Geng Fir’aun Minta Nabi Musa AS Hilangkan Azab, Bila Lepas Mereka Ingkar, Fir’aun Mati Lemas & Bani Israil Selamat.
Full video : https://youtu.be/2wQaeeY9iYI?si=EO-va8GnAc70dped
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 134 sehingga 137 dalam juzuk kesembilan.
Alhamdulillah kita sudah berada di 10 akhir Ramadhan, kita minta Allah taufiqkan kita untuk istiqomah & tingkatkan ibadat.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah geng Fir’aun minta Nabi Musa AS hilangkan azab yang Allah timpakan ke atas mereka.
Mereka berjanji jika hilang bala mahu beriman & bebaskan bani Israil.
- Tetapi seperti yang sudah dijangka, apabila lepas & hilang bala, mereka tetap ingkar & kafir.
- Lalu Allah timpakan balanya yang akhir, iaitu binasa Fir’aun & tenteranya dengan mati lemas manakala bani Israil selamat dan mewarisi segala yang mereka tinggalkan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa telah dihantar ke atas Fir’aun beberapa bala seperti banjir, kemarau, kekurangan makanan & keturunan, katak, belalang, kutu, air menjadi darah dan sebagainya.
ii- Maka datang ayat ini Allah ceritakan pula kepada kita bagaimana sikap mereka apabila kena bala & azab-azab itu!
Iaitu mereka mula kenal Musa, datang menghadap berjumpa Nabi Musa untuk mendoakan kepada Tuhannya untuk hilangkan bala yang menimpa mereka itu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 134- {DAN APABILA AZAB YANG TERSEBUT ITU MENIMPA MEREKA, MEREKA (MERAYU DENGAN) BERKATA: “WAHAI MUSA! POHONKANLAH KEPADA TUHANMU UNTUK KAMI DENGAN (KEHORMATAN) PANGKAT NABI YANG DIBERIKANNYA KEPADAMU (YANG MENJADIKAN PERMOHONANMU SENTIASA MAKBUL). SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU HAPUSKAN AZAB ITU DARIPADA KAMI, TENTULAH KAMI AKAN BERIMAN KEPADAMU, DAN SUDAH TENTU KAMI AKAN MEMBEBASKAN KAUM BANI ISRAIL (PERGI) BERSAMAMU”.} (AL-A’RAF 7:134)
- Apabila ditimpa azab bala, Fir’aun dan kuncunya datang berjumpa Nabi Musa untuk tolong berdoa agar dihilangkan azab ke atas mereka itu!
Bala itu ada ulama’ kata : Yang sembilan dalam ayat sebelum ini, ada ulama’ kata bala lain iaitu bala kesepuluh, penyakit taun pula!
- Mereka kata: Berdoalah kepada Tuhanmu (رَبَّكَ); masih lagi tidak mengakui Allah sebagai Tuhan mereka, hanya Tuhan Nabi Musa.
Menunjukkan degil & keras kepala mereka lagi!
- Mereka juga tahu & mengakui kedudukan Nabi Musa, mereka berkata: berdoalah kepada Tuhanmu dengan kehormatan (pangkat) Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul)!
- Mereka berjanji dan bersumpah kepada Nabi Musa jika hilang segala kesusahan dan azab yang menimpa mereka itu dua perkara:
i- Tentulah kami akan beriman kepadaMu
ii- Dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum bani Israel pergi bersamamu, sebagaimana permintaan Nabi Musa sebelum ini!
- Nabi Musa sebagai seorang yang baik juga kerana mahu sangat mereka beriman serta mahu menyelamatkan bani Israil- maka Nabi Musa pun berdoa kepada Allah untuk menghilangkan azab ke atas mereka.
Tetapi begitulah manusia suka berjanji manis untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki, sebelum dapat lembut gigi daripada lidah, apabila dah dapat janji hilang entah ke mana!
AYAT 135- { (TUHAN BERFIRMAN): SETELAH KAMI HAPUSKAN AZAB ITU DARIPADA MEREKA, HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU YANG MEREKA SAMPAI KEPADANYA, TIBA-TIBA MEREKA MENCABULI JANJINYA.} (AL-A’RAF 7:135)
- Setelah Allah angkat & hilangkan azab ke atas mereka dan tangguhkan dulu hukuman kemusnahan mereka, mereka mencabuli & mengkhianati janji mereka!
- Begitulah apabila perut pedal jahat & busuk, kerana janji itu tidak ikhlas, mereka katakannya dulu hanya kerana terdesak!
Bukan nak beriman sungguh pun!
Mereka tetap tidak beriman & tidak bebaskan bani Israil.
- Allah yang ceritakan tentang perbuatan tipu & janji palsu mereka ini.
Tetapi Allah masih beri mereka tempoh, ini sebagai istidraj, orang zalim diberi tangguh & tempoh (يمهل ولا يهمل) tetapi tidak dibiarkan. Tindakan mesti diambil juga akhirnya.
AYAT 136- {MAKA KAMI PUN MEMBALAS MEREKA, LALU KAMI MENENGGELAMKAN MEREKA DI LAUT DENGAN SEBAB MEREKA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI DAN MEREKA SENTIASA LALAI DARIPADANYA.} (AL-A’RAF 7:136)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas apabila Fir’aun keluarkan akta nak bunuh anak lelaki bani Israil, Nabi Musa AS berdoa kepada Allah agar membinasakan musuhnya dan gantikan mereka di bumi Mesir.
ii- Maka ulama’ kata : Selepas 40 tahun, sampailah kepada ayat ini, iaitu Allah tunaikan doa Nabi Musa untuk membinasakan musuhnya iaitu Fir’aun dan gengnya!
- Yakni Allah ambil tindakan ke atas mereka apabila mereka tak tunai janji untuk beriman & bebaskan bani Israil, hanya janji palsu & satu penipuan saja!
- Allah pun membalas mereka dengan menenggelamkan mereka di laut semuanya, Fir’aun dan seluruh bala tentera yang bersama dengannya.
- Kisah penuh ini boleh dilihat dalam firman Allah SWT ini:
{(Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)”.
(Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus (orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk mengumpulkan (tenteranya),
(Sambil berkata kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,
“Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;.
“Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga”.
Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,
Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.
Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka.
Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit.
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”.
Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”.
Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.
Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.
Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya.
Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).
Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan (dalam pada itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.} (Asy-Syu’ara’ 26: 52- 67)
- Allah juga nyatakan azab itu adalah dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka sentiasa lalai daripadaNya.
- Allah juga nyatakan bahawa dihantar balik mayat Fir’aun ke pantai dan kekal sehingga ke hari ini untuk menjadi iktibar pengajaran kepada selurh manusia selepasnya.
- Firman Allah SWT :
{الْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ}
{“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.} (Yunus 10:92)
- Betapa ramai manusia yang mendapat hidayah selepas mengkaji ayat-ayat dalil yang Allah berikan.
Kisah yang terkenal ialah Dr Maurice Bucaille salah seorang pakar bedah Peranchis non-muslim yang mendapat hidayah Islam akibat dari mayat Fir’aun ini.
Boleh dengar kisah penuhnya di:
https://www.facebook.com/share/v/1Muc5SV7Cf/
AAM 2020 Rahmat Ramadhan (06); Live UMK – Kehebatan Al-Quran Sepanjang Zaman & Kisah Islam Gary Miller dan Maurice Bucaille.
- Orang bukan Islam yang memilih Islam, mereka kaji al-Quran dulu baru mengaji!
Kita dok mengaji sejak kecil sampai tua, tak pernah kaji atau tadabburnya.
Inilah kerugian yang besar.
AYAT 137- {DAN KAMI WARISKAN KEPADA KAUM (BANI ISRAIL) YANG TELAH TERTINDAS ITU AKAN DAERAH-DAERAH TIMUR BUMI (PALESTIN) DAN DAERAH-DAERAH BARATNYA, YANG KAMI TELAH MELIMPAHKAN BERKAT PADANYA. DAN TELAH SEMPURNALAH KALIMAH ALLAH (JANJINYA) YANG BAIK KEPADA KAUM BANI ISRAIL KERANA KESABARAN MEREKA (SEMASA MEREKA DITINDAS OLEH FIRAUN), DAN KAMI TELAH HANCURKAN APA YANG TELAH DIBUAT OLEH FIRAUN DAN KAUMNYA DAN APA YANG MEREKA TELAH DIRIKAN (DARI BANGUNAN-BANGUNAN YANG TINGGI).} (AL-A’RAF 7:137)
- Nota: Inilah akhir kisah atau episod terakhir kekejaman Fir’aun terhadap Nabi Musa & bani Israil.
i- Ayat berikutnya diceritakan pula episod Nabi Musa & bani Israil.
Kaum bani Israil bukan saja tidak bersyukur akan nikmat Allah yang membebaskan mereka dari kezaliman Fir’aun.
Bahkan mereka kufur dan melakukan maksiat yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT lalu ditimpa dengan pelbagai bencana.
- Selepas kebinasaan Fir’aun, Allah wariskan kepada kaum Bani Israel yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi Palestin dan daerah-daerah baratnya, yang Allah telah melimpahkan berkata kepadanya.
Ada ulama’ kata : Bumi yang Allah berkati itu ialah Syam, Palestin Jordan & Syria.
Apakah mereka kembali ke Mesir wallahu a’lam.
- Allah kata Dia telah :
i- Sempurnalah kalimah Allah iaitu janji-Nya dengan membinasakan Fir’aun, bani Israil bebas dan menguasai bumi pada ketika itu.
ii- Balasan yang baik kepada kaum bani Israel kerana kesabaran mereka semasa mereka ditindas oleh Firaun.
iii- Dan kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan dari bangunan-bangunan yang tinggi dan kebun-kebunnya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 134- {Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu…}-
Apabila ditimpa azab kaun Fir’aun terhegeh-hegeh datang menemui Nabi Musa
Tetapi mereka masih degil keras kepala, sombong tidak mahu beriman, mereka tunjukkan dengan menyuruh Musa berdoa kepada Tuhannya, {رَبَّكَ} bukan Tuhan mereka, masih tidak mahu akui ketuhanan Allah SWT.
Persoalan:
Kenapa mereka pergi jumpa Musa & minta pertolongannya sedangkan mereka tuduh Musa amal sihir & bawa kesialan ke atas mereka?
Jawapan:
Ini menunjukkan bahawa fitrah semulajadi dalam diri manusia percaya adanya Tuhan yang berkuasa ke atas alam ini.
Waktu susah mereka akan cari Tuhan juga, iman dari segi fitrah.
Kerana itu manusia ini jangan tunjuk keras kepala sangat kepada Tuhan kerana bila susah cari Tuhan juga (contohnya, dengan cari tok imam, untuk berdoa & solat hajat).
- Ayat 135- { (Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya,…}-
Apabila Nabi Musa AS berdoa Allah kabulkan lalu dihapuskan azab itu dari mereka hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya.
Yakni Allah beri tempoh kepada mereka, selepas hilang bala ujian, mereka tidak beriman juga, Allah datang pula ujian dan bala lain!
Mereka sangat degil dan keras kepala lalu Allah beri masa lagi!
Ini dapat kita lihat dalam sejarah betapa penguasa, pemimpin negara yang jahat & zalim, para diktator atas muka bumi ini panjang tempoh pemerintahan mereka, itu kerana Allah bagi tempoh & istidraj juga untuk mereka.
- Ayat 136- {Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan mereka di laut…}-
Apabila Fir’aun dan kaumnya tak dengar, janji tak tunai, menzalimi & khianat ke atas bani Israil tanpa henti;
Maka dalam ayat ini Allah sebut pendek saja ceritanya: Kami ambil tindakan dan Kami tenggelamkannya!
Sudah tak ada cerita bagaimana nabi Musa berdoa, mereka lari dan Fir’aun kejar & Nabi Musa pukul laut dan sebagainya.
Ini kerana perbincangan di sini, perbincangan tentang keputusan bukan episod bagaimana & kenapa.
Dalam al-Quran ini cerita panjang ada cerita pendek.
Dalam kes ini kerana kamu sombong degil keras kepala; maka Allah ambil tindakan ke atas kamu!
Maka kita pun kena ingat jangan sombong & keras kepala kepada Allah kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan kita pada suatu masa nanti.
- Ayat 137- {Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya,…}-
Allah kata Dia akan wariskan bumi ini kepada kaum Bani Israil yang dulunya tertindas.
Inilah sunnatullah Ta’ala:
i- Orang yang lemah tidak selamanya lemah; suatu masa mereka akan naik & menang.
ii- Orang yang sombong & takabbur, hebat tidak selamanya hebat; suatu masa mereka akan jatuh & kalah.
Begitulah keadaan dunia ini, maka kita jangan bangga menyombong diri sangat kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan.
Kita baca ayat al-Quran ini, kita berfikir (tafakkur) bahawa bukan semua orang lemah itu lemah selamanya & orang yang kuat tidak akan kuat selamanya, dia akan jatuh suatu hari nanti!
Orang yang lemah ini naik dengan dua sebab:
i- Nak angkat darjatnya, kerana Allah mahu beri peluang kepada mereka untuk buktikan & tunjukkan bahawa orang yang baik & beriman yang patuh pada Syari’ah Allah; apabila mereka naik akan buat kebaikan & keadilan, hapuskan kezaliman dan keburukan.
ii- Juga orang lemah dapat kuasa kerana Allah nak tunjuk, nak perkenal dan zahirkan siapakah mereka sebenarnya!
Apakah mereka tunaikan janji dulu atau lupa diri lupa daratan!
Realitinya ada orang yang lemah dan tersiksa dulu apabila dia senang dan naik sudah tak ingat lagi sejarahnya.
Cara nak kenal orang dengan lebih mendalam ada dua cara:
i- Musafir dengannya, baru kita tahu bagaimana sifatnya, pemurah, ringan tulang atau sebaliknya.
ii- Apabila dia dapat kuasa untuk kenal dirinya, sebelum ini baik dan tawadhuk tetapi bila dapat kuasa lupa daratan, lupa kawan, zalim dan sebagainya.
- Ayat 137- {… Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka.}-
Allah kata sempurnalah janji-Nya nak angkat bani Israil dengan sebab mereka sabar.
Iaitu sabar mempertahankan hak Allah dan mempertahankan Syari’ah.
Jika dia sabar bukan dalam hak Allah rugilah. Betapa banyak pejuang-pejuang kemerdekaan dan apa saja yang berjuang tetapi bukan kerana hak Allah, untuk negara, rakyat dan sebagainya, tetap rugi juga walaupun menang!
Jika kita berjuang untuk menegakkan kalimah Allah, Syari’ah Allah, jika kita mati syahid, jika kita menang alhamdulillah.
Kata ulama’ : Siapa yang apabila ditimpa bala menerima ujian Allah dengan:
i- Tidak sabar & mengamuk maka Allah akan serahkan urusannnya untuk urus sendiri ..
من قابل البلاء بالجزع وكله الله إليه.
ii- Manakala sesiapa yang sabar, menunggu pertolongan Allah, Allah jamin akan beri kemenangan padanya!
ومن قابله بالصبر ، وانتظار النصر…
Akhirnya Allah juga kata: Ayat 137- {… dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi).}– yakni Allah runtuhkan semua projek & pembangunan yang dibina oleh Fir’aun.
Cuma apakah bani Israil pusing masuk semula ke Mesir atau tidak, wallahu a’lam.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.