View Categories

(34) Surah Al-A’raf : Ayat 127-129

Para Pembesar Menghasut Fir’aun, Musa Mesti Dihapuskan & Nabi Musa Menenangkan Kaum Muslimin Dan Doakan Kebinasaan Musuhnya.

Full video : https://youtu.be/fdrCkstEEW4?si=h79XJHlLnRS-Q-bK

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 73 sehingga 72 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini masih lagi dalam episod pertembungan Nabi Allah Musa & Harun berlawan dengan Fir’aun dan kuncu-kuncunya.
    Allah SWT nyatakan kisah para pembesar menghasut Fir’aun bahawa Musa mesti dihapuskan!
    Ini selepas kekalahan dalam pertembungan dengan ahli sihir.
    Mereka lalu menggunakan akta untuk membunuh anak lelaki kaum bani Israil & membiarkan anak perempuan hidup untuk memperhambakan mereka.
  1. Nabi Musa menenangkan kaum muslimin, supaya bersabar & minta pertolongan dengan Allah.
    Jangan bimbang, bumi ini akan diwarisi oleh orang yang baik.
  1. Bani Israil lalu meluahkan perasaan, mengadu bahawa kezaliman dan penindasan ini telah berlaku ke atas mereka sebelum kelahiran Nabi Musa AS lagi.
    Lalu Musa mendoakan kebinasaan musuhnya.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kekalahan Fir’aun dan kuncunya kepada Nabi Musa dalam pertembungan dengan ahli sihir.
    Bahkan ahli sihir yang mewakili Fir’aun juga kemudiannya terus beriman kepada Allah & ajaran Nabi Musa AS.
    Yakni sebelum ini Fir’aun telah kalah dari segi fakta!

    ii- Maka datang ayat ini pula menceritakan para pembesar Fir’aun menghasutnya supaya melakukan sesuatu untuk menghapuskan Musa & mengikutnya.
    Lalu Fir’aun mengeluarkan satu akta yang zalim dan kejam ke atas bani Israil iaitu membunuh semua anak lelaki mereka & membiarkan yang perempuan hidup.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 127- {DAN BERKATALAH PULA KETUA-KETUA DARI KAUM FIRAUN: “ADAKAH ENGKAU (WAHAI FIRAUN) HENDAK MEMBIARKAN MUSA DAN KAUMNYA UNTUK MELAKUKAN KEROSAKAN DI BUMI (MESIR) DAN MENINGGALKANMU SERTA APA-APA YANG DIPUJA OLEHMU?” FIRAUN MENJAWAB: “KITA AKAN MEMBUNUH ANAK-ANAK LELAKI MEREKA DAN KITA BIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN MEREKA, DAN KITA TETAP MENGUASAI (MENUNDUKKAN) MEREKA”.} (AL-A’RAF 7:127)

  1. Para ketua penyagak dari kalangan pembesar Fir’aun datang menghasut Fir’aun untuk tidak membiarkan Musa dan kaumnya bebas di Mesir mengganggu mereka & membuat kerosakkan dan mengacau pemikiran rakyat mereka.
  1. Kata ulama’ : Kerosakan bagi mereka ialah Musa membanteras syirik menyeru tauhid kepada Allah, membatalkan asas agama mereka, meninggalkan sembahan lama mereka & ajak manusia buat baik.
    Mereka menghasut Fir’aun untuk menggunakan akta bagi menekan dan menghapuskan Musa & kaum bani Israil.
  1. Kata Ibnu Asyur : Kaum Qibti keturunan Fir’aun ini menyembah macam-macam, mereka juga membuat ukiran patung-patung dan menyembahnya.
    Berhala yang terbesar dijaga oleh keturunan Fir’aun dan Fir’aun dikatakan termasuk sebagai anak cucu Tuhan, yang berpindah rohnya.
  1. Fir’aun pun termakan hasutan ini & bersetuju lalu mengeluarkan akta & hukuman:
    i- Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka

    ii- Dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka

    iii- Dan kita tetap meneguasai (menundukkan) mereka
    Berulang baliklah episod lama!
  1. Kata ar-Razi : Ulama’ tafsir sependapat bahawa ancaman ini berulang semula; sama seperti yang digunakan sebelum kelahiran Nabi Musa AS dulu.
    Anak lelaki dibunuh manakala yang perempuan dibiarkan hidup untuk menjadi hamba & gundik mereka.
  1. Mendengar ini pastilah menggigil, menggeletar ketakutan puak bani Israil, sejarah hitam berulang kembali!!!!
    Mereka lalu merayu kepada Nabi Musa AS untuk berbuat sesuatu bagi menghadapi kezaliman ini!

AYAT 128- { (PENGIKUT-PENGIKUT NABI MUSA MERAYU, LALU) MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: “MINTALAH PERTOLONGAN KEPADA ALLAH DAN BERSABARLAH, SESUNGGUHNYA BUMI INI KEPUNYAAN ALLAH, DIWARISKANNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DARI HAMBA-HAMBANYA; DAN KESUDAHAN YANG BAIK ADALAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA”.} (AL-A’RAF 7:128)

  1. Nabi Musa sebagai ketua & pemimpin yang bertanggungjawab, menjawab rayuan mereka itu dengan memberi nasihat kepada kaumnya:
    i- Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah.
    Begitulah kita sebagai orang Islam berapa lama pun sabarlah sehingga datang pertolongan Allah.

    ii- Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; Ia bukan milik Fir’aun cuma Allah bagi kepadanya kuasa sekejap.

    iii- dan yakinlah kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
  1. Begitulah kita sebagai orang Islam yang beriman, hanya kepada Allah tempat pergantungan dan tempat meminta pertolongan!
    Ya Allah jadikanlah kita orang yang bertaqwa yang akhirnya adalah kemenangan sama ada kejaayan di dunia atau keamanan abadi di Akhirat kelak!

AYAT 129- {MEREKA BERKATA: “KAMI TELAH DIANIAYA DAN DIPERHAMBAKAN (OLEH FIRAUN) SEBELUM ENGKAU DATANG KEPADA KAMI DAN SESUDAH ENGKAU DATANG KEPADA KAMI”. NABI MUSA MENJAWAB: “MUDAH-MUDAHAN TUHAN KAMU AKAN MEMBINASAKAN MUSUH KAMU DAN MENJADIKAN KAMU KHALIFAH DI BUMI, KEMUDIAN IA AKAN MEMERHATI BAGAIMANA PULA PERBUATAN KAMU?”} (AL-A’RAF 7:129)

  1. Kaum Bani Israil dengar nasihat nabi Musa AS tetapi mereka meluahkan juga perasaan mereka yang telah lama tertindas dan dizalimi oleh Fir’aun & kaumnya!
    Semenjak sebelum Musa lahir lagi akta kejam ini telah Fir’aun jalankan!
  1. Ini kerana Fir’aun percaya kepada ramalan bahawa pada waktu itu akan lahir seorang anak lelaki dari bani Israil yang akan menjatuhkan kerajaannya!
    Bayi itu adalah Nabi Musa AS yang selamat dari hukuman kejam itu bahkan dipelihara oleh Fir’aun sebagai anak angkatnya di istana pula sehingga Musa besar remaja!
    Inilah antara keajaiban dan mukjizat nabi Musa AS dan menunjukkan kelemahan Fir’aun.
    Begitulah penguasa yang zalim bila kalah dalam fakta akan guna akta untuk mengalahkan musuh!
    1. Nabi Musa menjawab:
      i- Kita doakan kepada Allah; mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu!

      ii- Dan menjadikan kamu khalifah di bumi ini.
      Ingat bukan khalifah Allah tetapi khalifah (pengganti) kepada orang sebelum kamu!
    1. Tetapi ingat selepas kamu menang & mendapat kuasa, Allah akan memerhati bagaimana pula keadaan kamu.
      Apakah kamu tetap tawadhuk, melaksanakan hukum Tuhan dengan ikut perintah-Nya & tinggalkan larangan-Nya. Atau terus lupa diri dan segala janji sebelum ini!

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 127- {Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: “Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?”}-

      Berkata para {ٱلْمَلَأُ}, iaitu pembesar Fir’aun datang menghasut Fir’aun.
      Begitulah peranan penasihat raja atau ketua adalah amat besar!
      Jika baik & ikhlas mereka, akan baiklah pemimpin itu tetapi jika mereka yang dikelilingnya orang yang jahat & zalim akan rosaklah raja & negara itu.
      Inilah antara episod kisah Nabi Musa : Iaitu para pembesar { ٱلْمَلَأُ} menghasut Fir’aun untuk mengeluarkan akta bagi menyekat dakwah Musa dan menghapuskan bani Israil.
      Lalu Fir’aun mengeluarkan hukum:
      i- Anak lelaki dibunuh

      ii- Anak perempuan dibiarkan hidup untuk menjadi hamba mereka.
      Peranan penasihat atau penghasut kepada pemimpin ini amat besar, kita boleh lihat kepada sejarah Islam betapa empayar Islam yang runtuh atau naik kerana peranan yang dimainkan mereka!
    1. Ayat 128- { (Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata kepada kaumnya: “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah,…}-


      Nabi Musa AS memberi nasihat & motivasi kepada kaumnya agar mereka kembali bersemangat dan tidak lemah.
      Nabi Musa mengingatkan kaumnya bahawa kita ada tempat bergantung iaitu Allah maka bersabarlah!
      Allah tidak akan membiarkan orang yang bertaqwa!
      Peristiwa ini berulang juga ketika Nabi Musa dan bani Israil dikejar oleh Fir’aun & tenteranya dan dihadapan hanya laut yang ada!
      Lalu sekali lagi Nabi Musa dengan iman yang mantap, tawakkal & pergantungan yang tinggi kepada Allah memberi semangat, menenangkan kaumnya, jangan takut & bimbang kita ada Tuhan.
      Allah yang akan menunjuk jalan-Nya kepada kita!
      Begitulah tugas dan peranan seorang pemimpin tidak boleh membiarkan pengikutnya dalam keadaan gelisah & terumbang-ambing, kecewa dan lemah semangat, seorang ketua kena ada sifat pejuang yang tinggi, mengambil berat terhadap pengikutnya!

      Kita semua sebagai orang Islam wajib ada dua sifat ini juga:
      i-Bergantung pengharapan kepada Allah

      ii- Dan sabar!
      Walaupun sabar ini senang diucapkan tetapi amat susah untuk dibuat.
    1. Ayat 128- {… dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.}-


      Allah kata Dia akan beri bumi ini diwarisi oleh orang yang dikehendaki-Nya dan orang-orang yang bertaqwa!
      Ini janji Allah bahawa sesiapa yang bertaqwa Allah akan beri perlepasan kepadanya.
      Sebagaimana firman Allah dalam ayat ini:

      وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا
      {… dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya
      jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).} (At-Talaq 65:2)

      {..وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍۢ قَدْرًۭ}
      {Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.} (At-Talaq 65:3)

      Inilah ayat yang famous, dipanggil ayat 1000 dinar, yang digantung oleh tokey-tokey kedai untuk mendapat rezeki yang luas, tetapi ada setengahnya entah solat atau tidak manakala yang perempuan pula tak tutup aurat pun!
      Ingat janji Allah adalah benar dan kita orang beriman yakin dan percaya dengan janji Allah.
      Allah akan warisi bumi ini kepada orang-orang yang bertaqwa.
      Tetapi nak boleh ke menang kena sabar, lama masanya, lihat Nabi Nuh AS yang berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun.
      Selepas itu barulah Allah turunkan azab kepada mereka yang menentang & tidak mahu beriman!
      Musa AS beri nasihat motivasi agar kaumnya tidak putus harap, tidak mudah koyak & gerun dengan akta yang dimainkan Fir’aun.
    1. Ayat 129- {Mereka berkata: “Kami telah dianiaya dan diperhambakan (oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah engkau datang kepada kami”.}-

      Ini adalah luahan perasaan kaum bani Israil kepada Nabi Musa AS.
      Mereka kata betapa susah & malangnya hidup kami, sebelum kamu lahir lagi kami sudah dizalimi begini, sudah ada akta ini; sekarang ia berlaku kembali!
      Kata ahli sejarah : Waktu itu berputar, ada waktu senang ada waktu susah.
      Jika kita tak mampu nak buat apa maka kembalilah kepada Allah.
      Begitulah fitrah semula jadi manusia ini dia akan berasa takut & bimbang akan ancaman apatah lagi apabila:
      i- Apabila ia dilakukan oleh pemimpin yang bukan biasa, yang zalim dan amat berkuasa serta amat angkuh.

      ii- Mereka amat takut kerana perkara ini telah pernah berlaku dulu.

      iii- Mereka dipaksa untuk bekerja berat & langsung tidak pernah mendapat kesenangan hidup.
      Jika ada duit pun tidak boleh diguna untuk kebaikan.

      iv- Jika lahir anak lelaki mereka dibunuh manakala yang perempuan dibiarkan untuk menjadi hamba!!
      Jadi mereka bani Israil meluahkan perasaan dan melahirkan ketakutan ini kerana telah melalui & merasai keperitan kezaliman yang telah dibuat oleh Fir’aun, lalu mereka meluah & mengadu kepada Nabi Musa AS.
      Orang yang tidak pernah kena, mereka tidak akan tahu & tidak akan rasanya, bila dah kena sekali baru tahu pahit-manis perjuangan.
      Kerana itu dalam negara demokrasi seperti kita ini; apa-apa akta yang kita boleh nampak tidak ada kebaikannya jangan dibiarkan lulus terus kerana apabila sudah lulus akan susah untuk ditarik balik atau dibatalkan semula!
      Ketika ada kuasalah orang nak pinda, tambah atau batalkan sesuatu akta.
      Kerana itu bahayanya beri kuasa kepada orang yang ada agenda tersembunyi dalam gerak-kerja mereka!
    1. Ayat 129- {… “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana pula perbuatan kamu?”}-

      Ini adalah doa Nabi Musa agar Allah binasakan Fir’aun dan beri kemenangan kepada orang yang beriman!
      Dalam masa yang sama Nabi Musa juga memberi peringatan:
      Tetapi ingat selepas kamu menang & selamat, Allah akan memerhatikan bagaimana perbuatan dan tindakan kamu selepas itu dan akan ambil tindakan ke atasnya!
      Apakah syukur dan insaf atau lupa daratan & berpaling tadah!
      Allah nak tengok apa yang kamu buat dengan kemenangan itu!
      Inilah yang kita takut, para penguasa yang menang tak kira dengan apa cara sekalipun, yang pentingnya kuasa itu digunakan macamana dan untuk apa, kerana Allah akan bangkitkan kita di Akhirat kelak!

      Doa Nabi Musa AS ke atas Fir’aun:
      Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.} (Yunus 10:88)

      Sebahagian ulama’ tafsir meriwayatkan dari sahabat Nabi SAW bahawa jarak antara doa Nabi Musa dan Allah ambil tindakan ke atas Fir’aun ini adalah selama 40 tahun.
      Menurut Tafsir As-Suyuti dari Ibnu Abbas RA : Doa ini tidak dikabulkan serta-merta tetapi hanya selepas 40 tahun.
      Ibnu Abbas berkata : “Fir’aun dan tenteranya baru ditenggelamkan 40 tahun selepas Nabi Musa berdoa.”
      Ini menunjukkan bahawa Allah memberi peluang kepada mereka, tetapi mereka tetap dalam kezaliman.
      Fir’aun dan tenteranya dibinasakan Allah dengan ditenggelamkan dalam air laut, Laut Merah dan pada saat terakhirnya pab air telah masuk dalam mulut & dia kelemasan; Fir’aun mengakui akan kebenaran Musa dan mengakui beriman kepada Tuhan Musa & Harun.
      Tetapi penyesalan & taubat pada saat nyawa sudah di halkum tidak akan diterima lagi.
      Ia sudah tidak beguna & tidak memberi faedah.
      Terdapat satu hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA yang menceritakan;

      عن ابن عباس، أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لما أغرق الله فرعون قال: آمنت أنه لا إله إلا الذي آمنت به بنو إسرائيل، فقال جبريل: يا محمد، فلو رأيتني وأنا آخذ من حال البحر فأدسه في فيه، مخافة أن تدركه الرحمة.
      قال الترمذي: هذا حديث حسن. وقال الألباني: صحيح لغيره.
      Rasulullah SAW bersabda: Jibril AS berkata kepadaku: Kalau engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur tersebut ke dalam mulut Firaun kerana bimbang dia akan mendapat rahmat Tuhan.” [HR at-Tirmizi- Hasan].

      Terdapat juga satu lagi riwayat:
      إِنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يَدُسُّ فِي فَمِ فِرْعَوْنَ الطِّينَ، مَخَافَةَ أَنْ يَقُولَ: لَا إِلَهَ إِلا اللهُ
      Jibril AS telah memasukkan tanah ke dalam mulut Firaun, kerana bimbang Firaun akan mengucapkan: “لَا إِلَهَ إِلا اللهُ -Tiada tuhan melainkan Allah”. [HR Ahmad].
      Yakni jika sempat mengucap mungkin dia akan dikira beriman lalu diampunkan Allah segala dosanya.
      Sebagaimana kata Nabi Musa, Fir’aun tidak akan beriman sehinggalah dia melihat azab di depan matanya!
      Yang penting Allah nak seruh Nabi Musa berjuang, nak beri pahala kepada bani Israil sehingga kepada peringkat Allah terima & perkenankan doa mereka.

      Firman Allah SWT :
      {Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”.} (Yunus 10:89)
      Kata asy-Syaukani dalam Kitabnya : Ibnu Abbas RA berkata mereka menjangka jarak antara dua ayat ini (doa & perkenan) adalah selama 40 tahun.
      Satu lagi kisah israiliyyat yang mengatakan kenapa doa Nabi Musa ke atas Fir’aun dilaksanakan sehingga 40 tahun ialah kerana Fir’aun sangat hormat & berbakti kepada ibunya.
      Selepas ibunya mati baru doa kebinasaan sampai ke atasnya!
      Tetapi ingat mengikut para pengkaji, mereka tidak jumpa dalil atau sumber yang dapat mengesahkan akan kisah ini, maka ia hanyalah kisah Israiliyyat yang ditokok-tambah untuk menyedapkan cerita.
      Kisah ini benar atau tidak ia tetap memberi satu motivasi kepada kita.
      Yang pentingnya isi pengajaran dari kisah ini ialah betapa hebatnya kedudukan seorang anak yang berbuat baik kepada anaknya!
      Berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi mereka masih ada.
      Seorang lelaki akan dianggap seperti seorang anak kecil selagi ibunya masih ada!
      Yakni selagi ibu masih ada, anak sebesar mana sekalipun, setinggi mana pangkat, sekaya mana pun, ia tetap akan dianggap seperti kanak-kanak oleh seorang ibunya.
      Selagi ibu bapa masih ada berkhidmatlah kepada mereka, jika telah tiada banyakkan berdoa kepada mereka semoga Allah mengangkat darjat mereka.
      Hormati & berbaktilah kepada ibu bapa kita agar anak-anak kita juga akan hormat dan berbuat baik kepada kita!

    Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs