Samiri Buat Anak Lembu, Dakwa Itulah Tuhan & Penyesalan Bani Israil.
Full video : https://youtu.be/ekQtGxIUL_0?si=fpX_E3bkG4MY9jX4
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 148 sehingga 149 dalam juzuk kesembilan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah betapa tepu & lemahnya pemikiran bani Israil akibat terlalu lama didera dan dikuasai oleh Fir’aun dan kuncunya.
- Apabila Nabi Musa pergi bermunajat kepada Allah di bukit Tursina, salah seorang pengikutnya yang bernama Samiri buat patung anak lembu & dakwa itulah tuhan, mereka terimanya sebagai Tuhan dan pakat sembahnya.
- Apabila Nabi Musa kembali dari munajatnya dalam keadaan marah; sebahagian besar Bani Israil menyesal atas perbuatan mereka itu.
Tetapi apa nak buat ajaran sesat ini seperti api di dalam sekam, ia tak mati atau terhapus terus, ia senyap sekejap apabila dibanteras tetapi akan muncul semula selepas beberapa ketika dengan nama baru yang dihiasi syaitan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Musa pergi bermunjat kepada Allah & bagaimana dia telah mendapat manfaat besar iaitu berkata-kata dengan Allah sehingga dia memberanikan diri meminta melihat Tuhan pula.
ii- Maka di sini Allah nyatakan pada masa yang sama semasa Musa sedang bermunajat kepada Allah, kaumnya yang ditinggalkan membuat kesyirikan pula menyembah patung anak lembu.
Walaupun telah dilantik saudaranya Harun untuk menjaga mereka tetapi mereka tak dengar.
Ini mengajar kepada kita jika masih ada tanggungjawab, utamakan yang perlu dulu.
Contoh, bapa keluar tidur di masjid berbulan tetapi anak di rumah yang masih memerlukan jagaan & didikan ditinggalkan di rumah.
Mengikut susunan dalam Tafsir al-Munir ini adalah episod pertama dalam al-Quran dari kisah penyembahan anak lembu oleh Bani Israil.
Betapa Nabi Musa menghadapi pelbagai karenah kaumnya bani Israil dan sebelum ini berlawan dengan Fir’aun yang berkuasa.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 148- {DAN KAUM NABI MUSA, SESUDAH IA (PERGI KE GUNUNG TURSINA), MEREKA MEMBUAT DARI BARANG-BARANG EMAS PERHIASAN MEREKA, (PATUNG) ANAK LEMBU YANG BERTUBUH DAN BERSUARA (ALLAH BERFIRMAN): “TIDAKKAH MEREKA MEMIKIRKAN BAHAWA PATUNG ITU TIDAK DAPAT BERKATA-KATA DENGAN MEREKA DAN TIDAK DAPAT JUGA MENUNJUKKAN JALAN KEPADA MEREKA? MEREKA MENJADIKANNYA (BERHALA YANG DISEMBAH) DAN SEMEMANGNYA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEZALIMAN”.} (AL-A’RAF 7:148)
- Semasa Nabi Musa pergi bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina.
Kaumnya bani Israil yang ditinggalkan membuat patung anak lembu yang bertubuh dan bersuara.
Mereka membuatnya daripada barang-barang emas perhiasan mereka.
- Ada setengah kata : Barang kemas ini adalah asalnya kepunyaan kaum Qibti (kaum Fir’aun) yang mereka, bani Israil pernah pinjam semasa di Mesir dulu.
Sekarang Qibti telah tiada mereka tak boleh nak hantarnya lagi lalu kumpul & buat patung lembu.
- Lalu salah seorang dari mereka yang bernama Samiri, melakukan sesuatu yang menjadikan lembu itu boleh mengeluarkan bunyi seolah bersuara.
Samiri ini adalah seorang berpengaruh di kalangan bani Israil pada waktu itu.
Apa yang dia cakap biasanya didengar & diikut orang, dia juga dikenali sebagai Musa Samiri.
Yakni seolah seorang influencer yang mempunyai ramai followers!!
- Ibnu Asyur RHM berkata : Cerita-cerita pelik yang ada tentang lembu ini semuanya tidak ada asas dan adalah datang dari Israiliyyat.
Lembu itu hanya patung yang dibuat daripada emas & mengeluarkan bunyi/suara.
Itu adalah dengan teknik yang dapat di huraikan secara logik dengan secara mekanikal atau teori sains.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).} (Al-Baqarah 2:51)
- Kita dilarang hina agama orang lain tetapi sebagai orang Islam, muslim wajib menyatakan kebenaran Islam & kesesatan agama lain.
Kemudian Allah nyatakan tiada apa sifat ketuhanan pada patung lembu itu, kerana ia tidak boleh bercakap pun!
Ia juga yang tidak boleh bergerak, berkelip mata apatah lagi memberi manfaat.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.
(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,}
“Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?” (Taha 20: 91-93)
- Tetapi mereka menjadikan patung lembu itu sebagai berhala yang disembah dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman!!!
Iaitu kerana syirik kepada Allah!
- Firman Allah SWT juga:
{Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu;…”. (Al-Baqarah 2:54)
AYAT 149- {DAN SETELAH MEREKA MENYESAL (AKAN APA YANG MEREKA LAKUKAN) DAN MENGETAHUI BAHAWA MEREKA TELAH SESAT, BERKATALAH MEREKA: “SESUNGGUHNYA JIKA TUHAN KAMI TIDAK MEMBERI RAHMAT KEPADA KAMI DAN MENGAMPUNKAN KAMI, NESCAYA MENJADILAH KAMI DARI ORANG-ORANG YANG RUGI”.} (AL-A’RAF 7:149)
- Apabila Nabi Musa balik, dia marah dan mencampakkan patung lembu itu dan menyatakan bahawa perbuatan itu salah & sesat!
- Apabila mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu sesat & tidak betul, mereka menyesal akan apa yang mereka lakukan dan mengetahui bahawa mereka telah sesat.
Jika tahu salah & menyesal tak apa, mudah insaf & dengar kata.
Yang teruknya tidak mahu mengaku salah dan terima kebenaran walaupun tahu salah, ini adalah orang yang takabbur dan Allah tidak akan beri hidayah kepada mereka.
- Nota: Patung anak lembu itu dibuat oleh seorang pengukir yang mahir (ada kata namanya Samiri atau Musa Samiri).
Dengan satu teknik yang diketahuinya; patung itu dibuat rongga lubang yang apabila angin bertiup masuk melaluinya akan mengeluarkan bunyi seperti suara.
Dalam ayat ini Allah mendedahkan kekufuran bani Israil yang menyembah lembu.
Sama seperti zaman kita hari ini pun terdapat mereka yang menyembah bukan hanya patung lembu tetapi bapa lembu, ibu lembu- lembu itu sendiri!
Semua itu dikira sesat!
- Apabila mereka menyesal insaf & bertaubat, mereka pun berdoa:
i- Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami,
ii- Nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi di dunia & Akhirat.
- Allah itu Maha Pengampun, Maha Rahmat & Pengasih, sebesar mana dosapun jika sempat bertaubat akan diampunkan-Nya.
Iaitu jika sempat bertaubat sebelum pintu taubat ditutup alhamdulillah.
- Pintu taubat tertutup atau taubat tidak diterima lagi apabila tibanya Kiamat iaitu sama ada:
i- Pintu individu iaitu waktu nazak kematian seseorang, nyawa sudah dihalkum. Taubat ketika ini tidak diterima lagi!
ii- Pintu taubat yang umum, yang besar kepada dunia ini iaitu apabila matahari terbit dari sebelum barat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 148- {Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka,…}-
Sepeninggalan Nabi Musa keluar bermunajat kaum bani Israil terjebak pula dengan perbuatan yang salah & syirik.
Kaum bani Israil ini adalah satu kaum yang terumbang-ambing, tiada pendirian, tidak lekat janji & tidak pegang kata.
Mereka mudah terpengaruh mudah ikut hasutan & ajaran orang.
Tengok orang sembah berhala nak juga!
Padahal Nabi Musa sudah berpesan semasa nak tinggal & sudah lantik Nabi Harun untuk menggantinya buat sementara.
Begitulah apabila tidak ada ketua yang ditakuti & digeruni, sesuatu masyarakat itu akan porak-peranda & huru-hara.
Seperti Bani Israil ini apabila Nabi Musa tidak ada terus sesat dan buat kekufuran.
Walaupun Nabi Harun ada, mereka tidak takut & tak dengar katanya!
Kita sebagai orang beriman jangan mudah terpengaruh, mudah ikut orang, nak pastikan sesuatu amalan itu benar, kita timbang cek dulu atas neraca & SOP-nya iaitu apakah ada dalilnya dalam al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
Sebagaimana hadis Nabi SAW yang lepas Baginda bahawa kamu ikut perbuatan orang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal!
- Ayat 148- { “Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga menunjukkan jalan kepada mereka?}-
Allah nyatakan patung itu bercakap atau tidak apatah lagi nak beri menafaat kepada kamu, lagilah tak mampu!
Ayat ini dalil bahawa siapa yang kata Allah tidak berkata-kata maka dia telah menafikan salah satu ciri-ciri ketuhanan.
Allah yang Maha berkuasa boleh berkata-kata bila saja Dia nak, itu kuasa & Hak-Nya yang kita tidak boleh nafikan!
Alhamdulillah kita ahli Sunnah wal Jamaah ini berpegang dan yakin bahawa Allah SWT berkata-kata.
- Ayat 149- {Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat,…}-
Mereka itu menyesal selepas dimarahi Nabi Musa.
Kenapa ayat ini datang dulu sebelum ayat 150, iaitu Nabi Musa kembali dan marah.
Macamana mereka ini boleh menyesal sebelum Musa balik lagi???
Kenapa Allah tukar dari sudut susunannya ikut bahasa?
Kerana Allah mahu menyatakan bahawa puak penyembah anak lembu itu itu telah sedar bahawa mereka bersalah & menyesali perbuatan itu.
Ini menunjukan betapa pentingnya kesedaran & keinsafan itu, maka Allah bawa ayat itu dulu! Barulah datang ayat, Musa balik & Musa marah.
Inilah tertib uslub al-Quran yang mahu menarik minat orang membaca dan memahami isi kandungan kisah yang dibawanya.
Seperti kita melawat orang sakit, tanya khabar keadaannya dulu; patah ke pecah ke macamana.
Selepas tu baru tanya macamana boleh jadi begitu, sebab apa eksiden dan lain-lain.
- Ayat 149- {Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat,…}-
Allah gunakan perkataan jatuh apa yang ada ditangan mereka untuk menunjukkan penyesalan mereka { وَلَمَّا سُقِطَ فِىٓ أَيْدِيهِمْ}.
Ini menunjukkan bahawa terlalu terkejut & sesal sehingga mereka panik & kaget, boleh jadi jatuh apa yang ada ditangan.
Terkedu menyesal memikirkan kenapa mereka boleh ikut kata Samiri sembah patung lembu, tidak berfikir dan bodoh rasanya.
Ini hanyalah kinayah (bandingan) betapa menyesalnya mereka seperti kita kata patah hati, tawar hati dan seumpamanya!
Ibrah pengajaran dari ayat ini : Kita pun jangan gopoh buat keputusan, sebelum ambil tindakan, nak buat sesuatu perkara kena fikir, kaji, siasat dulu sebaiknya, jangan buat dulu menyesal kemudian!
- Ayat 149- {… “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.}-
Apabila seseorang itu menyesal hendaklah dia insaf bertaubat dengan sesungguhnya dan minta rahmat & keampunan dari Tuhan.
Kenapa dalam ayat ini Allah sebut rahmat {الرحمة} dulu sebelum keampunan {المغفرة}?
Di mana mereka berkata:
{Jika Allah tak beri rahmat kepada kami {يَرْحَمْنَا dan mengampunkan kami {وَيَغْفِرْ لَنَا} maka kami akan menjadi orang-orang yang rugi!
Jawapan: Kerana rahmat itu penyebabnya.
Jika Allah nak beri rahmat kepada seseorang, Dia akan beri pengampunan-Nya.
Yakni jika Allah tak beri keampunan-Nya kita minta rahmat dulu dari-Nya.
Begitu juga kita dalam nak minta mohon sesuatu dari orang pastilah kita sebut atau minta sesuatu yang lebih ringan dan kecil dulu.
Persoalan antara zikir & istighfar mana yang lebih utama?
Seorang ulama’, Sheikh Ibnu al-Qayyim RHM pernah bertanya kepada gurunya : “Antara tasbih (zikir) dan istighfar, amalan manakah yang lebih afdhal dan lebih memberi manfaat kepada seorang hamba?”
Jawab Syeikh : “Lihat kepada keadaan seseorang itu:
i- Jika bajunya sudah bersih maka menggunakan bakhur (pewangi) itu lebih afdhal dan memberi manfaat.
ii- Tetapi jika bajunya kotor, maka pastilah sabun dan air panas lebih sesuai digunakan untuk membersihkannya.”
Untuk bersihkan diri dari dosa dan kesilapan yang dilakukan, adalah dengan istighfar dan taubat kepada Allah SWT.
Manakala untuk menghiasinya pula dengan tasbih dan zikir kepada Allah SWT sebagai amal ibadat yang baik.
Maknanya mesti jamakkan antara dua ibadat ini, tidak boleh diasingkan, mesti seiring dan jangan dianggap remeh.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga memberi manfaat & kebaikan dunia Akhirat.
Sempena malam ini malam 27 Ramadhan di tempat kita, kita pertingkatkan amalan kita semampunya.
Selain kita beribadat dengan solat, zikir, istighfar minat keampunan, kita teruskan projek #hartakumilikku
Infaq Tabung Pembinaan “Mabna Ayah Haji” [Tuan Guru Hj. Abdul Rahman] Pondok Sungai Durian [PSD].
Mabna: Bangunan,
Bangunan Akademik, Kelas Pengajian & Bilik Kuliah Tempat Pengajian Para Pelajar Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.
Sumbangan & Infaq untuk diri sendiri dan keluarga boleh disalurkan melalui akaun ini;
Nama Akaun: Madrasah Muhammadiah Sg Durian.
Maybank: 5530-2961-0334.
Bank Islam: 03-072-01-0119839.
“Jazakumullahu Khaira”.
Akhukum,
Dr. Abu Anas Madani, PSD.
Jumaat 20 Ramadhan 1446H / 21 Mac 2025.
Lihat Penjelasan Di;
https://www.facebook.com/AbuAnasMadani/videos/909938607769157
Wallahu A’lam.