya tetapi ditimpa pula penyakit dan ujian kesihatan yang tidak baik!
    Walaupun kaya-raya tetapi jika fizikal tidak sihat, adalah satu kesusahan juga!
  1. Allah tidak akan menurunkan hukuman ke atas sesuatu kaum kecuali akan diberi peringatan dulu kepada mereka.
    Maka tujuan Allah memberikan ujian ini ke atas manusia ialah supaya mereka tunduk merendah diri, insaf dan tidak berlaku sombong takbur.
  1. Ada manusia yang sekali ditimpa kesusahan terus insaf kembali kepada Allah, sedar diri & tidak angkuh sombong atas dunia ini!
    Ada manusia yang walaupun susah & faqir tetapi tetapi sombong & kufur kepada Allah!

AYAT 95- {SETELAH (MEREKA TIDAK JUGA INSAF) KAMI GANTIKAN KESUSAHAN ITU DENGAN KESENANGAN HINGGA MEREKA KEMBANG BIAK (SERTA SENANG-LENANG) DAN BERKATA (DENGAN ANGKUHNYA): “SESUNGGUHNYA NENEK MOYANG KITA JUGA PERNAH MERASAI KESUSAHAN DAN KESENANGAN (SEBAGAIMANA YANG KITA RASAKAN)”. LALU KAMI TIMPAKAN MEREKA (DENGAN AZAB SEKSA) SECARA MENGEJUT, DAN MEREKA TIDAK MENYEDARINYA.} (AL-A’RAF 7:95)

  1. Kemudian Allah nyatakan jika mereka tidak insaf, tidak sedar & tidak beriman juga dengan ujian kesusahan itu, Allah akan tukar pula bentuk ujian itu!
  1. Allah akan gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak serta senang-lenang.
    Yakni daripada kemarau kepada hujan turun, pokok tumbuh subur dan sebagainya.
    Lalu mereka bukan insaf & bersyukur kepada Allah tetapi bertambah sombong!
  1. Sehingga mereka berasa bangga & takabbur lalu berkata dengan angkuhnya: “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan sebagaimana yang kita rasakan”.

    Nota [22]- Maksud kata-kata puak kafir itu adalah bahawa susah & senang yang menimpa mereka adalah mengikut peredaran zaman kerana nenek moyang mereka juga telah mengalami keadaan demikian dan mereka tetap berpegang dengan agama mereka; maka kami pun begitulah jua hendaknya!
    Yakni apabila dari susah menjadi senang: mereka bukan insaf & syukur kepada Allah; tetapi bertambah takabbur & sesat, sandarkan ujian itu kepada suasana & tabie.
    Kerana dunia ini berputar maka ada waktu kemarau ada waktu banjir.
  1. Kemudian Allah memberi amaran lagi: Sedang mereka dalam kemuncak kesenangan & kemewahan itu, mereka masih tidak sedar, tidak syukur & beriman, akhirnya Allah timpakan mereka dengan azab seksa secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya kedatangannya!

AYAT 96- {DAN (TUHAN BERFIRMAN LAGI): SEKIRANYA PENDUDUK NEGERI ITU, BERIMAN SERTA BERTAQWA, TENTULAH KAMI AKAN MEMBUKA KEPADA MEREKA (PINTU PENGURNIAAN) YANG MELIMPAH-LIMPAH BERKATNYA, DARI LANGIT DAN BUMI. TETAPI MEREKA MENDUSTAKAN (RASUL KAMI), LALU KAMI TIMPAKAN MEREKA DENGAN AZAB SEKSA DISEBABKAN APA YANG MEREKA TELAH USAHAKAN.} (AL-A’RAF 7:96)

  1. Munasabah ayat :
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan orang yang sombong & keras kepala; Allah akan timpakan azab ke atas mereka secara tiba-tiba, tanpa mereka sedarinya.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan pula tawaran istimewa selepas ancaman!
    Iaitu jika penduduk negeri yang ditimpa bala itu beriman kepada Allah, ikut ajaran rasul, beriman & bertaqwa nescaya Allah akan buka pintu rahmat & rezeki dari langit!
    Yakni turunkan hujan rahmat bukan lagi hujan bala!
    Bumi berkat & subur, pokok-pokok berbunga & berbuah masak.
  1. Janji Allah itu benar, jika kamu beriman & taat; Allah akan bukan pintu keberkatan dari langit & bumi.
    Kena bergabung langit dan bumi, jika air turun dari langit tetapi bumi tidak subur tidak ada faedahnya.
    Seperti 3 jenis tanah yang telah disebut dalam hadis Nabi SAW yang lepas.
  1. Allah kata lagi, dengan sebab mendustakan rasul yang Allah utuskan; lalu Allah timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan dari perbuatan kufur, mungkar & derhaka.
    Seorang Syeikh ditanya oleh muridnya apakah tanda orang hidup kita tidak berkat & yang ditimpa bala ujian?
    Jawabnya: Orang yang berat untuk beribadat kepada Allah SWT, yang berat lidahnya untuk berzikir mengingati Allah atau baca al-Quran.
    Bala yang paling berat ialah apabila Allah kunci hati & mulut kita daripada mengingati Allah. Na’uzubillah
  1. Doa: اللهم إني أعوذ بك من الخذلان , yakni kita minta berlindung dengan Allah dari Allah dibiarkan hidup terumbang-ambing.
    Jauh dari hidayah petunjuk Allah, jauh dari rahmat & redha Allah!
    Jauh dari masjid & tempat ibadat kepada Allah.
    Sama seperti haiwan tiada tujuan & tanggungjawab hidup.
    Yang sedihnya ada manusia ini yang semasa hidupnya tidak pernah ke masjid, allergik dengan masjid dan apabila mati pun jenazahnya tidak dibawa orang ke masjid!

AYAT 97- {PATUTKAH PENDUDUK NEGERI NEGERI ITU (BERSEDAP HATI) SERTA MERASA AMAN DARIPADA KEDATANGAN AZAB KAMI KEPADA MEREKA PADA MALAM HARI, SEMASA MEREKA SEDANG TIDUR?} (AL-A’RAF 7:97)

  1. Allah mengingatkan agar manusia ini jangan sedap hati, berasa aman tenang & selamat dari azab Allah.
    Jangan berasa selamat dari azab apabila kamu sedang tidur di rumah kamu pada malam hari sekalipun.
  1. Ini adalah penyakit orang yang tidak yakin kepada Allah, tidak yakin akan janji Allah maka dia relaks saja.
    Malam dia tak takut, siang pun dia relaks tetap bersuka-ria lagha akan Allah, lupa akan Akhirat.
    Bala bencana itu boleh datang bila-bila masa saja, siang atau malam, petang atau pagi.
    Kita lihat saja contohnya banjir, air datang tak kira jam & waktu, Allahu al-Musta’an.
  1. Kerana itu orang mukmin akan buat persiapan sebelum tidur sama ada siang atau malam, baca doa, istighfar & mengucap syahadah siap-siap.
    Sekarang ini ada pesakit yang ditidurkan, para doktor kena ajar persediaan ini juga.
    Begitu juga jika nak keluar rumah kerana kita tidak tahu apa yang menunggu kita & bilakah ajal kita!
    Itulah sifat orang mukmin; siang atau malam, tidur dengan takut kepada Allah, takut tak akan bangun lagi atau apabila keluar juga takut tak akan kembali lagi!

AYAT 98- {ATAU PATUTKAH PENDUDUK NEGERI NEGERI ITU (BERSEDAP HATI) SERTA MERASA AMAN DARIPADA KEDATANGAN AZAB KAMI KEPADA MEREKA PADA SIANG HARI, SEMASA MEREKA SEDANG LEKA BERMAIN-MAIN?} (AL-A’RAF 7:98)

  1. Allah juga ingatkan apakah orang kafir, hidup mereka berasa aman, tidak takut juga pada azab Allah yang akan datang waktu siang hari, ketika mereka sedang leka dalam hiburan, kekayaan & kesenangan.
  1. Waktu Allah beri kesenangan kepada orang kafir, kepada orang yang derhaka buat dosa maksiat ini adalah nikmat dalam bentuk ISTIDRAJ, iaitu Allah beri senang supaya seseorang itu terus lagha & leka.
  1. Kita kena ingat bukan semua orang senang itu rahmat & tanda Allah sayang tetapi adalah istidraj (استدراج), supaya dia terus takabbur sombong tenggelam dalam kelekaan & kelaghaannya.
    Kemudian ketika mereka dalam kemuncak kelaghaan itu, Allah akan timpakan bala secara tiba-tiba.
  1. Sebenar tidak ada orang yang berasa aman dari perancangan buruk yang Allah atur itu kecuali orang yang rugi!
  1. Sekali Allah sentap kita akan hilang segalanya yang dibanggakan.
    Kena banyak insaf & ingat kepada Allah, berhati-hati jangan sombong.

AYAT 99- {PATUTKAH MEREKA (BERSUKARIA) SEHINGGA MEREKA MERASA AMAN AKAN RANCANGAN BURUK (BALASAN AZAB) YANG DIATUR OLEH ALLAH? KERANA SEBENARNYA TIDAK ADA YANG MERASA AMAN DARI RANCANGAN BURUK (BALASAN AZAB) YANG DIATUR OLEH ALLAH ITU MELAINKAN ORANG-ORANG YANG RUGI.} (AL-A’RAF 7:99)

  1. Kena ingat juga apabila kita berada dalam kesenangan, apabila Allah permudahkan urusan kita, limpahkan harta kekayaan, ramai pengikut penyokong; lalu kita pun terus hanyut dalam kegembiraan, kebanggaan, leka lagha berasa sudah cukup selamat & aman!
  1. Ini kerana orang yang berasa aman selamat dari ketetapan Allah, ujian & bala dari Allah adalah orang yang rugi & akan menyesal kelak!
  1. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk beriman, bergantung hati kepada kekuasaan & aturan Allah SWT.
  1. Adapun maksud {مَكْرَ ٱللَّهِ} itu bukan tipu daya Allah tetapi perancangan yang telah Allah atur bagi manusia.
    Kita tidak tahu apa qadha’ qadar taqdir Allah; maka wajib untuk kita beriman, bergantung hati terhadap Allah, yakin dengan sebenarnya bahawa kehidupan kita di bawah kuasa Allah SWT.
    Jangan mudah takabbur, rasa aman & selamat dengan apa yang kita ada sama ada harta, keluarga atau pangkat kedudukan.
  1. Muhasabah ini supaya kita sedar jangan bangga diri, mudah leka dan rasa aman selamat dari perancangan Allah.
    Sifat ini lawannya adalah orang yang putus harap dari rahmat Allah keduanya adalah orang yang rugi.

AYAT 100- {ADAKAH (YANG DEMIKIAN ITU TERSEMBUNYI DAN) TIDAK JELAS KEPADA ORANG-ORANG YANG MEWARISI NEGERI ITU SESUDAH PENDUDUKNYA (HILANG LENYAP KERANA DITIMPA BENCANA), BAHAWA KALAU KAMI KEHENDAKI TENTULAH KAMI AKAN MENIMPAKAN MEREKA PULA DENGAN AZAB DISEBABKAN DOSA-DOSA MEREKA, DAN KAMI METERAIKAN DI ATAS HATI MEREKA SEHINGGA MEREKA TIDAK DAPAT MENDENGAR (NASIHAT-NASIHAT PENGAJARAN)?} (AL-A’RAF 7:100)

  1. Allah nyatakan bahawa golongan kafir secara umumnya akan dibinasakan secara total menyeluruh.
    Maka Allah peringatkan kafir yang ada, penduduk negeri itu, apakah kamu tidak lihat, tidak ambil iktibar & pengajaran akan generasi sebelum kamu yang telah Allah binasakan.
  1. Jika begitu perangai mereka, masih tidak sedar maka tidak mengapalah, Allah akan cop atas hati mereka, mata mereka buta, telinga mereka tuli daripada melihat & mendengar nasihat & pengajaran!
  1. Insaflah kita semua, jangan berani, angkuh & sombong kerana kita berada di bawah kuasa & rahmat Allah SWT.
    Tidak ada tempat yang boleh kita lari & selamat dari Allah kecuali lari kepada Allah.
  1. Kerana itu kata ahli motivasi :
    Apabila takut kepada Allah kita berlari & bersegera kepada-Nya.
    Manakala jika takut kepada musuh & benda lain kita lari darinya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 94- {Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya),…}-


    Allah kata Dia tidak utuskan mana-mana nabi kecuali bersamanya ada dua ujian yang besar untuk manusia.
    Telah sabit kajian secara pengalaman oleh ulama’ nafsiyyah (pakar jiwa) bahawa:
    i- Apabila Allah beri manusia kesusahan itu sebagai satu cara untuk mendidik mereka dan nak ubah mereka dari keburukan kepada kebaikan.
    Aku dulu lagha berpoya-poya habiskan masa & harta tanpa manfaat, sekarang sudah sakit atau bankrupt baru insaf, mula berulang ke masjid & buat lain-lain kebaikan.

    ii- Ada waktunya untuk mengangkat darjat, hapuskan dosa dan beri pahala kepadanya.
    Yakni Allah beri ujian supaya hamba-Nya sedar & insaf.
    Kembali berpijak di bumi nyata.
    Beberapa contoh kisah benar:
    i- Ada seorang yang ditimpa ujian kemalangan lalu terpaksa berada di hospital buat beberapa lama, tetapi pada waktu itulah dia ada kesempatan untuk murajaah hafazan al-Qurannya yang sebelum ini tidak sempat kerana sibut mengejar kehidupan.
    Maka tidak perlu doakannya agar cepat keluar hospital, biarlah dia habiskan masanya dengan keinsafan.

    ii- Ada ulama’ yang ditangkap dipenjara oleh pemerintah yang zalim, pada ketika itu mereka muhasabah diri, dapat menghasilkan karya yang hebat kerana ada banyak masa, dapat idea fikrah yang membina dan sebagainya.
    Allah didik manusia ini dengan dua cara iaitu sama ada dengan kesusahan atau kesenangan!
    Tetapi dengan kesusahan biasanya lebih mudah insaf bagi kebanyakan manusia.
    Kerana dengan senang jika tak kena cara akan bertambah sombong bukannya nak bersyukur.
  1. Ayat 94- {Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya),…}-

    Allah kata di sini dia hantar rasul itu ke sesebuah negeri {قَرْيَةٍۢ} iaitu dengan makna bandar, bukan kampung.
    Kenapa?
    Ini kerana bandar lebih maju dan luas, lebih ramai penduduknya serta lebih mudah tersebar maklumatnya.
    Ini kerana biasanya:
    i- Maklumat atau ilmu akan tersebar dari bandar turun ke kampung bukan sebaliknya.

    ii- Orang kampung juga akan ikut gaya atau style orang bandar bukan sebaliknya juga.
    Jadi dakwah-dakwah itu lebih logik & relevan bermula di bandar atau negeri yang besar kerana selepas itu bandar yang lebih kecil atau kampung-kampung akan ikutnya!
    Jadi Allah akan utus para rasul itu di bandar besar, yang ramai dan maju penduduknya.
    Begitu juga para pendakwah jika mahu dikenali kena pergi bandar, masuk dalam media-media utama agar dikenali lalu luaslah dakwah & ramai khalayak yang dapat manfaat darinya. Inilah fiqhu dakwah.
  1. Ayat 95- {Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan…}-

    Apabila diuji dengan kesusahan jika mereka tidak insaf juga; maka Allah akan uji dengan kesenangan pula.
    Ujian Allah SWT ini kita tidak tahu, kena ingat apabila kita kaya & senang itu adalah ujian Allah ke atas kita juga!
    Betapa ramai orang yang dulunya susah, menjadi penerima zakat; tetapi sekarang telah senang dan naik tarafnya sehingga menjadi pengeluar zakat pula!
    Inilah dua uslub ujian yang digunakan Allah untuk mendidik manusia.
  1. Ayat 96- {Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka…}-

    Allah beri tawaran istimewa mana-mana negeri yang nak aman & selamat, mestila ia dibina atas taqwa kepada Allah SWT.
    Tetapi jika asyik dok hina Islam & bela agama lain pula, bagaimana kita nak kata nak dapat rahmat & rereki dari Allah!
    Maka sesiapa yang beriman & bertaqwa, Allah akan buka pintu rahmat & rezeki-Nya.
  1. Ayat 97- {Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami…}-

    Kita orang beriman jangan sesekali yakin & bertegas bahawa aku orang beriman Tuhan sayang!
    Kena ada kebimbangan dalam hati akan perancangan Allah SWT kita tidak tahu apa ketetapannya.
    Orang yang over-konfiden bahawa Tuhan sayang kepadanya ini adalah orang-orang yang rugi.
    Sebagaimana orang yang putus harap dari rahmat Allah juga orang yang dalam kerugian!
    Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
    Untuk memahami lebih mendalam lagi akan perancangan & ketetapan Allah ini kita boleh baca atau dengar kuliah dari kitab seperti Kitab Dosa Besar dan seumpamanya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs