View Categories

(38) Surah Al-A’raf : Ayat 142-143

Nabi Musa Bermunajat 40 Malam, Menerima Taurat, Harun Ditugaskan Menjaga Kaumnya & Nabi Musa AS Minta Nak Tengok Allah.

Full video : https://youtu.be/VtdcENsUCzg?si=ju-aWgd6BUYv41DD

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 142 sehingga 143 dalam juzuk kesembilan.
  1. Tahniah kepada semua para muslimin & muslimat yang dapat menghidupkan malam 10 terakhir Ramadhan ini dengan ibadat.
    Inilah nikmat besar yang Allah berikan, apatah lagi jika terkena pada malam Lailatul Qadr.
    Hanya Allah yang dapat bantu kita untuk berpuasa dengan sebaikmya, qiyam, baca al-Quran dan sebagainya.
    Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Musa bermunajat selama 40 malam di bukit Tursina sebagai persediaan untuk menerima Taurat.
  1. Sepanjang peninggalannya itu, Musa menugaskan saudaranya Harun nenjaga keamanan & keimanan kaumnya Bani Israil di kampung.
  1. Selepas selesai munajat, Allah berkata-kata dengan Nabi Musa AS, yang menyebabkan Musa minta nak tengok Allah.
    Bukan tak percaya cuma rindu untuk melihatnya!
    Allah katakan Musa tak akan mampu melihatnya di dunia ini, lalu menzahirkan Zat-Nya kepada bukit & bukit itu pecah!
    Musa sedar kesilapannya dan beristighfar kepada Allah.
    1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
      i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang beberapa nikmat yang dianugerahkan kepada bani Israil, yang terbesar ialah Fir’aun musuh tradisi mereka telah binasa lalu mereka bebas dari perhambaan.
      Mereka jadi satu umat yang merdeka duduk di bawah pimpinan Nabi Musa AS.

      ii- Maka dalam ayat ini Allah cerita bahawa Nabi Musa AS telah menerima Kitab Taurat untuk menjadi dustur perundangan kepada mereka.
      Ada hukum-hakam yang mesti dipatuhi dan perlembagaan negara yang mesti dilaksanakan.

    أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

    AYAT 142- {DAN KAMI TELAH JANJIKAN MASA KEPADA NABI MUSA (UNTUK MEMBERIKAN TAURAT) SELAMA TIGA PULUH MALAM, SERTA KAMI GENAPKAN JUMLAHNYA DENGAN SEPULUH MALAM LAGI, LALU SEMPURNALAH WAKTU YANG TELAH DITENTUKAN OLEH TUHANNYA EMPAT PULUH MALAM. DAN BERKATALAH NABI MUSA KEPADA SAUDARANYA NABI HARUN (SEMASA KELUAR MENERIMA TAURAT): “GANTIKANLAH AKU DALAM (URUSAN MEMIMPIN) KAUMKU DAN PERBAIKILAH (KEADAAN MEREKA SEPENINGGALANKU), DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT JALAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN”.} (AL-A’RAF 7:142)

    1. Allah nyatakan bahawa Dia telah berjanji beri tempoh kepada Nabi Musa untuk bermunajat kepada-Nya selama 40 malam.
      Satu tempoh waktu sempurna yang telah Allah janjikan untuk diberikan Taurat.
    1. Selama 30 malam pertama Nabi Musa kena puasa & ada ibadat yang diajar kepadanya, itulah yang dinamakan bermunajat.
      Setelah cukup 30 malam Musa menunggu untuk menerima kitab & berharap untuk bertemu Tuhan.
    1. Kemudian turun pula perintah Allah untuk menambah munajat selama 10 malam lagi untuk menjadikannya lengkap selama 40 malam.
      Kisah munajat ini telah disebut secara ringkas dalam surah al-Baqarah.
    1. Kata Ibnu Kathir RHM : Ramai dari kalangan ahli tafsir mengatakan 30 hari pertama munajat itu ialah pada bulan Zulqa’dah & 10 hari lagi itu ialah pada bulan Zulhijjah.
      Ini bermakna Musa menerima kitab Taurat pada hari raya Haji atau Yauman Nahri (يوم النحر).
      Hakikat sebenar, selagi tiada riwayat dari Nabi SAW ; wallahu a’lam.
    1. Kerana itu para ulama’ salaf amat membesarkan 3 kali 10 hari ini:
      i- 10 akhir Ramadhan, kerana ada Lailatul Qadr.

      ii- 10 awal Zulhijjah, hari Musa munajat & ada hari Arafah.

      iii- 10 awal Muharram, hari Nabi Musa selamat dari Fir’aun, hari Asyura.
      Pada hari Arafah juga turunnya kepada Rasulullah SAW ayat yang menyempurnakan agama Islam ini.
      Sebelum pergi Nabi Musa Musa serahkan watikah kepada Harun.
      Dia berpesan & melantik saudaranya Harun untuk menggantikannya memimpin dan menjaga kaum bani Israil sepeninggalannya. Jaga & sekat agar mereka tidak terpesong atau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan & maksiat.

    AYAT 143- {DAN KETIKA NABI MUSA DATANG PADA WAKTU YANG KAMI TELAH TENTUKAN ITU, DAN TUHANNYA BERKATA-KATA DENGANNYA, MAKA NABI MUSA (MERAYU DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHANKU! PERLIHATKANLAH KEPADAKU (ZATMU YANG MAHA SUCI) SUPAYA AKU DAPAT MELIHATMU”. ALLAH BERFIRMAN: “ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN SANGGUP MELIHATKU, TETAPI PANDANGLAH KE GUNUNG ITU, MAKA KALAU IA TETAP BERADA DI TEMPATNYA, NESCAYA ENGKAU AKAN DAPAT MELIHATKU”, SETELAH TUHANNYA “TAJALLA” (MENZAHIRKAN KEBESARANNYA) KEPADA GUNUNG ITU, (MAKA) “TAJALLINYA” MENJADIKAN GUNUNG ITU HANCUR LEBUR DAN NABI MUSA PUN JATUH PENGSAN. SETELAH IA SEDAR SEMULA, BERKATALAH IA: “MAHA SUCI ENGKAU (WAHAI TUHANKU), AKU BERTAUBAT KEPADAMU, DAN AKULAH ORANG YANG AWAL PERTAMA BERIMAN (PADA ZAMANKU)} (AL-A’RAF 7:143)

    1. Apabila tiba hari yang tetapkan untuk menerima Taurat, Musa datang dan Allah berkata-kata dengannya.
    1. Nota 231: Pada waktu yang telah ditentukan Nabi Musa datang ke gunung Tursina untuk menerima Taurat.
      Pada hari itu dia telah menerima penghormatan yang besar kerana Allah SWT berkata-kata secara lansung (direct) dengannya tanpa perantaraan malaikat Jibril.
      Menurut cara yang selayaknya bagi Allah SWT, yang tidak ada bandingan dengan sesuatu apapun.
      Kerana itu Nabi Musa AS dikenali sebagai Kalimullah (كليم الله), iaitu yang nabi yang mendapat pernghormatan berkata-kata dengan Allah secara direct.
    1. Dalam ayat ini dijelaskan apa yang Allah tanya kepadanya:
      {“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”
      Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”.

      Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”} (Taha 20: 17-19)

      Nabi Musa memanjang perkataan & ceritanya kerana mahu mengambil peluang lebih lama untuk bercakap dengan Allah.
    1. Kata ulama’ : Apabila sudah berkata-kata tetapi tidak tengok tuannya maka pastilah nak jumpa & tengok tuannya!
      Begitu juga Nabi Musa AS tidak puas hati dapat bercakap saja dengan Allah lalu dia berdoa meminta kepada Allah: {“Wahai Tuhanku perlihatkanlah kepadaku (zatMu yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”.}.
    1. Allah menjawab dengan firman-Nya: {Allah berfirman: “Engkau tidak akan sekali-kali akan sanggup melihatKu;”}
      Yakni Musa tidak akan mampu untuk melihatnya di dunia ini, kerana manusia itu lemah tak kuat untuk lihat Zat Tuhan yang Mulia atas dunia ini!
      Dalam syurga kelak insya’ Allah, Allah akan tunjukkan wajah-Nya kepada orang mukmin.
      Ya Allah jadikan kami semua dalam golongan ini!
    1. Hadis riwayat Abu Musa al-Asy’ari RA bahawa:
      قامَ فِينا رَسولُ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ بخَمْسِ كَلِماتٍ،
      فقالَ: إنَّ اللَّهَ عزَّ وجلَّ لا يَنامُ، ولا يَنْبَغِي له أنْ يَنامَ، يَخْفِضُ القِسْطَ ويَرْفَعُهُ، يُرْفَعُ إلَيْهِ عَمَلُ اللَّيْلِ قَبْلَ عَمَلِ النَّهارِ، وعَمَلُ النَّهارِ قَبْلَ عَمَلِ اللَّيْلِ، حِجابُهُ النُّورُ، وفي رِوايَةِ أبِي بَكْرٍ: النّارُ، لو كَشَفَهُ لأَحْرَقَتْ سُبُحاتُ وجْهِهِ ما انْتَهى إلَيْهِ بَصَرُهُ مِن خَلْقِهِ.
      الراوي: أبو موسى الأشعري • صحيح مسلم.

      Rasulullah SAW berdiri berkhutbah dan berpesan dengan lima perkara:
      “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur dan tidak seharusnya Dia tidur.
      Dia berkuasa menurunkan timbangan amal dan mengangkatnya.
      Kemudian akan diangkat kepada-Nya (maksudnya dilaporkan) segala amalan pada waktu malam sebelum (dimulai) amalan pada waktu siang, dan begitu juga amalan pada waktu siang akan diangkat kepada-Nya sebelum (dimulai) amalan pada waktu malam.
      Hijab-Nya adalah Cahaya (لنُّورُ). -Menurut riwayat Abu Bakar, ‘Api’ (النّارُ).
      Andaikata Dia menyingkapkannya, pasti keagungan Wajah-Nya akan membakar makhluk yang dipandang oleh-Nya.”

      [HR Bukhari & Muslim].

      Yakni jika Allah angkatkan hijab yang melindungi wajah-Nya akan terbakar dunia ini apatah lagi manusia yang lemah.
    1. Kemudian Allah berfirman lagi kepada Musa: {“Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”,}-
      Untuk tenangkan hati Musa, Allah beri alternatif lain kepada Musa & nyatakan sebabnya kenapa tak boleh itu.
    1. Apabila Allah “Tajalla” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) “Tajalli-Nya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan.
    1. Hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
      إنِّي أوَّلُ مَن يَرْفَعُ رَأْسَهُ بَعْدَ النَّفْخَةِ الآخِرَةِ، فإذا أنا بمُوسَى مُتَعَلِّقٌ بالعَرْشِ، فلا أدْرِي أكَذلكَ كانَ أمْ بَعْدَ النَّفْخَةِ.
      Maksudnya: “Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir.
      Aku mendapati Nabi Musa sedang bergantung di Arasy, aku tidak ketahui adakah keadaan itu berlaku sebelum dia mati ketika tiupan pertama atau dia masih hidup selepas tiupan kedua sebelumku.”
      . [HR al-Bukhari (337)].
      Ini sebagai balasan kerana Musa telah pengsan dulu semasa di Tursina.
    1. Setelah Musa sedar dia berasa insaf dan sedar akan kesilapannya minta nak tengok Tuhan.
      Musa berkata: {“Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)}.
    1. Begitulah kata ulama’ tafsir : Tiada manusia yang dapat melihat Allah atas dunia ini & Nabi Musa berkata dialah orang yang pertama beriman & mengakui bahawa Allah SWT tidak boleh dilihat atas dunia ini!

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 142- {Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi,…}-

      Allah kata Dia telah berjanji dengan Musa satu temujanji untuk berinya kitab Taurat.
      Tapi sebelum itu Nabi Musa kena bermunajat kepada Allah selama 30 malam kemudian ditambah lagi 10 malam menjadikannya 40 malam yang sempurna.
      Kata ulama’ : Ini adalah sebagai persediaan dan penyucian jiwa Musa sebagai persediaan untuk bertemu Allah dan berkata-kata dengannya serta menerima sebuah Kitab yang agung!
      Ia juga untuk menambahkan lagi pahala Nabi Musa AS & menambahkan kerinduan dan keinginannya untuk bertemu Allah.
      Sama seperti Rasulullah SAW sebelum turunnya wahyu- Baginda SAW telah bermunajat sendirian di Gua Hira’ buat beberapa lama.
      Disuruh 30 malam dulu agar tidak berasa lama kemudian ditambah 10 malam lagi untuk menjadikannya 40 malam yang dikehendaki Allah.
      Tak mahu nampak besar angka kita pecah-pecahkan!
      Semakin lama menunggu semakin kerinduan & semangat Nabi Musa.
      Begitu juga kerinduan kita menunggu Lailatul Qadr, kena beribadat dulu selama 20 malam sebelum masuk 10 malam terakhir Ramadhan untuk melaluinya.
      Allah nak didik kita sebelum ini apabila masuk Ramadhan kita telah tingkatkan ibadat secara slow-slow, tetapi apabila masuk 10 akhir kita pecut dan pertingkatkan lagi.
      Sebagai satu sejarah & kenangan:
      Pada tahun 1993- DDAAM telah sampai ke puncak gunung Tursina, Mesir.
    1. Ayat 142- {Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama….}-

      Allah telah berjanji & beri tempoh kepada Nabi Musa.
      Maka kata ulama’ : Ayat ini memberi pengajaran kepada kita bahawa kita boleh buat temu janji (appointment) jika nak berjanji dengan orang, maklumkan tempat masa & tarikh dengan jelas dalam apa urusan kita apa sekali pun kena ada perjanjian yang jelas, kena tulis & tanda dengan jelas, contoh dalam urusan hutang-piutang, kena ada janji yang jelas bila kena bayar!
      Bukan cincai begitu saja.
      Kenapa Allah sebut temujanji dengan Musa selama 40 malam, iaitu guna perkataan malam { لَيْلَةًۭ} bukan hari siang?
      Jawapan: Ayat ini untuk menunjukkan kepada umat Islam bahawa tarikh kita itu bermula dari malam, apabila tenggelam matahari hari itu, maka sudah habislah tempohnya!!
      Contohnya hari ini adalah hari ke-23 Ramadhan, bila tenggelam matahari, maghrib nanti sudah masuk hari ke-24 Ramadhan.
      Kerana itu Taqwim Hijri kita guna Taqwim Qamari (‏تقويم قمري‎‎) kalendar Lunar, tarikh ikut bulan, kerana tarikh kita bermula malam.
      Taqwim Qamari, sejenis sistem penanggalan yang berdasarkan kepada fasa bulan.
      Berbeza dengan kalendar Masehi yang guna sitem solar yang ikut fasa pergerakan matahari.
      Dalam bab ibadat dalam Islam pula semua bermula dengan malam seperti Lailatul Qadr dan lain-lain kecuali bab haji seperti wuquf.
      Hari wuquf bermula Zohor hari ke-9 Zulhijjah sehingga subuh hari ke-10 Zulhijjah.
      Begitulah setiap kaedah itu ada pengecualiannya (شاذ).
      Begitu juga berbeza hukum zakat fitrah bagi:
      i- Orang yang mati pada malam raya, pewarisnya wajib bayar zakat fitrahnya kerana telah habis Ramadhan, dia telah laluinya.

      ii- Orang yang lahir pada malam raya, tak kena zakat kerana telah lepas masa.
    1. Ayat 142- {… Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”.}-

      Sebelum pergi Nabi Musa berpesan kepada saudaranya Nabi Harun.
      Tiga pesanan Musa kepada Harun ialah:
      i- Untuk gantikannya pemimpin & jaga bani Israil {ٱخْلُفْنِى فِى قَوْمِى}.

      ii- Buat elok jika ada yang tak kena betulkan {وَأَصْلِحْ}.

      iii- Jangan ikut karenah buat yang jahat & sesat {وَلَا تَتَّبِعْ سَبِيلَ ٱلْمُفْسِدِينَ}.
      Nabi Musa sebelum meninggalkan kaumnya Bani Israil, melantik saudaranya Harun sebagai wakil & penggantinya.
      Ini adalah perlantikan jawatan (watikah & wasiat dari segi siyasah politik.
      Kena tadbir dengan baik jangan rosakkan negara.
      Sebagai ketua arahan kepada wakilnya mesti jelas, apakah tugasan & tanggungjawab yang mesti dilakukannya sepanjang peninggalan kita.
    1. Ayat 143- {Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya…}-

      Apabila Nabi Musa berada di tempat yang dijanjikan iaitu di bukit Tursina dan cukup dah waktu munajatnya, dia berkata-kata dengan Tuhan.
      Allah SWT berkata-kata dengan nabi Musa bercakap tanpa perantaraan, Musa dengar kata-kata Allah dan boleh menjawab apa yang ditanyanya.
      Kemudian apabila Musa minta untuk melihat Allah, Allah kata {لَن تَرَىٰنِى}- “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku!
      Ayat ini digunakan sebagai dalil oleh puak Muktazilah yang mengatakan manusia tidak boleh melihat Allah sama ada di dunia & di akhirat.
      Mereka mengatakan perkataan {لَن تَرَىٰنِى}, membawa maksud tidak akan sesekali (never), langsung tidak boleh tengok, begitulah mazhab mereka!
      Kita ahli Sunnah tetap mengatakan manusia boleh tengok Allah di Akhirat kelak, cuma atas dunia ini saja manusia tak boleh tengok Tuhan.

      Sebagaimana firman Allah SWT :
      {Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.} {إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌۭ}. (Al-Qiyamah 75: 22-23)
      Dalilnya lagi bahawa ia bukan {لَن}, tidak selamanya; firman Allah SWT ini menceritakan yahudi yang tak mahu mati:

      {Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, {وَلَن يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًۢا} dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.} (Al-Baqarah 2:95)
      Sedangkan ayat ini pula mereka minta mati:
      {Dan mereka menyeru (ketua malaikat penjaga neraka, dengan berkata):

      “Wahai Malik! Biarlah hendaknya Tuhanmu mematikan kami (kerana kami tidak tahan menderita)!”
      Maalik menjawab: “Sesungguhnya kamu tetap kekal di dalam azab!” (Az-Zukhruf 43:77)
      Yang penting Allah tidak beri Musa melihat-Nya pada waktu itu, bukan selama-lamanya.
      Atas dunia ini kita tidak boleh tengok Tuhan & Ini menimbulkan khilaf di kalangan ulama’ apakah Nabi SAW tengok Tuhan ketika Isra’ & Mikraj.
      Ada perbahasan yang panjang dengan Ibnu Abbas menafikan bahawa Nabi SAW tengok Tuhan.
    1. Ayat 143- {Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan…}-

      Apabila Allah tunjukkan pada bukit-bukit keras dan batu pejal itupun hancur patah lagi manusia, Nabi Musa pula pengsan.
      Ulama’ kata : Ini menunjukkan perbezaan & kelebihan Nabi Muhammad SAW mengatasi Nabi Musa AS Kerana Rasulullah SAW semasa Isra’ Mikraj, naik ke Sidratul-Muntaha, Baginda menghadap Allah dan berkata-kata dengannya secara lansung apabila menerima perintah solat!
      Ia juga berlaku berkali-kali, Baginda turun naik berjumpa Allah & Baginda tidak pengsan seperti Musa. Wallahu a’lam.
      Boleh lihat lagi kelebihan Nabi SAW mengatasi para anbiya’ lain dalam buku ini:

      41 Kelebihan Nabi SAW https://dartaibah.com/…/Buku-41-Kelebihan-Rasulullah…
      Di akhirnya Nabi Musa berkata: {… dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)}, ini kerana syarat sempurna iman ialah kita beriman dengan perkara ghaib.

      Walaupun kita tak nampak Allah tetapi kita yakin Allah ada, kita beriman, bergantung, beriltija’ & bertawakkal kepada-Nya.
      Begitulah Nabi Musa AS walaupun tak dapat tengok Allah tetapi dia tetap yakin 100% cuma apabila dia boleh bercakap dengan Allah menjadikannya minta nak tengok Tuhan, bukan kerana dia tak yakin!

    Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.

    جَزًاكُمُ الله خَيْرًا

    Akhukum, Dr Abu Anas Madani. 23 Ramadhan 1446H / 24-3-2025.

    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs